Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI Shila Amzah melahirkan rasa syukur kerana kedudukannya dalam industri hiburan di China semakin selesa dan diterima ramai kerana untuk menembusi pasaran di sana bukanlah mudah dan banyak peraturan yang perlu dilalui.
Tahun ini rezeki Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 36, terbentang luas di China kerana beliau berpeluang menjayakan siri jelajah konsert “Say You Love Me Now” yang bermula pada 1 Januari lalu di Chengdu dan di Guangzhou pada 31 Januari 2026.
Pada 21 Mac baru-baru ini, semasa umat Islam di Malaysia merai Aidilfitri, Shila pula sibuk menjayakan konsertnya di Shanghai.

Meskipun suasananya tak sama tapi Shila tetap gembira kerana beliau didampingi oleh suami, Ubai atau nama lengkapnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli serta dua anaknya menyambut raya di China.
“Konsert saya di Shanghai berlangsung pada hari raya. Kali ini saya bawa dua anak ke sini dan juga adik ipar saya. Memandangkan kita semua raya kat sana terpaksa la bawa makanan segera saja.
“Ini bukan kali pertama beraya di luar negara, dah pernah, cuma konsert saja pertama kali berlangsung pada hari raya kita. Kiranya, anak kedua, Rhea Akira baru pertama kali ke sana dan Seth Uwais sudah pernah saya bawa ke sana,” katanya.

Jelas Shila, selain konsert jelajahnya itu, beliau juga sering mendapat tawaran untuk menjayakan beberapa persembahan di sana. Boleh dikatakan dalam sebulan ada dua tiga persembahan di China.
“Orang mungkin tak perasan kerana kadang-kadang saya tak post pun tapi saya memang ulang alik ke sana. Penat tu memang penat la tapi rezeki Tuhan tengah nak bagi. At the same time untuk saya kembali ke China bukan satu perkara mudah.
“Kedudukan saya di China sekarang ini, alhamdulillah, saya memang tak jangka pun dapat sokongan baik daripada peminat di sana. Kita cuba saja tapi alhamdulillah ada rezeki.

“Entahlah, mungkin kerana penampilan saya berbeza dan cara nyanyian juga berbeza dengan penyanyi di sana. Jadi sebab itu mereka menyokong saya. Tak sangka pula kat sana peminat saya ramai di kalangan lelaki kerana di Malaysia kelompok utama yang sokong saya adalah perempuan,” jelasnya yang bakal meneruskan konsert jelajah tersebut ke Nanjing pada 11 April nanti.
Tambahnya, jelajah konsertnya itu mendapat sokongan daripada peminat di sana kerana populariti lagu “Dao Shi Shuo Ai Wo”, ciptaan Khalid Fong yang dimuat dalam album “My Journey”.
Meskipun ada permintaan agar lagu tersebut dinyanyikan dalam versi bahasa Melayu, namun ia agak sukar kerana itu karya orang lain
“Itu bukan lagu yang saya tulis dan pencipta lagu pun dah meninggal dunia. Agak sukar juga kalau kita nak buat versi Melayu. Dalam masa yang sama kalau lagu Mandarin nak diMelayukan suku katanya susah.
“Pada saya lagu Mandarin kalau diMelayukan akan kedengaran sedikit canggung. Bila menghasilkan lagu (Mandarin), lirik akan mengikut nada perkataan lagu itu,” ulasnya.

Selain konsert di China, Shila juga tidak lupa membuat persiapan untuk konsert solonya, Resonance: Shila Amzah In Harmony – 25 Years of Music & Memories di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 9 Mei ini.
Dalam konsert satu malam di DFP ini, Shila akan diiringi oleh barisan pemuzik untuk mempersembahkan lagu-lagu popular dari album terdahulu, lagu-lagu Mandarin, saduran dan karya dari album terbaharu
“Apabila saya mendapat peluang untuk mengadakan konsert di DFP ini saya sangat teruja kerana ia adalah impian seorang penyanyi dan pemuzik untuk bermain di DFP kerana kita tahu akustik di sini lain dengan venue lain. Jadi ini adalah salah satu kejayaan besar untuk diri saya sendiri.
“Dari segi persiapan untuk senarai lagu, Masih ada beberapa perubahan lagi sebab bila kita nak buat show kat DFP ni nervousnya lain macam sikit.
“Sebab saya ni quite perfectionist, lagi-lagi dah 25 tahun dalam bidang seni dan benda itu yang kadang-kadang menyukarkan kerja orang-orang di samping saya tetapi insya-Allah kita cuba untuk membuahkan hasil yang terbaik untuk semua orang,” katanya.


