Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU anda adalah peminat drama bersiri Korea Selatan yang berjudul Taxi Driver, pasti kenal dengan watak Kim Do-gi, lakonan Lee Je Hoon. Drama tersebut berdasarkan webtoon The Deluxe Taxi oleh Carlos dan Lee Jae-jin.
Manakala pengarah yang bertanggungjawab mengarah drama tersebut untuk musim pertama ialah Park Joon-woo, manakala musim kedua diarah oleh Lee-dan bersama Jang Young-seok, dan Kang Bo-seung diberi tanggungjawab mengarah untuk musim ketiga.
Pasti peminat di Malaysia mahu bertegur sapa dengan Lee Je Hoon kan? Jangan risau impian untuk bertentang mata dengan Lee Je Hoon, 42, bakal termakbul kerana pelakon itu akan berkunjung ke Malaysia pada 11 April ini.

Kehadiran beliau ke Malaysia dianjur oleh Shanghai SanYanSiYu Cultural Creativity bersama TopGallant Show, bagi menjayakan acara 2026 LEE JE HOON FAN MEETING [Our 20th Moment] in Kuala Lumpur yang akan berlangsung jam 6 petang, di Zepp Kuala Lumpur.
Kedatangan Lee Je Hoon ke sini adalah sempena sambutan ulang tahun ke-20 penglibatannya dalam industri hiburan. Acara fan meeting ini diadakan sebagai satu penghargaan dan perkongsian detik bermakna antara Lee Je Hoon dan para peminat yang hadir.
Lakonan mantapnya sebagai Kim Do-gi dalam Taxi Driver dari musim pertama hingga ketiga
menyaksikan beliau memenangi Anugerah Drama SBS – GrandPrize (Daesang) pada 2023 dan 2025, selain menerima Top Excellence Award pada tahun2021.

Beliau turut membintangi drama “Signal” (2016) yang mendapat penarafan tinggi dan akan kembali dengan musim kedua pada tahun ini.
Lee Je Hoon mula meraih perhatian menerusi filem indie “Bleak Night” (2011) sebelum mencatat kejayaan menerusi filem box-office “Architecture 101” (2012).
Antara karya lain yang mendapat sambutan termasuk drama “Move to Heaven” (2021), “Chief Detective 1958” (2024) serta filem “Escape” (2024).
Para peminat boleh menantikan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan istimewa serta sesi interaksi bersama Lee Je Hoon, termasuk peluang sesi tandatangan poster dan fotografi bagi peminat terpilih sebagai sebahagian daripada faedah peminat.
Jika belum membeli tiket untuk acara tersebut, sila layari fantopia.io, my.trip.com dan www.ctrip.com


