Oleh: Khadijah Ibrahim
RAMAI yang membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 atau Pesta Air, diinspirasikan daripada Songkran Thailand yang bakal diadakan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dari 30 April hingga 2 Mei 2026 (atau 1-3 Mei 2026 ).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata, penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 adalah sebagai salah satu usaha untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, dengan mengadakan acara di lokasi tumpuan seperti Bukit Bintang.
Ujar Tiong, acara tersebut adalah acara terbuka dan tiada sesiapa dipaksa untuk menyertainya. Malah, banyak bantahan telah dikemukakan namun semua itu dipandang sepi oleh kerajaan.
Turut menyatakan bantahan terhadap penganjuran festival tersebut ialah Majlis Budaya Dan Warisan Negara (MBWN).
Pengerusi MBWN, Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dalam satu kenyataan rasmi berkata, perkara tersebut wajar dinilai secara komprehensif berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 serta prinsip Rukun Negara.
Tegasnya, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang menghormati kepelbagaian budaya. Namun demikian, penghormatan terhadap budaya luar tidak semestinya membawa kepada penginstitusian atau promosi besar-besaran sesuatu tradisi asing di ruang awam yang menjadi simbol identiti negara.

Dalam konteks pembinaan negara bangsa, keutamaan harus diberikan kepada pengukuhan budaya teras yang membentuk jati diri Malaysia.
“Kerangka Dasar Negara dan Identiti Negara Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, di samping menjamin kebebasan agama lain diamalkan dengan aman dan damai. Prinsip Rukun Negara pula menekankan Kesopanan dan Kesusilaan sebagai asas kehidupan bermasyarakat.
“Dasar Kebudayaan Kebangsaan menetapkan bahawa kebudayaan kebangsaan hendaklah berteraskan budaya asal rantau ini serta nilai-nilai yang sesuai dengan Perlembagaan dan kepentingan negara. Justeru, sebarang acara berskala besar di lokasi ikonik di tengah ibukota mesti dipertimbangkan dari sudut keserasian nilai
dan kesannya terhadap identiti kebangsaan,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan kerisauan tentang pertimbangan sosial dan tata kelola awam terhadap penganjuran pesta air terbuka berskala besar itu berpotensi menimbulkan beberapa implikasi yang perlu diteliti secara objektif.
Antara impak yang dikenal pasti bakal berlaku jika acara tersebut diteruskan adalah, risiko berlakunya pelanggaran norma kesopanan dan batas sosial dek percampuran sosial tanpa garis panduan jelas.
Selain itu, Dr. Abdul Mua’ti turut melihat dari segi keselamatan dan kawalan ketenteraman awam kerana selama ini di persepsi antarabangsa, Malaysia berimej sebagai negara beradab dan berprinsip.
“Pendekatan tadbir urus yang baik menuntut setiap acara awam dinilai bukan hanya dari sudut tarikan pelancongan, tetapi juga kesan jangka panjang terhadap struktur sosial dan nilai kemasyarakatan.
“Tambahan pula sekarang ini Agenda Pembangunan Belia dan Produktiviti Negara Malaysia sedang berdepan cabaran pembinaan sahsiah generasi muda. Dalam suasana ini, negara perlu berhati-hati agar tidak secara tidak langsung mempromosikan budaya hedonistik yang mengutamakan hiburan tanpa dimensi pembinaan akhlak dan disiplin.
“Pembangunan belia seharusnya diperkukuh melalui program yang membina daya tahan mental, kepemimpinan, inovasi, tanggungjawab sosial serta kerohanian, ia bukan sekadar aktiviti bermusim yang berisiko melalaikan,” katanya melahirkan rasa bimbang tentang masa depan belia.
Bagaimanapun kata beliau, MBWN tidak menolak prinsip kepelbagaian budaya. Namun, terdapat perbezaan yang jelas antara menghormati kewujudan sesuatu budaya dengan mengangkatnya sebagai acara utama di ruang awam ikonik negara.
“Dalam era globalisasi, negara yang kukuh ialah negara yang memiliki sempadan nilai yang jelas. Keterbukaan tidak boleh bermaksud kehilangan keutamaan identiti.
“Pihak berkuasa harus menilai semula penganjuran Pesta Songkran di lokasi utama seperti Bukit Bintang.Sebaliknya, utamakanlah program kebudayaan tempatan yang memperkukuh jati diri nasional.
“Perlu menetapkan garis panduan yang lebih ketat bagi mana-mana acara awam agar selari dengan prinsip kesopanan, keselamatan dan sensitiviti masyarakat. Malaysia harus bergerak ke hadapan sebagai negara yang matang, berprinsip dan
berbudaya tinggi.
“Kemajuan bukan sekadar diukur melalui kemeriahan acara, tetapi melalui kekuatan identiti, kestabilan sosial dan keteguhan nilai. Negara berdaulat dibina atas jati diri, bukan sekadar sensasi,” katanya lagi.
Dulu sewaktu Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir memegang jawatan menteri untuk kementerian tersebut, Malaysia cukup dikenali oleh pelancong luar menerusi acara Citrawarna.
Menerusi perarakan Citrawarna, pelancong yang hadir dapat melihat kepelbagaian budaya Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Apa yang dipersembahkan sewaktu Citrawarna tidak berlaku di negara lain dan sebab itulah kenapa ramai mahu bertandang ke Malaysia untuk melihat keistimewaan negara kita.


