Oleh : Nafsiah Jani
KELAB bola sepak selebriti Hong Kong, FC3 Club bakal kembali ke Malaysia bagi menjayakan perlawanan amal ‘The Bridge of Legends Hong Kong Celebrities Football Friendly Match’ menentang Selangor FC Legends di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 10 Oktober depan.
Perlawanan bola sepak amal anjuran Orange Leisure Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pew Pew Resource itu nanti bakal menghimpunkan bintang-bintang Hong Kong dan legenda bola sepak Selangor. Sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada Make-A-Wish Malaysia bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.
Majlis pelancaran disaksikan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Datuk Lee Chong Haw penasihat Selangor FC Legends, Aladdin Mostafa, Ketua Pegawai Operasi Selangor FC Legends, Irene Tan (CEO Make-A-Wish Malaysia), Datin Karen Liew (Ahli Lembaga Pengarah Make-A-Wish Malaysia), Jimmy Goh (Pengarah Urusan Orange Leisure, Winnie Ng (Pengurus Besar Orange Leisure dan Ms. Pang, CEO dan penganjur Bersama Pew Pew Resource.

FC3 Club mempunyai hubungan istimewa dengan Malaysia kerana kelab itu ditubuhkan ketika penggambaran drama Hong Kong Fearless di negara ini pada 2024 sebelum berkembang menjadi sebuah pasukan yang kini dianggotai lebih 20 pelakon, penyanyi dan penggiat industri hiburan.
Carlos Chan, Locker Lam, Adrian Chau, Tony Wu dan bekas pemain antarabangsa Hong Kong, Kumar So menyifatkan Malaysia sebagai “tempat kelahiran” FC3 Club.
“Segalanya bermula di Malaysia dan kini kami kembali semula untuk beraksi dalam perlawanan yang bakal memberikan makna yang cukup istimewa kepada kami,” kata mereka pada sidang media di Kuala Lumpur.

Kelab yang berteraskan falsafah Standing Strong at Thirty ini menekankan persahabatan, semangat berpasukan dan gaya hidup sihat.
Antara pemain yang bakal mengambil bahagian ialah Kaho Hung, Jer Lau (Jer@MIRROR), Carlos Chan, Tony Wu, Adrian Chau, Edward Ma, Elvin Wong, Jonathan Li, Terry Ng, Kumar So dan Locker Lam yang akan bertindak sebagai kapten pasukan.
Locker Lam berkata, cabaran terbesar kami adalah mengumpulkan semua pemain untuk menjalani latihan kerana masing-masing mempunyai jadual penggambaran yang padat.

“Walaupun sukar mengumpulkan semua orang untuk berlatih, melihat persahabatan yang terjalin dan perkembangan kelab ini menjadikan segala usaha amat berbaloi,” katanya.
Dalam perlawanan amal itu nanti, FC3 Club bakal menentang pasukan Selangor FC Legends yang memiliki rekod 33 kejuaraan Piala Malaysia dan merupakan pasukan legenda dan kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Jualan tiket akan dibuka pada 30 Julai bermula pukul 12 tengah hari dengan harga RM368, RM168, RM98 dan RM68 mengikut kategori, tidak termasuk caj tempahan. Tiket boleh dibeli menerusi platform Fantopia.io, Maoyan dan uutix.


