Oleh: Khadijah Ibrahim
Selepas lebih dua dekad tidak muncul dengan lagu baharu, kini penyanyi legenda Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty, 67, kembali dengan single “Ibu Doa”.
Penyanyi yang sinonim dengan lagu malar segar “Doa Buat Kekasih” duet bersama Datuk Ramli Sarip, “Ku Gembira Di Samping Mu”, “Ku Pendam Sebuah Duka”, “Ku Sangka Siang Kiranya Malam” dan “Mengapa Aku Disalahkan” memilih untuk bekerjasama dengan bakat baharu.
Beliau yang senang membahasakan diri sebagai Ibu berkata, pertama kali mendengar lagu dan lirik yang ditulis oleh Baizura Tazri, hatinya telah tersentuh kerana karya itu bercerita tentang perasaan seorang ibu.
Jelas Khadijah, sebelum bersetuju untuk merakam lagu ciptaan Baizura atau Wawa itu, beliau mempunyai perancang untuk kembali bekerjasama dengan Tan Sri Ahmad Nawab dan berduet dengan Datuk Ramli Sarip, namun aturan Allah menentukan beliau merakam lagu “Ibu Doa” terlebih dahulu.

“Banyak kali sebelum Abang Mat meninggal, kita selalu berbincang untuk membuat album tapi tidak kesampaian. Saya juga kerap berbincang dengan abang Ramli Sarip yang mana kita akan keluarkan lagu seperti “Doa Buat Kekasih” tapi tidak kesampaian.
“Tapi satu hari tu agaknya bila kita sibuk bekerja kita akan rasa rindu pada anak. Terbitnya lagu “Ibu Doa” ini kerana Ibu selalu bersama Baizura dan kita dapat rasai bagaimana seorang ibu kehilangan anak. Bagaimana seorang ibu yang risau tentang anaknya dan bagaimana ibu mencari anak dan ini memainkan emosi yang berat kepada setiap ibu.
“Baizura ni kawan Siti Hajar, sejak kecil dia dah sama Ibu. Sebelum ini Ibu pernah bekerjasama dengan Baizura sewaktu buat lagu, “Syukurnya Raya, Vit’s Kan Ada” dengan jenama Vit’s pada 2024 dan ramai yang tonton di YouTube,” jelas Khadijah.
Tambahnya, selepas mendapat lagu tersebut beliau merasa sedih sebab dapat merasai apa yang diperkata oleh Baizura tentang perasaan seorang ibu menerusi karya tersebut.
“Baizura bagi Hajar dengar dulu dan pertama kali dengar lagu tu Ibu dah menangis. Ibu nekad untuk rakam lagu ini sebab Ibu dapat menjiwainya.
“Ingat senanglah nak rakam lagu ini bila dah selalu dengar tapi lain pula jadinya. Bila dapat lagu ini Ibu rasa sedih, enam bulan ibu tak boleh nyanyi lagu ini. Asyik menangis saja.
“Ibu ingat ibu sorang je menangis, rupa-rupanya kekawan yang naik kereta sama ibu pun akan menangis bila dengar lagu ini kerana mereka dapat rasai lirik dan melodi lagu tersebut.

Ibu rasa kalau kita bukan seorang ibu pun bila kita letak diri kita sebagai ibu akan dapat rasai betapa sedihnya hidup seorang ibu. Doa itu adalah untuk anak-anak,” katanya.
Memandangkan lagu ini berkisar tentang perasaan seorang ibu yang sentiasa doakan anak-anak berada dalam keadaan baik-baik saja, Khadijah yakin lagu “Ibu Doa” dapat diterima oleh para ibu tanpa mengira bangsa dan agama.
Katanya, “Ibu Doa” adalah lagu yang dapat sampaikan kepada ibu-ibu dan anak-anak yang selalu membuatkan ibu-ibu tidak dapat tidur di waktu malam kerana selalu memikirkan tentang keadaan anak-anak.
Tegasnya, setiap ibu pasti sering diterjah dengan 1000 macam persoalan tentang anak-anak.
Antara yang sering berputar di minda jika si anak tidak berada di hadapan mata ibu adalah, anak sihat ke, anak kemalangan ke, anak mabuk ke, anak makan dadah ke, anak langgar orang ke?
“Ibu ni banyak berfikir. Kita sebagai ibu sentiasa menerima apa saja dan diberikan satu cabaran dalam kehidupan dan kita perlu terima apa saja yang anak-anak lakukan di dunia ini kita terima sebagai seorang ibu.
“Kadang-kadang bila kita tidak mampu membuatkan sesuatu lagi, apa yang kita mampu buat ialah berdoa siang malam. Kalau anda faham, lagu itu bercerita tentang doa buat seorang anak, Ibu yakin lagu ini boleh diterima pelbagai bangsa kerana di Malaysia ni masih ramai yang boleh berbahasa Melayu. Tak kira bangsa dan agama kerana ibu ni memainkan banyak peranan dalam keluarga,” ulasnya yang sudah 48 tahun terlibat dalam bidang seni.

Khadijah harap anak-anak yang mendengar lagu ini dapat memahami apa yang tersirat di hati setiap ibu dan menghargai mereka sebelum terlambat.
Lagu yang diterbitkan oleh Jasmine Raj Production itu diharap dapat dijadikan runut bunyi untuk mana-mana drama.
Selain “Ibu Doa”, Khadijah mempunyai tiga lagi lagu solo yang bakal dikeluarkan, serta lagu duet bersama Ramli Sarip.
“Ibu ada tiga lagu lagu tapi dengan abang Ramli ada empat lagu. Ibu nak fokus pada tiga lagu tu dulu sebab anak ibu pun ada tulis lagu untuk ibu, juga mengenai ibu tapi dalam bahasa Inggeris.
“Kita tengok dulu macam mana penerimaan “Ibu Doa” dulu dan kemudian Ibu akan teruskan dengan lagu Inggeris tu,” katanya yang merancang untuk menjayakan konsert pada tahun depan.
Jika perancangan untuk mengadakan konsert berjalan lancar, antara artis jemputan yang terpahat dimindanya untuk diundang adalah rakan-rakan baiknya.
“Memang rancang nak konsert solo tahun depan tapi bukan awal sebab perlukan persiapan yang rapi. Penyanyi jemputan Ibu mestilah kawan-kawan Ibu, abang Ramli, Jamal Abdillah, M.Nasir dan Ibu nak lantik Datuk Freddie Fernandez sebagai pengarah muzik konsert itu.
“Ibu nak buat konsert mega sebab permintaan peminat dan penaja. Tapi kita tak naklah buat sekadar konsert, tapi kita nak buat konsert once in a lifetime. Macam Michael Jackson dia tak ulang konsert yang sama,” kongsinya tentang perancangan karier seninya itu.


