Oleh: Khadijah Ibrahim
SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan 2026 ke-69 tahun, yang berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026, Siti Khadijah, jenama telekung premium buat pertama kalinya menyertai perbarisan, atas jemputan agensi kerajaan, sebagai sebahagian daripada Sektor Ekonomi di bawah Kluster 5: Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat.
Penyertaan tersebut bukan aktiviti pemasaran, sebaliknya membawa makna tersendiri buat Siti Khadijah sebagai sebuah jenama tempatan yang telah berkembang bersama masyarakat dan ekonomi Malaysia selama 17 tahun sejak ditubuhkan pada 2009 oleh pengasas, Padzilah Enda Sulaiman.
Padzilah merupakan seorang suri rumah yang memulakan perniagaan pada usia 46 tahun, kini berjaya membuka 65 buah kedai di seluruh negara yang dikendalikan oleh lebih 600 warga kerja tempatan.

Perjalanan daripada sebuah perniagaan tempatan kepada sebuah organisasi yang menyediakan peluang pekerjaan dan membina ekosistem perniagaan tempatan menjadikan penyertaan ini lebih daripada sekadar berada dalam sebuah perbarisan nasional.
Sebaliknya, ia membawa bersama kisah tentang bagaimana sebuah idea kecil boleh berkembang, membuka peluang dan memberi sumbangan kepada ekonomi rakyat.
“Bagi kami, jemputan untuk menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan ini merupakan satu penghargaan yang cukup bermakna. Siti Khadijah bermula kecil, tetapi berkembang kerana sokongan masyarakat Malaysia dan usaha warga kerja kami selama 17 tahun.

“Hari ini, kami bukan sekadar membawa nama Siti Khadijah dalam perbarisan. Kami membawa bersama sebuah perjalanan yang dibina oleh anak-anak tempatan dan kepercayaan rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin.
Seramai 47 warga Siti Khadijah mengambil bahagian dalam kontinjen tahun ini selepas melalui tujuh sesi latihan sebagai persediaan menjelang 31 Ogos.
Menambah identiti tersendiri kepada penyertaan tersebut, kontinjen Siti Khadijah tampil dengan konsep “Geng Masjid”, diinspirasikan daripada sesuatu yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia — pakaian ke masjid.

Kontinjen wanita tampil dalam persalinan telekung dan sarung suri manakala kontinjen lelaki mengenakan kain pelikat dan kurta.
Bagi Siti Khadijah, penyertaan ini menjadi satu momen untuk meraikan bukan sahaja perjalanan sebuah jenama, tetapi juga semangat keusahawanan tempatan, peluang pekerjaan dan kemampuan perniagaan Malaysia untuk terus berkembang bersama rakyat.


