Oleh: Khadijah Ibrahim
PASTI Malaysia Cliquers atau peminat kumpulan Ungu masih lagi bercerita tentang persembahan band yang berasal dari Indonesia itu.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 dan berasal dari Jakarta itu sudah ‘berusia’ 30 tahun dalam bidang seni.
Justeru itu, sempena konsert terkini mereka di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 September baru-baru ini kumpulan tersebut memilih tema “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”.

Untuk makluman, Dasawarsa bermaksud tempoh masa sepuluh tahun atau dekad. Perkataan Dasawarsa berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu dasa yang bermaksud “sepuluh” dan warsa membawa maksud “tahun”.
Konsert anjuran COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment, diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu pada tahun ini.
Kehadiran hampir 4,000 penonton pada malam itu membuktikan karya dan muzik kumpulan yang dianggotai oleh Pasha selaku vokalis, Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram) terus dekat di hati peminat Malaysia selepas tiga dekad.

Boleh dikatakan setiap bait lagu yang dinyanyikan oleh Pasha atau Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 47, turut didendangkan bersama oleh penonton yang larut dalam perjalanan muzik Ungu yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Ungu memulakan persembahan pada 8.50 malam dan memilih lagu popular biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu “Cindai” sebagai pembuka tirai.
Pasha yang mengenakan baju Melayu beserta tanjak itu, turut menarik perhatian penonton kerana selain menyanyikan lagu tradisional tersebut, beliau juga melakukan persembahan silat di atas pentas.

Beliau kemudian meneruskan persembahan dengan lagu “Cinta Gila”, “I Need You”, “Ciuman Pertama”, “Hampa Hatiku” dan “Percaya Padaku”.
Persembahan kemudiannya bergerak ke sisi lebih romantik dan emosional menerusi “Sejauh Mungkin”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, sebelum penonton kembali dibuai nostalgia menerusi “Gerimis Mengundang”, “Andai Ku Tahu” dan “Bila Tiba”.
Setiap lagu seolah-olah membuka kembali satu bab dalam kehidupan para peminat, daripada kisah cinta, kehilangan, harapan sehinggalah kenangan yang pernah menjadi latar perjalanan mereka.
Antara detik paling dinantikan penonton pada malam itu adalah untuk menonton kolaborasi Pasha dengan penyanyi undangan, Marsha Milan.

Duet pertama mereka adalah lagu religi “Bismillah Cinta” yang ditulis oleh Pasha, dendangan beliau bersama Lesti Kejora yang dikeluarkan pada 2021.
Kemudian Pasha dan Marsha disatukan menerusi lagu “Tercipta Untukku” yang dikeluarkan pada 2005 menerusi album studio ketiga Ungu iaitu “Melayang”. Malah lagu itu juga pernah dihasilkan semula dalam versi kolaborasi antara Pasha dengan Rossa.
Kemunculan Marsha disambut sorakan gemuruh, sebelum kekuatan vokal dan penghayatan kedua-dua pihak menghasilkan dua persembahan yang penuh chemistry dan emosi.
Bagi Marsha, peluang berkongsi pentas bersama Ungu dalam sambutan tiga dekad mereka merupakan sebuah pengalaman yang cukup istimewa.
“Saya sangat teruja dan terharu kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada malam yang begitu bermakna buat Ungu dan peminat mereka.

“Lagu-lagu Ungu sudah begitu dekat dengan hati ramai orang, jadi dapat menyanyikannya bersama mereka di hadapan ribuan peminat adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” kata Marsha.
Selepas segmen istimewa bersama Marsha, Ungu kembali menguasai pentas menerusi “Utara – Selatan”, “Aku Tahu” dan “Kekasih Gelapku”.
Namun, kemuncak nostalgia hadir apabila “Demi Waktu” dipersembahkan. Hampir seluruh ruang Idea Live Arena bergema dengan nyanyian ribuan peminat yang menghafal setiap lirik, mencipta salah satu momen paling mengesankan sepanjang malam.
Buat Pasha, sambutan tersebut menjadi bukti bahawa perjalanan tiga dekad mereka bukan hanya mengenai pencapaian kumpulan, tetapi juga hubungan yang dibina bersama peminat.
“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang. Ada banyak cerita, cabaran dan kenangan yang kami lalui. Tetapi apabila melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu-lagu kami bersama-sama, kami rasa sangat bersyukur. Mereka adalah sebahagian daripada perjalanan Ungu,” ujar Pasha.

Sebagai lagu penutup, Ungu memilih “Seperti Mati Lampu”, sekali gus mengakhiri persembahan dalam suasana penuh tenaga, sorakan dan kegembiraan.
Sebagai lagu penutup, Ungu memilih “Seperti Mati Lampu”, sekali gus mengakhiri persembahan dalam suasana penuh tenaga, sorakan dan kegembiraan.
Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio, sambutan luar biasa daripada peminat menjadikan malam tersebut satu pencapaian yang amat bermakna.
“Kami sangat bersyukur hampir 4,000 peminat hadir untuk meraikan tiga dekad Ungu bersama-sama. Dari awal, kami mahu menghasilkan sebuah konsert yang bukan sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang meninggalkan kenangan.
“Melihat peminat menyanyi, tersenyum dan menghayati setiap lagu bersama Ungu malam ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran Marsha turut memberikan dimensi istimewa kepada keseluruhan persembahan.
“Kolaborasi Marsha bersama Ungu benar-benar menjadi salah satu detik istimewa malam ini. Ia memberikan warna yang berbeza dan pada masa sama memperlihatkan bagaimana muzik mampu menyatukan artis dan peminat merentasi generasi,” ujarnya.


