Oleh: Khadijah Ibrahim
TATKALA mendengar Amir Masdi menyanyi secara langsung, pasti ada yang mengagumi vokal beliau.
Siapa sangka juara program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF) itu tidak pernah ada impian untuk menjadi penyanyi walaupun suka menyanyi sewaktu bermain games online atau permainan dalam talian.
Amir sempat berkongsi rahsia bagaimana beliau terlibat dalam bidang seni suara hingga boleh menyertai AF.
“Alhamdulillah, dah 10 tahun dalam industri sejak saya keluar dari AF 2016. AF ini ibarat birthday of my career kerana di situ lahirnya Amir seorang penyanyi. Kalau tak ada AF saya tak akan menyanyi.

“Saya sertai AF pun bukan atas kehendak sendiri tapi sebab mak yang minta saya pergi uji bakat AF. Tiga kali dia minta saya untuk masuk uji bakat.
“Pertama saya tak nak sebab tak ada keyakinan sebab tak pernah perform depan orang ramai. Waktu itu saya rasa saya tak mampu melakukan perkara yang saya tak pernah buat. Kedua dia minta lagi tapi saya masih tak nak kerana tak berani.
“Yang ketiga, saya rasa bila mak dah request tiga kali, saya rasa nak buat dia gembira dan penuhi keinginannya. Tak adalah rasa nak jadi penyanyi. Saya pergi dengan niat nak buat emak saya gembira, sebagai anak saya nak penuhi permintaan dia saja.
“Alhamdulillah masa uji bakat yang pertama kali saya pergi itu saya dapat masuk AF. Sampai minggu ketiga saya macam tak percaya masih ada dalam AF lagi. Nampak macam ramai juga yang bagi maklum balas positif.

“Jadi saya fikir, kenapa tidak saya buat seriously dan mungkin ini jalan saya sebenar. Alhamdulillah, dengan doa dan berkat ibu bapa dan sokongan kawan-kawan, saya nampak jalan ini adalah jalan yang sepatutnya saya kejar, sampai sekarang sudah 10 tahun saya dalam bidang ini,” kongsi Amir tentang kisah silamnya sebelum bergelar penyanyi.
Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 30, yang bakal menjayakan persembahan AM:PM Showcase, di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Disember 2026, tidak menafikan perjalanan kerjaya seninya bukanlah mudah, namun beliau tidak menyesal.
“Ini bukan perjalanan mudah, memang sukar untuk saya. Sangat berliku tapi saya bersyukur sebab dapat tempuhi pelbagai cabaran dan timba banyak ilmu.
“Kawan-kawan saya kat sekolah paling tak percaya, ini bukankah budak yang tak bercakap dulu kat sekolah? Saya sangat reserved dulu kat sekolah. Malah pada sambutan Hari Guru dulu pun saya tak pernah buat persembahan.

“Justeru itu saya anggap AM:PM Showcase sebagai hadiah penghargaan kepada semua yang terus percaya dan menyokong perjalanan muzik saya selama ini.
“Saya mahu setiap individu yang hadir merasakan hubungan yang lebih dekat dengan setiap lagu dan cerita yang dibawakan sepanjang persembahan.
“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM:PM Showcase menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.
“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.

“Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Amir turut mengakui keterujaannya untuk kembali bertemu peminat dalam sebuah persembahan berskala eksklusif yang memberi ruang untuk beliau berinteraksi dengan lebih dekat, selain mempersembahkan lagu-lagu yang membentuk perjalanan kerjaya seninya.
Tiket bagi AM:PM Showcase boleh didapati dalam pelbagai kategori iaitu, VIP (Seated) RM254, CAT 1 (Seated) RM204, CAT 2 (Seated) RM184, CAT 3 (Seated) RM154, dan CAT 4 (Standing) RM104.
Bagi peminat yang ingin menikmati pengalaman lebih eksklusif di BOX (Seated), tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 011-
5996 3265.
Klik di sini bagi pembelian tiket Amir Masdi AM:PM Showcase :
https://www.myticketempire.com/amirmasdiampm


