Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU orang sebelah utara sebut ‘kasut Jepun’, itu bukan bermaksud kasut tersebut dibeli dari Jepun ya. Sebenarnya ‘kasut Jepun’ merujuk kepada selipar, meskipun produk itu dibuat di Malaysia.
Salah satu selipar atau kasut getah asli yang berasal dari Malaysia adalah jenama Fipper. Selipar ini diperbuat dengan menggunakan formula getah asli eksklusif dengan logo ikonik gajah dan rekaan dwiwarna.
Jenama Fipper diasaskan oleh Jack Lim bersama tiga orang rakannya sekitar 2008. Sejak penubuhannya, Fipper telah berkembang menjadi jenama yang mempunyai 150 cawangan utama di 20 negara, termasuk pembukaan 40 cawangan baharu di Indonesia sejak pertengahan tahun 2025.
Bersempena ulang tahun ke-18 penubuhannya, produk tersebut melakar satu lagi pencapaian penting menerusi perasmian ibu pejabat baharunya di Balakong Jaya, Selangor yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Pembukaan ibu pejabat baharu tersebut, melambangkan perjalanan dan perkembangan Fipper sepanjang 18 tahun, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi serta pengukuhan operasi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Bangunan tersebut turut menempatkan Fipper Experience Centre, sebuah ruang interaktif yang mengetengahkan sejarah dan pencapaian jenama melalui reka bentuk kreatif, termasuk lantai unik yang dihasilkan menggunakan tapak selipar Fipper.
Ketua Pegawai Eksekutif Fipper, Jee Von, berkata pencapaian tersebut merupakan hasil sokongan berterusan warga kerja, rakan perniagaan dan pelanggan.
“Ketika Fipper bermula 18 tahun lalu, impian kami cukup sederhana, iaitu menghasilkan kasut yang tahan lasak, selesa dan berkualiti tinggi berasaskan getah asli.

“Hari ini, Fipper telah berkembang dengan rangkaian 150 cawangan utama di 20 negara. Ibu pejabat baharu ini menjadi simbol perjalanan dan usaha bersama seluruh warga Fipper,” katanya.
Tambahnya, sempena majlis perasmian tersebut, Fipper turut melancarkan Kuala Lumpur Travel Passport, sebuah inisiatif baharu yang bertujuan mempromosikan tarikan pelancongan, menggalakkan penerokaan sekitar Kuala Lumpur serta menyokong perniagaan tempatan.
“Inisiatif yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Hannah Yeoh , ini memanfaatkan rangkaian peruncitan Fipper sebagai platform untuk memperkenalkan pengalaman pelancongan di ibu negara, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026,” ulas Jee Von.
Sementara itu, Hannah Yeoh turut memuji inisiatif Fipper sebagai satu usaha positif daripada jenama tempatan dalam mencipta pengalaman yang mampu meninggalkan kenangan bermakna kepada pelancong yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

“Kadangkala, perkara kecil yang membuatkan seseorang mengingati sesebuah bandar. Mungkin kerana makanan yang enak, layanan mesra peniaga, sesuatu yang dibeli ketika melancong, malah sepasang selipar.
“Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana perniagaan tempatan boleh memainkan peranan dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah destinasi yang terus diingati oleh para pengunjung,” kata Hannah Yeoh.
Beliau turut menyambut baik usaha Fipper dalam menghubungkan pengalaman
membeli-belah dengan promosi pelancongan, sekali gus memberi nilai tambah kepada industri pelancongan dan perniagaan tempatan.

Passport, inisiatif yang bertujuan mempromosikan tarikan pelancongan tempatan
Selain Kuala Lumpur Travel Passport, Fipper turut memperkenalkan Fipper Monster Resort Blind Box, sebuah konsep koleksi karakter dengan pengalaman permainan digital interaktif, serta melancarkan kolaborasi Fipper | Montigo Tumbler sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penawaran produk gaya hidup.
Dengan pembukaan ibu pejabat baharu dan pengenalan inisiatif strategik ini, Fipper terus komited untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jenama Malaysia yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, di samping menyumbang kepada
pembangunan ekonomi dan industri pelancongan negara.


