Oleh : Syed Yusof Wafa
Sungguh luar biasa, selepas mencipta sejarah menerusi konsert berskala besar yang mendapat sambutan luar biasa awal tahun ini, Biduanita Negara Siti Nurhaliza kembali menggembirakan peminat apabila mengumumkan penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara yang bakal berlangsung pada 17 Oktober depan di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi perkongsian di Instagran miliknya baru-baru ini yang turut disertakan dengan sesi siaran langsung bersama peminat. Dalam siaran itu, Siti menghiburkan pengikutnya dengan mendendangkan lagu Joget Berhibur sebelum berkongsi berita istimewa mengenai konsert berkenaan.
Menurut Siti, penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara merupakan hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selain usaha untuk mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus relevan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat.
“Sebenarnya hari ini saya mahu kongsikan satu berita istimewa. Saya ingin umumkan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober.

“Harap semua gembira dan apabila tiket mula dijual nanti, jangan lupa dapatkan. Kita raikan bersama irama tradisional menerusi Gema Bumantara,” katanya.
Tiket Konsert Tradisional Gema Bumantara Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini telah dibuka untuk jualan umum. Peminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi platform rasmi Ticket2U, dengan beberapa kategori tempat duduk ditawarkan mengikut harga yang ditetapkan. Orang ramai disaran membuat pembelian lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan setiap konsert Siti sebelum ini sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Dalam perkongsian yang sama, penyanyi lagu Anta Permana itu turut menyampaikan serangkap pantun yang menggabungkan beberapa judul lagu tradisional yang cukup sinonim dengan dirinya sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.
“Kain Cindai bersulam sembilan,
Indah bagai Sahmura berwarna,
Hati Yang Rindu kita pertemukan,
TM Stadium Nasional bergema Bumantara.”
Siti berkata, konsert tersebut bakal menjadi platform untuk memperkukuhkan apresiasi masyarakat terhadap muzik tradisional yang menjadi antara khazanah seni paling berharga negara.

Menurutnya, irama tradisional bukan sahaja mempunyai nilai warisan yang tinggi malah perlu terus dipelihara dan diraikan supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Saya juga berharap Tourism Malaysia dapat memberikan kerjasama dalam mempromosikan Konsert Tradisional Gema Bumantara ini sebagai salah satu acara yang mampu memperkenalkan keunikan seni budaya Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Mudah-mudahan usaha ini dapat bersama-sama mengangkat warisan muzik tradisional negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada Wafa News yang ditemui di sidang media anjuran CocKoo baru-baru ini.
“Jangan lepaskan peluang untuk kita sama-sama meraikan irama warisan kita.
“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, selamanya menjadi nadi dalam suara tradisi zaman berzaman,” katanya.
Konsert Tradisional Gema Bumantara dijangka menjadi antara acara muzik terbesar tahun ini memandangkan Siti mempunyai rekod cemerlang dalam menarik kehadiran peminat ke setiap konsert yang dianjurkannya.
Pada 10 Januari lalu, beliau melakar sejarah apabila Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus membuktikan pengaruh dan popularitinya yang terus kukuh dalam industri hiburan tanah air.
@divawafa Terbaik!… Konsert Tradisional Siti Nurhaliza Demi Budaya Bangsa & Negara Tercinta ! #sitinurhaliza #sitizoner #ctdk #gemabumantara ♬ original sound – KerokNasik🎧🎶


