Oleh: Khadijah Ibrahim
SEJAK 28 Ogos lalu, tapak Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berpusat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor tak henti dikunjungi orang ramai.
Memang sesak tapi jangan risau kerana 10,000 tapak pakir disediakan untuk pengunjung dan turut disediakan kemudahan bas serta tram ulang-alik percuma untuk bergerak dari satu zon ke zon lain kerana sepanjang acara berlangsung pengunjung boleh singgah ke 2,000 pempamer atau tapak niaga/vendor di seluruh tapak penganjuran.
Sejak 2006, MAHA mula diadakan di tapak tetapnya di MAEPS Serdang dan setiap hari pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung.

Pada 2 September lalu, penulis sempat pergi ke MAHA pada waktu malam untuk tengok persembahan Wani Kayrie, Asmidar dan Wany Hasrita sempena konsert ‘Rhythm Of The Farmers’ (ROTF) yang berlangsung di Pentas Utama ROTF, MAEPS, Serdang.
Tak sangka pula, individu yang diberi tanggungjawab untuk menjadi pengacara setiap kali konsert berlangsung ialah Zoey Rahman.
Berdasarkan pengalamannya mengendali program ‘Gerak Geri Gasing’ sebelum ini, Zoey tidak memerlukan skrip untuk memastikan acara tersebut berjalan lancar.

Zoey menjalankan tangungjawabnya dengan santai dan berinteraksi dengan penonton berdasarkan isu semasa dan apa yang berlaku di depan mata.
Pada malam Cultural Night (Malam Tradisional / Irama Malaysia), tirai persembahan dimulakan dengan Nusantara Drum sebelum Wani Kayrie tampil di pentas kira-kira pukul 9.10 malam dengan mendendangkan lagu baharunya, “Pulang”, ciptaan bersama dengan
Iqie Hugh dan Aniq Iffat.
Untuk lagu kedua, Wani Kayrie atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, yang berasal dari Sandakan , Sabah memilih lagu “Original Sabahan” kerana lirik lagu tersebut mengangkat tema kebanggaan sebagai anak jati Sabah.

Wani Kayrie yang sebelum ini bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40) dalam kategori lagu etnik atau irama Malaysia menerusi lagu “Cak Cak Cekuk” turut mendendangkan lagu tersebut pada malam itu.
Dapat dilihat lagu ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh itu turut disukai oleh anak-kanak yang turut menyanyi dan menari sewaktu Wani Kayrie persembahkan di pentas.
“Terima kasih semua kerana sudi hadir. Anda membawa semangat positif walaupun hari kerja,” katanya bangga dengan kehadiran penonton.

Penyanyi kedua yang diundang untuk memeriahkan Cultural Night ialah Asmidar. Beliau memulakan persembahan dengan lagu “Biar Sampai Ke Bintang” yang dipetik daripada album pertamanya, “Kali Pertama” yang diterbitkan pada 2011.
Pada malam itu lagu ciptaan Ajai yang berentak pop balada itu telah digubah menjadi versi keroncong kerana irama tradisional tetap menjadi jiwa dan keutamaannya.
Kemudian Asmidar atau nama penuhnya, Norhasmidar Ahmad, 40, meneruskan persembahan dengan lagu “Kurek Kundi” dan “Joget Kenangan Manis”.

Beliau yang sibuk mempromosi single baharu “Srikandi” yang merupakan runut bunyi untuk telefilem epik keluaran RTM itu berkata, kehadiran pengunjung ke MAHA bukan sekadar untuk membeli-belah tapi juga berpeluang mengenali sesuatu yang baharu.
“Bagi yang suka bercucuk tanam, datanglah ke sini kerana anda akan temui pokok yang jarang dilihat. Banyak perkara baharu dapat kita rasai,” katanya berkongsi pengalaman.
Selepas Asmidar, Wany Hasrita pula mengambil alih pentas dengan mendendangkan lagu “Lembayung Tari” sebagai tanda perkenalan kepada penonton.

Menariknya ketiga-tiga penyanyi wanita pada malam itu bukan sekadar mendendangkan lagu yang diminati penonton, malah penampilan mereka juga memukau penonton dengan busana tradisional.
Jika Wani Kayrie dan Asmidar hanya mendendangkan tiga buah lagu, Wany Hasrita ‘tapau’ lima lagu. Kalau ikut senarai, selepas lagu pertama, Wany Hasrita meneruskan persembahan dengan lagu “Canggung” dan disudahi dengan lagu popularnya “Menahan Rindu”.
Tapi penyanyi yang nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 34, telah ‘membelanja’ penonton dengan dua lagu tambahan iaitu “Empat Dara” dan disudahi dengan lagu dangdut “Yang Penting Happy”.

Ketiga-tiga penyanyi amat menghargai penonton dan sanggup turun pentas untuk berduet dengan peminat mereka.
Selain menonton persembahan artis, penonton yang hadir juga berpeluang mendapat hadiah menerusi cabutan bertuah setelah mendaftar secara atas talian.
Sehingga hari keenam 1.87 juta pengunjung direkodkan hadir ke MAHA dengan jumlah kenderaan keluar masuk mencecah 375,000.

Penganjur menyasarkan empat juta pengunjung hadir sebelum acara berakhir pada 6 September dan sasaran jualan RM58 juta.
Bagi yang belum berkunjung ke MAHA 2026, jangan lepaskan peluang kerana di situ anda berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam, masuk adalah percuma.


