Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA 25 Disember ini usianya baru mencecah 24 tahun, namun Siti Nur Alyssa Sahabudin atau lebih dikenali dengan nama Iman Troye sudah mampu menjana pendapatan sehingga RM2.5 juta pada tahun lalu.
Sedangkan Iman baru saja lapan tahun membabitkan diri dalam bidang seni, kita yang bekerja lebih daripada itupun belum berjaya mencapai pendapatan sedemikian.
Namun begitu, kita semua patut bersyukur kerana Allah sentiasa melimpahkan rezeki tanpa putus walaupun tidak semewah orang lain.
Justeru itu, perlu bijak mengurus harta benda kerana hidup ini ibarat roda, ada masa di atas dan di waktu lain di bawah.

Iman yang merupakan artis pertama yang ditandatangani oleh XO House dan menjadi antara wajah utama label tersebut, menganggap apa yang diperolehinya itu hasil daripada kerja kerasnya.
Dengan pengalaman selama enam tahun bersama XO House dalam industri muzik dan hiburan tempatan, beliau telah membina nama menerusi muzik, personaliti serta kerjasama bersama pelbagai jenama multinasional.
Pencapaian RM2.5 juta pada tahun 2025 mencerminkan daya tarikan komersial dan pengaruhnya sebagai seorang artis dan penghibur.
Pada tahun lalu Iman tampil dengan single “Janji Happy Raya”, “Rahsia Si Kemboja” dan “Kita”. Malah beliau juga dilantik sebagai duta untuk sebuah jenama siri telefon pintar pada penghujung 2025.
Malah beliau juga pernah menjadi duta bagi Pusat Peningkatan Akademik (PTTI) yang sering turun padang menerusi siri jelajah serta menyuntik semangat pelajar untuk meningkatkan gred peperiksaan.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamid mengakui penyanyi itu mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam XO House.
“Iman merupakan artis pertama yang kami tandatangani ketika kami memulakan perjalanan ini. Saya kenali dia sejak usia 17 dan sekarang dah 24 tahun.
“Selama tujuh tahun ini memang baik untuk Iman. RM2.5 juta bukan mudah untuk dapat dan kami bangga dengan kejayaan Iman pada 2025. Tahun ini lebih daripada tahun lepas.
“Melihat sejauh mana dia telah berkembang daripada permulaan kerjayanya bersama kami sehingga mencapai RM2.5 juta hasil pendapatan pada tahun 2025, merupakan sesuatu yang sangat membanggakan bagi saya.
“Kami telah melihat perkembangan Iman bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai penghibur dan bakat komersial yang kuat.
“Pengiktirafan sebagai Diamond Artist ini mencerminkan segala usaha, konsistensi dan dedikasi yang telah diberikan olehnya.
“Sebagai artis pertama kami, pencapaian ini juga membawa makna yang besar kepada XO House, dan saya sangat bangga kerana kami dapat berkembang bersama sepanjang perjalanan ini.
”Dengan kerjayanya yang terus berkembang dan ruang kreatif yang semakin luas, Iman kekal sebagai antara nama yang mendapat perhatian dalam industri hiburan Malaysia,” ulas Adib mengenai artis yang membawa tuah kepada XO House itu.

Justeru itu XO House telah mengatur pelbagai program untuk memastikan Iman terus melangkah maju dalam bidang seni.
“Kita mahu Iman kekalkan momentum dia setiap raya ada lagu. Selepas itu kita ada lagi ruang untuk rock balada juga.
“Tahun depan kita rancang satu mini album pada first quarter dan pada third quarter pula mini album kedua. Total minima ada 10 lagu untuk Iman.
“RM2.5 juta yang dijana oleh Iman pada tahun lalu datang daripada royalti iaitu RM500,000 dan RM 2 juta datang daripada endorsement dan show. Kami bangga untuk memiliki Iman di bawah label kami dan membuktikan anak muda ini boleh berjaya,” kata Adib terus terang.
Sementara itu, Iman yang baru tampil dengan single “Jung Jung Inai” duet bersama Asslahierah berkata, awalnya lagu tersebut mahu dikeluarkan lewat lagi.
“Lagu ini siap awal bulan tahun ini. Kita dapat demo lagu ini daripada produser XO sendiri. Kita orang dah rekod lagu ini awal dah, cuma dalam perancangan sedang menyusun bila nak release.
“Kalau ikutkan kita orang nak perap dulu lagu ini untuk tahun depan supaya boleh prepare lagi. Sebab Iman sendiri ada perancangan untuk release album pop etnik.
“Sebenarnya lagu “Jung Jung Inai” salah satu lagu dalam album pop etnik tersebut. Tiba-tiba kita rasa kenapa tidak release lagu “Jung Jung Inai” ini sebab Iman rasa sekarang waktu yang sesuai.
“Bila kita orang dengar balik lagu ni, Iman terus terfikir nama Asslah dan hantar lagu ini kepada dia, dan Asslah kata sedap. Lepas tu Iman tanya dia nak berduet tak? Sebab ada orang tanya Iman lepas ni tak nak berduet lagi dengan Asslah ke? Sebab sebelum ni kita buat lagu raya bersama dan dapat sambutan.

“Iman pun rasa lagu “Jung Jung Inai” ini lagu terbaik untuk kami berkolaborasi sekali lagi selepas lagu raya. Di sinilah kami bersatu,” jelas Iman tentang single baharunya yang telah meraih lebih 1,500,000 streams, sebelum video muziknya dilancarkan.
“Jung Jung Inai” oleh Iman Troye dan Asslahierah ditulis dan dicipta oleh Amirul Azhar, Amir Firdaus dan Iman Alyssa itu merupakan sebuah karya moden yang mengetengahkan elemen muzik tradisional Melayu, menggabungkan nilai budaya dengan bunyi yang lebih kontemporari.
Berteraskan melodi tradisional serta sarat dengan kata-kata yang penuh pengajaran, lagu ini mengingatkan pendengar untuk sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan, menjaga adab dan budi bahasa, serta mengambil iktibar daripada pengalaman hidup.
Dengan rentak yang ceria dan elemen tradisional yang tersendiri, “Jung Jung Inai” meraikan warisan Melayu dalam bentuk yang lebih segar,sambil membawa mesej yang masih relevan untuk pendengar masa kini.
Untuk video muzik lagu ini, jelas Iman, beliau berpenampilan sebagai Puteri Gunung Banang dan Asslah memegang watak sebagai Puteri Gunung Ledang.
“Untuk video muzik ni agak lain sikitlah. Kami tidaklah menggunakan cerita asal tapi kami buat kelainan. Contoh, Puteri Gunung Banang ada kuasa istimewa.
“Dalam cerita ini Iman sendiri adalah seorang Puteri Gunung Banang dan kami adalah dari dunia yang berbeza. Jadi saya sendiri dalam kes ini ada tiga orang mak, dua mak tiri dan mak saya meninggal.
“Jadi dalam cerita tersebut kita nampak macam berebut harta dan seangkatan dengannya. Saya tak boleh hidup dalam keluarga macam ni walaupun bergelar seorang Puteri. Saya tak suka situasi itu dan saya larikan diri dan pergi ke dunia nyata.
“Asslah pula seorang Puteri Gunung Ledang yang melarikan diri dari keluarga dan pergi ke dunia nyata dan terjumpa lelaki yang sama. Tapi kami tahu dia adalah suami orang yang wife dia pun sedang hamil. Kita sebenarnya nak balas dendam untuk isterinya,” cerita Iman tentang jalan cerita yang ditonjolkan dalam video muzik “Jung Jung Inai”.


