Oleh: Khadijah Ibrahim
MANUSIA hanya merancang dan Allah yang menentukan. Begitulah ketentuan lagu “Lepaskan” yang asalnya dirancang untuk dirakam secara solo, tapi akhirnya menjadi lagu duet.
“Lepaskan” sebuah karya pop sarat emosi yang mengangkat tema keberanian untuk melepaskan beban, luka dan perkara yang terlalu lama dipendam ditulis oleh Yonnyboii dan Kaka Azraff.
Lagu itu dihasil ketika Yonnyboii dan Kaka sibuk menghasilkan album MPT milik Kaka yang dilancarkan pada Februari 2026.
Namun, proses penghasilan lagu tersebut terhenti selepas mereka merasakan ia agak mencabar untuk dibawakan Kaka secara solo, terutama dari segi stamina dan tuntutan vokal ketika persembahan langsung.

“Lagu “Lepaskan” sebenarnya terjadi secara spontan. Masa tu Kaka di studio Yonny dan kami memang tak datang dengan satu konsep yang terlalu rigid.
“Bila mula berbual dan masuk dalam proses menulis, melodi dan lirik tu macam keluar sendiri,” kongsi Kaka.
Tambah Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqah Noor Azraff, 37, perkataan “lepaskan” turut menggambarkan emosi yang dirasainya ketika proses penulisan, khususnya tentang usaha melepaskan sakit, beban, dendam dan perkara yang terlalu lama tersimpan dalam hati.
“Bila lagu ni jadi duet, energy untuk karya ini terus berubah. Kehadiran Yonny bagi satu lagi perspektif kepada lagu ni, bukan sekadar dari segi vokal tapi dari segi emosi.
“Ada bahagian yang bila Kaka nyanyikan seorang diri, terasa sangat berat. Tapi bila Yonny masuk, macam ada ruang untuk Kaka ‘bernafas’ dan membalas emosi yang dia bawa,” kata Kaka.

Walaupun pada awalnya lagu tersebut dirancang untuk MPT, namun tidak sempat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Bagi Kaka, “Lepaskan” memperlihatkan sisi dirinya yang lebih vulnerable dan raw. Berbeza
daripada imej persembahan bertenaga yang sering dikaitkan dengannya, lagu ini memberi ruang untuk mengakui bahawa setiap manusia pernah penat, terluka dan berasa kalah.
“Ini bukan lagu tentang Kaka nak nampak kuat. Sebaliknya, ia tentang mengakui yang kita pernah penat, pernah terluka, pernah rasa kalah. Tapi dalam keadaan tu pun kita masih cuba untuk berdiri,” akuinya.
Bagaimanapun, Yonnyboii melihat potensi besar pada karya berkenaan dan enggan membiarkannya begitu sahaja.
Selepas mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk mencari penyanyi lain, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk menjadikan “Lepaskan” sebagai sebuah single yang menampilkan mereka berdua.
“Saya rasa lagu ni ada banyak potensi dan saya tak nak ia sekadar jadi satu lagi lagu dalam album. Saya rasa lagu ni layak untuk dikeluarkan sebagai single, jadi saya ambil lagu ni dan buat ia berlaku,” jelas Yonnyboii.
Keputusan tersebut membawa kepada versi duet yang memberikan dimensi baharu kepada “Lepaskan”. Kehadiran Yonnyboii bukan sekadar melengkapkan bahagian vokal, malah membantu mengembangkan perjalanan emosi lagu tersebut.
Dari segi muzik, “Lepaskan” menampilkan pendekatan pop segar dengan sentuhan inspirasi K-pop, namun masih mengekalkan identiti Melayu.
Yonnyboii, yang turut bertindak sebagai penulis dan komposer bersama Kaka Azraff, memberi fokus kepada melodi serta korus yang catchy, di samping mesej yang dekat dengan kehidupan pendengar. Lagu tersebut diterbitkan oleh Lonlioni.
“Saya rasa bunyi lagu ni agak berbeza daripada lagu-lagu pop yang pernah saya buat sebelum ini, sebab itu saya bangga dengan arah yang kami ambil,” ujar Yonnyboii.
Beliau turut mengaitkan mesej lagu tersebut dengan perjalanan dirinya sendiri, terutama usaha meninggalkan kesilapan lalu, bergerak ke hadapan dan memilih untuk melihat kehidupan dengan perspektif yang lebih positif.
“Untuk saya, ‘Lepaskan’ lebih kepada cuba mengatasi masa lalu dan kesilapan yang pernah saya buat. Ia tentang bergerak ke hadapan, kekal berada dalam masa sekarang dan sentiasa melihat ke arah masa depan,” jelas Yonnyboii.
Kedua-dua penyanyi berharap “Lepaskan” dapat menjadi teman kepada pendengar yang
sedang melalui fasa sukar atau masih membawa luka yang belum diluahkan.
Seiring pelancaran “Lepaskan”, Yonnyboii turut mendedahkan bahawa lagu itu menjadi
sebahagian daripada perjalanan menuju album terbaharunya. Dua lagi single telah disiapkan dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, album tersebut bukan sekadar himpunan lagu, sebaliknya sebuah pengalaman yang ingin membawa pendengar menyelami satu perjalanan yang lebih menyeluruh.
“Saya nak orang bukan sekadar dengar lagu-lagu ni sebagai single. Saya nak mereka tutup mata dan betul-betul experience album tu.
“Saya nak bawa mereka dalam satu adventure, bayangkan saya bawa anda pergi ke angkasa, ke universe, dan kita berseronok di sana. Itu pengalaman yang saya nak album ni berikan,” katanya lagi.
“Lepaskan” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.


