Oleh: Khadijah Ibrahim
TIDAK perlu mengeluarkan modal untuk memiliki sebuah banglo yang dilengkapi dengan empat bilik?
Eh! Betulkah berita itu? Siapa yang nak bagi rumah secara percuma kalau kita tak mengeluarkan wang. Nak uruskan rumah ‘abadi’ (kubur) pun perlukan kos.
Namun selepas penulis hadir ke tapak pembinaan Perumahan Sri Semantan, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan pada 25 September lalu, perasaan curiga itu terus lenyap kerana bukti di depan mata.
Sebanyak 15 buah rumah yang setiap sebuah bernilai kira-kira RM350,000 sedang dalam proses pembinaan. Malah bakal pemilik rumah juga turut hadir pada majlis penyerahan kunci rumah Freedom (simbolik) untuk melihat kediaman yang akan mereka diami kelak.
Penerima rumah tersebut merupakan ahli Sri Semantan Privillage Club (SSPC) dari seluruh negara selepas mereka berjaya mencapai tahap jualan emas berjumlah 20 kilogram secara berkumpulan.

Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Mohamad Hafizal Mahmood berkata, kesemua yang hadir pada hari tersebut, bukan setakat untuk majlis pecah tanah tapi untuk meraikan pencapaian para Freedom dan menyaksikan satu penghargaan yang lahir daripada pencapaian tersebut.
“Perumahan Sri Semantan ini untuk para Freedom. Ia adalah satu bentuk penghargaan kepada mereka yang telah melalui perjalanan, perjuangan dan pengorbanan sehingga mencapai tahap Freedom.
“Penerima terdiri daripada ahli dari Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor. Ini merupakan projek fasa pertama pemberian kediaman kepada ahli yang mencapai tahap Freedom,”
katanya tentang perumahan yang bernilai kira-RM4.5 juta itu.
Untuk makluman, Freedom dalam konteks KESS merujuk kepada pangkat, status atau gelaran tertinggi yang dicapai oleh ahli dalam program ahli gabungan mereka yang dikenali sebagai Sri Semantan Privillage Club (SSPC) atau ‘Road To Freedom’.
“Rumah ini merupakan pencapaian tertinggi bagi mereka selepas melalui beberapa fasa tertentu dalam komuniti, bermula daripada Affiliate, Assistant Manager, Manager, Master Manager sebelum mencapai tahap Freedom.

“Sebelum ini, mereka turut berpeluang menerima pelbagai ganjaran termasuk kereta, pakej melancong, umrah dan emas untuk simpanan peribadi,” katanya bangga dengan pencapaian ahli SSPC.
Tambahnya lagi, pemberian rumah berkenaan, bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian ahli malah sebahagian daripada usaha membina komuniti yang dapat berkongsi manfaat daripada aktiviti berkaitan emas.
“Lagipun ada di antara mereka bukan daripada golongan yang hidup mewah. Ada yang sebelum ini berniaga kecil-kecilan, menjaja dan ada juga penerima asnaf.
“Kami mahu mereka sama-sama berkongsi rezeki dan membantu masyarakat melalui komuniti yang dibentuk,” katanya.
Ujar Mohamad Hafizal, untuk fasa pertama, penyerahan rumah berkenaan dimulakan di Kelantan sebelum konsep sama dikembangkan ke negeri lain pada masa akan datang.

Beliau berkata, Emas Sri Semantan bukan sebuah syarikat pemaju perumahan, sebaliknya hanya menjalankan perniagaan emas dan kediaman itu merupakan inisiatif penghargaan kepada ahli yang mencapai tahap membanggakan dalam perniagaan emas.
Salah seorang penerima rumah tersebut ialah bekas pemandu e-hailing, Mohd Din Sugiman, 61, yang awalnya juga tidak sangka beliau bakal memiliki kediaman sendiri.
Mohd Din berkata, sebelum ini beliau mencari pendapatan sebagai pemandu e-hailing selama lima tahun dan sering bekerja jarak jauh hingga ke beberapa negeri bagi mencari rezeki.
“Saya memang orang yang kehidupannya amat daif, asnaf. Saya pernah memandu Grab dari Kuantan, Pulau Pinang, Perlis hingga Johor untuk mencari makan.

“Saya mula menyertai Emas Sri Semantan pada 2 Jun 2025 dan mencapai pencapaian pertama lima kilogram emas sekitar November tahun lepas sebelum akhirnya mencapai tahap Freedom dalam tempoh kira-kira setahun,” katanya.
Kata Mohd Din lagi, sebelum menerima banglo berkenaan, beliau terlebih dahulu memperoleh beberapa ganjaran termasuk sebuah Toyota Vios dan Vellfire hasil pencapaian yang dicapainya.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana bukan lagi penerima bantuan asnaf selepas memperoleh pendapatan melalui aktiviti jualan emas bersama komuniti tersebut.
“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberi peluang menggubah kehidupan daripada dulu bukan siapa-siapa, tetapi sekarang dapat mencapai kejayaan seperti ini,” katanya.


