Oleh: Khadijah Ibrahim
TAHUN ini stesen radio Suria FM telah melalui pelbagai perubahan, termasuklah pengunduran diri Datuk Fizz Fairuz dan Suraya Borhan, yang kemudiannya digantikan dengan pelawak Fad Bocey untuk bergandingan dengan Ajak untuk mengendalikan program Morning Morning Suria (MMS).
Memandangkan Morning Morning Suria selalunya dikendalikan oleh tiga orang penyampai, maka Elly Arifin diambil untuk memeriahkan program pagi itu.
Kali ini, sebelum 2025 berakhir stesen radio di bawah Rimakmur sdn. Bhd., sebuah syarikat yang dimiliki Star Media Group Berhad itu kembali mengatur strategi baharu bagi mengukuhkan lagi penjenamaan saluran tersebut.
Bermula 17 November lalu, Suria FM tampil dengan wajah baharu yang merangkumi perubahan dari segi tagline, nama segmen, serta keseluruhan identiti visual stesen.
Transformasi ini memberi nafas baharu kepada Suria dengan penampilan yang lebih segar, bertenaga dan moden, agar terus dekat di hati pendengar masa kini. To
Inisiatif tersebut dirangka bagi menarik minat pendengar muda untuk mendekati Suria, sambil mengekalkan kesetiaan pendengar sedia ada yang telah lama bersama stesen ini.
Selaras dengan hala tuju baharu ini, Suria memperkenalkan tagline baharu “Muzik & Jiwa”, menggantikan tagline sebelumnya, “Segalanya Hiburan”.
Tagline tersebut lahir daripada keinginan untuk menonjolkan kekuatan utama Suria. “Muzik” melambangkan asas identiti Suria sebagai stesen yang sentiasa dekat dengan pendengar melalui pilihan lagu-lagu terbaik, daripada lagu 90-an hingga ke hits terkini.
Sementara itu, “Jiwa” menggambarkan semangat dan personaliti Suria yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut menyebarkan nilai positif, kasih sayang dan keikhlasan dalam setiap penyampaian.
Perubahan tagline tersebut, turut menandakan bahawa Suria kini bukan sekadar stesen radio hiburan, tetapi sebuah jenama yang hidup melalui muzik dan jiwa, memahami emosi, pengalaman dan kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Bersempena pelancaran ini, Suria turut memperkenalkan nama-nama segmen baharu yang mencerminkan personaliti dan tenaga segar barisan penyampainya:
Sebelum ini Ajak, Fad dan Elly dikenali menerusi segmen Morning-Morning Suria tapi kini ditukar kepada nama Pagi On Suria, manakala Gaya Suria yang kecoh dengan celoteh Cik Piah, kini menggunakan nama Vibe Suria, untuk Muzik Top Suria pula kini menjadi Playlist Suria dan Suria Petang yang dikendalikan oleh Chiwan dan Kai bertuka nama menjadi Chill Petang Suria. Dua segmen yang terus kekal dengan nama sedia adalah Kafe Suria yang dikendalikan oleh Irsyad dan Suria Cinta, kelolaan DJ Lin.
Transformasi ini turut meliputi pembaharuan dalam kandungan program radio, pengalaman digital yang lebih interaktif agar Suria terus menjadi pilihan utama di setiap platform dari udara hingga ke digital.
Dengan semangat baharu Suria bersedia untuk melangkah ke hadapan dengan membawa misi untuk dekat di hati rakyat Malaysia melalui Muzik dan Jiwa.


