Oleh: Syed Yusof Wafa
Foto: Koleksi Syed Wafa
BILA bercakap mengenai seorang pelakon atau seniwati dalam filem-filem Melayu sejak era 1950-an sehingga hari ini memang ramai. Tetapi untuk seseorang pelakon atau seniwati yang layak dipanggil PRIMADONA boleh dibilang dengan jari.
Sebabnya menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘Primadona’ bermaksud pelakon wanita utama (dalam opera atau pementasan) atau sri panggung iaitu pelakon wanita terpenting. Ia juga merujuk kepada wanita yang paling cantik, diminati atau dikagumi terutama dalam konteks persembahan pentas atau filem yang mana mereka sering menjadi tumpuan para penonton dan para peminat!


Tetapi tahukah anda sebelum mencipta nama sebagai Primadona filem Melayu Klasik, Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad yang pernah menghadiri sesi ujibakat di Studio Cathay Keris di Singapura gagal menjadi pelakon yang mana akhirnya beliau pulang ke kampung halamannya di Pekan, Pahang.
P. Ramlee yang terbaca cerita berkenaan di majalah telah mengarahkan Penolong Pengarahnya, S. Sudarmaji bersama beberapa wakil Malay Film Productions (MFP) menjejaki Sarimah di kampungnya.


Setelah menjalani ujibakat yang dijalankan P. Ramlee, Sarimah bukan setakat berjaya menawan hati P. Ramlee malah mereka yang hadir pada sesi ujibakat berkenaan.
Bertolak dari kejayaan itu, P. Ramlee menawarkan Sarimah satu watak kecil dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok” (1961).

Walaupun wataknya sebagai Marjina dianggap sebagai pengenalannya dalam dunia filem namun beliau terus diberikan watak utama dalam filem kedua lakonannya iaitu “Indera Bangsawan” (1961).
Selepas filem itu, Sarimah berlakon satu demi satu filem terbitan MFP dengan filem seterusnya “Si Tanggang,” “Indera Bangsawan,” (1961) diikuti “Lubang Daik,” Neracha” dan “Ibu Mertuaku” pada tahun 1962.


Benarlah kata pepatah Melayu ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu’ kerana filem keenam lakonannya “Ibu Mertuaku” (1962) telah menjulang nama Sarimah sebagai Primadona baru MFP pada era 1960-an dan 1970-an dengan gaya lakonan yang memukau, raut wajah cantik menawan serta personaliti yang memikat!
Penghayatan Sarimah dalam “Ibu Mertuaku,”7 filem keenam lakonannya dan sebagai Sabariah Mansoor atau Maimunah Ismadi, seorang isteri yang termakan hasutan ibunya, Nyonya Mansoor (Seniwati Mak Dara) sanggup meninggalkan suaminya, Kassim Selamat yang kemudian dikenali Osman Jailani “Ibu Mertuaku” demi hidup senang benar-benar membuatkan penonton membencinya.


Kebencian penonton adalah kejayaan beliau dan sejak itu satu demi satu Primadona filem Melayu ini membintangi filem demi filem terbitan MFP yang terus mengukuhkan namanya sebagai Primadona dengan lakonannya yang penuh penghayatan antaranya “Madu Tiga” dan “Tiga Abdul” (1964), “Bidasari”, “Sayang Si Buta,” dan “Dayang Senandong” (1965).
Walaupun setelah filem “Raja Bersiong” (1967), Shaw Brothers ditutup namun Sarimah meneruskan kerjaya seninya bersama Merdeka Film Productions dengan membintangi filem-filem antaranya “Miang-Miang Keladi” dan “Kanchan Tirana” (1968), “Bukan Salah Ibu Mengandong” (1969), “Dr. Rushdi, “Tuah Badan,” dan “Gelora” (1970).


Sepanjang kerjayanya, Sarimah telah membintangi banyak filem ikonik namun wataknya sebagai Sabariah Mansoor dalam “Ibu Mertuaku” yang membuatkan dia dibenci penonton dan filem berkenaan telah memenangi Anugerah Fotografi Hitam dan Biasa Terbaik di Festival Filem Asia ke-10 pada tahun 1963.
Selama tiga dekad kerjayanya, Sarimah telah membintangi 44 filem dengan lebih 30 filem beliau diberi watak utama.
Kerjaya seni Sarimah bukan setakat berlakon malah pada tahun 1980 dengan syarikat filem miliknya, Sarimah Film Production beliau menerbitkan lima filem iaitu “Detik 12 Malam” (1980) diikuti empat lagi filem “ Jejak Bertapak,” “Dia Ibuku” (1981), “Kabus Tengahari” (1982) dan filem terakhir “Ranjau Sepanjang Jalan” yang diterbitkan pada tahun 1983.


Seniwati Sarimah kekal digelar Primadona apabila beliau diiktiraf sebagai pelakon wanita terulung dan ikon filem Melayu yang digilai ramai dan masih relevan selepas beliau dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 pada 1981 kerana lakonannya sebagai Rohani, ibu tunggal yang menempuh pelbagai dugaan untuk membesarkan dua anaknya, Jamal dan Jamil sehingga berjaya.
Gelaran Primadona diberikan berdasarkan bukan sahaja kerana kecemerlangan lakonan dan popularitinya yang kukuh dalam industri perfileman. Malah ia melambangkan statusnya sebagai idola dan ikon perfileman, mencerminkan pengaruh dan populariti beliau di kalangan para penonton dan para peminat filem Melayu!


Filem “Dia Ibuku” mencatatkan sejarah dalam kerjaya Primadona ini apabila filem berkenaan memenangi 10 anugerah daripada 20 kategori yang dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia ke-2 (1981) anjuran EJA (Persatuan Wartawan Hiburan) yang berlangsung pada 12 April di Nirwana Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Pada FFM2, selain Sarimah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik filem “Dia Ibuku” juga dinobatkan antaranya Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Jurukamera Terbaik dan M. Jamil dianugerahkan Bintang Harapan Lelaki.

Kini pada usianya mencecah 83 tahun, Primadona Sarimah lebih selesa menjalani kehidupannya sebagai ibu kepada lima orang anak iaitu Norhayati, Farawaheeda, M. Jamil, Shahray Zulkifli dan Yusarimah Puteri Yusof dan lebih 20 orang cucu.


