Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI Datuk Awie bakal menjayakan konsert berskala besar pada 12 September 2026 ini, di Stadium Merdeka.
Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media ini memberi fokus utama untuk perjalanan seni Awie atau Ahmad Azhar Othman, 58, sahaja.
Sebab itulah persembahan mega itu diberi nama Konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang akan menampilkan persembahan solo Awie sepanjang empat dekad perjalanan kerjaya beliau sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional dalam industri muzik tanah air.

Konsert yang akan bermula jam 8.30 malam ini juga akan menjadi antara persembahan paling bersejarah dalam industri muzik tempatan, menghimpunkan elemen muzik, naratif dan produksi berskala besar di satu pentas ikonik.
Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay berkata, ini bukan kali pertama beliau bekerjasama dengan Awie dalam penganjuran konsert berskala besar.
Menurut Bombay, beliau mempunyai definisi tersendiri kenapa memilih tajuk “Last Man Standing” dan penggunaan gelaran Rock King.
“Konsert ini membawa simbolik kepada perjalanan seni Datuk Awie yang penuh keteguhan melalui jatuh bangun, perubahan era serta transisi daripada kumpulan ke solo dan pelbagai fasa dalam industri muzik.
“Dalam apa jua keadaan, beliau tetap berdiri teguh di atas pentas, mempertahankan identiti dan bahasa seninya yang tidak pernah pudar.
“Manakala, gelaran “Rock King” pula melambangkan sumbangan besar Datuk Awie dalam membawa satu era baharu bagi genre rock di Malaysia, sama ada sebagai penyanyi berkumpulan mahupun solo,” jelas Bombay.
Tambah Bombay, konsert tersebut mengangkat konsep penceritaan perjalanan seni Datuk Awie yang penuh keteguhan dan evolusi. Ia merakam kisah jatuh bangun beliau sepanjang lebih empat dekad dalam industri muzik, daripada era awal bersama kumpulan, fasa solo, sehingga pelbagai perubahan dalam landskap muzik tanah air.

“Datuk Awie menjadi watak utama dalam keseluruhan naratif konsert ini, yang menggambarkan keteguhan seorang anak seni yang terus berdiri di atas pentas tanpa mengira cabaran zaman, sambil mengekalkan identiti serta keaslian seninya.
“Melalui konsep “Last Man Standing”, konsert ini turut menzahirkan kekuatan seorang legenda yang mampu bertahan dalam perubahan industri, serta kekal relevan dan dihargai oleh pelbagai generasi,” katanya.
Konsert ini turut menampilkan puluhan pemuzik berkaliber serta himpunan penyanyi undangan popular dan terkemuka. Ia juga membawa mesej penghargaan sebagai sebuah tribute kepada perjalanan 40 tahun seni Awie.
Penglibatan artis jemputan ini menghimpunkan generasi lama dan baharu, dengan setiap penyanyi akan membawakan karya-karya ikonik Awie sebagai tanda penghormatan terhadap legasi beliau.
Susunan repertoir konsert dirangka untuk membawa penonton menyusuri evolusi muzik beliau, menggabungkan elemen nostalgia dengan pendekatan segar, bagi mencipta pengalaman yang lebih dinamik dan bermakna pada setiap segmen persembahan.
Jelas Bombay lagi, pemuzik yang terlibat terdiri daripada individu berpengalaman dengan kekuatan dan gaya muzik tersendiri. Gabungan ini memberikan nilai besar kepada keseluruhan produksi konsert.
“Mereka dibahagikan mengikut latar belakang muzik seperti rock, pop dan genre lain bagi memastikan setiap segmen mempunyai identiti tersendiri. Pendekatan ini menjadikan perjalanan muzik lebih dinamik, dan segar.
“Susunan muzik dibentuk melalui kolaborasi kreatif bersama para pemuzik yang hebat, ternama dan profesional untuk menghasilkan interpretasi baharu terhadap lagu-lagu Datuk Awie, sekali gus memberikan sebuah pengalaman unik kepada penonton dalam mendengar, menghayati dan menonton konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026,” ujarnya.

Selaku Penerbit dan Pengarah Konsert, Bombay berkata lagi, matlamat utama penganjuran ini adalah untuk memastikan konsert ini berjaya dan mencapai standard tertinggi , khususnya buat Datuk Awie dan para peminat yang hadir.
“Kami mahu konsert ini menjadi satu karya yang memberi impak, malah berpotensi menjadi sebuah masterpiece dalam industri muzik tempatan. Ini penting kerana penonton meluangkan masa dan membayar untuk hadir, jadi kami ingin memberikan pengalaman yang setimpal dan berkualiti tinggi.
“Selain itu, kami berharap konsert ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan standard penganjuran konsert di masa hadapan dari segi produksi, kreativiti dan konsep setiap persembahan dan keseluruhan pengalaman.
“Akhirnya, harapan kami adalah agar konsert ini dikenang sebagai sebuah konsert yang istimewa- bukan sahaja menghimpunkan ramai artis dan pemuzik di atas satu pentas, tetapi juga memberikan kepuasan dan pengalaman yang bermakna kepada penonton pada malam tersebut,” katanya.
Bagi yang berminat untuk menonton konsert ini, tiket boleh dibeli di platform iLasso Tickets, pada kadar harga CAT 1 – RM98, CAT 2 – RM148, CAT 3 – RM298, CAT 4 – RM348, CAT 5 – RM398, CAT 6 – RM148, CAT 7 – RM448, CAT 8 – RM648, CAT 9 – RM1,198, CAT 10 (Couple Seat) – RM2,998 dan CAT 10 (Table of 4) – RM5,998.


