Oleh: Khadijah Ibrahim
SEMPENA Festival Buka Panggung ASWARA yang bermula sejak 4 -22 Mei 2026, peminat teater berpeluang menonton pementasan Randai Macbeth di Panggung Eksperimen ASWARA pada 8 -10 Mei ini.
Seramai 31-35 orang ahli produksi terlibat dalam produksi Randai Macbeth merangkumi Tenaga Kreatif, Pelakon, Pemuzik, Ensembel Anak Randai dan Kru Pentas.
Tujuan pementasan tersebut adalah untuk meraikan kecemerlangan serta pencapaian pelajar dan alumni ASWARA. Selain itu pementasan itu juga bertujuan untuk mempromosi kredibiliti Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA ASWARA) sebagai institusi yang mengangkat kesenian tradisional.

Objektif lain pementasan tersebut adalah untuk meningkatkan apresiasi dalam seni teater tradisional kepada masyarakat khususnya. Menerusi penganjuran teater tersebut diharap dapat membuat pertukaran dan perkongsian kepakaran antara ASWARA dan UiTM dalam memartabatkan seni budaya bangsa serta mempromosi kesenian Malaysia ke pentas antarabangsa.
Randai Macbeth merupakan sebuah adaptasi daripada karya klasik popular William Shakespeare oleh pengarah dan penulis lakon, Dr. Norzizi Zulkifli.
Naskah ini diadaptasi daripada karya asal ‘Macbeth’ dan telah diberikan nafas baharu melalui persembahan berkonsep silang budaya antara tradisi Minangkabau, Melayu dan teks klasik barat. Kerana itu ia disebut sebagai sebuah kreasi baharu.
Teater ini pernah dipentaskan pada 10-12 Oktober 2024 di Blackbox ASWARA dan meraih perhatian penggiat dan peminat seni tanah air, sehingga mencapai pengiktirafan besar dalam BOH Cameronian Arts Awards ke-20.

Selepas kemenangan besar itu, ramai meminta agar Randai Macbeth dipentaskan semula. PuTRA sebagai penerbit berusaha mencari dana dan merancang untuk membawa kembali Randai Macbeth ke pentas . Tahun 2026 ia memberi sinar baharu apabila impian menjadi realiti.
Selain perancangan mementaskan semula di Kuala Lumpur, Randai Macbeth turut menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di luar negara termasuk di Singapura pada April lalu dan di Kamal Teater and Academic, Kazan Rusia pada 15 -16 Jun ini sempena Festival-Forum Teater dan Pendidikan (Nauruz) 2026.
Dalam usaha mengangkat seni tradisi ke pentas kontemporari, pelbagai cabaran menjadi motivasi kepada produksi untuk membawa sedekat mungkin khususnya teater tradisional kepada khalayak muda.
Teknologi komunikasi dan selera masyarakat pada hari ini telah merubah cara kerja dan gagasan dalam berkarya. Begitu besar sekali pengaruh teknologi kreatif memberi kesan kepada seni persembahan apatah lagi kesenian tradisional.
Kita sering melihat seni budaya sering menjadi alat tontonan semata-mata bukan mewakili pemikiran dan ketinggian peradaban bangsa. Hal ini menyusut hilang dan ramai merasakan bahawa seni budaya tidak lagi berfungsi dalam kehidupan bahkan sekadar untuk tujuan industri pelancongan dan hiburan.

Inilah yang menjadi hasrat utama PuTRA, Persatuan Alumni ASWARA dan FiTA UiTM di dalam membangun dan melahirkan ilmuan, penggiat dan khalayak yang bukan sekadar kenal seni malah celik terhadap seni budaya warisan bangsa. Saban tahun institusi seperti ASWARA dan UiTM melatih, membimbing dan mengeluarkan graduan seni.
Randai Macbeth adalah satu wadah yang jitu dalam memanifestasikan apakah wawasan seni budaya yang sesuai dipersembahkan di dalam mengisi tuntutan khalayak baharu dan dunia hari ini.
Randai adalah milik suku minangkabau yang berintegrasi dengan budaya Melayu di Malaysia. Mempunyai struktur permainan lengkap dengan teknik permainan muzik antara tertua di dunia, lenggok bahasa, gerak silat dan kostum yang bercirikan alam Melayu.
Manakala naskhah Macbeth karya William Shakespeare adalah naskhah agung yang lahir pada tahun 1606-1607 yang ditulis berlatarkan negara Scotland yang mendepani konflik politik istana.
Bahasa, gambaran hidup, emosi yang didialogkan mencerminkan cara hidup barat. Istimewanya Macbeth terus hidup dan dihayati sehingga ke hari ini. Dipelajari dan dipentaskan oleh sekolah, universiti dan kumpulan profesional.
Apabila Randai digabungkan dengan Macbeth ia mencetus konflik peradaban. Ia melontar pertanyaan dalam kalangan penggiat randai dan pencinta karya Shakespeare. Di sinilah letaknya kerja kreatif produksi Randai Macbeth di bawah teraju Dr Norzizi Zulkifli.

Bagaimana budaya Minangkabau-Melayu disulam dalam setiap babak dan adegan hingga penoton terlupa bahawa mereka sedang menghayati naskhah barat. Muzik dan Anak Randai yang menjadi jantung kepada persembahan, memanifestasikan rasa dan jiwa Minangkabau-Melayu yang kuat.
Dalam hal ini, Norzizi tidak menjadikan Randai Macbeth bersifat terlalu tradisional dan membiarkan khalayak menikmati randai dalam bentuk asalnya. Sebaliknya, Norzizi menyulam teknologi pentas, teknologi kreatif, gerak silat baharu dan gaya lakon moden untuk membina cerita secara lebih dramatik dan spektakular.
Mengungkap isu politik yang relevan dengan isu semasa. Hal ini meninggalkan bentuk tradisi randai yang secara asasnya dalam lingkungan dan berselang-seli antara cerita dan lagu. Inilah yang disimpulkan sebagai “sebuah kreasi baharu”.
Semoga pementasan Randai Macbeth di Kuala Lumpur pada 8-10 Mei ini diterima baik oleh penonton tempatan sebagaimana dalam tahun 2024.
Adalah diharapkan agar khalayak dapat menghayati dan terinspirasi daripada pementasan ini. Semoga generasi muda melihat teater sebagai satu wadah membentuk pemikiran, medan berkreativiti dan membangunkan penonton dan masyarakat yang berbudaya nilai tinggi.
Semoga usahasama yang sihat antara PuTRA ASWARA, Persatuan Alumni ASWARA dan FiTA UiTM dapat diteruskan di masa hadapan.


