Oleh: Nafsiah Jani
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) atau lebih dikenali dengan carian mesra ‘8One’ bakal menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Pesona Jubli Perak 8One pada 5 Disember 2026 bertempat di The Everly Putrajaya.
Penganjuran majlis makan malam amal ini merupakan kemuncak kepada rangkaian Sambutan Jubli Perak sekolah berkenaan sempena meraikan suku abad (25 tahun) perjalanan, kegemilangan, dan kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah warganya sejak ditubuhkan pada tahun 2000.
Pengetua SMK Putrajaya Presint 8(1), Puan Nur Asmara Diana Abdullah berkata, majlis makan malam amal yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi kelancaran pelbagai aktiviti sekolah yang telah dirancang.
“Dana ini sangat-sangat diperlukan bagi menyokong pelbagai usaha pembangunan dan kebajikan sekolah, menaik taraf kemudahan fizikal, serta membiayai program kecemerlangan murid.

“Kami namakan Majlis Makan Malam Pesona kerana ia menggambarkan daya tarikan dan keistimewaan yang lahir daripada sebuah perjalanan yang panjang manakala Jubli Perak pula melambangkan 25 tahun pengorbanan, kejayaan, dan kenangan yang telah dicapai. Sambutan ini bukan sekadar keraian, tetapi penghormatan kepada sejarah serta penghargaan buat semua pihak yang pernah menyumbang bakti di sekolah ini,” ujar beliau.
Bagi merayakan lipatan sejarah 25 tahun penubuhannya, pihak sekolah dengan kerjasama jitu daripada pihak PIBG sekolah telah merangka tiga program utama yang disusun khas sebagai inisiatif pengumpulan dana dan pengukuhan hubungan komuniti.
“Majlis kami yang berslogankan “Satu Malam, Seribu Kenangan, 25 Tahun Kegemilangan” akan dibuka dengan penganjuran 8One Fun Run Jubli Perak pada 14 November 2026 di sekitar kawasan Presint 8, yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah, alumni, dan penduduk setempat.
“Acara diteruskan menerusi Kejohanan Golf Amal 8One Jubli Perak yang bakal berlangsung pada 15 November 2026 di Bukit Unggul Golf & Country Club, sebagai medium utama untuk memperluas jaringan kerjasama dan sokongan strategik bersama-sama rakan korporat serta alumni.

“Kemuncak kepada acara ini ialah Majlis Makan Malam Amal Pesona Jubli Perak 8One yang dijadualkan pada 5 Disember 2026 di The Everly Putrajaya. Majlis ini juga diharap menjadi platform jalinan silaturahim dan pengumpulan dana amal kebajikan demi pembangunan sekolah,” ujar Nur Asmara Diana mengenai majlis eksklusif ini yang turut dijayakan dengan persembahan oleh artis popular.
Penaung Majlis Pesona Jubli Perak, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Aseh Haji Che Mat pula melahirkan rasa beruntung dan bersyukur kerana pernah diberi amanah menjadi sebahagian daripada warga sekolah ini suatu ketika dahulu sebagai Yang Dipertua PIBG sekolah. Beliau menjadi saksi sinergi utuh antara guru, ibu bapa dan murid yang bersungguh-sungguh melonjakkan nama baik sekolah ke mercu kejayaan sepanjang suku abad penubuhannya. Beliau amat berharap agar sambutan Majlis Pesona Jubli Perak ini akan menyemarakkan lagi semangat warga 8One untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya, Tuan Haji Nadimin Abdul Aziz, turut menzahirkan rasa bangga atas sejarah yang dilakar oleh 8One sebagai sekolah menengah pertama di Putrajaya yang sentiasa konsisten melahirkan modal insan berkelas dunia dan mencapai pelbagai kejayaan berprestij di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“SMK Putrajaya Presint 8(1) telah membuktikan keupayaan melonjakkan standard kecemerlangan. Saya menyeru seluruh warga sekolah, alumni, ibu bapa, dan komuniti setempat untuk bersatu hati menjayakan majlis ini dengan mendapatkan meja serta menikmati santapan eksklusif sambil menyaksikan persembahan beberapa artis terkenal,” kata beliau.
Dalam majlis tersebut, Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM), Dato’ Dr. Nor Hasnal Hashmi turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 sempena Majlis Makan Malam Amal Pesona Jubli Perak 8One. Selain itu, Trendztok Creative Sdn Bhd turut menyalurkan sumbangan sebagai media digital rasmi bernilai RM10,000 dan Ultra Blue sebagai minuman 8one Fun Run bernilai RM3,000.
Orang ramai, bekas pelajar (alumni), ibu bapa, serta pihak korporat yang ingin menjadi sebahagian daripada sejarah 25 Tahun Kegemilangan 8One boleh membuat tempahan meja atau saluran sumbangan secara dalam talian melalui pautan yang dikongsikan.
• Pautan Tempahan & Maklumat Lanjut:https://app.herepay.org/pibgsmkpp81/MajlisMakanMalamAmalPesonaJubliPerak


