Oleh: Khadijah Ibrahim
MESKIPUN tanpa sumbangan atau bantuan daripada pihak lain, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave tetap meneruskan usaha membantu rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan, terutama di kalangan artis veteran.
Usaha murni DJ Dave itu sentiasa mendapat sokongan daripada ahli-ahli pemegang amanah YKAT yang terdiri daripada Datuk Nancie Goo, Datuk Nash dan Dr. S. Kanagarajan.
Jelas DJ Dave, 78, sejak sembilan tahun lalu, YKAT tak pernah mendapat dana daripada pihak yang bertanggungjawab walaupun sudah membuat permohonan.
“Sejak sembilan tahun lalu tak pernah dapat dana. Setiap tahun kami buat satu majlis makan malam dan menjemput ahli kehormat untuk datang ke majlis dan kita jual meja.

“Kadang-kadang kita dapat jual 80 buah meja dan tahun lalu kita buat kat Sime Darby Convention Centre dan kami jemput yang berhormat seorang menteri dan beliau berhasrat untuk memberi bantuan kepada kami dan kami masih menunggu.
“Hanya dengan cara begitu (show) saja kami boleh mencari dana untuk yayasan. Tiap bulan kami memerlukan dana untuk beri pencen kepada 10 orang artis veteran sebanyak RM500, seorang, setiap bulan hingga akhir hayat mereka. Antara yang pernah terima pencen daripada yayasan ialah arwah Poe dan arwah Datuk M. Daud Kilau,” kata DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah.
Bukan setakat memberi pencen, setiap kali menjelang perayaan utama di Malaysia, YKAT masih memberi sumbangan kepada penggiat seni yang telah mencapai usia 60 tahun.
Sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 8 November ini, YKAT telah menyumbang RM15,000 untuk disalurkan kepada 15 orang anak seni daripada bangsa India, Melayu dan Cina yang mewakili bidang seni nyanyian, lakonan dan muzik.

Setiap penerima menerima RM1,000 dan YKAT harap sumbangan yang diberi dapat membantu meringankan beban kewangan para penerima dan membawa keceriaan kepada mereka yang menyambut Deepavali.
“Saya harap sumbangan yang diberikan pada hari ini dapat meringankan sedikit beban para penerima, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Deepavali bersama keluarga tersayang.
“Walaupun jumlah ini mungkin tidak besar jika dibandingkan dengan segala pengorbanan yang telah mereka lakukan, saya berharap sumbangan ini dapat membawa senyuman, memberikan semangat dan mengingatkan mereka bahawa masyarakat masih menghargai jasa mereka,” katanya yang menegaskan bahawa kebajikan artis veteran akan terus menjadi antara keutamaan perjuangan YKAT.
Ujar beliau lagi, setakat ini dalam tempoh 14 tahun, YKAT sudah bantu 2,500 orang dan berharap pada pihak tertentu untuk memberi sokongan kepada yayasan.
“Kita dah hantar surat mahupun proposal untuk minta sumbangan dana tetap tak ada maklum balas.

Kalau ada orang persendirian nak bantu, dipersilakan. Sumbangan itu terus ke akaun yayasan dan bukan individu.
“Kami selaku pemegang amanah akan pastikan dana tersebut sampai kepada mereka yang berhak. Ini kebajikan, jangan cuit duit kebajikan, itu pendirian saya. Pemegang amanah tak dapat apa-apa. Ini semua kita buat pro bono (demi kebajikan awam),” katanya.
Tanpa mengenal kecewa, DJ Dave yang menerajui YKAT sejak ditubuhkan pada Jun 2012, sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu artis tanah air yang berhadapan dengan kesulitan hidup.
“Insya-Allah, tahun depan saya cadang nak buat show besar untuk mengumpul dana. Saya rancang nak buat konsert sempena 55 tahun bergiat dalam seni suara. Saya akan buat satu persembahan dan dari situ saya akan sumbang kepada yayasan.
“Lepas raya tahun depan baru buat konsert, saya dah rancang nak buat konsert ini sejak sebulan yang lalu. Ini akan jadi konsert besar terakhir saya. Lepas tu tak nak buat dah konsert besar melainkan dinner show saja,” katanya yang sentiasa ingat rakan-rakan artis lain.


