Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA 30 Oktober lalu, penulis sempat menghadirkan diri ke Zepp Kuala Lumpur. Eh! Kenapa macam sepi je ni! Selalunya kalau ada konsert di Zepp Kuaa Lumpur yang boleh muat 2,000 lebih penonton itu, dari pintu utama (tingkat atas) sudah dibanjiri ramai orang.
Sewaktu berada di dewan konsert, suasana terasa dingin, selalunya kalau tengok konsert rasa panas. Mungkin sebab di luar hujan, jadi kesejukan terasa sampai ke dalam.
Biar suasana sejuk atau panas, acara yang telah dianjur oleh Elegant Cosmetic iaitu ‘Live Concert: Elegant Selamanya’ tetap diteruskan sempena sambutan ulang tahun ketujuh penubuhan jenama penjagaan kulit terkemuka itu.
Lebih kurang jam 9 malam, acara bermula dengan menampilkan dua duta jenama Elegant iaitu Erra Fazira dan Azar Azmi yang menggalas tanggungjawab tersebut sejak enam bulan lalu.

Selain dua wajah Elegant itu, konsert tersebut turut dimeriahkan oleh Anggrek, Umai, Odda, Zaki Yamani, Elite, Adira Suhaimi, Datuk Ziana Zain dan Nourul Depp.
Selaku duta yang telah mengguna produk ini, Erra berkata, beliau bangga dengan produk tempatan tersebut.
“Saya bangga dengan produk ini kerana walaupun ianya bersifat lokal produk tapi boleh dikatakan bertaraf antarabangsa.
“Untuk itu atas rasa berbesar hatinya kami, ada kawan kita ni nak menyanyi. Boleh ke? Untuk opening konsert ini. Tangannya sedang sejuk ni,” kata Erra mengusik Azar.

Azar akui yang beliau memang rasa gementar ketika itu, tambahan pula perlu menyanyi di hadapan orang ramai.
“Tak pernah dibuat oleh saya sebenarnya. Tu yang rasa gementar. Apapun bila diberi peluang dan ruang, saya tetap nak cuba. Kalau ada yang tak kena tu, harap maafkan saya ya,” kata Azar yang berduet dengan Erra menerusi lagu ‘Hanya Di Mata’ .
Selepas Erra dan Azar, muncul pula penyanyi cilik Anggrek Adnan, juara program realiti ‘Talk To My Manager’ musim kedua, mendendangkan lagu ‘Aku Anggrek’, nyanyian asal oleh Stacy Anam itu.
Untuk segmen penyanyi Gen-Z ini, diteruskan dengan kemunculan Odda atau Auddra Zulkifli, pemenang tempat ketiga program ‘Talk To My Manager’ musim pertama.

Odda memilih mendendangkan lagu ‘Sha Na Na’ dendangan asal oleh Amy Mastura dan singlenya sendiri, ‘Gelanggang Rasa’.
“Mak saya yang suruh saya nyanyi lagu ‘Sha Na Na’ itu. Saya tak boleh bantah permintaan mak saya walaupun dia tak dapat tengok persembahan saya kerana sedang menunaikan umrah ketika ini,” kata Odda terus terang.
Selepas Odda, muncul pula Umai atau Ummi Umairah mendendangkan lagu ‘Training Season’ nyanyian Dua Lipa itu dengan penuh penghayatan dan diikuti dengan lagu ‘Pugar’, runut bunyi untuk drama ‘Kasih Yang Terkorban’.
Selepas Umai meninggalkan pentas, muncul pula kumpulan Elite yang dianggotai oleh Azza Zawari, Abby Abadi, Linda Rafar, Sasha Saidin dan Watie Sadali memulakan persembahan dengan lagu ‘Mengerti’ nyanyian KRU dan diikuti dengan lagu ‘Trauma’ dan ‘Tamparan Wanita’.

Sebelum kemunculan Zaki Yamani, Pengarah Elegant Cosmetics, Datuk Al Amin diundang naik ke pentas untuk cabutan bertuah.
Hadiah utama untuk cabutan bertuah itu adalah sebuah beg tangan jenama Gucci yang bernilai RM20,000 menjadi milik Hijrah Shafiqah Abu Bakar, manakala beg tangan songket eksklusif dari Astana dimenangi oleh Siti Norsarah Mohd Aidil.
Dewan kembali menjadi gegar apabila Zaki mendendangkan lagu malar segar “Gadis Melayu’ yang turut dinyanyikan oleh penonton dan ‘Akur’ lagu dendangannya sendiri.
Selepas itu Adira Suhaimi mengambil alih pentas dengan mendendangkan lagu ‘Ku Ada Kamu’ dan ‘Sayang Orang Sama’ yang merupakan runut bunyi untuk drama ‘Khianat Yang Terpilih’.
Selepas berduet dengan Azar, Erra Fazira kembali semula mendendangkan persembahan secara solo menerusi lagu ‘Pasrah’, ‘Yang Terindah Hanyalah Sementara’ dan lagu rancak, ‘Jendela Hati’.

Kemudian giliran Datuk Ziana Zain pula untuk menghibur penonton. Walaupun beliau mengakui lagu ‘Fatalistik’ sangat mencabar untuk dinyanyikan secara langsung, namun demi peminat, penyanyi ‘Madah Berhelah’ tetap mendendangkan juga dalam versi baharu. Lagu lain nyanyian Ziana pada malam itu adalah ‘Putus Terpaksa’ dan ‘Kekal’.
Disebabkan Nourul Depp terbang dari Bali, beliau diberi peluang menyanyi bagi acara penutup tirai persembahan konsert tersebut.
Meskipun lagu yang didendangkan Nourul merupakan lagu popular duetnya seperti ‘Keliru’ dan ‘Aku Cinta Aku Rindu’, kali ini pasangan duet beliau ialah penonton. Beliau juga sempat berduet dengan Zaki menerusi lagu ‘Sandarkan Pada Kenangan’.
Di ‘Live Concert: Elegant Selamanya’, penonton berpeluang menikmati pelbagai genre lagu daripada penyanyi kesukaan mereka.


