Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYi Shiha Zikir mengaku, beliau adalah seorang insan yang cerewet terutamanya berkaitan dengan soal kerja.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Shiha Zikir Empire Holdings Sdn. Bhd., itu tidak sembarangan menawarkan bakat baharu untuk bernaung di bawah labelnya.
Terkini, beliau baru saja memperkenalkan peserta program ‘I Can See Your Voice’ musim keenam (2023), Hazreen Amreena Syahlil, 29, sebagai artis yang bernaung di bawah syarikatnya dan tampil dengan single “Teruskanlah”, ciptaan sepenuhnya oleh Shiha sendiri.
Jelas Shiha, ramai saja bakat baharu yang menghubunginya untuk menjadi penyanyi, namun nalurinya lebih tertarik untuk memberi ruang tersebut kepada Hazreen.
Tegas Shiha, jika seseorang itu berbakat tapi tidak ada kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi, bukan kriteria yang beliau cari.

“Walaupun zaman sekarang ramai yang menilai berdasarkan sosial media dengan isu viral dan sebagainya, saya beritahu dia (Hazreen), tak mengapa…biar perlahan asalkan terus berusaha kerana rezeki itu kurniaan Allah SWT.
“Sebab itu juga sebelum saya memilih bakat-bakat baharu untuk bernaung di bawah SZE, saya tanya dulu, kalau tujuan mereka hanya untuk menjadi popular semata-mata, saya tak nak.
“Kalau mereka kata nyanyian adalah jiwa, minat yang mendalam dan sanggup untuk belajar, Insya-Allah saya boleh pertimbangkan,” katanya tanpa berselindung.
Hazreen berjaya mencuri perhatian Shiha kerana penyanyi baharu itu, mudah menguasai teknik nyanyian dengan bagus.
Lagipun Hazreen merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Persembahan Dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan beliau juga berkhidmat sebagai tutor vokal di Bentley Music Academy.

“Hazreen mempunyai vocal range yang tinggi, saya pun rasa seronok buat lagu untuk dia. Saya boleh cuba macam-macam sebab Hazreen boleh capai note yang lebih daripada saya sendiri, boleh rendah dan tinggi. Lagu ini memang sesuai dengan suaranya.
“Apabila sudah melakukan sesuatu mestilah saya mahukan hasil yang terbaik dan memuaskan hati. Walaupun saya tegas ketika bekerja, saya puji Hazreen kerana dia ada kemahuan yang tinggi.
“Disebabkan saya yang mencipta lagu ini, proses latihan sebelum ke studio rakaman pun memang kerap. Mungkin orang lain selesa untuk terus jumpa di studio dan berlatih sebelum rakam.
“Saya pula tak mahu susahkan ramai orang terutama mereka yang bekerja di studio, biarlah datang dalam keadaan yang cukup bersedia. Maka saya memilih untuk mengadakan sesi latihan untuk Hazreen di pejabat saya,” katanya.
Dalam pada itu, Shiha juga memuji sikap dan disiplin yang dimiliki Hazreen sejak bernaung di bawah SZE.
“Saya suka Hazreen sebab dia tak putus asa, rajin dan tak goyang kaki. Zaman sekarang ni kalau tiada usaha, habislah. Hazreen jenis orang yang sanggup cuba macam-macam.
“Selain menyanyi, dia pun ada buat content dengan saya untuk media sosial, berlakon dan kerja-kerja lain yang syarikat produksi saya lakukan. Apa yang saya lihat, dia sudah ada peningkatan dan tidak lagi malu depan kamera.
“Disiplinnya juga baik, selagi wajah-wajah itu ada dengan saya, maksudnya attitude, disiplin mereka bagus. Saya harap Hazreen boleh jadi seperti saya, biar agak perlahan membina kerjaya asalkan sanggup untuk teruskan dan melakukan yang terbaik,” jelas Shiha tentang prinsip bekerjanya.

Kongsinya lagi, sebelum menulis lirik lagu tersebut pelbagai soalan beliau ajukan kepada Hazreen.
“Untuk lagu kedua Hazreen ini, memang saya tanya dia mahu lagu macam mana. Bagi saya, kalau hendak keluarkan lagu artis naungan saya, kedua-dua belah pihak perlu rasa gembira dan puas hati. Hazreen boleh dapat lagu yang dia mahu, begitu juga dengan saya.
“Katanya, dia mahu lagu tentang apa yang dilalui oleh anak sulung sebab kadang-kadang dia sendiri rasa penat tapi perlu kuat untuk berbakti kepada keluarga.
“Saya tanya bagaimana cara dia luah perasaan, menurutnya, ketika sedang sedih dia suka duduk dalam bilik dan menangis, maka dari pengalamannya itu saya pun tulis lirik: “di kamar ku sendiri, bertahan untuk berdiri, di saat duniaku runtuh melalui takdir sendiri”. Begitu juga dengan jawapan-jawapan lain yang dia beri kepada saya, saya tukar dan olah menjadi lirik lagu ini,” jelasnya.
Shiha juga berpendapat bahawa lagu “Teruskanlah” ini bukanlah hanya sesuai untuk anak sulung sahaja, tetapi untuk semua yang menggalas tanggungjawab melalui penat lelah cari rezeki untuk keluarga dan insan-insan tersayang.
“Saya sendiri pun boleh kaitkan dengan mesej dan penceritaan lagu ini. Selain untuk diri kita, kita kerja untuk tolong atau berkongsi rezeki dengan keluarga, ibu bapa dan pasangan (suami isteri). Saya mahu lagu ini menjadi peneman untuk mereka yang rasa penat lelah melalui perjalanan kehidupan,” katanya.
Shiha bukan sekadar mencipta dan menulis lirik untuk lagu “Teruskanlah”, malah beliau juga turun padang sebagai pengarah untuk video muzik lagu tersebut yang dilakukan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Untuk muzik video kali ini pula, ia ringkas tapi ada maksud yang tersendiri. Contohnya ada lilin yang hampir terpadam, itu simbolik untuk seseorang yang tetap bersinar untuk orang-orang yang tersayang.
“Begitu juga dengan simbolik lain seperti air laut yang menunjukkan gelombang hidup dan sebagainya,” katanya.


