Oleh: Khadijah Ibrahim
BARU saja selesai menjayakan Konsert Memento Mori 2.0 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 8 November lalu, kini kumpulan Exists mengatur langkah untuk menjayakan konsert berskala besar yang lain pula.
Kali ini Exists yang berasal dari selatan tanah air itu bakal kembali ke negeri kelahiran mereka menerusi Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru yang bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 9 Januari 2027.
Kepulangan ini pastinya menjadi momen istimewa bukan sahaja buat anggota kumpulan Exists, malah para peminat yang telah mengikuti perjalanan muzik mereka sejak awal kemunculan.
Konsert ini bakal menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia yang menghubungkan semula karya-karya malar segar Exists dengan kenangan dan pengalaman hidup peminat merentas generasi.

Lebih istimewa, Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru ini menghimpunkan ketujuh-tujuh anggota Exists iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah (gitar), Musa (bes), Ujang (dram) serta Ajai (keyboard).
Gabungan barisan anggota ini menjanjikan sebuah persembahan yang meraikan perjalanan panjang Exists, selain menghidupkan kembali lagu-lagu popular yang menjadi sebahagian daripada kenangan dan kehidupan peminat.
Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik biasa, sebaliknya membawa makna yang cukup mendalam buat Exists.
Ia merupakan sebuah perjalanan pulang ke akar, tempat bermulanya perjalanan seni mereka sebelum nama Exists dikenali dan mencipta fenomena dalam industri muzik Malaysia.
Menurut Ajai, kepulangan ke Johor merupakan sesuatu yang cukup istimewa dan mempunyai nilai sentimental tersendiri buat mereka.
“Johor adalah tempat kami bermula. Di sinilah perjalanan Exists dibentuk, di sinilah kami belajar mengenal muzik dan mengejar impian. Apabila diberi peluang untuk kembali dan mengadakan sebuah konsert besar di negeri sendiri, perasaannya memang berbeza.
“Ini bukan sekadar tentang membuat persembahan, tetapi tentang pulang dan menghargai tempat yang membentuk siapa kami hari ini,” katanya.

Sementara itu, Musa, menyifatkan konsert ini sebagai peluang untuk menghubungkan kembali perjalanan muzik Exists dengan peminat yang telah bersama mereka sejak awal kemunculan.
“Kami tahu ramai yang membesar dengan lagu-lagu Exists. Ada yang menyimpan kenangan zaman sekolah, zaman percintaan, malah ada yang kini sudah membawa anak-anak mereka mendengar lagu yang sama.
“Kami mahu malam ini menjadi satu pertemuan antara generasi. Kami mahu peminat datang bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi untuk merasai kembali kenangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” ujar Musa.
Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru, bukan sekadar mengimbau nostalgia, konsert ini turut menjadi simbol kebangkitan dan kemunculan semula Exists di pentas berskala besar, dengan semangat serta tenaga baharu untuk kembali mendekati peminat.
Pada masa yang sama, ia membawa mesej tentang penghargaan terhadap asal usul, persahabatan, perjalanan panjang dalam dunia seni serta ikatan istimewa antara Exists dan para peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
Sepanjang perjalanan muzik mereka, Exists telah menghasilkan deretan lagu yang terus mendapat tempat di hati peminat.
Lagu-lagu seperti Untukmu Ibu, Julia, Jesnita, Bunga, Janji Padamu dan Alasanmu bukan sekadar karya yang menemani perjalanan kerjaya kumpulan ini, malah menjadi lagu yang mempunyai nilai sentimental buat ramai pendengar.
Keistimewaan Exists terletak pada kemampuan karya mereka untuk merentasi generasi. Lagu-lagu yang pernah menjadi siulan anak muda suatu ketika dahulu masih terus dinyanyikan, dikenang dan dinikmati sehingga hari ini.
Bahkan, Exists ialah kumpulan yang bukan sekadar mencipta lagu untuk didengar, tetapi mencipta lagu yang menjadi sebahagian daripada kehidupan peminat mereka.

Menerusi konsert ini, peminat bakal berpeluang menyaksikan sendiri persembahan Exists secara langsung, yang menggabungkan nostalgia, perjalanan muzik dan hubungan istimewa antara kumpulan ini dengan para pendengar yang telah bersama mereka selama ini.
Penganjuran Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru merupakan kolaborasi kali kedua antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan penganjuran Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu di lokasi yang sama.
Konsert Wali Live In JB sebelum ini berjaya menarik kehadiran kira-kira 14,000 penonton sehingga memenuhi ruang stadium, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan peminat terhadap persembahan artis popular di Johor.
Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman berkata, kejayaan penganjuran terdahulu menjadi dorongan untuk mereka kembali dengan sebuah lagi konsert berskala besar bagi memenuhi permintaan peminat muzik tempatan.
“Berbekalkan pengalaman pertama tersebut, kami kembali dengan penganjuran Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru sebagai kesinambungan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik, khususnya di Johor Bahru.
Pemilihan Exists sebagai artis utama turut membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air.
“Sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan apabila sebanyak 50 peratus tiket konsert telah berjaya dijual, sekali gus memperlihatkan keterujaan peminat untuk menyaksikan kepulangan Exists ke pentas Johor Bahru,” kata mereka.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket ditawarkan menerusi enam kategori harga iaitu Janji Padamu (CAT 4) berharga RM98, Julia (CAT 3) RM138, Bunga (CAT 2) RM168, Jesnita (GA) RM149, Alasanmu (CAT 1) RM428 dan Untukmu Ibu (SUPERVIP) RM928.
Tiket boleh didapati menerusi pautan https://myticket.asia/


