Oleh: Syed Yusof Wafa
Memiliki nama penuh Afiq Zafri Fizri bin Zulkifli, anak kelahiran Terengganu ini dilahirkan pada 8 Julai 2003. Minatnya terhadap dunia muzik mula berputik sejak usia kanak-kanak apabila beliau pernah menyertai latihan bagi mewakili negeri Terengganu ke Pertandingan Bintang Kecil peringkat kebangsaan anjuran Terengganu FM.
Pengalaman awal itu menjadi antara titik permulaan perjalanan seninya sehingga beliau terus mengembangkan bakat dan kecintaan terhadap muzik.
Afiq merupakan bekas pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Kini menetap di Kuala Lumpur, beliau bukan sahaja memberi tumpuan kepada bidang nyanyian, malah aktif dalam penciptaan lagu dan penulisan lirik.
Lebih menarik, Afiq juga pernah mendapat kepercayaan untuk bekerjasama dalam penghasilan lagu bersama penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian. Satu pengalaman yang pastinya memberi nilai tambah kepada perjalanan dan pengalamannya dalam industri muzik.

Impian besar, langkah yang semakin jauh
Bagi Afiq, muzik bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah ruang untuk berkarya, menyampaikan emosi dan mencipta identiti tersendiri.
Dengan latar belakang pendidikan seni, pengalaman dalam penciptaan lagu serta semangat untuk terus belajar, Afiq Zafri dilihat mempunyai potensi untuk berkembang lebih jauh dalam industri muzik tempatan.
Perjalanannya mungkin masih panjang, namun setiap karya yang dihasilkan merupakan satu lagi langkah dalam membina nama dan identiti sebagai anak seni.


