Oleh: Khadijah Ibrahim
KUMPULAN Ungu bukan saja dikenali di negara mereka, Indonesia, malah kumpulan yang dikategorikan sebagai kumpulan rock itu juga turut dikenali di kalangan penggemar muzik di Malaysia.
Untuk terus kekal dalam industri muzik selama tiga dekad bukan sekadar satu angka, ia adalah perjalanan yang ditempa dengan jatuh bangun, evolusi dan ketahanan yang jarang mampu dicapai.
Kumpulan yang dianggotai oleh Pasha (vokalis), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram) itu bakal merai perjalanan seni mereka bersama peminat di sini menerusi sebuah konsert istimewa, “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”.
Pada sidang media baru-baru ini, Ungu yang diterbang ke sini oleh COMs. Creative Studio & DM Diamond Entertainment, selaku penganjur mengumumkan bahawa konsert eksklusif kumpulan tersebut akan diadakan pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, Damansara, Petaling Jaya.

Kumpulan yang berasal dari Jakarta, Indonesia yang ditubuhkan pada 1996 itu telah membina sebuah legasi yang merentasi generasi dengan penghasilan karya yang bukan sahaja popular, tetapi turut menjadi sebahagian daripada memori kolektif peminat di Malaysia dan Indonesia.
Mengangkat tema “3 Dasawarsa” atau tiga dekad, konsert ini tidak hanya berdiri sebagai sebuah persembahan, tetapi sebagai sebuah dokumentasi hidup dengan merakam perjalanan seni Ungu yang berkembang dari akar sederhana kepada status legenda serantau.
Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy (COMs. Creative Studio), konsert ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia.
“Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu, dengan objektif utama untuk meraikan peminat setia mereka di Malaysia. Dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaik mereka.
“Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu sepanjang tiga dekad dari mula sehinggalah sekarang,” jelas Zairul Addry.

Bagi menterjemahkan perjalanan ini ke pentas, konsert akan distrukturkan dalam tiga segmen utama: “The Birth”, “The Peak dan “The Legacy” yang membawa penonton menyelusuri evolusi Ungu dari awal kemunculan hingga ke kematangan sebagai sebuah nama besar dalam industri.
Daripada karya-karya awal yang membentuk identiti mereka, ke era kegemilangan yang dipenuhi pencapaian dan pengiktirafan, hingga ke fasa legasi yang menandakan kekuatan dan kesinambungan, di mana setiap segmen dirangka sebagai satu bab dalam naratif yang lebih besar.
Tambahnya lagi, konsert tersebut bukan sekadar persembahan muzik, malam tersebut dijangka tampil sebagai sebuah pengalaman yang imersif dan berlapis, dengan elemen kejutan yang dirancang khas bagi memperkayakan setiap detik di atas pentas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, KS Tan berkata, kekuatan Ungu terletak pada lebih daripada sekadar muzik yang dihasilkan.
“Untuk bertahan selama tiga dekad, ia bukan hanya tentang muzik, tetapi juga ketahanan mental, jatuh bangun dalam industri, serta nilai ‘brotherhood’ yang dibina sejak awal penubuhan. Konsert ini adalah refleksi kepada keseluruhan perjalanan itu.
“Kami berharap konsert ini mendapat sambutan yang luar biasa, dan setiap peminat yang hadir dapat menikmati serta merasai keistimewaan malam tersebut sempena ulang tahun ke-30 Ungu.

”Malam tersebut turut akan menampilkan lima artis jemputan istimewa yang dipilih sendiri oleh Ungu yang akan diumumkan secara berperingkat, kata KS Tan.
Bagi Pasha, walaupun Ungu sering mengadakan konsert di Malaysia sebelum ini, namun mereka tetap berhati-hati memilih lagu demi memuaskan hati penonton.
“Andai Ku Tahu”, “Demi Waktu”, “Bila Tiba” “Seperti Yang Dulu” dan Bismillah Cinta” adalah antara lagu dendangan Pasha yang diminati ramai.
“Pemilihan lagu yang bakal dinyanyikan kelak tidak hanya bergantung pada populariti di platform digital saja tapi perlu ambil kira reaksi penonton sewaktu mereka menonton persembahan Ungu secara langsung.
“Tidak dinafikan ada lagu Ungu yang mendapat tontonan tinggi di YouTube tapi bila dibawa ke konsert ternyata berbeza, penonton tidak menyanyi. Sebaliknya ada lagu biasa, tapi bila dinyanyikan sewaktu persembahan, semua ikut nyanyi,” kata Pasha yang sudah dapat membaca reaksi penonton dek pengalamannya itu.
Bagi yang berminat untuk menonton konsert ini sebanyak tujuh kategori tiket ditawarkan, termasuk pakej eksklusif “Meet & Greet” yang memberikan peminat peluang lebih dekat bersama band ini, lengkap dengan barangan rasmi edisi terhad seperti t-shirt, lanyard, keychain dan bag tote.
Jualan tiket bermula pada 27 April 2026, dengan tawaran “Early Bird” sebelum jualan umum dibuka.


