Oleh: Khadijah Ibrahim
TAHUN ini merupakan penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025, anjuran KamiSempoi International Agency (KSIA), yang keempat.
Malam anugerah tersebut diadakan bagi mengiktiraf, menghargai dan meraikan pencapaian para pencipta kandungan digital serta hos TikTok Live yang berada di bawah naungan KSIA dari seluruh negara dan juga rantau Asia Tenggara.
Bagi edisi tahun ini, sebanyak 20 kategori dipertandingkan bagi mengiktiraf pelbagai pencapaian dalam ekosistem KamiSempoi sepanjang tahun lalu.

Kategori-kategori tersebut merangkumi pengiktirafan khusus kepada Live Host, selain kategori yang turut meraikan pencapaian Sub Agency, Gifter dan Main Sponsor yang memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan komuniti serta ekosistem KSIA.
Turut menjadi antara pengiktirafan utama ialah kategori mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.
Bagaimanapun, bagi edisi KamiSempoi Golden Award 2025, kategori Top Host Indonesia tidak tersenarai dalam senarai pengiktirafan.
Pencapaian utama para pemenang turut mengambil kira prestasi pendapatan dan jumlah diamond yang direkodkan sepanjang Januari hingga Disember 2025, sekali gus memberikan pengiktirafan kepada usaha dan konsistensi mereka sepanjang tahun.

Jumlah keseluruhan nilai penganjuran dan hadiah yang ditawarkan pada edisi kali ini dianggarkan mencecah RM600,000, menjadikan KamiSempoi Golden Award antara acara penting dalam kalendar komuniti KSIA.
Majlis tersebut turut mendapat sokongan daripada M Route 19 sebagai penaja utama dan MK Media Studios sebagai penaja bersama.
Meskipun banyak nama yang tercalon untuk merebut gelaran dalam pelbagai kategori, namun nama Adelyn Heng tetap menarik perhatian ramai kerana bekas pegawai bank yang berasal dari Muar, Johor itu berjaya mengekalkan kedudukannya bagi kategori Top Creator of the Year dan My Creator of the Year 2025.
Pencapaian tersebut menyaksikan Adelyn meneruskan rekod kejayaannya untuk empat tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan konsistensi, komitmen dan usaha berterusan beliau dalam bidang Live Host TikTok.
Bagi Adelyn, kemenangan tersebut bukan sekadar satu pencapaian peribadi, malah turut menjadi pembakar semangat untuk beliau terus memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti sebagai seorang Live Host TikTok.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerima pengiktirafan ini. Kemenangan empat tahun berturut-turut ini sangat bermakna buat saya dan pastinya menjadi pembakar semangat untuk saya terus belajar, berkembang dan menjadi Live Host TikTok yang lebih baik.
“Pada masa yang sama, saya juga ingin melihat rakan-rakan Live Host TikTok yang lain turut berjaya. Saya percaya kita boleh bersaing secara sihat tetapi dalam masa yang sama saling menyokong, berkongsi ilmu dan membantu antara satu sama lain untuk berkembang.
“Bagi saya, kejayaan bukan hanya apabila kita berjaya seorang diri, tetapi apabila kita dapat melihat lebih ramai orang di sekeliling kita turut naik dan mencapai kejayaan,” katanya.
Selain Adelyn, nama lain yang sering naik turun pentas menerima anugerah di acara KamiSempoi Golden Award 2025 ialah IsseyMiyakeSg, Live Host TikTok dari Singapura.

Kehadiran IsseyMiyakeSg turut mencerminkan perkembangan positif komuniti Live Host KSIA di pasaran Singapura, selain memperlihatkan kepelbagaian bakat dan potensi yang terus berkembang dalam ekosistem KamiSempoi International Agency.
Kemunculan barisan Live Host dari pasaran berbeza juga memperlihatkan bahawa perkembangan industri live streaming kini semakin melangkaui sempadan negara, dengan komuniti digital mempunyai peluang untuk membina pengaruh dan kerjaya di peringkat serantau.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency (KSIA) dan juga Live Host TikTok, Pakcik Chin Swee atau To Chin Swee, kejayaan penganjuran KamiSempoi Golden Award untuk tahun keempat berturut-turut merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna buat dirinya dan seluruh komuniti KamiSempoi.
“Bagi saya, kejayaan penganjuran setiap tahun sebenarnya membawa maksud yang sama, iaitu kita cuba menghargai semua anak-anak KamiSempoi yang telah memberikan usaha, komitmen dan semangat yang tidak pernah berputus asa. Ini adalah malam untuk menghargai mereka, untuk mereka berseronok , menerima anugerah dan meraikan kerja keras daripada hasil usaha mereka.

“Sebenarnya, dari tahun ke tahun, dunia media sosial dan TikTok semakin banyak cabaran. Bukan sesuatu yang senang. Tetapi saya masih percaya kepada diri sendiri, saya percaya kepada pasukan saya dan saya percaya kepada anak-anak saya, iaitu para Live Host TikTok, untuk kita terus mahu dan berkembang dalam platform TikTok,” katanya.
Hadiah tersebut diberikan menerusi penghujung acara, sekali gus menambahkan lagi elemen kejutan dan kemeriahan kepada malam anugerah berkenaan.
Selain meraikan pencapaian komuniti KSIA, KamiSempoi Golden Award 2025 turut menjadi platform pelancaran KamiSempoi Premier Academy, sebuah inisiatif KSIA untuk melatih dan membangunkan generasi baharu profesional Live Host yang mahu menjadikan bidang live streaming sebagai kerjaya.
Akademi ini akan memberi fokus kepada aspek penting seperti kemahiran komunikasi, pengendalian LIVE, pembangunan kandungan, personal branding, penampilan dan grooming, persembahan, interaksi bersama penonton serta kualiti produksi LIVE.

Penubuhan KamiSempoi Premier Academy mencerminkan komitmen KSIA untuk membawa industri live streaming ke tahap yang lebih profesional, selain memperkukuh peranannya dalam membangunkan bakat, komuniti dan peluang ekonomi digital bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara.
Melalui akademi ini, KSIA berharap dapat melahirkan lebih ramai Live Host yang bukan sahaja yakin di hadapan kamera, tetapi turut memiliki ilmu, kemahiran dan profesionalisme untuk membina kerjaya dalam ekonomi digital.


