Oleh: Khadijah Ibrahim
AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),
bakal menganjurkan Festival Gema Siswa ASWARA 2026 yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026 di Kampus ASWARA, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Festival Gema Siswa ASWARA 2026 merupakan platform utama untuk mengangkat potensi para pelajar ASWARA ke tahap yang lebih tinggi.
Secara tak langsung festival berskala besar ini akan menghimpunkan serta menampilkan hasil karya, kreativiti dan bakat para pelajar ASWARA.
Penganjuran festival yang mengangkat tema kepelbagaian seni dan kreativiti tanpa sempadan itu, menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan pengisian menarik.
Antara persembahan istimewa dan paling dinantikan sempena festival ini ialah Showcase Malam Kemala Irama: Mengenang Pak Ngah, sebuah persembahan khas bagi memperingati warisan lagu-lagu ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), Bapa Irama Malaysia.

Persembahan ini bakal mengimbau kembali karya-karya ikonik beliau yang pernah mengangkat martabat muzik tradisional tanah air ke peringkat antarabangsa.
Selain itu, sempena festival tersebut turut diadakan forum dan bual bicara bersama penggiat seni tentang pengalaman mereka.
Turut diadakan juga pertandingan dan anugerah serta pengiktirafan kepada warga seni dan pendidik, masterclass dan bengkel iaitu sesi pembelajaran berasaskan kemahiran kreatif.
Lain-lain aktiviti yang diadakan sempena festival tersebut adalah
rakaman dan tayangan karya visual dan perfileman pelajar, persembahan pentas iaitu pertunjukan seni persembahan secara langsung dan pameran serta jualan barangan kraf, hasil kreatif serta gerai viral.
Sempena penganjuran festival ini, ASWARA mengalu-alukan penyertaan orang ramai, pelajar, penggiat seni serta warga pendidik untuk menyertai pelbagai pertandingan dan anugerah yang dianjurkan.
Ini adalah peluang terbaik bagi menyerlahkan bakat serta meraih pengiktirafan di peringkat pentas seni negara.
Antara pertandingan yang dianjurkan ialah Pertandingan Teater Pendek, Pertandingan Dikir Barat, Pertandingan Gema Breaking, Pertandingan Kompang, Pertandingan Battle of The Band dan Pertandingan Pencarian Bakat Seni Visual.
Selain itu, festival ini turut mengiktiraf jasa dan sumbangan melalui Anugerah Penulis Guru, Anugerah Aspirasi Teater, Anugerah Bakat Seni Pendidikan Tari serta Anugerah Guru Harapan Pendidikan Seni Visual.
Lebih menarik lagi, festival ini turut menganjurkan Program Keusahawanan Pelajar (Gema Niaga). Penganjuran Gema Niaga ini bertujuan untuk menerapkan serta memantapkan ilmu keusahawanan dalam kalangan pelajar ASWARA.
Seluruh warga awam, penggiat seni, pelajar sekolah, serta pencinta seni tanah air dijemput hadir bagi memeriahkan dan menyokong penganjuran festival ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai tentatif program dan aktiviti terkini, sila layari laman Instagram rasmi ASWARA di @ASWARA.official


