Oleh: Khadijah Ibrahim
BAGI yang hanya mengenali Nourul Depp sebagai penyanyi, pasti mencemek wajah apabila diberitahu yang beliau juga seorang motivator atau pakar motivasi.
Jangan pandang sebelah mata akan kebolehan Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, kerana beliau bukan berceramah kosong tapi penuh pengisian.
Ini kerana Nourul merupakan RMT Certified Life Coach, terlatih melalui Robbins-Madanes Training, serta seorang penceramah yang diakreditasi HRD Corp.
Beliau juga merupakan pengasas Firetalk, sebuah platform pembangunan diri yang
dilahirkan daripada pengalaman hidup dan perjalanan transformasinya sendiri.
Melalui Firetalk, Nourul memberi fokus kepada aspek kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, mindset dan transformasi peribadi.

Bagi Nourul, Firetalk bukan sekadar sebuah seminar atau program motivasi. Ia merupakan satu ruang untuk wanita berhenti seketika, melihat ke dalam diri, berani berdepan dengan cabaran, memproses luka dan pengalaman hidup, serta akhirnya meraikan siapa diri mereka dan siapa yang mereka sedang pilih untuk menjadi.
Pada 17 dan 18 Oktober 2026, sekali lagi Nourul diberi kepercayaan untuk menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan
Wanita (JPW).
Pemilihan semula ini menjadi satu lagi detik bermakna dalam perjalanan Nourul daripada
dunia seni dan hiburan kepada bidang pembangunan diri, kepimpinan serta pemerkasaan
wanita.
Untuk tahun ini, acara Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026 diadakan di Tamu Hotel Kuala Lumpur bermula jam 9.30 pagi.
Selain Nourul sebagai penceramah jemputan, acara tahun ini turut bertuah untuk berkongsi
ruang bersama Datuk Sri Alha Alfa sebagai penceramah jemputan dan Atilia selaku pengajar jemputan.
Program PERANTIS diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita melalui
perkongsian ilmu, bimbingan dan pengalaman daripada barisan wanita pemimpin serta
tokoh yang berjaya.
Untuk tahun ini, KPWKM memperuntukkan RM4 juta bagi pelaksanaan program ini, dengan sasaran melibatkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara.

Bagi Nourul, peluang untuk sekali lagi terlibat dalam PERANTIS membawa makna yang
lebih besar daripada sekadar sebuah pengiktirafan.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama
PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan.
“Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik Malaysia, pengalaman sebagai
usahawan serta latar belakang sebagai jurulatih kehidupan profesional, Nourul kini
membawa satu misi yang semakin jelas iaitu mahu membantu wanita membina semula keyakinan diri dan menyedari bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan sendiri.
Bagi Nourul kerjasama dan penglibatan beliau dalam PERANTIS 2026 dilihat sebagai kesinambungan kepada misi untuk membawa elemen transformasi diri ke dalam pembangunan kepimpinan wanita.
“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran.
Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi.
“Apabila seorang wanita menggubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depannya,” jelas penyanyi yang popular dengan lagu “Kerana Terluka” dan “Cinta Azali” itu.
Perjalanan Nourul sendiri menjadi sebahagian daripada mesej yang ingin dikongsikannya. Daripada seorang penyanyi yang memulakan kerjaya dalam industri muzik sejak usia muda, melalui pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya, sehinggalah kepada dunia keusahawanan, pembangunan diri dan coaching kerana setiap pengalaman tersebut membentuk perspektifnya terhadap kekuatan serta potensi seorang wanita.

Bagi Nourul, tiada satu pun pengalaman hidup yang sia-sia.
Muzik mengajarnya tentang hubungan dengan manusia.
Kehidupan mengajarnya tentang ketahanan.
Coaching memberinya ilmu dan alat untuk membantu orang lain.
Firetalk menjadi ruang untuk menggabungkan kesemuanya.
Pada tahun 2026, perjalanan tersebut turut menyaksikan satu lagi pencapaian peribadi
apabila Nourul merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo pertamanya, For You: Nourul, di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut bukan sekadar meraikan perjalanan seninya selama lebih tiga dekad, tetapi turut menjadi simbol sebuah perjalanan peribadi, tentang keberanian untuk bermimpi semula, bangkit dan mencipta bab baharu dalam kehidupan.
Kini, melalui PERANTIS 2026, Nourul berharap dapat terus berkongsi pengalaman dan ilmu
bersama lebih ramai wanita.
“Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah. Kita boleh sembuh. Kita boleh membina semula diri. Dan kita boleh memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa
pun.
“Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya menjadi. Saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka dan potensi yang selama ini mungkin mereka tidak nampak dalam diri sendiri,” ujarnya.
Bagi Nourul, itulah semangat sebenar kepimpinan wanita — bukan sekadar berjaya untuk
diri sendiri, tetapi membuka jalan supaya wanita lain turut berani melangkah.
Selain itu, beliau juga akan mengadakan konsert For You: Nourul di kampung halamannya, di Pulau Pinang iaitu di Bertam Resort, Kepala Batas, pada 26 Disember ini.


