Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA anda salah seorang peminat filem Tamil, jangan lepaskan peluang untuk menonton Jailer 2 yang mula ditayang di seluruh dunia dan pawagam tempatan sejak 15 Oktober baru-baru ini.
Apa istimewanya filem Jailer 2, arahan Dilipkumar yang diterbitkan oleh Kalanithi Maran menerusi Sun Pictures itu. Jailer 2 merupakan sekuel yang amat dinanti-nantikan selepas kejayaan luar biasa filem Jailer (2023).

Lebih menarik lagi filem Jailer 2 ini merupakan filem lakonan aktor tersohor India, Rajinikanth yang meneruskan wataknya sebagai “Tiger” Muthuve Pandian, seorang pegawai penjara yang sudah bersuara. Jailer 2 merupakan filem ke-172 lakonan Superstar tersebut.
Filem ini juga merupakan filem kelima lakonan Rajinikanth yang diedarkan oleh Malik Streams Corporation di Malaysia, sekali gus memperkukuh hubungan berterusan syarikat dengan legasi perfileman Superstar Rajinikanth.

Pada hari pertama tayangan sahaja, filem Jailer 2 yang dihasilkan dengan bajet 250-350 core (RM150.74 juta) berjaya mengumpul kutipan mencecah RM10 juta.
Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaikwad, 76, bukan sekadar berlakon, beliau juga penerbit dan penulis skrip.

Pelakon yang dikenali dengan gaya lakonan dan lontaran dialog yang unik itu telah berlakon dalam pelbagai industri filem seperti bahasa Tamil, Hindi, Kannada, Malayalam, Bahasa Inggeris dan Bengali.
Jailer 2 menyajikan pengalaman sinematik yang pantas, padat dan menghiburkan menerusi gabungan aksi penuh mendebarkan, unsur komedi yang mencuit hati, babak-babak menarik serta kemunculan khas barisan pelakon terkenal yang memberikan kejutan kepada penonton.
Keistimewaan filem ini turut diperkukuh dengan muzik hasil sentuhan komposer terkenal, Anirudh Ravichander, yang sekali lagi berjaya menghasilkan antara album runut bunyi terbaik sepanjang kerjaya beliau.

Gabungan lagu-lagu yang memukau serta muzik latar yang bertenaga berjaya meningkatkan lagi impak setiap babak dan memberikan pengalaman tontonan yang lebih mengagumkan.
Dengan jalan cerita yang menarik, pelbagai kejutan, muzik yang hebat serta karisma ikonik Superstar Rajinikanth, Jailer 2 tampil sebagai sebuah filem hiburan aksi yang lengkap dan wajib ditonton oleh para peminat filem di layar perak.

Filem aksyen komedi ini turut dibintangi oleh Mithun Chakraborty, S.J Suryah sebagai Bodhi Kalpak, Ramya Krishnan sebagai Vijaya “Viji” Pandian, Isteri Muthuvel dan Vidya Balan (Kantha). Selain itu, Hrithik Roshan dan Jackie Shroff sebagai Kamdav, antara pelakon kameo dalam filem ini.
Bersempena tayangan Jailer 2, Malik Streams Corporation telah memperkenalkan beberapa inisiatif promosi berskala besar, seperti Tren Khas Jailer 2 yang dihiasi sepenuhnya dengan visual Jailer 2, sekali gus mencipta satu pendekatan baharu dalam promosi filem Tamil di Malaysia.


