Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Bangsawan Pictures
“ANDA semua rindu Exists tak? Kalau rindu, jom kita nyanyi lagu ini,” itu pembuka kata daripada Ezad sebelum mendendangkan lagu “Rindu Serindu-Rindunya” di ‘Konsert Exists Memento Mori 2.0’ yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 8 November, baru-baru ini.
Lagu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Allahyarham Man Toba itu dirakam oleh Exists pada 1999 dan dimuatkan dalam album kompilasi “Dirantai Digelangi Rindu”. Karya tersebutlah yang mengangkat nama kumpulan Spoon yang dimuatkan menerusi album pertama kumpulan itu pada 1998.
Kemudian Ezad Lazim yang menyertai Exists pada 1995 meneruskan persembahan dengan lagu “Destini” yang dipetik dari album “Seperti Dulu” keluaran 2003. Mungkin ramai yang tak biasa dengan lagu tersebut, berbanding “Percayakan Siti”, yang dimuatkan dalam album yang sama.
Di antara 33 buah lagu yang didendangkan oleh Ezad dan Mamat, mungkin ada di antara karya yang jarang diputarkan di corong radio.

Antara lagu yang hanya kedengaran suara penyanyi saja tanpa ada suara latar daripada penonton adalah “Dari Adik Tercinta”, “Janji Bidadari”, “Siapa Selain Aku”, “Hidup Fantasi” dan “Sebelum Terlewat”.
Situasi tampak berbeza apabila lagu-lagu hit seperti “Hani Lempengnya Hangus”, “Untuk Mu Ibu”, “Masih Terserlah Ayu Mu”, “Mama Tolonglah Percaya”, “Rahsia Pohon Cemara”, “Jesnita”, “Kapal Terbang Kertas”, “Langkah Seiringan”, “Dirantai Digelangi Rindu” dan “Alasanmu” dipersembahkan oleh Ezad mahupun Mamat, pasti ada ramai penyanyi latar yang turut menyanyi bersama.
Malah pada malam itu juga, anggota Exists, Along (gitar utama), Musa (bes), Ujang (dram), Ajai (keyboard) dan Shah (gitar), masing-masing mengungkapkan penghargaan untuk Allahyarham Johan Aziz, yang bertanggungjawab menubuhkan Exists pada 1991.

“Pada malam ini kami ingin mengenang Allahyarham Johan Aziz. Kalau tak ada beliau kami tak ada di sini. Kerana jasa beliau kami berada di sini.
“Dia penjaga dan pembimbing kami. Semua kebaikan yang dilakukannya akan abadi di hati kami,” kata Mamat sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Nota Di Lautan Sepi”.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu juga turut menampilkan segmen akustik yang menampilkan Ezad untuk lagu “Usah Tinggal Daku Kekasih”, “Masih Terserlah Ayu Mu”, manakala Mamat pua untuk lagu “Tak Mungkin Berpaling” dan “Sebelum Terlewat”.

Selain lagu-lagu hit dan malar segar yang didendangkan, sekali gus mengimbau nostalgia penonton, ‘Konsert Exists Memento Mori 2.0’ perlu diberi penghargaan kerana Ezad dan Mamat mendendangkan lagu secara live seolah-olah penonton mendengar secara langsung dari kaset atau cakera padat kerana suara mereka masih padu.
Malah pada malam itu juga kita dapat melihat betapa setianya penonton terhadap Exists. Siapa yang tak hafal lagu “Mengintai Dari Tirai Kamar”, ciptaan Saari Amri yang dikeluarkan pada 1997 dari album “Jangan Gentar”.
Album tersebut turut diedarkan di Indonesia pada 1998 dan mendapat mencapai jualan 600,000 unit.

Lagu tersebut turut dirakam semula oleh penyanyi Indonesia Raffa Affar dengan judul “Buih Jadi Permadani'” pada 2022. Malah Mamat turut merakam semula lagu tersebut bersama Exists pada Julai 2026.
Namun apa yang pasti, penonton tetap memilih versi asal dan nampak perbezaannya tatkala Mamat menyanyikan ikut versi baharu dan Ezad ikut versi asal yang turut dinyanyikan dengan sepenuh hati oleh penonton. Lagu baharu lain yang dinyanyikan pada malam itu ialah “Memilih Yang Salah”.
Pada yang tidak berpeluang menonton konsert Exists, jangan lepaskan peluang untuk ‘berkaraoke’ bersama mereka di ‘Konsert Exists Pulang Live In JB’ pada 9 Januari 2027 di EduCity Sorts Complex, Iskandar Puteri, Johor, sempena meraikan 35 tahun penubuhan Exists.


