Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Papa Din
PENULIS sudah lama mengikuti perjalanan seni Mamat atau Mohd Ali Kamaruddin, 48, sebagai penyanyi untuk kumpulan Exists sebelum ini.
Namun sewaktu menonton Mamat Mekar Showcase di Hotel Ideas Kuala Lumpur, pada 13 Januari lalu ternyata penampilannya amat berbeza.
Perbezaan itu begitu ketara mungkin kerana Mamat tampil secara solo dan tidak bersama dengan anggota Exists yang lain.

Sebagai penyanyi solo di showcase yang diiringi oleh lima pemuzik profesional, Mamat dilihat begitu ramah berinteraksi dengan kira-kira 200 penonton yang hadir.
Penampilannya 100 peratus berbeza jika bersama dengan Exists kerana setiap kali konsert bersama kumpulan tesebut, komunikasinya terbatas mungkin kerana ada dua penyanyi.
Namun untuk showcase yang lebih kepada santai bersama peminat ini, Mamat tampak relaks dan sempat mengusik penonton yang hadir menyokongnya.
“Terima kasih semua kerana sudi datang. Ini merupakan showcase pertama saya anjuran Mekar Management. Saya telah libat dalam bidan seni sejak 1991 lagi hingga kini.
“Mungkin ada lagu-lagu saya yang anda tidak pernah dengar, selain lagu-lagu nyanyian saya bersama Exists. Saya nak nyanyikan lagu “Dewi Sukma” yang dipetik dari album solo saya iaitu “Naluri Kasih: yang dikeluarkan pada 2006 oleh FMC,” jelas Mamat membuka tirai persembahannya dan diikuti dengan lagu “Nota Di Lautan Sepi”.

Mamat yang merupakan ayah kepada tiga orang anak, Aleeya Mysara, Mohd Eki Daniel dan Dylea Mysara turut memberitahu penonton yang beliau juga sudah mempunyai cucu.
Pada showcase itu, Mamat yang mendendangkan 10 buah lagu, sempat berkongsi berita gembira yang beliau akan bersama-sama rakan Exists bakal menjayakan konsert nanti.
“Pada malam ini saya bersyukur kerana diiringi pemuzik profesional, Edrie Hashim selaku pengarah muzik. Saya mahu menyanyikan lagu “Mama Aku Ingin Pulang” dendangan Nike Ardilla kerana memang minat lagu tersebut.
“Satu lagi lagu yang sentiasa menggamit memori kita semua adalah “Suci Dalam Debu” dari kumpulan Iklim,” ujar Mamat yang mendendangkan kedua-dua lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri.
Tambah Mamat, beliau boleh menyanyi apa saja lagu tapi “Untukmu Ibu” yang mempopularkan namanya dulu, kini agak sukar untuk dinyanyikan.

“Lagu ini dirakam pada 1991 dan waktu itu mak saya masih ada lagi. Sekarang saya jarang nak bawa lagu ciptaan Rahim Othman. Dia yang mencorak gaya nyanyian saya sebab saya anggap lagu itu hanyalah sebuah lagu untuk rakaman.
“Sekarang apabila orang tersayang dah tak ada baru terasa impak daripada lagu tersebut. Walaupun agak sukar untuk saya membawa lagu itu tapi lagu itu permintaan ramai. Kepada mereka yang masih mempunyai ibu jaga dan sayangilah mereka,” katanya.
Mamat yang telah melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan, tidak pernah mengundur diri dalam bidang seni yang dimulainya sejak usia 13 tahun lagi.
Persembahan ‘Mamat Mekar Showcase’ pada malam itu disudahi dengan lagu “Rahsia Pohon Cemara”, di mana Mamat mengajak kawannya, Hairul dari Singapura unuk berduet.


