Oleh : Nafsiah Jani
Kedai Emas Sri Semantan (KESS) secara rasmi tampil sebagai penaja utama pasukan Kelantan City FC (KCFC) bagi saingan Liga Semi-Pro A1 musim ini dengan nilai tajaan mencecah RM2 juta untuk sepanjang musim 2026/27 ini.
Pasukan yang kini menduduki tangga keempat liga dengan satu kemenangan dan satu seri menjadi pilihan KESS untuk penajaan tersebut.
Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood menjelaskan bahawa kehangatan serta kesetiaan penyokong Kelantan menjadi faktor utama yang memikat hati pihaknya untuk memeterai kerjasama berkenaan.

“Vibe penyokong KCFC amat kuat dan dan sokongan ini melekat pada jiwa saya melihat sokongan padu tersebut. Jadi kekuatan penyokong itu sesuai dengan apa yang kami terapkan di Kedai Emas Sri Semantan iaitu komuniti. Sokongan mereka dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berbelah bahagi dan itu membuatkan saya teruja untuk menaja pasukan KCFC untuk Liga A1,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini menjelang perlawanan pusingan kedua Piala FA antara KCFC dan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Pada perlawanan itu, KCFC layak ke suku akhir Piala FA selepas menumpaskan NSFC dengan aggreget 4-3.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Datuk Ahmad Razali Azmi dan Pegawai Perhubungan Korporat KESS, Muhammad Fadzli Saud.
Sebelum ini, KESS pernah menyalurkan tajaan bernilai RM4 juta kepada pasukan Liga Super, Sabah FC. Namun, bagi saingan Liga Semi- Pro A1, pelaburan awal RM2 juta disalurkan khusus bagi menyokong kebangkitan arena bola sepak tempatan.

Pihak penaja turut mempamerkan komitmen jangka panjang dengan menawarkan suntikan dana yang jauh lebih besar sekiranya KCFC berjaya melangkah ke saingan Liga Super musim depan.
“Pasukan ini terdiri daripada pemain-pemain muda dan semangat mereka cukup kuat. Sekiranya layak ke Liga Super, Insya-Allah kami berbesar hati untuk menaja KCFC sebanyak RM5 juta lagi sebagai pembakar semangat kepada mereka. Saya yakin mereka boleh melakukannya,” tambah beliau lagi.
Bagi memastikan tajaan tersebut memberikan pulangan positif, KESS meletakkan sasaran agar pasukan dapat bersaing di kelompok teratas Liga Semi-Pro A1 selain membantu mengangkat semula martabat bola sepak Negeri Kelantan.
“Kami di KESS dah tentulah nak pihak KCFC menjuarai ataupun mendapat tempat tiga terbaik di atas. Selain daripada itu, kami nak mengangkat martabat bola sepak di Kelantan serta menggalakkan sektor korporat lain turut serta membina bola sepak di negeri masing-masing.”
Menyentuh isu kebajikan pemain dan isu kewangan pasukan yang sering menjadi persoalan dalam arena bola sepak tempatan, pihak penaja memberi jaminan bahawa aspek pembayaran gaji akan diberi perhatian serius.
“Yang itu saya memang cukup ambil berat. Pembayaran kita boleh buat setiap bulan secara berperingkat dan berkala. Saya yakin dengan kemampuan KCFC kerana mereka dibarisi anak muda yang mempunyai semangat luar biasa.”

Sementara itu, Mohamad Hafizal menyifatkan penglibatan Kedai Emas Sri Semantan sebagai pendorong utama dalam mengembalikan era kegemilangan bola sepak Kelantan. Beliau turut berkongsi bahawa pasukan itu kini disokong oleh gabungan bekas pemain legenda dan pengurusan berpengalaman.
“Liga A1 ini bukan KCFC sahaja yang ada, tetapi arena bola sepak negara kita sebelum ini dipegang oleh negeri Kelantan sebagai pembuka jalan. KCFC kini melibatkan bekas pemain yang pernah menjuarai tiga piala dahulu (X-Treble Kelantan) dan pengurusan turut dibantu oleh Tan Sri Annuar Musa.
“Kami ingin mengembalikan aura bola sepak Kelantan supaya Liga A1 bukan semata-mata liga amatur bawahan, tetapi mampu memberi cabaran kepada Liga Super,” jelasnya lagi.
Selain tajaan kewangan, KESS turut menyediakan kelengkapan lengkap termasuk 5 hingga 6 rekaan jersi bagi tujuan latihan dan perlawanan, serta tajaan kasut untuk semua pemain dan staf pasukan. Perjanjian persefahaman (MOU) antara kedua-dua pihak telah pun dimeterai di Kota Bharu lalu.
KESS kini sudah mempunyai 28 cawangan kedai di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk sebuah kilang emas di Shah Alam.


