Oleh: Khadijah Ibrahim
KEBELAKANGAN ini kalau kita lihat media sosial, ada saja isu yang dibangkitkan oleh rakyat negara jiran tentang Malaysia.
Daripada rakyat hinggalah ke pemimpin, nama Malaysia tak pernah ‘baik’ pada pandangan rakyat Indonesia (tak semua).
Namun dari segi muzik pula, pantang ada ruang dan peluang pasti ada saja artis Indonesia yang hadir menjayakan konsert di Malaysia.
Kalau tanya penganjur kenapa tidak memberi peluang kepada penggiat seni tempatan? Alasan yang akan diberi kerana permintaan orang ramai.
Lagipun muzik itu universal dan tidak ada batasan, sebaliknya ia mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, merentasi budaya, bangsa, dan latar belakang yang berbeza.

Pasti ada di antara anda yang tidak mengenali kumpulan Juicy Luicy kan? Anda kenal atau tak, kumpulan yang berasal dari Bandung, Indonesia itu tetap hadir ke Malaysia pada 16 Januari 2027, untuk mengadakan persembahan.
Kumpulan yang dianggotai oleh Julian Kaisar sebagai vokalis, Denis Ligia (gitar elektrik dan gitar akustik), Zamzam Y.M (saksafon dan gitar akustik), Bina Bagja (bes) serta Eggy Ramandha (dram) itu akan hadir untuk menjayakan ‘Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur’ di Zepp Kuala Lumpur.
Kehadiran Juicy Luicy ke sini atas usaha AM.entertainment selaku penganjur. Ini bukan kali pertama kumpulan tersebut mengadakan persembahan di sini.
Kali pertama pada 25 Jun 2023 mengadakan ‘Konsert Juicy Luicy SentiMENTAL Live in Kuala Lumpur’, pada 8 November 2024, di lokasi yang sama membuat persembahan sempena konsert ‘Malam Galau Kuala Lumpur’, selepas itu pada 17 Ogos 2025, mereka tampil sebagai artis utama untuk Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Juicy Luicy ditubuhkan pada tahun 2010 dan sering mendapat perhatian ramai mungkin kerana mereka menggabungkan elemen muzik pop serta R&B dalam karya-karya yang ditonjolkan.
Ada lagu yang mengingatkan kita kepada seseorang. Ada lagu yang membawa kita kembali pada kenangan yang belum sepenuhnya dilupakan. Dan ada juga lagu yang seolah-olah memahami segala perasaan yang tidak pernah mampu kita ungkapkan dengan kata-kata.
Itulah antara keistimewaan muzik Juicy Luicy, yang dikenali menerusi karya-karya bertemakan cinta, kerinduan dan perjalanan emosi manusia.
Menerusi susunan melodi yang dekat dengan jiwa serta lirik yang mudah dikaitkan dengan pengalaman peribadi, lagu-lagu mereka sering menjadi teman pendengar dalam pelbagai fasa kehidupan.
Sepanjang perjalanan muzik mereka, Juicy Luicy telah menghasilkan beberapa karya yang mendapat tempat dalam kalangan pendengar, antaranya Lantas, Tampar, Sialan, Tanpa Tergesa dan Lampu Kuning.
Lagu-lagu ini memperlihatkan kekuatan kumpulan tersebut dalam mengolah kisah kehidupan menerusi gabungan melodi pop dan R&B yang menjadi identiti muzik mereka.

Menerusi ‘Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur’, karya-karya tersebut bakal menjadi antara pengisian yang menemukan kumpulan itu dengan peminat di Kuala Lumpur.
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, konsert ini menjadi peluang untuk meraikan perjalanan muzik yang telah menemukan Juicy Luicy dengan pendengar daripada pelbagai latar pengalaman.
Julian mengakui Juicy Luicy sangat menghargai sokongan yang diberikan peminat di Malaysia sejak kemunculan pertama mereka di sini.
“Setiap kali berpeluang membuat persembahan di Kuala Lumpur, kami sentiasa menerima sambutan yang cukup bermakna dan ia menjadi antara pengalaman yang kami nantikan.
“Menerusi ‘Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur’ kali ini, kami ingin membawa sesuatu yang istimewa buat peminat, khususnya menerusi rangkaian lagu yang telah menemani perjalanan muzik kami selama ini.
“Kami berharap dapat berkongsi satu malam yang penuh kenangan bersama semua yang hadir. Terima kasih kerana terus mendengar, menyokong dan menerima muzik Juicy Luicy. Kami tidak sabar untuk kembali bertemu anda di Kuala Lumpur,” katanya.
Tiket ‘Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur’ ditawarkan pada harga RM168 (CAT 1), RM148 (CAT 2), RM188 (CAT 3), RM158 (CAT 4), dan RM300 (VIP) boleh dibeli di platform penjualan tiket rasmi, Ticket2U.


