Oleh: Khadijah Ibrahim
SETIAP hari ada saja wajah-wajah baharu yang menyimpan impian untuk menjadi penyanyi. Justeru itulah, media sosial sering dijadikan platform untuk ketengahkan bakat masing-masing.
Sekadar menyanyi di media sosial, bukan tiket untuk seseorang itu melakar nama sebagai penyanyi kalau tidak disertakan dengan semangat dan disiplin diri, jika mahu menjadi penyanyi sepanjang masa dan bukan bermusim.
Salah seorang bakat baharu yang tampil dengan single sulung di bawah label Shiha Zikir Empire (SZE) dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia itu ialah Hazreen Amreena Syahlil.

Penyanyi berusia 29 tahun yang pernah menyertai program realiti ‘I Can See Your Voice’ musim keenam pada tahun 2023 itu berjaya menarik perhatian penyanyi Shiha Zikir, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Shiha Zikir Empire Holdings Sdn. Bhd., untuk bernaung di bawah labelnya.
“Waktu sertai ‘I Can See Your Voice’ matlamat utama mestilah nak menang. Tak sangka pula penampilan saya waktu itu mampu menarik perhatian Kak Shiha. Rezeki saya yang tak diduga.
“Saya sangat berterima kasih kepada Shiha Zikir Empire sebab mempercayai diri saya dan sentiasa ada untuk membantu saya. Kak Shiha memang seorang yang sentiasa mahukan yang terbaik dan tegas ketika bekerja,” katanya.

Bagi Hazreen, lagu “Teruskanlah” ciptaan sepenuhnya oleh Shiha itu membawa makna dan impak yang lebih dekat dengan dirinya berbanding lagu pertamanya, “Aura”, sebelum ini.
“Lagu “Teruskanlah” memang berbeza penceritaannya. Kalau sebelum ini saya hanya ada lagu cinta, tapi kali ini ia membawa mesej tentang perjuangan dalam hidup.
“Kita semua tahu, kita semua ada perjuangan dan pengorbanan tersendiri. Tipulah kalau tak ada rasa penat, rasa nak mengalah, tapi tetap gagah teruskan kehidupan demi orang yang tersayang.
“Ada juga yang kita pendam sendiri supaya tetap nampak kuat di mata orang tersayang pada hal jauh di sudut hati, kita tak kuat.
“Jadi, dengan lagu “Teruskanlah” ini, ia sedikit sebanyak dapat meluahkan apa yang tersimpan dalam hati seseorang yang mungkin tak dapat nak diluahkan sendiri.

“Insya-Allah lagu ini boleh memujuk dan memeluk hati semua yang sedang berhabis-habisan berjuang untuk kuat,” katanya mengulas mengenai maksud yang tersirat di sebalik lagu tersebut.
Dalam pada itu, Hazreen juga menyifatkan kerjasamanya dengan Shiha sebagai satu perkara yang bermakna.
“Bagi saya, cara Kak Shiha itulah yang membantu saya untuk tidak leka dalam mengejar impian terutamanya sebagai penyanyi yang masih mencari langkah.
“Lagu ini bermula dengan pertanyaan Kak Shiha kepada saya, beliau tanya saya mahu lagu apa. Kemudian saya luahkan kepada beliau yang saya nak lagu untuk anak sulung atau seorang provider yang sentiasa bekerja keras untuk orang tersayang walaupun diri sendiri penat dan tiada tempat untuk meluah.
“Maka dari itu, terhasillah karya indah ini. Terima kasih Kak Shiha untuk karya yang penuh bermakna ini,” katanya.

Ujar Hazreen, lagu tersebut juga dekat dengan dirinya dan berharap sesiapa yang mendengar akan terus berjuang sebagai pembakar semangat
“Lagu ini saya tujukan kepada diri saya sendiri dan sesiapa yang berjuang dalam hidup mereka. Macam saya sendiri, saya masih berusaha mencapai impian saya dalam bidang seni ini, tipulah kalau tak pernah nak give up, tapi itu bukan alasan untuk saya berhenti di tengah jalan.
“Saya juga berharap agar menerusi lagu ini, Allah kurniakan saya lebih banyak rezeki dan peluang pada masa akan datang.
“Pada masa sama, semoga mesej lagu “Teruskanlah” dapat sampai tepat ke hati pendengar. Saya juga harap ramai orang menggunakan lagu ini di platform media sosial terutamanya ketika hendak berkongsi pahit manis kehidupan mereka.
“Kalau orang rasa lagu ini dapat jadi pemangkin semangat, saya sangat sangat bersyukur, katanya berharap lagu “Teruskanlah” menjadi batu loncatan untuk kerjayanya berkembang lebih mekar.


