Oleh: Khadijah Ibrahim
MANUSIA mana yang tidak pernah melakukan kesilapan kerana kita bukan maksum (terpelihara, bebas daripada dosa atau tidak tercela).
Adakalanya kerana kekhilafan itulah akan mengajar kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Siapa kita nak menghukum seseorang, sedangkan kita sendiri tidak sempurna.
Tidak salah untuk menegur tapi biarlah kena caranya kerana hidup ini ibarat roda berputar.
Dek teguran ‘tak bertapis” daripada netizen, usahawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 39, yang selama ini dikenali sebagai individu ceria turut merasa sedih.
Jelas Aliff, beliau bukanlah orang yang tidak boleh ditegur tapi teguran itu biarlah berhemah.
Beliau menjadi perhatian kerana ada penceramah bebas menegur agar memperbetulkan bacaan dalam solat sewaktu membaca surah al- Fatihah dan al-Fil.

“Terlebih dahulu saya nak bagi tahu, ketika saya buat video itu, niat saya hanya menyembang dengan anak-anak, ketika itu isteri saya tak ada.
“Saya buat video itu sebab saya dah penat bekerja dan saya hanya buat suka-suka. Saya buat live saya tu waktu bersembang dan bermain dengan anak-anak.
“Saya beritahu pada follower, saya nak berhenti sebab nak solat. Ketika itu saya tak ada niat pun nak tunjuk skil saya sembahyang ke apa. Niat saya, nak berkongsi saja macam kita tengok kat TV solat Jumaat.
“Secara jujurnya, itu adalah satu fasa dalam kehidupan saya yang saya nak kongsi.Bila saya buat live, orang tanya, saya tak solat ke, tak mengaji ke?,” katanya terus terang.
Jelas Aliff lagi, apa yang beliau paparkan di media sosial (bersolat) adalah secara tak sengaja dan tiada niat untuk mempermainkan agama.
“Bagi saya apa yang saya buat itu adalah secara tak sengaja. Saya tak pernah pun nak memperlekeh atau memperendahkan agama saya. Saya buat itu dengan nama Allah tak ada niat apa-apa.
“Saya baca macam saya baca biasa tapi adat kekhilafan kita, kadang kita tertinggal ayat, kekurangan dan sebagainya.
Bila saya buat satu kesalahan yang kecil tapi dihina melampau.

“Mereka itu memprovokasi saya, seolah-olah saya ni mainkan agama. Sedangkan saya hanya ingin berkongsi dengan semua orang, saya juga manusia.
“Kalau saya cerita benda yang indah, kata saya kaya, nanti kata saya riak pula. Kenapa anda kejam dengan saya. Banyak lagi orang lain yang buat perkara mengarut-ngarut tapi hina saya melampau. Saya baca semua komen tau.
“Ada kata saya melampau, disambar api neraka, ikut ajaran sesat. Kalau bacaan saya salah, itu antara saya dengan Allah dan saya berusaha untuk memperbetulkan. Tapi penghinaan itu melampaulah.
“Bila awak menghina saya, anak-anak saya sampai malu. Mereka tanya, abah kenapa macam ni? Awak tahu tak, saya nak baca al-Quran pun tak betul kerana saya ada penyakit. Saya ada masalah Gangguan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan disleksia. Nak hafal tu saya struggle.
“Bila saya dapat mengaji dengan anak-anak saya, sebelum ini saya tak pernah buat. Umur saya 33 tahun saya berkata nak bersama dengan keluarga, nak ajak follower buat benda-benda baik. Bila baca komen tu saya terus down.
“Saya baru saja nak ambil kelas agama dan nak kongsi cara bacaan saya. Orang lain bolehlah cakap sebab anda normal. Saya yang kurang sempurna ni bila dapat mengaji dan hafal satu surah, saya seronok.
“Saya selalu menyendiri dan bertanya pada diri, kenapa saya ni bodoh. Saya nak membaca dan menghafal seperti orang lain. Nombor telefon isteri pun saya tak hafal. Orang yang menghina itu membuatkan saya lebih down.
“Saya tak nak komen lebih-lebih dan gaduh dengan orang. Cukuplah apa yang saya lalui ini memang saya rasa sedih,” luahnya sewaktu ditemui di majlis pelancaran YES (Year End Sale Promotions) D’Herbs di Kota Damansara, semalam (7 November 2026).


