Oleh: Syed Yusof Wafa
PENGASIH Pahang terus mempergiatkan usaha dalam bidang rawatan, pemulihan dan pembangunan kepulihan bagi meningkatkan kadar pemulihan serta memperkukuh kesejahteraan individu yang mengalami kecelaruan penggunaan bahan (Substance Use Disorder).
Komitmen berterusan ini turut diperkasakan menerusi Bantuan Khas Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM75,000.00 yang telah diluluskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail. semasa pembentangan
Belanjawan Negeri Pahang 2026. Peruntukan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap peranan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dan bahan dalam masyarakat.
Bagi PENGASIH Pahang, bantuan ini bukan sekadar sokongan kewangan, malah merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha dan sumbangan NGO dalam melengkapi peranan kerajaan, khususnya dalam menyediakan sokongan pemulihan yang berterusan kepada individu, keluarga dan komuniti yang terkesan dengan masalah ketagihan.
Melalui peruntukan tersebut, pelbagai aktiviti pengukuhan kepulihan telah dan sedang dilaksanakan dengan memberi manfaat secara langsung kepada klien serta ibu bapa dan ahli keluarga mereka.
Program-program ini memberi penekanan kepada pengukuhan motivasi, pembinaan jati diri, pembangunan kemahiran kehidupan, sokongan psikososial, pengukuhan hubungan kekeluargaan serta pemantapan strategi pengekalan kepulihan.

Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), bergambar kenangan bersama pimpinan tertinggi PENGASIH Malaysia.
Pendekatan ini penting kerana proses pemulihan daripada ketagihan bukan sekadar melibatkan pemberhentian penggunaan dadah atau bahan, tetapi turut memerlukan perubahan menyeluruh terhadap aspek pemikiran, tingkah laku, emosi, kerohanian, hubungan sosial dan keupayaan seseorang untuk kembali berfungsi secara positif dalam masyarakat.
PENGHARGAAN KEPADA KERAJAAN NEGERI PAHANG
Penaung dan Penasihat PENGASIH Malaysia, Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Hussin, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang atas keprihatinan serta sokongan yang diberikan kepada PENGASIH Pahang.
Menurut beliau, sokongan Kerajaan Negeri amat bermakna dalam memastikan usaha rawatan dan pemulihan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan berterusan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu ketagihan dadah dan penyalahgunaan bahan merupakan cabaran sosial yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak. Justeru, kerjasama erat antara kerajaan, NGO, institusi agama, keluarga, sektor swasta dan masyarakat amat penting bagi memastikan individu yang terkesan mendapat peluang kedua untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Bantuan yang disalurkan juga membolehkan PENGASIH memperluas manfaat program kepada keluarga klien kerana keluarga merupakan antara komponen terpenting dalam membina persekitaran yang menyokong kepulihan jangka panjang.

MUIP RAKAN STRATEGIK DALAM PEMBANGUNAN PENGASIH PAHANG
Dalam perkembangan yang sama, Abd Halim turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ria`yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), atas keprihatinan serta sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan PENGASIH.
Antara sumbangan besar yang diberikan ialah persetujuan dan usaha MUIP menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 bagi pembangunan Surau Kompleks PENGASIH Cinta Manis.
Pembangunan surau ini amat signifikan kerana aspek kerohanian merupakan salah satu komponen penting dalam pendekatan pemulihan secara holistik. Kewujudan kemudahan tersebut dijangka dapat memperkukuh pelaksanaan aktiviti kerohanian, penghayatan nilai-nilai murni, pembangunan sahsiah dan pengukuhan spiritual dalam kalangan klien serta komuniti setempat.
Sokongan MUIP terhadap PENGASIH tidak terhad kepada pembangunan infrastruktur semata-mata.
Melalui keprihatinan dan komitmen YH. Dato’ Dr. Hj. Asmadi bin Abdul Rahman selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan turut dipermudah bagi memastikan kelangsungan operasi serta kebajikan penghuni di Kompleks PENGASIH Cinta Manis.
Antara bantuan terkini ialah pembiayaan makanan dan minuman dalam bentuk barangan keperluan kering yang bernilai RM200,000.00. Sumbangan ini memberikan sokongan yang amat bermakna dalam membantu memenuhi keperluan asas pemakanan penghuni serta mengurangkan beban pengurusan operasi pusat.
PENGASIH melihat MUIP sebagai rakan strategik yang amat penting dalam menangani isu sosial masyarakat, khususnya berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan di negeri Pahang.
Lebih daripada itu, YAM Tengku Panglima Raja turut menzahirkan pandangan dan bimbingan strategik berkaitan masa hadapan PENGASIH, termasuk cadangan agar premis PENGASIH dibangunkan sebagai aset wakaf kepada MUIP. Cadangan ini dilihat sebagai satu pendekatan jangka panjang bagi memastikan pengurusan, pemilikan dan kelestarian pembangunan kompleks dapat terus dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.
Pendekatan tersebut berpotensi menjadikan pembangunan PENGASIH lebih mampan, terurus dan mempunyai asas institusi yang kukuh untuk terus memberikan manfaat kepada masyarakat.


sebanyak RM500,000.00 bagi pembangunan Surau Kompleks PENGASIH Cinta Manis.
PENGASIH MENUJU PUSAT KECEMERLANGAN RAWATAN DAN PEMULIHAN
Mengulas mengenai hala tuju organisasi, Abd Halim menyatakan bahawa PENGASIH akan terus memperluas fungsi dan peranannya. PENGASIH tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada operasi sebagai sebuah pusat rawatan dan pemulihan, sebaliknya berhasrat berkembang sebagai Pusat Kecemerlangan Rawatan dan Pemulihan serta Kompleks Pembangunan Insan yang berorientasikan kerohanian dan terbuka kepada pelbagai peringkat umur serta latar belakang masyarakat.
Visi ini mencerminkan komitmen PENGASIH untuk membangunkan sebuah ekosistem pembangunan insan yang lebih menyeluruh, merangkumi rawatan, pemulihan, latihan, pendidikan, pembangunan keluarga, pencegahan dan pengukuhan nilai kerohanian.
Dalam usaha meningkatkan profesionalisme bidang rawatan dan pemulihan, PENGASIH juga telah berjaya membangunkan satu modul latihan kecekapan yang dikenali sebagai Addiction Recovery Coach (ARC).
Modul ARC dibangunkan bagi memperkukuh kompetensi dan kemahiran individu yang terlibat dalam memberikan bimbingan serta sokongan kepada mereka yang sedang menjalani proses pemulihan ketagihan.
Pendekatan Addiction Recovery Coach memberi penekanan kepada peranan pembimbing kepulihan yang mampu membantu klien menetapkan matlamat pemulihan, membina motivasi, mengenal pasti risiko berulang, memperkukuh kemahiran mengurus kehidupan serta mengekalkan perubahan positif.
Kejayaan modul ini turut mendapat pengiktirafan apabila berjaya memperoleh pingat emas dalam Pertandingan Inovasi Serantau anjuran PERKAMA International.
Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan kepada PENGASIH dan membuktikan bahawa pengalaman serta kepakaran yang dibangunkan melalui penglibatan langsung dalam bidang pemulihan berpotensi diterjemahkan menjadi inovasi latihan yang mempunyai nilai dan manfaat kepada industri perkhidmatan pemulihan.
PENGASIH berhasrat untuk terus memperluas penggunaan modul ini sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan tenaga kerja serta memperkukuh standard perkhidmatan rawatan dan pemulihan di Malaysia.

TAHUN 2027: MEMPERKASA PENDIDIKAN PENCEGAHAN MELALUI MODUL KENALI ANAK KITA
Bagi tahun 2027, PENGASIH akan memberikan tumpuan yang lebih khusus kepada aspek pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah dan bahan.
Abd Halim berpandangan bahawa pencegahan merupakan satu bentuk pelaburan sosial yang memberikan pulangan besar kepada kesejahteraan masyarakat. Usaha pencegahan yang dilaksanakan secara terancang dan berasaskan bukti mampu mengurangkan risiko individu terlibat dengan penyalahgunaan bahan serta mengelakkan keluarga dan masyarakat daripada menanggung kesan sosial, ekonomi dan emosi akibat ketagihan.
Sehubungan itu, PENGASIH telah membangunkan satu modul pendidikan pencegahan yang berstruktur dan berasaskan pembuktian, iaitu Modul Kenali Anak Kita (KAK).
Modul KAK dibangunkan dengan matlamat memperkasakan ibu bapa dan keluarga melalui pendidikan keibubapaan yang lebih berkesan, khususnya dalam memahami perkembangan anak-anak, mengenali perubahan tingkah laku, mengesan faktor risiko serta membina komunikasi kekeluargaan yang sihat.
Antara elemen penting yang diberi penekanan ialah keupayaan ibu bapa memahami dunia dan cabaran yang dihadapi oleh anak-anak, membina hubungan komunikasi yang terbuka, mengenal pasti tanda-tanda awal tingkah laku berisiko serta mengetahui tindakan yang wajar diambil apabila berhadapan dengan situasi yang membimbangkan.
PENGASIH percaya bahawa ibu bapa merupakan barisan pertahanan pertama dalam usaha melindungigenerasi muda daripada ancaman penyalahgunaan dadah dan bahan.
Pendidikan pencegahan perlu bermula dari rumah dan diperkukuh melalui sekolah, institusi agama, komuniti serta pelbagai agensi berkaitan. Dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul, ibu bapa bukan sahaja mampu mengenal pasti risiko lebih awal, malah berupaya membina persekitaran keluarga yang lebih selamat, penyayang dan menyokong perkembangan positif anak-anak.


PENDEKATAN WHOLE OF NATION: TANGGUNGJAWAB BERSAMA MEMBINA MASYARAKAT BEBAS DADAH
PENGASIH Malaysia menyeru agar semua pihak terus memainkan peranan dalam usaha pencegahan dan pemulihan penyalahgunaan dadah serta bahan berdasarkan keupayaan dan kepakaran masing-masing.
Isu ketagihan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau agensi penguatkuasaan.
Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat melalui pendekatan Whole of Nation Approach, iaitu pendekatan yang menggabungkan kekuatan dan sumber pelbagai pihak secara kolektif, terselaras dan saling melengkapi.
Kerajaan berperanan menyediakan dasar, peruntukan dan sokongan institusi. NGO pula melengkapi usaha tersebut melalui pengalaman lapangan, perkhidmatan pemulihan dan sokongan komuniti.
Institusi agama memainkan peranan dalam membina kekuatan spiritual dan nilai kehidupan, manakala keluarga serta masyarakat menjadi sistem sokongan terdekat kepada individu yang sedang menjalani proses pemulihan.
Kerjasama strategik seperti yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan MUIP bersama PENGASIH merupakan contoh positif bagaimana sinergi antara institusi kerajaan, institusi agama dan NGO dapat menghasilkan impak yang lebih besar kepada masyarakat.

KOMITMEN PENGASIH MENYOKONG AGENDA PAHANG 1ST
PENGASIH Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada segala inisiatif pembangunan masyarakat yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan agensi-agensinya, khususnya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosial, memperkukuh institusi kekeluargaan serta menangani isu penyalahgunaan dadah dan bahan.
PENGASIH percaya bahawa pembangunan negeri bukan sahaja diukur melalui kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi turut bergantung kepada kekuatan modal insan, kesejahteraan keluarga, kesihatan sosial dan keupayaan masyarakat membina kehidupan yang sejahtera.
Justeru, PENGASIH komited untuk terus menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri Pahang dalam membangunkan masyarakat yang lebih sihat, berdaya tahan, berilmu dan mempunyai nilai kerohanian yang kukuh.
Semangat PAHANG 1ST perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui kecemerlangan pembangunan negeri, malah melalui keprihatinan bersama dalam memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir daripada peluang untuk berubah, pulih dan membina masa hadapan yang lebih baik.
PENGASIH percaya bahawa setiap insan berhak mendapat peluang kedua. Dengan sokongan kerajaan, institusi agama, keluarga dan masyarakat, kepulihan bukan sekadar satu harapan, tetapi satu realiti yang boleh dibina bersama.


