Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS lebih tiga dekad mencipta nama dalam bidang lakonan, aktres Datin Sofia Jane bukan sekadar melakar nama di layar lebar mahupun layar kaca, malah beliau juga beraksi di pentas teater.
Sofia mula berlakon teater pada 1994 menerusi ‘Malam Ini Penyu Menangis’ dan teater terakhir lakonannya berjudul ‘Visits’ pada tahun lalu.
Terkini, pada 20 – 22 November dan 27 – 29 November 2026, jam 8.30 malam dan 3 petang, buat pertama kalinya beliau akan beraksi solo dalam teater berbahasa Inggeris, ‘Thrown’ yang akan dipentaskan di The Studio, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC).
“Ini sebenarnya bukan teater solo pertama saya. Saya dah bekerja lebih 30 tahun, mungkin orang dah lupa. Saya pernah pentaskan teater solo pertama sebelum ini, dalam lingkungan 20 hingga 30 minit macam tu.

“Kali terakhir saya berlakon berseorangan di dalam teater berbahasa Melayu bersama Nam Ron, ‘Laut Lebih Indah Dari Bulan’, pada 2013 dan boleh saya kategorikan sebagai lakonan sololah. Tapi mungkin berbeza sikit sebab masa tu Nam Ron mempunyai dua lagi pementasan monolog yang digabungkan.
“Kali ini saya kembali untuk lakonan solo pertama saya dalam bahasa Inggeris selama satu jam. Dan ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan pengarah Gavin Yap.
“Saya tidak mengambil masa lama untuk terima tawaran Gavin. He just showed me the script and I said, “Oh this is so…” sangat berbeza kerana tema yang diketengahkan, satu subject matter yang saya rasa sangat dituntut sekarang,” kata Sofia terus terang.
Pemegang watak Azizah menerusi filem ‘Mira Edora’ lakonan pertamanya di layar lebar pada 1990 berkata, beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan Gavin menerusi karya Jodi Gray itu.

“Saya rasa saya dan Gavin dah lama nak bekerjasama, tetapi mungkin mencari naskhah yang rasa dekat dengan kita bersama, that we understand a lot about.
“Dari situ dia terjah saya dengan teks ‘Thrown’ ni, dan saya suka. Sekarang kita dalam proses… dalam proses rehearsals, ” sambungnya lagi.
Untuk makluman, selain mengarah, Gavin ialah pelakon, penulis, pengarah teater dan filem Malaysia. Telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Seni Negara dalam bidang pengarahan pada 2007.
Sebagai pelakon pula, Gavin telah beraksi di pentas Malaysia, Singapura, Macau, Australia dan New York menerusi pementasan seperti The Importance of Being Earnest, Fat Pig, Tribes, Red, Made in America dan Someone Who’ll Watch Over Me.

Beliau merupakan Pengarah Residen pertama di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre
(klpac). Sepanjang tempoh tersebut, beliau mengarahkan pementasan The Homecoming,
Endgame, 4.48 Psychosis dan Wrecks.
Ujar Sofia, 54, beliau kagum dengan Gavin kerana pengarah itu berpengalaman luas dalam bidang teater.
‘Thrown’ terbitan Superbear Productions, lakonan Sofia itu bakal membawa penonton menyelami dunia seorang ahli psikologi apabila batas antara memorinya dengan memori pesakitnya semakin kabur.
“Subjek yang ditampil relevan dengan situasi sekarang. Apatah lagi dengan mental health challenges yang a lot of people are facing today. Jadi saya rasa tema dan subject matter ini sangat dekat dengan apa yang sedang berlaku di dalam dunia sekarang.
“Saya melakonkan watak seorang ahli psikologi kanak-kanak yang menggunakan cara atau method yang tidak konvensional untuk mencari atau menggali kembali memori dia sendiri yang dah lama dia simpan, yang dia tidak mahu menghadapi.

“To understand siapa dia sebenarnya, dan kenapa dia memandang sesuatu keadaan atau
orang di sekeliling dia sebegitu. Dia tahu puncanya adalah sesuatu yang pernah berlaku pada diri dia pada waktu kecil. Dia menggunakan kaedah tidak konvensional ini di mana kaedah ini adalah menggunakan audio recordings pesakit-pesakit dia sebelum ini. Tetapi ia mula mengaburi apa yang dia inginkan sebenarnya.
“Saya rasa itu sangat menarik sebab kadangkala kita fikir kita mengingati sesuatu, tetapi sebenarnya keadaan itu sebaliknya, atau orang lain yang berada di tempat dan memori itu melihat dari perspektif berbeza.
“Di sini saya nak tekankan bahawa kadangkala kita rasa kanak-kanak melalui sesuatu yang kita sebagai orang luar rasa that’s not trauma atau itu benda kecil sahaja.
“Tetapi kita tidak faham benda kecil itu sebenarnya akan membawa kepada sesuatu yang lebih besar selepas itu kalau tidak dijaga atau dikemukakan. Dan inilah yang berlaku pada wanita ini,” kongsi Sofia mengenai watak yang bakal dilakonkan.
Bakal beraksi secara solo, Sofia yang berpengalaman luas itu pun tidak menafikan yang perasaan gementar itu tetap ada.

“Tak ada pelakon yang akan cakap dia confident. Kita takut… bukan takut, tapi saya pernah melalui pengalaman sebelum ini melakukan pementasan solo, saya rasa penonton itulah yang merupakan cerminan kita. Reaksi, keluhan mereka sewaktu menonton atau gelak ketawa mereka.
“Pastinya apa yang ada dalam teks ini adalah sesuatu yang amat dekat dengan banyak orang. Jadi saya rasa sedikit sebanyak cerita yang bakal dikongsikan itu akan ada detikan di dalam hati penonton nanti.
“Setiap manusia di dalam audiens akan rasa lain, dan saya juga akan rasa lain sebagai pelakon. Di dalam konteks itu, saya rasa energi penonton itu sendiri yang akan membekalkan sesuatu buat seseorang pelakon,” katanya.
Tambah Sofia, walaupun beliau bukan ahli psikologi tapi sebagai manusia, kita semua perlu mengambil tahu hal orang sekeliling.
“We need to look after each other, we need to be aware orang di sebelah kita, orang di depan kita. Cuba jadi individu yang lebih baik untuk orang di sebelah kita. Kita tak boleh tolong semua orang, tapi kita kena cuba.
“Kena ada kesedaran. Benda kecil yang kita rasa orang jatuh dan digelakkan bukan hal besar, mungkin bagi individu itu, ia satu hal yang sangat besar. You don’t know,” ujarnya.


