SIAPA dulu masa zaman sekolah siap sapu minyak angin Cap Kapak kat wajah untuk elak rasa mengantuk. Satu subjek yang diajar oleh guru hanya 45 minit saja tapi kalau rasa mengantuk datang, tersengguk-sengguk la jawabnya.
Bayangkan macam mana anda nak bersengkang mata kira-kira dua jam, bermula pukul 3 hingga 5 petang untuk mendengar seorang penceramah berkomunikasi di hadapan.
Kalau anda nak uji ketahanan mental dan mahu menimba ilmu baharu, cubalah daftar diri ke SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience, sebuah program komunikasi profesional yang dikendalikan secara eksklusif oleh ikon penyiaran tersohor negara, Datuk Aznil Haji Nawawi.
Program yang julung kali diperkenalkan oleh Icon Entertainment itu, menggabungkan perkongsian ilmu, demonstrasi, latihan praktikal dan elemen hiburan berteraskan pengalaman Aznil selama lebih 40 tahun atau empat dekad dalam industri penyiaran.
Program pembangunan modal insan yang dijadual berlangsung pada 28 November 2026 bertempat di Plenary Theatre, KLCC itu, bakal mengetengahkan komunikasi sebagai kemahiran yang boleh dipelajari, dilatih dan dipertingkatkan, bukan sekadar bakat semula jadi atau kebolehan bercakap di hadapan khalayak.
Pak Nil bakal berkongsi ilmu dan pengalamannya bersama peserta dalam program SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience.
Menerusi SHOW ADA KELAS – The Signature Communication Experience, peserta akan didedahkan kepada lima modul utama iaitu Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan, Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan, Executive Presence, Storytelling Yang Berkesan dan Menjadi Individu Yang Dipilih.
Modul berkenaan merangkumi teknik mengatasi kegugupan, penggunaan bahasa badan, kawalan suara, penyusunan mesej, kemahiran pembentangan, penceritaan berkesan serta pembinaan penjenamaan diri (personal branding) dan kredibiliti profesional.
Pendekatan edutainment yang menggabungkan pendidikan dan hiburan turut menjadi antara elemen utama program itu.
Melalui kaedah berkenaan, peserta bukan sahaja memperoleh pendedahan kepada konsep komunikasi, malah berpeluang memahami penggunaannya dalam situasi sebenar menerusi demonstrasi, latihan praktikal dan sesi interaktif.
Selaku panel utama yang mengendalikan SHOW ADA KELAS – The Signature Communication Experience, Aznil atau Pak Nil menyifatkan program yang dianjurkan bukan tentang menjadi popular tetapi menjadi pilihan.
“Dalam SHOW ADA KELAS – The Signature Communication Experience juga, saya tidak mengajar cara bercakap tapi mengajar cara didengar.
Pada program tersebut, peserta bebas tanya apa saja soalan dan lihat bagaimana Pak Nil menjawab.
“Jadi secara amnya program ini dirangka bagi membantu peserta daripada pelbagai latar belakang meningkatkan keyakinan dan menguasai teknik komunikasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan profesional.
“Saya fikir inisiatif ini selari dengan dunia yang semakin bergantung pada komunikasi secara bersemuka dan digital, keupayaan menyampaikan idea dengan jelas dan meyakinkan mempunyai kepentingan merentas bidang daripada pengucapan awam dan pembentangan profesional kepada rundingan perniagaan, kepimpinan serta penciptaan kandungan.
“Menerusi pengguasaan seni komunikasi menerusi lima modul utama yang dirangka secara praktikal dan berstruktur, penekanan program ini adalah tentang keyakinan diri merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari, dilatih dan dikuasai,” jelas Pak Nil.
Lagipun, dalam persekitaran yang semakin bergantung pada komunikasi secara bersemuka dan digital, keupayaan menyampaikan idea dengan jelas dan meyakinkan penting dalam pelbagai bidang, termasuk pengucapan awam, pembentangan profesional, rundingan perniagaan, kepimpinan dan penciptaan kandungan.
Sebelum ini Pak Nil sering bekerjasama dengan pelbagai pihak mengadakan program motivasi di sekolah-sekolah atau pusat pengajian tinggi secara tertutup.
Sementara itu, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata pendekatan pembelajaran yang menggabungkan ilmu dan hiburan menjadi antara tarikan utama SHOW ADA KELAS – The Signature Communication Experience, khususnya dalam menyampaikan kemahiran komunikasi melalui pengalaman yang interaktif.
“Kami tertarik dengan pendekatan edutainment yang menggabungkan unsur humor dan interaksi dalam proses pembelajaran. Kami melihat ia sebagai satu pendekatan menarik untuk diketengahkan kepada peserta.
Selalunya Icon Entertainment anjur konsert, kali ini Iman Tang buat program edutainment pula bersama Pak Nil.
“Bayangkan anda berpeluang menimba ilmu secara langsung atau eksklusif daripada ikon penyiaran negara yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri.
“Peserta akan didedahkan kepada pelbagai teknik, termasuk cara mengatasi kegugupan, menggunakan bahasa badan, mengawal suara, menyusun mesej, membuat pembentangan serta membina kemahiran penceritaan dan penjenamaan diri.
“Pengalaman ini tidak akan didapatkan di program lain tetapi hanya dalam SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience,” ujar Iman pula.
SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience menyasarkan penyertaan daripada pelbagai latar belakang, termasuk penjawat awam, eksekutif korporat, usahawan, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, pensyarah, pemimpin belia, ketua organisasi dan pencipta kandungan.
Dengan gabungan pengalaman industri, latihan praktikal dan pendekatan pembelajaran berteraskan hiburan, SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience, membawa kemahiran komunikasi ke ruang pembangunan profesional yang lebih luas, sekali gus memberi peluang kepada individu dan organisasi untuk memperkukuh keupayaan menyampaikan idea dengan yakin dan berkesan.
Harga tiket berharga RM288 dan RM388 dengan caj tambahan RM50 untuk E-sijil, RM100 untuk Sijil Fizikal dan RM 200 untuk sesi Meet & Greet. Tiket boleh dibeli di: www.ticket2u.com.my/showadakelas
KALAU orang sebelah utara sebut ‘kasut Jepun’, itu bukan bermaksud kasut tersebut dibeli dari Jepun ya. Sebenarnya ‘kasut Jepun’ merujuk kepada selipar, meskipun produk itu dibuat di Malaysia.
Salah satu selipar atau kasut getah asli yang berasal dari Malaysia adalah jenama Fipper. Selipar ini diperbuat dengan menggunakan formula getah asli eksklusif dengan logo ikonik gajah dan rekaan dwiwarna.
Jenama Fipper diasaskan oleh Jack Lim bersama tiga orang rakannya sekitar 2008. Sejak penubuhannya, Fipper telah berkembang menjadi jenama yang mempunyai 150 cawangan utama di 20 negara, termasuk pembukaan 40 cawangan baharu di Indonesia sejak pertengahan tahun 2025.
Bersempena ulang tahun ke-18 penubuhannya, produk tersebut melakar satu lagi pencapaian penting menerusi perasmian ibu pejabat baharunya di Balakong Jaya, Selangor yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Fipper telah berkembang dengan rangkaian 150 cawangan utama di 20 negara.
Pembukaan ibu pejabat baharu tersebut, melambangkan perjalanan dan perkembangan Fipper sepanjang 18 tahun, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi serta pengukuhan operasi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Bangunan tersebut turut menempatkan Fipper Experience Centre, sebuah ruang interaktif yang mengetengahkan sejarah dan pencapaian jenama melalui reka bentuk kreatif, termasuk lantai unik yang dihasilkan menggunakan tapak selipar Fipper.
Ketua Pegawai Eksekutif Fipper, Jee Von, berkata pencapaian tersebut merupakan hasil sokongan berterusan warga kerja, rakan perniagaan dan pelanggan.
“Ketika Fipper bermula 18 tahun lalu, impian kami cukup sederhana, iaitu menghasilkan kasut yang tahan lasak, selesa dan berkualiti tinggi berasaskan getah asli.
Selain majlis perasmian ibu pejabat baharu, Fipper turut melancarkan Kuala Lumpur Travel Passport.
“Hari ini, Fipper telah berkembang dengan rangkaian 150 cawangan utama di 20 negara. Ibu pejabat baharu ini menjadi simbol perjalanan dan usaha bersama seluruh warga Fipper,” katanya.
Tambahnya, sempena majlis perasmian tersebut, Fipper turut melancarkan Kuala Lumpur Travel Passport, sebuah inisiatif baharu yang bertujuan mempromosikan tarikan pelancongan, menggalakkan penerokaan sekitar Kuala Lumpur serta menyokong perniagaan tempatan.
“Inisiatif yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Hannah Yeoh , ini memanfaatkan rangkaian peruncitan Fipper sebagai platform untuk memperkenalkan pengalaman pelancongan di ibu negara, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026,” ulas Jee Von.
Sementara itu, Hannah Yeoh turut memuji inisiatif Fipper sebagai satu usaha positif daripada jenama tempatan dalam mencipta pengalaman yang mampu meninggalkan kenangan bermakna kepada pelancong yang berkunjung ke Kuala Lumpur.
Antara selipar Fipper yang dihasilkan dalam pelbagai warna.
“Kadangkala, perkara kecil yang membuatkan seseorang mengingati sesebuah bandar. Mungkin kerana makanan yang enak, layanan mesra peniaga, sesuatu yang dibeli ketika melancong, malah sepasang selipar.
“Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana perniagaan tempatan boleh memainkan peranan dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah destinasi yang terus diingati oleh para pengunjung,” kata Hannah Yeoh.
Beliau turut menyambut baik usaha Fipper dalam menghubungkan pengalaman
membeli-belah dengan promosi pelancongan, sekali gus memberi nilai tambah kepada industri pelancongan dan perniagaan tempatan.
Hannah Yeoh puji usaha Fipper lancarkan Kuala Lumpur Travel Passport, inisiatif yang bertujuan mempromosikan tarikan pelancongan tempatan
Selain Kuala Lumpur Travel Passport, Fipper turut memperkenalkan Fipper Monster Resort Blind Box, sebuah konsep koleksi karakter dengan pengalaman permainan digital interaktif, serta melancarkan kolaborasi Fipper | Montigo Tumbler sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penawaran produk gaya hidup.
Dengan pembukaan ibu pejabat baharu dan pengenalan inisiatif strategik ini, Fipper terus komited untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jenama Malaysia yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, di samping menyumbang kepada
pembangunan ekonomi dan industri pelancongan negara.
Sarat dengan konflik, fitnah, air mata dan pengajaran kehidupan, pementasan Tok Bidan Somah 2 – Extended Version (TBS2-EV) kembali menemui peminat teater tanah air dengan persembahan yang lebih segar, babak-babak baharu serta penampilan barisan pelakon berpengalaman, termasuk wajah-wajah yang tidak asing lagi dalam drama televisyen tempatan.
Bakal dipentaskan pada 1 November 2026 (Ahad) di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ampang Jaya, karya ini bukan sekadar sebuah persembahan teater, sebaliknya menjadi wadah untuk menghidupkan kembali keindahan cerita Melayu lama, menyemai nilai budi bahasa dan memperkenalkan warisan budaya kepada generasi masa kini.
Diterajui oleh Tamu Lestari Madani Solutions, pementasan ini hadir dengan misi yang lebih besar, iaitu mengangkat seni budaya Melayu sebagai khazanah bangsa yang wajar dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Lebih istimewa, TBS2-EV membawa semangat Malaysia MADANI menerusi penyertaan pelbagai kaum serta penglibatan golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di atas pentas yang sama. Penampilan khas Persatuan Silat Gayong Malaysia turut menambahkan elemen warisan, keberanian dan keunikan seni budaya dalam persembahan ini.
Kisah Tok Bidan Somah: Apabila Fitnah Mengundang Derita
Masih mengekalkan Rozita Rohaizad sebagai teraju utama, TBS2-EV membawa penonton kembali ke Kampung Sirusa, sebuah latar kehidupan masyarakat Melayu lama yang sarat dengan adat, nilai kekeluargaan, hubungan kejiranan dan pelbagai pergolakan manusia.
Di sebalik kehidupan kampung yang kelihatan tenang, tersimpan kisah penuh konflik apabila Sujenah, watak antagonis yang dibawakan oleh Dahliati Alirudin, terus mencari jalan untuk mengenakan Tok Bidan Somah.
Fitnah, helah dan kekacauan yang dicetuskan oleh Sujenah bersama Jamlid mengheret watak-watak dalam cerita ini ke dalam kemelut yang menguji kesabaran, kejujuran dan kekuatan jiwa.
Penonton bukan sahaja bakal dibawa menyelami kesedihan dan penderitaan Tok Bidan Somah, malah diajak merenung kesan buruk fitnah, pentingnya menjaga maruah serta nilai kebenaran dalam kehidupan bermasyarakat.
Dengan gabungan emosi, unsur budaya dan mesej kemanusiaan, pementasan ini menjanjikan pengalaman teater yang dekat dengan hati penonton — menghiburkan, menyentuh perasaan dan meninggalkan pengajaran yang bermakna.
Masih mengekalkan Rozita Rohaizad sebagai teraju utama, TBS2-EV membawa penonton kembali ke Kampung Sirusa, sebuah latar kehidupan masyarakat Melayu lama yang sarat dengan adat, nilai kekeluargaan, hubungan kejiranan dan pelbagai pergolakan manusia.
Mengangkat Seni, Mendidik Masyarakat
Di sebalik kekuatan penceritaan TBS2-EV ialah pengarah dan penulis skripnya, Nelly Ahmad, seorang penggiat seni yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang nyanyian, lakonan dan penciptaan lagu.
Kini lebih aktif di sebalik tabir, Nelly turut berkongsi ilmu melalui kelas lakonan dan persembahan teater. Pengalaman luasnya diterjemahkan dalam pendekatan pendidikan dalam hiburan, dengan harapan seni pentas bukan sekadar menjadi medium hiburan, tetapi turut membentuk pemikiran, menyemai nilai murni dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Bagi Nelly, seni tradisional perlu terus diberikan ruang untuk berkembang agar tidak sekadar menjadi kenangan generasi terdahulu, sebaliknya kekal hidup dan relevan dalam masyarakat moden.
Rozita Rohaizad, puteri kepada seniwati legenda Mariani, terus menggalas watak utama Tok Bidan Somah dengan pengalaman dan penghayatannya sebagai anak seni. Watak ini menjadi nadi penceritaan yang membawa penonton menyelami liku-liku kehidupan, kesabaran dan ketabahan seorang insan berhadapan dengan dugaan.
Sementara itu, Dahliati Alirudin menyahut cabaran membawakan watak Sujenah. Sebagai seorang usahawan restoran yang turut menceburi bidang lakonan, beliau membawa dimensi tersendiri kepada watak antagonis yang menjadi pencetus konflik dalam pementasan ini.
Pertembungan karakter, kekuatan dialog dan penghayatan emosi para pelakon menjadi antara tarikan utama yang diharapkan dapat memberikan pengalaman teater yang berkesan kepada penonton.
Pentas Untuk Semua, Warisan Untuk Generasi
Salah satu keistimewaan TBS2-EV ialah komitmennya terhadap seni yang inklusif, dengan membuka ruang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada dunia seni persembahan.
Penglibatan golongan OKU, warga emas dan peserta daripada pelbagai kaum mencerminkan bahawa seni budaya mampu menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Gabungan teater, nilai tradisi dan seni persilatan melalui penampilan Persatuan Silat Gayong Malaysia turut memperlihatkan bahawa warisan bangsa mempunyai ruang yang luas untuk diraikan melalui pendekatan kreatif dan persembahan secara langsung.
Menurut Nelly Ahmad, pementasan ini diharapkan dapat menarik minat masyarakat pelbagai kaum untuk mengenali keindahan budaya Melayu lama, di samping membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk mendekati dan melibatkan diri dalam seni persembahan.
“Harapan kami agar pementasan ini dapat menarik minat pelbagai kaum untuk menyaksikan keindahan budaya Melayu lama. Matlamat kami bukan sekadar menghibur, tetapi turut memberikan pelajaran dan pengalaman yang bermakna kepada penonton serta penggiat seni,” katanya.
Penganjur menyasarkan kehadiran 300 penonton bagi setiap sesi, sekali gus menjadikan pementasan ini sebagai ruang pertemuan antara seni, budaya, emosi dan masyarakat.
Bagi pencinta teater, penggemar kisah Melayu klasik dan keluarga yang ingin memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda, TBS2-EV merupakan peluang untuk menikmati sebuah persembahan yang menggabungkan penceritaan beremosi, nilai kemasyarakatan dan keindahan seni pentas.
Sama ada untuk mengimbau nostalgia kehidupan masyarakat Melayu dahulu atau mengenali warisan budaya melalui perspektif baharu, pementasan ini mengajak penonton menyelami sebuah kisah tentang manusia, maruah, fitnah dan pengajaran kehidupan.
Saksikan sendiri bagaimana kisah Tok Bidan Somah kembali menghidupkan pentas — dan mungkin mengalirkan air mata, sebelum meninggalkan seribu satu pengajaran di hati.
BUTIRAN PEMENTASAN
Tok Bidan Somah 2 – Extended Version (TBS2-EV)
– Tarikh: 1 November 2026 (Ahad)
– Tempat: Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ampang Jaya
– 11.00 pagi-Pertandingan Ratu bidan somah.
— Sesi Pertama: 2.45 petang (Matinee)
– Sesi kedua: 8.45 malam
– Tiket tempat duduk bebas: RM20
– Tiket VVIP: RM50 (terhad kepada 30 tempat)
TEMPAHAN TIKET
Hubungi Miss Lulu di talian 014-366 9726 untuk tempahan dan maklumat lanjut.
MENGENAI TAMU LESTARI MADANI SOLUTIONS
Tamu Lestari Madani Solutions merupakan organisasi yang komited terhadap usaha memartabatkan seni dan budaya serta menyediakan platform persembahan yang inklusif kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan OKU dan warga emas.
JIKA anda salah seorang peminat filem Tamil, jangan lepaskan peluang untuk menonton Jailer 2 yang mula ditayang di seluruh dunia dan pawagam tempatan sejak 15 Oktober baru-baru ini.
Apa istimewanya filem Jailer 2, arahan Dilipkumar yang diterbitkan oleh Kalanithi Maran menerusi Sun Pictures itu. Jailer 2 merupakan sekuel yang amat dinanti-nantikan selepas kejayaan luar biasa filem Jailer (2023).
Suasana sewaktu Gala Screening filem Jailer 2, baru-baru ini.
Lebih menarik lagi filem Jailer 2 ini merupakan filem lakonan aktor tersohor India, Rajinikanth yang meneruskan wataknya sebagai “Tiger” Muthuve Pandian, seorang pegawai penjara yang sudah bersuara. Jailer 2 merupakan filem ke-172 lakonan Superstar tersebut.
Filem ini juga merupakan filem kelima lakonan Rajinikanth yang diedarkan oleh Malik Streams Corporation di Malaysia, sekali gus memperkukuh hubungan berterusan syarikat dengan legasi perfileman Superstar Rajinikanth.
Ramai yang hadir untuk menonton lakonan Rajinikanth menerusi filem Jailer 2.
Pada hari pertama tayangan sahaja, filem Jailer 2 yang dihasilkan dengan bajet 250-350 core (RM150.74 juta) berjaya mengumpul kutipan mencecah RM10 juta.
Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaikwad, 76, bukan sekadar berlakon, beliau juga penerbit dan penulis skrip.
Jailer 2 merupakan filem lakonan Rajinikanth yang ke-172.
Pelakon yang dikenali dengan gaya lakonan dan lontaran dialog yang unik itu telah berlakon dalam pelbagai industri filem seperti bahasa Tamil, Hindi, Kannada, Malayalam, Bahasa Inggeris dan Bengali.
Jailer 2 menyajikan pengalaman sinematik yang pantas, padat dan menghiburkan menerusi gabungan aksi penuh mendebarkan, unsur komedi yang mencuit hati, babak-babak menarik serta kemunculan khas barisan pelakon terkenal yang memberikan kejutan kepada penonton.
Keistimewaan filem ini turut diperkukuh dengan muzik hasil sentuhan komposer terkenal, Anirudh Ravichander, yang sekali lagi berjaya menghasilkan antara album runut bunyi terbaik sepanjang kerjaya beliau.
Telah memenangi pelbagai anugerah sepanjang terbabit dalam bidang seni.
Gabungan lagu-lagu yang memukau serta muzik latar yang bertenaga berjaya meningkatkan lagi impak setiap babak dan memberikan pengalaman tontonan yang lebih mengagumkan.
Dengan jalan cerita yang menarik, pelbagai kejutan, muzik yang hebat serta karisma ikonik Superstar Rajinikanth, Jailer 2 tampil sebagai sebuah filem hiburan aksi yang lengkap dan wajib ditonton oleh para peminat filem di layar perak.
Sudahkah anda menaiki perkhidmatan awam yang ada tertera visual Jailer 2.
Filem aksyen komedi ini turut dibintangi oleh Mithun Chakraborty, S.J Suryah sebagai Bodhi Kalpak, Ramya Krishnan sebagai Vijaya “Viji” Pandian, Isteri Muthuvel dan Vidya Balan (Kantha). Selain itu, Hrithik Roshan dan Jackie Shroff sebagai Kamdav, antara pelakon kameo dalam filem ini.
Bersempena tayangan Jailer 2, Malik Streams Corporation telah memperkenalkan beberapa inisiatif promosi berskala besar, seperti Tren Khas Jailer 2 yang dihiasi sepenuhnya dengan visual Jailer 2, sekali gus mencipta satu pendekatan baharu dalam promosi filem Tamil di Malaysia.
“Saya sedih kerana akhirnya impian saya menjadi kenyataan untuk mengadakan konsert terbesar, konsert tradisional saya.
“Bukan selalunya tengok konsert dalam hujan, sejarah untuk kita semua. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua penaja.
“Malam ini seramai 63,000 orang telah bersyahadah. Yang amat berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), inilah yang sebenarnya saya ingin tonjolkan kepada semua yang hadir pada hari ini bahawa irama tradisional kita tidak kalah dengan irama-irama yang ada.
“Tidak kalah dengan irama luar negara, kita patut mengangkat irama budaya kita sendiri sebab irama Melayu kita begitu hebat untuk dipentaskan di pentas yang sangat besar.
“Malam ini ia tak akan berlaku juga tanpa sokongan mereka yang sama-sama menyokong apa yang saya usahakan pada malam ini,” antara ungkapan rahmat yang diucapkan Biduanita Negara sewaktu menjayakan Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 17 Oktober lalu.
Biarpun terpaksa ‘bermandi hujan’ kira-kira dua jam kerana hujan, orang ramai tetap tidak bergerak daripada tempat duduk masing-masing.
Walaupun hujan, Siti tetap meneruskan persembahan dengan hebat.
Ini membuktikan bahawa penonton yang hadir benar-benar mahu menikmati persembahan irama tradisional daripada Siti Nurhaliza, penyanyi kesayangan ramai itu.
“Sedih pula rasanya bila melihat anda semua berbasah. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Walau macam mana pun persembahan ini harus diteruskan. Terima kasih, okey anda nak lagu apa lagi.
“Sebenarnya banyak lagu yang akan saya persembahkan buat anda semua dan saya nak mengajak penonton semua untuk menghayati indahnya irama tradisional yang pelbagai gabungan.
“Malam ini saya gabungkan Leman Band di bawah pimpinan Chaan dan juga Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya dibawah pimpinan Shamsul Zin.
“Sebenarnya bukan mudah tapi ia jadi sesuatu yang sangat istimewa kerana menggabungkan muzik tradisional dan muzik moden yang disatukan untuk menjadi muzik yang sangat indah,” ucap Siti sewaktu memperkenalkan pemuzik yang mengiringi persembahannya pada malam itu.
Pada malam itu turut ditayangkan video persiapan Siti menjalani latihan menari bersama barisan penari selama 40 hari sebelum mempersembahkan di pentas.
Daripada latihan yang ditonjolkan membuktikan anak kelahiran Kampung Awoh, Temerloh, Pahang Itu, benar-benar ikhlas untuk memastikan persembahannya memuaskan hati semua yang hadir.
Bukan setakat lagu yang enak didengar, setiap persembahan diiringi dengan barisan penari yang yang mengikut rentak.
Sebagai salah seorang penonton, penulis mengagumi usaha Siti dan produksi kerana setiap persembahan mengikut tema serta penuh dengan citra warna.
Bagi memastikan persembahannya tampak berkualiti Siti sanggup belajar bermain wayang kulit semata-mata untuk mempersembahkan lagu “Wali Nong Sari”.
“Saya belajar untuk bermain wayang kulit ini tidak lama , cuma tiga hari saja. Saya belajar dengan guru Encik Kamarul. Beliau mengajar saya macam mana untuk mengendalikan wayang kulit dan ini adalah pengalaman baharu untuk saya.
“Bagi saya budaya kita sangat hebat ada sesuatu yang nak saya persembahkan pada malam ini dan ia sangat luar biasa.
“Cerita “Wali Nong Sari” ini memang terkenal sebagai salah satu daripada lagu tradisional negeri Pahang. Itu menantu saya, Izara Aishah, dia memang suka lagu “Wali Nong Sari”. Jadi kita jadikan dia Wali Nong Sari pada malam ini. Dia punya silat pula macam mana,” jelas Siti.
Pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) menerusi lagu “Kesuma” memberitahu penonton, jika tidak kerana galakan daripada ibunya, Siti Salmah Bachik, beliau tidak akan menyanyikan lagu irama tradisional.
“Saya mula menyanyi lagu irama tradisional waktu umur saya 18 tahun. Lagu yang saya sampaikan waktu itu adalah pilihan ibu saya, Mak Salmah iaitu “Seri Mersing”. Waktu tu saya suka dengar lagu rock tapi bila mak kata, Siti kamu kena rakam album tradisional, masa itu barulah saya mula dengar banyak lagu tradisional dan mula belajar untuk mencintai lagu irama tradisional.
Untuk konsert ini, Siti mengundang empat penyanyi dan seorang pemuzik .
“Terima kasih mak kerana sentiasa ingatkan Siti, kalau mak tak ingatkan mungkin saya tak rakam album tradisional. Malam ini kita raikan semua yang telah saya lakukan sepanjang karier saya,” katanya terharu dengan keperihatinan ibunya itu.
Pada malam itu juga Siti turut mengundang empat penyanyi yang masing-masing ada aura tersendiri dalam irama tradisional.
“Malam ini saya nak beritahu kita ada seorang penyanyi muda yang mencintai irama tradisional. Beliau adalah Haziq Rosebi,” katanya yang berduet dengan Haziq menerusi lagu “Zapin Bunga Hutan” dan “Dari Hati Ke Hati”.
Artis undangan kedua beliau ialah King Nassar atau Nassar Fahad Ahmad Sungkar yang popular dengan lagu “Seperti Mati Lampu”.
“Saya sangat rasa terhormat kerana Biduanita Negara sudi menjemput saya sebagai artis undangan untuk konsert ini. Saya sangat mengidolakan beliau sejak dulu,” ucap Nassar.
Siti mempunyai alasan tersendiri kenapa beliau mengundang penyanyi tersebut untuk menjadi artis undangannya.
“Terima kasih Nassar kerana menerima undangan saya. Saya jemput Nassar kerana dia merupakan anak didik kepada Allahyarham Pak Ngah Suhaimi yang terkenal sebagai Bapa Irama Malaysia. Saya ada baca yang Pak Ngah ada cipta satu lagu untuk King Nassar iaitu “Puteri Impian”.
Perdana Menteri bersama suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa antara 63,000 penonton yang sanggup berhujan demi menonton konsert Siti Nurhaliza.
Lagu ini, “Pandang-Pandang Jeling-Jeling” yang akan kami duet adalah pilihan King Nassar. Betapa indahnya kerana muzik itu menyatu dan tidak pernah membezakan. Kita adalah saudara yang sangat istimewa,” ulas Siti sebelum meneruskan persembahan dengan lagu ciptaan komposer Allahyarham S.Atan yang pernah dirakam oleh Siti bersama Allahyarham Tan Sri S.M Salim.
Lesti Kejora yang merupakan rakan duet menerusi lagu “Kumbang Bunga” merupakan artis undangan ketiga tampil di pentas.
“Beliau memang sangat terkenal di dunia muzik Indonesia. Telah memenangi pelbagai anugerah dan beliau juga memperkayakan lagu irama Malaysia Nusantara. Jadi saya ingin mempersilakan Lesti Kejora.
“Saya pilih Lesti kerana beliau adalah penyanyi yang dibimbing oleh arwah Pak Ngah. Beliau menyampai lagu “Zapin Melayu” yang dicipta oleh Pak Ngah,” kata Siti.
Bagi Lesti yang hadir ke Malaysia ditemani keluarga dan saudara mara amat berbesar hati kerana Siti sudi mengundangnya.
“Saya sangat berterima kasih dan bangga kerana Datuk Siti Nurhaliza sudi menjemput saya menjadi salah satu ahli keluarga untuk memeriahkan konsert yang luar biasa ini.
“10 tahun lalu sewaktu Datuk Siti buat konsert di Indonesia, saya tonton berdua sama bapa. Saat ini alhamdulillah Lesti diberi kepercayaan untuk berada di panggung gah ini. Kali ini saya ditemani oleh suami dan tiga orang anak.
Demi memastikan konsertnya berjaya, Siti sanggup belajar sesuatu yang baharu.
Bagi saya, Pak Ngah adalah sosok yang sangat luar biasa. Pada saat Lesti mendapatkan kesempatan menyanyikan “Zapin Melayu” adalah waktu Lesti ikuti Dangdut Academy Asia dan Siti jadi juri.
“Ini adalah satu doa yang dimakbulkan Tuhan untuk saya dapat manggung satu pentas bersama penyanyi idola saya,” katanya berkongsi kegembiraan dengan penonton.
Selain penyanyi, Siti turut mengundang Aubrey Suwito, seorang komposer, penerbit dan pengarah muzik untuk bermain piano mengiringi persembahannya untuk lagu “Pesanan Buat Diri”.
“Saya bersyukur sebab lagu ini saya dapat kongsi dengan dua tokoh terhormat kak Chah (Datuk Habshah Hassan) dan Siti,” kata Aubrey.
Sementara itu Siti berkata, lagu “Pesanan Buat Diri” ditujukan kepada sesiapa yang mendengar kerana dalam hidup ini setiap orang ada perjuangan.
“Kita sama-sama mempunyai misi dalam kehidupan tetapi apa saja yang berlaku sebenarnya tidak mematahkan semangat kita.
“Kita kena teruskan kehidupan dan apa maksud paling sedih adalah kalau di antara kita telah pergi dulu daripada kita, kita jangan terlalu lama bersedih. Lagu ini pesanan buat diri saya juga,” kata Siti yang tidak dapat menahan air mata sewaktu mendendangkan lagu ini.
Bagi Noraniza Idris, undangan Siti untuk beliau berada di pentas yang gah itu merupakan satu peluang keemasan kerana sudah lama mereka tidak berkolaborasi.
“Kak Ani nak ucap ribuan terima kasih kepada CTDK Global dan SN Legacy kerana sudi mengundàng kak Ani untuk berada di pentas yang sama dengan Datuk Siti,” akui Noraniza.
Siti yang berduet dengan Noraniza menerusi lagu “Hati Kama” dan “Dondang Dendang” berkata, kalau Noraniza tak terima undangannya, mereka tidak mungkin akan berada di pentas yang sama ini.
“Kalau tak setuju tak akan jadi semua ini. Kesudian kak Noraniza memberi makna yang besar kepada pencipta muzik tanah air. Di pentas yang besar ini kak Ani harus ada dan menyanyikan lagu ‘berhantu’ kita.
“Kak Ani katakan kita tak nyanyi bersama-sama sejak 26 tahun. Mungkin waktu itu tidak memberi kesempatan dan kali ini adalah yang terbaik.
“Kita pernah sama-sama buat persembahan lagu “Dondang Dendang” dulu di atas pentas rebana ubi yang paling besar tu masa 1998 Sukan Komanwel di stadium ini dan malam ini kita kembali ke sini,” kata Siti mengungkap nostalgia lalu.
Secara keseluruhan, Konsert Tradisional Gema Bumantara adalah yang terbaik kerana penonton dapat mengenali budaya tradisional menerusi persembahan yang dibuat dengan begitu teliti.
BAGI yang hanya mengenali Nourul Depp sebagai penyanyi, pasti mencemek wajah apabila diberitahu yang beliau juga seorang motivator atau pakar motivasi.
Jangan pandang sebelah mata akan kebolehan Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, kerana beliau bukan berceramah kosong tapi penuh pengisian.
Ini kerana Nourul merupakan RMT Certified Life Coach, terlatih melalui Robbins-Madanes Training, serta seorang penceramah yang diakreditasi HRD Corp.
Beliau juga merupakan pengasas Firetalk, sebuah platform pembangunan diri yang
dilahirkan daripada pengalaman hidup dan perjalanan transformasinya sendiri.
Melalui Firetalk, Nourul memberi fokus kepada aspek kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, mindset dan transformasi peribadi.
Nourul ada kelayakan untuk memberi motivasi kepada orang lain kerana beliau ada sijil.
Bagi Nourul, Firetalk bukan sekadar sebuah seminar atau program motivasi. Ia merupakan satu ruang untuk wanita berhenti seketika, melihat ke dalam diri, berani berdepan dengan cabaran, memproses luka dan pengalaman hidup, serta akhirnya meraikan siapa diri mereka dan siapa yang mereka sedang pilih untuk menjadi.
Pada 17 dan 18 Oktober 2026, sekali lagi Nourul diberi kepercayaan untuk menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan
Wanita (JPW).
Pemilihan semula ini menjadi satu lagi detik bermakna dalam perjalanan Nourul daripada
dunia seni dan hiburan kepada bidang pembangunan diri, kepimpinan serta pemerkasaan
wanita.
Untuk tahun ini, acara Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026 diadakan di Tamu Hotel Kuala Lumpur bermula jam 9.30 pagi.
Selain Nourul sebagai penceramah jemputan, acara tahun ini turut bertuah untuk berkongsi
ruang bersama Datuk Sri Alha Alfa sebagai penceramah jemputan dan Atilia selaku pengajar jemputan.
Program PERANTIS diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita melalui
perkongsian ilmu, bimbingan dan pengalaman daripada barisan wanita pemimpin serta
tokoh yang berjaya.
Untuk tahun ini, KPWKM memperuntukkan RM4 juta bagi pelaksanaan program ini, dengan sasaran melibatkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara.
Motivasi yang diberikan sepanjang program santai agar mudah diterima peserta.
Bagi Nourul, peluang untuk sekali lagi terlibat dalam PERANTIS membawa makna yang
lebih besar daripada sekadar sebuah pengiktirafan.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama
PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan.
“Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik Malaysia, pengalaman sebagai
usahawan serta latar belakang sebagai jurulatih kehidupan profesional, Nourul kini
membawa satu misi yang semakin jelas iaitu mahu membantu wanita membina semula keyakinan diri dan menyedari bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan sendiri.
Bagi Nourul kerjasama dan penglibatan beliau dalam PERANTIS 2026 dilihat sebagai kesinambungan kepada misi untuk membawa elemen transformasi diri ke dalam pembangunan kepimpinan wanita.
“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran.
Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi.
“Apabila seorang wanita menggubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depannya,” jelas penyanyi yang popular dengan lagu “Kerana Terluka” dan “Cinta Azali” itu.
Perjalanan Nourul sendiri menjadi sebahagian daripada mesej yang ingin dikongsikannya. Daripada seorang penyanyi yang memulakan kerjaya dalam industri muzik sejak usia muda, melalui pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya, sehinggalah kepada dunia keusahawanan, pembangunan diri dan coaching kerana setiap pengalaman tersebut membentuk perspektifnya terhadap kekuatan serta potensi seorang wanita.
Nourul mahu wanita sedar bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menggubah kehidupan sendiri.
Bagi Nourul, tiada satu pun pengalaman hidup yang sia-sia.
Muzik mengajarnya tentang hubungan dengan manusia.
Kehidupan mengajarnya tentang ketahanan.
Coaching memberinya ilmu dan alat untuk membantu orang lain.
Firetalk menjadi ruang untuk menggabungkan kesemuanya.
Pada tahun 2026, perjalanan tersebut turut menyaksikan satu lagi pencapaian peribadi
apabila Nourul merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo pertamanya, For You: Nourul, di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut bukan sekadar meraikan perjalanan seninya selama lebih tiga dekad, tetapi turut menjadi simbol sebuah perjalanan peribadi, tentang keberanian untuk bermimpi semula, bangkit dan mencipta bab baharu dalam kehidupan.
Kini, melalui PERANTIS 2026, Nourul berharap dapat terus berkongsi pengalaman dan ilmu
bersama lebih ramai wanita.
“Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah. Kita boleh sembuh. Kita boleh membina semula diri. Dan kita boleh memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa
pun.
“Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya menjadi. Saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka dan potensi yang selama ini mungkin mereka tidak nampak dalam diri sendiri,” ujarnya.
Bagi Nourul, itulah semangat sebenar kepimpinan wanita — bukan sekadar berjaya untuk
diri sendiri, tetapi membuka jalan supaya wanita lain turut berani melangkah.
Selain itu, beliau juga akan mengadakan konsert For You: Nourul di kampung halamannya, di Pulau Pinang iaitu di Bertam Resort, Kepala Batas, pada 26 Disember ini.
TATKALA mendengar Amir Masdi menyanyi secara langsung, pasti ada yang mengagumi vokal beliau.
Siapa sangka juara program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF) itu tidak pernah ada impian untuk menjadi penyanyi walaupun suka menyanyi sewaktu bermain games online atau permainan dalam talian.
Amir sempat berkongsi rahsia bagaimana beliau terlibat dalam bidang seni suara hingga boleh menyertai AF.
“Alhamdulillah, dah 10 tahun dalam industri sejak saya keluar dari AF 2016. AF ini ibarat birthday of my career kerana di situ lahirnya Amir seorang penyanyi. Kalau tak ada AF saya tak akan menyanyi.
Sudah 10 tahun Amir Masdi terlibat dalam bidang seni suara.
“Saya sertai AF pun bukan atas kehendak sendiri tapi sebab mak yang minta saya pergi uji bakat AF. Tiga kali dia minta saya untuk masuk uji bakat.
“Pertama saya tak nak sebab tak ada keyakinan sebab tak pernah perform depan orang ramai. Waktu itu saya rasa saya tak mampu melakukan perkara yang saya tak pernah buat. Kedua dia minta lagi tapi saya masih tak nak kerana tak berani.
“Yang ketiga, saya rasa bila mak dah request tiga kali, saya rasa nak buat dia gembira dan penuhi keinginannya. Tak adalah rasa nak jadi penyanyi. Saya pergi dengan niat nak buat emak saya gembira, sebagai anak saya nak penuhi permintaan dia saja.
“Alhamdulillah masa uji bakat yang pertama kali saya pergi itu saya dapat masuk AF. Sampai minggu ketiga saya macam tak percaya masih ada dalam AF lagi. Nampak macam ramai juga yang bagi maklum balas positif.
Bakat Amir dalam bidang seni suara dikesan oleh ibunya yang meminta beliau menyertai uji bakat Akademi Fantasia.
“Jadi saya fikir, kenapa tidak saya buat seriously dan mungkin ini jalan saya sebenar. Alhamdulillah, dengan doa dan berkat ibu bapa dan sokongan kawan-kawan, saya nampak jalan ini adalah jalan yang sepatutnya saya kejar, sampai sekarang sudah 10 tahun saya dalam bidang ini,” kongsi Amir tentang kisah silamnya sebelum bergelar penyanyi.
Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 30, yang bakal menjayakan persembahan AM:PM Showcase, di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Disember 2026, tidak menafikan perjalanan kerjaya seninya bukanlah mudah, namun beliau tidak menyesal.
“Ini bukan perjalanan mudah, memang sukar untuk saya. Sangat berliku tapi saya bersyukur sebab dapat tempuhi pelbagai cabaran dan timba banyak ilmu.
“Kawan-kawan saya kat sekolah paling tak percaya, ini bukankah budak yang tak bercakap dulu kat sekolah? Saya sangat reserved dulu kat sekolah. Malah pada sambutan Hari Guru dulu pun saya tak pernah buat persembahan.
Amir Masdi mahu peminat yang hadir ke showcase beliau nanti pulang dengan memori indah.
“Justeru itu saya anggap AM:PM Showcase sebagai hadiah penghargaan kepada semua yang terus percaya dan menyokong perjalanan muzik saya selama ini.
“Saya mahu setiap individu yang hadir merasakan hubungan yang lebih dekat dengan setiap lagu dan cerita yang dibawakan sepanjang persembahan.
“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM:PM Showcase menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.
“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.
Bagi yang mahu menonton persembahan Amir nanti, sudah boleh cari pakaian yang mengikut tema.
“Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Amir turut mengakui keterujaannya untuk kembali bertemu peminat dalam sebuah persembahan berskala eksklusif yang memberi ruang untuk beliau berinteraksi dengan lebih dekat, selain mempersembahkan lagu-lagu yang membentuk perjalanan kerjaya seninya.
Tiket bagi AM:PM Showcase boleh didapati dalam pelbagai kategori iaitu, VIP (Seated) RM254, CAT 1 (Seated) RM204, CAT 2 (Seated) RM184, CAT 3 (Seated) RM154, dan CAT 4 (Standing) RM104.
Bagi peminat yang ingin menikmati pengalaman lebih eksklusif di BOX (Seated), tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 011-
5996 3265.
Selepas menghimpunkan 14,000 penonton di Johor Bahru, Wali Band bakal menggegarkan Megastar Arena pada 21 November ini, dengan Najwa Latif kembali sebagai artis undangan khas!
Gelombang fenomena Wali Band di Malaysia terus memuncak! Belum pun reda bahang kehangatan konsert mereka di Johor Bahru, sambutan terhadap Wali Exclusive One Night Only di Megastar Arena, Kuala Lumpur semakin hangat apabila 70 peratus tiket telah terjual, menjelang malam yang dijangka penuh dengan nyanyian bersama, nostalgia dan momen istimewa pada 21 November 2026.
Kejayaan ini hadir susulan persembahan bertenaga Wali Band menerusi WALI LIVE IN JB di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu, yang berjaya menghimpunkan seramai 14,000 penonton. Kehadiran ribuan peminat yang sama-sama menyanyikan lagu-lagu popular mereka membuktikan bahawa muzik Wali Band terus dekat di hati peminat Malaysia.
Kini, fenomena itu bakal beralih ke ibu negara dengan janji sebuah malam yang lebih eksklusif, intim dan sarat emosi. Dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures, Wali Exclusive One Night Only akan berlangsung pada jam 8.00 malam di Megastar Arena, Kuala Lumpur, dengan kapasiti terhad hanya 5,000 penonton.
Dengan 70 peratus tiket sudah terjual, keterujaan peminat semakin terasa menjelang konsert yang bakal menghimpunkan lagu-lagu kegemaran ramai dalam satu malam istimewa. Bagi mereka yang membesar dengan muzik Wali Band, inilah peluang untuk kembali menghayati lagu-lagu yang pernah menjadi siulan, manakala peminat baharu pula berpeluang merasai sendiri keistimewaan persembahan mereka secara langsung.
Antara lagu yang pastinya dinantikan termasuklah Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat Maksiat (TOMAT). Dengan melodi yang mudah melekat di ingatan, lirik yang dekat dengan kehidupan serta mesej yang menyentuh hati, lagu-lagu ini menjadi antara kekuatan yang membentuk identiti muzik Wali Band dan menghubungkan mereka dengan peminat merentasi generasi.
NAJWA LATIF KEMBALI! ADAKAH KEJUTAN DUET BAKAL BERULANG?
Menambahkan lagi keterujaan, penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif, sekali lagi bakal tampil sebagai artis undangan khas untuk membuka tirai Wali Exclusive One Night Only.
Dikenali menerusi lagu popular seperti Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Sahabat, Najwa bakal membawa sentuhan muzik tempatan ke pentas Megastar Arena sebelum Wali Band mengambil alih pentas utama.
Namun, persoalan yang pastinya bermain di fikiran peminat: Mungkinkah kejutan duet Wali Band dan Najwa Latif bakal berulang di Kuala Lumpur?
Ketika konsert di Johor Bahru baru-baru ini, Najwa mencuri perhatian apabila kembali ke pentas untuk berduet bersama Faank menerusi lagu popular Wali Band, Yank. Momen spontan itu mencetuskan keterujaan penonton dan menjadi antara detik yang paling mencuri tumpuan sepanjang persembahan berkenaan.
Keserasian mereka di atas pentas pastinya meninggalkan kenangan manis buat peminat. Justeru, kemunculan semula Najwa Latif bersama Wali Band di Kuala Lumpur membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan menarik, sekali gus menambahkan debaran menjelang konsert berkenaan.
Sama ada bakal ada kejutan baharu atau tidak, kehadiran kedua-dua nama ini dalam satu acara sudah cukup untuk menjadikan malam tersebut antara persembahan yang dinantikan peminat muzik tempatan dan Indonesia.
TIKET SEMAKIN HANGAT, JANGAN TUNGGU HINGGA TERLEPAS!
Dengan 70 peratus tiket telah terjual dan kapasiti venue yang terhad kepada 5,000 penonton, peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Tiket Wali Exclusive One Night Only ditawarkan mengikut kategori berikut:
Tiket boleh dibeli menerusi platform rasmi www.myticket.asia, tertakluk kepada ketersediaan bagi setiap kategori.
Wali Exclusive One Night Only turut mendapat sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi acara.
Bersiaplah untuk menyanyi bersama, mengimbau kenangan dan menikmati lagu-lagu yang dekat di hati. Pada 21 November ini, Megastar Arena bakal menjadi titik pertemuan peminat untuk meraikan muzik, kenangan dan fenomena Wali Band dalam sebuah malam yang cukup istimewa.
Wali Exclusive One Night Only — satu malam, lagu-lagu penuh makna, dan kenangan yang ingin dicipta bersama!
Daripada lebih 200 peserta kepada 19 finalis terbaik, Bintang Suara MELILEA 2026 membuka ruang buat bakat tempatan menyerlah, membina keyakinan dan melangkah lebih jauh dalam dunia muzik.
Ada impian yang bermula dengan sebuah lagu. Ada keberanian yang lahir daripada satu langkah kecil. Dan ada bakat yang hanya menunggu peluang untuk didengari.
Semangat inilah yang menghidupkan pentas Bintang Suara MELILEA 2026, sebuah platform yang bukan sekadar mencari penyanyi terbaik, tetapi turut meraikan keberanian individu untuk mencabar diri, mempersembahkan bakat dan membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka.
Malam kemuncak yang berlangsung di MELILEA APHQ, MELILEA Tower, Bangsar South, Kuala Lumpur, pada malam Sabtu itu menyaksikan lebih 700 penonton hadir memberikan sokongan kepada 19 finalis terbaik yang berjaya menempatkan diri daripada lebih 200 peserta.
Di sebalik sorakan penonton, gemerlapan pentas dan debaran menantikan keputusan, tersimpan kisah tentang usaha, harapan dan impian yang menemukan titik pertemuan pada sebuah pentas yang sama.
Bagi sesetengah peserta, peluang berdiri di hadapan khalayak mungkin menjadi pengalaman baharu. Bagi yang lain, pentas itu mungkin langkah penting untuk membuktikan kemampuan selepas sekian lama memendam hasrat dalam dunia nyanyian.
Namun, satu perkara menyatukan mereka semua: keberanian untuk mencuba dan kesediaan memberikan yang terbaik.
Dianjurkan oleh MELILEA International Group of Companies, Bintang Suara MELILEA 2026 membawa misi lebih besar daripada sebuah pertandingan nyanyian. Ia menjadi ruang untuk mengetengahkan bakat tempatan, khususnya generasi muda, selain membantu peserta membina keyakinan, mengasah potensi dan merasai pengalaman beraksi di pentas pertandingan yang kompetitif.
Pada malam Sabtu itu menyaksikan lebih 700 penonton hadir memberikan sokongan kepada 19 finalis terbaik yang berjaya menempatkan diri daripada lebih 200 peserta.
HEYQAL TAKLUK HATI JURI
Kemuncak persaingan menyaksikan Muhammad Heyqal Misnin muncul sebagai Johan Bintang Suara MELILEA 2026 menerusi persembahan lagu Oscar Winning Tears, yang dipopularkan penyanyi Raye.
Persembahannya berjaya meyakinkan barisan juri sekali gus mengangkatnya sebagai peserta terbaik dalam kalangan 19 finalis yang bertanding.
Kemenangan itu melayakkan Heyqal membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 dan baucar produk MELILEA bernilai RM2,000.
Lebih daripada ganjaran yang diterima, kejayaan tersebut menjadi pengiktirafan terhadap keupayaannya menggabungkan kekuatan vokal, teknik nyanyian dan penghayatan lagu dalam sebuah persembahan yang dinilai secara menyeluruh.
Tempat kedua menjadi milik Muhammad Hadi Hafsham Hanapi yang mempertaruhkan lagu I (Who Have Nothing), dipopularkan Ben E. King. Beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM1,500 dan baucar produk MELILEA bernilai RM1,500.
Sementara itu, Ema Fazuana Mehat menduduki tempat ketiga menerusi lagu Cinta, nyanyian asal Masrah Milan, sekali gus membawa pulang trofi, wang tunai RM1,000 dan baucar produk MELILEA bernilai RM1,000.
Ketiga-tiga pemenang membuktikan bahawa pentas pertandingan bukan sekadar menguji keupayaan menyanyi, malah menuntut keyakinan, penghayatan dan kebolehan menyampaikan sesebuah lagu dengan cara tersendiri.
Bagaimanapun, dalam sebuah pertandingan yang menghimpunkan begitu banyak bakat, kemenangan bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan.
Setiap peserta yang berjaya melangkah ke pentas akhir sudah pun membuktikan keberanian dan kesungguhan masing-masing. Pengalaman berhadapan dengan penonton, menerima penilaian profesional dan bersaing dalam suasana sebenar menjadi bekalan berharga untuk perjalanan seni mereka selepas ini.
Atas semangat menghargai potensi tersebut, seramai 14 peserta menerima Anugerah Kecemerlangan. Setiap penerima membawa pulang trofi, wang tunai RM300 dan baucar produk MELILEA bernilai RM500.
Pengiktirafan turut diberikan kepada Sulaiman Ibrahim dan Najmi Najihah Azlan yang masing-masing menerima Anugerah Penampilan Terbaik bagi kategori lelaki dan wanita.
Nurul Ainie Muhamad pula meraih Anugerah Populariti – Undian Penonton, sekali gus memperlihatkan bahawa daya tarikan seseorang penghibur bukan hanya terletak pada persembahan di pentas, tetapi turut melibatkan hubungan yang dibina dengan penonton.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua, bersama Pengasas Bersama dan Presiden Eksekutif Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Stella Chin.
Selain Ong Peng Chu, barisan juri turut menampilkan komposer, pengarah muzik, pemain gitar kumpulan Wings dan pemilik Neo Gendang Studio, Edrie Hashim; penyanyi dan jurulatih vokal, Erul Samah; komposer dan penyanyi, Amanda Imani; serta Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua dan Datuk Prof. Dr. Stella Chin.
BAKAT BERBEZA, POTENSI YANG TERSENDIRI
Di sebalik keputusan pertandingan, proses menilai bakat bukanlah sesuatu yang mudah apabila setiap peserta hadir dengan kekuatan, karakter dan keistimewaan tersendiri.
Bagi Ong Peng Chu, Pengurus Pembangunan Artis SWYM Entertainment Group yang turut menganggotai barisan juri, kepelbagaian karakter dan kekuatan vokal peserta menjadikan proses pemilihan satu tanggungjawab yang memerlukan penelitian.
Menurutnya, setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing, sama ada dari segi vokal, gaya persembahan mahupun potensi untuk membina identiti tersendiri dalam industri muzik.
Pemilihan Heyqal sebagai juara, jelasnya, mengambil kira beberapa aspek utama termasuk vokal, teknik nyanyian, penghayatan lagu dan persembahan secara keseluruhan.
Penilaian itu menegaskan bahawa menjadi penyanyi yang berkesan bukan sekadar memiliki suara yang baik. Keupayaan memahami emosi sesebuah lagu, menyampaikan cerita di sebalik lirik dan mewujudkan hubungan dengan pendengar turut menjadi elemen penting dalam sesebuah persembahan.
Selain Ong Peng Chu, barisan juri turut menampilkan komposer, pengarah muzik, pemain gitar kumpulan Wings dan pemilik Neo Gendang Studio, Edrie Hashim; penyanyi dan jurulatih vokal, Erul Samah; komposer dan penyanyi, Amanda Imani; serta Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua dan Datuk Prof. Dr. Stella Chin.
Gabungan pengalaman dan latar belakang berbeza dalam kalangan juri memberikan perspektif yang lebih menyeluruh terhadap persembahan peserta, sekali gus menjadikan pertandingan itu sebagai ruang pembelajaran yang bermakna.
Bagi mereka yang mahu serius dalam bidang nyanyian, pengalaman menerima penilaian daripada individu berpengalaman dalam industri juga boleh menjadi titik permulaan untuk mengenal pasti kekuatan diri, memperbaiki kelemahan dan membina hala tuju seni yang lebih jelas.
Persembahan bertenaga dari peserta.
DARIPADA IMPIAN KEPADA PELUANG SEBENAR
Bagi Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua, penganjuran Bintang Suara MELILEA 2026 mencerminkan keyakinan bahawa Malaysia memiliki ramai penyanyi berbakat yang berpotensi untuk pergi lebih jauh sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan platform yang sesuai.
Beliau melahirkan rasa bangga melihat penyertaan bakat tempatan dalam pertandingan itu, sekali gus memperlihatkan betapa pentingnya usaha mewujudkan ruang yang membolehkan individu mengenali dan mengembangkan potensi masing-masing.
Berlandaskan tagline ImpiAN Anda · Suara Anda · Masa Depan Anda, Bintang Suara MELILEA 2026 membawa mesej bahawa impian tidak seharusnya terhenti sebagai angan-angan apabila seseorang mempunyai keberanian untuk mengambil langkah pertama.
Dalam konteks dunia muzik, peluang untuk mempersembahkan bakat di hadapan khalayak boleh membuka ruang kepada pengalaman baharu, pendedahan dan perkembangan diri. Walaupun tidak semua peserta akan muncul sebagai juara, setiap pengalaman yang dilalui berpotensi membentuk keyakinan serta disiplin yang diperlukan untuk terus maju.
Bagi MELILEA, usaha tersebut turut menjadi sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk memperkasa individu melalui pembangunan potensi dan bakat tempatan.
Pendekatan ini mencerminkan falsafah MELILEA, Transforming Lives, serta visinya, Transforming People’s Lives, Transforming The World, yang menekankan kepentingan peluang dan sokongan dalam membantu seseorang mencapai potensi terbaik mereka.
Mesej itu membawa makna yang lebih luas daripada dunia nyanyian semata-mata. Ia mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai ruang untuk berkembang apabila bakat mereka diberikan perhatian dan usaha mereka mendapat sokongan yang sewajarnya.
Dalam industri muzik yang sentiasa berubah, perjalanan seseorang penyanyi juga tidak semestinya ditentukan oleh satu keputusan pertandingan. Kemahiran perlu terus diasah, pengalaman perlu dikumpulkan dan identiti seni perlu dibentuk dari semasa ke semasa.
Justeru, pentas Bintang Suara MELILEA bukan sekadar tempat menentukan siapa yang terbaik pada malam kemuncak, tetapi turut menjadi ruang untuk peserta mengenali potensi diri dan melihat kemungkinan yang terbentang di hadapan mereka.
NAS ADILA HIDUPKAN SUASANA MALAM KEMUNCAK
Malam yang meraikan bakat itu turut diserikan dengan persembahan pembukaan dan penutup oleh penyanyi jemputan, Nas Adila, bersama Dance Crew yang menyuntik tenaga serta menambahkan kemeriahan acara.
Suasana menjadi lebih santai apabila Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua dan Datuk Prof. Dr. Stella Chin turut tampil menyanyi, sekali gus menambahkan kemesraan dalam sebuah acara yang menghimpunkan peserta, penonton, penggiat seni dan pihak penganjur.
Gabungan pertandingan, persembahan hiburan dan penyampaian anugerah menjadikan malam tersebut lebih daripada sekadar medan persaingan. Ia turut menjadi ruang pertemuan buat mereka yang berkongsi minat terhadap muzik dan percaya bahawa bakat wajar diraikan.
Di tengah-tengah sorakan penonton dan detik pengumuman pemenang, terserlah semangat kebersamaan yang menjadi antara nilai penting dalam penganjuran acara berkenaan.
Di sebalik keputusan pertandingan, proses menilai bakat bukanlah sesuatu yang mudah apabila setiap peserta hadir dengan kekuatan, karakter dan keistimewaan tersendiri.
KERANA SETIAP SUARA LAYAK DIBERI PELUANG
Akhirnya, kejayaan Bintang Suara MELILEA 2026 tidak hanya terletak pada nama yang diumumkan sebagai juara, tetapi juga pada peluang yang diberikan kepada begitu ramai peserta untuk mempersembahkan bakat dan menguji kemampuan mereka.
Bagi Muhammad Heyqal Misnin, gelaran juara pastinya menjadi kenangan manis dan pencapaian yang membanggakan. Namun, bagi peserta lain yang turut melangkah ke pentas akhir, pengalaman itu mungkin menjadi permulaan kepada perjalanan seni yang lebih panjang.
Tidak semua impian bermula dengan tepukan gemuruh. Tidak semua usaha berakhir dengan trofi. Ada perjalanan yang memerlukan masa, latihan, kesabaran dan keberanian untuk bangkit selepas menghadapi kekecewaan.
Namun, setiap langkah tetap mempunyai nilainya.
Kadangkala, perubahan terbesar bermula apabila seseorang berani keluar daripada zon selesa, berdiri di hadapan khalayak dan memperdengarkan suara yang selama ini hanya disimpan untuk diri sendiri.
Itulah makna yang ingin dibawa oleh Bintang Suara MELILEA 2026 — bahawa bakat memerlukan peluang, impian memerlukan keberanian dan masa depan memerlukan kesediaan untuk bermula.
Kerana apabila sebuah pentas membuka ruang untuk suara didengari, ia bukan sekadar melahirkan pemenang.
Ia mungkin menjadi tempat lahirnya sebuah keyakinan, tercetusnya sebuah perjalanan seni dan bermulanya impian yang akhirnya menemukan jalannya ke masa depan.
Bagi generasi yang membesar dengan irama slow rock dan balada jiwang yang menusuk kalbu, nama Hasnol bukanlah nama asing. Suaranya pernah menjadi peneman setia di radio, di kaset-kaset yang diulang-ulang, dan di pentas-pentas yang mengundang air mata rindu.
Kini, setelah sekian lama menyepi, Hasnol kembali. Bukan sekadar untuk menyanyi, tetapi untuk mengubat rindu. Sebuah showcase istimewa yang diberi judul cukup bermakna — SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL bakal berlangsung dalam suasana yang penuh magis.
> “Showcase ini saya buat khas untukmu… untuk semua yang masih ingat dan masih sayangkan lagu-lagu saya. Sudah lama saya simpan rindu ini. Malam itu nanti, saya nak kita nyanyi sama-sama, menangis sama-sama dan ketawa sama-sama.” – HASNOL
Untukmu… Ya, Untukmu Yang Pernah Setia Menanti.
Penganjur memilih judul “UNTUKMU” bukan secara kebetulan. Ia adalah sebuah dedikasi. Dedikasi buat peminat yang masih setia, buat sahabat yang masih ingat, buat keluarga yang terus menyokong, dan buat industri yang pernah meletakkannya di puncak.
Antara lagu-lagu yang dijangka akan mengisi malam keramat itu ialah lagu-lagu malar segar yang masih segar dalam ingatan seperti _Laguku Untukmu_ dan lagu-lagu jiwang lain yang pernah menjadi lagu tema percintaan ramai.
Dalam suasana lyang bakal gempar di Jazz Rock Cafe, suara Hasnol mengalunkan bait-bait lagu tersebut pasti hadirin akan menyanyi bersama, ada yang pejam mata menghayati, ada yang tersenyum mengimbau kenangan silam. Ada yang mungkin sebak teringat cinta yang pernah pergi.
Inilah keunikan showcase ini. Ia tidak dibina seperti konsert besar yang bising. Ia dibina sebagai sebuah pertemuan hati ke hati. Dekat, mesra dan jujur.
Kenapa Anda WAJIB Hadir?
Kerana showcase seperti ini jarang-jarang berlaku. Kerana Hasnol bukan sekadar menyanyi, dia bercerita melalui lagunya. Kerana inilah peluang untuk anda membawa pasangan, keluarga dan rakan-rakan untuk merasai semula era kegemilangan muzik yang penuh jiwa.
Jangan hanya dengar ceritanya dari kawan. Jangan hanya tonton videonya di TikTok esok lusa. Hadir dan rasai sendiri getaran suaranya secara live.
BUTIRAN PENTING:
ACARA: SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL
TARIKH: RABU, 21 OKTOBER 2026
MASA: 9.00 MALAM
LOKASI: JAZZ ROCK CAFE, SAMBAL BAKAR MENYALA, Jalan Hulu Klang, MRR2
Ini bukan sekadar sebuah persembahan. Ini adalah sebuah kenangan yang akan anda bawa pulang.
Tempat adalah SANGAT TERHAD!
Untuk tempahan meja dan tiket, segera Whatsapp: 013-3510433
Untukmu… sebuah persembahan, sebuah kenangan yang abadi.