SESEKALI kita perlu memanjakan diri sendiri setelah penat bekerja kerana kita bukan robot. Tidak dinafikan bekerja itu perlu untuk mencari nafkah hidup tapi kalau badan atau minda tidak sihat macam mana nak bekerja.
Selalunya, orang suka pergi bercuti keluar negara untuk menikmati suasana baharu. Bagi penulis tidak perlu pergi jauh-jauh kerana dalam negara pun ada lokasi menarik yang boleh buat anda ‘healing’.
Sebalik saja pintu dibuka, anda akan nampak ruang tamu yang cantik di bilik Mercure Living Putrajaya.
Kat mana tu? Jom ikut penulis mencari damai di hati dengan bersantai-santai di Mercure Living Putrajaya, hotel ala apartment yang terletak di Menara Shaftsbury Presint 1, Putrajaya.
Menariknya di persekitaran Mercure Living Putrajaya ada Alamanda Shopping Centre. Kalau waktu malam tiba-tiba perut lapar dan minta diisi, boleh saja anda masak kat dapur yang sedia ada tu tapi lagi senang kalau pergi ke kedai serbaneka 24 jam kat bawah tu.
Kalau nak tidur pasti nak katil yang selesa, dan bilik utama menyediakan katil bersaiz queen.
Sebenarnya kalau sudah berada dalam bilik yang menyediakan dua ruang bilik tidur yang lengkap dengan satu katil bersaiz queen dan dua katil bujang, anda sudah pasti malas nak keluar.
Bilik tidur pertama selesa dengan katil queen bersama meja solek manakala bilik tidur kedua disediakan dengan dua katil single, tv kedua, meja solek dan juga bilik air.
Bilik ini menyediakan dua katil bujang, untuk anak-anak atau untuk rakan-rakan yang nak lepak bersama.
Bilik apartment ni memang luas (949 kaki persegi) dan sesuai untuk staycation atau family kecil. Di ruang tamu ada sofa besar dan televisyen bersaiz 55 inci untuk tontonan sekeluarga.
Di bahagian dapur pula dilengkapi dengan meja makan, peti sejuk, dapur elektrik, microwave, mesin basuh, periuk nasi elektrik, cerek elektrik dan peralatan memasak yang lain.
Bilik air memang luas dan selesa untuk diguna.
Selain ruangan yang selesa di dalam bilik, anda juga boleh melampiaskan rasa lelah anda itu dengan bersantai di kolam tenang yang mempunyai kedalaman 1.2 meter. Pastikan pandai berenang ya, kalau tidak sertai saja kat kolam kanak-kanak.
Bagi yang suka work out, jangan bimbang anda boleh pergi ke gym bila-bila masa kerana ia dibuka 24 jam. Kalau rasa nak bersauna, ada disediakan bilik sauna dan stim di sekitar hotel tersebut.
Di bahagian dapur semua kelengkapan disediakan.Bingkai gambar yang memaparkan wajah-wajah yang hadir sewaktu majlis perasmian Mecure Living Putrajaya yang dapat dilihat di ruang lobi hotel. .
Selain itu, buffet breakfast di sini juga agak menarik kerana menyediakan pilihan mini steamboat pada waktu pagi, sesuatu yang jarang ditemui di kebanyakan hotel.
Tetamu boleh menikmati hidangan panas mengikut pilihan cita rasa sendiri seawal pagi, menjadikan pengalaman sarapan lebih unik dan memuaskan.
Ruangan yang santai untuk menunggu seseorang.
Pada waktu lain pula, restoran ini turut menawarkan hidangan steamboat dan shabu-shabu di Volcano Shabu Shabu & Grill by Mercure Living Putrajaya, sesuai untuk mereka yang ingin menikmati sajian secara santai bersama keluarga atau rakan-rakan.
Penulis rasa anda patut cuba menginap di sini kerana segala-galanya telah dilengkapi. Hanya bawa diri, tenangkan minda pastinya pengalaman menginap di Mercure Living Putrajaya akan meninggalkan kenangan manis untuk setiap pengunjung. Untuk tempahan atau pertanyaa boleh hubungi talian: +603-8861 9299.
Oleh SYED WAFA Foto Koleksi Syed Wafa
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)
APABILA sebut nama Kasmah Abdullah pasti ramai yang tidak mengenalinya tetapi apabila menyebut nama Kasma Booty sudah pasti ramai yang kenal dan meminati seniwati ini.
Allahyarham Seniwati Kasma Booty cukup terkenal dengan seraut wajah yang cantik menawan dengan suaranya yang unik dan mampu membuatkan para peminat filem Melayu klasik merasa sayu dan hiba setiap kali melihat lakonannya penuh syahdu dalam filem lakonannya.
KASMA Booty terkenal dengan kecantikan aslinya.
Bukan itu sahaja, apabila Kasma Booty gembira dan bahagia beliau membawa sama para peminatnya merasai kebahagiaannya walaupun hanya sekadar dalam babak filem lakonannya.
Itulah Primadona filem Melayu klasik, Seniwati Kasma Booty yang memulakan perjalanan seninya sebagai pelakon bangsawan dengan kumpulan Rayuan Asmara di Medan pada usia belasan tahun.
KASMA Booty dalam satu babak filem “Chempaka” yang diterbitkan pada tahun 1948.
Disebabkan kesempitan hidup, ia telah mendorong Kasma anak kepada pasangan suami isteri, Abdullah dan Kasminik merantau ke Malaya (kini Malaysia) dan mendapat kerja sebagai pelakon bangsawan di Pulau Pinang dan Singapura.
Dari pentas bangsawan, Kasma Booty mengorak langkah menjadi pelakon filem pada usia 14 tahun apabila dilamar Shaw Brothers dan membintangi empat filem terbitan Malay Film Productions arahan BS Rajhans iaitu “Cempaka”, “Pisau Berachun” dan “Rachun Dunia” (1948) dan “Dewi Murni” (1950).
GAYA manja seniwati yang cukup popular pada era filem 1940-an sehingga 1960-an.
Sepanjang 14 tahun penglibatannya dalam dunia filem, Kasma Booty telah membintangi hampir 20 filem dengan filem terakhirnya “Ragam P. Ramlee.” Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini adalah filem keempat lakonan beliau bersama seniman berkenaan.
“Ragam P. Ramlee” (1964) mengandungi tiga segmen iaitu ‘Drama Muzikal – P. Ramlee & Saloma,’ ‘Drama Komedi – Mintak Nombor Ekor.’ dan segmen ketiga ‘Drama Purba – Damak.’
FILEM “Bakti” terbitan tahun 1950 menampilkan buat pertama kali P. Ramlee sebagai pelakon utama berpasangan dengan Kasma Booty
Dalam “Damak” lakonan Kasma Booty sebagai Kenanga membuatkan perasaaan penonton terutama kaum wanita berbaur sedih dan marah apabila Kenanga sanggup meninggalkan suaminya, Gegala (Allahyarham Seniman Datuk Mahmud June) dan anaknya, apabila kekasihnya, Damak (P. Ramlee) yang telah lama menghilangkan diri kembali menuntut cintanya. Tetapi akhirnya kerana anak, Kenanga kembali kepada suaminya. Filem ini diterbitkan oleh Merdeka Film Productions pada tahun 1964.
Bagaimanapun sebelum itu pada tahun 1950, buat pertama kali, Kasma Booty digandingkan dengan P. Ramlee dalam filem “Bakti” arahan Tan Sri L. Krishnan.
KASMA Booty hadir dalam dunia filem Melayu bukan bersandarkan rupa malah beliau adalah pelakon berbakat.
Selepas filem “Bakti” mendapat sambutan hebat, Kasma Booty membintangi dua lagi filem bersama P. Ramlee iaitu “Sejoli” (1951) arahan BS Rajhans dan pada tahun yang sama beliau membintangi filem “Juwita” arahan S. Ramanathan.
Kasma Booty dilahirkan pada tahun 1932 di Kisaran, Sumatera Utara, Indonesia.
Beliau berdarah campuran Jawa-Belanda dan disebabkan itu, tidak hairanlah Primadona ini memiliki wajah yang cantik dan menawan sehingga Kasma Booty digelar ‘Elizabeth Taylor of Malaya’ dan ‘Ratu Filem Melayu’ pada zaman kegemilangannya.
KASMA Booty turut berlakon dalam filem “Rachun Dunia” yang turut dibintangi Osman Gumanti dan Siput Sarawak.
Kasma Booty bukan hanya memiliki rupa paras jelita, malah beliau dikatakan mempunyai aura dan karisma sebagai Primadona Filem Melayu pada zaman kegemilangan filem Melayu klasik di Studio Jalan Ampas. Beliau dihormati oleh seniman dan seniwati pada era filem 1940-an sehingga 1960-an termasuklah P. Ramlee.
Kasma Booty mencipta sejarah apabila menerima bayaran paling mahal sebanyak 1,500 ringgit setiap filem lakonannya pada zaman itu berbanding pelakon lain yang mendapat bayaran tidak sampai separuh daripada apa yang beliau terima.
TIGA pelakon utama dari satu babak filem “Rachun Dunia” lakonan (dari kiri) Osman Gumanti, Jaafar Wiryo dan Kasma Booty. Filem arahan BS Rajhans ini diterbitkan pada tahun 1950.
Seniwati Kasma Booty yang berkahwin dengan Booty Jacobs dianugerahkan lima orang anak iaitu Chempaka, Asmara, Kesuma, Suria dan Purnama.
Uniknya nama anak-anaknya diambil sempena judul filem yang dibintangi atau lagu yang pernah dinyanyikan.
KASMA Booty turut dipilih menjadi ‘cover girl’ Majalah Movie News
Anak sulungnya, Chempaka diberi nama sempena filem pertama lakonannya. Anak kedua, Asmara sempena filem yang dibintangi “Noor Asmara.”
Nama Kesuma sempena lagu ‘Kesuma’ yang dinyanyikan Kasma dalam filem “Dewi Murni” (1950). Anak keempat diberi nama Suria sempena kumpulan bangsawan yang disertainya iaitu Booty Suria Negara.
EMPAT keping gambar ini merakamkan gelagat seniwati Kasma Booty, Seniman Osman Gumanti dan Seniman P. Ramlee yang dirakamkan oleh jurufoto Majalah LIFE, Howard Sochurek dengan tajuk “Pantai Cinta Penuh Ghairah” disiarkan pada Oktober 1951. Walaupun tidak dicatatkan tempat dan acaranya tetapi adalah difahamkan ianya dirakamkan ketika sambutan ‘Puja Pantai’ yang berlangsung di Pantai Cinta Berahi, Kota Baharu pada tahun 1951.
Hanya Purnama, nama anak bungsunya tidak diberi mengikut nostalgia seninya.
Tiga daripada lima anak Kasma Booty telah meninggal dunia iaitu Suria pada tahun 2002, Kesuma pada 29 Januari 2020 dan Chempaka meninggal dunia beberapa bulan selepas adiknya, Kesuma.
POPULARITI Kasma Booty turut memberi ruang beliau muncul dalam iklan.
Perjalanan seni Kasma Booty terhenti seketika apabila pada tahun 1952, beliau berhadapan dengan kontroversi dengan pihak pengurusan Shaw Brothers dan menarik diri daripada membintangi filem “Antara Senyum dan Tangis.” Watak yang dilakonkan beliau dalam filem itu digantikan dengan seniwati Rokiah Jaafar.
Selepas itu, Kasma Booty ‘menghilangkan diri’ dari dunia perfileman dan menumpukan sepenuh masa bersama grup bangsawan milik suaminya, Booty Suria Negara.
Filem “Anak Manja” lakonan Kasma Booty, Allahyarham Abdullah Chik, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, Rosmawati dan memperkenalkan Mahyon Ismail. Filem arahan Allahyarham Salleh Ghani diterbitkan pada tahun 1963.
Bagaimanapun setelah enam tahun menyepikan diri dari dunia filem akhirnya pada tahun 1958, sebagai memenuhi permintaan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Kasma Booty bersetuju berlakon dalam filem “Mahsuri” terbitan Cathay Keris.
Selain Kasma Booty, “Mahsuri” dengan skrip oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman arahan B.N Rao turut dilakonkan oleh Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor, Allahyarham Nordin Ahmad, Allahyarham Shariff Medan dan Mahmud June.
Kasma Booty bersama Allahyarham Datuk Mustapha Maarof yang digandingkan dalam filem “Anak Manja’ (1963).
Pada era akhir pembabitan beliau dalam dunia perfileman, Kasma Booty banyak berlakon filem terbitan Merdeka Film Production, di Hulu Klang.
Antara filem lakonannya “Keris Sempena Riau”(1961), “Selendang Merah” dan “Ratapan Ibu” (1962) arahan Tan Sri L. Krishnan.
SETELAH setahun menyepikan diri, akhirnya Kasma Booty akan muncul semula dengan filem terbaharunya, “Sejoli” yang membawa kisah dilema anak angkat.
Kasma Booty turut membintangi tiga filem arahan Allahyarham Salleh Ghani iaitu “Siti Payong” (1962), “Tangkap Basah” dan “Anak Manja” (1963).
Adalah difahamkan pada zaman kegemilangannya sebagai seniwati pujaan ramai, sikap prihatin Kasma Booty sebagai seorang ibu amat terserlah apabila beliau sanggup mengorbankan aktiviti sosialnya demi anak-anak.
KECANTIKAN Kasma Booty yang menjadi kegilaan peminat filem Melayu.
Jika rakan artis lain meraikan selesainya penggambaran sesebuah filem dengan pergi makan beramai-ramai, Kasma Booty akan memberi pelbagai alasan untuk balik segera kerana mahu bersama anak-anak.
Disebabkan itulah, Kasma Booty tidak ramai kawan rapat di kalangan artis.
Mungkin ramai yang tidak tahu pelakon Allahyarham Yusni Jaafar, Yusnah Jaafar adalah adik seibu dengan Kasma Booty manakala Sukarni Jaafar adalah adik tiri beliau.
P. RAMLEE dan Booty Jacobs menjamu selera hidangan masakan Kasma Booty. Gambar ini dirakamkan pada tahun 1964.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang lakonan, Kasma Booty telah menerima Anugerah Merak Kayangan bagi kategori Pelakon Wanita Veteran pada Festival Filem Malaysia ke-7 ( FFM ke-7) yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Ramada Renaissance, Melaka pada 6 Disember 1987.
Seniwati Kasma Booty turut menerima Anugerah Khas Juri bagi kategori Pencapaian Terbaik Dalam Filem pada Festival Filem Asia Pasifik yang ke-35 yang berlangsung pada tahun 1990, di Kuching, Sarawak.
KENANGAN indah Syed Wafa (Penulis) bersama seniwati legenda Kasma Booty.
Seniwati Kasma Booty meninggal dunia kerana komplikasi paru-paru berair pada usia 75 tahun pada jam 2.00 pagi hari Jumaat, 1 Jun 2007. Jenazah Allahyarham disemadikan pada hari yang sama, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate.
Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman… Amin.
Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan
PERNAH mengadakan persembahan di sebelah pulau dan kemudian Ella berhasrat untuk menghibur peminat-peminatnya di sebelah seberang pula, lalu memilih Stadium Batu Kawan sebagai lokasi untuk konsert ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru’.
Sayangnya, perancangan yang dibuat untuk menjayakan konsert di Stadium Batu Kawan terpaksa berpindah ke lokasi di sebelah pulau iaitu di Setia SPICE Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Bukan sekadar bertukar lokasi, tarikh konsert yang awalnya dijangka berlangsung pada 25 Julai ini turut berubah kepada 22 Ogos 2026. harap peminat Ella sedia maklum.
Pertukaran tarikh dan lokasi tidak menganggu Ella kerana beliau lebih mengutamakan persembahan untuk peminat.
Perubahan dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh pihak penganjur bersama pasukan produksi dan artis, dengan matlamat untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih optimum, selesa dan bermakna buat para peminat yang bakal menghadiri konsert kepulangan istimewa Ella ke negeri kelahirannya.
Penganjur, Hitman Solutions bersama Rockqueen memberitahu, mereka sepakat memindahkan lokasi konsert ke Setia SPICE Arena kerana didorong oleh maklum balas dan permintaan ramai yang mengharapkan kemeriahan pengalaman serupa Jilid Akhir : Ella Puteri Kota yang berlangsung pada 28 Oktober 2023, dapat diulang semula di situ.
Justeru, perubahan ini boleh dianggap sebagai satu penambahbaikan yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan pengalaman konsert, sambil mengekalkan visi asal penganjuran “Homecoming Edisi 60 Permata Biru” sebagai sebuah perayaan istimewa sempena ulang tahun ke-60 Ella.
Walaupun penganjur berhasrat untuk mengekalkan tarikh 25 Julai 2026, namun kekangan ketersediaan venue menjadikan 22 Ogos 2026 sebagai pilihan terbaik yang tersedia demi merealisasikan pengalaman konsert yang lebih berkualiti.
Bersama suami, Kapten Azhar Husaini Ghazali yang menyokong kerjayanya.
Pihak penganjur turut mengesahkan bahawa harga tiket akan kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.
Bagi pemegang tiket sedia ada, tiket yang telah dibeli akan dipindahkan secara automatik kepada tempat duduk yang mempunyai nilai setara di Setia SPICE Arena tanpa sebarang kos tambahan.
Bagi Ella, beliau tidak ada masalah dengan perubahan lokasi kerana Ratu Rock itu lebih fokus untuk memastikan penggemar dan peminat menerima pengalaman terbaik.
“Seperti biasa, keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa.
“Insya-Allah ‘Homecoming’ akan tetap berlangsung, saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” kata Ella.
Keeran D berkata keputusan dibuat selepas perbincangan terperinci bersama semua pihak yang terlibat.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan terperinci bersama semua pihak yang terlibat.
“Selepas melalui pelbagai pertimbangan bersama semua pihak berkaitan, kami yakin perubahan ini akan memberikan pengalaman yang lebih baik secara keseluruhan kepada para penonton.
“Setia SPICE Arena menawarkan persekitaran yang lebih sesuai untuk merealisasikan sebuah persembahan yang benar-benar setaraf dengan status Ella sebagai satu-satunya ikon ratu rock negara,” jelasnya.
Untuk memastikan konsertnya bakal menjadi nostalgia paling indah kepada yang hadir, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 60, menampilkan dua nama tersohor dalam industri hiburan iaitu Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai (Ahli Majlis Tertinggi) sebagai artis jemputan istimewa. Malah beberapa nama artis jemputan lain turut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bersempena tema rasmi konsert, para peminat disaran tampil hadir dengan gaya “90’s Glam Rock: Battle of The Bands” yang cukup sinonim dengan perjalanan awal karier Ella.
Elemen fesyen jaket dan denim, serta jaket dan but kulit antara penataan sesuai sebagai contoh merujuk kepada era “glam and grunge” yang pernah mewarnai dunia muzik rock tempatan, khususnya imej dan fesyen ikonik Ella & The Boys waktu dekad tersebut.
TIADA penari mengiringi persembahan atau pertukaran dua tiga pasang pakaian sepanjang konsert berlangsung, hanya dirinya dan anggota Slam serta pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan sahaja yang beraksi di pentas.
Namun, Konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 20 Jun, baru-baru tetap mempesona kerana kekuatan utama konsert anjuran SS Karya Ventures terletak kepada lagu-lagu malar segar Slam serta penyanyinya iaitu Zamani.
Tidak dinafikan suara Zamani Ibrahim, 55, sejak penubuhan kumpulan Slam pada 1993 hingga kini masih kedengaran sama seperti dalam kaset. Mungkin disebabkan kelebihan itulah membuatkan peminat tidak jemu untuk menghadirkan diri setiap kali Slam mengadakan konsert.
Persembahan Slam turut diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Lagipun lagu-lagu yang diterbitkan oleh Slam yang turut dianggotai oleh Shah, pemain gitar utama, Lili (bes), Eddie (keyboard) dan Man (dram) memang malar segar dan sudah menjadi sebahagian daripada nostalgia perjalanan kehidupan peminat-peminat mereka.
Untuk konsert yang bermula kira-kira jam 8.45 malam itu, Zamani memulakan persembahan dengan lagu “Sinar Menunggu” dan diikuti dengan lagu “Biarkannya”.
“Terima kasih semua yang datang kerana masih lagi menyokong kami. Harap semua terhibur, kita enjoy sama-sama,” katanya membuka bicara kepada penonton yang hadir.
Tiga gitaris hebat diundang untuk memeriahkan lagi konsert Slam.
Bagi yang sering mengikuti persembahan Slam, anda pasti perasan yang Zamani tidak banyak bercakap. Beliau hanya berkomunikasi dengan penonton untuk bercerita sedikit sebanyak tentang lagu yang didendangkan dan memperkenalkan artis jemputan atau pemuzik.
Pada malam itu Slam mengundang tiga pemain gitar ternama iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search, antara figura yang mewarnai suasana dan momen persembahan Unplugged tersebut.
Bersama petikan gitar Aznan atau Nan, Zamani mendendangkan lagu dendangan asal Datuk M.Nasir iaitu “Sentuhan Listrikmu”, kemudian lagu “Intanku Kesepian” nyanyian Wings kerana persembahannya ketika itu diiringi oleh bekas gitaris Wings iaitu JoBranko. Segmen bersama artis jemputan diakhiri dengan kemunculan Kid Search menerusi lagu “Gadisku”.
Suara Zamani tetap sama seperti dalam kaset.
Konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang dihadiri kira-kira 4,000 penonton itu merupakan sekuel kepada edisi perdana yang berlangsung dua dekad lalu di Stadium Merdeka pada 3 Ogos 1996 yang dikembalikan semula dengan segala perasaan ‘throwback’.
Justeru itulah menerusi segmen seterusnya, lagu-lagu yang dipilih adalah tentang mencipta momen baharu lewat kenangan silam seperti lagu “Kembali Merindu” dan merasai getarannya menerusi lagu “Jika Kau Rasa Getarnya”, ciptaan Johari Teh dan “Buat Seorang Kekasih”, karya ciptaan Allahyarham Rahim Othman.
Selain itu, lagu-lagu ciptaan komposer Saari Amri yang melonjakkan nama Slam seperti “Manisnya Rindu”, “Kita Terpaksa Bermusuhan”, “Tak Mungkin Berpaling”, “Nur Kasih”, “Kembali Terjalin” dan “Gerimis Mengundang” merupakan penutup tirai kepada persembahan Slam pada malam itu.
Slam harap dapat mengadakan persembahan di luar negara untuk mendekati peminat mereka.
Sementara itu, Shah selaku penganjur dan Pengarah Muzik untuk konsert tersebut menyifatkan, The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, cakera padat (CD) sehingga ke dunia penstriman tetap diterima baik oleh peminat mereka.
“Ia bukan sebuah konsert ulang tayang. Ia juga bukan sebuah konsert yang dilahirkan
kerana mengambil kesempatan di atas sejarah tiada elektrik yang berlaku sewaktu The
Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka, 20 tahun lalu.
“Tapi ini tentang sebuah apresiasi serta perayaan yang merayakan karya dan peminat. Ia tentang perayaan kekuatan Slam mengharungi badai dan mampu bertahan sekali gus kekalrelevan dengan pasaran sekarang,” jelas Shah.
Atas sokongan, Pengarah Promosi Antarabangsa (ASEAN), Baizuri Baharum, baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Bazaria Laman Kencana @ Dataran Niaga Selayang Mutiara, sebuah pusat makanan dan perniagaan yang dikendali & dibangunkan oleh artis terkenal, Illa Sabry dan keluarganya
Kehadiran Baizuri ke lokasi tersebut bukan sahaja bertujuan meninjau perkembangan pusat perniagaan berkenaan, malah sebagai tanda sokongan terhadap usaha dan kegigihan Illa Sabry dalam mengembangkan bidang keusahawanan selain kerjaya seni yang diceburinya sejak sekian lama.
Dalam lawatan itu, Baizuri meluangkan masa meninjau pelbagai gerai makanan yang beroperasi di Bazaria Laman Kencana serta beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung.
Dalam lawatan itu, Baizuri meluangkan masa meninjau pelbagai gerai makanan yang beroperasi di Bazaria Laman Kencana serta beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung.
Beliau menyifatkan usaha yang dilakukan oleh Illa Sabry yang juga pemilik restaurant Cik Gebu Rasa Kayangan sebagai satu contoh yang baik kepada golongan artis yang ingin menceburi bidang perniagaan dan memberi sumbangan kepada ekonomi setempat.
Menurut Baizuri, Bazaria Laman Kencana mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu destinasi makanan pilihan di kawasan Batu Caves kerana menawarkan pelbagai jenis hidangan yang mampu memenuhi cita rasa masyarakat pelbagai kaum.
“Tempat ini mempunyai konsep yang menarik dengan kepelbagaian makanan yang ditawarkan. Ia bukan sahaja menjadi pusat perniagaan, malah mampu menjadi lokasi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin menikmati makanan tempatan,” katanya.
Bazaria Laman Kencana yang terletak di Dataran Niaga Selayang Mutiara, Batu Caves merupakan medan selera yang semakin mendapat perhatian ramai. Pusat makanan ini menghimpunkan pelbagai gerai terkenal yang menawarkan hidangan masakan panas, sate, makanan tradisional, serta aneka pencuci mulut yang menjadi kegemaran pengunjung serta anda boleh berkaraoke bersama keluarga.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Dr. Khairul Helmi Abdul Manap, ( Paling Kiri ) yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Kanan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia. Kehadiran beliau menambahkan lagi signifikan lawatan tersebut dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan dan industri makanan tempatan.
Antara gerai yang menjadi tarikan utama ialah Cik Gebu Rasa Kayangan, Kambing Bakar Hunt to Grill, Ayo Chicken, Aliff Nasi Kukus, Mohamad Roti Nans, Sotong Kangkung Khairol, Kopi Pak Belalang, Smash Burger John Labu, Nakhoda Kassim Char Kuey Teow, Satay Pak Rahim, serta pelbagai pilihan pencuci mulut termasuk kunafa yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.
Selain menikmati hidangan yang disediakan, pengunjung turut berpeluang merasai suasana santai dan mesra keluarga yang menjadi identiti Bazaria Laman Kencana. Keadaan lokasi yang strategik serta kemudahan yang selesa menjadikan pusat makanan ini semakin dikenali dalam kalangan penduduk sekitar Selayang dan Batu Caves.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Dr. Khairul Helmi Abdul Manap, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Kanan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia. Kehadiran beliau menambahkan lagi signifikan lawatan tersebut dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan dan industri makanan tempatan.
Sementara itu, Illa Sabry meluahkan rasa terharu dan berbesar hati atas kesudian Baizuri Baharum serta Dr. Khairul Helmi hadir melawat Bazaria Laman Kencana. Beliau menyifatkan kunjungan tersebut sebagai satu penghargaan besar terhadap usaha yang dilakukan dalam membangunkan pusat perniagaan berkenaan.
Bergambar kenangan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan. Kehadiran mereka memberikan semangat kepada saya dan seluruh pasukan untuk terus memajukan Bazaria Laman Kencana sebagai destinasi makanan yang dikenali ramai,” katanya.
Beliau turut berharap Bazaria Laman Kencana akan terus berkembang dan menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk serta makanan mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Maklumat Bazaria Laman Kencana @ Dataran Niaga Selayang Mutiara
Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad, 11.00 pagi hingga 1.00 pagi.
Tarikan utama: Pelbagai gerai makanan popular, masakan panas, western, sate, kunafa dan pencuci mulut.
Sesuai untuk: Keluarga, penggemar makanan tempatan dan pelancong yang ingin menikmati suasana santai sambil menjamu selera.
Lawatan Baizuri Baharum ke Bazaria Laman Kencana membuktikan bahawa usaha gigih dan komitmen tinggi dalam bidang keusahawanan mampu membuka peluang baharu serta memberi impak positif kepada komuniti setempat, sekali gus mengangkat industri makanan dan pelancongan negara ke tahap yang lebih baik.
MESKIPUN filem aksi-thriller ‘Konspirasi’ dihentikan tayangan di pawagam Malaysia sejak 28 Mei lalu, atas permintaan penerbit Flepfilm Entertainment Sdn. Bhd, namun penulis masih berpeluang menonton filem arahan Ghaz Abu Bakar itu di GSC Mid Valley Mega Mall pada 16 Jun, baru-baru ini.
Macam mana tu? Semuanya atas keprihatinan Che Puan Sarimah Ibrahim, 48, yang turut berlakon dalam filem tersebut dengan melakonkan watak Datuk Suraya, ahli politik terkenal dan kakak kepada Dhani, lakonan Hisyam Hamid.
Pelakon dan pengacara itu, tidak keberatan mengeluarkan wang sendiri untuk menganjurkan tayangan tertutup bersama badan bukan kerajaan (NGO) Empati.
“Kita dah lama rancang sebenarnya untuk buat tayangan secara tertutup ini bersama Empati, kelab peminat dan anak-anak Felda Lurah Bilut.
Sarimah terus melakukan kerja-kerja kebajikan walaupun sibuk dengan tugasan lain.
“Saya tak kisah melabur tempah pawagam untuk anjurkan majlis sebegini. Ini adalah inisiatif saya menerusi syarikat saya Sarimah Ibrahim Sdn. Bhd.
“Sekurang-kurangnya majlis ini memberi pendedahan tentang Empati sendiri. Ramai yang bertanya tentang Empati dan peranannya terhadap masyarakat,” katanya yang ditemani suami, Tunku NadzimuddinTunku Mudzaffar.
Mungkin ramai tak tahu, sudah tiga tahun Sarimah menjadi ikon untuk Empati, sebuah badan yang memfokus kepada kesedaran dan advokasi kesihatan mental terutamanya dalam kalangan belia.
“Sudah tiga tahun saya bersama Empati, mungkin tak cukup publisiti sebab ia NGO yang kecil. Empati memperkasakan anak-anak muda dengan mental health dan sebagainya.
“Ia merupakan NGO yang cuba praktikkan empati, itu matlamat utama pertubuhan ini. Kami pilih filem ini kerana ia banyak mengisahkan tentang trauma. Adik-beradik dalam filem Konspirasi, Maya (Alicia Amin) dan Mikael Juchio ( Amir Nafis) yang menyebabkan mereka buat perkara tak baik disebabkan kisah silam yang menghantui kehidupan mereka.
“Dalam kehidupan jika berlaku perkara sebegitu disebabkan oleh masalah kesihatan mental. Tak kisah ia rasuah ke kerana kita rasa insecure, kita insecure kerana adanya trauma sebelum itu.
Sudah tiga tahun Sarimah bekerjasama dengan NGO Empati.
“Bagi saya semua masalah gejàla sosial yang ada sebenarnya berpunca dengan masalah kesihatan mental. Sebab itu saya rasa tema filem ini sesuai. Ia bukan sekadar filem aksi atau orang jahat, tapi kenapa orang boleh jadi jahat,” katanya yang merupakan bekas penuntut Advanced Diploma in Psychology dari College of Applied Arts, Singapura dan Bachelor’s Degree of Psychology’dari HELP University.
Berdasarkan ilmu psikologi yang dimilikinya, Sarimah pernah menjadi profesional terapi dan life coach tapi semua itu dilakukan secara diam berbanding kerjayanya sebagai pelakon dan pengacara.
“Bagi saya pendidikan penting. Kita kena ada back up. Lagi banyak education kita, lagi bagus persembahan kita sebagai seorang, penyanyi, pelakon atau pengacara.
“Sebagai ikon untuk Empati, tugasan saya adalah nak memastikan anak-anak kita mendapat bantuan kesihatan mental. Sebenarnya itu adalah peranan kita semua.
“Tanpa bantuan kesihatan mental, fizikal dan emosi kita akan terkesan. Kalau emosi dan fizikal kita terkesan maka satu negara akan nampak kesannya,” ujarnya.
SYARIKAT automotif Malaysia yang menerajui jenama RCB yang terkenal di peringkat global, MKA Group, diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian menghasilkan pemegang grip motosikal rekaan Malaysia pertama yang digunakan dalam Kejohanan Dunia MotoGP.
Pengiktirafan tersebut diberikan susulan kejayaan penggunaan RCB Nagamaki Handle Grip dalam perlumbaan motosikal Grand Prix profesional, termasuk oleh pelumba-pelumba yang bersaing dalam kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3, sekali gus membuktikan prestasi serta kebolehpercayaannya di pentas tertinggi sukan permotoran antarabangsa.
Direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MKA Group, pembangunan RCB Nagamaki Handle Grip bermula pada Disember 2020 dengan penekanan khusus terhadap aspek ergonomik, kawalan serta prestasi pelumba dalam keadaan perlumbaan yang ekstrem.
Reka bentuk produk ini diinspirasikan daripada tsuka (pemegang pedang katana) dan teknik lilitan tsukamaki tradisional Jepun. Ia menampilkan corak struktur anyaman yang unik, direka untuk meningkatkan keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika menunggang.
Reka bentuk yang boleh membantu mengurangkan getaran, meminimumkan keletihan dan kebas pada tangan, meningkatkan maklum balas sentuhan serta memberikan kestabilan cengkaman yang lebih baik ketika tunggangan berkelajuan tinggi.
Bagi Bruce Lee, pencapaian jenama RCB bukan sahaja membanggakan syarikat, malah menjadi kebanggaan kepada industri kejuruteraan dan pembuatan Malaysia.
Keupayaan produk ini turut dibuktikan melalui penggunaannya dalam perlumbaan MotoGP, sekali gus mengesahkan keberkesanan dan ketahanannya dalam persekitaran perlumbaan motosikal paling kompetitif di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA Group, Bruce Lee berkata, RCB amat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan syarikat kami dan jenama RCB, malah turut menjadi kebanggaan kepada industri kejuruteraan dan pembuatan Malaysia.
“Ia membuktikan bahawa produk yang direka dan dibangunkan oleh rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas MotoGP dunia bersama produk terbaik di peringkat antarabangsa. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, prestasi dan inovasi,” katanya.
Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini menyerlahkan keupayaan RCB dalam aspek kejuruteraan, inovasi serta sumbangannya kepada industri sukan permotoran global.
Pada masa yang sama, ia turut memperkukuhkan reputasi Malaysia yang semakin berkembang dalam bidang teknologi automotif berprestasi tinggi dan pembuatan maju.
Seiring dengan usaha RCB memperluaskan kehadirannya dalam arena perlumbaan antarabangsa dan pasaran alat ganti prestasi selepas jualan (aftermarket), pencapaian ini menjadi bukti bahawa inovasi serta kejuruteraan Malaysia mempunyai potensi besar untuk berjaya dan mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.
SELEPAS 14 tahun bergandingan dalam drama “Adam & Hawa”, kini penerajui utama drama tersebut iaitu Datuk Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa kembali bersatu dalam karya “Bidadari Tanpa Syurga” arahan Jamal Khan.
“Bidadari Tanpa Syurga” ditayangkan secara eksklusif di Viu mulai 11 Jun 2026 dengan episod baharu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Menonton episod pertama lagi pasti anda sudah geram dengan perangai Azlan, lakonan Aaron yang dilihat lebih mengutamakan orang luar berbanding isteri.
Untuk episod permulaan juga anda ada perasaan geram kepada Farhah, lakonan Nadiya yang dilihat begitu mengada-ngada. Di hujung episod pertama baru tahu, rupa-rupanya dia sedang hamil.
Nadiya Nisaa melakonkan watak Farhah, isteri kepada Azlan yang berhadapan pelbagai masalah dalam rumah tangga.
Drama 12 episod yang menjalani penggambaran kira-kira 31 hari itu banyak plot twist yang tak dijangka. Kalau pelakon pun tidak dapat jangka kesudahan cerita sewaktu berlakon, inikan pula penonton. Justeru itulah kena tonton setiap episod.
“Cabaran bawa watak Farhah adalah setelah episod pertama, penonton dapat lihat kenapa Farhah bertindak sebegitu dan baru tahu. Sebenarnya kondisi Farhah berbeza daripada orang lain.
“Selepas ini, penonton tak akan senang duduk sebab akan ada lagi pendedahan yang lain serta kelemahan yang ada pada diri Farhah ini. Boleh dikatakan setiap episod akan menambahkan lagi beban kepada rumah tangga Farhah dan Azlan,” kata Nadiya memberi bayangan kisah rumah tangga peneraju utama drama terbitan Global Film Station itu.
Nadiya akui untuk drama yang turut dijayakan oleh Syad Mutalib sebagai Aisyah, yang menjadi madunya, beliau perlu banyak bermain dengan emosi dalam drama “Bidadari Tanpa Syurga”.
“Tangisan dan emosi kali ini lebih kepada untuk mempertahankan diri dan kondisinya. Bukan saja kondisi tiga bulan lagi akan bersalin tapi ada penambahan kondisi lain. Semua benda itu membuatkan saya terpaksa pikul dari episod satu hingga 12.
“Selepas melakonkan watak Farhah ini, saya dapat buat simpulan bahawa dalam hubungan suami isteri, apa yang penting adalah komunikasi. Jika ada sesiapa yang berdepan dengan suami seperti Azlan, aspek komunikasi yang betul memainkan peranan untuk selesaikan konflik rumah tangga,” katanya.
Barisan pelakon yang menjayakan drama “Bidadari Tanpa Syurga”, arahan Jamal Khan.
Meskipun berlakon dengan pelakon baharu seperti Syad dan Lorenzo Irmann sebagai Ferqin (adik Farhah) Nadiya tiada masalah tapi mengingatkan beliau sewaktu awal kemunculannya dulu.
Malah Nadiya yang nama penuhnya, Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 41, akui mereka berbakat dan memberi pilihan kepada pengarah serta penerbit untuk menonjolkan wajah-wajah baharu dalam industri lakonan.
“Sama juga masa saya mula menjejakkan kaki dalam bidang seni di mana bila ada orang baharu yang berbakat semua produser nak ambil berlakon.
“Sebab itu bila ada pelakon baharu yang masuk ke set, penerbit mahu tengok dia boleh berlakon atau rating dia okey atau tidak kerana ia satu proses yang normal dan kita turut meraikan karya mereka.
“Macam Syad, pada mulanya dia berasa malu-malu di set bila bekerja dengan saya dan Aaron tapi sekarang dia pula yang banyak bertanya dan nak belajar,” katanya yang tidak bergantung kepada media sosial untuk mempopularkan diri.
Ibu kepada dua orang anak itu mengakui yang beliau lebih senang membaca konten rakan-rakan daripada memuatkan naik kisah dirinya di media sosial.
“Saya tak aktif di media sosial, Instagram dan Facebook saya pun jarang dikemas kini, kalau perlu atas urusan untuk mempromosi drama atau filem lakonan barulah saya buat. Tapi saya suka tengok konten rakan-rakan saya yang muat naik pasal memasak, percutian dan keluarga mereka. Tapi saya tak terbuat pun.
“Alhamdulillah, setakat ini apabila ditawarkan berlakon belum ada pengarah atau penerbit tanya pasal berapa banyak followers saya. Kalau tawaran dibuat berdasarkan pengikut, sudah tentu saya bukan pilihannya. Tawaran untuk saya selalu dibuat berdasarkan kasting dan bukan jumlah pengikut,” katanya tanpa berselindung.
Drama ini juga turut menampilkan lagu tema “Hujung Indah” nyanyian Umairah. Single terbaharu ciptaan Iqie Hugh dan Omar K itu dilancarkan bersempena dengan tayangan drama tersebut dan kini tersedia di semua platform muzik digital.
BAGI anak rantau yang jauh dari keluarga pasti merindui masakan ibu masing-masing. Bila berjauhan, kita tak boleh nak memilih sangat, makan apa saja yang termampu mengikut bajet.
Jika anda berasal dari Pantai Timur dan sudah lama tidak merasai air tangan ibu masing-masing, jangan risau kerana Grannies boleh memenuhi selera anda seperti mana masakan ibu di kampung.
“Saya mana ada granny (nenek) kat Kuala Lumpur ni, saya seorang diri saja. Macam mana nak makan masakan Grannies?,” mungkin itu persoalan daripada anak dagang yang berjauhan dari keluarga demi mencari rezeki di perantauan.
Menu yang disediakan di Grannies akan membuat pelanggan terkenang kepada masakan ibu masing-masing.
Di sini penulis nak kongsi lokasi kedai makan Grannies yang menghidangkan sarapan berat ala Pantai Timur seperti nasi dagang, nasi lemak sambal ikan, nasi minyak Terengganu, laksa kuah putih, laksa kuah merah, pulut lepa atau pulut panggang, pulut tapai, pulut dakap dan ropa ayam.
Semua menu tersebut dapat dinikmati jika anda mengatur langkah ke kiosk Grannies yang kini beroperasi di dalam restoran Sajian Mak Lang, Taman Melawati. Lokasi ini dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta mudah diakses oleh pelanggan dari sekitar Kuala Lumpur.
Grannies merupakan antara pilihan yang wajar dicuba. Jenama ini semakin mendapat perhatian kerana menawarkan nasi dagang berkualiti tinggi yang sebelum ini popular di La Cucur KLCC.
Boleh makan di situ dan boleh dibeli untuk dibawa pulang.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2018, Grannies berjaya membina reputasi sebagai antara penyedia nasi dagang yang terkenal di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang. Keunikan rasa serta konsistensi kualiti menjadikan jenama ini terus menjadi pilihan pelanggan setia.
Kiosk di Taman Melawati beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Waktu ini sesuai untuk pelanggan yang ingin menikmati sarapan pagi yang mengenyangkan atau makan tengah hari awal. Selain makan di lokasi, pelanggan juga boleh membuat pesanan untuk dibawa pulang.
Walaupun kiosk utama terletak di Taman Melawati, produk nasi dagang Grannies juga boleh didapati di beberapa cawangan Kueh Cafe sekitar Lembah Klang. Ini memudahkan pelanggan mendapatkan hidangan tanpa perlu ke satu lokasi sahaja.
Pada ibu-ibu yang nak ‘cuti’ buat sarapan pagi, boleh ajak keluarga datang ke Grannies, Taman Melawati yang bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Kualiti nasi dagang Grannies turut mendapat pengiktirafan apabila menjadi pilihan ramai tokoh terkenal seperti Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Sri Siti Nurhaliza, Datuk Aznil Nawawi, Neelofa dan ramai lagi.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa Grannies mampu memenuhi jangkaan pelanggan dari pelbagai latar belakang.
Perlu diketahui bahawa nasi dagang yang ditawarkan adalah dalam kategori premium kerana menggunakan bahan berkualiti tinggi seperti beras basmathi. Oleh itu, harga mungkin sedikit lebih tinggi berbanding nasi dagang biasa, namun setimpal dengan kualiti yang diberikan.
Penggemar keropok lekor pasti suka kerana Grannies ada sediakan.
Selain hidangan utama, Grannies juga menawarkan biskut raya yang dijual sepanjang tahun. Produk ini mendapat sambutan yang sangat baik dengan jualan mencecah ratusan ribu balang.
Bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan, Grannies menyediakan perkhidmatan pesanan secara dalam talian serta katering di talian 0139075199.
Ini kalau lepas jogging singgah Grannies memang menarik kerana pelbagai sajian ada.
Menariknya, tiada minimum order dikenakan, menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis majlis atau keperluan individu.
Secara keseluruhannya, Grannies merupakan antara jenama nasi dagang yang wajar diberi perhatian di Kuala Lumpur. Dengan lokasi strategik, menu yang pelbagai serta kualiti premium, ia menjadi pilihan yang sesuai untuk sarapan mahupun tempahan katering.
Pelanggan Grannies terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat usia.
Bagi anda yang ingin menikmati nasi dagang yang autentik dan berkualiti, Grannies di Taman Melawati adalah destinasi yang patut dikunjungi.
MULAI 28 Jun ini, jam 9 malam, menerusi saluran Astro Ria yang disiarkan secara langsung akan bermulalah program realiti hiburan mencungkil bakat baharu iaitu Big Stage X Rocketfuel.
Selepas enam musim mencungkil bakat-bakat luar biasa dan melahirkan ramai bintang yang terus bersinar dalam industri hiburan tanah air, program realiti nyanyian popular Astro kembali dengan nafas baharu.
Program yang memasuki musim ketujuh itu adalah antara platform pencarian bakat paling berjaya di Malaysia, justeru itu Big Stage terus komited dalam melahirkan generasi baharu penghibur tanah air.
Musim ini menandakan satu evolusi baharu apabila Rocketfuel Entertainment buat julung kalinya menjadi sebahagian daripada identiti program.
Peserta Big Stage X Rocketfuel terdiri daripada sembilan penyanyi solo dan satu duo.
Kerjasama strategik ini memperkukuh usaha dalam membangunkan bakat-bakat baharu bukan sahaja sepanjang pertandingan berlangsung, malah selepas tirai pertandingan dilabuhkan menerusi bimbingan profesional, pendedahan industri serta peluang pembangunan kerjaya yang lebih menyeluruh.
Merebut peluang untuk muncul sebagai sensasi hiburan Malaysia kali ini ialah 10 peserta berbakat iaitu sembilan penyanyi solo dan satu duo iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie.
Setiap peserta hadir dengan warna, identiti dan keistimewaan tersendiri dalam usaha menawan hati penonton serta membuktikan kemampuan mereka di pentas Big Stage X Rocketfuel.
Sepanjang lapan minggu, para peserta bakal berentap untuk merealisasikan impian mereka di salah satu platform hiburan terbesar negara.
Pemenang-pemenang utama berpeluang menerima Rocketfuel Artist Development Contract tajaan Rocketfuel Entertainment bernilai sehingga RM200,000.
Pakej komprehensif ini merangkumi penghasilan single dan video muzik baharu, pembangunan imej serta jenama peribadi, latihan intensif vokal dan persembahan, bimbingan komunikasi media, pengurusan media sosial, pembangunan kandungan digital, sokongan pemasaran dan promosi, serta peluang pendedahan merentas platform televisyen, radio dan digital Astro.
Raqim bangga kerana Big Stage berjaya melahirkan ramai bintang berbakat dalam industri.
Turut disediakan adalah bimbingan berterusan daripada profesional industri dan pengurusan kerjaya yang menyeluruh bagi memastikan bakat-bakat terpilih dibentuk sebagai artis serba lengkap, berdaya saing dan bersedia untuk melangkah ke peringkat profesional dalam industri hiburan tanah air.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad berkata, selama enam musim, Big Stage telah membuktikan bahawa ia lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian.
“Big Stage merupakan platform yang membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka, mengasah kemahiran, membina keyakinan diri dan memperkenalkan nama kepada khalayak yang lebih luas.
“Ramai alumni Big Stage hari ini telah berjaya mencipta nama dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri hiburan tempatan.
“Musim ini amat istimewa apabila Rocketfuel Entertainment menjadi sebahagian daripada identiti program menerusi Big Stage X Rocketfuel. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih kukuh dan mampan.
“Para peserta bukan sahaja diberikan platform untuk membuat persembahan, malah turut dibekalkan dengan akses kepada bimbingan profesional, peluang industri serta sokongan pembangunan kerjaya yang mampu membantu mereka berkembang jauh melangkaui pertandingan ini,” jelasnya tentang keistimewaan program tersebut.
Aisha Retno pernah menyertai Big Stage musim keempat dan kini kembali sebagai juri.
Kata Raqim, pihaknya berharap usaha ini dapat melahirkan generasi baharu artis yang bukan sahaja berjaya di peringkat tempatan, malah berupaya membawa nama Malaysia ke pentas yang lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa.
Turut kembali menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap musim ini ialah penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini. Beliau akan bergandingan bersama dua alumni Astro yang telah berjaya menempa nama dalam industri muzik tanah air menerusi program pencarian bakat, iaitu Akim Ahmad (Akademi Fantasia Musim 7) dan Aisha Retno (Big Stage Musim 4). Manakala hos Kali ini ialah Nabil Ahmad.
Walaupun pertandingan belum bermula namun, kesemua peserta telah menandatangani Kontrak Pembangunan Artis Rocketfuel Entertainment sebagai langkah awal dalam membina dan mengembangkan kerjaya seni mereka selepas program berakhir.
Pemenang Big Stage X Rocketfuel bakal ditentukan 100% dari pemarkahan juri profesional. Penyingkiran akan berlaku pada minggu-minggu tertentu, manakala juri jemputan khas akan turut diundang setiap minggu bagi memberikan perspektif dan penilaian yang lebih menyeluruh.
Manakala tiga bintang yang bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract yang bernilai sehingga RM200,000 pula, bakal ditentukan oleh gabungan undian online dari penonton di pentas akhir nanti.