Home Blog Page 16

Radiant Women 2026 rai lima wanita hebat

Oleh: Khadijah Ibrahim

TANGAN yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia merupakan peribahasa yang mengiktiraf peranan wanita.

Walaupun dilihat lembut menguruskan rumah tangga, wanita sebenarnya memiliki kekuatan luar biasa dalam mendidik generasi, menyumbang tenaga, dan mencorak pembangunan negara di peringkat global.

Sehubungan itulah produk kecantikan Soora Miguhara menerusi penganjuran Soora Miguhara Radiant Women 2026, sebuah majlis penuh prestij meraikan lima wanita hebat dengan kisah, pengaruh juga kredibiliti tersendiri.

Acara yang berlangsung di Aurum Theatre, The Gardens Mall baru-baru ini, bukan sekadar pentas penghargaan, tetapi juga simbol kepada kekuatan, keyakinan serta keanggunan wanita masa kini yang terus memberi inspirasi dalam setiap lapangan masing-masing.

Mimi Haris (kanan) dirai atas bakat versatilnya dalam dunia hiburan dan pengacaraan.

Mengangkat tema “Radiant Women 2026”, majlis ini meraikan para wanita yang bukan sahaja dikenali kerana bakat, kecantikan dan pencapaian tetapi juga kerana perjalanan hidup mereka yang sarat dengan ketabahan, disiplin serta keberanian juga impak positif kepada masyarakat.

Lima nama yang diberi penghormatan sebagai Top 5 Radiant Women Soora Miguhara 2026 ialah Dr Fie Tawfek, Mek Dinda, Ika Nabila, Mimi Haris dan Nabila Razali.

Setiap penerima hadir dengan kekuatan tersendiri, merangkumi bidang profesional, kesihatan, seni, kandungan digital, keusahawanan dan hiburan, sekali gus membuktikan bahawa wanita hebat mampu bersinar dalam pelbagai bentuk dan peranan walaupun bergelar ibu.

Ika Nabila diiktiraf atas konsistensinya dalam seni lakonan serta perkongsian bermakna dalam dunia keibubapaan.

Pemilihan lima wanita hebat ini dibuat berdasarkan nilai “radiant” yang dibawa oleh mereka dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing.

Mereka bukan sekadar figura popular, tetapi seorang ibu yang mempunyai pengaruh, kisah perjuangan, daya tahan dan keberanian untuk terus berkembang walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Dr Fie Tawfek atau Afifah Hidayah Ahmad Tawfek Mantan isteri penyanyi Nubhan itu diraikan atas sumbangannya dalam dunia kesihatan (pergigian) dan keusahawanan.

Manakala Mek Dinda atau nama sebenarnya, Nur Syahidatul Najwa Shukur menerima penghargaan atas keberanian membina nama dalam dunia kecantikan digital.

Dr Fie Tawfek diraikan atas sumbangannya dalam dunia kesihatan (pergigian) dan keusahawanan.

Begitu juga dengan pelakon Ika Nabila diiktiraf atas konsistensinya dalam seni lakonan serta perkongsian bermakna dalam dunia keibubapaan, membuktikan bahawa seorang ibu juga mampu kekal aktif, relevan dan memberi impak dalam kerjaya seni.

Sementara itu, Mimi Haris atau Norshamimi Ahmad Haris pula diraikan atas bakat versatilnya dalam dunia hiburan dan pengacaraan, sambil bijak mengatur tanggungjawab sebagai ibu dan wanita bekerjaya.

Wanita kelima yang dipilih ialah Nabila Razali diangkat sebagai figura seni yang terus relevan, berdisiplin dan memberi inspirasi kepada generasi muda, sekali gus menjadi contoh bahawa kejayaan dalam kerjaya dan peranan sebagai ibu boleh bergerak seiring dengan perancangan juga komitmen harian.

Penganjuran Soora Miguhara Radiant Women 2026 membuktikan bahawa Soora Miguhara bukan sekadar jenama kecantikan, tetapi sebuah jenama yang memahami nilai wanita dari sudut yang lebih mendalam.

Mek Dinda menerima penghargaan
atas keberanian membina nama dalam dunia kecantikan digital.

Acara eksklusif ini menjadi lambang penghargaan kepada wanita yang terus melangkah, membina nama, mengurus cabaran dan tetap bersinar dengan cara mereka sendiri.

Diharapkan Radiant Women 2026 mampu meletakkan Soora Miguhara sebagai jenama yang bukan sahaja meraikan kecantikan luaran tetapi turut mengangkat keyakinan dan sinar wanita sebagai sesuatu yang sangat berharga.

Selain meraikan lima wanita inspirasi ini, Soora Miguhara turut memperkenalkan produk terbaharunya, Miguhara Vita Shine Intensive Cream, sebagai sebahagian daripada komitmen jenama dalam menawarkan solusi penjagaan kulit yang lebih menyeluruh.

Produk ini diformulasikan untuk membantu mencerahkan kulit kusam, meratakan tona kulit, mengurangkan penampilan dark spots serta memberikan hidrasi agar kulit tampak lebih sihat, segar dan glowing.

Dengan gabungan ramuan seperti Chamomile Extract, Vitamin Tree atau Sea Buckthorn Extract, Niacinamide, Ceramide NP, Sodium Hyaluronate dan Centella Asiatica Extract, krim ini sesuai untuk kulit kusam, kering, sensitif dan tona tidak sekata, sekali gus melengkapkan aspirasi Soora Miguhara dalam meraikan kecantikan semula jadi wanita.

Sabhi Saddi kembali dengan ‘Romansa’

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAGI yang masih tertanya-tanya siapa Sabhi Saddi ni, tolong pergi buka YouTube dan tengok lagu “Cinta Sesungguhnya”, dendangannya bersama Marsha Milan yang dikeluarkan pada 2013.

Mesti sukakan dengan lagu ciptaan komposer Bemby Noor dari Indonesia itu. Kalau masih tak puas dengar, cari pula lagu “Andainya Takdir” yang diterbitkan pada 2017 dan menjadi runut bunyi untuk drama ‘Andainya Takdir’ dan ‘Setia Menunggumu’.

Disebabkan kurang menonjol di media massa kebelakangan ini, nama Sabhi, 42, semacam dilupakan walaupun beliau pernah berlakon filem dan drama sebelum ini.

Anak seni yang berasal dari Sandakan, Sabah itu memulakan kerjaya seninya pada 2010 dan pernah menyertai kumpulan Esdco yang bergenrekan hip hop bersama Adam AF, dan ada single berjudul “Sayang Giler”.

Sebelum ini Sabhi Saddi pernah popular dengan lagu ‘Cinta Sesungguhnya’.

Kini Sabhi, kembali mempertaruhkan karya terbaharu berjudul ‘Romansa’, sebuah lagu yang sarat dengan elemen cinta, kebahagiaan serta penghargaan terhadap sebuah hubungan yang dibina berasaskan kesetiaan dan pengorbanan.

Menurut Sabhi, kemunculan ‘Romansa’ bukanlah hasil yang lahir dalam tempoh singkat. Jelasnya, proses pemilihan lagu dilakukan dengan teliti kerana mahu memastikan setiap karya yang diterbitkan benar-benar selari dengan identiti seni dan perjalanan muziknya.

“Saya seorang yang sangat memilih dalam soal lagu. Saya akan mengambil masa untuk mencari komposer, penulis lirik dan karya yang benar-benar sesuai dengan kehendak saya.

“Sebab itu, orang jarang melihat saya mengeluarkan beberapa lagu dalam tahun yang sama. Biasanya saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk muncul dengan karya baharu.

“Satu perkara yang sentiasa saya titik beratkan adalah pemilihan jalan cerita dan mesej dalam setiap lagu yang saya sampaikan. Saya mahu karya yang disampaikan memberi impak positif kepada pendengar, bukannya meninggalkan kesan yang boleh mempengaruhi mereka ke arah perkara yang tidak baik.

“Sebagai contoh, jika saya menghasilkan lagu yang berkisarkan kekecewaan dalam kehidupan atau percintaan, saya akan memastikan mesej yang dibawa tidak terlalu negatif sehingga boleh mendorong pendengar membuat keputusan yang kurang bijak atau merugikan diri sendiri.

Senang bekerjasama dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna.

“Bagi saya, muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium yang mempunyai pengaruh besar terhadap emosi dan pemikiran seseorang,” katanya.

Dalam penghasilan ‘Romansa’, Sabhi bekerjasama dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna. Menurutnya, proses kolaborasi berjalan lancar kerana semua pihak berkongsi visi serta hala tuju muzik yang sama.

“Hasil kerjasama ini menjadi lebih mudah kerana saya, Farouk dan Senna mempunyai visi yang sama. Kami memahami arah muzik yang ingin dibawa dan berkongsi tujuan yang serupa, iaitu menghasilkan sebuah karya yang berkualiti dan mampu menyentuh hati pendengar,” ujarnya.

Sabhi turut terlibat secara langsung dalam proses kreatif dengan memberikan panduan jelas mengenai konsep dan emosi yang ingin diterapkan dalam lagu tersebut.

“Saya banyak berbincang dengan Farouk dan Senna mengenai hala tuju lagu ini. Saya mahukan elemen keceriaan, kebahagiaan dan mesej yang positif. Saya juga memberikan beberapa rujukan termasuk ‘Cinta Sesungguhnya’ sebagai panduan untuk mendapatkan rasa yang saya inginkan,” tambahnya.

Dari sudut karya, ‘Romansa’ tampil dengan kekuatan melodi yang romantis serta penceritaan yang dekat dengan realiti kehidupan pasangan bercinta. Lagu ini menggambarkan perjalanan cinta dua insan yang melalui pelbagai dugaan sebelum akhirnya kembali bersatu.

“Bagi saya, melodi lagu ini sangat romantis dan liriknya juga sangat indah. Ia menceritakan tentang sepasang kekasih yang berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan, namun cinta yang mereka miliki menjadi kekuatan untuk mereka kembali bersatu,” katanya.

Menurut Sabhi lagi, jika ‘Romansa’ dibandingkan dengan ‘Cinta Sesungguhnya’, konsepnya hampir sama tetapi membawa jalan cerita yang berbeza, termasuk pendekatan muzik video yang jauh lebih dramatik.

“Lagu ‘Romansa’ lebih kepada penceritaan tentang sebuah pasangan, manakala ‘Cinta Sesungguhnya’ lebih kepada konsep perkahwinan,” katanya.

Lagu ini dirakamkan pada tahun 2023 di SIFI Records, dan menurut Sabhi, proses rakaman berjalan dengan lancar tanpa cabaran besar.

“Tiada cabaran besar ketika proses rakaman, cuma ini merupakan pengalaman kedua saya bekerja dengan Farouk Roman,” jelasnya.

Sabhi Saddi akui, beliau seorang yang teliti dan cerewet sebab itu ambil masa untuk keluarkan karya baharu.

Walaupun sering menerima dorongan daripada peminat untuk tampil dengan karya baharu, Sabhi mengakui beliau sentiasa meletakkan sasaran tinggi terhadap setiap lagu yang dihasilkan, terutama selepas kejayaan besar menerusi ‘Cinta Sesungguhnya’.

“Saya sentiasa memikirkan lagu apakah yang mampu menandingi atau sekurang-kurangnya menyamai impak ‘Cinta Sesungguhnya’. Itu antara perkara yang sering bermain di fikiran saya setiap kali mahu hadir dengan karya baharu.

“Saya tidak membandingkan karya saya dengan lagu orang lain, tetapi saya lebih melihat kepada bagaimana saya boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada karya saya sendiri,” katanya.

Malah, Sabhi tidak kisah sekiranya dirinya dilabel sebagai penyanyi ‘wedding’ selepas kemunculan ‘Romansa’ yang turut membawa elemen dan suasana seperti lagu-lagu perkahwinan, seiring dengan kejayaan ‘Cinta Sesungguhnya’ sebelum ini.

“Tidak kisah orang nak kata apa. Yang penting, saya banyak dapat tawaran untuk meyanyi di majlis-majlis perkahwinan. Kalau ada pasangan yang memilih lagu saya untuk mengiringi hari istimewa mereka, saya anggap itu sebagai satu rezeki dan tanda bahawa karya tersebut dekat dengan hati pendengar.

“Saya tidak melihat label itu sebagai sesuatu yang negatif kerana setiap artis pasti mahu menghasilkan lagu yang mampu bertahan dan mempunyai tempat dalam kehidupan peminat,” katanya.

Sementara itu, Farouk Roman berkata idea asal lagu ini tercetus daripada keinginan untuk menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat. Lagu ini mengangkat mesej tentang menghargai setiap momen bersama insan tersayang sebelum ia menjadi kenangan.

“Tema cinta dan kehilangan adalah sesuatu yang sangat dekat dengan kehidupan ramai orang. Saya percaya lagu yang lahir daripada emosi yang jujur lebih mudah menyentuh hati pendengar,” katanya.

Menurut Farouk, inspirasi lagu ini juga datang daripada gabungan pengalaman peribadi serta pemerhatian terhadap kisah kehidupan sekeliling.

“Secara jujurnya, ada sedikit campuran daripada pengalaman peribadi dan juga pemerhatian terhadap kisah orang sekeliling. Emosi yang dialami sendiri lebih mudah diterjemahkan dalam bentuk melodi dan lirik,” jelasnya.

Tambahnya lagi, mesej utama ‘Romansa’ adalah tentang menghargai cinta sebelum ia hilang atau berubah.

“Mesej utama ‘Romansa’ ialah tentang menghargai cinta dan momen bersama seseorang sebelum semuanya berubah. Kadang-kadang kita hanya sedar nilai sesuatu hubungan apabila ia mula menjauh atau hilang,” katanya.

Dari segi kekuatan, ‘Romansa’ tampil dengan melodi yang mudah dihayati serta penceritaan yang kuat walaupun disusun secara sederhana, namun tetap memberi impak emosi kepada pendengar.

“Lagu ini lebih menumpukan kepada emosi dan penceritaan. Saya juga memastikan melodinya mudah diterima oleh semua lapisan pendengar,” tambahnya.

Pemilihan Sabhi Sadhi sebagai penyanyi dianggap tepat kerana keupayaannya menghidupkan emosi lagu dengan penuh penghayatan. Sebelum proses penciptaan, Farouk turut meneliti karakter vokal Sabhi bagi memastikan keserasian melodi.

“Sabhi berjaya membawa karakter serta emosi lagu ini dengan sangat baik. Cara beliau menyampaikan lagu benar-benar menghidupkan cerita ‘Romansa’,” jelasnya.

Sesi rakaman juga berlangsung dalam suasana santai tetapi fokus, dengan beberapa bahagian dirakam semula bagi memastikan emosi yang disampaikan benar-benar tepat.

“Ada beberapa bahagian yang kami ulang untuk mendapatkan feel yang betul. Semua pihak memberi komitmen terbaik untuk memastikan emosi lagu sampai kepada pendengar,” katanya lagi.

Sabhi bukan sekadar merakam lagu tersebut, beliau juga bertindak sebagai pengarah untuk video muzik ‘Romansa’.

Sadis’, ‘Berjauh-an’ antara lagu untuk album kedua Aina Abdul

Oleh: Khadijah Ibrahim

MENGIKUT kamus Bahasa Melayu ‘sadis’ membawa maksud suka atau bersifat menyakiti atau menyeksa orang dari segi fizikal atau mental untuk mendapat keseronokan ataupun kepuasan.

Kenapa agaknya penyanyi Aina Abdul memilih ‘Sadis’ sebagai judul single baharunya. Adakah penyanyi yang juga komposer itu pernah melalui situasi di sebalik maksud sadis itu?

Sejak lagu ini dimuat naik di YouTube Aina Abdul Entertainment (M) Sdn. Bhd., pada 19 Jun 2026, 123,000 telah menonton dan ternyata ramai yang meminati karya tersebut kerana dekat dengan diri masing-masing.

Aina mengaku bahawa lagu tersebut menampilkan sisi penulisan yang lebih mendalam dan jujur, dengan lirik yang menyentuh tentang rindu, ego, penyesalan, dan penghargaan terhadap seseorang yang sering dipandang biasa ketika masih ada.

Single ‘Sadis’ dan ‘Berjauh-an’ kolaborasi Aina Abdul dengan komposer luar negara.

Lagu yang menyatukan Aina dengan Vega Antares Setianegara, pemuzik dan arranger dari Indonesia itu berjaya membawa nuansa melankolik dan dramatik seiring dengan emosi yang ingin disampaikan dalam karya ini.

“Sadis adalah sebuah kesinambungan emosi daripada ‘Berjauh-an’. Kalau sebelum ini lagu
tersebut lebih menggambarkan tentang jarak dan perpisahan, ‘Sadis’ pula membawa pendengar masuk ke fasa selepas kehilangan itu berlaku, saat seseorang mula menyedari nilai dan kehadiran insan yang pernah ada dalam hidupnya.

“Lagu ini sangat dekat dengan emosi yang ramai orang pernah rasa, especially bila kita
terlalu lambat menghargai seseorang. Kadang-kadang bila dia masih ada, kita tak sedar
betapa pentingnya dia… tetapi bila sudah hilang, barulah rasa rindu itu datang dengan sangat mendalam,” kata Aina yang mencipta karya tersebut berdasarkan pengalaman sendiri.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, yang kini sibuk menyiapkan keseluruhan album baharu yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini, menegaskan ‘Sadis’ bukan sekadar lagu baharu, tetapi sebuah sambungan cerita daripada ‘Berjauh-an’ yang membawa pendengar menyelami fasa selepas perpisahan, kehilangan, dan penyesalan yang tidak pernah benar-benar sembuh.

Peminat Aina Abdul turut hadir pada majlis pelancaran single ‘Sadis’, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, ‘Sadis’ sebenarnya menjadi salah satu karya penting yang membawa warna dan perjalanan emosi kepada album tersebut.

Aina juga meluahkan rasa teruja dapat kembali bekerjasama dengan Vega Antares untuk
lagu ini.

“Saya juga sangat teruja dapat kembali bekerjasama dengan Vega Antares untuk lagu ‘Sadis’ ini. Vega merupakan seorang pemuzik dan arranger yang sangat hebat.

“Menerusi lagu ini saya rasa keserasian kami dalam menghasilkan muzik kali ini sangat kuat. Dia benar-benar memahami emosi dan suasana yang saya mahu sampaikan dalam ‘lagu tersebut,” katanya.

Menerusi ‘Sadis’, Aina terus memperkukuhkan identitinya sebagai seorang pengkarya
yang tidak takut untuk menyampaikan emosi secara telus dan mendalam, sekali gus
memberikan pengalaman muzik yang dekat dengan realiti kehidupan ramai pendengar.

Aina harap kedua-dua single baharunya berpeluang menyertai Anugerah Juara Lagu.

Sebelum ‘Sadis’, Aina terlebih dahulu tampil dengan single ‘Berjauh-an’ yang dipilih sebagai single utama untuk album kedua yang dijangka menemui peminat tahun ini, sekali gus memberi bayangan awal terhadap hala tuju muzik dan konsep yang bakal dibawakan.

Terkenal dengan kekuatan vokal serta keupayaan menyampaikan emosi, Aina sekali lagi
mempertaruhkan karya yang dekat dengan kehidupan.

‘Berjauh-an’ mengangkat kisah hubungan yang diuji oleh jarak dan masa, menyelami perjalanan emosi apabila perasaan yang dahulunya kuat semakin pudar hingga akhirnya terpaksa dilepaskan.

Lagu ini turut menyaksikan kolaborasi bersama Vega Antares dengan pendekatan berbeza apabila bereksperimen dengan genre yang jarang diterokai sebelum ini.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi membezakan identiti antara album pertama dan kedua, selain membuktikan keupayaannya sebagai artis yang fleksibel dalam pelbagai gaya muzik.

Aina sibuk membuat persiapan untuk keluarkan album baharu pada tahun ini.

Lebih bermakna, lagu ini sepenuhnya hasil idea dan penulisan Aina sendiri dan menganggap ‘Berjauh-an’ sebagai hadiah khas buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.

“Lagu ini berkisar tentang hubungan yang tewas kerana jarak dan masa. Ada ketika seseorang terpaksa melepaskan pasangan walaupun kenangan dan rasa sayang masih ada. Dalam tempoh yang panjang, jarak itu perlahan-lahan mengubah hati hingga akhirnya
perasaan itu hilang,” katanya.

Aina turut mengakui proses menghasilkan lagu ini bukan sesuatu yang mudah, terutama
dari segi penulisan dan penentuan arah muzik.

“Cabaran paling besar adalah untuk menentukan gaya muzik dan cara penulisan yang tepat. Selepas ‘Imaji’, saya mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Saya banyak dipengaruhi muzik pop jaz, jadi saya cuba hasilkan lagu yang ada elemen bossanova tetapi masih kedengaran moden.

“Mencari produser yang sesuai juga mengambil masa agak lama kerana saya mahu
pastikan visi muzik ini jelas. Akhirnya saya memilih untuk bekerjasama dengan Vega Antares bagi merealisasikan idea dan susunan muzik yang saya bayangkan,” ujarnya.

Dengan gabungan melodi yang menyentuh perasaan dan lirik yang mendalam, ‘Berjauh-an’
dijangka memberi kesan kepada pendengar terutama mereka yang pernah melalui
hubungan jarak jauh atau perpisahan yang sukar.

Dari ‘stuntman’, kini Syazlie Syazz jadi hero

Oleh: Khadijah Ibrahim

HAMPIR 10 tahun dalam industri hiburan tanah air, namun penonton masih tidak mengenali siapa Syazlie Syazz kerana beliau lebih banyak melakonkan watak ‘stuntman’, ‘stunt coordinator’ atau ‘stunt choreographer’.

Kalau anda mahu melihat lakonan Syazlie Syazz atau nama sebenarnya Mohamad Syazlie Shah Ninam Shah, 28, jangan lepaskan peluang menonton filem ‘The Keris’ yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Julai ini.

The Keris merupakan sebuah karya yang menggabungkan elemen warisan, aksi dan drama yang mengetengahkan nilai sejarah, identiti budaya dan perjuangan dalam menghadapi cabaran yang menguji kepercayaan serta keberanian.

Dalam filem arahan Viknes Perrabu yang diterbitkan oleh syarikat Mathe’s Production House Sdn. Bhd., Syazlie melakonkan watak Daeng, yang hebat dalam persilatan.

Syazlie Syazz mendapat kepercayaan pengarah Viknes Perrabu untuk melakonkan watak utama dalam filem ‘The Keris’.

“Ini filem pertama saya jadi hero. Saya pernah berlakon dalam filem ‘Tarung: Unforgiven’. Saya dapat tawaran untuk filem ‘The Keris’ ini, dua tahun lepas dan saya memang aktif buat stuntman dan berlakon.

“Saya dipanggil oleh produser dan pengarah kerana mereka mencari pelakon yang boleh buat pergerakan sendiri. Saya dipanggil dan buat casting, mereka percaya pada kemampuan saya.

“Inilah peluang pertama saya mendapat kepercayaan daripada produksi. Yalah, saya pelakon baharu tak dikenali pun, yang kenal saya hanyalah kru produksi yang kenal saya sebagai ‘stuntman’.

Syazlie Syazz berkebolehan dalam pelbagai gaya martial arts.

“Jadi cabaran tu besar, awalnya saya nak tolak juga tawaran ini takut tak mampu. Tapi disebabkan mereka membantu dan memberi semangat, jadi saya teruskan. Apa-apa pun berserah kepada Tuhan saja.

“Saya dalam industri hampir 10 tahun dah tapi banyak buat stuntman, bukan dari segi fighting saja tapi macam-macam apa saja yang melibatkan api atau filem aksi memang saya akan buat,” jelas pelakon kelahiran Kota Tinggi, Johor yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem ‘The Keris’, baru-baru ini.

Menyedari dirinya adalah pelakon baharu, peminat Jackie Chan itu berkata beliau sedia terima teguran daripada penonton.

“Siapalah saya nak halang orang luahkan pandangan kerana kritikan itu memang tak boleh dielak sebab itu hak masing-masing nak kritik atau puji.

Jalan cerita filem ini sarat dengan elemen budaya, sejarah dan identiti bangsa.

“Saya lebih suka lihat dari sudut positif kerana kritikan itu bukanlah untuk menjatuhkan sesiapa . Sebenarnya kalau kita lihat dari sudut positif ia membantu orang itu untuk menjadi positif dan memperbaiki apa yang kurang.

“Untuk filem ini yang susah bagi saya apabila kena berlakon sebab saya kurang pengalaman berlakon berbanding aksi. Itu yang susahnya, nak berdialog tapi saya dapat sokongan produksi.

“Ikutkan kalau dah masuk set tak ada masa nak belajar tapi mereka banyak bagi saya bimbingan. Bagi saya memang agak susah nak jadi seorang pelakon berbanding buat aksi.

“Saya minat Jackie Chan dan saya tiru apa yang dia buat tapi dengan gaya saya sendiri.
Saya ada silat sendeng tapi saya ada belajar Muay Thai, taekwondo, karate dan semua martial arts seperti parkour, kerana saya suka benda yang berstail. Saya belajar asas banyak martial arts sebab asalnya nak jadi stuntman.,” katanya.

Memandangkan Syazlie berpengalaman dalam bidang lagak ngeri, beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan pelakon lain dalam filem ini. Dalam ‘The Keris’ Syazlie perlu bertarung dengan pelakon Abbey Abimbola yang melakonkan watak John Vickey, seorang pengamal seni Muay Thai.

Barisan pelakon yang menjayakan filem ‘The Keris’.

Lain-lain pelakon yang menjayakan filem ini ialah Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang membuat kemuculan secara cameo.

Sementara itu, Viknes Perrabu berkata, beliau bersetuju mengarah filem ‘The Keris’ kerana mahu cuba meneroka industri perfileman Melayu setelah 15 tahun berkecimpung dalam menghasilkan filem-filem Tamil.

Ujarnya, ‘The Keris’ bermula daripada keyakinan terhadap kekuatan skrip dan jalan ceritanya yang unik kerana sarat dengan elemen budaya, sejarah dan identiti bangsa.

“Apabila saya melihat skrip dan jalan cerita filem ini, saya merasakan ia mempunyai potensi yang besar. Kami melakukan banyak kajian mengenai senjata keris, sejarahnya serta adat dan budaya Melayu yang merangkumi pelbagai istilah dan nilai tradisi,” katanya.

“Filem ini menampilkan gabungan kisah legenda Melayu, khususnya pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat, yang diolah dalam latar kehidupan moden bagi memberikan nafas baharu kepada cerita berunsurkan warisan Melayu,” jelasnya.

Penerbit dan pengarah harap filem ini mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Ujarnya lagi, pasukan produksi telah menjalankan penyelidikan secara menyeluruh sebelum menghasilkan skrip akhir, manakala proses pembangunan skrip turut melibatkan Datuk Zulkiflie M. Osman.

Mengenai cabaran pula, Viknes mengakui bahawa mengarahkan filem Melayu buat pertama kali memberikan cabaran tersendiri, khususnya dari aspek komunikasi.

“Selama ini saya biasa bekerja dalam persekitaran filem Tamil dan memberi penerangan dalam bahasa Tamil.

“Untuk ‘The Keris’, komunikasi dalam bahasa Melayu sedikit mencabar terutama ketika memberi arahan atau penjelasan kepada pasukan produksi dan pelakon,” jelasnya.

Namun begitu, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada pelakon-pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey yang banyak membantu melancarkan proses penggambaran.

Panggung Suria buat penonton penat gelak

Oleh: Khadijah Ibrahim

PADA 25 Jun baru-baru ini, penulis sempat menonton persembahan Panggung Suria yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Rasa penat sangat apabila melihat aksi penyampai radio Suria FM iaitu Ajak, Fad, Chiwan, Cik Piah, Kai Hassan, Irsyad dan DJ Lin. Mana tak penat dari awal hingga akhir asyik gelak saja.

Penyampai-penyampai Suria bukan pelawak, melainkan Ajak, Fad dan Chiwan yang pernah muncul dalam beberapa program komedi, namun Cik Piah, Kai Hassan, DJ Lin dan Irsyad tetap memberi sebab tidak mahu mengalah kepada tiga individu yang lahir daripada program realiti itu.

DJ Lin (tengah) dan Chiwan beraksi sebagai ibu bapa kepada Cik Piah di Panggung Suria.

Panggung Suria adalah sebuah persembahan sketsa komedi pentas secara langsung yang mengetengahkan kisah dan isu yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.

Bertemakan “Komedi Rakyat, Dari Rakyat Untuk Rakyat”, Panggung Suria menggabungkan elemen komedi, muzikal dan mesej bermakna menerusi penceritaan yang santai, spontan serta relevan dengan isu semasa. Tema yang dipentaskan pada malam itu berjudul “Antara Dua Darjat”.

Antara keunikan Panggung Suria ialah gabungan sketsa komedi, muzikal dan interaksi secara langsung, selain menampilkan personaliti radio dalam suasana pentas yang berbeza.

Setiap persembahan turut menerapkan nilai tanggungjawab sosial menerusi mesej dan pengajaran yang disampaikan secara menghiburkan.

Dari kiri Kai Hassan, Chiwan dan Fad berlakon sebagai pemuda kampung yang suka melepak.

Ajak yang melakonkan watak Ghani berkata, sewaktu awal-awal nak buat Panggung Suria memang ada rasa takut sebab semuanya bukan barisan pelawak tapi alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan.

“Kita banyak berbincang dan tak sangka pula sewaktu pementasan ada pula ungkapan spontan yang tiba-tiba muncul. Boleh dikatakan 60 peratus ikut skrip dan 40 peratus spontan.

“Sebenarnya kita orang sendiri tak sangka persembahan ini boleh jadi begini. Tadi sebelum naik pentas saya rasa nervous, macam mula-mula sertai Maharaja Lawak.

“Saya tak ingat bila kali terakhir saya naik pentas. Saya rasa lebih tiga empat tahun lalu. Malam ini boleh dikatakan saya buat untuk hilangkan rindu.

Cinta antara dua darjat, Ajak dan Cik Piah.

“Awalnya, kita tak yakin akan ada orang datang, tak rasa akan ramai hadir tapi bila tengok ramai orang yang masuk dewan, perasaan nervous tu datang,” kongsi Ajak.

Ajak atau nama penuhnya, Mohamad Hanafi Razak, 40, yang pernah menjuarai program Raja Lawak musim keenam (2012) menerusi kumpulan Shiro memberitahu yang beliau tidak merajuk dengan dunia komedi. Cuma buat masa sekarang, beliau merasakan dunia lawak tak dipandang.

“Saya bukan merajuk dengan dunia lawak ni tapi mungkin ramai yang tak setuju dengan pandangan saya. Saya rasa komedi terlalu ketat sangat kerana banyak do and don’t yang orang tambah.

Barisan penyampai Suria yang menjayakan Panggung Suria.

“Jadi macam mana kita nak buat komedi. Pada pendapat saya, kalau kita tengok komedi sebagai penonton kita sendiri kena bijak membezakan kerana program komedi adalah untuk ketawa.

“Banyak yang terhalang sebab itu saya rasa buat masa sekarang komedi tidak berapa sesuai di Malaysia. Kalau di tempat lagi mereka boleh berlakon menjadi pelbagai watak seperti Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, semua boleh .

“Tapi macam kita nak jadi badan beruniform pun tak boleh. Kalau kita nak juga jadi, memang boleh tapi tak boleh pakai uniform. Jadi benda itu menganggu kerana banyak sensitivi yang perlu dijaga,” katanya meluahkan pendapat bila ditanya tentang komedi di Malaysia.

DJA Show papar perjalanan seni Jamal Abdillah

Oleh: Khadijah Ibrahim

DALAM waktu terdekat ini, penonton siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 bakal menonton program DJA Show: Siri Muzikal ‘Aku Jamal: Suara Emas Digital’, sebanyak 13 episod yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan mesej keselamatan dalam talian.

Idea untuk merakam program tersebut tercetus sejak tahun lalu dan rakaman DJA Show hanya berjaya dilaksanakan baru-baru ini, selama 13 hari berturut-turut di Studio Sound Stage FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) di Hulu Kelang.

Pengarah Program DJA Show, Rosnan Nordin berkata, program tersebut dilaksanakan bagi merealisasikan impian Datuk Jamal Abdillah seorang penyanyi legenda yang juga dikenali sebagai Raja Pop Malaysia.

Turut hadir menonton rakaman DJA Show pada hari tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib yang banyak memberi sokongan kepada Raja Pop Negara.

“DJA Show ini adalah untuk merealisasikan impian seorang legenda. Datuk Jamal mahu menjadikan sebuah arkib berdasarkan 13 buah album miliknya itu. Memang tak pernah dibuat.

“Dulu kita ada Ahmad Daud Show atau Normadiah Show tapi sudah lama, yang baharu belum ada. Kerana impian Datuk Jamal itulah saya tunaikan hajatnya yang mempunyai 13 album yang diterbitkan dan ada lagi album baharu dan saya terjemahkan dalam show ini.

“Show ini bukan berbentuk konsert tapi ia berbentuk temu bual dan kebetulan kita mendapat kerjasama yang baik daripada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

Menurut Pengarah Program DJA Show, Rosnan Nordin ( Duduk Paling Kiri ) program tersebut dilaksanakan bagi merealisasikan impian Datuk Jamal Abdillah seorang penyanyi legenda yang juga dikenali sebagai Raja Pop Malaysia.

“Seorang lagi insan yang merealisasikan impian kami agar menjadi kenyataan ialah Tan Sri Azam Baki. Dia kata buat dan jangan takut sebab Datuk Jamal memang the only legend yang tinggal.

“Kalau kita tak buat dan tunaikan impian ini bila lagi anak-anak seterusnya akan melihat tentang laluan Datuk Jamal. Disebabkan Datuk Jamal ini legenda kita harus angkat. Tan Sri Azam Baki yang banyak menyokong projek ini,” jelas Rosnan yang ditemui waktu rakaman program tersebut, pada 25 Jun, baru-baru ini.

Bagi Jamal tujuan utama beliau mahu menjayakan program tersebut adalah untuk mengadakan sebuah rakaman konsert live lagu-lagu yang pernah didendangkan dan juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat-peminat yang menyokongnya selama ini.

Juara Bintang RTM 1979 atau nama penuhnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 67, berharap program yang diuruskan oleh Aideaz Integrated Sdn. Bhd., itu dijadikan rujukan di masa depan.

Insan yang merealisasikan impian Jamal Abdillah agar show ini menjadi kenyataan ialah Tan Sri Azam Baki ( Duduk Paling Kiri ).

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih pada semua pihak yang sudi membantu saya merealisasikan impian saya ini. Saya ingin memulangkan semula rasa terima kasih kepada peminat-peminat yang telah menyokong saya selama ini.

“Selain itu saya harap program ini boleh jadi rujukan 100 tahun akan datang supaya orang dapat tengok balik Jamal Abdillah. Itu antara tujuan saya menjayakan DJA Show ini.

“Antara pengisian dalam show ini adalah temu bual dengan penulis lirik, Datuk Habsah Hassan, Datuk Chuari Selamat, S. Amin Shahab, wartawan hiburan dan seorang jurugambar yang bergiat bersama saya selama 48 tahun.

Bagi Jamal tujuan utama beliau mahu menjayakan program tersebut adalah untuk mengadakan sebuah rakaman konsert live lagu-lagu yang pernah didendangkan dan juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat-peminat yang menyokongnya selama ini.

“Esok akan ada lagu-lagu diraja, lagu yang dicipta oleh Almarhum Sultan Idris Shah (Namamu Dibibirku) dan Almarhum Sultan Ahmad Shah (Simfoni Sepi). Saya jemput anakanda Sultan Idris iaitu Raja Mardiah untuk menyampaikan apa hasrat ayahandanya dulu ketika memberi lagu itu kepada saya.

“Sepanjang rakaman ini saya juga telah mengundang ramai penyanyi untuk menyanyikan lagu-lagu saya. Antaranya, Aris Ariwatan, Ameng Spring, Amelina, Aisha Retno, Lan Typewriter, Hijjaz, Hazama, Fauziah Ahmad Daud dan anak-anak saya.

“Untuk program ini juga, dimuatkan kira-kira 117 buah lagu dan saya nyanyi lebih kurang 98 lagu. Selama rakaman ini setiap hari saya nyanyi 12 lagu tanpa rehat. Saya nak orang dengar lagu saya dan mengimbau nostalgia dulu, itu tujuan saya kerana nyanyian saya dari hati yang suci,” katanya.

Tambah Jamal, disebabkan jadual kerja yang padat, beliau dapat merasakan yang penyampaiannya kurang memberi dan perasaan itu dirasai selepas menjalani pembedahan pada awal tahun ini.

Suasana sidang media dan rakaman DJA Show baru-baru ini.

“Saya merasai penyampaian saya dah tak berapa. Saya perlu berubat dan berehat untuk betulkan balik kotak suara saya. Kalau sekiranya masih macam tu juga, lebih baik saya bersara.

“Apapun, seorang ahli politik atau penyanyi tidak ada istilah bersara, sampai bila-bila dia akan menyanyi. Saya akan cuba ubati suara saya sampai boleh kembali baik seperti dulu.

“KPI saya, kalau kita menyanyi lagu yang diturunkan key saya tak capai KPI, kerana saya tak dapat nak memuaskan hati penonton yang hadir. Itu adalah tujuan utama saya naik ke atas pentas, bukan sebab duit ringgit atau populariti. Saya nak orang rasa macam mana yang saya nak sampaikan.

“Sebelum saya menjalani pembedahan saya boleh sampaikan lebih kurang 25 lagu dalam satu malam selama tujuh hari. Tapi selepas saya menjalani pembedahan ada nampak berbezaan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib mengucap tahniah kepada Jamal Abdillah di atas kejayaan DJA Show.

“Mungkin kerana saya tak berehat langsung, setahun ni penuh. Untuk kotak suara, vokal chord saya berehat memang tak ada. Tapi saya sudah terikat dengan tanggungjawab jadi kena selesaikan juga,” akuinya.

Mengenangkan sudah 48 tahun beliau bergelar anak seni, ada pihak yang menyarankan agar Raja Pop itu dianugerah gelaran Biduan Negara dan program DJA Show mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Bagi Jamal apa juga anugerah adalah ketentuan Tuhan, kalau Allah nak bagi beliau terima dengan hati terbuka, kalau tak ada pun beliau okey saja.

Turut hadir menonton rakaman DJA Show pada hari tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif Aideaz Integrated, Norafizah Shiak Abd Rahman, Ketua Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri , MCMC, Mohd Faizal Mad Nor dan Tan Sri Azam Baki.

Sarimah Ibrahim jual barang peribadi demi Empati Malaysia

Oleh: Khadijah Ibrahim

IKON Empati Malaysia, Che Puan Sarimah Ibrahim akan mengadakan Charity Fundraiser Flash Sale secara langsung di TikTok bagi mengumpul dana untuk menyokong usaha dan program yang dijalankan oleh NGO Empati.

Siaran langsung tersebut akan berlangsung pada Isnin, 29 Jun 2026, jam 8.30 malam menerusi akaun TikTok rasmi @thesarimah.

Program ini menampilkan pelbagai koleksi pakaian serta aksesori pra-milik (pre-loved) milik Sarimah yang pernah digunakan sepanjang pembabitannya dalam pelbagai filem dan drama televisyen.

Sebagai Ikon Empat Malaysia, Sarimah Ibrahim sentiasa berusaha bagi memastikan NGO tersebut berjaya mencapai matlamat.

Orang ramai berpeluang memiliki koleksi eksklusif tersebut dengan harga bermula serendah RM30, di samping menyumbang kepada usaha kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sebagai Ikon Empati, pelakon dan pengacara itu telah lama memperjuangkan kesedaran mengenai kesihatan mental serta kepentingan nilai empati dalam masyarakat.

Beliau sebelum ini menyatakan bahawa penglibatannya bersama NGO Empati lahir daripada kepercayaan bahawa pendekatan berasaskan empati mampu membantu lebih ramai golongan muda mendapatkan sokongan dan mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental.

Sudah lama Sarimah Ibrahim terlibat dengan badan-badan amal terutamanya yang melibatkan kesihatan mental.

“Saya amat teruja dan berbesar hati apabila dijemput menjadi Jurucakap Rasmi Empati. Pendekatan Empati Malaysia yang menekankan empati, pembinaan komuniti, penjagaan secara holistik, pengurangan stigma dan kerjasama benar-benar mampu menyentuh lebih ramai hati anak muda serta membina masa depan yang lebih baik.

“Diharap melalui Charity Fundraiser Flash Sale ini, orang ramai bukan sahaja dapat memiliki koleksi istimewa daripada perjalanan seni saya, malah turut bersama-sama menyumbang kepada usaha kebajikan yang dijalankan oleh NGO Empati,” katanya.

Sebagai aktivis kesihatan mental yang aktif, termasuk melalui pelbagai forum, kempen kesedaran, program advokasi serta penerbitan lagu amal berkaitan kesihatan mental, Sarimah berharap orang ramai sudi memeriahkan inisiatif amal ini.

Amanat Saloma dan P. Ramlee buat Mimi Loma!

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

Bawah Rumpun Bambu

Bawah rumpun bambu
hamba menunggu
bergetar jantung kalbu
hatiku rindu

Dia yang kupuja
tak kunjung tiba
di mana kau berada
duhai kekanda

Oh… bersiul-siul bunyi
hembusan bayu
rembulan pun memancar
wajah nan ayu

Tak sedar dia tiba
di hadapanku
gembira sungguh rasa
di dalam kalbu

Oh alangkah riang rasa
duhai kekanda
kala kuhibur hati
duka dan lara
janganlah ditinggalkan
wahai kekanda
biar hidup berdua
mati bersama

Bawah rumpun bambu
hamba menunggu
berdebar jantung kalbu
hatiku rindu

Lagu: P. Ramlee
Lirik: Salleh Ghani

PERTAMA kali saya mendengar lagu ‘Bawah Rumpun Bambu’ berkumandang di radio pada tahun 1982, ketika itu umur saya baru sebelas tahun dan menduduki darjah lima. Menghayati melodinya yang indah dan setiap bait liriknya yang puitis membuatkan saya ‘jatuh hati’ pada lagu tersebut.

Tetapi apabila juruhebah radio mengumumkan nama penyanyinya ‘Mimi Loma’ dan bukan ‘Saloma,’ saya tertanya-tanya siapakah dia? Sebabnya suara ‘penyanyi’ berkenaan saling tak tumpah seperti suara Biduanita Negara itu, terutama ketika menyanyikan rangkap ketiga lagu berkenaan.

MIMI Loma mula menarik hati para peminat dengan lagu “Bawah Rumpun Bambu” yang mula diedarkan pada 4 Mei 1973.

“Bawah Rumpun Bambu” lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan lirik ditulis oleh Pengarah Allahyarham Salleh Ghani telah diberikan kepada Mimi Loma pada tahun 1973.

Khabarnya P. Ramlee hanya sempat mendengar lagu ciptaan terakhirnya itu sebelum lagu berkenaan ‘disalin’ ke piring hitam dan album itu dilancarkan pada 4 Jun 1973 iaitu lima hari setelah beliau meninggal dunia. P. Ramlee meninggal dunia ketika berusia 44 tahun pada 29 Mei 1973 kerana serangan jantung. Sementara Salleh Ghani meninggal dunia ketika berusia 62 tahun pada 20 Ogos 1986 kerana penyakit barah.

Bermula dari lagu itulah, Mimi Loma mula mencipta nama dan dikenali oleh para peminat senisuara ketika itu. Bukan setakat sebuah lagu malah beliau telah merakamkan dua puluh lagu yang dimuatkan dalam lima album berbentuk EP (Extended Play) atau disebut mini album yang mengandungi hanya empat buah lagu.

SENIMAN M. Wari (duduk tengah) bersama Seniwati (duduk dari kiri) Rahmah Ali, Mimi Loma, Jas dan Rafiah Ismail.

Selain “Bawah Rumpun Bambu” lagu yang dirakamkan dan melekat di hati para peminat antaranya “Epok-Epok,” “Mengapa Abang Merajuk,” “Hendak Ku Rayu Pada Siapa,” “Hampa Kecewa,” dan “Berpisah.”

Mimi Loma atau nama sebenarnya Aminah Ismail. Bapanya, Ismail Osman dan beliau adalah adik sebapa dengan Allahyarham Biduanita Negara, Puan Sri Saloma dan Allahyarham Seniwati Mariani. Beliau berasal dari Singapura dan mula menyanyi pada tahun 1968.

MIMI Loma bukan sahaja mempunyai suara yang lunak didengar malah senyumannya membuat para peminat tidak jemu memandang wajahnya.

Bagaimanapun lagu ciptaan P.Ramlee itu telah meletakkan nama Mimi Loma sebagai salah seorang biduanita popular dan diminati sejak itu.

Menyingkap tabir di sebalik nama dan perjalanan seninya, tanpa berselindung Mimi Loma yang sempat saya temui sebelum beliau meninggal dunia bercerita;

“Nama saya daripada Aminah ‘menjadi’ Mimi Loma adalah idea abang ipar saya, P. Ramlee. Semuanya bermula apabila saya menerima undangan menyanyi untuk sebuah rancangan Radio Sabah.

“Abang Ramlee beritahu saya mulai sekarang lupakan nama Aminah tetapi ingat nama ‘Mimi Loma.’

MIMI Loma dan kakak kesayangannya, Saloma.

“Sejak itu, di mana sahaja saya menerima undangan menyanyi itulah nama yang saya gunakan. Bukan itu sahaja, malah sedara mara, kawan-kawan dan jiran-jiran saya juga memanggil saya dengan nama itu.

“Saya amat bersyukur kerana dengan nama itu dan lagu ciptaan beliau telah memberi ruang yang lebih luas untuk saya mencari rezeki, walaupun beliau telah ‘pergi’ sebelum EP saya dilancarkan. Saya amat terhutang budi pada Abang Ramlee.

“Tetapi sampai hari ini apabila kawan bertanya mengenai nama saya, memang tiada jawapan kerana saya tidak pernah bertanya pada Abang,” cerita Mimi Loma.

“Ahmad Albab” arahan P. Ramlee dan diterbitkan pada tahun 1968 adalah satu-satunya filem yang telah menggabung tiga beradik berbakat iaitu Mariani, Saloma dan Mimi Loma.

Menurut Mimi Loma, pada awal penglibatannya sebagai penyanyi ada juga cakap-cakap yang mengatakan beliau bertuah kerana menumpang populariti kakaknya, Saloma dan Mariani.

Tetapi beliau tidak pernah ambil peduli sebaliknya sentiasa ingat pesan yang dititipkan Saloma untuk beliau amalkan agar kekal sebagai penyanyi bersuara merdu.

PASANGAN suami isteri dalam filem “Ahmad Albab.” Safar (Karim Latif) sanggup merompak demi memberi kemewahan kepada isterinya, Suhara (Mimi Loma).

“Sebenarnya kakak tak ada rahsia bagaimana menjaga suara. Cuma pesan kakak kalau suara serak banyakkan minum air suam atau air limau suam,” cerita Mimi Loma.

Namun katanya, beliau tidak pernah ambil kisah cakap-cakap orang kerana walaupun mereka bukan dari keluarga seni tetapi mereka tiga beradik memang berbakat. Realitinya beliau dan kakaknya Saloma berbakat sebagai penyanyi dan pelakon. Sementara Mariani memang hebat sebagai pelakon!

TIGA adik-beradik di satukan dalam filem “Ahmad Albab” dan menjadi cover Majalah Filem 1968.

Hakikatnya tiga beradik ini pernah ditemukan dalam filem “Ahmad Albab” arahan P. Ramlee terbitan Merdeka Film Productions dan diedarkan oleh Shaw Organisation pada tahun 1968.

“Ahmad Albab” adalah filem pertama dan terakhir yang menemukan mereka sebagai adik beradik, Safura (anak sulung lakonan Mariani), Mastura (anak kedua lakonan Saloma) dan anak bungsu, Suhara (Mimi Loma) dan ayah mereka, Mas’hud Al-Buaya (AR Tompel) yang mahu mengahwinkan ketiga anaknya dengan lelaki kaya.

Bagaimanapun hanya Safura dan Suhara berkahwin dengan anak orang kaya. Sementara Mastura berkahwin dengan Syawal gembala lembu. Syawal yang dilakonkan oleh P. Ramlee akhirnya menjadi kaya kerana rajin berkerja dan sifat jujurnya.

MIMI Loma menceburi bidang lakonan pada usia 22 tahun.

Menceritakan pengalamannya di lokasi penggambaran filem berkenaan, Mimi Loma berkata;

“Sebagai pengarah, saya tengok Abang Ramlee tidak pernah marah pelakon. Sebelum memulakan penggambaran beliau akan bertanya pelakon sama ada sudah hafal dialog atau belum. Andaikata jika sedang ‘shooting’ pelakon ‘jammed’ dan tidak boleh ingat dialog, dia akan hentikan shooting dan hanya akan sambung semula apabila pelakon itu telah bersedia.

“Selama di Kuala Lumpur, saya tinggal bersama Kakak (Saloma) dan Abang Ramlee di rumah mereka, di Jalan Dedap, Setapak. Banyak kenangan saya bersama mereka.

P. RAMLEE menerima anugerah dari Golden Harvest Award: Most Versatile Talent pada Festival Filem Asia ke-10 yang berlangsung pada 14 hingga 19 April 1963 di Tokyo, Jepun. Turut menemani beliau pada hari bersejarah itu ialah isterinya, Saloma.
Anugerah tersebut diberikan kepada beliau setelah 12 juri yang mengadili festival berkenaan sepakat dan sebulat suara memberikan anugerah itu kepada beliau berdasarkan kehebatan beliau sebagai Pengarah, Pelakon, Penggubah Lagu, Penyanyi dan Penulis Lakon Layar untuk filem “Ibu Mertuaku” (1962). Hanya P. Ramlee satu-satunya yang menerima anugerah ini kerana ia tidak pernah dipertandingkan dalam dunia selepas beliau.

“Saya perhatikan ketika di rumah, Abang Ramlee tidak banyak bercakap dan seorang yang banyak berfikir. Beliau pendiam orangnya dan suka minum kopi serta kuat hisap rokok.

“Bukan itu sahaja lebih setahun duduk dengan mereka, saya perhatikan Abang Ramlee memang pandai memasak dan setiap hari beliau masak kari. Pada mulanya saya fikir setiap hari makan kari mesti jemu tetapi tidak.

“Sebabnya, rempah kari Abang Ramlee bukan dibeli dari kedai tetapi nenek yang giling rempah itu dan memang sedap!”

P. RAMLEE, Saloma dan anak angkat mereka, Zaza Loma menjadi penghiasa muka depan Majalah Mastika Filem.

Menurut Mimi Loma walaupun P. Ramlee telah lama ‘pergi’ begitu juga Saloma yang meninggal dunia kerana sakit kuning pada usia 48 tahun pada 25 April 1983, beliau tetap ingat amanat kakak dan abang iparnya itu.

“Amanat kakak dan Abang Ramlee jangan ambil kisah apa orang cakap walaupun betul yang penting buat tak tahu.

“Tetapi jika kita salah, cepat-cepat minta maaf. Bukan menjadi satu kesalahan apabila kita memohon maaf dan ia tidak akan menjatuhkan maruah kita,” kata Mimi Loma yang sentiasa ingat amanat tersebut.

INILAH rumah P. Ramlee yang pernah Mimi Loma tumpang dan kini menjadi Pustaka Peringatan P. Ramlee atau Memorial P. Ramlee mempamerkan kejayaan dan sumbangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri perfileman negara.
Banglo yang terletak di No: 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, Kuala Lumpur yang dibina pada tahun 1986 adalah hadiah serta penghargaan daripada Shaw Brothers kepada P. Ramlee.

Menurut Mimi Loma, walaupun kakaknya telah meninggal dunia tetapi apabila teringat pelbagai fitnah dan tohmahan masyarakat yang dilemparkan tentang arwah abang iparnya membuatkan beliau sedih dan terkilan.

“Saya melihat penderitaan kakak. Selepas abang meninggal kakak tak boleh tidur dan kakak rasa sunyi, jiwanya kosong. Bukan itu sahaja malah semangat kakak untuk hidup bagaikan telah dibawa pergi oleh arwah Abang Ramlee.

“Betapa tidak macam-macam fitnah yang dilemparkan kononnya ada orang dengar Arwah Abang Ramlee main piano di rumahnya di Jalan Dedap. Nampak abang di stesen LRT dan macam-macam lagi. Itu yang buat kakak menderita.

Inilah baju kesayangan Mimi Loma.

“Sebenarnya selepas abang meninggal ada orang nak berkahwin dengan kakak. Kakak kata boleh tetapi dengan syarat orang itu mesti serupa macam arwah abang tak boleh lebih atau kurang.

“Hakikatnya selepas abang meninggal, kakak memang tidak bersemangat untuk hidup. Setiap kali timbul cerita-cerita karut kononnya abang hidup kembali, kakak sentiasa berdoa memohon Allah tunjukkan kebenaran,” cerita Mimi Loma.

Menurut Mimi Loma, sepanjang kakaknya dirawat di hospital beliau sentiasa menemaninya cuma seminggu sebelum kakaknya meninggal beliau terpaksa balik ke Singapura kerana ada urusan keluarga dan saya minta Ibu (Umi Kalsom Mahbon, emak Saloma) menjaganya.

Beliau menghadiahkan baju tersebut kepada Syed Wafa dan kini disimpan di Wafa Gellery
Inilah kain sarung kesayangan Saloma yang dihadiahkan Mimi Loma kepada Syed Wafa.
Kain sarung ini juga disimpan di Wafa Galery.

Banyak kenangan saya (Penulis) bersama seniwati legenda Mimi Loma. Kenangan yang paling saya tidak lupa beliau telah menghadiahkan saya kain sarung kesukaan Saloma serta dua pasang baju kegemaran beliau kepada saya. Hadiah istimewa ini saya letakkan di Wafa Gellery milik saya.

Mimi Loma meninggal dunia pada 21 Ogos 2021. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Selangor.

MENGABADIKAN kenangan…Mimi Loma dan Dayang Sofia bersama bekas ketua Radio Klasik, Noraini Ibnu.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman… Amin.

SYED Wafa mengabadikan kenangan bersama Mimi Loma.

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

ZARYA sesuai untuk wanita dan lelaki

Oleh: Khadijah Ibrahim

DALAM keadaan cuaca sekarang yang panas terik, badan akan cepat berpeluh dan rasa tidak selesa. Di waktu yang sama, kita juga risau kalau badan berbau dek peluh.

Mana tak debar, wajah dah tampak cantik atau kacak tapi aroma badan tak menyenangkan. Situasi begitulah yang cuba dielak oleh semua orang.

Jangan risau masalah itu dapat diatasi jika anda menggunakan gel mandian jenama ZARYA yang berharuman lembut dan tubuh anda akan tetap kekal harum jika disembur dengan body mist jenama tersebut.

Penggunaan gel mandian ZARYA membantu menjadikan rutin mandi lebih menenangkan dan selesa kerana ia membersihkan kulit secara lembut. Malah sesuai digandingkan dengan body mist untuk kesan lapisan haruman.

Yat Zakaria merupakan pengasas kepada jenama ZARYA.

Menariknya body mist ZARYA memang direka untuk kegunaan harian dengan haruman ringan dan menyegarkan. Sesuai diguna oleh wanita dan lelaki yang sukakan haruman lembut dan mudah dibawa ke mana saja.

Bukan sesuatu yang eksklusif atau terlalu mewah, tetapi ZARYA membawa pendekatan baharu rutin seharian yang membantu seseorang rasa lebih tenang, segar dan menghargai diri sendiri.

Produk ZARYA adalah keluaran tempatan dan menurut pengasasnya, Yat Zakaria, jenama tersebut dibina atas falsafah bahawa kekuatan bukanlah sesuatu yang perlu ditunjuk secara terbuka. Ada masanya, kemenangan dan kelembutan itu sendiri membawa keyakinan yang kuat.

Yat yang menggunakan slogan “I Choose Myself” adalah sebagai peringatan kepada orang ramai bahawa menjaga diri juga penting walaupun dalam kehidupan yang sibuk.

Penggunaan produk ZARYA mampu membuatkan diri rasa segar sepanjang hari.

“Sebagai seorang wanita yang sibuk dengan kerjaya dan rutin seharian, saya amat mementingkan keselesaan dalam apa jua yang saya lakukan.

“Berdasarkan pengalaman itulah, saya terfikir untuk mengeluarkan jenama ZARYA dan saya yakin produk tersebut juga menepati cita rasa orang lain,” katanya.

Sebagai pengeluar dan pengguna, Yat melahirkan rasa syukur kerana salah satu produk ZARYA iaitu Signature Self-Care Scent, haruman eksklusif yang menggabungkan buah-buahan, bunga dan kayuan bagi menghasilkan aroma segar, elegan serta menenangkan si pemakai sepanjang hari itu mendapat perhatian ramai.

Haruman itu menampilkan gabungan nota pear, blackcurrant, pink pepper dan grapefruit sebagai pembuka, diikuti dengan aroma pineapple, rose dan jasmine pada lapisan tengah, sebelum dilengkapi dengan sentuhan vanilla, cedar dan amber wood pada nota asas.

Menggunakan slogan I Choose Myself, mengingatkan pengguna yang penjagaan diri sendiri amat penting.

Gabungan haruman itu menghasilkan aroma yang seimbang dan sesuai dipakai untuk ke tempat kerja, selepas mandi ataupun ketika menjalani aktiviti harian.

Jika ada yang berminat untuk membeli produk ZARYA boleh layari TikTok @zarya_beauty dan Instagram @zaryabeautymy

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi team ZARYA di talian 017-3035250 atau e-mel zaryabeautyofficialmy@gmail.com

Peminat bakal tonton keunikan muzik di konsert Black On White: Cromok-Barbarik

Oleh: Khadijah Ibrahim

PASTI peminat-peminat Cromok dan Barbarik, tidak sabar untuk melihat persembahan mereka di pentas sempena konsert Black On White: Cromok-Barbarik.

Konsert yang menyatukan dua kumpulan berpengaruh yang berbeza identiti muzik itu bakal berlangsung di Idea Live Arena, Damansara, pada 27 Jun 2026.

Gabungan elemen metal yang sinonim dengan Cromok dan karakter muzik Barbarik dijangka menghasilkan sebuah persembahan yang unik serta jarang disaksikan dalam landskap muzik tempatan.

Bagi menghangatkan lagi persembahan, konsert ini bakal menampilkan beberapa segmen khas termasuk persembahan tribute kepada kumpulan legenda Kembara sekitar lima buah lagu, sekali gus memberi nilai nostalgia kepada peminat selain menyuntik kelainan dalam keseluruhan perjalanan konsert.

Anggota Cromok tekun menjalani latihan bagi memastikan persembahan mereka mantap.

Pemain gitar utama Cromok, Karl, berkata persiapan konsert kini berada pada tahap yang sangat baik, termasuk dari segi susunan persembahan, semakan masa dan aspek teknikal bagi memastikan kelancaran acara pada malam tersebut.

Menurutnya, konsert ini bukan sahaja menampilkan himpunan lagu-lagu pilihan, malah turut membawa elemen baharu yang dirancang khusus untuk memberi pengalaman berbeza kepada penonton.

“Segala persiapan sudah diperkemaskan termasuk dari segi teknikal dan susunan persembahan. Kami mahu pastikan penonton menerima satu pengalaman yang benar-benar berbaloi pada malam itu nanti,” katanya.

Sementara itu, gitaris Barbarik, JoBranko, berkata kolaborasi bersama Cromok merupakan satu eksperimen muzik yang sihat dan memberi ruang kepada kedua-dua kumpulan untuk meneroka dimensi persembahan yang lebih luas.

Walaupun berpengalaman kumpulan Barbarik tetap melakukan latihan untuk konsert mereka.

Katanya, gabungan dua kumpulan ini bukan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya sudah melalui perbincangan dan perancangan rapi bagi memastikan persembahan yang dibawa benar-benar mempunyai kekuatan tersendiri.

“Apabila kami bergabung, matlamat utama adalah untuk mencipta sesuatu yang unik dan memastikan momentum persembahan kekal bertenaga dari awal hingga akhir supaya penonton tidak bosan.

“Barbarik juga akan mempersembahkan single terbaharu kami secara langsung pada malam itu nanti,” katanya.

JoBranko turut menegaskan bahawa kehadiran dan sokongan peminat amat penting dalam memastikan kumpulan muzik tempatan terus aktif berkarya serta menghasilkan material baharu.

“Peminat harus datang jika mahu kami terus berkarya. Sokongan di lokasi konsert seperti inilah yang memberi semangat kepada kami untuk terus bergerak dan menghasilkan karya baharu,” katanya lagi.

Dua kumpulan yang berbeza identiti muzik beraksi di pentas yang sama.

Sementara itu, dari aspek teknikal, konsert ini turut menggunakan pendekatan hybrid yang menggabungkan elemen analog dan digital bagi memastikan kualiti bunyi yang lebih kemas, mantap dan sistematik tanpa menghilangkan karakter asal muzik yang dibawakan oleh kedua-dua kumpulan.

Konsert ini menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6). Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik.