Home Blog Page 18

Lovebites bakal penuhi impian peminat heavy metal Malaysia

Oleh: Khadijah Ibrahim

NAMA kumpulan Lovebites mungkin kedengaran ganjil bagi penggemar irama balada, namun nama tersebut sangat gah bagi peminat-peminat irama heavy metal.

Menariknya anggota kumpulan heavy metal yang berasal dari Tokyo, Jepun yang ditubuhkan pada 2016 itu dianggotai oleh wanita-wanita berbakat.

Dibarisi Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan keyboard), Fami (bass) serta Haruna (dram), mereka bukan sekadar sebuah kumpulan wanita biasa, sebaliknya dikenali sebagai pemuzik virtuoso yang berjaya memecahkan stereotaip dalam dunia heavy metal yang lazimnya didominasi lelaki.

Jika anda mahu melihat persembahan mereka secara langsung, jangan ketinggalan untuk hadir ke Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Oktober depan.

Wanita-wanita Lovebites ini setanding dengan kumpulan heavy metal yang dianggotai oleh lelaki.

Kumpulan heavy metal wanita paling berpengaruh di dunia itu, dibawa khas ke Malaysia oleh Rockstage Entertainment, selaku penganjur.

Menurut Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman, kehadiran Lovebites ke Malaysia merupakan antara projek yang telah lama dirancang selepas melihat permintaan tinggi daripada peminat metal tempatan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami menerima banyak permintaan daripada peminat untuk membawa Lovebites ke Malaysia. Mereka bukan sekadar sebuah kumpulan metal wanita, tetapi sebuah fenomena global yang memiliki peminat setia di seluruh dunia.

“Kami percaya konsert ini akan menjadi antara acara metal paling istimewa tahun ini kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia. Sudah tentu kami mahu memberikan pengalaman yang setanding dengan persembahan mereka di Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Tambahnya, pihak penganjur juga sedang merancang sebuah produksi berskala penuh yang mampu memberikan pengalaman audio dan visual terbaik kepada penonton.

“Lovebites terkenal dengan ketepatan muzik, kualiti persembahan serta tenaga luar biasa di atas pentas. Justeru, kami akan memastikan setiap aspek produksi termasuk sistem bunyi, pencahayaan dan pengalaman penonton berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

Pilihan tempat duduk berdasarkan nilai harga tiket yang dijual.

Dalam masa sama, Talib menyifatkan konsert tersebut sebagai bukti bahawa Malaysia kini semakin mendapat perhatian penganjur antarabangsa sebagai destinasi penting bagi jelajah artis rock dan metal dunia.

“Komuniti metal di Malaysia sangat besar dan sentiasa memberikan sokongan luar biasa. Kehadiran Lovebites membuktikan negara kita semakin diiktiraf sebagai pasaran penting untuk artis-artis antarabangsa dalam genre ini,” katanya.

Sepanjang karier mereka, Lovebites pernah merangkul anugerah “Best New Band” di Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom selain menggegarkan pentas festival metal terbesar dunia seperti Wacken Open Air, Download Festival dan Graspop Metal Meeting.

Lovebites telah menghasilkan beberapa album yang mendapat pujian pengkritik termasuk Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day dan Lovebites EP II, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama terbesar dalam arena metal moden.

Berdasarkan persembahan terkini mereka di luar negara, peminat boleh mengharapkan deretan lagu kegemaran seperti Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, Judgement Day dan We The United yang sering menjadi kemuncak setiap konsert.

Dengan gabungan kemahiran muzik luar biasa, tenaga persembahan yang tidak pernah surut serta status mereka sebagai kumpulan metal wanita paling berjaya di dunia ketika ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa 4 Oktober depan bakal menjadi malam bersejarah yang akan terpahat dalam memori peminat metal Malaysia untuk tempoh yang sangat lama.

Bagi yang inin menonton konsert Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur boleh membeli tiker menerusi MyTicket Empire.

Artis Veteran Terkejut Wafa TV disabotaj !

Oleh: Nafsiah Jani

BUKANLAH satu omongan atau khayalan namun sama ada sedar atau tidak itulah putaran dunia seni yang kebanyakannya hanya menghargai mereka yang muda dan melupakan yang sudah berusia.

Meskipun ia pahit untuk ditelan bagi insan seni yang pernah menyerikan kehidupan seharian kita namun itulah lumrah perjalanan sebuah kehidupan kita.

Menyedari apa yang dialami insan seni ini dan atas dasar menyayangi dan menghormati seniman dan seniwati veteran, Syed Wafa mewujudkan youtube Wafa TV yang lebih memfokuskan kepada insan seni berkenaan.

Realitinya, Wafa TV yang mula bersiaran sejak 2017 lalu bukan sahaja berjaya menarik perhatian seniman dan seniwati veteran dan para peminat dunia seni hari ini, malah Primadona filem Melayu, Seniwati Datuk Sarimah Ahmad juga merasa selesa mengikuti perkembangan dan kisah silam artis sejak di zaman Studio Jalan Ampas yang dipaparkan Wafa TV.

Bagaimanapun sesuatu yang mengejutkan beliau apabila saya menghubunginya dan cuba menyelami nalurinya apabila Wafa TV milik Syed Wafa atau lebih dikenali Wafa, disabotaj sehingga digantung dari radar.

Beliau yang terkejut dan terkesima seketika apabila diberitahu apa yang terjadi terhadap Wafa TV, meluahkan apa yang dirasa sambil berkata;

“Wafa TV dah tiada lagi? Wafa TV sudah ‘hilang’ dari radar angkara sifat hasad dengki manusia.

“Walaupun saya sudah lama mengenali Wafa, tetapi bagi saya beliau bukanlah orang yang sanggup buat benda-benda yang ‘tak senonoh’ begitu.

Antara pengisian menarik dan eksklusif di Wafa TV.

“Disebabkan itu, apabila pertama kali beliau mahu menemuramah saya untuk Wafa TV saya tidak menolak kerana saya tahu beliau membuat kerja itu selain ikhlas adalah untuk mencari rezeki dan menolong artis-artis veteran. Menghormati prinsip Wafa TV, kini sudah lebih lima kali saya menemui para peminat melalui channelnya,” luah Sarimah Ahmad apabila diberitahu apa yang dialami Wafa TV.

Menurut Sarimah Ahmad, beliau benar-benar terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku.

“Saya menganggap Wafa bagaikan adik saya kerana sifat mulianya yang menghargai seniman dan seniwati veteran dengan menghargai.

“Malah sebagai seniwati Studio Jalan Ampas saya amat menghargai usahanya dan pada waktu yang sama saya berharap semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka agar memaafkan mereka yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu,” ujar Sarimah Ahmad penuh harapan.

“Sejak mengenali Wafa dan Wafa TV, tidak pernah sekali pun beliau buat salah apalagi memaparkan video berunsur seks seperti yang didakwa.

“Malah sebagai seniwati Studio Jalan Ampas saya amat menghargai usahanya dan pada waktu yang sama saya berharap semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka agar memaafkan mereka yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu,” ujar Sarimah Ahmad penuh harapan.

“Kejam mereka yang lakukan kepada youTube Wafa TV dan saya amat berharap ada pihak yang dapat membantu untuk mengembalikan siaran youTube Wafa TV,” luah bidunita Zaiton Sameon penuh kesal

Rata-rata artis veteran terkejut dengan apa yang berlaku.

“Kejam mereka yang lakukan kepada youTube Wafa TV dan saya amat berharap ada pihak yang dapat membantu untuk mengembalikan siaran youTube Wafa TV,” luah bidunita Zaiton Sameon penuh kesal.

Wafa temu bual Jermaine Jackson (Baju Putih) di Los Angeles bersama anaknya Jaafar Jackson (Baju Merah) yang melakonkan watak pakciknya Micheal Jackson dalam filem Michael yang box office di seluruh dunia.

Sementara Syed Wafa ketika dihubungi dan ditanya mengenai apa yang dilalui berkata;

“Sembilan tahun lalu apabila pertama kali Wafa TV bersiaran matlamat saya adalah sebagai menghargai artis veteran dengan bekongsi perkembangan terkini dengan artis terawal antaranya Mimi Loma, Seniwati Zaiton dan ramai lagi.

“Selain beliau ramai lagi artis yang saya interbiu antaranya Allahyarham Datuk M. Daud Kilau, M. Rizal, Allahyarham M. Sani, Yusof Wahab dan lain-lain.

Wafa temu bual eksklusif bersama Putri Arini untuk Wafa TV.

“Sebab itu saya terkejut apabila mendapat tahu Wafa TV digantung kerana ada unsur seks dalam bahan siaran Wafa TV.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mahu unsur-unsur negatif dalam Wafa TV dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Walaupun saya rasa kecewa namun saya yakin kebenaran akan bersama saya. Kini saya sedang berusaha untuk mewujudkan semula Wafa TV demi perjuangan saya untuk menghargai para seniman dan seniwati veteran.

“Saya juga telah berhubung dengan Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia melalui WhatsApp untuk meminta pertolongan dari beliau, saya amat berharap beliau boleh membantu,” ujar Wafa lagi.

“Sepanjang sembilan tahun lebih bersiaran Wafa TV telah bersiaran dengan lebih 1,000 video artis malah mempunyai pengikut hampir 80 ribu ”

“Saya juga telah berhubung dengan Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia melalui WhatsApp untuk meminta pertolongan dari beliau, saya amat berharap beliau boleh membantu,” ujar Wafa lagi.

Keindahan Bulan Muharram

Oleh: Syed Yusof Wafa

Bulan Muharram adalah bulan yang sangat mulia. Amalan yang paling utama dilakukan adalah memperbanyak puasa sunat (terutamanya pada Hari Asyura, 10 Muharram), memperbanyak sedekah, melakukan solat sunat, membaca al-Quran, serta membaca doa akhir dan awal tahun bagi menyambut kalendar baharu Islam.Berikut adalah senarai amalan utama yang sangat digalakkan pada bulan Muharram:

-Berpuasa Sunat (Hari Tasu’a & Asyura):

Puasa di bulan Muharram adalah sebaik-baik puasa sunat selepas bulan Ramadan.

-Puasa Asyura (10 Muharram):

Dilakukan untuk mendapat pengampunan dosa setahun yang lalu.

-Puasa Tasu’a (9 Muharram):

Digalakkan berpuasa pada 9 Muharram bagi membezakan amalan umat Islam dengan kaum Yahudi yang berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

-Memperbanyak Sedekah & Membantu Keluarga:

Menyambung silaturahim dan memberi lebih nafkah kepada ahli keluarga serta bersedekah kepada golongan yang memerlukan (seperti anak yatim) sangat dituntut.

-Membaca Doa Akhir & Awal Tahun:

Membaca doa akhir tahun (pada hari terakhir Zulhijah) dan doa awal tahun (pada 1 Muharram) sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan.

-Amalan Kebaikan Lain:

Memperbanyak zikir, istighfar, dan membaca al-Quran.Melakukan solat-solat sunat harian (seperti Tahajjud dan Dhuha) serta menjaga kebersihan diri.

Panduan rasmi mengenai kelebihan dan tatacara amalan ini boleh disemak melalui artikel Mufti Wilayah Persekutuan atau portal Great Eastern Takaful.

Selamat Menyambut Awal Muharam 1448 Hijriah

Kami di Wafa News mengucapkan “Selamat Menyambut Awal Muharam 1448 Hijriah,”
semoga momentum hijrah ini menjadi pemangkin untuk kita memperbaiki diri, memperkukuh iman, serta melangkah ke hadapan dengan penuh kejayaan dan keberkatan.

“Diari Air Mata” kisah cinta Aisha Retno

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYi dan komposer berbakat besar, Aisha Retno tampil dengan single baharu berjudul “Diari Air Mata”. Karya yang penuh emosi dan mengangkat kisah duka serta pengalaman dalam percintaan bukan nukilan daripadanya.

Untuk lagu ini Aisha meletakkan diri sebagai penyanyi dan menyerahkan segala tanggungjawab kepada komposer lebih berpengalaman iaitu Ajai.

Aisha Retno atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata, beliau menyerahkan semua tanggungjawab tersebut kepada Ajai walaupun komposer tersebut terbuka menerima perubahan.

“Aisha lahir daripada program realiti Big Stage dan abang Ajai adalah juri Big Stage selama lapan minggu berturut-turut, dan dia melihat proses Aisha. Bila dapat lagu tu, memang no komen daripada pihak Aisha.

Bersama Ajai selaku pencipta lagu dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Entertainment, Datuk Nana, pada majlis pelancaran baru-baru ini.

“Walaupun Aisha juga seorang song writer, personally Aisha memang suka lagu ciptaan abang Ajai tu. Alhamdulillah Aisha suka lagu itu nak ubah pun tak ada walaupun abang Ajai dah bagi ruang kalau nak ubah. Bagi Aisha lagu ini memang dah cantik dia punya struktur,” katanya terus terang.

Lebih istimewa, lagu dendangan Aisha yang merupakan ciptaan dan terbitan Ajai itu merupakan rakaman sulung di bawah naungan Usanita Entertainment.

Jelas Aisha lagi, beliau tidak ada masalah bekerja dengan Ajai, malah Ajai bukan sekadar mencipta dan menerbit lagu untuknya, tapi turut menjadi pendengar setia tentang kisah cintanya yang kecundang itu.

“Bekerja dengan abang Ajai memang mudah dan kita tahu dia adalah seorang juri atau figura yang digeruni in the good way. Dia very transparent bila bekerja, kalau suka cakap suka dan kalau tak suka direct saja dia bagi tahu.

“Dengan abang Ajai ni, masuk-masuk saja dah curhat (curahan hati), dia jadi kaunselor dalam bilik studio dia. Ya! Dik apa masalah cinta kau! Kita pun bercerita sebab waktu itu kami betul-betul nak brainstorm pasal lagu. Semua akan berbaloi kepada alur lagu jadi Aisha kenalah cerita apa masalah, kena bersikap terbuka.

Bermula 15 hingga 21 Jun ini, kalau anda pergi ke mana -mana cawangan Kenangan Coffee dan nyanyi lagu “Diari Air Mata” boleh mendapat potongan 25% untuk minuman.

“Akhirnya jadilah sebingkis lagu yang cukup indah diperkatakan dari isi hati Aisha oleh abang Ajai. Mulanya Aisha tak berterus terang dengan abang Ajai kerana Aisha ni sangat very private tentang kehidupan peribadi.

“Hanya segelintir kekawan yang tahu Aisha dulu dengan siapa. Tapi sebab Aisha berpaksikan kepada kata-kata abang Ajai, tip dan tunjuk ajar dalam industri, jadi bila dia dah bagi semua jadi kita pun kena memberi balik. Untuk abang Ajai sendiri Aisha bersikap terbuka tentang kisah cinta,” akuinya tanpa berselindung.

Aisha tidak menafikan bahawa lagu “Diari Air Mata” ditujukan kepada bekas kekasih yang pernah singgah di hatinya.

“Bukan lagu ini saja untuk dia (mantan kekasih) tapi ada beberapa lagu lain yang memang rujuk kepada dia dan bukan dia seorang saja, adalah beberapa individu lain.

“Kiranya dia adalah antara sekumpulan insan yang pernah menyakiti perasaan hati Aisha dan cuba zahirkan kepada lagu ini. Sebenarnya ada beberapa individu yang Aisha lalui fasa ini secara berulang-ulang.

“Kegagalan bercinta sebelum ini bukan bermakna Aishah dah tutup buku cuma sekarang ini lebih tumpu kepada kerjaya dulu. Kalau ada yang datang dan Aisha akan pastikan dia serius dan boleh menerima Aisha dengan karier jadual yang Allah bagi cukup padat,” katanya.

Aisha Retno membuktikan yang beliau mampu mendendangkan lagu berentak balada.

Aisha yang teruja dapat merakamkan lagu bergenre balada kerana sering tampil dengan lagu rancak sebelum ini, harap mendapat sokongan daripada peminat seni suara.

“Dah lama Aisha tak lahirkan lagu bergenre balada, rasanya dah setahun dua sebab Aisha selalu tampil dengan lagu yang rancak. Macam lagu raya baru-baru ni (Jodoh Lebaran) berentak joget.

“Up coming song yang akan release sebelum AJL (Anugerah Juara Lagu) pun genre sebegitu. Memang untuk tahun ini hanya lagu “Diari Air Mata” yang bergenre balada.

“So far lagu ini diterima baik dan ada yang tak tahu Aisha boleh nyanyi lagu berentak balada. Lagu ini bukan bentuk pembuktian tapi bentuk cenderamata untuk orang yang meminta Aisha release lagu balada,”ujarnya.

Dalam usaha memperkukuhkan lagi penceritaan lagu tersebut, “Diari Air Mata” turut diterjemahkan menerusi video muzik yang diarahkan oleh Ghazi Maslan dan Lily Samsudin yang menjalani penggambaran di Telang 18, Hulu Langat.

Sempena pelancaran lagu tersebut yang dilakukan di Kenangan Coffee Singgah Sana @ TRX, baru-baru ini, satu peraduan dianjurkan dengan kerjasama jenama produk tersebut.

Bermula 15 hingga 21 Jun ini di semua cawangan Kenangan Coffee, peminat Aisha atau penggemar kopi hanya perlu nyanyikan sebaris lirik atau korus lagu “Diari Air Mata” dan nikmati potongan 25% untuk minuman.

DEWAN PERNIAGAAN DATUK DATO MALAYSIA (DPDDM) DAN WILMINGTON METROPOLITAN UNIVERSITY METERAI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU)

Oleh: Nafsiah Jani

Tercipta lagi sebuah sejarah apabila Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) dan Wilmington Metropolitan University, California secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis yang berlangsung dengan penuh gemilang sempena Majlis Konvokesyen Wilmington Metropolitan University, California di Golden Palace of Horses, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia (Y.A.M.) Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, Chancellor Wilmington Metropolitan University merangkap Penasihat Utama Diraja DPDDM, bersama Profesor Dr. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wilmington Metropolitan University.

Menurut Presiden DPDDM, Dato’ (Dr.) Nor Hasnal Hashmi, Kerjasama strategik ini diharap dapat membuka lembaran baharu dalam memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.

“Diharap melalui kerjasama strategik ini dapat memberi manfaat kepada institusi pendidikan tinggi dan komuniti perniagaan melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada pembangunan modal insan, pendidikan profesional, keusahawanan, penyelidikan serta jaringan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen DPDDM dalam memperkasakan usahawan tempatan, kami juga berbanggga kerana beberapa tokoh usahawan DPDDM turut terpilih menerima pengiktirafan akademik dan penghormatan khas atas sumbangan cemerlang mereka dalam pembangunan ekonomi negara.”

Pada majlis tersebut beberapa ahli kehormat DPDDM dan beberapa tokoh yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang masing-masing telah menerima Penganugerahan Doktor Kehormat (Honorary Doctorate) dan Industrial Doctorate. Antara penerimanya ialah (Dr.) Ahmad Nazib Johari, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Penasihat Undang-Undang DPDDM, menerima Doktor Kehormat dalam bidang Undang-Undang dan Sains Politik (Law and Political Science).

Manakala Dato’ (Dr.) Aisy Wafiq Leong Abdullah (Pengerusi DPDDM ) – Doktor Kehormat dalam bidang Perniagaan dan Keusahawanan (Business and Entrepreneurship), Dato’ (Dr.) Nor Hasnal Hashmi (Presiden DPDDM) – Doktor Kehormat dalam bidang Perniagaan dan Keusahawanan (Business and Entrepreneurship), Hajah (Dr.) Jamilah (YDP DPDDM SABAH– Doktor Kehormat dalam bidang Keusahawanan (Entrepreneurship), (Dr.) Kartina Kamaruzaman – Penerima Industrial Doctorate dalam bidang Industri Estetik dan Kecantikan (Aesthetic Industry) dan (Dr.) Awangku Azrie Awang Dzulkarnain (DPDDM Honorary Secretary )- Penerima Doctored of Philosophy in Business Management , (Dr.) Dato I.s Muhamad Faizal Abd Rahman, Eksekutif Cooperate Perhubungan Awam dari Dewan Pendidikan Malaysia penerima Honorary Doctorate Sains Politik

Majlis menandatangani MoU DPDDM dan Wilmington Metropolitan University telah disempurnakan dengan disaksikan Yang Amat Mulia (Y.A.M.) Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, Chancellor Wilmington Metropolitan University merangkap Penasihat Utama Diraja DPDDM (tengah) antara Profesor Dr. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wilmington Metropolitan University (kanan) dan Presiden DPDDM, Dato’ (Dr.) Nor Hasnal Hashmi.

Majlis berprestij ini turut disaksikan oleh Ahli-Ahli Majlis Tertinggi DPDDM, para pemimpin industri, tokoh korporat serta jemputan kehormat yang hadir bagi meraikan pencapaian dan kerjasama strategik yang signifikan ini.

Sementara itu, menurut Profesor Dr Richard McChullag, Provost Wilmington Metropolitan University, California, diharap kerjasama strategik MoU bersama DPDDM ini dapat memperkukuhkan hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan, pembangunan kepimpinan, keusahawanan, jaringan perniagaan dan pembangunan profesional.

“Kerjasama ini bertujuan membuka peluang yang lebih luas melalui program akademik, persidangan antarabangsa, pengiktirafan kepimpinan, pembangunan usahawan, kolaborasi penyelidikan, serta pelbagai inisiatif profesional yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi dan masyarakat secara keseluruhan.

“Pihak universiti amat menghargai peranan penting yang dimainkan oleh DPDDM dalam memperkasa tokoh-tokoh kepimpinan, usahawan, profesional, serta komuniti perniagaan di Malaysia di samping menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan hubungan antarabangsa.”

Presiden DPDDM, (Dr.) Dato’ Nor Hasnal Hashmi begitu segak ketika menerima anugerah Honorary Doctorate in Business and Entreprenuership.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam mempromosikan kecemerlangan pendidikan, inovasi, pembangunan komuniti, serta memperkukuhkan hubungan strategik antara Wilmington Metropolitan University dan DPDDM demi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua institusi.

Pemeteraian MoU ini mencerminkan kerjasama dan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik demi memartabatkan pendidikan, kepimpinan, pembangunan usahawan serta pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, kerjasama strategik ini turut membuka peluang kepada masyarakat, golongan profesional dan usahawan untuk mengikuti program pendidikan profesional yang ditawarkan oleh Wilmington Metropolitan University di peringkat Diploma, Degree, Master dan Doctorate.

Program-program ini direka bagi memenuhi keperluan industri semasa serta menyediakan laluan fleksibel kepada individu berpengalaman untuk memperoleh kelayakan akademik yang diiktiraf melalui pendekatan pembelajaran sepanjang hayat dan pengiktirafan pengalaman industri. Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta memperkukuhkan daya saing negara di peringkat global.

Semoga jalinan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang inovasi, memperkasa pendidikan, memacu keusahawanan, membina masa depan negara dan kejayaan pada masa hadapan demi manfaat masyarakat, institusi pendidikan serta komuniti perniagaan Malaysia.

Hebatnya!…Umi Kalthum digelar ‘The Most Beautiful Woman Of Malaya’

0

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

BAGI para peminat filem Melayu klasik, mungkin nama Seniwati Umi Kalthum lekat di hati anda disebabkan rasa marah dan benci kerana wataknya sebagai ‘Putih’ dalam filem “Bawang Putih, Bawah Merah,” dan Tengku Halijah, ibu tiri yang kejam dalam “Raden Mas.” Kedua-dua filem ini terbitan Cathay Keris Film pada tahun 1959.

Walaupun Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum ‘dimarah’ dan ‘dibenci’ kerana watak tersebut tetapi realitinya itulah yang membuatkan nama dan bakatnya semakin menyerlah dalam dunia filem Melayu ketika itu.

KECANTIKAN asli yang dimiliki Umi Kalthum membuatkan Ho Ah Loke mengambilnya menjadi seniwati Cathay Keris.
KEJELITAAN Umi Kalthum amat menyerlah.

Beliau yang menceburi bidang lakonan selama tiga dekad dan telah membintangi lebih 30 filem dengan filem pertamanya, “Buluh Perindu” (1953), “Tangisan Ibu” (1954), “Kipas Hikmat” (1955),”Dosa Wanita” (1967), “Menanti Hari Esok” (1977), “Abang” (1981), “Sumpahan Mahsuri” (1989) dengan filem terakhirnya “Syukur 21” (2000).

Bagaimanapun filem “Sumpahan Mahsuri” meninggalkan kenangan manis dan abadi buat Umi Kalthum kerana itulah filem terakhir lakonan beliau bersama suami tercinta, Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor.

UMI Kalthum dengan ketinggian 1.65 meter membuatkan beliau kelihatan anggun bergaya dengan apa juga fesyen yang dipakai.
SIFAT jahat dan irihatinya yang suka menganiaya ‘Merah’ lakonan Allahyarham Latifah Omar membuatkan Umi Kalthum sebagai ‘Putih’ dalam filem “Bawang Putih Bawang Merah” dibenci para peminat filem Melayu klasik.

S. Roomai Noor meninggal dunia pada usia 73 tahun, di Hospital Makkah, Arab Saudi kerana paru-paru berair ketika menunaikan umrah bersama Umi Kalthum sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 16 Mac 1996 bersamaan 25 Syawal 1416 Hijrah.

Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahaudin kehilangan ayahnya kerana sakit usus ketika beliau berusia tujuh tahun. Beliau pernah mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan Melaka pada usia 16 tahun tetapi terpaksa melupakan peluang itu kerana ibunya menganggap sepandai mana pun seorang wanita akhirnya akan ‘berkerja’ di dapur!

UMI Kalthum sebagai Tengku Halijah dalam filem “Raden Mas.”
RATU watak jahat filem klasik…Umi Kalthum.

Umi Kalthum anak tunggal kepada pasangan suami isteri, Inspektor Kesihatan, Allahyarham Bahaudin Baginda Mohd. Aris dan Allahyarham Rokian Sutan Mohd. Zain, menceburi bidang lakonan setelah bercuti ke Singapura bersama kawan baiknya, Siti pada tahun 1951.

Kebetulan bapa saudara Siti, berkawan baik dengan pemilik Cathay Keris, Mendiang Ho Ah Loke yang telah terpandang wajah Umi Kalthum dan mempelawa beliau menjadi pelakon. Tetapi ketika itu, Umi Kalthum menganggap pelawaan itu hanya ‘ajak-ajak ayam.’

SENIWATI kesayangan ramai…Fatimah Ahmad, Umi Kalthum, Roseyatimah dan Rahmah Ali.
BINTANG dari Cathay Keris.
Dari kanan: Umi Kalthum, Rahmah Ali, Loke Wan Tho, Allahyarham Roseyatimah dan Allahyarham Fatimah Ahmad di Festival Filem Asia di Taipei, Taiwan pada tahun 1964.
Gambar ini dirakamkan sebelum Loke Wan Tho dan isterinya, Mavis Chew terbunuh dalam nahas kapalterbang terhempas pada 20 Jun 1964.

Bagaimanapun seminggu setelah kembali ke Malaya, beliau mendapat tawaran berlakon melalui telegram kiriman Ho Ah Loke.

Ho Ah Loke adalah kawan baik kepada S. Roomai Noor dan bersandarkan persahabatan dan persefahaman itu, mereka menubuhkan Keris Film yang kemudiannya berjaya dan dikenali Cathay Keris.

UMI Kalthum turut berlakon dalam filem “Lela Satria.”
KECANTIKAN asli wanita Melayu jelas terpancar di wajah Umi Kalthum

Walaupun pada awalnya mendapat tentangan daripada ibunya, tetapi akhirnya Umi Kalthum ke Singapura dengan ditemani ibunya. Mereka bukan sahaja menerima layanan baik daripada keluarga Ho Ah Loke malah tinggal di rumah penerbit filem itu selama setahun.

Sejak itu, Umi Kalthum berkawan rapat dengan S. Roomai Noor dan setelah bercerai dengan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak pada tahun 1953 dan mempunyai seorang anak, Ithnaini yang lebih dikenali Anita Sarawak, S. Roomai mengahwini Umi Kalthum pada tahun 1955.

UMI Kalthum memegang majalah Cinema HERALD terbitan tahun 1961 yang mengabadikan beliau sebagai ‘cover girl’ walaupun telah mempunyai empat orang namun tetap kelihatan anggun bergaya dengan baju kebaya dan berselendang.

Perkahwinan bahagia ini telah dikurniakan enam orang anak iaitu Noor Salasawati, Noor Kumalasari, Sonadi Noor, Noor Latiff, Noor Jumaaton dan Nurul Mukmin.

Sejak menjadi pelakon tetap Cathay Keris, satu demi satu filem dilakonkannya tetapi tidak pernah beliau menduga setelah mempunyai empat orang anak iaitu dua daripada perkahwinan pertama, Noraini dan Muhammad Jaafar dan dua bersama S. Roomai Noor iaitu Noor Salasawati dan Noor Kumalasari.

KEJELITAANNYA amat terserlah dengan raut wajah bujur sirih, kulit putih gebu tidak salah apabila dua majalah antarabangsa iaitu Life dan Cinema HERALD menamakannya sebagai ‘The Most Beautiful Woman of Malaya.
UMI Kalthum…gaya seorang seniwati popular filem Melayu era 1950-an dan 1960-an

Paling dibanggakan seniwati jelita ini pernah dua kali beliau diiktiraf sebagai ‘The Most Beautiful Woman’ di Singapura dan Malaya pada tahun 1956 dan 1961!

Dengan ketinggiannya 1.65 meter (5 kaki 6 inci), wajah bujur sirih dan berkulit putih gebu, Umi Kathum telah menarik perhatian Phillipe Halsman, jurugambar majalah fesyen antarabangsa, Life untuk mengabadikan beliau dalam majalah berkenaan dengan headingnya ‘The Most Beautiful Woman’ di Singapura dan Malaya.

PASANGAN sejoli…S. Roomai Noor dan Umi Kalthum.

Pada tahun 1961 sekali lagi, Umi Kalthum menjadi penghias muka depan (cover girl) majalah antarabangsa iaitu Cinema HERALD dengan heading yang hampir sama ‘The Most BEAUTIFUL WOMAN OF MALAYA.’

Walaupun ada yang menganggap betapa bertuahnya Umi Kalthum apabila dua kali dipilih dan diiktiraf oleh majalah antarabangsa sebagai Wanita Tercantik di Singapura dan Malaya tetapi rambut sama hitam hati berbeza.

NOOR Kumalasari bersama ibunya, Umi Kalthum ketika menghadiri majlis perkahwinan pada tahun 1960-an.
UMI Kalthum dan S. Roomai Noor bersama tiga daripada enam orang anak mereka.

Disebabkan beliau terpilih menjadi Wanita Tercantik timbul cakap-cakap yang kurang sedap didengar apabila bukan sahaja peminat malah di kalangan pelakon mempertikaikan beliau berkemban dalam majalah fesyen, Life.

Cakap-cakap itu diterima dengan hati terbuka oleh Umi Kalthum yang turut mengenakan kebaya pendek dan kain batik, sedangkan sebelum ini bukan sahaja beliau malah pelakon lain juga pernah berkemban dalam filem ketika itu!

Apabila menyingkap perjalanan seni Umi Kalthum sebagai seniwati pasti ramai peminatnya yang tertanya-tanya kenapa beliau sering diberikan watak ibu tiri, perempuan jahat dan batu api?

UMI Kalthum bersama Abdul Qayyum, anak sulung Noor Kumalasari.
PERTEMUAN terakhir ‘Putih’ dan ‘Merah.’
Pelakon utama filem “Bawang Putih Bawang Merah” bertemu sebelum Latifah Omar meninggal dunia pada 9 Jun 2013 dan Umi Kalthum meninggal pada 24 Julai 2013

Sebenarnya di sebalik keberkesanan beliau menghayati setiap watak jahat yang diberikan, Umi Kalthum mempunyai kelemahan sendiri.

Rahsia ini terbongkar apabila saya berbual dengan beliau yang sering diundang ke majlis Seniman dan Seniwati Veteran yang diadakan di Saloma Bistro, Ampang (kini sudah tidak beroperasi) pada tahun 1990-an.

Tanpa berselindung dan penuh keikhlasan, Umi Kalthum yang lebih mesra disapa ‘Aunty Umi’ berkata;

NOOR Kumalasari…mewarisi bakat lakonan ayahnya, S. Roomai Noor dan ibunya, Umi Kalthum.
Noor adalah anak kedua daripada enam beradik.

“Sebenarnya aunty malu berlakon babak romantik. Jadi untuk mengelak babak berpeluk-peluk aunty lebih suka jadi jahat. Watak jahat ni mencabar tetapi ia memberi kepuasan kepada aunty.

“Bukan itu sahaja, malah dengan ketinggian aunty 1.65 meter (5 kaki 6 inci) susah nak cari pasangan yang sesuai.”

Kenangan saya bersama seniwati legenda ini tidak akan dapat saya lupakan kerana beliau selalu memanggil saya anaknda jika kami bertemu dan tutur katanya yang sungguh lembut buat saya sentiasa rindu.

Kenangan indah Syed Wafa (Penulis)bersama seniwati legenda Umi Kalthum.

Umi Kalthum meninggal dunia dalam tidur pada usia 81 tahun pada 24 Julai 2013 bersamaan 15 Ramadan 1434 Hijrah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

Catatan Umi Kalthum buat Syed Wafa (Penulis)

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

PAPUH lancar Karnival Pelancongan Islam bagi Perkasa Industri Pelancongan Sah untuk Melindungi Pengguna

Oleh : Nafsiah Jani

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) akan menganjurkan Karnival Pelancongan islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di di Kompleks PKNS Shah Alam.

Karnival tiga hari ini bakal menghimpunkan agensi pelancongan, pengendali umrah dan haji, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, institusi kewangan Islam, penyedia teknologi pelancongan serta pelbagai pihak berkepentingan dalam industri.

Majlis pelancaran yang diadakan di ibu pejabat PAPUH di Shah Alam ini turut dihadiri Presiden PAPUH merangkap Pengerusi Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026, Dato’ Sri Haji Razali Mohd Sham, Naib Presiden PAPUH (Kebajikan & Keusahawanan) merangkap Timbalan Pengerusi Karnival, Tuan Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan dan Encik Hafeezuddin Abdul Razak, Pengurus Besar PAPUH Sdn. Bhd. merangkap Ketua Sekretariat Karnival.

Dato’ Sri Haji Razali berkata, Karnival ini bukan sekadar platform jualan, tetapi juga satu usaha pendidikan kepada masyarakat.

Presiden PAPUH merangkap Pengerusi Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026, Dato’ Sri Haji Razali Mohd Sham (no tujuh dari kanan) bersama Naib Presiden PAPUH (Kebajikan & Keusahawanan) merangkap Timbalan Pengerusi Karnival, Tuan Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan (no lapan dari kanan) selepas majlis pelancaran yang diadakan di ibu pejabat PAPUH di Shah Alam.

“Karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan perkhidmatan pelancongan, Umrah dan Haji daripada syarikat pelancongan yang berlesen dan sah di sisi undang-undang. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes penipuan pakej pelancongan dan umrah terus dilaporkan, melibatkan kerugian jutaan ringgit serta menjejaskan impian ramai rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadah dan melancong dengan selamat.

“Kami mahu pengguna lebih peka bila memilih agensi pelancongan yang berlesen dan berdaftar bagi mengelakkan mereka jadi mangsa penipuan dengan tawaran pakej yang terlalu murah dan tidak munasabah. Dalam keadaan kos operasi industri pelancongan yang terus meningkat termasuk kos hotel, bahan api, tiket penerbangan dan kos berkaitan lain, pengguna perlu lebih berhati-hati dengan tawaran tersebut. Jika harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa, pengguna perlu buat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran.”

Menurut Haji Razali lagi, penganjuran karnival ini juga bertujuan memperkukuhkan ekosistem pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

“Selain menyediakan platform terbaik kepada pemain industri untuk mempromosikan produk, perkhidmatan serta destinasi pelancongan dalam dan luar negara kepada masyarakat umum. Karnival ini juga menyaksikan penglibatan pelbagai jabatan kerajaan, agensi berkaitan pelancongan, syarikat penerbangan, institusi kewangan Islam serta syarikat swasta antara komponen utama yang akan memberikan nilai tambah kepada pengunjung.

Presiden PAPUH, Dato Sri Haji Razali Mohd Sham ketika memberi penerangan program tersebut.

“Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat terkini berkaitan pelancongan mesra Muslim, pakej umrah dan haji, perkhidmatan pelancongan antarabangsa. Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan perlindungan takaful, kemudahan pembiayaan serta pelbagai khidmat nasihat berkaitan industri pelancongan Islam di bawah satu bumbung.

“Karnival ini bukan sahaja menjadi platform promosi dan pemasaran bagi pemain industri, malah berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop centre) yang memudahkan pengunjung membuat perbandingan, mendapatkan konsultasi terus daripada pakar industri serta merancang perjalanan mereka dengan lebih yakin dan teratur.”

Tambah Haji Razali lagi, kami menyasarkan penyertaan lebih 100 syarikat dan organisasi yang mewakili pelbagai segmen industri pelancongan, umrah dan haji, serta menjangkakan kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara sepanjang tiga hari penganjuran.

“Sasaran ini mencerminkan keyakinan industri terhadap potensi karnival ini sebagai platform utama dalam memperkukuh jaringan perniagaan, memperluaskan pasaran serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap perkhidmatan pelancongan yang sah, berlesen dan berkualiti.

“Kami sasarkan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk bakal jemaah-jemaah umrah dan haji, keluarga Muslim, pencinta pelancongan, golongan profesional, penjawat awam, usahawan, pelajar institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan pelancongan Isiam dan destinasi mesra Muslim.”

Sepanjang karnival pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran istimewa pakej umrah, pelancongan Islamik dan destinasi pelancongan menarik, selain menyertai sesi perkongsian ilmu, forum industri, promosi eksklusif serta aktiviti interaktif yang disediakan oleh para peserta pameran.

Selain menawarkan pelbagai pakej umrah, haji, pelancongan domestik dan antarabangsa, karnival ini turut menyediakan sesi perkongsian ilmu, konsultasi pelancongan, promosi istimewa serta peluang kepada pengguna untuk memahami hak mereka sebagai pelanggan.

Selain itu, karnival ini turut menyasarkan penglibatan pemain industri pelancongan, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, institusi kewangan Islam, pengusaha hotel, penggiat teknologi pelancongan dan rakan strategik industri sebagai platform jaringan perniagaan (business matching) dan pembangunan industri.

Berbeza dengan penganjuran karnival sebelum ini yang diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, edisi kali ini tampil dengan konsep yang lebih dekat dengan masyarakat melalui penganjuran di Kompleks PKNS Shah Alam. Pendekatan Travel Fair Dalam Pusat Membeli-belah’ ini membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, promosi dan khidmat konsultasi pelancongan secara lebih mudah dan santai, sekali gus meningkatkan aksesibiliti serta penyertaan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, kata Muhammad Mursyid Abu Hassan pula, pemilihan Kompleks PKNS Shah Alam sebagai lokasi penganjuran sejajar dengan matlamat PAPUH untuk mendekatkan industri pelancongan kepada pengguna melalui lokasi yang menjadi tumpuan harian pengunjung dan keluarga.

“Konsep ini membolehkan para peserta pameran berinteraksi secara terus dengan pengguna, sekali gus meningkatkan kesedaran serta keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Penganjuran di Shah Alam ini juga merupakan permulaan kepada siri jelajah nasional PAPUH Muslim Travel Fair Roadshow yang akan diperluaskan ke beberapa pusat beli-belah utama di seluruh negara selepas tamat program ini.

“Pendekatan ini juga akan mewujudkan satu ekosistem pemasaran yang lebih efektif dan berterusan kepada penggiat industri pelancongan. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat terkini, pakej promosi khas serta berinteraksi secara langsung dengan syarikat-syarikat pelancongan yang sah dan berdaftar.”

Selepas ini siri jelajah seterusnya akan ke Johor, Melaka, Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak, dengan objektif untuk memperluaskan capaian industri pelancongan Isiam kepada masyarakat di setiap wilayah.

 

The Real Mamu Taruhan Baharu Industri Perfileman Tempatan

Oleh : Nafsiah Jani

Filem drama aksi kekeluargaan The Real Mamu bakal menghiasi pawagam seluruh negara dengan membawa kisah penuh emosi mengenai pengorbanan, kasih sayang dan perjuangan seorang ayah dalam mempertahankan maruah keluarganya.

The Real Mamu bakal menjalani penggambaran pada pertengahan Jun ini dengan berlatarbelakangkan Pulau Pinang yang kaya dengan keindahan landskap dan keunikan budaya serta nostalgia.

Majlis pelancaran telah disempurnakan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga selaku penasihat filem di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini. Pengenalan barisan pelakon-pelakon filem turut mendapat tepukan gemuruh tetamu sewaktu barisan pelakon diumumkan antaranya Saiful Apek, Yassin Senario, Didie Alias, Adam Corrie, Radhi Khalid, Reestina, Wan Raja, Kodi Rasheed, Wafariena Roslan, Zalfa Zain dan lain-lain lagi.

Filem The Real Mamu arahan Zulkifli Abu Hassan bersama Dharma Nasution bakal membawa penonton menyelami kehidupan seorang lelaki biasa yang dikenali ramai sebagai “Mamu”, seorang figura masyarakat yang sentiasa membantu sesiapa sahaja tanpa mengira darjat, pangkat mahupun kedudukan.

Pelakon-pelakon The Real Mamu bergambar kenangan bersama penaja-penaja filem.

Filem yang sarat dengan mesej ini menampilkan perjalanan hidup seorang ayah yang sanggup berkorban segala-galanya demi kebahagiaan keluarga tercinta.

Kehidupan Mamu (lakonan Apek Senario) yang tenang mula bergolak apabila anak lelakinya, Shah (Kodi Rasheed) menjalin hubungan cinta dengan Jasmine (Wafariena) anak kepada ahli perniagaan dan jutawan ego yang berpengaruh, Datuk Husin (Wan Raja).

Perbezaan status sosial dan darjat menjadi penghalang utama apabila Dato’ Husin enggan menerima hubungan tersebut dan bertindak untuk memisahkan pasangan tersebut sehingga sanggup melemparkan pelbagai penghinaan terhadap keluarga Mamu. Sikap ego Datuk Husin sekali gus mencetuskan konflik yang menguji ketabahan serta maruah kedua-dua keluarga.

Walaupun berdepan penghinaan, tekanan dan pelbagai cabaran, Mamu memilih untuk mempertahankan keluarganya dengan penuh bermaruah. Baginya, nilai seorang ayah bukan diukur melalui kekayaan atau kedudukan, sebaliknya melalui pengorbanan dan kesanggupan berjuang demi kebahagiaan anak-anak.

Lebih daripada sekadar kisah cinta, The Real Mamu mengangkat tema kekeluargaan, persahabatan, kesetiaan dan perjuangan hidup yang dekat dengan realiti masyarakat. Gabungan elemen drama, aksi, komedi dan emosi menjadikan filem ini sebuah naskhah yang menyentuh hati serta sarat dengan mesej kemanusiaan.

Menurut Zulkifli Abu Hassan, naskah ini bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya ia sarat dengan mesej yang amat relevan dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Majlis pengenalan pelakon-pelakon dan pelancaran filem The Real Mamu di Kuala Lumpur baru- baru ini.

“The Real Mamu bukan sekadar kisah seorang lelaki bernama `Mamu’, tetapi kisah tentang seorang ayah, suami dan sahabat yang sanggup melakukan apa sahaja demi orang yang disayanginya. Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui kekayaan dan kedudukan, filem ini mengingatkan kita bahawa keluarga adalah harta yang paling bernilai. Itulah mesej utama yang ingin kami sampaikan melalui filem ini,” katanya.

Menariknya, filem ini turut mendapat sokongan daripada Pengarah Urusan TJK ARMS & Equipment Sdn. Bhd, Goh Kean Hon, yang tampil sebagai pelabur utama projek berkenaan. Beliau merupakan antara usahawan berbangsa Cina yang berani melabur dan menceburkan diri dalam industri perfileman tempatan, sekali gus mengikuti jejak langkah penerbit filem tersohor Malaysia, David Teo.

Penglibatan Goh Kean Hon dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuhkan kerjasama rentas kaum dalam industri kreatif negara, selain membuktikan keyakinannya terhadap potensi filem tempatan yang mengangkat nilai kekeluargaan, perpaduan dan kemanusiaan sejagat.

Dengan jalan cerita yang menyentuh jiwa serta latar masyarakat yang dekat dengan kehidupan sebenar, The Real Mamu dijangka menjadi antara filem tempatan yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton apabila ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Sementara itu, kata Saiful Apek pula, “Peminat tahu saya sinonim dengan karakter jenaka dan filem ini betul-betul mencabar keupayaan saya untuk tampikan transisi yang sangat berbeza. Kali ini saya bawa watak yang lain daripada biasa yang saya lakonkan ketika berlawak.

“Ia bakal menguji serta menuntut komitmen emosi yang tinggi kerana filem ini memaparkan perjuangan seorang bapa dalam melindungi keluarganya. Nak tahu tunggu filem ini pada tahun hadapan.”

Filem terbitan Z & K Creative Sdn. Bhd. ini diterbitkan Abdul Hafiz Abdul Halim selaku penerbit bersama Pengarah Urusan yang juga merangkap pelabur, Goh Kean Hon dan Penerbit Eksekutif, Mohd Razil Abdul Rahim.

Umairah tujukan lagu “Hujung Indah” buat Amad

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA anda menonton drama Bidadari Tanpa Syurga di platform Viu mulai 11 Jun 2026 yang lalu, pada setiap Khamis dan Jumaat, pasti anda akan mendengar lagu “Hujung Indah” yang dijadikan runut bunyi untuk drama 12 episod arahan Jamal Khan itu.

Lagu ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu didendangkan oleh Umairah. “Hujung Indah” merupakan single solo kedua beliau selepas “Sayap” dan lagu ketiga dendangannya termasuk duet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, “Kaca Dan Permata” yang dimuat dalam album Biduanita Negara itu, “Gema Bumantar”.

Umairah atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar 15, yang mesra dengan panggilan Umai berkata, lagu tersebut bukan sekadar karya seni tapi sebuah perjalanan hidup.

“Lagu ini membawa sebuah mesej universal tentang harapan dan ketabahan. Ia mengingatkan kita semua bahawa sekiranya kita mendepani ujian, cabaran dan kepahitan hidup dengan sabar, pastinya akan ada pengakhiran yang baik.

Umairah bersama pencipta lagu “Hujung Indah” Firdaus Rahmat (kiri) dan wakil Universal Music serta pemilik SN Legacy, Siti Nurhaliza.

“Jujurnya, lagu ini lagi berat emosi berbanding “Sayap”. Lagu ini pun saya rekod, tiga kali masuk studio. Mula-mula saya tak sihat, kali kedua saya makin teruk demamnya dan ini rakaman yang kali ketiga saya rekod baru okey,” cerita Umai tentang proses rakaman lagu tersebut.

Kata Umai, lagu tersebut ada banyak versi sebelum dipilih secara rasmi dan mengakui lagu tersebut agak mencabar bagi dirinya.

“Sebenarnya, versi pertama lain, yang ini latest punya lain. Lagu ni susah sebab ada sesetengah orang tak pernah nampak saya bawa lagu yang berat macam ini dan saya rasa ini cabaran berat juga untuk saya.

Meskipun lagu “Hujung Indah” sukar untuk dinyanyikan tapi Umairah lega dapat bawa lagu tersebut dengan gaya tersendiri.

“Pertama sudah tentu high note dan low note pun boleh tahan juga. Tapi saya puas hati bila dapat tahu saya boleh juga bawa lagu seperti ini.

“Masa latihan, bila dapat lagu diberi oleh Mak Rozie, saya rasa teruja nak rakam tak tahu kenapa. Walaupun masa awal tu rasa macam tak boleh sebab tak biasa. Kalau kita tak buat yang terbaik untuk lagu sendiri pun susah juga. Tapi saya cabar diri sendiri dan alhamdulillah jadi juga,” katanya tersenyum bangga.

Memandangkan beliau adalah artis naungan SN Legacy Sdn Bhd, milik Siti Nurhaliza sudah pasti penyanyi tersohor itu pun turut ‘turun padang’ sepanjang pembikinan lagu untuk Umai.

“Memanglah ada input daripada Mak Iti. Tiga kali saya masuk studio, banyak idea yang dia bagi. Masa rakaman pertama key tinggi lagi tapi bila Mak Iti dengar, dia kata nak nampakkan saya budak jadi dia suruh saya lembutkan cara nyanyian dan turunkan lagi key supaya saya lebih selesa untuk bawa untuk show.

Umairah bersama adik-adikya, Amad (kiri) dan Ahmad Aisy.

“Kalau kita bawa lagu key yang tinggi masa show nanti kalau kita sakit tak boleh bawa pula. Mak Iti suruh ikut keselesaan saya. Lagu ini pasal kebangkitan setelah dilukai. Bagi saya cara saya menghayati lagu ini adalah melalui lirik dan lagu ini pun related dengan saya juga tapi bukan pasal cinta la,” kata Umai lagi.

Tambahnya lagi, lagu yang dirakamnya itu dituju khas untuk adik kesayangannya, Ahmad Dayyan atau Amad.

“Lagu ini saya banyak tuju kat Amad, saya tak tahu kenapa tapi setiap kali saya nyanyi, saya teringat kat Amad. Macam semua orang tahu masa dia kat TTMM (Talk To My Manager) apa yang berlaku. Sepanjang perjalanan tu saya memang bersama Amad. Tak tahulah lagu ini banyak saya terfikir kepada dia.

“Saya selalu ingatkan dia jangan pernah putus asa walaupun apa-apa yang terjadi. Dia tak tahu pun saya bayangkan dia bila nyanyi lagu ini. Kita orang ni kuat bergaduh kerana saya kat rumah lain dan kat sini lain. Kami sebenarnya sama-sama ego dan tak tunjuk sayang tapi kedua-dua nangis kalau cerita perihal masing-masing.

Tahun ini juga Umairah bakal tampil dengan mini album yang memuatkan enam buah lagu.

“Nak buat macam manakan, Allah dah tentukan. Saya pun terkejut juga sebab waktu tu kat asrama, tahu-tahu dia nak pindah. Tapi sebelum dia pindah ke Kuantan tu sempatlah dia jumpa saya dan kata kakak kena kuat.

“Bila berjauhan macam ni, saya dah tak ada orang nak bercerita. Adik bongsu saya umur berapa dan saya memang rapat dengan Amad. Dia memang nak duduk dengan Babah dan baru saja pindah ke Kuantan.

“Tapi saya ada cakap dengan dia, kalau cuti antara saya balik ke Kuantan atau dia datang ke sini. Baru saja berpisah tapi saya rindu kat Amad sebab dia suka kacau saya kerana saya ni jenis duduk dalam bilik. Nyanyi sama-sama, kalau show pun selalu berteman. Bila dah tak duduk sekali dengan dia, saya rasa macam kosong tapi tak apa kita orang masih berhubungan,” cerita Umai tentang keakrabannya dengan Amad itu.