Home Blog Page 26

Naqiu bukan selfish, cuma kongsi apa yang dirasai

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS bercerita di podcast Kita-Kita Aje bersama Datuk Aznil Nawawi sebelum raya baru-baru ini, barulah peminat tahu yang Naqiu Boboy ada seorang anak istimewa bernama Wan Alexander Putra.

Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 40, hanya meluahkan apa yang terpendam di hatinya sewaktu diaju soalan apa akan terjadi kepada Alexander jika beliau tiada.

“Selepas podcast itu keluar banyak orang bertanya dengan saya kenapa saya keluarkan kenyataan itu? Saya nak terangkan bukan saya selfish tapi segala-galanya tentang anak saya.
Saya hanya memikirkan kalau saya tak ada, yang faham dia hanyalah saya dan mama dia saja.

Naqiu sangat menghargai pengorbanan isteri yang sentiasa sabar menjaga Alexander.

“Takkan ada orang lain walaupun orang itu pakar macam mana pun sebab anak istimewa ini ada perangai tersendiri, kita tahu macam mana nak diamkan dia, kita tahu pergerakan dia kalau tak selesa.

“Hanya kami saja tahu sebabnya dan bukan orang lain tak boleh jaga, tapi kami ragu-ragu. Kami lebih rela dia pergi dulu sebelum kami dan pergi dia di depan kami,” jelas Naqiu.

Kata Naqiu, selepas podcast itu keluar barulah beliau beritahu isteri apa yang telah diluahkan dan meminta maaf.

“Saya cakap dengan isteri dan saya minta maaf kepadanya dan kata, papa tak pernah kongsi rasa itu sebelum ini. Alang-alang dah tengok, itulah yang papa rasa. Isteri saya cakap don’t worry, dia tak salahkan saya sebab jauh di lubuk hatinya, dia pun rasa macam tu sebab isteri saya 24 jam dengan anak saya itu. Saya ni keluar bekerja juga dan bila dia kata macam tu, saya rasa okey.

“Masa saya dipanggil untuk podcast, saya tak sangka akan ditanya soalan itu. Saya tak prepare apa-apa pun. Apa benda yang saya luahkan itu adalah apa yang saya rasa dan pendam bertahun-tahun. Sebab saya tak suka bercerita asal Alexander ini sebab satunya saya tak nak orang cakap saya meraih simpati untuk anak saya.

Bapa mana yang tidak risau jika anak istimewa terpaksa hidup tanpa kehadiran ibu bapa.

“Saya selalu cakap saya ada anak enam dan saya tak cakap pun saya ada seorang anak istimewa. Tapi pada hari tu soalan kalau saya tak ada, tiba-tiba saya membayangkan kalau saya tak ada itu yang saya luahkan sebab dah lama saya fikirkan, kalau saya tak ada macam mana dengan Alexander nanti. Saya pun tak sangka ayat itu spontan keluar daripada saya dan sebab itulah saya minta maaf kat situ,” akuinya.

Terus terang Naqui akui, perkara yang paling ditakuti mengenai anak keempatnya itu, kalau ada yang kata Alexander, 11 tahun menyusahkan.

“Saya paling takut dan tak nak dengar kalau boleh seumur hidup saya, Alexander ini menyusahkan. Saya takut saya bermusuh dengan orang yang rapat dengan saya disebabkan saya mendengar ayat itu. Sebab itu saya selalu mengelak bercerita pasal Alexander.

“Anak saya 24 jam dengan isteri dan Alexander hanya mendengar kata-kata isteri saja dengan saya pun dia tak harian. Apa benda yang terjadi ini pun saya hanya menitikberat perasaan isteri saya saja.

“Kalau ada apa-apa acara besar pun saya tinggalkan dia kat rumah. Alhamdulillah, abangnya yang kedua boleh jaga dia macam mama dia jaga kerana dia saja yang boleh kontrol Alexander macam mama dia,” jelasnya lagi.

Sementara itu, lagu ciptaan Naqiu berjudul ‘Satu’, dendangan Azmi Saat baru saja dilancarkan. Lagu bergenre balada yang liriknya ditulis oleh Wit Mohsen itu telah dihasilkan sejak lima tahun lalu.

“Sebenarnya lagu ‘Satu’ dicipta lima tahun lepas. Masa saya buat melodi itu, saya dah dapat bayangkan sebenarnya saya nak buat lagu ketuhanan yang lebih kepada kerohanian. Penulis lirik terus keluarkan dengan judul ‘Satu’.

“Sebenarnya tajuk dulu dan kemudian baru buat lirik. Selepas saya tengok lirik yang dihasil kemudian baru fikir siapa penyanyinya. Kebetulan pada masa itu saya ada terjumpa Azmi dan masa itu tak timbul lagi pasal runut bunyi atau apa.

“Saya hanya minta Azmi tolong nyanyi lagu ni dan bila dia nyanyi lagu tu terus melekat kerana melodi macam ni memang forte Azmi. Selepas tu projek lagu itu tergendala sekejap sebab Covid.

Naqiu mahu mencipta nama sebagai komposer pula selain menyanyi dan berlakon.

“Selepas itu saya pula fokus menjadi watak-watak yang lain, jadi sampai la ke label dan label kata ada satu projek soundtrack dan sebelum hantar demo, lagu ini terpilih.

“Panggil Azmi untuk rakam balik dan buat satu arrangement yang baharu. Proses sangat sekejap sebab lagu dah simpan lima tahun dan Azmi pun dah faham dengan lagu ini. Saya dan Azmi dah tahu apa yang perlu kami lakukan,” kongsinya tentang lagu Satu yang menjadi runut bunyi untuk drama bersiri ‘Mencari Isteri Sempurna’.

Tambah Naqiu, Satu merupakan karya kedua ciptaannya yang dinyanyikan oleh artis lain selain dirinya.

“Ini salah satu daripada percubaan saya juga selain daripada menjadi penyanyi saya juga nak jadi song writer juga. Saya cuba untuk orang lain nyanyikan melodi yang saya buat. Kita nak tengok macam mana pula hasilnya.

“Saya ada buat lagu untuk Vanessa Reynauld juga. Setakat ini Azmi adalah artis kedua nyanyi karya ciptaan saya selain daripada saya sendiri.
Tahun 2026 adalah tahun untuk saya serius dalam bidang penciptaan lagu selain menyanyi.

“Tahun ini saya target sekurang-kurangnya ada dua single, satu saya buat sendiri dan satu lagi kita keluar dengan melodi orang lain juga. Alhamdulillah setakat hari ini saya dapat banyak demo daripada komposer lain untuk saya nyanyikan.

“Ramai komposer yang dikenali dan juga newcomer. Saya rasa lebih daripada 10 demo yang saya dapat setakat ini. Manakala, lagu yang saya cipta ada lebih 50 tapi proses pemilihan itu sangat penting.

“Kena pilih melodi yang terbaik dan penyanyi yang sesuai untuk nyanyikan. Kekadang lagu tu bagus tapi kita salah pilih penyanyi atau penyanyi tu bagus tapi kita salah bagi melodi, itu pun salah satu sebab juga.

“Saya sangat terbuka kerana suka explore benda-benda baharu. Karya saya, confirm melodi leleh tu ada, rock dan pop rock tu ada. Pada masa yang sama saya explore perkara yang Gen Z buat sekarang. Kita sudah kenal pasti beberapa orang Gen Z,” katanya.

HAINAN destinasi tarikan terbaru di China

Oleh : Nafsiah Jani

Pulau Hainan di China kini semakin aktif dipromosikan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim, dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk restoran halal, hotel mesra Muslim serta kemudahan ibadah, menjadikan ia pilihan ideal bagi pelancong dari Malaysia.

Inisiatif ini dipromosikan melalui penyertaan Orange Leisure Sdn Bhd dalam MATTA Fair 2026 yang berlangsung selama tiga hari, 3 hingga 5 April 2026, di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur dan menerima sambutan hangat pengunjung yang ingin mendapatkan pengalaman percutian luar negara yang selesa dan diyakini dari segi keperluan halal.

Bagi memperkukuh tawaran pelancongan ini, Orange Leisure menjalin kerjasama erat dengan Hainan Kangtai Travel. Wakil mereka, Mr. Panda, hadir berkongsi pengalaman unik Hainan yang berbeza daripada destinasi lain di China, termasuk aspek keselamatan, suasana santai sepanjang tahun, serta kemudahan untuk pelancong Muslim.

Pengarah Urusan Orange Leisure Sdn Bhd, Jimmy Goh.

Menurut Pengarah Urusan Orange Leisure Sdn Bhd, Jimmy Goh, Hainan kini bersedia memenuhi permintaan pelancong Muslim dengan menyediakan kemudahan yang lengkap.

“Hainan bukan sahaja menawarkan keindahan pantai tropika, tetapi juga kemudahan mesra Muslim yang semakin lengkap, menjadikannya pilihan ideal untuk pelancong Malaysia,” kata beliau.

Bandar Sanya menjadi tumpuan utama, dengan pelbagai restoran halal, hotel mesra Muslim, serta kemudahan ibadah yang memudahkan pelancong menunaikan solat.
Terdapat kira-kira enam masjid di Sanya dan lebih 10,000 komuniti Muslim tempatan, memberikan keselesaan tambahan kepada pengunjung yang ingin menjalani percutian tanpa rasa ragu mengenai keperluan halal.

Krew Orange Leisure Sdn. Bhd. Sedang menunjukkan brochure pusat tarikan pelancongan di Hainan, China.

Selain itu, Hainan memiliki status zon perdagangan bebas (freeport), membolehkan pelancong menikmati harga barangan lebih kompetitif berbanding destinasi lain di China.

Hal ini menjadikan Hainan bukan sahaja menarik untuk bercuti, tetapi juga bagi penggemar membeli-belah yang ingin mendapatkan barangan berkualiti dengan harga lebih rendah.

“Pengalaman unik lain yang ditawarkan adalah lawatan ke ladang laici (lychee season) yang berlangsung sekitar Mei hingga Jun setiap tahun. Pelancong berpeluang menikmati buah laici segar sepuasnya terus dari ladang. Jika ingin membawa pulang, hanya perlu membayar berdasarkan jumlah buah yang diambil.

Antara tarikan- tarikan di Hainan.

“Aktiviti ini memberikan pengalaman yang berbeza dan menyeronokkan, terutamanya bagi keluarga dan penggemar buah-buahan tropika. Pengalaman ini menjadikan Hainan bukan sekadar destinasi percutian biasa, tetapi juga pengalaman agro-pelancongan unik yang menarik minat pelancong Malaysia,’’ ujar Jimmy Goh lagi.

Dari segi kos, pakej pelancongan ke Hainan ditawarkan pada harga serendah RM1,899, termasuk pelbagai aktiviti dan pengalaman menarik.

Harga ini menjadikan Hainan antara destinasi luar negara yang mampu milik bagi pelancong Malaysia yang ingin merasai pengalaman unik tanpa kos tinggi. Selain bandar Hainan, pelancong juga bakal dibawa ke wilayah Danzhou, Chengmai dan Lingao.

(Kiri sekali) Encik Panda wakil Orange Leisure Sdn. Bhd, dan Ahmad Jafri (baju melayu kuning) bersama delegasi kehormat daripada China.

Gabungan kemudahan mesra Muslim, pengalaman unik seperti musim laici, status freeport, serta harga berpatutan menjadikan Hainan destinasi masa depan yang berpotensi besar dalam pasaran pelancongan Malaysia.

Jimmy Goh menambah, gabungan elemen ini dijangka menjadikan Hainan sebagai destinasi “hot selling”, terutamanya pada musim tertentu seperti musim laici, dan peluang terbaik bagi pelancong Malaysia merasai pengalaman yang berbeza dan menyeronokkan.

Kisah di sebalik ‘Tepuk Tepung Pâtisserie’ Nisa Bakri

Oleh: Nafsiah Jani

Langkah strategik Tepuk Tepung Pâtisserie menjalin kerjasama bersama Sea Travel Agency mencuri tumpuan apabila kedua-dua pihak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena pembukaan rasmi mini kafe tersebut di Hartamas Shopping Centre sekali gus membuka lembaran baharu gabungan dunia kulinari dan pelancongan.

Kerjasama itu dilihat sebagai usaha memperluaskan pengalaman pelanggan melangkaui sajian makanan semata-mata kepada penawaran gaya hidup dan perjalanan yang lebih menyeluruh, merangkumi elemen hospitaliti dan eksplorasi budaya.

Majlis perasmian yang penuh gilang-gemilang telah disempurnakan Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj dan Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir (Tan Sri Jojo) dengan kehadiran tetamu jemputan khas, rakan industri serta pihak media.

Tetamu VVIP bersama÷sama memotong riben simbolik perasmian Tepuk Tepung Patisserie di Hartamas Shopping Centre.

Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan muzik tradisional disusuli tarian singa serta sambutan Hari Raya.

Pengasasnya, Chef Selebriti, Puan Sri Nisa Bakri, berkata kolaborasi bersama Sea Travel Agency merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi jenama untuk berkembang sebagai platform gaya hidup yang lebih luas.

“Harapan saya agar Tepuk Tepung Pâtisserie bukan sekadar tempat untuk menikmati makanan, tetapi menjadi satu pengalaman yang menghubungkan rasa, perjalanan dan kenangan. Kolaborasi ini membuka peluang untuk kami membawa sentuhan ‘air tangan’ Malaysia ke peringkat yang lebih jauh,” katanya pada majlis pelancaran rasmi Tepuk Tepung Patisserie serta acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Sea Travel Agency.

Puan Sri Nisa Bakri menunjukkan signature terbaru Tepuk Tepung Patisserie, Onde Crepe Cake.

Dalam suasana penuh emosi, beliau turut berkongsi kisah peribadi yang menjadi inspirasi kepada jenama tersebut, termasuk busana yang digayakan pada majlis berkenaan yang disifatkan sarat dengan kenangan.

Menurutnya, pakaian itu pernah digayakan ketika pertemuan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad serta kali pertama bertemu Datin Sri Rosmah Mansor menjadikannya antara memori paling berharga dalam hidup.

Lebih bermakna, busana tersebut merupakan pilihan arwah ibunya, sekali gus memberi nilai sentimental yang mendalam.

Cerita Nisa, baju yang dianggarkan hampir dua dekad usianya itu hanya akan dipakai pada acara tertentu, malah beliau berseloroh ia mungkin akan dilelong suatu hari nanti kerana nilai kisah yang dibawanya.

Pada majlis tersebut, Nisa yang mengenakan busana nostalgik tersebut turut memperkenalkan hidangan `Onde Crepe Cake’ iaiitu kek yang menggunakan bahan-bahan tradisional onde-onde yang digabungkan dengan gaya krep Peranchis berperisa vanilla.

Tetamu VVIP bergambar bersama Puan Sri Nisa Bakri dihadapan Tepuk Tepung Pitassrie.

Disebalik penampilan itu, beliau turut mengimbau perjalanan membina jenama Tepuk Tepung Pâtisserie yang bermula daripada pengalaman hidup yang pelbagai, termasuk pernah menceburi perniagaan beg tangan di gedung mewah Harrods di London sebelum menemui minat sebenar dalam dunia kulinari.

“Daripada menguli doh, memasak sambal, hingga bangun seawal jam 3 pagi dan semua itu memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan,” katanya.

Menurut NIsa, nama Tepuk Tepung itu sendiri diinspirasikan daripada falsafah ‘rasa air tangan’ dan tradisi nenek moyang yang menguli doh mengikut gerak hati dan kasih sayang tanpa memerlukan resipi bertulis.

Dengan slogan keramat “Macam Mak Masak”, kafe ini menawarkan aneka kek artisan, pastri segar, serta hidangan gourmet panas yang menjanjikan kehangatan sebuah dapur rumah kepada setiap pelanggan yang melangkah masuk.

Nisa berharap setiap pengunjung dapat merasai pelukan kasih sayang dan keikhlasan yang dituangkan ke dalam setiap hidangan, menyamai suasana dapur seorang ibu yang sentiasa menjadi tempat paling menenangkan.

Tambah beliau, tiada institusi formal yang mampu mengajar nilai sebenar dalam masakan kerana ramuan paling penting adalah kasih sayang yang diterjemahkan ke dalam setiap hidangan.

“Bunyi hiruk-pikuk dapur, keluarga di sisi, dan suasana sederhana itulah yang membentuk rasa dalam setiap masakan. Itu yang saya mahu kongsikan dengan semua,” ujarnya.

Beliau percaya pengalaman menikmati makanan bukan sekadar soal rasa, tetapi mampu membawa seseorang kembali kepada memori zaman kanak-kanak yang penuh kehangatan.

Tetamu bergambar kenangan

Dalam perkembangan sama, disebalik kelembutan konsep yang diterapkan, Nisa Holdings Sdn Bhd menunjukkan taring perniagaannya melalui kolaborasi bersama gergasi industri seperti kumpulan hotel global, Wyndham, serta jenama kafe antarabangsa, O’Briens, yang kini sah menjadi rakan strategik mereka.

Kolaborasi ini sekali gus mengukuhkan keyakinan industri terhadap potensi pertumbuhan jenama berkenaan dalam sektor kulinari dan hospitaliti.

Majlis turut menyaksikan pengumuman mengejut penubuhan Selio Lux, sebuah kafe berkonsepkan gaya hidup kurasi yang dizahirkan dalam tempoh hanya 30 jam selepas perbincangan bersama Sea Travel Agency.

Terletak tepat di atas kafe berkenaan iaitu di Aras 1, Selio Lux , bakal menjadi destinasi wajib bagi peminat budaya dan pelancong yang mencari koleksi vintaj, kraf tangan artisan, kosmetik tempatan, serta karya seni yang melambangkan kekayaan jiwa dan warisan Malaysia.

Dengan sokongan berterusan daripada pelanggan dan komuniti, Nisa Bakri menyifatkan pembukaan ini sebagai detik bermakna dalam perjalanan jenamanya yang masih panjang, sekali gus memperkukuh aspirasi untuk membawa pengalaman “Macam Mak Masak” ke tahap yang lebih tinggi dalam landskap gaya hidup moden.

Selain mengasaskan bag tangan jenama Zelucci di Harrods London rekod kecemerlangan Chef Selebriti Nisa Bakri memperlihatkan kejayaan beliau membina empayar Leather Love di 12 buah negara sekali gus menjadi sandaran utama keyakinan pelabur terhadap projek terbaharunya ini.

Sebagai penerima anugerah Persona Pelancongan & Makanan ASEAN 2026, beliau kini bukan sahaja membawa nama Malaysia melalui kulinari, malah memperkukuhkan kedudukan negara dalam peta gaya hidup mewah yang berakar umbi pada tradisi.

Tepuk Tepung Pâtisserie kini beroperasi sepenuhnya dan sedia menerima kunjungan orang ramai yang mendambakan kualiti kulinari yang disulami dengan nilai estetika budaya yang tinggi.

Maklumat lanjut mengenai tawaran dan konsep unik ini boleh didapati menerusi laman web rasmi serta platform media sosial mereka di @tepuktepung.my.

MIFFest tarik lebih 700 penyertaan dari 40 negara

Oleh : Nafsiah Jani

Gema emosi dan kekuatan cerita menjadi nadi Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2026, edisi ke-9 yang bakal berlangsung dari 18 hingga 25 Julai ini. Bertemakan ‘Resonance’, membawa makna bagaimana sesebuah karya terus hidup dalam jiwa penonton walaupun selepas layar ditutup.

Pengasas dan Presiden MIFFest, Joanne Goh berkata, pemilihan tema itu selari dengan simbolik angka sembilan yang membawa maksud sesuatu yang berkekalan serta terus hidup dalam ingatan penonton.

“Filem tidak terhenti sebaik sahaja layar menjadi gelap, sebaliknya terus meninggalkan kesan mendalam yang mampu membuat penonton merenung kembali kehidupan mereka. Dalam era penuh cabaran sosial dan alam sekitar, filem perlu berfungsi sebagai medium yang membina empati dan persoalan moral merentasi generasi.

CEO FINAS, Datuk Azmir Saifuddin ketika memberi ucapan perasmian MIFFest 2026 baru-baru ini.

“Filem tidak berakhir apabila tayangan tamat sebaliknya ia bergema dalam perbualan, ingatan dan harapan mereka yang mencari kebenaran dengan merenung kembali kehidupan anda. Inilah kesinambungan yang kami maksudkan. MIFFest tidak akan berakhir. Kami akan terus melakukannya dan anda akan berjumpa saya setiap tahun kerana ini adalah acara tahunan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Joanne berkata, tema Resonance juga mencerminkan bagaimana sinema mampu bergema merentasi sempadan negara, budaya dan generasi, sekali gus memperkukuh kedudukan MIFFest sebagai platform penceritaan antarabangsa.

“Festival bukan sekadar ruang tayangan, kami juga akan membuat banyak pengisian yang lebih global dan inovatif. Ia juga akan menjadi medan penting untuk pembikin filem tempatan dan luar negara bertukar-tukar idea dan pandangan serta membina jaringan industri.

“Kami sebenarnya berkongsi banyak peluang jaringan dan perhubungan. Sewaktu festival ini berlangsung kami akan menganjurkan sesi perbincangan antara pembikin-pembikin filem tempatan dan luar negara selepas tayangan untuk membincangkan tentang penceritaan,” katanya.

Pengasas dan Presiden MIFFest, Joanne Goh (sembilan dari kanan) bersama duta MIFFest dan para penaja selepas majlis pelancaran MIFFest edisi ke-9.

Festival tahun ini bakal berpusat di MyTOWN Shopping Centre dengan Kerjasama GSC International Screens sebagai rakan pawagam rasmi serta mendapat sokongan penuh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

 

Jelas Joanne lagi, jumlah penyertaan filem terus meningkat apabila lebih 700 penyertaan diterima bagi edisi kali ini.

“Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding sekitar 600 penyertaan pada tahun lalu, sekali gus membuktikan reputasi MIFFest semakin kukuh di peringkat antarabangsa.

Antara tetamu yang hadir.

“Setiap tahun jumlah penyertaan meningkat dan kami sangat berbangga kerana semakin banyak negara menghantar filem mereka untuk bertanding,” kata Joanne lagi.

Penyertaan tahun ini melibatkan lebih 40 negara, termasuk beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat, India, Iran, Taiwan, Hong Kong, Indonesia serta negara-negara ASEAN lain.

Beliau menjelaskan bahawa daripada lebih 700 penyertaan itu, pihak penganjur akan menilai dan menyenarai pendek 30 filem sebelum memilih 10 karya terbaik untuk kategori pertandingan utama.

“Sambutan luar biasa tersebut mengukuhkan aspirasi MIFFest untuk terus menjadikan Malaysia sebagai hab sinema utama di Asia Tenggara,” ujarnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, duta MIFFest 2026 yang akan menjadi wajah rasmi festival kali ini ialah Bront Palarae, Zizan Razak, Daiyan Trisha dan terbaru Jack Tan.

Dalam pada itu, MIFFest edisi ke-9 ini turut diperkukuh oleh rakan strategik seperti Hong Leong Bank, Foodpanda, dan Mah Sing Group. Kemuncak festival iaitu Malaysia Golden Global Awards (MGGA) dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026 di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza.

MIFFest 2026 mengajak semua peminat sinema untuk merasai “gema” penceritaan antarabangsa selama lapan hari yang penuh dengan dialog budaya dan apresiasi seni. Maklumat lanjut boleh dapati di www.miffest.com.my.

Hujan mahu rai Raingers sempena 20 tahun

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM ini kumpulan Hujan sering diundang untuk menjayakan pelbagai konsert kerana penganjur sedar kumpulan tersebut mempunyai peminat yang setia dan secara tak langsung dapat menarik ramai penonton.

Kumpulan yang aktif sejak 2005 dan muncul dengan EP pertama, 1, 2, 3 Go! pada 2007, kini bakal menjayakan konsert solo berskala besar  HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Jun ini.

Hujan yang dianggotai oleh Noh Salleh, AG Coco, Hang Dimas dan Azham Ahmad (pengasas) yang kemudian disusuli dengan kehadiran Izzat Uzaini sehingga kini terus menjadi tersohor menerusi karya-karya mereka.

Konsert yang bakal dijayakan oleh Hujan adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat atau Raingers.

Perjalanan Hujan yang mencetus gelombang ‘kegilaan’ terhadap genre indie rock alternatif yang mereka bawa juga pernah diwarnai oleh beberapa pemuzik-pemuzik session seperti Dukegong, Ojoe, dan Jaja.

Sehingga saat memasuki usia dua dekad atau 20 tahun, Hujan tidak goyah malah menjadi rujukan buat banyak kugiran terdahulu sehingga terkini sebagai salah satu benchmark yang telah merubah lanskap penerimaan dan anjakan muzik di awal tahun 2000.

Hujan adalah seperti legenda muzik indie Malaysia yang tidak tergantikan. Dengan sejarah panjang yang bukan hanya terhadap kejayaan dan pengiktirafan diperoleh, Hujan tetap konsisten melahirkan karya berkualiti hingga kini.

Mengiktiraf dan berbangga dengan pencapaian serta kentalnya Hujan dalam dunia muzik, Icon Entertainment tidak berfikir dua kali untuk menganjurkan perayaan muzik Hujan 20 Tahun secara besar-besaran.

Menurut pengasasnya, Iman Tang, Hujan sepatutnya telah dirayakan sekian lama tetapi menanti sehingga 20 tahun untuk menganjurkan sebuah pesta besar buat kugiran ini sebagai tanda penghargaan terhadap karya luar biasa yang pernah dilahirkan.

Untuk menonton konsert Hujan ada tema pakaian yang ditetapkan.

Tidak lupa ucapan jutaan terima kasih kepada peminat Hujan yang digelar Raingers kerana selalu mendukung dan memberi sokongan tanpa henti.

“Dalam setiap era atau fasa muzik Malaysia, akan lahir pemuzik atau karyawan yang mampu menjadi legenda. Salah satunya adalah Hujan.

“Menerobos pasaran Malaysia pada saat genre pop dan penyanyi solo sangat mendominasi dengan stail indie dan muzik mereka adalah sebuah keberanian yang sukar diperoleh jika ‘tidak hati kering’.

“Keberanian, kualiti, semangat dan kreativiti yang tidak pernah mati dibawa Hujan telah menjadi faktor utama Icon Entertainment tidak berfikir dua kali untuk menganjurkan HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN.

“Hujan adalah ikon muzik generasi kini dan menganjurkan HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN adalah sebuah apresiasi khas buat Hujan dengan revolusi ‘Empayar’ mereka yang ‘gila’,” ujar Iman Tang.

Kedudukan penonton berdasarkan harga tiket yang dibeli.

Pada konsert tersebut, peminat kumpulan Hujan yang dikenali sebagai Rangers berpeluang untuk menyanyi bersama Noh Salleh lagu-lagu popular Hujan seperti Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, DugaanNya, Ahmoi Chantek, Bila Aku Sudah Tiada, Gundah dan Pijak Hatiku.

Hujan yang pernah menerima pengiktirafan dalam Anugerah Industri Muzik 16 (AIM 16) untuk Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik menganggap konsert yang bakal berlangsung bukan tentang mereka tetapi bagi merayakan pejuang kugiran indie yang pada suatu masa pernah berdepan cabaran hebat untuk menembusi muzik komersial sedia ada.

“Indie pernah dianggap asing. Muzik kami menerima persepsi yang sukar dan susah berjaya dalam pasaran komersial.

“Tapi lihatlah setelah kelompok pemuzik indie yang percaya bahawa tiada diskriminasi atau kasta dalam muzik, akhirnya kami membuktikan keberagaman genre menjadikan industri muzik tempatan lebih berwarna.

“Dan indie dari Malaysia kemudian juga diterima baik di Nusantara kerana di belahan dunia lain, indie juga diraikan karyawan seni mereka. Ini yang ingin kami rayakan dalam HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN. Perayaan muzik dan semua genre meski tidak sama perlu diraikan,” kata AG.

Katanya lagi, konsert HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN merupakan hadiah besar buat tulang belakang mereka, Raingers.

“HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN adalah tentang Raingers yang sedia bertahan dengan ‘rintik’, ‘kemarau’ dan musim ‘menuai’ hujan dengan tenang sepanjang kami berjinak dengan muzik komersial pada 2005.

“Melahirkan album pertama dengan memperkenalkan ia sebagai 1,2,3 Go! pada 2007, melahirkan beberapa karya berjudul ‘suram’ seperti Pagi Yang Gelap atau Bila Aku Sudah Tiada dalam balutan rock indie ternyata sebuah percubaan identiti sebenar yang menjadi.

“Justeru, Hujan 20 Tahun adalah tentang bagaimana kami seharusnya merayakan Raingers, bukan Raingers merayakan kami kerana tanpa Raingers yang setia sejak 2005 dengan hanya sekitar sembilan album sahaja sepanjang dua dekad ini adalah sokongan yang luar biasa.

“Maka dengan ini Hujan secara rasmi dan berbesar hati mengundang Raingers atau penikmat muzik umumnya untuk mencipta satu sejarah yang tidak akan pernah dilupakan menerusi HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN pada 27 Jun 2026 ini Stadium Hoki Bukit Jalil. Kita akan berpesta lebih 40 lagu dari katalog arkib Hujan,” ujar AG.

Sehubungan itu, tema busana untuk ke konsert ini bersifat simple tetapi kuat serta ikhlas dalam meraikan. Para peminat dan penonton diminta memakai baju yang bertemakan kumpulan (band) atau jenama (brand) tempatan. Barulah dinamakan #supportlocal!

Bersesuaian dengan jenama dan usia dua dekad mereka, tiket dengan beberapa kategori harga bermula RM158 (SANG ENEMY), RM188 (123 GO), RM208 (MENCARI KONKLUSI), RM228 (LONELY SOLDIER BOY), RM248 (ABCDEFGHUJAN) dan RM268 (CHECKCHECK ROCKROCK) boleh dibeli menerusi

https://www.ticket2u.com.my/Hujan yang akan mula dijual pada 10 April 2026 pukul 3 petang.

Kegagalan mengajar Nourul menjadi kuat, anjur konsert sendiri

Oleh: Khadijah Ibrahim

KEGAGALAN penganjur sebelum ini untuk melaksanakan konsert untuknya seperti yang dirancang, tidak mematahkan semangat Nourul Depp.

Sebaliknya, kegagalan itu secara tidak langsung mengajarnya untuk menjadi lebih kuat dan Nourul tidak sangka beliau mampu melakukan pelbagai pekerjaan bagi memastikan konsert yang tertangguh itu tetap diteruskan.

Atas kegigihannya dengan sokongan daripada suami dan rakan-rakan yang prihatin, akhirnya Nourul, 49, yang juga bertindak sebagai penganjur menerusi ND Entertainment akan menjayakan konsert “For You Nourul” pada 30 Mei ini di Zepp, Kuala Lumpur.

Eddie bertindak sebagai pengarah muzik dan Mimi Fly sebagai artis jemputan untuk konsert Nourul nanti.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Kerana Terluka” itu tetap optimis bahawa konsert solo ini akan mendapat sambutan hangat dan menjadi momen terindah yang telah dirancang rapi sejak sekian lama.

“Konsert ini akan menjadi satu ‘preview’ kepada fasa baharu dalam perjalanan saya. Ia adalah permulaan kepada satu bab baharu dengan mindset, tenaga, dan visi yang berbeza,.

“Selain itu, kami percaya pemilihan tarikh 30 Mei 2026 sangat sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan.

Nourul berusaha keras untuk tidak menghampakan peminat yang menunggu konsert solonya.

“Saya mahu konsert “For You Nourul” menjadi hari keraian khas untuk saya dan peminat dalam suasana yang lebih selesa dan meriah,” ujar Nourul.

Jelasnya lagi, antara sebab tarikh “For You Nourul” ditukar kepada 30 Mei 2026 adalah kerana melalui proses perbincangan bagi mencapai kata sepakat untuk penyusunan semula jadual perjalanan konsert susulan penukaran penganjur lama kepada syarikat ND Entertainment

“Hari ini merupakan satu langkah penting, bukan sahaja untuk saya sebagai seorang artis, tetapi juga untuk ND Entertainment sebagai penganjur rasmi konsert ini.

Untuk menjayakan konsert yang bakal berlangsung Mei ini, banyak cabaran yang Nourul lalui.

“ND Entertainment sebenarnya lahir daripada satu keadaan yang tidak dirancang, apabila kami perlu mengambil alih penganjuran konsert ini daripada penganjur terdahulu.

“Saya juga sedar, jika saya memilih untuk membatalkan konsert ini, mungkin saya tidak akan dapat meningkatkan standard saya sebagai seorang penyanyi.

“Konsert ini bukan sahaja tentang persembahan, tetapi tentang pembelajaran, tentang memahami proses, dan tentang membawa sesuatu yang baru dalam perjalanan saya sebagai seorang artis dan juga seorang usahawan,” ujar Nourul.

Dalam masa yang sama, Nourul melahirkan rasa terharu dan jutaan terima kasih kepada suami yang menjadi tonggak kekuatan dirinya serta pasukan ND Entertainment yang berdiri teguh di belakangnya.

Bersama keluarga dan teman-teman yang sedia membantu Nourul menjayakan konsert solonya nanti.

“Mereka telah menunggu detik ini selama hampir 15 tahun, sejak saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan membina perniagaan kami dalam Herbalife,” tambah Nourul yang nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab.

Memilih Mimi Fly sebagai artis jemputan dan Eddie Slam sebagai pengarah muzik untuk konsert ini, Nourul juga menegaskan bahawa ND Entertainment akan memberikan yang terbaik dari segi penganjuran dan produksi melalui acara perdana mereka ini.

Peminat boleh mendapatkan tiket mengikut kategori harga yang telah ditetapkan iaitu RM198 – Sehati Sejiwa, RM298 – Cinta Azali, RM328 – Keliru, RM388 – Kerana Terluka dan
RM6,000 – VIP Box di laman sesawang rasmi:
https://www.ticket2u.com.my/

Talk To My Manager kembali teruskan legasi

Oleh: Khadijah Ibrahim

MULAI 19 April ini, jam 9 malam, penonton berpeluang menonton program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam di Astro Ria (saluran 104). Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.

Meneruskan momentum musim pertama yang berjaya menawan hati penonton menerusi gabungan cabaran kompetitif dan persembahan yang memukau, musim kedua tampil dengan penyertaan lebih ramai selebriti.

Sambutan positif ini mengukuhkan lagi kedudukan Talk to My Manager sebagai antara kandungan hiburan tempatan yang semakin mendapat tempat di hati penonton.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad (tengah) bersama Norzeha Mohd Salleh (dua dari kiri) Pak Nil, Sarimah dan AC Mizal di majlis sidang media TTMM, baru-baru ini.

Musim ini akan menampilkan barisan peserta yang lebih diperluas, selari dengan minat penonton terhadap kisah yang menyentuh emosi, menghiburkan serta sarat dengan nilai kekeluargaan, di samping meraikan legasi dan bakat.

Barisan manager atau pengurus bersama artis kendalian mereka yang terlibat adalah Adira & Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Datuk A. Aida & Azeva, Datuk Fazley & Fariedz Fazley, Datuk Sri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Pak Azad & Amarra, serta Safura & Kim Khairii.

Ketua Saluran Melayu, Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, Talk To My Manager bukan sekadar pertandingan, ia merupakan pentas yang meraikan legasi, bakat dan hubungan kekeluargaan.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa terhadap musim pertama. Format unik ini memberi peluang kepada penonton menyaksikan sisi hubungan antara selebriti dan anak mereka yang jarang dikongsikan, sekali gus membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah.

“Kami yakin musim kedua akan terus memikat hati penonton dengan gandingan istimewa serta pelbagai kejutan yang lebih mengujakan,” kata Norzeha.

Untuk musim ini manager dan artis akan bersaing selama 10 minggu sebelum ditentukan siapakah juara.

Tambahnya, musim ini kembali dengan konsep ikonik ‘pass-the-baton’, yang menggandingkan selebriti sebagai “manager” bersama anak-anak mereka yang berbakat di pentas.

“Setiap persembahan bukan sekadar hiburan, malah menjadi ujian terhadap bimbingan, kepercayaan dan keserasian, sekali gus menyerlahkan ikatan serta kerjasama yang menjadikan setiap detik lebih bermakna dan diingati,” katanya.

Masih mengekalkan Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara, bersama barisan juri Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, yang terus tampil dengan kepakaran, panduan serta karisma tersendiri dalam memeriahkan program ini.

Format penjurian dikekalkan daripada musim pertama berdasarkan 100% pemarkahan oleh barisan juri profesional yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu 60% kecekapan, kreativiti pengurusan dan strategi ‘manager’, dan 40% adalah dari keunikan persembahan dan kualiti vokal ‘artis’.

Pasangan manager-artis yang mendapat undian online tertinggi akan mendapat ganjaran dalam sesi penjurian pada minggu seterusnya.

Talk to My Manager diserlah oleh Eskayvie yang hadir sebagai penaja utama. Eskayvie serlahkan potensi anak, cipta masa depan gemilang, dengan cogan kata Eskayvie, Empowering Wellness, Enriching Lives.

Cik B bersama pengurusnya, Datuk Sri Vida.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, naib juara pula akan meraih RM15,000 dan tempat ketiga akan menerima RM10,000.

Sempena musim kedua, Astro turut menganjurkan TTMM Experience, sebuah kem eksklusif dua hari, satu malam di bawah jenama Talk To My Manager bagi mencungkil dan memupuk bakat generasi baharu industri hiburan yang terbuka kepada orang ramai.

Sebelum ini, workshop dan latihan hanya diberikan secara eksklusif kepada peserta program realiti Astro, kini dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya. Ini adalah peluang berharga untuk merasai sendiri bagaimana bakat dilatih di peringkat profesional.

Sepanjang kem berlangsung, para peserta akan dibimbing oleh barisan selebriti terkenal tanah air, mentor profesional, pakar industri berpengalaman serta kehadiran peserta Talk To My Manager bersama anak-anak mereka melalui sesi latihan serta aktiviti interaktif yang memfokuskan kepada kemahiran persembahan, nyanyian dan keyakinan diri di pentas.

Kem ini bukan sekadar program latihan, tetapi sebuah platform pembangunan bakat yang bertujuan melahirkan generasi bintang masa hadapan. Ia turut membuka ruang kepada peserta untuk menyerlah dan memperoleh pendedahan berharga dalam industri.

Penjualan tiket bagi ‘TTMM Experience’ akan dibuka tidak lama lagi, dengan maklumat lanjut akan diumumkan secara berperingkat di setiap episod Talk To My Manager Musim Kedua.

Kemuliaan Bulan Syawal!

Oleh: Syed Yusof Wafa

Bulan Syawal ialah bulan mulia yang menandakan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa, diraikan dengan kegembiraan (Aidilfitri), silaturahim, dan peluang puasa sunat enam hari yang ganjarannya seperti puasa setahun. Ia merupakan madrasah untuk mengekalkan istiqamah ibadah, memperbaiki diri, serta sunnah untuk melangsungkan pernikahan.

Berikut adalah kemuliaan dan keistimewaan bulan Syawal:

Puasa Enam Hari (Puasa Syawal):

Amalan yang sangat dianjurkan, di mana puasa Ramadan diikuti enam hari Syawal memberi pahala seperti berpuasa setahun penuh. Ia juga berfungsi menampung kekurangan sepanjang puasa Ramadan.

Bulan Kemenangan dan Kesyukuran:

1 Syawal adalah Hari Raya Aidilfitri, menandakan kejayaan melawan hawa nafsu dan kembali kepada fitrah yang suci.

Peningkatan Silaturahim:

Bulan untuk mengeratkan ukhuwah, menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, dan memaafkan antara satu sama lain.

Mengekalkan Istiqamah Ibadah:

Syawal adalah waktu untuk meneruskan kebiasaan baik (tadarus, sedekah, solat berjemaah) yang telah dipupuk sepanjang Ramadan, bukan menghentikannya.

Sunnah Menikah di Bulan Syawal:

Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah RA pada bulan Syawal, sekaligus memecahkan kepercayaan jahiliyah yang menganggap bulan ini membawa sial.

Bulan Peningkatan Amal:

Pintu taubat dan ganjaran pahala tetap terbuka luas, mendorong umat Islam terus meningkatkan kebaikan.

Mangu, siri jelajah perjalanan rasa Ari Lesmana

Oleh: Khadijah Ibrahim

TIDAK semua peminat muzik tempatan mengenali siapa itu Ari Lesmana kerana penggiat seni itu berasal dari Indonesia. Namun bagi penggemar muzik genre folk pop, pasti mengenali Ari Lesmana, 33, yang merupakan vokalis kumpulan indie iaitu Fourtwnty.

Ari Lesmana bukan sekadar menyanyi, beliau juga penulis lirik dan antara lagu dendangan Fourtwnty yang popular adalah Lelaku, Fana Merah Jambu, Aku Tenang, Hitam Putih, dan Diam-Diam Kubawa Satu.

Namun pada Februari tahun lalu, kumpulan yang mula dibentuk pada 2010 itu mengumumkan yang mereka akan berehat seketika untuk aktiviti Fourtwnty. Malah, Ari Lesmana menyatakan akan beristirehat dari aktiviti muzik untuk waktu yang tidak ditentukan.

Ari Lesmana mahu mendekayi peminat di Malaysia menerusi konsert Mangu.

Sementara itu anggota lain dari Fourtwnty, termasuk Nuwi, Ryan Maulana, dan Primandha Ridho, membentuk projek muzik baharu bernama ITengah, dengan Primandha Ridho sebagai vokalis.

Rupa-rupanya Ari Lesmana ada perancangan tersendiri, mahu bergerak tanpa anggota Fourtwnty. Justeru itu, beliau memilih untuk membawakan siri jelajah solonya yang bertajuk “Mangu”.

Mangu bermaksud sebuah keadaan di mana seseorang terdiam, terkesima, atau termenung jauh kerana menyelami perasaan yang amat dalam, sama ada rindu, kehilangan, mahupun ketenangan yang luar biasa.

Justeru itulah, melalui konsert anjuran Rockstage Entertainment yang akan berlangsung di Zepp KL pada 15 Ogos 2026, Ari Lesmana ingin menterjemahkan perasaan tersebut ke dalam bentuk visual dan bunyi, memberikan ruang untuk penonton “berehat” sejenak dari hiruk-pikuk dunia luar.

Ari Lesmana bakal mengadakan konsert tanpa anggota Fourtwnty.

Konsert ini bukan sekadar persembahan pentas biasa, tetapi merupakan sebuah jemputan terbuka buat para peminat untuk masuk ke dalam ruang fikiran dan jiwa seorang pencerita muzik yang ulung.

Apa yang akan menjadikan konsert ini istimewa adalah gabungan harmoni antara vokal Ari Lesmana yang cukup ikonik dengan sentuhan moden daripada DJ Firza.

Kolaborasi ini menjanjikan susunan muzik yang lebih segar, menggabungkan elemen akustik yang menjadi tanda dagang Ari Lesmana dengan lapisan bunyi elektronik yang lebih dinamik.

Malam tersebut akan bertambah istimewa dengan kehadiran Enau sebagai artis jemputan. Kehadiran Enau yang terkenal dengan lirik-lirik jujur dan penyampaian yang bersahaja pasti akan melengkapkan lagi naratif penceritaan yang ingin
disampaikan sepanjang konsert berlangsung.

Bagi penganjur, pemilihan lokasi di Zepp KL adalah sangat tepat bagi memastikan kualiti akustik yang terbaik. Dengan suasana yang lebih dekat dan intim, penonton berpeluang merasai setiap getaran suara dan emosi yang disampaikan oleh para artis. Ia adalah sebuah sesi “healing” secara kolektif di mana muzik menjadi bahasa utama untuk menyatukan hati.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah muzik ini dan rasai sendiri keajaiban Mangu.

Daripada solo, kini Adam berteman

Oleh: Khadijah Ibrahim

KITA semua mula mengenali Mohd Aizam Mat Saman sejak beliau menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kedua pada 2004 dan ketika itu usianya baru 21 tahun.

Meskipun hanya menduduki tempat ketiga, namun namanya menyerlah dalam industri muzik menerusi genre pop dance selepas program tersebut.

Bagaimanapun pada usia 43 tahun sekarang, Mohd Aizam atau lebih dikenali sebagai Adam AF2 yang bakal menjayakan Konsert Tukang Gempak Adam pada 9 Mei 2026, di Galaxy Banquet Hall, Sentul Kuala Lumpur, mengambil keputusan untuk tidak lagi bersendirian tatkala berada di pentas.

Adam AF kini bersama Prynce Band.

Penyanyi berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu mengambil keputusan untuk bergandingan dengan rakan-rakan sewaktu beraksi. Bukan seperti beliau bersama kumpulan V.I.P dulu, kali ini Adam bakal bersama rakan-rakan yang bermain alat muzik dan bukan menari.

“Lepas ini saya akan keluar lagu baharu dengan band, saya dah tukar genre, lebih kepada pop rock. Jadi kalau dulu saya dikenali sebagai penyanyi yang gempak menari, waktu zaman muda la. Sekarang ini kita serahkan konsep itu kepada budak-budak muda, macam kumpulan Alpha dan lain-lain.

“Saya ada banyak komitmen lain, kalau nak terus fokus kepada pop dance ini perlu banyak masa. Jadi saya tak boleh teruskan kedepan kalau nak berkarya dengan lagu-lagu pop dance. Sebab itu saya tukar kepada pop rock macam lagu saya mula-mula dulu iaitu ‘Haruskah’. Lagu ‘Haruskah’ bukan lagu beat tapi lebih kepada band.

“Lagu baharu ini ciptaan saya sendiri iaitu “Kalau Cinta”. Bukan pengalaman saya tapi saya imaginasikan dan buat sinopsis lagu itu, genre pop rock. Saya nak buat muzik macam ala-ala Michael Learn To Rock, lagu yang tak jerit-jerit sangat. Bila dengar santai saja.

“Menyanyi dengan diiringi band adalah salah satu niat saya nak bantu kawan-kawan yang ada bakat Dari segi main bes, gitar dan dram. Jadi saya tubuhkan satu kumpulan nama Prynce Band.” jelas Adam.

Katanya, anggota Prynce Band ada yang dari Sabah dan Kuala Lumpur, mereka adalah kawan-kawannya.

Belum fikir soal mencari pasangan hidup, berserah kepada jodoh.

“Mereka memang berkecimpung dalam industri seni, ada seorang ini sound engineer, seorang lagi kerja kat RTM tapi boleh main muzik. Jadi saya gabungkan untuk buat kumpulan ini.

“Ahli dalam Prynce Band ni tak tetap. Contoh, bila ada show besar, di Sarawak dan anggota Prynce tak dapat sertai, bukan satu masalah pun.

“Saya akan cari budak-budak buskers yang pandai main alat muzik kalau ahli saya tak dapat sertai sebab terikat dengan komitmen lain. Tu yang saya panggil buskers untuk iringi saya,” katanya yang tidak suka menyusahkan orang sekeliling.

Bercakap mengenai statusnya yang sudah lama solo selepas bercerai dengan Fiza Halim, bekas anggota Elite pada 2016, Adam menjelaskan beliau sedia untuk membina kehidupan berumah tangga.

Namun akui Adam, hatinya belum terbuka untuk berkahwin buat masa sekarang dan berserah kepada Yang Maha Esa.

Adam memilih untuk menghasilkan lagu bergenre pop rock.

“Bab kahwin atau jodoh tu saya tak fikir sekarang, dalam hati memanglah nak kahwin tapi belum sampai jodoh lagi kot. Lama betul saya single. Umur tahun ni 43 tahun.

“Dari segi soal perkahwinan atau jodoh ini saya tak ada rasa trauma atau serik. Dulu saya pernah berkahwin dan melamar isteri pertama dulu senang saja sebab Allah dah buka pintu hati. Senang saja, saya nak melamar awak jadi isteri saya la. Sekarang ini bila kita berkawan tak ada pula rasa kita nak melamar,” katanya tanpa berselindung.

Adam juga mengakui pada usia sekarang, beliau tidak ada ciri-ciri wanita mana yang sesuai untuk menjadi pendamping hidupnya.

“Dulu masa muda bolehlah saya nak bagi tahu ciri-ciri macam mana, sekarang ni tak tahulah macam mana. Kena jumpa dengan seseorang yang Allah dah tentukan dan hati terbuka.

“Sekurang-kurangnya kita nak calon yang menghormati keluarga kita. Menyayangi diri dan terima saya seadanya, Yang penting kalau jumpa seseorang dan hati terbuka barulah kita ambil langkah seterusnya,” jelasnya lagi.