Home Blog Page 25

“Aku Nak Kahwin” – Andi Bernadee

Oleh: Khadijah Ibrahim

PADA November ini Andi Bernadee akan berusia 35 tahun dan sehingga kini masih belum berteman. Sudah pasti Andi juga mahu ada suri hati namun jodoh dan maut adalah ketentuan Tuhan.

Memahami perasaan insan-insan solo seperti dirinya, Andi atau nama penuhnya Andi Azrul Andi Mapangile tampil dengan single yang meluahkan rasa hati insan yang belum berteman menerusi lagu “Aku Nak Kahwin”.

Jujurnya, “Aku Nak Kahwin” merupakan sebuah lagu santai yang mengangkat realiti kehidupan ramai, khususnya mereka yang sedang menanti jodoh.

Mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat, “Aku Nak Kahwin” berkisarkan tentang seseorang yang sudah bersedia untuk berkahwin, namun masih menunggu jodoh yang
dipermudahkan.

Dengan lirik yang jujur dan bersahaja, lagu ini turut menyentuh tentang tekanan daripada keluarga dan sekeliling, di samping harapan untuk membina cinta yang halal dan bahagia.

Andi Bernadee meneruskan kerjayanya selepas kembali sihat.

Menurut Andi, lagu ini mempunyai kekuatan dari segi mesej yang mudah difahami dan dekat dengan pengalaman ramai.

“Bagi saya “Aku Nak Kahwin’ terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama single dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Lagu ini membawa mesej yang jujur dengan lirik yang straightforward, menjadikannya mudah untuk pendengar kaitkan dengan pengalaman sendiri,” jelasnya.

Dalam landskap muzik semasa yang banyak dipenuhi lagu bertemakan kekecewaan cinta, Andi melihat single ini sebagai satu nafas baharu.

“Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan.

“Jadi, “Aku Nak Kahwin” hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif, sedikit perubahan mood yang lebih ‘happy’ untuk pendengar,” tambahnya.

Andi Bernadee tampil dengan single “Aku Nak Kahwin”, mewakili insan-insan yang belum berpunya.

Lagu ini juga mengetengahkan isu yang sering dihadapi oleh generasi muda, terutamanya berkaitan tekanan sosial dan keluarga.

“Isu ini memang sudah lama wujud dan masih relevan hingga hari ini. Lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan keluarga, soalan seperti ‘bila nak kahwin?’ pasti akan timbul.

“Pada saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang dan tidak terlalu beremosi, serta sentiasa bergantung kepada sokongan diri sendiri dan orang terdekat,” kata Andi.

Manakala, dari sudut produksi, “Aku Nak Kahwin” menampilkan gabungan elemen nyanyian dan rap yang memberikan kelainan pada karya ini.

“Dari segi penyampaian, lagu ini kedengaran santai dan tidak terlalu berat dari segi vokal. Namun, ia tetap memerlukan kawalan pernafasan yang baik.

“Apa yang menarik adalah gabungan dua elemen berbeza, nyanyian melodi dan rap yang memberikan warna tersendiri kepada lagu ini, dan pada masa sama menjadi satu cabaran yang menyeronokkan untuk saya,” jelasnya lagi.

Di sebalik pelancaran ini, Andi turut berkongsi bahawa perjalanan untuk merealisasikan lagu ini bersama album penuhnya, “Ding Geding”, bukanlah sesuatu yang mudah. Sebelum ini, perancangan pelancaran terpaksa ditangguhkan apabila beliau diuji dengan masalah kesihatan.

Namun begitu, tempoh tersebut menjadi ruang untuk beliau berehat, pulih sepenuhnya, dan kembali dengan semangat serta tenaga yang lebih baik.

Kini, dengan keadaan kesihatan yang semakin pulih, Andi bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini kepada peminat.

Selain menyampaikan kisah yang relatable, lagu ini turut membawa mesej positif tentang kehidupan dan kebahagiaan.

“Lagu ini membawa mesej yang ringan tetapi bermakna bahawa status seseorang tidak menentukan kebahagiaan. Sama ada single atau sudah berkahwin, setiap orang ada perjalanan masing-masing.

“Saya berharap “Aku Nak Kahwin” dapat memberi rasa positif kepada pendengar dan menjadi pembukaan yang baik untuk album penuh saya yang akan datang, “Ding Geding”,” ujar Andi.

Konsert “Aishah 40 Chapters of Love”, hadiah buat peminat

Oleh:Khadijah Ibrahim

KEPADA peminat Dato’ Aishah pasti tidak sabar untuk menonton persembahannya secara langsung, terutamanya apabila beliau mendendangkan lagu-lagu kesukaan anda semua.

Impian anda untuk menyanyi bersama-sama Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 61, bakal termakbul jika anda hadir ke konsert “Aishah 40 Chapters of Love”, yang akan berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8 malam di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Konsert solo berskala besar pertama buat Aishah itu dianjurkan oleh Vox Nation Live. Pada malam tersebut, bukan sekadar persembahan, tetapi satu perayaan penuh emosi yang menghimpunkan cinta, kenangan dan perjalanan seni beliau selama 40 tahun dalam industri muzik.

Sudah pasti lagu “Janji Manismu” yang dinanti-nantikan oleh peminat Aishah.

Malam penuh nostalgia dengan lagu-lagu ikonik itu mengangkat tema perjalanan hidup dan cinta beliau melalui muzik.

Konsert ini bakal membawa penonton menyelusuri setiap “bab” dalam karier gemilang beliau. Setiap lagu yang dipersembahkan bukan sekadar hiburan, tetapi kisah yang pernah hidup dalam jiwa para peminat.

Antara lagu yang pasti dinanti-nantikan termasuk “Janji Manismu”, “Camar Yang Pulang”, “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, serta pelbagai lagi karya malar segar yang telah menjadi “soundtrack” kehidupan ramai rakyat Malaysia.

Konsert ini sebagai tanda penghargaan Aishah kepada peminat yang menyokongnya dari dulu hingga kini.

Menjelang konsert ini, Aishah kini sedang giat melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal bagi memastikan setiap detik di pentas nanti benar-benar sempurna.

“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat setia yang telah bersama saya selama ini. Saya tidak sabar untuk kembali ke pentas dan berkongsi momen istimewa bersama anda semua.

“Saya harap setiap lagu yang dipersembahkan nanti akan mengimbau kenangan dan menyentuh hati, menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menyifatkan konsert ini sebagai sebuah penghormatan kepada legasi seni seorang ikon negara.

Tempat duduk berdasarkan jualan harga tiket.

“Dato’ Aishah adalah nama yang membentuk sejarah muzik Malaysia. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu pengalaman yang akan menyentuh emosi penonton dari awal hingga akhir.

“Kami mahu peminat merasai setiap detik, setiap lagu dan setiap kenangan yang dibawa ke pentas,” ujarnya.

Tiket bagi konsert “Aishah 40 Chapters of Love” yang berharga RM788 (VVIP), RM488 (VIP), RM488 (Janji Manismu), RM388 (Sensation), RM288 (Paradise), RM238 (Kasih Kita), RM198 (Pulanglah) dan RM168 (Taman Keabadian) boleh dibeli mulai 3 petang, 17 April 2026, di laman web www.ticket2u.com.my/Aishah40

Aliff Syukri beli hartanah sebab tak yakin dengan bisnes

Oleh: Khadijah Ibrahim

RAMAI yang kagum bila melihat Datuk Seri Aliff Syukri menunjukkan rumah baharu yang dibelinya di Sunway d’hill Residences, Kota Damansara, Selangor di media sosial baru-baru ini.

Di kalangan yang kagum melihat keluasan rumah tersebut pasti terselit juga seorang dua yang kecam usahawan itu dengan mendakwa nak tunjuk kejayaan.

Bagi penulis, kalau kita melihat kisah kehidupan Aliff, 39, dari sudut positif, banyak perkara yang boleh dijadikan teladan dan inspirasi.

Pasangan suami isteri ini juga aktif melakukan perniagaan hartanah selain kosmetik.

Sebelum berada di kedudukan sekarang, beliau juga pernah melalui pelbagai dugaan dalam kehidupan, namun bapa kepada enam orang anak itu tidak mudah mengalah.

Beliau sentiasa berusaha keras untuk memastikan apa yang diimpikan menjadi kenyataan.

Selain berniaga kosmetik jenama D’herbs, Aliff juga terlibat dalam bidang hartanah menerusi Aliff Syukri Properties Sdn Bhd sejak 2013.

“Saya mula beli property sejak umur saya 19 tahun. Waktu mula berniaga, umur saya 21 tahun, saya beli kondo pertama berharga RM210,000 dekat Damansara Damai, sekarang dah RM700,000.

“Kat Sungai Buluh saya ada 50 rumah, Shah Alam ada 12, London ada satu, Indonesia ada 15. Total saya ada rumah 200 hingga 300 tak ingat sangat.
Saya juga ada rumah di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Penang dan Johor.

“Selalunya kita beli rumah yang senang untuk orang menyewa. Bukan rumah mewah tapi rumah biasa-biasa saja yang sewa sekitar RM1,000 ke RM2,000.

“Shop lot pun saya ada dan saya sewakan kepada usahawan yang baru nak berniaga. Buat perniagaan sewa rumah ni tak ada untung tak ada rugi, cuma lepas bayar bank saja,” katanya tanpa berselindung mengenai hartanah yang dimilikinya.

Turut membimbing anak-anak terlibat dalam perniagaan sebagai persiapan masa depan.

Tambah Aliff, salah satu sebab beliau mula membeli hartanah kerana tidak yakin dengan perniagaan yang diusahakan.

“Ketika mula berniaga saya tak sangka akan berniaga selama ini. Saya beranggapan yang esok saya akan bankrap. Jadi sebagai persediaan saya beli aset. Kita tak boleh mengharapkan kosmetik saja.

“Kebetulan pula bila anak dah ramai, ada yang nak duduk kat Pavilion, sorang lagi nak duduk kat Mont Kiara, kat KLCC, Setia Alam, Shah Alam jadi saya belilah satu persatu. Setiap anak ada rumah.

“Rumah ni kalau tak beli daripada dulu harga sekarang memang mahal. Apa yang saya buat ini pertama adalah untuk pelaburan. Rumah yang baru saya beli tu adalah rumah yang ke-200,” ceritanya.

Secara jujur Aliff yang sering melakukan siaran langsung di media sosial menjual produk miliknya mengaku yang beliau tidak dapat mengawal keinginan jika berkaitan hartanah.

“Saya ni jenis pantang tengok properties, kalau tertengok memang gatal je nak beli. Tapi ada juga yang saya jual balik. Macam kat Puncak Alam, saya ada 50 buah rumah. Saya beli rumah teras empat bilik RM90,000 dan baru-baru ni jual harga berlipat ganda RM600,000,” ujarnya.

Aliff Syukri dan Nur Shahida, saling membantu agar perniagaan mereka terus berkembang.

Sifat Aliff yang suka kumpul aset itu turut disokong oleh isterinya, Datin Seri Nur Shahida dan berkata apa yang dilakukan oleh suaminya adalah sebagai persediaan.

“Kita orang memang suka membeli property daripada dulu lagi. Kalau tengok sumber pendapatan kita orang, antaranya memang daripada properties juga la. Tapi yang rumah baru beli tu kita fikir untuk investment, kot-kot anak nak menetap di situ ke?. Atau saudara mara datang bercuti ke?. Lebih kepada rumah persinggahan.

“Kita memang banyak properties tapi kita tidak pernah menetapkan yang rumah ini untuk anak ini atau sebaliknya. Saya beranggaan saya sudah sediakan segalanya untuk anak-anak. Saya dah bagi pelajaran, pendidikan dan apa yang sepatutnya seorang ibu bapa bagi.

“So, bila besar saya nak anak-anak saya ni pandai cari harta mereka sendiri. Apabila kita meninggal harta kita orang dapat kat mereka la. Tapi buat masa ini tak adalah kita letak nama anak kat mana-mana rumah yang kita beli.

“Kita orang memang banyak properties lebih kurang 200 hingga 300, tapi bukanlah semuanya rumah mahal. Ada saja rumah yang kos rendah dan biasa sebab kita memang sewakan termasuklah apartment atau kondo.

“Sebenarnya dulu beli rumah tu untuk duduk di situ tapi kita tak tahu rezeki Allah nak beri, kita dah berpindah ke sini dan kita sewakan semua rumah-rumah kita tu. Daripada dulu dia (Aliff) memang suka beli property. Saya dulu tak faham juga dan kata kenapa nak membazir duit,” katanya.

Di sebalik kisah cinta Noorizan dan P. Ramlee

Oleh Syed Wafa
Foto Koleksi Syed Wafa/Ehsan Muzlina Abu Bakar
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

BARU-baru ini tatkala membelek Facebook wartawan tersohor, Muzlina Abu Bakar atau mesra dengan panggilan Kak Lin, saya ternampak beberapa keping gambar beliau dengan Allahyarham Seniwati legenda Noorizan Mohd. Noor.

Ketika itu, terdetik di hati saya untuk mendapatkan kisah menarik mengenai seniwati berkenaan yang merupakan bekas Permaisuri kepada Sultan Perak Darul Ridzuan, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah, yang meninggalkan istana demi cintanya kepada Tan Sri P. Ramlee.

NOORIZAN bersama Almarhum Sultan Yussuf Izzudddin Shah.

Puas saya memujuk Kak Lin untuk mendapatkan kisah menarik mengenai percintaan seniwati Noorizan. Setelah sebulan menunggu jawapan, akhirnya minggu lalu beliau bersetuju dengan syarat tulis apa yang diceritakan dan tidak lebih daripada itu.

Sebenarnya saya cuba juga untuk mendapatkan yang lebih eksklusif tetapi beliau tetap dengan pendiriannya demi amanah yang dipegang sejak 40 tahun lalu segala yang ‘PnC’ (Private and Confidential) beliau tetap simpan kemas tanpa berkongsi dengan sesiapa!

NOORIZAN bergambar kenangan bersama wartawan tersohor, Muzlina Abu Bakar dan artis terkenal, Noreen Noor selepas majlis pelancaran drama lakonan mereka, di Hotel Casuarina, Ipoh, Perak.

Demi mendapatkan kisah cinta berkenaan saya sanggup menerima syarat itu kerana bagi saya ia amat berbaloi apabila kita cuba menyelami hati dan perasaan seorang Permaisuri yang meninggalkan tahta demi cinta.

Sebabnya perasaan kasih, sayang dan cinta adalah sesuatu yang indah anugerah-Nya bagi setiap insan di dunia ini yang sukar untuk ditafsirkan.

Sebagai manusia kita tidak mampu menolaknya apalagi untuk menilai cinta yang zahir dalam jiwa setiap insan.

KHABARNYA rumah kuning yang terletak di Teluk Intan ini adalah hadiah daripada Almarhum Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Yussuf Izzuddin Shah kepada isterinya, Seniwati Noorizan.

Hakikatnya kerana cinta ia menemukan manusia dalam pelbagai rupa. Disebabkan cinta manusia sanggup menempuh lautan bergelora kerana cinta itu selalunya menjanjikan kebahagiaan dan tidak kurang juga cinta itu kadangkala membuatkan manusia akan merana.

Bila bercakap tentang cinta tidak mustahil apabila ia menemukan seorang Sultan dengan insan biasa seperti seniwati Noorizan. Disebabkan cinta juga seorang Permaisuri sanggup meninggalkan tahta.

CINCIN permata biru dipagari berlian yang dihadiahkan oleh Noorizan kepada P. Ramlee kini disimpan di Arkib Negara.

Noorizan berkahwin dengan Sultan Yussuf Izzuddin Shah pada tahun 1954, ketika itu beliau berusia 27 tahun dan paling istimewa baginda telah menghadiahkan sebentuk cincin permata biru dihiasi berlian sebagai tanda dan kenangan cinta Sultan kepada Noorizan. Pada tahun 1955, beliau diberi gelaran Yang Teramat Mulia Permaisuri.

Bagaimanapun semuanya berubah pada tahun 1955, apabila P. Ramlee diundang membuat persembahan di istana.

Sebuah potret P. RAMLEE bersama cincin berlian permata biru hadiah daripada Noorizan sempena perkahwinan mereka.

“Sebelum persembahan itu, Tuanku sudah ingatkan ‘Aunty’ (Panggilan mesra seniwati Noorizan) agar jangan pandang mata P. Ramlee. Titah Tuanku, jika seorang wanita terpandang sahaja mata P. Ramlee… boleh jatuh cinta kepadanya,” cerita Noorizan kepada Kak Lin.

“Secara tidak sengaja ‘Aunty’ terpandang mata P. Ramlee dan terus jatuh cinta. Ketika itu hanya tembok istana yang memisahkan kami. Tetapi telefon telah menghubungkan kami.

Shasha Hamid bersama bonda tercinta Allahyarham seniwati legenda Mariani

“Tuanku hanya mengetahui hubungan ‘Aunty’ dengan P. Ramlee apabila bil telefon melambung tinggi antara empat ratus sehingga lima ratus sebulan. Menyedari hal itu, Tuanku telah ‘melepaskan’ Aunty,” cerita Noorizan.

Pasangan ini berkahwin pada 6 Februari 1955 dan Noorizan telah menghadiahkan cincin permata biru tersebut kepada P. Ramlee sebagai tanda ikatan kasih dan cinta mereka berdua. Ketika itu usia Noorizan 28 tahun dan P. Ramlee 26 tahun.

Selepas perkahwinan mereka, filem “Hang Tuah” (1956) arahan Phani Majumdar menemui para penonton. Filem ini lakonan, P. Ramlee dan Seniwati Zaiton. P.Ramlee telah menggubah sebuah lagu “Berkorban Apa Saja” dengan lirik oleh Allahyarham Datuk Jamil Sulong untuk babak Tun Tijah yang sanggup meninggalkan istana lalu mengikut Hang Tuah balik ke Melaka.

SAAT bahagia Shasha Hamid bersanding di pelamin bersama suaminya, Allahyarham Jamaluddin.Turut hadir di majlis persandingannya, Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isteri, Allahyarham Puan Sri Saloma yang berlangsungn di Singapura pada Mac 1973. Dua bulan selepas itu, P. Ramlee meninggal dunia.

Lirik lagu tersebut mengisahkan hidup Noorizan yang sanggup meninggalkan segala kemewahan untuk hidup bersama P.Ramlee.

Menurut Kak Lin, beliau berpeluang mencungkil rahsia cinta dan bagaimana Noorizan ke Singapura selepas bercerai apabila berkongsi bilik suite dengan beliau serta penyanyi terkenal Allahyarham Noreen Noor lebih seminggu, di Hotel Casuarina, di Ipoh, Perak pada tahun 1981 ketika mengikuti penggambaran drama arahan Allahyarham Aimi Jarr.

PASANGAN bahagia … Noorizan dan suami tercinta, P. Ramlee.

Drama terbitan Take One Productions itu turut dilakonkan Allahyarham Omar Manan dan ia diterbitkan untuk RTM.

Bagaimanapun kebahagiaan rumahtangga mereka mula goyah apabila Noorizan terasa disisihkan apabila nama P. Ramlee mula melonjak dan sibuk di set penggambaran disamping muncul seorang biduanita yang bernama ‘Saloma’ (Allahyarham Puan Sri Saloma).

Akhirnya setelah enam tahun hidup sebagai suami isteri, pasangan ini bercerai pada tahun 1961.

NOORIZAN bersama P. Ramlee sambil mendukung anaknya, Sazali.

Sejak perceraian itu, Noorizan balik ke Kuala Lumpur dan menceburi bidang lakonan. Lebih 30 filem yang beliau lakonkan dengan filem pertama “Siti Payong” (1962) dan filem “Esok Untuk Siapa” (1982) arahan Jins Shamsuddin telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-3 (FFM3) pada tahun 1982.

Bagaimanapun pada tahun 1972, P. Ramlee mengundang Noorizan berlakon dalam filem arahannya “Laksamana Do Re Mi” dengan membawa watak Permaisuri Kerajaan Pasir Berdengung. Ini adalah filem terakhir arahan beliau sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung.

Agongnya cinta Noorizan kepada P. Ramlee sehingga sanggup tinggalkan istana

Setelah P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, Noorizan berjumpa Saloma dan meminta cincin permata biru yang dihadiahkan kepada P. Ramlee tetapi beliau enggan menyerahkannya. Cincin permata biru itu P.Ramlee hadiahkan kepada Saloma sebagai tanda ikatan perkahwinan mereka pada 31 Oktober 1961.

Melalui perbualan Kak Lin bersama Shasha Hamid, anak saudara Saloma yang juga merupakan anak Allahyarham seniwati Mariani, Shasha bercerita mengenai cincin permata biru yang banyak kali bertukar tangan.

“Aunty Noorizan jumpa Mama (Panggilan mesra Saloma) tetapi Mama tidak mahu pulangkan kerana itu adalah cincin kahwin yang Arwah Daddy (Panggilan mesra Saloma pada P. Ramlee) hadiahkan kepada Mama. Memang Mama tak pernah pakai cincin itu sebab jari Mama kecil dan cincin itu sentiasa diletak di dalam sebuah gelas yang berisi air.

Kenangan Noorizan bersama bekas suami, Seniman Abdullah Chik.

“Bila Mama meninggal dunia pada 25 April 1983, Nenek (Mak Saloma iaitu Umi Kalsom Mahbob) pakai cincin itu dan balik ke Singapura. Setahun selepas itu, nenek meninggal dunia dan cincin itu beralih kepada Tok Mum Yusoff (Bapa tiri Saloma). Tetapi setelah setahun Tok Mum juga meninggal dunia. Mendengar berita itu, saya ke Singapura dan selesai urusan pengkebumian Atok, saya mengambil cincin tersebut dan terus balik ke KL.

“Apabila sampai KL saya hubungi Aunty Noorizan yang tinggal di Flat Pekeliling dan beritahu nak pulangkan cincin tersebut. Keesokan harinya pada tahun 1985, saya pulangkan cincin itu kepada Aunty Noorizan dan cincin itu kini disimpan di Arkib Negara. Berita mengenai saya pulangkan cincin itu ada disiarkan di akhbar Utusan Malaysia,” cerita Shasha Hamid yang begitu rapat dengan seniwati Noorizan mengenai cincin permata biru yang beliau hadiahkan kepada P. Ramlee sempena perkahwinan mereka.

Noorizan dalam filem ‘Laksamana Do Re Mi’ 1972

Setelah bercerai dengan P. Ramlee, Noorizan berkahwin dengan Seniman Abdullah Chik pada 26 Januari 1962 dan bercerai pada 29 Mei 1963. Beliau juga pernah berkahwin dengan Borhan Yahya pada tahun 1964.

Noorizan meninggal dunia kerana darah tinggi pada pukul 8.00 malam pada tarikh yang sama beliau dimasukkan ke hospital iaitu 15 Mei 1992. Adalah difahamkan jenazahnya dikebumikan berhampiran pusara P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Di bawah ini disertakan lirik lagu ‘Berkorban Apa Saja’ yang dinyanyikan oleh P.Ramlee mengisahkan perjalanan hidup seniwati legenda Noorizan.

NOORIZAN bersama Muzlina bergambar kenangan ketika menjalani pengambaran drama pada tahun 1981 di Perak.

Berkorban Apa Saja

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia
Hmmm….hmmm…hmmm

Kepentingan sendiri tidak diingini
Bahagia kekasih saja yang diharapi

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia
Hmmm…Hmmm…Hmmm

Untuk menjadi bukti
Kasih yang sejati itulah tandanya
Jika mahu diuji

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia

Penyanyi: P. Ramlee
Lagu: P. Ramlee
Lirik: Jamil Sulong

DARI kiri: Omara, Nasir P. Ramlee, Noorizan dan Norma Kamaruddin menziarahi pusara P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Lee Je Hoon, ‘Abang Teksi’ yang ramah

Oleh: Khadijah Ibrahim

PADA 11 April lalu terdapat tiga persembahan yang membabitkan artis dari Korea Selatan di sekitar ibu kota dan salah seorang daripadanya ialah Lee Je Hoon.

Pelakon popular drama bersiri ‘Taxi Driver’ itu hadir ke Malaysia bagi menjayakan acara ‘2026 Lee Je Hoon Fan Meeting (Our 20th Moment) In Kuala Lumpur’ yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur.

Kehadiran pemegang watak Kim Do Gi menerusi drama ‘Taxi Driver’ yang memasuki musim ketiga itu dianjur oleh TopGallant Show dan Shanghai SanYanSiYu Cultural Creativity bagi meraikan dua dekad penglibatannya dalam bidang seni bersama dengan peminat-peminat yang digelar Hoonists.

Hani Fadzil menjadi hos untuk membantu Lee Je Hoon sewaktu di pentas.

Sepanjang lebih kurang dua jam acara berlangsung, yang bermula jam 6.06 petang, dapat dilihat bahawa pelakon yang mula mendapat perhatian ramai kerana lakonannya dalam filem ‘Bleak Night’ (2011) sangat ramah dan ikhlas berinteraksi dengan para penonton.

Je Hoon yang popular dengan panggilan ‘Abang Teksi’ di kalangan peminat di Malaysia berkata, beliau tidak percaya sudah dua dekad atau 20 tahun terlibat dalam bidang seni terutama lakonan.

“Saya masih tak percaya sudah 20 tahun dalam seni. Saya boleh berada di sini pun disebabkan sokongan daripada anda semua.

Roti canai yang disuap Lee Je Hoon kepada penonton yang terpilih tapi wanita tersebut tidak dapat meneka dengan tepat.

“Di masa akan datang, saya harap dapat datang ke Malaysia untuk melakukan penggambaran drama atau filem lakonan saya di sini,” katanya yang melangkah masuk ke dewan dari bawah pentas sambil mendendangkan lagu, ‘Coffee With Me’, dendangan asal oleh Paul Kim.

Meskipun sibuk di set penggambaran, Je Hoon tidak pernah rasa letih kerana dalam jadual kerjanya tetap diselit perjumpaan dengan peminat.

Menjawab satu soalan daripada peminat yang bertanya, bagaimana lakonan menggubah kehidupannya? Je Hoon, 42, yang mendapat pendidikan di Korea National University of Arts berkata, walaupun dirinya menjadi perhatian ramai, beliau tetap mengambil tahu perkara sekeliling.

Beberapa kali juga pelakon ini turun dari pentas untuk mendekati penonton.

“Kesibukan di lokasi penggambaran tidak menghalang saya untuk mengambil tahu hal sekeliling. Setiap pagi saya akan pastikan mendengar berita untuk mengetahui tentang perkembangan terkini dunia.

“Saya adalah seorang yang sentiasa memberi tumpuan dalam setiap pekerjaan yang saya minat. Saya harap usaha saya dalam bidang lakonan dapat membantu anda menghilangkan rasa stres apabila menonton drama atau filem lakonan saya,” katanya yang suka mencuba makanan jalanan.

Justeru itulah sewaktu segmen interaktif bersama tiga penonton (untuk teka makanan dengan mata tertutup) yang dikendalikan oleh hos Hani Fadzil, pelakon itu berkata, orang luar yang datang ke Malaysia patut cuba nasi lemak

Lee Je Hoon amat menghargai para peminat yang menyokong kariernya selama ini.

“Saya suka nasi lemak. Menu pertama orang luar datang ke sini perlu cuba nasi lemak. Malaysia adalah syurga makanan.

“Saya suka ‘street food’ tapi hari ini saya tak dapat nak cuba sebab perlu pulang. Nanti saya kena datang lagi ke sini untuk cuba pelbagai makanan lain,” katanya yang dilihat begitu menikmati nasi lemak, roti canai, char kuetiau, teh ais, karipap dan makanan ringan Super Ring sambil membuat ulasan untuk diteka oleh tiga penonton berkenaan.

Di antara tiga penonton tersebut, seorang daripada mereka di ‘boo’ kerana tidak dapat meneka roti canai dengan tepat walaupun disuap oleh Je Hoon.

Pelakon itu menutup persembahan dengan mendendangkan lagu ‘Beautiful’ dan berharap dapat datang lagi ke Malaysia.

DPDDM & PDRM `BERPISAH TIADA’

Oleh: Nafsiah Jani

Sempena sambutan Hari Polis yang ke-219, baru-baru ini Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) telah mengadakan kunjungan hormat sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Lawatan ini telah berlangsung dalam suasana yang penuh tertib, harmoni dan jalinan semangat kerjasama yang tinggi.

Selain itu, kunjungan hormat ini juga bertujuan mengeratkan hubungan strategik antara pihak korporat, kepimpinan wanita dan PDRM, sejajar dengan slogan polis dan masyarakat berpisah tiada. Pertemuan ini diharap dapat menjadi platform penting dalam merangka pelaksanaan program CSR DPDDM bersama PERKEP IPD Putrajaya yang memberi fokus kepada kebajikan serta kesejahteraan seluruh warga PDRM dan keluarga mereka.

Delegasi yang diketuai Presiden DPDDM, Dato Nor Hasnal Hashmi bersama Megat Hadzlie @ Megat Raja , Prof. Dr Hasbulah Mohd Salleh, Ahmad Faisal Mohd Meidin, Puan Falora Ambi, Datin Ezy Ezylyana Ostman dan Datin Nur Shafiqah Noor Azmi disambut mesra Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Tuan Aidi Sham serta pegawai-pegawai kanan IPD DSP Tuan Redza Shahromann, Ketua Cawangan Khas , ASP Tuan Azrul dan ASP Puan Ilham selaku setiausaha Perkep IPD PUTRAJAYA.

Turut diberi perhatian dalam kunjungan ini adalah penglibatan Pengerusi PERKEP IPD Putrajaya yang memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan keluarga warga PDRM, sekali gus menjadi pemangkin kepada kejayaan program-program kemasyarakatan yang dirancang.

Ahli-ahli kehormat DPDDM bergambar kenangan bersama ahli PERKEP IPD dan anggota PDRM Putrajaya.

Sepanjang sesi perbincangan yang berlangsung membuka ruang kepada pelbagai cadangan serta inisiatif bersama, khususnya dalam memperkasakan pelbagai program CSR yang melibatkan kebajikan ahli PERKEP, bantuan kepada keluarga yang memerlukan, serta aktiviti pembangunan komuniti yang mampu memberi impak positif secara menyeluruh. Kerjasama strategik ini juga dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara masyarakat, sektor perniagaan dan pihak berkuasa dalam mewujudkan suasana yang lebih selamat, prihatin dan sejahtera.

Selain itu, penglibatan aktif Wanita dalam program ini turut mencerminkan komitmen tinggi golongan wanita dalam memperjuangkan agenda kebajikan dan kemasyarakatan, selari dengan usaha memperkukuhkan jaringan sokongan kepada komuniti setempat. Sinergi antara semua pihak ini jelas menunjukkan kesungguhan dalam menggembleng tenaga dan sumber demi manfaat bersama.

Diharapkan agar jalinan kerjasama yang terjalin melalui kunjungan hormat ini akan terus diperkasakan dan menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak program CSR bersama PERKEP IPD Putrajaya pada masa-masa akan datang. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, semoga segala usaha yang dilaksanakan akan terus memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta warga PDRM khususnya.

Nor Hasnal Hashmi yang juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Perniagaan Pendidikan Kuala Lumpur (DPPKL) berkata, keutamaan DPDDM kini adalah untuk memperluas jaringan dan kapasiti keusahawanan di seluruh negara. Dengan keahlian yang merentasi pelbagai sektor industri, DPDDM berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi jambatan antara kerajaan, komuniti perniagaan dan usahawan baharu.

“Melalui pelbagai kerjasama yang terjalin, DPDDM berhasrat melahirkan kelompok usahawan tempatan yang bukan sahaja berdaya tahan dalam pasaran domestik, tetapi juga bersedia menembusi pasaran antarabangsa. Usaha ini sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI, yang menekankan prinsip inklusif, nilai tambah dan kesejahteraan bersama.”

Orang ramai yang berminat untuk menyertai rangkaian DPDDM dalam memperkasakan agenda Malaysia Madani boleh layari laman web rasmi di https://dpddm-gov.com/

Kim Khairii baru dapat izin daripada mama

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEJAK anak di sekolah rendah lagi, Safura Yaa’cob, 53, sudah dapat mengesan bakat seni yang dimiliki oleh Kim Khairii.

Namun sebagai ibu dan penggiat seni, Safura tidak menggalakkan anaknya untuk bergiat serius dalam bidang tersebut sebelum ini.

“Kim ni dari kecil dah boleh menyanyi cuma saya saja tak galakkan anak-anak dalam bidang seni. Saya lebih galakkan mereka belajar dulu. Bila dah besar dan habis belajar serta dapat tawaran macam ni saya tak halang.

“Kat sekolah dulu, dia banyak masuk pertandingan nyanyian sebab cikgu selalu panggil dia. Dia sekolah menengah agama tinggi dan banyak sertai nasyid. Masa tadika dulu saya hantar ke Pasti dan pernah jadi juara pertandingan peringkat kebangsaan.

Kim Khairii sudah lama menyiimpan impian untuk menjadi penyanyi komersial.

“Cuma saya yang tak galakkan anak tapi kat sekolah dia aktif dalam kegiatan seni sekolah, itu saya tak halang. Cuma untuk public masa dia masih sekolah saya tak galakkan. Untuk program Talk To My Manager (TTMM) ini saya dihubungi oleh pihak Astro,” cerita Safura tentang latar belakang anak kesayangannya itu.

Tambah penyanyi dan pelakon itu lagi, anak hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Hairie Kool diberi izin untuk menyertai TTMM musim kedua bagi menguji kebolehan diri.

“Dia tak pernah dapat bimbingan daripada guru vokal atau masuk kelas vokal, selamanya bergantung kepada bakat dan nyanyian sendiri saja. Bila ada peluang macam ni kita cuba la.

“Pertandingan ini untuk asah bakat dan di waktu yang sama akan mengajarnya untuk memberi perhatian kepada tunjuk ajar daripada cikgu vokal. Saya sebagai managernya untuk program ini juga perlu banyak buat rujukan. Semoga impiannya nak menjadi penyanyi secara komersial tercapai,” katanya.

Bagi Kim, TTMM bukanlah program realiti yang pertama disertai kerana sebelum ini beliau pernah mencuba nasib untuk beberapa pertandingan lain.

Safura akan berusaha keras untuk memastikan Kim Khairii berjaya mencapai impiannya.

“Saya ada cuba juga sebelum ini pergi ke Johor untuk program Audition tapi tak lepas. Kemudian pergi untuk program Astro rasanya tiga kali juga la macam All Together Now dan Raise The Star sampai ke top 100 saja.

“Untuk program ni (TTMM) saya sanggup resign kerja sebab nak beri komitmen dan insya-Allah habis program kemudian sambung balik. Tengok nanti macam mana,” katanya terus terang.

Kim yang meminati genre R&B balada seperti nyanyian Lah Ahmad atau Rizky Fabian (penyanyi Indonesia) mengakui menyertai TTMM bukanlah mudah dan banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Saya tak pernah masuk mana- mana pertandingan cuma pergi untuk show gitu-gitu saja. Untuk pertandingan begini apa yang paling mencabar bagi saya adalah macam mana nak guna pentas yang besar itu.

“Harap saya dapat menimba banyak ilmu daripada program ini kerana sejak dulu saya memang menyiimpan impian untuk menjadi penyanyi dan alhamdulillah, tahun ini Allah bukakan ruang unyuk saya,” ujarnya.

iQIYI International kembangkan pelaburan dalam penceritaan tempatan

Oleh: Khadijah Ibrahim

PASTI ada di antara anda yang sering menonton drama di platform penstriman sebelum tidur, kononnya nak bagi mata mengantuk. Tapi yang sering berlaku waktu tidur anda akan terbabas kerana nak tahu apa kesudahan cerita yang ditonton itu.

Maklumlah sekarang ini banyak platform penstriman yang beroperasi dan memudahkan orang ramai untuk menonton drama di mana saja berada.

Salah satu platform penstriman terkemuka di Asia adalah iQIYI International dengan lebih 6,000 jam kandungan premium. Sebagai destinasi No. 1 untuk hiburan Cina, iQIYI juga menyaksikan pertumbuhan pesat dalam tontonan merentas budaya.

Drama Speed ​​and Love lakonan Esther Yu.

Terutamanya melalui drama-C yang telah muncul sebagai genre yang paling pesat berkembang di Malaysia, dengan tontonan drama-C beserta sarikata bahasa Melayu meningkat dua kali ganda, mencerminkan kejayaan iQIYI dalam menjangkau penonton Malaysia yang lebih luas dan pelbagai.

Mencerminkan pengaruh kuat drama Cina dan mendekatkan diri dengan penonton Malaysia, Duta Global Antarabangsa iQIYI, Esther Yu, telah membuat penampilan khas di acara iQIYI Raya, baru-baru ini.

Drama lakonannya, Speed ​​and Love merupakan drama Cina paling popular di iQIYI Malaysia pada tahun 2025 dan melayakkan beliau menjadi penerima anugerah Watak Wanita Drama Cina Paling Popular 2025.

Griya, drama tempatan yang boleh ditonton di iQIYI.

Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya di Malaysia, iQIYI International terus mengembangkan pelaburannya dalam penceritaan tempatan.

Untuk tahun 2026, iQIYI menampilkan lima produksi asli Melayu yang merangkumi drama keluarga, percintaan dan saspens, termasuk Dua Nyawa, Madu Atau Racun, Ceraikan Aku Sekali Lagi, Sekali Lagi, Bahagia dan Griya.

Pengarah Urusan Kanan, iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata, pihaknya berasa bangga untuk meluaskan komitmen dengan karya-karya asal tempatan Malaysia yang baharu.

Selain itu ujarnya, iQIYI akan terus membawakan hiburan Asia yang terbaik, daripada cerita-cerita tempatan hinggalah drama Cina yang disukai ramai di seluruh dunia supaya lebih dekat kepada penonton Malaysia.

Drama lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha membuat penonton tidak sabar untuk mengetahui kesudahannya.

“Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang di Malaysia, iQIYI International terus mengembangkan pelaburannya dalam penceritaan tempatan.

“Senarai 2026 yang baru diumumkan menampilkan lima produksi asli Melayu yang merangkumi drama keluarga, percintaan dan saspens, termasuk Dua Nyawa, Madu Atau Racun, Ceraikan Aku Sekali Lagi, Sekali Lagi, Bahagia dan Griya,” katanya.

Malah sejak memperkenalkan drama Melayu tempatan pada tahun 2020, iQIYI International Malaysia telah mengembangkan jejaknya di Malaysia dengan mantap, berkembang daripada pemerolehan kandungan kepada pelaburan aktif dalam produksi dan perkongsian tempatan.

Sehingga kini, iQIYI telah melabur secara signifikan dalam kandungan Malaysia merentasi kedua-dua produksi asli dan pelesenan, mencerminkan komitmen jangka panjangnya kepada industri tempatan.

Antara barisan artis yang hadir ada majlis Hari Raya Aidil Fitri, “Celebr-Eid with Team Raya iQIYI 2026, baru-baru ini.

iQIYI telah menghasilkan lebih daripada sedozen judul asli Malaysia, termasuk siri yang menonjol seperti Rampas Cintaku hingga Senyawa dan banyak lagi.

Selain filem asal (original), iQIYI juga bekerjasama secara rapat dengan rakan kongsi penyiaran utama, termasuk Media Prima, untuk membawakan beberapa judul paling popular di Malaysia ke iQIYI.

Usaha-usaha ini bersama-sama menyumbang kepada penawaran kandungan tempatan yang lebih komprehensif dan kompetitif untuk penonton Malaysia.

Epilog Cinta Sohaimi Mior Hassan kini bersama cucu

Oleh: Khadijah Ibrahim

Kau tersenyum manja
Menyatakan hasrat di hati mu
Kau kata kau cinta, cinta pertama kepadaku
Ku hampir tergoda bergelora dalam kalbu
Kau bukan untukku, kau dan aku tak mungkin berpadu

Nun di sana beribu batu
Kau ku tinggalkan bersama hatiku
Nun di sana, kau meratap pilu
Satu masa nanti
Kau akan mengerti apa maksudku

ITU antara lirik lagu Epilog Cinta Dari Bromley, dendangan Sohaimi Mior Hassan yang dikeluarkan pada 1983 daripada album Prolog. Lagu balada malar segar itu tidak jemu didengar hingga kini.

Sewaktu bertemu dengan penyanyi dan pencipta lagu tersebut, baru-baru ini, penulis sempat bertanya, “Lagu Epilog Cinta Dari Bromley tu kisah cinta abang ke?”

“Dulu masa saya belajar di kolej kejuruteraan kat United Kingdom (UK) dari 1975 sampai 1980 banyak pelajar yang mengalami situasi sebegitu.

Sohaimi Mior Hassan masih mendapat undangan untuk mengadakan persembahan.

“Bila nak balik, girlfriend dia tak nak masuk Islam. Masa saya baru nak cipta lagu tu saya sedang tunggu bas dan nampak kat papan tanda tu East Bromley, nama jalan. Saya pun gunalah judul tu,” imbas penyanyi yang bersuara garau itu.

Meskipun lagu-lagu dendangannya seperti Bila Berpacaran, duet bersama Ana Rafali dan Altimet, Misteri Cinta, dan Rose masih menjadi pilihan ramai, namun penyanyi berusia 69 tahun itu lebih senang menghabiskan masa dengan cucu-cucunya.

Sohaimi yang kini menetap di Shah Alam berkata, sudah 10 tahun beliau tidak berkerjaya dan kini tumpuannya adalah pada empat orang cucunya.

“Dulu saya ada buat dua tiga projek dan selepas itu saya rasa nak rehat, dari 2012 sampai sekarang saya rehat dan lebih kepada menjaga cucu.

“Aktiviti utama sekarang ini saya menghantar dan mengambil cucu ke sekolah. Saya ada empat orang cucu perempuan, yang sulung tingkatan satu dan bongsu setahun lebih.

“Saya sendiri bila dah ada cucu tak berapa cenderung nak menyanyi balik sebab sibuk melayan mereka. Malam baru cucu-cucu saya balik rumah masing-masing sebab mak mereka bekerja.

Sekarang ini Sohaimi Mior Hassan lebih banyak meluangkan masa dengan cucu-cucu.

“Saya dulu pun mak mentua yang jaga anak-anak saya. Saya tak ada pencen tapi alhamdulillah sebab dulu saya buat projek sendiri selama empat tahun adalah simpanan sikit. Mungkin sebab tulah saya tak sibuk nak menyanyi,” katanya terus terang.

Walaupun beliau merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tapi akui Sohaimi, beliau akan jadi lemah kalau bersama cucu.

“Waktu jaga anak membesar lain dengan jaga cucu. Jaga anak dulu mesti kena cubit. Bila jaga cucu saya tak pernah cubit pun. Sampai anak saya marah kat saya sebab dulu mereka kena cubit,” katanya tersenyum.

Sohaimi yang memiliki 10 album sebelum ini, berkata walaupun tidak ada karya baharu, namun masih ada pihak yang mengundangnya untuk mengadakan persembahan.

“Show masih ada tapi saya pilih. Kalau majlis gathering student itu saya pergi sebab majlis begitu santai dan dapat mengeratkan hubungan.

“Akan datang ni ada dua tiga jemputan yang saya terima. Saya masih menyanyi untuk majlis tertutup yang santai dan lagu-lagu saya pun masih ada lagi. Kalau tengok kat FB saya (Suhaime Hassan) adalah lagu-lagu baharu saya kat situ,” ujarnya.

Mimi Fly dapat sokongan Nourul

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU pertama kali dipelawa oleh Nourul Depp untuk menjadi artis jemputan bagi menjayakan Konsert For You Nourul, pada 17 April ini, Mimi Fly terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan penyanyi kesayangannya itu.

Malah Mimi atau nama penuhnya, Shamimi Amalina Norhisham, 40, sempat berseloroh dengan Nourul supaya tukar tarikh lain agar beliau dapat sertai konsert tersebut.

Tak sangka mulut Mimi ‘masin’ kerana konsert yang sepatutnya berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 April ditukar kepada 30 Mei depan.

“Kak Nourul ada DM (direct message) saya bagi tahu nak buat konsert dan minta sokongan penuh daripada saya dan saya kata okey. Saya memang peminat Nourul dan suka dengan lagu-lagu dendangan dia sewaktu membesar.

Hubungan Mimi Fly dengan Nourul bukan sekadar rakan artis tapi mereka boleh berbincang pelbagai topik.

“Waktu dia kata nak jadikan saya sebagai artis jemputan, memang teruja. Tapi bila tengok tarikh bertindih kita orang macam sedihlah sebab tak dapat nak buat bersama. Apabila konsert kak Nourul dah bertukar tarikh, dia terus blok saya lagi sekali dan saya kata okey saja,” cerita Mimi detik awal sewaktu dilamar Nourul.

Meskipun genre muzik Mimi berbeza dengan penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu, beliau
tetap teruja untuk berada di pentas yang sama dengan Nourul.

“Saya memang tak fikir lama, terus setuju saja apabila dipelawa oleh Kak Nourul sebab nak cuba bunyian baharu tapi tak tahu lagi dia nak buat macam mana. Saya terbuka untuk terima new sound dan kolaborasi bersama Kak Nourul, tak sabar nak jayakan konsert ini.

“Hubungan saya dengan Kak Nourul sudah lama terjalin dan terima kasih sebab dia pilih saya untuk jadi artis jemputan. Kami mula berkawan menerusi media sosial.

“Waktu itu era Covid, ramai yang stres dan hadapi mental health isu. Ketika itu saya sebagai content creator dan selalu bagi mesej positif kat content di media sosial.

“Saya lihat Kak Nourul ni jadi live coach bukan sebab bisnes semata-mata tapi seorang yang natural sebab dia boleh memahami apa masalah yang kita lalui. Dia akan hubungi saya dan beri kata-kata semangat pada saya,” jelasnya.

Mimi Fly akan mendendangkan lagu dengan gayanya yang tersendiri.

Ujar Mimi, apabila ada artis senior yang sering memberi sokongan kepadanya, sekali gus buat dirinya rasa tenang jika dilanda masalah dalam kerjaya.

“Bila kita dapat sokongan daripada artis senior, ia buat kita rasa tenang dan sekali gus kita anggap apa yang kita lalui itu adalah asam garam seorang artis. Saya suka ada kakak senior yang selalu bersama dan Kak Nourul salah seorang daripadanya.

“Dia memang jenis selalu sokong saya. Sebelum saya nyanyi lagu Angkat (2024) dia dah tahu saya nak buat apa sebab saya selalu bercerita dengan dia. Kak Nourul memang suka bagi semangat kat orang dan sebab itu kami boleh get along kerana mempunyai energi yang sama,” ujar Mimi yang juga seorang guru tari dan jurulatih yoga.

Mimi yang suka lagu Kerana Terluka dendangan Nourul itu berkata, untuk konsert itu kelak beliau akan menyanyi dengan konsep tersendiri.

“Untuk konsert itu nanti, saya akan nyanyi lebih daripada satu lagu. Saya akan bring my own energi. Dah 18 tahun dalam industri ini saya sentiasa maintain konsep tersendiri dan akan terus mendalami konsep tersebut.

“Sebenarnya untuk memperkenalkan sound Mimi Fly bila berkolaborasi dengan artis lain, itu adalah salah satu cabaran yang sihat. Sebab sebagai artis saya nak terlibat serta menimba sebanyak ilmu yang boleh. Selagi masih dalam industri, itulah yang saya akan lakukan,” akuinya yang tidak jemu belajar tentang perkara baharu dalam kerjaya mahupun kehidupan.