Home Blog Page 5

Ezad mahu mencipta nama sebagai komposer pula

Oleh: Khadijah Ibrahim

LEBIH tiga dekad mewarnai industri hiburan tanah air sejak tahun 1995, Ezad Lazim
lebih dikenali sebagai vokalis kumpulan Exists.

Beliau menyertai Exists bagi menggantikan Mamat yang menarik diri daripada kumpulan tersebut pada 1994.

Ramai yang terpesona mendengar suara Ezad dan tidak dinafikan lagu-lagu dendanganya bersama Exists sejak dulu hingga kini tidak jemu didengar seperti lagu Alasanmu, Masih Terserlah Ayumu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Lempengnya Hangus, Dirantai Digelangi Rindu, Kapal Terbang Kertas, Percayakan Siti, Jesnita, Julia dan Mama Tolonglah Percaya.

Selain merakam lagu bersama Exists dan berduet dengan beberapa penyanyi lain, Ezad juga pernah tampil dengan album solo Mengharap Bintang pada 2011, selepas beliau meninggalkan kumpulan tersebut pada 2007.

Khas buat peminat beliau.

Dek kecintaan dan komitmennya terhadap dunia seni, kini Ezad tampil dengan single solo terbaharu berjudul “Rasa Cinta”.

Pengalaman yang dikumpul selama bertahun-tahun menjadi asas kepada sebuah karya yang lebih matang dan dekat di hati pendengar.

Tahun 2026 menjadi satu titik perubahan penting dalam perjalanan kerjayanya apabila Ezad tampil menerusi syarikat rakamannya sendiri, EZ Record.

Menerusi projek ini, beliau mengambil tanggungjawab sebagai produser, komposer serta peneraju penerbitan muzik dan muzik video, sekali gus memperlihatkan visi kreatif yang dibangunkan sepenuhnya di bawah jenama EZ Record.

Single “Rasa Cinta” merupakan ciptaan Ezad Lazim, manakala liriknya ditulis oleh Zeana Ramli. Lagu bergenre balada ini membawa mesej yang cukup luas tentang makna cinta.

Ezad bersyukur kerana isteri, Zeana sentiasa menyokong minatnya dalam bidang seni.

Ia bukan sahaja sesuai dihayati oleh pasangan yang saling menyayangi, malah boleh ditafsirkan sebagai luahan kasih dan pengabdian kepada Yang Maha Esa, menjadikan karya ini dekat dengan pelbagai lapisan pendengar.

Pelancaran “Rasa Cinta” juga merupakan projek sulung EZ Record sebagai label rakaman yang membawa aspirasi untuk melahirkan lebih banyak karya berkualiti serta membuka ruang kepada bakat-bakat baharu dalam industri muzik tempatan.

“Saya mengambil masa yang lama untuk keluarkan lagu atas label sendiri kerana sekarang baru ada peluang. Mungkin sebelum ini saya mencari peluang tapi tak ada rezeki lagi.

“Kerja saya sebelum ini tak macam sekarang. Mungkin sekarang saya lebih fokus, kalau nak buat, kena buat sampai jadi. Saya rasa semangat itu yang buat saya berani. Dari dulu memang saya teringin nak ada seperti apa yang saya buat ini.

“Banyak faktor yang menyebabkan saya hanya boleh buat sekarang, mungkin tiada keberanian, tiada keyakinan. Sekarang ada keyakinan sebab tengok Exists sukses dan secara tak langsung memberi saya semangat untuk buat benda-benda macam ni.

Selain terbitkan lagu untuk Ezad, EZ Record juga akan mengeluarkan lagu untuk Adree dan Tika Nasir.

“Sebelum buat ni saya cuma nak buat lagu saja dan bagi pada orang saja. Tapi kalau peluang nak bagi lagu pada orang agak sukar sebab kita sendiri kena cari peluang.

“Saya ambil inisiatif dan buat sendiri. Kalau saya tak buat macam ni saya tak tahu sampai bila orang ada keyakinan nak ambil lagu-lagu ciptaan saya sebab saya bukan komposer terkenal seperti orang lain, tapi minat untuk buat tu ada cuma peluang saja tak ada,” kongsi Ezad tentang semangatnya untuk bertindak sebagai komposer dan penerbit bagi projek baharunya itu.

Untuk makluman, sebelum ini Ezad pernah mencipta beberapa lagu namun namanya tidak menyerlah sebagai komposer.

Antara lagu ciptaan Ezad untuk Exists adalah Dalam Kenangan Dari album Diammu Gunung Berapi, Kau Akan Pulang dan Frustasi dari album Ada serta lagu Bukan Lelaki Itu yang dimuat dalam album Seperti Dulu. Malah Ezad pernah cipta lagu untuk kumpulan New Boyz, Masih Ada Cinta (1999).

Menurut Ezad, lagu “Rasa Cinta” tercipta secara spontan sebaik sahaja proses menyiapkan studio selesai. Ketika memegang gitar, melodi lagu ini hadir dengan begitu mudah.

“Bagi melengkapkan karya tersebut, saya meletakkan kepercayaan kepada Zeana Ramli, isteri dan pengurus saya, untuk menghasilkan lirik kerana saya percaya Zeana mempunyai bakat dalam penulisan.

“Hasilnya, “Rasa Cinta” menjadi karya pertama yang kami hasilkan bersama sebagai pasangan suami isteri,” jelas Ezad.

Ezad sempat menghibur tetamu yang hadir ke majlis pelancaran single baharunya, Rasa Cinta.

Penyanyi bernama sebenar Mohd Rohaizad Mohammad Lazim, 47, mengakui proses menghasilkan lagu “Rasa Cinta'” turut mempunyai cabaran tersendiri.

“Proses menghasilkan lagu ini juga mempunyai cabarannya. Pada ketika itu, saya masih belum mempunyai jurutera bunyi untuk mengendalikan proses rakaman.

“Namun, Alhamdulillah, Allah mempermudahkan perjalanan kami apabila dipertemukan dengan individu-individu yang sudi membantu dan bekerjasama.

“Daripada pertemuan itulah, lahirnya pasukan EZ Record yang menjadi tulang belakang kepada setiap proses penerbitan karya ini. Lebih membanggaka, keseluruhan rakaman “Rasa Cinta” disiapkan sepenuhnya di Studio EZ Record,” katanya.

Bagi melengkapkan keseluruhan projek, video muzik “Rasa Cinta” turut diterbitkan sepenuhnya oleh EZ Record.

Proses penggambaran, suntingan dan pasca produksi dilaksanakan oleh tenaga kerja dalaman syarikat. Idea, konsep dan arahan kreatif video muzik ini merupakan hasil cetusan Ezad bersama pasukan EZ Record, sekali gus membuktikan komitmen beliau dan kru dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan mempunyai identiti tersendiri.

Muzik video lagu “Rasa Cinta” boleh ditonton di saluran YouTube rasmi EZ Record.

Selepas pelancaran Rasa Cinta, EZ Record bakal memperkenalkan barisan artis baharu di bawah naungannya. Antaranya ialah Adree dan Tika Nasir, yang telah pun selesai menjalani proses rakaman lagu di studio EZ Record.

Kedua-dua artis ini dijangka tampil dengan karya masing-masing mengikut perancangan label dalam masa terdekat.

Selain itu, EZ Record turut mempunyai beberapa buah lagu baharu yang telah siap dihasilkan dan kini hanya menunggu waktu yang paling sesuai untuk diperkenalkan kepada umum.

Perancangan ini mencerminkan komitmen EZ Record untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti dan memberi warna baharu kepada industri muzik Malaysia.

KEUNIKAN WARISAN KEBUDAYAAN DAN JAMBATAN TERTINGGI DI DUNIA HANYA DI QIANXI’NAN

Oleh : Nafsiah Jani

10 hinggga 11 September lalu telah berlangsung program bagi memperkenalkan dan mempromosikan Qianxi’nan, Wilayah Guizhou, China di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur oleh Orange Leisure Sdn. Bhd.

Program Promosi Pelancongan dan Kesihatan Kebudayaan Qianxi’nan 2026 ini turut membawa delegasi Kebudayaan dan Pelancongan Qianxi’nan, Wilayah Guizhou, China. untuk mendekati masyarakat tempatan serta para pelancong.

Pengarah Urusan Orange Leisure Sdn. Bhd., Jimmy Goh berkata, program promosi mereka berbeza dengan acara pameran pelancongan konvensional kerana ianya direka berbentuk interaktif dan mesra pengunjung.

Persembahan kebudayaan etnik China di Qianxi’nan, Wilayah Guizhou, China

“Program ini bertujuan memperkenalkan destinasi pelancongan Qianxinan yang terkenal dengan landskap alam semula jadi yang menakjubkan. Antaranya tarikan jambatan tertinggi di dunia iaitu Jambatan Gaung Huajiang sepanjang 200 km. Jambatan ini turut menjadi jambatan penghubung kebudayaan tiga daerah iaitu Zhenfeng, Aniong dan Xingyi.

“Pengalaman manis sepanjang melalui jambatan ini pelancong dapat menikmati pemandangan air terjun yang cukup menakjubkan, menikmati pemandangan hamparan kolam Teratai, merentasi gaung dan gunung ganang yang puncaknya membentuk hutan,” katanya mengenai Wilayah Guizhou yang mempunyai lebih 42 suku kaum orang Asli.

Menurut Jimmy lagi, Para pelawat yang hadir bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan kebudayaan bertaraf antarabangsa, malah berpeluang menaiki pentas untuk mempelajari seni muzik, pergerakan tarian etnik, serta memenangi cenderamata eksklusif dari Qianxi’nan melalui sesi kuiz dan aktiviti atas pentas.

Tetamu diajar mengenai tarian tradisional masyarakat Qianxi’nan, Wilayah Guizhou, China sempena promosi Jambatan tertinggi di dunia iaitu Jambatan Gaung Huajiang.

“Buat masa ini kami sudah ada pakej ke Wilayah Guizhou dan kini masih memilih dua bandar besar untuk dilawati pelancong. Walaupun China mempunyai ramai penduduk Muslim namun masih sukar mencari restoran yang mempunyai logo halal.

“April tahun lepas saya sempat melawat Wilayah Guizhou bersempena dengan promosi jambatan jalan raya tertinggi di dunia di situ. Perancangan mereka untuk meningkatkan GDP dan taraf hidup rakyat dengan menyediakan banyak destinasi pelancongan sebagai tarikan baharu..

“Musim sejuk memang sejuk… musim panas di situ dalam hutan, di bawah 25 atau 23 darjah Celsius…tidak sejuk tetapi sesuai dengan keadaan semasa. Tahun lalu, setiap minggu ada dua penerbangan ke sana dengan setiap pesawat membawa 175 orang penumpang.

Tetamu diberi penerangan mengenai tempat-tempat menarik dan unik di Qianxi’nan, Wilayah Guizhou, China.

Sempena Program Promosi Pelancongan dan Kesihatan Kebudayaan Qianxi’nan 2026, seramai sembilan orang wakil delegasi Qianxi’nan bersama 13 orang pengamal seni warisan kebudayaan dibawakan khas untuk memperkasakan jenama pelancongan kebudayaan Qianxi’nan di samping menggalakkan interaksi budaya antara kedua-dua negara.

Antara persembahan tersebut adalah “Amei Qituo”, sebuah tarian etnik yang diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Tak Ketara Kebangsaan yang juga digelar sebagai “Oriental Tap Dance”. Selain itu, nyanyian tradisi etnik minoriti Bouyei yang dikenali sebagai “Eight-Tone Sitting Song” gabungan nyanyian asli dan lapan jenis alat muzik etnik tradisional.

Persembahan bertenaga dan Tarian Bangku Etnik Miao turut dipersembahkan sebagai penutup tirai acara pentas.

RAJA AZREY KEMBALI MENGARAH, BAWA KISAH PERJUANGAN DOL SAID KE PENTAS TEATER

Oleh: Nafsiah Jani

Kejayaan teater Persidangan Hantu arahan pengarah dan pelakon tersohor Raja Azrey Disember lalu memberi semangat untuknya tampil dengan karya terbaru, Teater Muzikal Dol Said Pahlawan Naning yang bakal dipentaskan pada 9 – 10 Oktober 2026 di Panggung Seri JKKN Melaka.

Teater Muzikal Dol Said Pahlawan Naning sebuah karya sejarah yang mengangkat kisah perjuangan dan keberanian Dol Said, tokoh sejarah Naning yang bangkit menentang penjajahan British.

Muzikal Dol Said Pahlawan Naning, sebuah naskhah yang menggabungkan elemen sejarah, muzikal, lakonan dan hiburan bagi membawa kisah perjuangan tokoh tempatan lebih dekat kepada masyarakat, khususnya kepada generasi muda.

Para pelakon bersama pengarah Raja Azrey ( duduk) selepas menjalani latihan Teater Muzikal Dol Said Pahlawan Naning

Bagi Raja Azrey, kisah Dol Said bukan sekadar sebuah cerita sejarah, tetapi merupakan kisah tentang keberanian, maruah, kepimpinan dan semangat mempertahankan tanah air.

“Saya suka cerita sejarah dan saya takut nak pentaskan sejarah yang saya tak biasa buat berbanding teater Datuk Dol Said penghulu Naning yang ke-9 yang pernah saya pentaskan pada tahun 2014. Teater monodrama lakonan Ungku Hariz Faizal ini menghidupkan lima watak secara bergilir-gilir berbanding kali ini teater muzikal ramai pelakonnya.

“Sejarah sebegini jadi pilihan saya sebab cerita sejarah ini jarang dipentaskan berbanding cerita pahlawan Hang Tuah atau pun Tok Janggut. Saya pentaskan cerita ini bukan kerana saya ada kena mengena dengan Datuk Dol Said.

“Tapi naskhah ini sudah lama dalam simpanan saya. Saya ini jenis orang yang mengkaji dan membaca…itu sebabnya saya nak buat dalam bentuk muzikal. Tak sangka dapat pula geran MOTAC, lagi lajulah langkah saya.”

Menurut Raja Azrey, fokus ceritanya ingin memaparkan seorang yang dipanggil pahlawan dikecewakan anak bangsanya sendiri.

“Seperti kita tahu, Dol Said ini seorang pahlawan Melayu yang cukup berani menentang penjajahan British di Alor Gajah, Melaka. Dol Said pernah dua kali berperang dengan pihak British. Pertama kalinya Dol Said menang, namun dalam peperangan kali kedua, Dol Said kalah disebabkan Rembau berpaling tadah dan tak mahu membantu Naning melawan British, itu sebabnya Naning kalah.

Raja Azrey (kiri) sekali memberi tunjuk ajar kepada Ani Maiyuni ( dua dari kanan) dan pelakon-pelakon.

“Akibat peristiwa tersebut, Dol Said diarah untuk mengundurkan diri dan diberi pencen agar tidak masuk campur dalam urusan pentadbiran di Naning buat selama-lamanya.”

Melalui pendekatan muzikal dan persembahan pentas, produksi ini berharap dapat memperkenalkan sejarah Naning kepada generasi baharu dalam bentuk yang lebih kreatif, segar dan menghiburkan.

Pementasan ini diterbitkan oleh Pondok Karya Kreatif, syarikat milik Raja Azrey yang aktif dalam bidang penerbitan dan produksi kreatif.

Menurut Raja Azrey lagi, dia jarang mengarah teater tapi sekali buat dia pasti akan bersungguh-sungguh

Pengarah berkaliber…Raja Azrey

“Pementasan kali ini agak mencabar kerana kami semua berlatih di Kuala Lumpur dan pementasan nanti di Melaka. Buat pertama kali juga saya tak guna pengarah muzik sebab saya sendiri yang bertindak sebagai pengarah muzik dan buat lagu untuk teater tersebut.

“Ada masa saya akan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk memantau penari-penari latar kerana muzikal ini penggeraknya adalah penari-penari latar tersebut.”

Projek ini turut mendapat sokongan Dana MOTAC serta kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, kelab teater Perkasa Melaka dan di sokong MATIC KL sebagai usaha menyokong penghasilan karya seni tempatan dan memperkasakan penceritaan sejarah serta warisan budaya melalui medium teater.

Jelas Raja Azrey lagi, dana yang kami dapat tak banyak, bawah 100 ribu.

“Selaku produser dan pengarah saya kena bijak menggunakan dana yang sedia ada. Nak ikut buat teater ini kos tinggi, kalau dapat lebih 200k lagi cantiklah pementasannya. Tapi bantuan dana ni dapatlah membantu dan kami juga kenalah berusaha mencari dana tambahan dengan mencari penaja-penaja yang sudi bekerjasama dengan kami.

“Itu sebab sekarang kena guna kebolehan apa yang saya ada dan dengan teknologi sekarang…sedikit sebanyak AI membantu juga. Tapi bukannya saya guna AI 100 peratus kerna saya buat teater ini dengan teliti dan bukan main hentam saja.

“Harap usaha saya berjaya mencari penaja bagi buat dana tambahan. Saya ingin tunjukkan pada pihak MOTAC bantuan mereka cukup membantu dan teater yang saya hasilkan juga cukup hebat.”

Mereka yang ingin menyaksikan persembahan teater muzikal ini segera dapatkan tiket yang berharga RM50 dan RM25. Bagi setiap pembelian tiket gold RM50, penonton bakal membawa pulang cenderamata dan tempat duduk yang cantik. Manakala bagi harga RM25, tempat duduknya terbuka.

Menampilkan bakat-bakat besar tanah air.

Teater Muzikal Dol Said Pahlawan Naning menampilkan barisan pelakon dan penggiat seni tanah air yang terdiri daripada Nasir Bilal Khan (Dol Said), Aris Kadir, Lando Zawawi (Gabenor Ibbetson), Wan Raja (Captain Wyllie), Man Raja Lawak (Yam Tuan Ali Rembau), Ani Mayuni (Isteri Dol Said), Ucop Cecupak (Penghulu Linggi), Riez Radzi, Diwan Nawi dan Hairie.

Gabungan pelakon berpengalaman ini dijangka memberikan warna tersendiri kepada pementasan, selain menjadikan kisah perjuangan Dol Said lebih hidup, menarik dan dekat dengan penonton.

Ada album lebih untung sertai Anugerah Industri Muzik

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEMPENA sambutan Jubli Perak, Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal mencatat sejarah apabila majlis anugerah tersebut buat pertama kali diadakan di Sarawak, bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 26 September ini.

Tahun ini, RIM telah menerima sebanyak 600 pencalonan yang merangkumi karya rakaman yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Sebanyak 135 calon kini telah disenarai pendek merentasi 32 kategori anugerah, mewakili gabungan pelbagai nama terkenal, bakat baharu, artis bebas, pencipta lagu, penerbit serta penggiat industri muzik dari seluruh Malaysia.

Calon lima akhir telah dipilih menerusi proses penjurian yang menyeluruh oleh barisan panel pengamal dan pakar industri muzik yang berkelayakan tinggi daripada pelbagai disiplin, diketuai oleh Ketua Juri, Ajai.

Kali ini juga turut diperkenalkan dua kategori baharu bagi mencerminkan kepelbagaian identiti budaya Malaysia serta perkembangan landskap muzik negara.

Ajai merupakan ketua juri untuk AIM25.

Dua kategori tersebut adalah Lagu Borneo Terbaik mengiktiraf karya muzik cemerlang yang meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi serta identiti unik Sabah dan Sarawak, manakala Lagu Perayaan Terbaik memberi pengiktirafan kepada karya muzik yang mengetengahkan kegembiraan, nilai dan tradisi sambutan perayaan di Malaysia.

Pengenalan kategori-kategori ini memperkukuh komitmen AIM dalam mengiktiraf kepelbagaian industri muzik Malaysia serta meraikan identiti budaya dan tradisi muzik unik yang menyumbang kepada lanskap kreatif negara.

Selaku Ketua Juri untuk AIM25, Ajai berkata, 600 pencalonan kali ini kebanyakannya daripada lagu single dan bukan daripada album penuh.

“Ada 600 pencalonan dan kebanyakan single tapi untuk tahun depan kita nak lebih banyakkan EP atau album penuh. Sebab kalau fikir single kamu akan rugi masa.

Aisha Retno ada lapan pencalonan untuk peringkat akhir AIM25.

“Contoh, kalau ditanya pada orang lama, kamu sudah ada berapa album sejak bergelar artis? Oh saya sudah ada empat album. Itu bermaksud dia ada 40 atau 50 lagu.

“Kalau artis baharu kita tanya, awak berapa tahun dalam industri? Sudah lima tahun. Ada berapa album? Tiga single saja. Kebanyakan lagu yang pergi kepada album terbaik atau lagu terbaik berpandu kepada album penuh.

“Kalau kita nak judge untuk satu lagu boleh tapi tidak ada kepuasan. Apa yang kita nak mereka (artis) rasa adalah kepuasan apabila dia terbabit di dalam sesuatu album tersebut.
Tanpa ada album, dia tak tahu apa konsep dia sebenarnya. Apa directionnya yang sebenar berdasarkan satu lagu saja,” jelas Ajai.

Tambah Ajai, beliau juga ada mencadangkan kepada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) agar tahun hadapan diadakan juga kategori untuk MUA atau mekap artis.

“Saya rasa selain kita ada kategori kulit album kenapa tak diadakan penghargaan untuk jurusolek yang mencantikkan kulit album tersebut,” katanya.

Antara artis yang tersenarai ke peringkat finalis AIM25.

Sementara itu, antara penyanyi yang tersenarai dalam lima finalis akhir AIM25 ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza sebanyak 14 pencalonan daripada album Gema Bumantara.

Antara pencalonan utama ialah Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma, manakala lagu sama turut disenaraikan dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik.

Lebih menarik, Siti menguasai empat daripada lima tempat dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik, menerusi Kesuma, Rencong, Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri.

Album Gema Bumantara turut mara dalam kategori Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik, sekali gus memperlihatkan kekuatan keseluruhan projek berkenaan dari segi penghasilan dan teknikal.

Siti juga memiliki tiga pencalonan dalam kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya, Kumbang Bunga dan Jenjang Cinta.

Tidak terhenti di situ, Pesanan Buat Diri turut bersaing bagi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, manakala Raya Nak Ke Mana? disenaraikan dalam Lagu Perayaan Terbaik.

Selain Siti, penyanyi lain yang mempunyai pencalonan lebih daripada dua ialah Aisha Retno dengan lapan pencalonan, Mimifly enam pencalonan dan Hael Husaini lima pencalonan.

Antara penaja yang memeriahkan malam kemuncak AIM25.

Sementara itu, pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya, bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur diberi tanggungjawab untuk mengendali malam kemuncak AIM25.

Manakala barisan artis terkenal dan bakat baharu yang bakal mengadakan persembahan pada malam itu nanti adalah Adira Suhaimi, Akim Ahmad, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Siti Nurhaliza, Estranged, Hael Husaini, Hafiz Suip, HUJAN, Marsha Milan, Mimifly, Luqman Podolski, Alena Murang, Bunga, Firdhaus, Anggrek dan penyanyi dari Indonesia, Fajar Noor.

Turut bakal memeriahkan persembahan pada malam itu kelak ialah empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik, iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim.

Edisi bersejarah ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi menerusi peruntukan sebanyak RM950,000 di bawah Dana Kandungan Digital (DKK) yang akan disalurkan kepada sejumlah 16 pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures.

Menambahkan lagi kemeriahan malam anugerah, AIM25 turut menampilkan barisan penyampai anugerah yang terdiri daripada artis dan personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan Malaysia.

Antara barisan penyampai anugerah terdiri daripada Amir Jahari, Wany Hasrita, Aina Abdul,
Kaka Azraff, Yonnyboii, Iman Troye, Noraniza Idris, Lah Ahmad, Hazama, Dr. Soo Wincci, Stacy dan Mila Jirin.

Gabungan pengacara, barisan penghibur dan penyampai anugerah ini dirangka bagi mewujudkan pengalaman malam anugerah yang lebih menarik dan dinamik, selain mencerminkan keluasan serta kepelbagaian industri muzik Malaysia.

Kedai Emas Seri Semantan (KESS) taja RM1 juta jayakan Mat Moto Day Volume Two.

Oleh: Nafsiah Jani

Kedai Emas Seri Semantan Sdn. Bhd. (KESS) tampil dengan tajaan RM1 juta bagi menjayakan Mat Moto Day Volume 2 yang bakal menghimpunkan lebih 100,000 peminat motosikal di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan pada 9 dan 10 Oktober depan.

Selain sumbangan tajaan, hadiah cabutan bertuah berupa sebuah rumah bernilai RM450,000, sebuah kereta Mercedes-Benz dan pelbagai hadiah menarik turut menanti peserta bertuah.

Ahli Lembaga Pengarah Emas Seri Semantan Sdn. Bhd., Shaaini Md Jumaat berkata, penglibatan KESS pada penganjuran kali ini adalah julung kali dan dilihat sebagai peluang untuk mendekati komuniti permotoran khususnya golongan muda.

Gambar kenangan …(lima dari kanan) Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat (dua dari kanan) bersama Pengarah Projek, Muhammad Arif Mustapa selepas majlis untuk menjayakan Mat Moto Day, Volume 2 di Kota Bharu Oktober 2026.

“Kita mahu meraikan komuniti permotoran negara tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur, sejajar hasrat KESS memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan peminat motosikal.

“Kami di KESS melihat Mat Moto Day sebagai satu perhimpunan yang menghimpunkan geng motor dan ia bertepatan dengan visi kami untuk membantu memperkukuhkan komuniti,” katanya pada sidang media selepas majlis serahan penajaan Mat Moto Day Volume 2.

Menurut Shaaini, program berkenaan turut memberi ruang kepada KESS memperkenalkan ilmu berkaitan penyimpanan emas kepada golongan muda menerusi booth yang disediakan.

Gambar kenangan majlis tajaan RM1juta KESS sempena Mat Moto Day 9 hingga 10 Oktober ini di Kelantan.

“Impak pertama adalah branding kerana rata-rata golongan permotoran terdiri daripada anak muda. Kita mahu mereka tahu konsep penyimpanan emas yang betul dan di situ KESS boleh berkongsi kemahiran yang ada,” katanya.

Sementara itu, penganjur Mat Moto Day, Muhammad Arif Mustapa berkata, sasaran 100,000 peserta pada edisi kedua itu dibuat selepas penganjuran sulung tahun lalu berjaya menarik lebih 60,000 pengunjung.

“Antara matlamat saya buat Mat Moto Day ini sebab saya tengok terlalu ramai ‘crowd’ di Kelantan. Kita juga mahu tengok mereka boleh bercampur kerana kalau tiada penganjuran, ia akan jadi terabur,” katanya.

Bagi menyertai cabutan bertuah, peserta hanya perlu membeli sehelai baju rasmi Mat Moto Day yang sudah mula dijual sehingga 9 Oktober ini.

Selain cabutan bertuah, pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang dua hari program bagi memeriahkan perhimpunan komuniti permotoran berkenaan.

Wawasan Negara Seperti Kucing?

Oleh: Datuk Omar Mustapha (Naib Presiden Wawasan Negara)

Kucing bukan haiwan yang paling besar. Ia tidak mempunyai kekuatan seekor harimau atau berat seekor gajah. Tetapi kucing mempunyai sesuatu yang sangat berguna untuk hidup: kecekapan menyesuaikan diri, keseimbangan dan keupayaan membetulkan kedudukan ketika jatuh.

Sebab itu, apabila kucing terjatuh, selalunya ia akan sempat memusingkan badannya dan mendarat dengan kaki di tanah. Ia jarang jatuh lalu terus tergolek tanpa kawalan. Badannya bertindak pantas untuk mencari semula keseimbangan sebelum mencecah bumi.

Begitulah sebuah parti yang masih baru dan kecil.

Parti besar mempunyai jentera, wang, sejarah dan ribuan orang. Parti kecil tidak boleh menang dengan cuba menjadi versi kecil parti besar. Ia mesti menang dengan menjadi lebih pantas, lebih tangkas dan lebih tepat.

Apabila keadaan politik berubah, parti kecil boleh mengubah arah lebih cepat. Apabila berlaku kesilapan, ia tidak perlu mempertahankan beban puluhan tahun. Ia boleh belajar, membetulkan kedudukan dan bergerak semula.

Seperti seekor kucing yang jatuh, kelebihannya bukan kerana ia tidak pernah tersilap atau tidak pernah hilang keseimbangan. Kelebihannya ialah keupayaan untuk membetulkan dirinya sebelum sampai ke tanah, supaya apabila mendarat, ia masih berdiri di atas kaki sendiri, bukan tergolek kehilangan arah.

Dan ada satu lagi pelajaran daripada kucing.

Kucing tidak memerlukan ruang yang besar untuk bergerak. Ia mencari celah yang orang lain tidak nampak. Ia mendengar dengan teliti, bergerak dengan senyap dan hanya melompat apabila jaraknya tepat.

Dalam politik, parti baru juga tidak perlu berada di semua tempat sekaligus. Ia hanya perlu mengenal pasti tempat di mana rakyat benar-benar memerlukan pilihan baru, membina kepercayaan di situ, dan membuktikan kemampuannya satu kawasan demi satu kawasan.

Dalam politik, parti baru juga tidak perlu berada di semua tempat sekaligus. Ia hanya perlu mengenal pasti tempat di mana rakyat benar-benar memerlukan pilihan baru, membina kepercayaan di situ, dan membuktikan kemampuannya satu kawasan demi satu kawasan.

Jadi apabila orang berkata Wawasan Negara masih kecil, jawapannya mudah:

Memang kita kecil. Sebab itu kita boleh bergerak lebih cepat.

Memang kita baru. Sebab itu kita masih boleh belajar tanpa dibelenggu tabiat lama.

Dan kalau politik negara ini sedang jatuh hilang keseimbangan, mungkin yang diperlukan bukan parti yang paling besar, tetapi parti yang tahu bagaimana hendak membetulkan kedudukan, mendarat dengan kaki sendiri, dan terus berdiri.

Maka kepada mereka yang di luar sana yang menganggap kami di Wawasan Negara sekadar kucing. Biar saya menjawab. Ya kami mungkin hanya seekor kucing tapi kami berazam dan bertekad untuk menjadi kucing kesayangan rakyat.”

𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐎𝐦𝐚𝐫 𝐌𝐮𝐬𝐭𝐚𝐩𝐡𝐚
𝐍𝐚𝐢𝐛 𝐏𝐫𝐞𝐬𝐢𝐝𝐞𝐧
𝐏𝐚𝐫𝐭𝐢 𝐖𝐚𝐰𝐚𝐬𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚

#WawasanNegara #WawasanNegaraKedah
#WawasanNegaraBahagianLangkawi

Momo Latif menyerlah dalam “Pendekar Bujang Lapok”

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

BAGI para peminat filem Melayu era Studio Jalan Ampas kalau sebut nama Seniwati Momo Latif pasti akan teringat wataknya sebagai ‘isteri Pak Mustar’ dalam filem “Pendekar Bujang Lapok.”

“Pendekar Bujang Lapok” (1959) filem ketujuh arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah menonjolkan bakat Allahyarham Seniwati Momo Latif dalam bidang lakonan yang mana sebelum itu cukup terkenal sebagai penyanyi veteran filem klasik.

LAKONAN Momo Latif sebagai isteri Pak Mustar dan emak kepada Cikgu Ros dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” telah mempopularkan beliau sebagai seorang pelakon yang diminati.
“TOPING Saitan” filem pertama lakonan Momo Latif.

Lakonannya yang bersahaja dengan lontaran dialognya melucukan dan menghiburkan telah menyerlahkan bakat lakonannya dalam filem tersebut.

Momo Latif atau nama sebenarnya Marfuah Makarim dilahirkan pada tahun 1923 di Indonesia berhijrah ke Singapura pada tahun 1930-an. Beliau merupakan ibu kepada 10 orang anak dan penyanyi Kamaliah Latiff adalah satu-satunya anak beliau yang mengikut jejaknya dalam bidang seni dan cukup terkenal sebagai penyanyi pada era 1970-an.

MOMO Latif berlakon sebagai Setanggi ibu kepada Puspawangi lakonan Saadiah dalam dalam filem “Musang Berjanggut.”

Momo Latif mula dikenali sebagai pelakon pada era tahun 1940-an sehingga 1970-an.

Sebelum dikenali sebagai pelakon filem, Momo Latif mula berlakon pentas bangsawan kemudian berpeluang berlakon filem pada zaman kegemilangan filem Melayu.

Filem pertama lakonan beliau adalah “Topeng Shaitan” diikuti filem “Hau Yao Wan” dan “Hoi Ling” pada tahun 1941.

MOMO Latif bukan sahaja terkenal sebagai seniwati berbakat malah mempunyai suara yang lunak sebagai penyanyi.

Bagaimanapun lakonannya yang bersahaja tetapi melucukan dan amat menghiburkan sebagai isteri Pak Mustar (Allahyarham Seniman Mustarjo) dan emak kepada Cikgu Ros (Allahyarham Seniwati Datin Roseyatimah) telah meletakkan nama Momo Latif sebaris dengan nama-nama besar ketika itu antaranya Allahyarham Seniwati Neng Yatimah dan Seniwati Datuk Seri Maria Menado.

Menyerlah dengan wataknya sebagai emak Cikgu Ros, Momo Latif sekali lagi menjadi pilihan P. Ramlee berlakon dalam filem “Musang Berjanggut.”

FILEM “Si Tanggang” turut menampilkan Momo Latiff sebagai pelakon.
AKSI lucu dan menghiburkan Momo Latif

Walaupun hanya muncul beberapa babak dalam filem “Musang Berjanggut” sebagai ibu kepada Puspawangi (Allahyarham Datin Saadiah), lakonan beliau sebagai Setanggi, isteri kepada Kemenyan (Allahyarham Seniman Raden Sudiro) berkesan dan menghiburkan.

Sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, Momo Latif telah membintangi 16 filem antaranya sembilan filem terbitan Studio Jalan Ampas (Shaw Brothers) dan tiga filem keluaran Cathay Keris.

MOMO Latif turut berlakon dalam filem “Sayang Si Buta” arahan Omar Rojik.

Antara filem lakonan Momo Latif “Buloh Perindu”(1953), “Putus Harapan”(1953) arahan BN Rao dengan dua filem arahan P. Ramlee iaitu “Pendekar Bujang Lapok” dan “Musang Berjanggut” pada tahun 1959.

Disamping itu, Momo Latiff turut berlakon dalam tiga filem arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong iaitu “Si Tanggang”(1961), Budi dan Dosa” (1963) dan “Mambang Moden” (1964).

ANTARA lagu nyanyian Momo Latif.

Beliau turut berlakon dua filem arahan Allahyarham Hussain Hanif iaitu “Gila Talak”(1963) dan “Jiran Sekampong”(1965) dan “Sayang Si Buta”(1965) arahan Allahyarham Omar Rojik.

Tiga filem arahan Mat Sentol yang dilakonkan Momo Latif ialah “Mat Toyol,”(1969), “Mat Karong Guni” (1970) dan “Mat Tenggek” (1979).

TIGA seniwati hebat pada era tahun 1950-an sehingga 1960-an. SENIWATI Latifah Omar, Momo Latif dan Hashimah Yon.

Bakatnya sebagai penyanyi bukan sahaja telah memberi peluang beliau menyanyi untuk filem dan di pentas bangsawan malah lagu-lagu nyanyiannya juga sering dimainkan di radio Singapura dan Malaysia.

Lagu-lagu nyanyian Momo Latif yang cukup popular antaranya Tudung Periuk, Tak Jemu Menunggu, Jangan Main Mata, Rayuan Mandolin, Saat Bahagia dan Gemala Hati.

MOMO Latif bersama Latifah Omar.

Kelunakan suaranya telah menemukan Momo Latif dengan P. Ramlee yang mana mereka telah berduet dalam lagu “Merpati Dua Sejoli” dan “Semenjak Berpisah” diikuti “Berdendang Ria” bersama P. Ramlee dan Lena Abdullah.

Disamping itu, Momo Latif turut berduet dengan Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar dalam lagu “Kita Bersumpah,” dan berduet dalam dua lagu “Takut Dimadu” dan “Tari Selendang” dengan Allahyarham Jasni.

ANAK beranak berbakat dalam bidang seni…Momo Latif dan Kamaliah Latif.
MOMO Latif terkenal sebagai salah seorang seniwati yang berjaya membawa watak komedi dalam filem lakonannya.

Momo Latif meninggal dunia pada usia 92 tahun selepas koma beberapa hari kerana darah tinggi di rumah anaknya, Kamaliah Latif, di Woodlands, Singapura pada 5.50 petang 10 Disember 2015.

Allahyarham meninggalkan 10 orang anak dan puluhan cucu dan cicit.

Ramai pelawat yang menziarah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham termasuk kenamaan Singapura antaranya Anggota Parlimen GCR Sembawang, Amrin Amin dan bekas Setiausaha Parlimen Kanan, Yatiman Yusof.

MOMO Latif berduet bersama anaknya, Kamaliah Latif.

Disamping itu rakan artis yang turut hadir seperti Seniwati Hashimah Yon, Seniwati Zaiton, Norsiah Hamid dan Nona Asiah.

Sementara artis veteran dari Malaysia yang turut hadir pada antaranya Razzi M, K. Fatimah, J.A Hakim, Fatimah M. Amin dan Norsiah Hamid.

MOMO Latif (Berdiri dua dari kiri) bersama legenda filem Malayu ziarah pusara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
KENANGAN…Momo Latif (Duduk dua dari kanan) bersama legenda filem Melayu di Restoran Saloma, Jalan Ampang (Kini tidak beroperasi lagi)

Jenazah Allahyarham Momo Latiff disemadikan di Pusara Abadi, You Chu Kang selepas solat Jumaat.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

SYED Wafa (Penulis) mengabadikan kenangan bersama Momo Latif.

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Teater Muzikal Mansur & Liu tonjol banyak pengajaran

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA anda adalah peminat teater, jangan lepaskan peluang menonton Teater Muzikal Mansur & Liu yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 10 September hingga 20 September ini.

Buat julung kalinya juga, maestro seni tanah air, Datuk M. Nasir mengemudi sebuah teater muzikal sebagai sutradara, menghadirkan sebuah karya yang lahir daripada jiwa seorang seniman, berpaksikan sejarah bangsa namun dipersembahkan dengan roh yang merentas zaman.

Teater Muzikal Mansur & Liu, bukan sekadar mengisahkan pertemuan antara Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming, bahkan menyingkap sebuah zaman yang menyaksikan diplomasi mengatasi sengketa, kebijaksanaan mengatasi kekuatan dan kasih merapatkan dua empayar yang dipisahkan oleh lautan.

Sultan Mansur sewaktu menyamar sebagai Putih.

Sekali gus karya tersebut menghidupkan kembali satu daripada kisah paling agung yang terakam dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dalam bahasa seni.

Daripada dunia muzik hingga ke pentas lakonan, segala bakat dipersatukan bagi menzahirkan Mansur & Liu, sebuah persembahan yang bukan sahaja menghidupkan kembali sejarah, bahkan meraikan kebesaran warisan seni Melayu dengan segala kemuliaannya.

Maka seia sekatalah empunya naskhah menghimpunkan para seniman terbaik tanah air dalam satu muafakat yang boleh diibaratkan sebagai titian diplomasi seni.

Sultan Mansur berlawan dengan pahlawan Siam yang cuba untuk menakluk Melaka.

Watak Sultan Mansur Shah digalas oleh Aliff Aziz, manakala Melinda Dadew dipilih menghidupkan peribadi Puteri Liu. Meskipun mereka pertama kali beraksi di pentas teater, namun masing-masing berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diberi oleh pengarah.

Panggung Mansur & Liu turut dijayakan oleh barisan pelakon seperti Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad yang beraksi menerusi watak bala tentera, dayang dan inang istana.

Penulis berkesempatan menonton teater yang berdurasi tiga jam itu pada 9 September lalu yang dipentaskan dikhas untuk para media dan tetamu jemputan.

Pertemuan Sultan Melaka dengan Lin Hao dari China.

Perkara pertama yang menarik perhatian penulis sebagai penonton adalah busana yang dipakai oleh barisan pelakon daripada watak sultan hinggalah kepada rakyat jelata.

Selaku penerbit, syarikat Roman Abadi yang diterajui M.Nasir dan Datin Marlia Musa serta Icon Entertainment tidak memandang remeh perihal busana yang dipakai oleh setiap pelakon berdasarkan watak yang dibawa.

“Memang banyak bajet yang kami peruntukan untuk kostum. Kami mahu penonton bukan saja melihat jalan cerita tapi juga menghargai pakaian tradisional kita,” kata Marlia.

Untuk watak Sultan Mansor saja, beliau tampil lebih daripada lima persalinan menerusi karakter yang ditonjolkan termasuk sewaktu menyamar sebagai Putih dan pahlawan misteri.

Sultan Mansur tetap memilih Puteri Lui sebagai temannya.

“Pertukaran persalinan pakaian perlu dilakukan dengan pantas. Saya berterima kasih kepada semua departmen yang telah bertungkus lumus untuk memastikan saya dan pemain yang lain dapat siap dalam tempoh yang sangat cepat.

“Ini adalah satu cabaran baharu buat saya dan as we go along, saya yakin semua akan berjalan dengan lebih lancar. Saya harap persembahan pertama ini menjadi titik permulaan untuk saya memberikan lakonan yang terbaik buat tatapan penonton, insya-Allah.

“Tipulah kalau kata saya tak rasa gementar, tapi as we go along saya rasa tenang. Energi di pentas itu adalah satu energi dengan rakan-rakan pelaku yang kita sudah berlatih bersama. Kita saling membantu antara satu sama lain,” kata Aliff mengenai tangungjawabnya sebagai pelakon utama untuk teater tersebut.

Selain menampilkan busana yang menarik, teater yang turut diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan dan pemuzik profesional itu juga berjaya menarik perhatian penonton untuk latar belakang pentas atau backdrop teater.

Teater ini berlangsung dalam tempoh tiga jam dan dipersembahkan dalam dua segmen.

Latar belakang pentas adalah tirai atau elemen visual besar yang dipasang di bahagian belakang panggung untuk membangun suasana dan menunjukkan latar tempat sebuah cerita.

Elemen ini berfungsi sebagai dinding dekoratif yang melengkapi tampilan panggung agar cerita terlibat lebih hidup seperti menggubah panggung menjadi istana, laut atau jalanan kota sesuai alur cerita.

Meskipun yang ditonjolkan di pentas hanyalah prop yang digabungkan dengan penggunaan teknologi moden ia tetap tampak menarik.

Selain itu, perjalanan teater ini juga sedikit sebanyak akan membuatkan hati penonton jadi panas apabila melihat perangai Syahbandar, lakonan Amerul Affendi yang sanggup menggadai keamanan Melaka kepada tentera Siam.

Kalau di zaman Kesultanan Melayu Melaka, tugas Syahbandar merangkumi aspek pentadbiran pelabuhan tradisional seperti mengutip cukai pelabuhan daripada pedagang dan mengawal keluar masuk kapal.

Melihat kerakusan Syahbandar yang tidak taat pada Sultan, hati penulis terus terfikir apa akan jadi pada Malaysia jika pemimpin yang diberi tanggungjawab tidak melaksanakan dengan baik tapi sanggup bersubahat dengan musuh untuk memusnahkan negara sendiri.

Barisan pelakon teater Mansur & Lui bersama pengarah selepas pementasan pertama selesai, baru-baru ini.

Teater yang menampilkan lebih 30 buah lagu dan skor muzik asli ciptaan M. Nasir menjadi nadi penceritaan, menyatukan lenggok tradisi Melayu dengan susunan orkestra kontemporari, sehingga setiap adegan mengalir bagaikan bait-bait syair yang bernyawa.

“Lebih daripada sebuah pementasan, Mansur & Liu merupakan pengalaman yang mengundang khalayak menyeberangi batas masa.

“Mansur & Liu juga bukan cinta semata-mata yang menjadi paksi cerita. Di sebalik pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, tersirat hikmah tentang maruah sebuah bangsa, kebesaran sebuah kerajaan, kesetiaan kepada tanah air, kebijaksanaan dalam berunding serta indahnya persahabatan antara dua tamadun besar yang saling menghormati,” ujar Iman Tang mewakili Icon Entertainment.

Tambahnya lagi, seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, Mansur & Liu diharap menjadi lambang kekuatan seni persembahan negara, sekali gus memperkenalkan keagungan warisan Melayu kepada khalayak tempatan dan antarabangsa melalui bahasa teater yang indah, agung dan merentasi zaman.

Bagi yang ingin menonton, sila ke https://www.ticket2u.com.my/MansurdanLiu untuk mengetahui kategori tiket dan harga.

JCPAC rai kreativiti, suara penggiat seni tempatan

Oleh: Khadijah Ibrahim

MULAI bulan ini, peminat teater dan seni persembahan pentas tanah air bakal dihidangkan dengan kepelbagaian naskhah menarik di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway City Kuala Lumpur yang merupakan mercu tanda budaya dan lokasi seni persembahan bertaraf dunia yang baharu.

Justeru itu, JCPAC memberi peluang kepada pengkarya mengetengahkan persembahan yang lebih fleksibel, eksperimental dan mesra penonton menerusi The Studio, ruang black-box berkapasiti 150 penonton.

Pengarah JCPAC, Melissa Teoh berkata, kewujudan The Studio melengkapkan ekosistem seni persembahan di pusat berkenaan, selain membuka lebih banyak ruang untuk pengkarya bereksperimen serta mengembangkan bakat.

Gavin Yap memberitahu yang Fork It adalah pementasan tentang identitinya yang berdarah campur.

“JCPAC bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi simbol keyakinan terhadap cerita, suara, ekspresi dan bakat anak Malaysia. Di sini, kreativiti penggiat seni tempatan disatukan, diraikan dan diketengahkan di bawah satu bumbung yang kekal, bertaraf dunia dan milik sebenar kita.

“Dengan adanya The Studio, kita membuka lebih banyak ruang untuk pengkarya bereksperimen, menguji idea baharu dan mengembangkan bakat mereka dalam suasana pementasan yang lebih dekat serta akrab dengan audiens,” katanya.

Komitmen tersebut dibuktikan menerusi deretan naskhah yang disusun khas bagi mengisi kalendar seni di The Studio sepanjang musim ini.

Eurydice mengajak penonton merasai kedukaan dan ikatan emosi seorang wanita.

Untuk permulaan, The Studio membuka tirai persembahan dengan pementasan solo berjudul Fork It oleh pengarah dan pelakon Gavin Yap, bermula 11 hingga 13 September 2026.

Pementasan kali ini amat berbeza berbanding dua versi terdahulu yang pernah mencetus fenomena di Bobo KL.

Menggabungkan elemen autobiografi dan fiksyen dari sudut pandang seorang lelaki berdarah campuran di Malaysia, Gavin menjelaskan naskhah ini terhasil secara organik menerusi kembara kenangan di meja makan.

Ghafir Akhbar menjelaskan, Eurydice diwarnai elemen fantasi yang unik, humor spontan dan imaginasi teater yang kreatif.

“Bukan semua cerita dalam pementasan Fork It berkisar mengenai saya. Ada cerita autobiografi dan ada juga cerita fiksyen.

“Contohnya cerita menu Hainanese Chicken Chop yang mana saya mengolah idea mengenai sejarah masakan tersebut. Cerita ini berdasarkan teori sendiri, namun disampaikan dalam bentuk komedi.

“Fork It adalah pementasan tentang identiti saya yang berdarah campur, tetapi disampaikan menerusi cerita tentang makanan. Saya tidak merancangnya, ia terjadi secara organik,” katanya.

Gandingan tiga legenda teater tanah air iaitu JoKukathas, Anne James dan Sukania Venugopal dalam Eurydice.

Gavin optimis naskhah itu dekat di hati sesiapa sahaja kerana ia mengangkat realiti dan pengalaman hidup masyarakat Malaysia.

Selepas Fork It selesai, bermula 18 September ini, penonton bakal menonton pementasan berjudul Eurydice, yang merupakan karya tersohor finalis Hadiah Pulitzer, Sarah Ruhl yang diterajui oleh pengarah berpengalaman, Ghafir Akhbar.

Naskhah ini mengetengahkan mitos klasik Yunani, Orpheus dan Eurydice yang dilakonkan oleh Vinna Law sebagai pusat penceritaan.

Bukan sekadar kisah cinta romantis, Eurydice mengajak penonton merasai kedukaan dan ikatan emosi apabila seorang wanita berada di persimpangan antara cinta dunia nyata bersama Orpheus dan kasih sayang seorang bapa (lakonan Terence Swampillai) di alam ingatan.

Pengarah JCPAC, Melissa Teoh.

“Berbanding pementasan sama yang sering mengagungkan kembara Orpheus, pementasan Eurydice kali ini mengangkat perjuangan, identiti dan hubungan emosi wanita tersebut.

“Jauh daripada penceritaan yang suram, Eurydice diwarnai elemen fantasi yang unik, humor spontan dan imaginasi teater yang kreatif,” kata Ghafir.

Eurydice turut dimantapkan lagi dengan gandingan tiga legenda teater tanah air iaitu JoKukathas, Anne James dan Sukania Venugopal sebagai trio penuh karisma dari alam ghaib.

Pengisian seni di The Studio tidak berhenti di situ. Menjelang penghujung tahun, penonton bakal disajikan dengan dua lagi pementasan berimpak tinggi.

JCPAC merupakan mercu tanda budaya dan lokasi seni persembahan bertaraf dunia yang baharu.

The Failed Romances yang bakal dipentaskan dari 12 – 15 November depan mengetengahkan kisah percintaan yang tidak berakhir seperti yang diharapkan, selain menyelami sisi realiti perhubungan manusia.

Sementara itu, Thrown yang mengambil pentas bermula 19 – 29 November depan pula mengangkat tema berat dan mendalam mengenai identiti, memori serta trauma zaman kanak-kanak.

Selain The Studio, JCPAC turut mempunyai The Grand Theatre, sebuah auditorium utama berkapasiti 1,200 penonton untuk persembahan berskala besar.

Tiket bagi pementasan di JCPAC boleh didapatkan secara dalam talian menerusi laman webrasmi: CloudJoi.

FELDA DAN PERKESO PERKUKUH JARINGAN PERLINDUNGAN SOSIAL, PERKASA KESEJAHTERAAN KOMUNITI FELDA

Oleh : Nafsiah Jani

Kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diperkukuh menerusi Memorandum Kerjasama (MoU) yang bakal menjadi pemangkin kepada penyelarasan serta pelaksanaan operasi yang lebih cekap, bersepadu, dan berimpak tinggi dalam menyantuni keperluan Komuniti FELDA.

Kesepakatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua agensi untuk menggembleng kepakaran, rangkaian, dan jaringan masing-masing dalam memperluas perlindungan keselamatan sosial, program pencegahan, perkhidmatan rehabilitasi, serta peluang pekerjaan kepada seluruh ekosistem Kumpulan FELDA merangkumi peneroka, suri rumah, generasi baharu, petugas, pekerja asing, majikan, dan perusahaan.

Majlis pemeteraian MoU ditandatangani Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Ahmad Syaarani Azulan, manakala PERKESO diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, serta Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr. Hafez Hussain.

Sesi tersebut turut disaksikan Pengerusi FELDA, Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawal Selia FELDA, Encik Ahmad Tarmizi Zakaria dan Ahli Lembaga FELDA, Encik Abd Halim Abd Majid.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman berkata, inisiatif ini merangkumi perlindungan keselamatan sosial, keselamatan dan kesihatan, rehabilitasi, sokongan kembali bekerja, serta pembangunan kerjaya bagi meningkatkan kebolehpasaran generasi baharu.

“Kerjasama ini diharap dapat meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan sosioekonomi Komuniti FELDA melalui jaringan perlindungan serta peluang pembangunan yang lebih menyeluruh. Usaha ini sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan, dan terangkum tanpa membiarkan mana-mana golongan tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Ia turut melibatkan aktiviti advokasi, pendaftaran pencarum, pemudahcaraan pembayaran caruman, khidmat nasihat dan tuntutan faedah bagi komuniti yang layak. Dari aspek keselamatan dan kesihatan, program kesedaran, latihan, penaksiran risiko, serta saringan kesihatan pekerja termasuk saringan khusus bagi pemandu kenderaan berat turut dilaksanakan secara bersama.

“Skop kerjasama ini diperluas menerusi penawaran skim LINDUNG Kasih bagi suri rumah serta LINDUNG Kendiri untuk peneroka, petugas, dan organisasi di bawah Kumpulan FELDA, di samping penekanan terhadap pengurusan kes, advokasi pematuhan, dan penyelarasan inisiatif A-CARE SIM Card bagi pekerja asing. “

Para VVIP FELDA dan PERKESO bergambar kenangan selepas majlis MoU di Menara Felda, Kuala Lumpur.

Suzana Idayu menambah lagi, bagi memperkasakan generasi baharu FELDA, pelbagai program turut dirancang merangkumi pemprofilan dan padanan pekerjaan melalui MYFutureJobs, kaunseling kerjaya, latihan kebolehpasaran, program intervensi, serta penganjuran karnival kerjaya.

“FELDA dan PERKESO juga bakal memperluas advokasi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi, kontraktor, vendor, serta pembekal bagi meningkatkan pematuhan dan akses kepada perkhidmatan PERKESO.“

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Mohammed Azman Aziz berkata, kerjasama strategik ini membuka ruang untuk mendekati Komuniti FELDA secara lebih tersusun serta memastikan akses yang menyeluruh kepada perlindungan sosial dan peluang pekerjaan.

“Pelaksanaannya akan dijalankan secara berperingkat menerusi program rintis, kempen, seminar, latihan, saringan, dan penempatan pekerjaan yang dipersetujui bersama, dengan kelayakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang, kadar caruman, serta syarat skim yang berkuat kuasa.”