Home Blog Page 6

Olympia Education Malaysia sertai program ‘Mengenang Tun Abdul Razak’

Oleh: Nafsiah Jani

Olympia Education Malaysia meneruskan komitmennya memupuk kesedaran sejarah, patriotisme dan jati diri kebangsaan menerusi penyertaan dalam Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: ‘Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif World Islamic Economy Development (WIED), Olympia Education Malaysia, Azrin Sabirin berkata, institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada sekadar melahirkan graduan, sebaliknya perlu membentuk generasi yang memahami sejarah dan menghargai sumbangan pemimpin terdahulu.

“Pendidikan tidak seharusnya hanya menyediakan generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan sebaliknya perlu membentuk insan yang memahami sejarah negara. Mereka juga perlu menghargai pengorbanan serta sumbangan pemimpin terdahulu, kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab dalam membentuk masa depan negara Malaysia.

Antara pihak pengurusan Olympia Education Malaysia yang hadir memberi sokongan sempena program mengenang Tun Razak.

“Wawasan dan legasi Tun Abdul Razak Hussein amat selari dengan aspirasi Olympia Education Malaysia menerusi Merdeka Institute Malaysia, khususnya dalam menghubungkan pendidikan dalam pembangunan negara, kepimpinan, perpaduan dan kesedaran sejarah.

“Tun Abdul Razak memahami bahawa sesebuah negara tidak boleh dibangunkan melalui infrastruktur dan pembangunan ekonomi semata-mata. Pembangunan insan, pendidikan, perpaduan serta peluang kepada rakyat merupakan asas kepada sebuah negara yang kukuh dan mampu bersaing.

“Olympia Education Malaysia melihat sejarah sebagai sesuatu yang perlu diceritakan, dibincangkan dan dikaitkan dengan realiti semasa. Pengajaran dari masa lalu dapat diterjemahkan kepada nilai yang mampu membimbing generasi seterusnya. Nilai-nilai inilah yang perlu terus kita amalkan dan pertahankan, bukan sekadar dikenang,” katanya.

Program anjuran Arkib Negara Malaysia itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Program berkenaan turut menampilkan Sesi Pengkisahan ‘Kisah dari Sri Taman’ yang menampilkan Datuk Sri Mohamed Nizam Tun Abdul Razak, Tun Musa Hitam dan Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak dengan sesi dipengerusikan Tan Sri Johan Jaaffar.

Para pelajar bergambar kenangan bersama pensyarah dan pihak pengurusan tertinggi Olympia Education Malaysia selepas majlis.

Kehadiran empat ahli Jemaah Menteri ini dalam program mengenang negarawan itu menyerlahkan betapa legasi Tun Abdul Razak dalam pembangunan, perpaduan, pendidikan dan pembinaan negara masih mempunyai kaitan besar dengan usaha membentuk masa depan Malaysia.

Selain itu, Sesi Bicara Negarawan membincangkan kepimpinan, wawasan dan legasi Tun Abdul Razak serta peranan Rukun Negara dalam memperkukuh perpaduan nasional dengan penglibatan Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Penyertaan Olympia Education Malaysia itu merupakan kesinambungan kerjasama dengan Arkib Negara Malaysia menerusi Kembara Merdeka Olympia 2026 pada 24 dan 25 Ogos lalu yang bertujuan mendekatkan warga Olympia dan masyarakat kepada sejarah negara, patriotisme serta tanggungjawab sosial.

Menurut Azrin lagi, generasi muda bukan sahaja perlu memahami pembangunan yang dilakukan pemimpin terdahulu tetapi sebab ia dibangunkan dan tanggungjawab mereka untuk meneruskan legasi berkenaan.

“Persoalan asasnya masih sama, apakah yang boleh kita sumbangkan kepada negara? Kita mahu generasi muda bukan hanya bertanya apa yang negara boleh berikan kepada mereka, tetapi juga apakah nilai, ilmu dan kepimpinan yang boleh mereka sumbangkan kepada Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, Olympia Education Malaysia melalui Merdeka Institute Malaysia akan terus menyokong inisiatif berkaitan sejarah, patriotisme, kepimpinan dan pembinaan negara bagi memastikan nilai serta pengajaran daripada sejarah terus dekat dengan generasi baharu.

Bagi Olympia Education Malaysia, mengenang Tun Abdul Razak selain melihat kembali sejarah lalu, sebuah negara dibina perlu turut difahami dan generasi seterusnya dipastikan mempunyai ilmu, kesedaran dan keberanian untuk meneruskan pembinaannya.

 

Kedai Emas Seri Semantan taja Kelantan City FC RM2 juta

Oleh : Nafsiah Jani

Kedai Emas Sri Semantan (KESS) secara rasmi tampil sebagai penaja utama pasukan Kelantan City FC (KCFC) bagi saingan Liga Semi-Pro A1 musim ini dengan nilai tajaan mencecah RM2 juta untuk sepanjang musim 2026/27 ini.

Pasukan yang kini menduduki tangga keempat liga dengan satu kemenangan dan satu seri menjadi pilihan KESS untuk penajaan tersebut.

Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood menjelaskan bahawa kehangatan serta kesetiaan penyokong Kelantan menjadi faktor utama yang memikat hati pihaknya untuk memeterai kerjasama berkenaan.

Ketika sidang media diadakan.

“Vibe penyokong KCFC amat kuat dan dan sokongan ini melekat pada jiwa saya melihat sokongan padu tersebut. Jadi kekuatan penyokong itu sesuai dengan apa yang kami terapkan di Kedai Emas Sri Semantan iaitu komuniti. Sokongan mereka dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berbelah bahagi dan itu membuatkan saya teruja untuk menaja pasukan KCFC untuk Liga A1,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini menjelang perlawanan pusingan kedua Piala FA antara KCFC dan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Pada perlawanan itu, KCFC layak ke suku akhir Piala FA selepas menumpaskan NSFC dengan aggreget 4-3.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Datuk Ahmad Razali Azmi dan Pegawai Perhubungan Korporat KESS, Muhammad Fadzli Saud.

Sebelum ini, KESS pernah menyalurkan tajaan bernilai RM4 juta kepada pasukan Liga Super, Sabah FC. Namun, bagi saingan Liga Semi- Pro A1, pelaburan awal RM2 juta disalurkan khusus bagi menyokong kebangkitan arena bola sepak tempatan.

Pengerusi KESS, Mohamad Hafizal Haji Mahmood (tiga dari kanan) menyampaikan penajaan RM2 juta kepada pasukan bolasepak Kelantan City FC.

Pihak penaja turut mempamerkan komitmen jangka panjang dengan menawarkan suntikan dana yang jauh lebih besar sekiranya KCFC berjaya melangkah ke saingan Liga Super musim depan.

“Pasukan ini terdiri daripada pemain-pemain muda dan semangat mereka cukup kuat. Sekiranya layak ke Liga Super, Insya-Allah kami berbesar hati untuk menaja KCFC sebanyak RM5 juta lagi sebagai pembakar semangat kepada mereka. Saya yakin mereka boleh melakukannya,” tambah beliau lagi.

Bagi memastikan tajaan tersebut memberikan pulangan positif, KESS meletakkan sasaran agar pasukan dapat bersaing di kelompok teratas Liga Semi-Pro A1 selain membantu mengangkat semula martabat bola sepak Negeri Kelantan.

“Kami di KESS dah tentulah nak pihak KCFC menjuarai ataupun mendapat tempat tiga terbaik di atas. Selain daripada itu, kami nak mengangkat martabat bola sepak di Kelantan serta menggalakkan sektor korporat lain turut serta membina bola sepak di negeri masing-masing.”

Menyentuh isu kebajikan pemain dan isu kewangan pasukan yang sering menjadi persoalan dalam arena bola sepak tempatan, pihak penaja memberi jaminan bahawa aspek pembayaran gaji akan diberi perhatian serius.

“Yang itu saya memang cukup ambil berat. Pembayaran kita boleh buat setiap bulan secara berperingkat dan berkala. Saya yakin dengan kemampuan KCFC kerana mereka dibarisi anak muda yang mempunyai semangat luar biasa.”

Majlis permerteraian kerjasama penajaan KESS dan Kelantan City FC.

Sementara itu, Mohamad Hafizal menyifatkan penglibatan Kedai Emas Sri Semantan sebagai pendorong utama dalam mengembalikan era kegemilangan bola sepak Kelantan. Beliau turut berkongsi bahawa pasukan itu kini disokong oleh gabungan bekas pemain legenda dan pengurusan berpengalaman.

“Liga A1 ini bukan KCFC sahaja yang ada, tetapi arena bola sepak negara kita sebelum ini dipegang oleh negeri Kelantan sebagai pembuka jalan. KCFC kini melibatkan bekas pemain yang pernah menjuarai tiga piala dahulu (X-Treble Kelantan) dan pengurusan turut dibantu oleh Tan Sri Annuar Musa.

“Kami ingin mengembalikan aura bola sepak Kelantan supaya Liga A1 bukan semata-mata liga amatur bawahan, tetapi mampu memberi cabaran kepada Liga Super,” jelasnya lagi.

Selain tajaan kewangan, KESS turut menyediakan kelengkapan lengkap termasuk 5 hingga 6 rekaan jersi bagi tujuan latihan dan perlawanan, serta tajaan kasut untuk semua pemain dan staf pasukan. Perjanjian persefahaman (MOU) antara kedua-dua pihak telah pun dimeterai di Kota Bharu lalu.

KESS kini sudah mempunyai 28 cawangan kedai di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk sebuah kilang emas di Shah Alam.

20,000 peserta sertai Malaysia Sarong Music Run 2026

Oleh: Khadijah Ibrahim

KIRA-KIRA 20,000 peserta tempatan dan antarabangsa akan berhimpun di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pada 19 September ini bagi menjayakan Malaysia Sarong Music Run 2026 edisi ketiga.

Di acara berkonsepkan budaya ini, peserta akan menggayakan kain sarung sepanjang larian, di samping menikmati persembahan muzik, aktiviti kebudayaan dan pelbagai pengisian interaktif untuk seisi keluarga.

Malaysia Sarong Music Run terus mengetengahkan warisan negara melalui pendekatan yang segar dan dekat dengan masyarakat masa kini.

Acara ini membawa mesej bahawa kain sarung bukan sekadar bahan pameran, sebaliknya merupakan sebahagian daripada identiti dan kehidupan rakyat Malaysia yang merentasi kaum serta generasi.

Pelbagai corak, warna dan gaya yang ditampilkan mencerminkan kepelbagaian budaya negara serta nilai kebersamaan yang diwarisi sejak turun-temurun.

Acara Sarong Music Run 226 bukan sekadar mengajak peserta berlari saja tapi juga untuk menikmati budaya.

Gabungan elemen tradisional dengan format larian serta persembahan muzik menjadikan acara ini lebih dekat dan relevan kepada generasi muda.

“Edisi ketiga ini mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap acara yang menggabungkan gaya hidup sihat dengan penghargaan terhadap budaya.

“Kami mahu setiap peserta bukan sahaja pulang dengan pengalaman larian yang menghiburkan, tetapi juga dengan rasa bangga terhadap warisan Malaysia,” kata Pengasas Malaysia Sarong Music Run, Eddy Casmady.

Jelasnya, kain sarung dipilih sebagai simbol utama acara kerana penggunaannya yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, Malaysia Sarong Music Run turut berpotensi memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan budaya.

Antara barisan penaja yang bakal memeriahkan Malaysia Sarong Music Run 2026 pada 19 September ini.

Acara ini menawarkan pengalaman yang membolehkan para pengunjung menghayati kepelbagaian tradisi, muzik dan keramahan rakyat Malaysia.

Pelantikan Jetour sebagai penaja utama memperkukuh kerjasama antara pihak penganjur dengan sektor korporat dalam menjayakan program berasaskan komuniti.

Sokongan tersebut membantu memperluas jangkauan acara serta meningkatkan pengalaman peserta sepanjang Malaysia Sarong Music Run 2026.

Kali ini Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal memimpin bacaan ikrar Malaysia Sarong Music Run 2026 dengan diiringi oleh Christy Ng, Pinn Yang dan Bengap Brothers.

Terdapat tiga kategori dianjurkan pada 19 September ini, iaitu 5KM Speed, 5KM Fun Run dan 3KM Fun Run. Pelepasan peserta bagi larian 5km Malaysia Speed bakal disempurnakan oleh Presiden Jetour International, Ke Chuandeng yang dijadualkan pada awal program serta konvoi melibatkan 100 buah kenderaan Jetour T1 dan T2.

Manakala acara utama iaitu larian 5KM Fun Run Malaysia Sarong Music Run 2026, termasuk bagi kategori 3KM akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kemeja-T yang bakal dipakai oleh peserta yang mendaftar untuk menyertai Malaysia Sarong Music Run 2026 pada 19 September ini.

Antara acara sampingan yang dijadualkan berlangsung pada hari bersejarah itu ialah persembahan pembukaan bertemakan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, pelancaran model baharu Jetour dan konsert oleh kumpulan Hujan pada sebelah malam.

Apabila malam menjelang, para peserta dan pengunjung akan disajikan dengan satu lagi persembahan istimewa iaitu pertunjukan 1,000 buah dron yang akan menerangi ruang udara Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang mahu berlari dengan penampilan paling bergaya, anda mungkin terpilih sebagai pemenang untuk pertandingan Pakaian Tercantik dalam tiga kategori iaitu Kategori Lelaki, Perempuan dan Keluarga.

Dalam menghayati semangat Hari Malaysia yang menyatu padukan jiwa dan sukma rakyat Malaysia, bendera sepanjang 2KM akan diarak sepanjang jalan Kuala Lumpur sebagai manifestasi rasa sayang kepada negara Malaysia yang tercinta ini.

“Inilah yang kami ingin bawakan melalui Malaysia Sarong Music Run 2026, sebuah acara yang bukan sekadar mengajak rakyat untuk berlari, tetapi untuk menikmati budaya, meraikan kepelbagaian dan mencipta pengalaman bersama.

“Kemeriahan tidak terhenti di garisan permulaan. Sepanjang laluan larian, para peserta akan disambut dengan pelbagai persembahan kebudayaan di setiap checkpoint,” katanya lagi.

Di checkpoint 1 yang diperkasakan oleh ION Spritzer selaku penaja minuman utama Malaysia Sarong Music Run 2026, peserta akan dihiburkan dengan persembahan Multicultural Dance yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.

Manakala di checkpoint 2 di hadapan Pavilion Kuala Lumpur yang diuruskan oleh Tiger Balm, peserta berpeluang menonton persembahan Battle of Dikir Barat yang merupakan salah satu seni persembahan tradisional yang cukup sinonim dengan budaya Melayu.

Apabila tiba di checkpoint terakhir, anda boleh menikmati empat jenis kuih tradisional yang disediakan oleh Sri Talamaz. Jumlah keseluruhan kuih yang bakal disajikan adalah sebanyak 40,000 keping agar peserta dapat menikmati rasa warisan Malaysia selepas melengkapkan larian.

Kata Eddy, apabila 20,000 manusia melangkah ke jalan yang sama, memakai simbol yang sama dan meraikan semangat yang sama, itu membuktikan bahawa perbezaan tidak pernah menghalang kita untuk berdiri bersama..

Kenapa ayah halang Mariam Baharom jadi anak wayang?

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

APABILA sebut nama Mariam Baharom pasti nama ‘Mariam Tahi Lalat’ terbayang di fikiran anda kerana realitinya walaupun namanya berlainan tetapi orangnya tetap sama dan beliau berjaya mencipta nama sebagai salah seorang seniwati popular dan diminati ramai pada zaman kegemilangan filem Melayu pada era tahun 1950-an sehingga 1960-an.

Bagi Allahyarham Seniwati Mariam Baharom, tidak pernah beliau menduga bermula sebagai pelayan di sebuah restoran dengan para pengunjung yang ramai termasuk beberapa pekerja di Studio Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas yang mengesyorkan beliau mencari peluang berlakon membawa beliau menjadi bintang.

MARIAM Baharom mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila menjadi heroin pada muda ketika berusia 15 tahun dalam filem “Kembar.”

Mariam yang sekadar mahu melihat penggambaran akhirnya berpeluang menjalani ujibakat yang turut dihadiri Fatimah Othman, Junaidah, Junainah, Neng Yatimah dan beliau. Namun akhirnya Mariam dan Neng Yatimah terpilih menjadi pelakon di MFP.

Seniwati Mariam Baharom dilahirkan pada 2 Ogos 1935 di Jalan Dusun, Balestier Road, Singapura. Ibu kepada tujuh orang anak iaitu tiga daripada perkahwinan pertama dengan Abdul Latiff dikurniakan dua anak lelaki yang menjadi pelakon kanak-kanak terkenal iaitu Allahyarham Bad Latiff, Rafi Latiff dan Hamimah. Melalui perkahwinan kedua bersama penyanyi Rahim Hamid yang digelar Nat King Cole Singapura, beliau dianugerahkan empat orang anak dengan yang sulung penyanyi terkenal Rahimah Rahim, Rahman, Hamidah dan Rozie yang juga mencipta nama sebagai penyanyi terkenal di Singapura.

TUJUH Puteri “Selendang Delima” dilakonkan Puteri Sulong, Mariam Baharom dan Puteri Bungsu, Latifah Omar.
Sementara lima lagi watak puteri dilakonkan Norsiah Yem, Misliah, Emilia, Halimah dan Angalina.

Menurut Mariam Baharom, melalui ujibakat itu beliau terpilih menjadi pelakon, namun hasratnya itu terhalang gara-gara gambarnya sebagai pelakon filem tersiar di majalah.

“Bapak ni warak orangnya. Bila dapat tahu saya nak berlakon bapak tak setuju. Saya masih ingat apa yang bapak cakap dan saya memang terkejut.

MARIAM Baharom berpasangan dengan P. Ramlee dalam filem “Anjoran Nasib.”

“Bapak beritahu mak, bapak tak suka saya jadi anak wayang. Tapi…mak jawab, kalau anak dah suka mak izinkan,” cerita Mariam Baharom ketika diinterbiu seorang wartawan suatu waktu dahulu.

Sejak itu, bermulalah perjalanan hidup Mariam sebagai pelakon dalam empat filem terbitan Shaw Brothers antaranya “Nilam” (1949) diikuti filem “Aloha,” “Dewi Murni” dan “Kembar” pada tahun 1950.

LAKONAN hebat Mariam Baharom berpasangan dengan P. Ramlee dalam filem “Anjoran Nasib.”

Filem “Kembar” arahan S. Ramanathan buat pertama kalinya memberi peluang Mariam menjadi pelakon utama apabila pengarahnya memberitahu ‘mahu menjadikan Mariam heroin’ berpasangan dengan M. Amin. Filem ini telah menjulang namanya sebagai bintang filem setanding dengan Siput Sarawak dan Kasma Booty.

Turut berlakon dalam filem ini ialah D. Haris, Siti Tanjong Perak, Jaafar Wariyo, Ulong Jawa, Ainon Fiji dan Aini Jasmin sebagai penari.

MARIAM Baharom atau dikenali ‘Mariam Tahi Lalat.’
MARIAM Baharom dan P. Ramlee berpasangan dalam salah satu filem lakonan mereka.

Kemudian pada tahun 1952, beliau berlakon dalam filem “Aladin” arahan BS Rajhans berpasangan dengan Jaafar Wariyo diikuti filem “Anjoran Nasib.”

Mariam Baharom yang meminati Siput Sarawak setelah melihat lakonannya dalam filem “Chinta” (1948) juga pernah berpasangan dengan Yusof Latiff dalam filem “Kipas Hikmat” arahan S. Ramanathan pada tahun 1955.

MARIAM Baharom berpasangan dengan M. Amin dalam filem “Kembar.”

Populariti Mariam berada di kemuncak apabila buat pertama kalinya berpeluang berlakon dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem “Anjoran Nasib” arahan BS Rajhans. Selain berlakon Mariam mempamerkan bakatnya sebagai penari.

Lakonannya dalam filem ini telah melayakkan beliau memenangi gelaran ‘Bintang Pujaan Wanita Malaya Kedua’ yang dianjurkan oleh Majalah Filem Raya pada tahun 1953.

SENIWATI pujaan ramai…Normadiah, Mariam Baharom, Saadiah (adik beliau) dan Dayang Sofea.

Mariam juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Pelakon Veteran Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-15 (FFM) pada tahun 2001 dan FFM ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 2009.

Selepas filem berkenaan, sekali lagi Mariam berlakon disamping P. Ramlee dalam filem “Abu Hassan Penchuri” (1955) arahan BN Rao. Turut berlakon dalam filem ini Nordin Ahmad, Daeng Idris dan Ahmad C.

MEMILIKI wajah cantik menawan dan tahi lalat pemanis muka menjadikan Mariam Baharom antara heroin popular pada tahun 1950-an.

Selepas filem berkenaan, Mariam Baharom bersara dari berlakon untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan rumahtangganya.

Bagaimanapun pada tahun 1958, Mariam kembali berlakon dengan membintangi filem “Selendang Delima” arahan KM Basker terbitan Cathay Keris. Selain Mariam, filem ini dibintangi Seniwati Maria Menado, Latifah Omar, M. Amin, Abdullah Chik dan Mahmud June.

FILEM “Pusaka Pontianak” dengan pelakon utama Ahmad Mahmud dan Saadiah. Turut membintangi filem ini Mariam, Haji Mahadi, Aziz Sattar, Kuswadinata dan Ahmad Daud.

Disamping itu, beliau turut berlakon dua filem Shaw Brothers iaitu “Antara Dua Darjat” dan “Seniman Bujang Lapok.”

Bagaimanapun ketika namanya kembali meniti di bibir para peminatnya, Marian Baharom telah memilih untuk bersara dari dunia seni oleh sebab tertentu.

MARIAM Baharom bersama anaknya, penyanyi legenda Rahimah Rahim semasa kecil.

Sesungguhnya seniwati sejati, Mariam Baharom sanggup melakonkan apa jua watak yang diberikan kepadanya.

Disebabkan itu tidak hairanlah beliau sanggup menerima dua tawaran berlakon daripada P. Ramlee iaitu sebagai pembantu rumah dalam filem “Antara Dua Darjat” (1960) dan isteri jiran motosikal bising dalam “Seniman Bujang Lapok” (1961).

BAT Latif merupakan pelakon kanak-kanak Melayu pertama yang juga merupakan anak Mariam Baharom yang mengikuti jejak beliau, menerima anugerah Pelakon Kanak-Kanak Lelaki Terbaik di Pesta Filem Asia Pasifik di Tokyo kerana lakonannya dalam filem “Batu Belah Batu Bertangkup.”
Turut menerima anugerah ialah P. Ramlee.
KENANGAN Wafa (penulis) bersama seniman hebat Bat Latif.

“Untuk menjadi seniwati sejati, bagi saya bukan watak yang penting tetapi bagaimana kita menghayati watak yang dilakonkan,” kata Mariam.

Mariam dikatakan orang yang bertanggungjawab membawa adiknya, Allahyarham Seniwati Datin Saadiah berlakon sehingga menjadi pelakon terkenal.

WAFA bersama Rozie yang juga mengikuti ibu tercinta sebagai anak seni.

Sepanjang 15 tahun penglibatannya sebagai pelakon, Mariam telah membintangi hampir 20 filem antaranya “Orang Minyak” dan “Selendang Delima”(1958), “Gul Bakawali,” “Gila Talak” dan “Masok Angin Keluar Asap” (1963), “Pusaka Pontianak” (1965) dan filem terakhir “Si Murai” (1968).

Mariam Baharom meninggal dunia pada usia 75 tahun pukul 5.50 pagi pada 9 Ogos 2010 di kondominiumnya di Yishun, Singapura.

WAFA (penulis) bersama penyanyi legenda Rahimah Rahim yang begitu bangga mempunyai seorang ibu, seniwati legenda Mariam Baharom.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Abadi, Choa Chu Kang dengan dihadiri Nona Asiah dan Seniwati Hashimah Yon.

Kami di Ladybosz mendoalan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.


Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Rozita Rohaizad Kembali Gegarkan Solo

Oleh: Syed Yusof Wafa

Belum pun reda bahang kejayaan penampilannya di Solo Keroncong Festival 2026, penyanyi versatil Malaysia, Rozita Rohaizad, sekali lagi mencipta detik istimewa di pentas muzik tradisional Indonesia apabila tampil bersama Karawitan ISI Surakarta pada Festival Gamelan Nusantara 2026.

Hanya sebulan selepas memukau penonton menerusi persembahan bersama Royal Surakarta Symphony Orchestra di Solo Keroncong Festival 2026, Rozita kembali ke Solo untuk meneroka satu lagi khazanah muzik Nusantara — gamelan.

Persembahan tersebut bukan sekadar memperlihatkan kemampuan Rozita menyesuaikan diri dengan genre muzik tradisional yang berbeza, malah menjadi manifestasi kecintaan beliau terhadap warisan muzik Nusantara serta keinginan untuk membina lebih banyak jambatan seni antara Malaysia dan Indonesia.

Bagi Rozita, peralihan daripada genre yang selama ini dekat dengan dirinya seperti pop, blues, jazz dan irama Melayu kontemporari kepada muzik keroncong dan gamelan bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Namun, sokongan serta sambutan menggalakkan daripada komuniti muzik keroncong dan gamelan di Indonesia telah membuka ruang baharu dalam perjalanan seninya. Daripada pengalaman tersebut, lahir keinginan untuk terus bekerjasama dengan penggiat seni Indonesia dalam memperkukuh, mengembangkan dan memperkenalkan kedua-dua genre tradisional itu kepada khalayak yang lebih luas.

Lebih penting, kerjasama rentas negara ini membawa satu aspirasi besar — mendekatkan muzik warisan Nusantara kepada generasi muda agar keroncong dan gamelan tidak sekadar dikenang sebagai tinggalan masa lalu, sebaliknya terus hidup, berkembang dan mendapat tempat dalam landskap muzik masa kini.

Dengan karakter vokalnya yang tersendiri, Rozita memberikan dimensi baharu kepada karya-karya tradisional. Penyampaian beliau yang lembut, bersahaja namun penuh penghayatan memberikan sentuhan kontemporari tanpa mengorbankan keindahan, jiwa dan identiti asal muzik berkenaan.

DARI KERONCONG KE GAMELAN

Pada Solo Keroncong Festival 2026 yang berlangsung pada 18 dan 19 Julai 2026, Rozita diiringi Royal Surakarta Symphony Orchestra dan mempersembahkan dua buah lagu dalam susunan keroncong kontemporari yang bertenaga.

Persembahan tersebut menerima sambutan positif daripada media tempatan, peminat muzik keroncong serta para pengunjung festival, sekali gus membuka lembaran baharu dalam eksplorasi muzik tradisional Rozita.

Tidak lama selepas itu, pada 21 Ogos 2026, Rozita kembali ke pentas Solo menerusi Festival Gamelan Nusantara 2026, yang julung kali dianjurkan di bandar berkenaan.

Kali ini, beliau mempersembahkan sebuah lagu rakyat Jawa, “Gethuk”, bersama sebuah ensembel gamelan Jawa muda yang menghimpunkan para sarjana muzik dari Surakarta, Banyumas, Banyuwangi dan Bali.

Persembahan tersebut turut menampilkan Nami Higuchi, pemuzik kendang gamelan dari Jepun, yang bergabung bersama ensembel berkenaan — satu lagi gambaran bagaimana muzik tradisional Nusantara mampu merentas sempadan geografi dan budaya.

Diiringi alunan gamelan Jawa, Rozita menyampaikan “Gethuk” menerusi vokalnya yang lembut, merdu dan menenangkan, sekali gus memberikan warna tersendiri kepada karya rakyat tersebut.

Persembahannya mendapat sambutan para tetamu kehormat serta pengunjung yang hadir, membuktikan bahawa muzik tradisional masih mempunyai daya tarikan yang kuat apabila dipersembahkan dengan pendekatan yang segar dan dekat dengan jiwa pendengar masa kini.

Persembahan tersebut bukan sekadar memperlihatkan kemampuan Rozita menyesuaikan diri dengan genre muzik tradisional yang berbeza, malah menjadi manifestasi kecintaan beliau terhadap warisan muzik Nusantara serta keinginan untuk membina lebih banyak jambatan seni antara Malaysia dan Indonesia.

MENGHUBUNGKAN WARISAN, GENERASI DAN NEGARA

Dua penampilan dalam tempoh yang begitu hampir — daripada keroncong kepada gamelan — memperlihatkan bukan sahaja versatiliti Rozita Rohaizad sebagai seorang penyanyi, tetapi juga kesediaan beliau untuk terus keluar daripada zon selesa dan meneroka kekayaan muzik tradisional Nusantara.

Lebih daripada sebuah persembahan, penglibatan Rozita di kedua-dua festival tersebut mencerminkan potensi besar kerjasama seni rentas negara antara Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain dalam mengangkat muzik warisan kepada khalayak antarabangsa.

Bagi Rozita, muzik tradisional tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang hanya dimiliki oleh generasi terdahulu. Sebaliknya, ia adalah warisan hidup yang boleh terus diterokai, diberi nafas baharu dan dikongsi bersama generasi masa kini.

Melalui kolaborasi seperti ini, beliau berharap muzik keroncong dan gamelan akan terus mendapat ruang, perhatian dan penghargaan — bukan sahaja di Nusantara, malah di pentas dunia.

Daripada Malaysia ke Solo, daripada keroncong ke gamelan — Rozita Rohaizad membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan, dan warisan akan terus hidup apabila ada insan yang berani membawanya ke hadapan.

Sudah 30 tahun, Ungu tetap di hati peminat

Oleh: Khadijah Ibrahim

PASTI Malaysia Cliquers atau peminat kumpulan Ungu masih lagi bercerita tentang persembahan band yang berasal dari Indonesia itu.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 dan berasal dari Jakarta itu sudah ‘berusia’ 30 tahun dalam bidang seni.

Justeru itu, sempena konsert terkini mereka di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 September baru-baru ini kumpulan tersebut memilih tema “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”.

Kumpulan Ungu memulakan persembahan di konsert ‘Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur’ dengan lagu “Cindai”.

Untuk makluman, Dasawarsa bermaksud tempoh masa sepuluh tahun atau dekad. Perkataan Dasawarsa berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu dasa yang bermaksud “sepuluh” dan warsa membawa maksud “tahun”.

Konsert anjuran COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment, diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu pada tahun ini.

Kehadiran hampir 4,000 penonton pada malam itu membuktikan karya dan muzik kumpulan yang dianggotai oleh Pasha selaku vokalis, Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram) terus dekat di hati peminat Malaysia selepas tiga dekad.

Anggota kumpulan Ungu mengenakan busana baju Melayu yang dilengkapi tanjak menarik perhatian penonton.

Boleh dikatakan setiap bait lagu yang dinyanyikan oleh Pasha atau Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 47, turut didendangkan bersama oleh penonton yang larut dalam perjalanan muzik Ungu yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Ungu memulakan persembahan pada 8.50 malam dan memilih lagu popular biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu “Cindai” sebagai pembuka tirai.

Pasha yang mengenakan baju Melayu beserta tanjak itu, turut menarik perhatian penonton kerana selain menyanyikan lagu tradisional tersebut, beliau juga melakukan persembahan silat di atas pentas.

Marsha Milan berduet dua lagu dengan Pasha pada konsert tersebut.

Beliau kemudian meneruskan persembahan dengan lagu “Cinta Gila”, “I Need You”, “Ciuman Pertama”, “Hampa Hatiku” dan “Percaya Padaku”.

Persembahan kemudiannya bergerak ke sisi lebih romantik dan emosional menerusi “Sejauh Mungkin”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, sebelum penonton kembali dibuai nostalgia menerusi “Gerimis Mengundang”, “Andai Ku Tahu” dan “Bila Tiba”.

Setiap lagu seolah-olah membuka kembali satu bab dalam kehidupan para peminat, daripada kisah cinta, kehilangan, harapan sehinggalah kenangan yang pernah menjadi latar perjalanan mereka.

Antara detik paling dinantikan penonton pada malam itu adalah untuk menonton kolaborasi Pasha dengan penyanyi undangan, Marsha Milan.

Kumpulan Ungu masih bertahan sehingga sekarang kerana karya mereka malar segar dan dekat dengan hati pendengar.

Duet pertama mereka adalah lagu religi “Bismillah Cinta” yang ditulis oleh Pasha, dendangan beliau bersama Lesti Kejora yang dikeluarkan pada 2021.

Kemudian Pasha dan Marsha disatukan menerusi lagu “Tercipta Untukku” yang dikeluarkan pada 2005 menerusi album studio ketiga Ungu iaitu “Melayang”. Malah lagu itu juga pernah dihasilkan semula dalam versi kolaborasi antara Pasha dengan Rossa.

Kemunculan Marsha disambut sorakan gemuruh, sebelum kekuatan vokal dan penghayatan kedua-dua pihak menghasilkan dua persembahan yang penuh chemistry dan emosi.

Bagi Marsha, peluang berkongsi pentas bersama Ungu dalam sambutan tiga dekad mereka merupakan sebuah pengalaman yang cukup istimewa.

“Saya sangat teruja dan terharu kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada malam yang begitu bermakna buat Ungu dan peminat mereka.

Malaysia Cliquers atau peminat Ungu tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Pasha.

“Lagu-lagu Ungu sudah begitu dekat dengan hati ramai orang, jadi dapat menyanyikannya bersama mereka di hadapan ribuan peminat adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” kata Marsha.

Selepas segmen istimewa bersama Marsha, Ungu kembali menguasai pentas menerusi “Utara – Selatan”, “Aku Tahu” dan “Kekasih Gelapku”.

Namun, kemuncak nostalgia hadir apabila “Demi Waktu” dipersembahkan. Hampir seluruh ruang Idea Live Arena bergema dengan nyanyian ribuan peminat yang menghafal setiap lirik, mencipta salah satu momen paling mengesankan sepanjang malam.

Buat Pasha, sambutan tersebut menjadi bukti bahawa perjalanan tiga dekad mereka bukan hanya mengenai pencapaian kumpulan, tetapi juga hubungan yang dibina bersama peminat.

“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang. Ada banyak cerita, cabaran dan kenangan yang kami lalui. Tetapi apabila melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu-lagu kami bersama-sama, kami rasa sangat bersyukur. Mereka adalah sebahagian daripada perjalanan Ungu,” ujar Pasha.

Hampir 4,000 penonton hadir ke Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 September lalu, untuk menonton persembahan Ungu.

Sebagai lagu penutup, Ungu memilih “Seperti Mati Lampu”, sekali gus mengakhiri persembahan dalam suasana penuh tenaga, sorakan dan kegembiraan.

Sebagai lagu penutup, Ungu memilih “Seperti Mati Lampu”, sekali gus mengakhiri persembahan dalam suasana penuh tenaga, sorakan dan kegembiraan.

Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio, sambutan luar biasa daripada peminat menjadikan malam tersebut satu pencapaian yang amat bermakna.

“Kami sangat bersyukur hampir 4,000 peminat hadir untuk meraikan tiga dekad Ungu bersama-sama. Dari awal, kami mahu menghasilkan sebuah konsert yang bukan sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang meninggalkan kenangan.

“Melihat peminat menyanyi, tersenyum dan menghayati setiap lagu bersama Ungu malam ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran Marsha turut memberikan dimensi istimewa kepada keseluruhan persembahan.

“Kolaborasi Marsha bersama Ungu benar-benar menjadi salah satu detik istimewa malam ini. Ia memberikan warna yang berbeza dan pada masa sama memperlihatkan bagaimana muzik mampu menyatukan artis dan peminat merentasi generasi,” ujarnya.

Zaki Yamani “Akur” dengan suratan takdir

Oleh: Khadijah Ibrahim

SETIAP tahun pihak Sony Music Entertainment Malaysia akan berusaha mencari bakat baharu untuk diketengahkan.

Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong tidak menafikan pihaknya mendapat banyak profil daripada pelbagai label yang mahu berkolaborasi dengan mereka.

Namun apabila nama Zaki Yamani diperkenalkan oleh pengasas A Cap Records, Kimmy Khir kepadanya, beliau tidak menolak dan berminat untuk bekerjasama dengan penyanyi muda itu.

Menerusi kerjasama itu, lahirlah lagu “Akur” nyanyian Zaki yang kini boleh didengar di semua platform penstriman digital.

Dari kiri, Kenny Ong, Kimmy Khir bersama Zaki Yamani di majlis pelancaran single terkininya, baru-baru ini.

“Setiap tahun pihak Sony Music akan cari bakat baharu terutama lokal artis untuk kita develop, promote dan pasarkan. Kita dapat banyak profil daripada label luar dan bila saya nampak profil Zaki, saya terus jumpa dengan dia dan emaknya.

“Kita bincang apa yang telah dia buat sehingga sekarang. Kita mula bekerjasama dengan Zaki untuk lagu raya bersama Merah dan sampai sekarang.

“Sony ada perkara penting yang selalu kita tengok pada bakat baharu. Bukan saja boleh menyanyi tapi kalau boleh tulis lagu sendiri lagi bagus. Itu penting kerana lagu itu mesti mewakili artis itu. Kalau lagu dari orang lain memang okey tapi tak sejati.

“Sebab itu kami selalu lihat penyanyi yang boleh menulis lirik. Kalau bukan seluruh lagu tapi sekurang-kurangnya ada sesuatu seperti lirik ke, dari segi melodi ke. Penyanyi itu kena ada peranan dalam lagu itu, bukan setakat menyanyi saja.

Elemen kedua yang Sony lihat adalah bakat yang bukan saja boleh nyanyi tapi boleh perform live. Ada ramai artis kat Malaysia kalau kat TikTok mereka boleh nyanyi tapi kalau live memang hancur.

Menghibur tetamu yang hadir dengan lagu “Akur” yang turut membabitkan Zaki Yamani sebagai penulis lirik bersama.

“Saya ada tengok video Zaki nyanyi live dan sangat impress. Bagi saya Zaki adalah artis baharu yang ada keistimewaan tersendiri. Dia hard working, passionate, very fokus dan profesional serta steady,” ulas Ong tentang kelebihan Zaki yang membuatkan pihak Sony Music sedia bekerjasama.

Bagi Kimmy Khir pula, beliau melihat Zaki atau nama penuhnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, sebagai seorang penyanyi muda yang serba boleh.

“Daripada tahun lepas sehingga tahun ini pelbagai perkara telah kami lalui bersama, sehingga lahirnya lagu “Akur” ini.

“Saya sangat bangga dengan pencipta lagu ini, Amzar Razqa dan Bunga, yang turut menulis lirik bersama Zaki Yamani yang memberi idea untuk beberapa baris ayat dalam lagu ini.

“Pada A Cap mereka berjaya melaksana tugasan dengan baik. Sepanjang proses pembikinan, saya melihat Zaki sangat berbakat kerana dia ada mengambil beberapa footage untuk dimuatkan dalam video muzik.

Seramai 20 peminat bertuah hadir memeriahkan majlis pelancaran single baharu Zaki Yamani.

“Dia datang berjumpa kami, untuk minta bimbingan untuk terus maju dan berjaya dalam bidang ini. Kami A Cap ni seperti universiti untuk orang yang nak jadi penyanyi atau artis. Kami mengajar mereka apa hak yang perlu ada, siapa networking yang ada dan kita kenalkan dengan Sony Music waktu itu kerana saya tahu Sony amat berminat dengan Zaki ketika itu.

“Zaki bukan setakat boleh menyanyi, dia miliki semuanya. Dia rajin dan suka bekerja. Dia punya kesungguhan untuk berada dalam industri ini dan semangatnya itu sangat mengagumkan.

“Team saya seronok bekerjasama dengan dia kerana dia banyak idea. Idea-idea yang dia beri memang kena dengan apa yang sedang dilakukan.

“Setelah menyaksikan sendiri semangat dan keberaniannya berkarya, kami “Akur”, Zaki sememangnya dilahirkan untuk ini. It’s your time to fly high!,” kata Kimmy penuh bangga.

Bagi Zaki, menerusi single “Akur” beliau mengajak pendengar menyelami sebuah perjalanan tentang cinta, perubahan hati dan keberanian menerima sebuah pengakhiran yang tidak pernah diminta.

Zaki Yamani bersedia untuk mencuba pelbagai genre muzik di masa akan datang.

Beliau yang merupakan anak kedua kepada Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah menjelaskan yang “Akur” bukan sekadar sebuah lagu tentang patah hati, tapi membawa persoalan yang mungkin pernah terlintas dalam fikiran sesiapa sahaja yang pernah ditinggalkan.

Bagi Zaki, cabaran terbesar dalam membawakan “Akur” adalah mencari keseimbangan antara menyampaikan kesedihan dan memastikan setiap emosi yang dilontarkan kekal jujur. Dia tidak mahu kesedihan dalam lagu ini kedengaran seperti dipaksa.

Sebaliknya, Zaki memilih untuk menyampaikan setiap bait dengan lebih terkawal, seolah-olah mewakili seseorang yang sedang cuba menerima kenyataan meskipun hatinya masih belum benar-benar bersedia untuk melepaskan.

“Memang mencabar untuk membawa emosi “Akur” kerana saya tak mahu terlalu memaksa rasa sedih itu. Saya cuba sampaikan dengan sejujur mungkin.

“Bagi saya, apabila kita benar-benar kecewa, kadang-kadang kita tak perlu pun terlalu menunjukkan kesedihan itu.Ada rasa yang lebih kuat apabila kita pendam dan cuba terima dengan tenang,” kata Zaki.

Antara baris yang cukup kuat dalam lagu ini adalah “Apa kurang ku di matamu?”, sebuah persoalan ringkas yang membawa beban emosi cukup besar.

Bagi Zaki, di sebalik ayat itu sebenarnya tersembunyi satu persoalan yang lebih peribadi, “Kenapa saya masih tak cukup untuk awak?”.

“Saya rasa ramai pernah berada dalam situasi apabila kita sudah cuba memberikan yang terbaik dalam sesuatu hubungan, tetapi akhirnya kita tetap bukan orang yang dipilih. Masa itu kita mula tertanya-tanya apa yang kurang pada diri kita.

https://share.google/I7HxvvQJGeQlU9zoI

Mila Jirin mahu mencuba nasib di Indonesia

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELALUNYA radio-radio tempatan tidak membatas lagu-lagu yang bakal disiarkan di stesen radio masing-masing, asalkan karya tersebut sedap didengar.

Justeru itu, kita kerap mendengar lagu-lagu penyanyi dari Indonesia sering diputarkan di corong radio tempatan kerana muzik tiada batasan.

Mungkin orang Malaysia lebih bersikap terbuka berbanding negara jiran kerana boleh ‘dikira dengan jari’ berapa banyak lagu artis Malaysia yang mendapat tempat di stesen radio mereka.

Itu pun masih ada syaratnya kalau mahu lagu penyanyi Malaysia diputarkan di sana, lirik perlu diubah suai, berbeza dengan Malaysia yang tidak mengenakan apa syarat selagi karya tersebut tidak melanggar sebarang akta.

Mila terharu apabila lagu “Cukup Sudah Cukup” mendapat perhatian stesen radio di Indonesia.

Di antara penyanyi Malaysia, mungkin Mila Jirin yang beruntung buat masa ini kerana single keduanya, “Cukup Sudah Cukup” mendapat perhatian stesen radio utama negara itu, termasuk Gen FM dan Prambors FM.

Lagu tersebut mendapat tempat di stesen radio di sana mungkin kerana “Cukup Sudah Cukup” merupakan hasil kolaborasi Mila bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala lirik dihasilkan oleh Aisah Rizky.

Seperti mana lagu “Masing-Masing” nyanyian Ernie Zakri yang berkolaborasi dengan komposer Ade Govinda, sehinggakan lagu tersebut dipilih menjadi runut bunyi sinetron “Luka Cinta”.

Bagi Mila atau nama lengkapnya, Norsyamila Jirin, 39, perkembangan tersebut memberi petanda positif kepada perjalanan baharu seninya, yang kini bukan sahaja mahu membina semula momentum muziknya di Malaysia, malah mula memperkenalkan karya dan vokalnya kepada pendengar Indonesia.

Berbeza daripada pelancaran single pertamanya, “Tersimpan Dalam Hati”, “Cukup Sudah Cukup” tidak disertai dengan sidang media atau acara pelancaran khas di Malaysia.

Lagu “Cukup Sudah Cukup” mudah mendapat perhatian pendengar di sana kerana ia dicipta oleh komposer Indonesia, Ilham Baso.

Sebaliknya, lagu itu diedarkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan secara berperingkat karya-karya daripada album baharu Mila kepada pendengar di kedua-dua negara.

Bagi Mila, apabila “Cukup Sudah Cukup” mula diputarkan di radio Indonesia, ia merupakan satu perkembangan yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi ketika beliau masih berada pada peringkat awal membina pengenalan di pasaran tersebut.

“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan “Cukup Sudah Cukup” sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.

“Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.

Jelas Mila, keseluruhan proses produksi audio lagu tersebut dilakukan di Jakarta, merangkumi susunan muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering.

Katanya lagi, kerjasama itu menjadi antara langkah awal beliau untuk membina jaringan kreatif di Indonesia sambil mencari warna dan perspektif baharu untuk album yang sedang dipersiapkan.

Mila turut melakukan penggambaran video muzik lagu tersebut di Indonesia juga.

“Kerjasama dengan Ilham Baso bermula daripada muzik. Saya sukakan cara beliau memahami emosi sesebuah lagu dan bagaimana sesuatu melodi boleh dibawa supaya lebih dekat dengan pendengar.

“Daripada situ, saya melihat ada ruang untuk saya meneroka lebih banyak kolaborasi di Indonesia. Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” jelas Mila.

Melengkapkan perjalanan “Cukup Sudah Cukup”, muzik video rasmi lagu tersebut turut menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu.

Muzik video itu dihasilkan oleh Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan oleh Wahyu Taufani Prialangga, sekali gus meneruskan kesinambungan kolaborasi kreatif Malaysia–Indonesia yang dibawa menerusi projek tersebut.

Momentum di Indonesia akan diteruskan apabila Mila dijadualkan memulakan siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini.

Kunjungan tersebut akan menjadi antara sesi pengenalan secara langsung Mila bersama stesen-stesen radio dan media di Indonesia, selain membuka peluang untuk beliau berkongsi dengan lebih dekat mengenai “Cukup Sudah Cukup” serta perjalanan muzik baharunya.

Mila mahu konsisten melakukan promosi untuk memastikan perjalanan seninya terus berkembang di Malaysia dan Indonesia.

Bagi Mila, langkah itu perlu dilakukan secara konsisten dan bukan sekadar bergantung kepada pengedaran lagu secara digital.

“Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan-lahan dan membina hubungan dengan mereka.

“Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul. Kalau pendengar Indonesia mula mengenali Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya.

Lagu “Cukup Sudah Cukup” merupakan single kedua daripada album baharu Mila Jirin yang bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Album tersebut menandakan fasa baharu perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menghimpunkan beberapa karya serta kolaborasi melibatkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia.

Bagi Mila, usaha tersebut bukan bermakna meninggalkan pasaran Malaysia, sebaliknya membawa karya muziknya ke ruang yang lebih luas.

“Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini.

“Album ini sangat penting kepada saya kerana ia menandakan satu fasa baharu selepas sekian lama. Saya mahu setiap lagu mempunyai perjalanan dan ceritanya sendiri. Kalau “Cukup Sudah Cukup” menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya.

Muzik video rasmi “Cukup Sudah Cukup” boleh mula ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos di pautan: https://youtu.be/p4oQfIoSiZI.

Lagu tersebut juga boleh didengar menerusi semua platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform digital lain.

Misha Omar bakal tonjol kelainan di showcase ‘Aku & Lelaki’

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEMPENA konsert meraikan 25 tahun perjuangan seninya yang bakal berlangsung pada tahun hadapan, penyanyi Misha Omar mengambil pendekatan untuk mengadakan showcase terlebih dahulu.

Showcase eksklusif kali ini berjudul ‘Aku & Lelaki’ yang akan berlangsung pada 24 Oktober 2026, jam 8.30 malam di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor.

Sebelum ini, Misha telah meraih kejayaan menerusi siri showcase ‘Back to Basic’ yang diadakan di lokasi yang sama pada 21 Disember 2024 sebelum beliau menjayakan konsert ‘DiA Misha Omar’ di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 29 November 2025.

Berbeza daripada persembahan sebelum ini, ‘Aku & Lelaki’ mengetengahkan konsep yang lebih segar di samping meraikan keseimbangan dua sisi yang saling melengkapi iaitu maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan serta kehilangan dan harapan.

Showcase ‘Aku & Lelaki’ adalah ruang untuk Misha meneroka lagu-lagu yang beliau kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muziknya.

Persembahan itu kelak bakal meraikan keindahan pelbagai emosi yang hadir dalam setiap perjalanan hidup, sama ada daripada rasa cinta, kehilangan, kerinduan, galau sehingga kepada kegembiraan dan harapan.

Setiap lagu yang bakal didendangkan nanti dipilih dengan teliti bagi membentuk sebuah penceritaan yang menampilkan keseimbangan antara elemen maskulin dan feminin selari dengan identiti showcase ini.

Selain mempersembahkan lagu-lagu popular daripada katalog peribadinya, Misha turut akan memberikan interpretasi tersendiri kepada lagu-lagu ikonik yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.

Dengan kekuatan vokal, kehalusan emosi serta keupayaan Misha menghidupkan setiap karya, showcase ini dijangka menjadi sebuah persembahan yang menggabungkan elemen nostalgia, penghargaan terhadap muzik, dan pengalaman artistik yang intim.

Untuk showcase ini Misha bakal mendendangkan lagu-lagu nyanyian penyanyi lelaki dari Malaysia dan luar negara.

“Saya tidak mahu peminat mendengar perkara yang sama setiap kali kita bertemu. ‘Aku & Lelaki’ adalah ruang dan peluang saya untuk meneroka lagu-lagu yang saya kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muzik saya.

“Namun pada masa yang sama, saya masih dan akan tetap membawa identiti saya sebagai seorang penyanyi wanita.

“Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan saya berharap showcase ini dapat membuat penonton pulang dengan kenangan yang istimewa,” kata Misha mengenai showcase yang tidak pernah dilakukan oleh penyanyi lain.

Bagi memastikan persembahan mencapai standard produksi yang diidamkan, ‘Aku & Lelaki’ menghimpunkan barisan tenaga kreatif berpengalaman diterajui oleh Pengarah Muzik, Ee Jeng yang bertanggungjawab menyusun keseluruhan muzik dan persembahan secara segar dan eksklusif.

Tiket untuk showcase ini sudah dijual, jangan ketinggalan untuk membeli

Arah persembahan pula dipimpin oleh Jennifer Thompson manakala aspek teknikal dikendalikan oleh Simon bagi memastikan pengalaman visual dan audio yang terbaik buat para peminat kesayangannya.

Showcase ini dianjurkan oleh Double M Productions dengan pengurusan konsert oleh Altus Prohouse sekali gus menjanjikan sebuah produksi berkualiti yang pasti memenuhi jangkaan peminat muzik tempatan.

Sebagai pembuka tirai menuju konsert ulang tahun ke-25 Misha Omar, ‘Aku & Lelaki’ bukan sekadar sebuah showcase tetapi suatu malam yang meraikan muzik, nostalgia dan emosi yang menyatukan Misha dengan para peminat yang setia mengiringi perjalanan seninya selama lebih dua dekad.

Tiket untuk menonton showcase ini boleh dibeli di ‘Aku & Lelaki’ 2026 Showcase by Misha Omar | Ticket2u

Juara Universe Earth International 2026 akan wakili Malaysia ke peringkat antarabangsa

Oleh: Khadijah Ibrahim

BARU-BARU ini telah berlangsung acara pusingan akhir Universe Earth International 2026 di United Point Mall, Kuala Lumpur bagi penganugerahan beberapa gelaran utama pertandingan ratu cantik kepada 13 ratu Malaysia yang bakal mewakili negara di persada dunia.

Gelaran Mrs Earth Malaysia yang menjadi rebutan ramai, telah dimenangi oleh Sheila Lee, seorang pemimpin perniagaan hartanah dan pembuat kek profesional dari Kota Kinabalu, Sabah.

Manakala gelaran Mrs Earth West Malaysia 2026 pula disandang oleh Yang Raimi, seorang Penolong Naib Presiden bahagian perolehan dari Pulau Pinang.

Sheila Lee turut memenangi anugerah sampingan bagi kategori Bakat Terbaik (Best Talent). Sebagai pemenang gelaran bagi organisasi Mrs Earth Malaysia iaitu sebuah platform yang menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar, kelestarian dan pemerkasaan wanita, mereka akan mewakili negara dalam memperjuangkan inisiatif hijau serta advokasi alam sekitar di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.

Antara pemenang Ms/Mrs Earth Malaysia 2026 yang berlangsung di United Point Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Manakala gelaran Ms Earth Malaysia 2026 dimenangi oleh Usha Periasamy, seorang aktivis kebajikan haiwan dari Terengganu yang kini sedang mengikuti pengajian PhD dalam bidang perniagaan, manakala gelaran Ms Earth West Malaysia 2026 pula diraih oleh Tharshini J Ganes, seorang pelajar undang-undang tahun akhir, model dan profesional pemasaran dari Skudai, Johor.

Kedua-duanya akan mewakili Malaysia di peringkat akhir pertandingan dunia pada tahun hadapan.

Sementara itu, bagi kategori Mrs Elite Earth Malaysia 2026, Rowena Sophia Cathiresoo, seorang eksekutif kewangan dan ibu kepada seorang anak yang berasal dari Johor telah dinobatkan sebagai pemenang.

Manakala gelaran Mrs. Elite Earth West Malaysia 2026 pula dimenangi oleh Logkeswery Mallnaidu, seorang bekas jururawat penjagaan paliatif, usahawan makanan dan ibu kepada dua orang anak yang berasal dari Kuala Lumpur.

Rowena Sophia Cathiresoo (kanan) dinobatkan sebagai Mrs. Elite Earth Malaysia 2026 
dan Logkeswery Mallnaidu, pemenang kategori Mrs Elite Earth West Malaysia 2026.

Logkeswery turut memenangi anugerah sampingan bagi kategori Kostum Kebangsaan Terbaik.

Turut dipersembahkan pada malam itu ialah pertandingan Top Model Earth Malaysia 2026, iaitu kategori fesyen dan peragaan khusus yang disepadukan ke dalam sistem pertandingan ratu cantik tahun Mrs./Mis. Earth Malaysia.

Gelaran Top Model Earth Malaysia 2026 dimenangi oleh Navenassri Balakrishnan, model profesional, pelakon dan ahli tetapi kecantikan dari Kuala Lumpur yang meminati seni mempertahankan diri, manakala gelaran Top Model Earth West Malaysia 2026 pula menjadi milik Sanjanaa Poovaragan, seorang pelajar perubatan, model, pelakon dan usahawan dari Pulau Pinang.

Berbeza dengan kategori tradisional yang mengutamakan sistem pemarkahan pertandingan ratu cantik klasik, Top Model Earth Malaysia memberikan penekanan utama kepada gaya berjalan di pentas peragaan, penggayaan fesyen tinggi, serta usaha mempromosi fesyen mesra alam dan tekstil lestari.

Turut diadakan semasa program pertandingan ratu cantik itu ialah pertandingan berprestij Mrs. Classic Universe Malaysia 2026/27 yang menyaksikan Sunita Kaur @Sunita A.R. Subbraman, seorang penggiat industri perhotelan dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara.

Pemenang untuk kategori The Top Model Earth Malaysia 2026 dan Top Model Earth West Malaysia 2026.

Manakala naib juara pula dimenangi oleh Dr. Raja Zalinda Jamil, seorang pendidik dan tutor dari Kuala Lumpur yang memiliki ijazah PhD dalam bidang Toksikologi Gunaan.

Mahkota Mrs. Classic Universe West Malaysia 2026 dimenangi oleh Premasha Ravindran, seorang pentadbir akaun dari Johor.

Sementara itu, mahkota Mrs Grand Classic Malaysia 2026, pula dimenangi oleh Mona Shewandas, seorang pengurus pematuhan serta ibu dan nenek yang penyayang dari Kuala Lumpur. Beliau turut menerima Anugerah Kostum Kebangsaan Terbaik.

Premasha dan Mona, masing-masing akan bertanding dalam kategori mereka di peringkat akhir dunia pada November 2026 bersama-sama Mrs.Classic Universe 2025, Miu Miu Ng Wee Mian.

Dalam pertandingan yang paling berprestij, Pavitra Ravibalan, seorang penganalisis perancangan dan jurugambar dari Selangor muncul sebagai juara kategori bagi wanita gelaran Super Model Universe Malaysia 2026 yang cukup disegani, manakala model yang sedang meningkat naik, Dhanush Daxe dari Pulau Pinang memenangi gelaran bagi kategori lelaki. Fumiko Kriss, seorang pencipta kandungan dari Sarawak, menduduki tempat kedua dalam kategori wanita, sementara Ugochukwu Miracle (jurulatih pengurusan perniagaan) menduduki tempat kedua dan Vicnesvar Ganesan di tempat ketiga bagi kategori lelaki.

Kedua-dua Pavitra dan Danush akan mewakili Malaysia ke peringkat akhir Super Model Universe 2026 yang akan berlangsung di China pada tahun ini.

Dhanush Daxe (tengah) juara bagi
Super Model Universe Malaysia 2026 (male).

Gelaran Supermodel Universe International (Malaysia) 2026 dimenangi oleh Nicole Panashe Tatai, seorang penuntut Ijazah Sains dari Zimbabwe.

Kesemua pemenang dipilih secara saksama oleh panel hakim yang berwibawa yang terdiri daripada Ketua Hakim Mrs Classic Universe Malaysia 2024, Carol Lim, Mrs Universe Classic West Malaysia 2023, Vimala Pappu, Pengasas Book’ d Talent, Carl Graham, Ketua Pegawai Eksekutif Neek Fashion Ishmael Brima Koroma dari Sierra Leone, Mrs Universe Classic 2023 Sharimala Mary Anne, Mrs Queen of Earth 2026, Datin Kelvin Dhillon, Mrs Queen of Earth International 2026 Kasthuri Muniandy, Supermodel Universe Malaysia 2025 Chelsea Colette, Mrs Classic Universe Malaysia 2025 Miu Miu Ng Wee Mian, Ms Top Model Earth Eco 2026 Savita Angadi, Woman of the Universe Malaysia Durgashini Naidu, serta Mrs Earth Malaysia 2024/2025 Jurisha Deepasharni.

Universe Earth International yang diasaskan oleh Presiden Ms/Mrs Ammetta Malhotra Bergin telah dianjurkan oleh Target Wellness & Eve Management.

Walaupun baru sahaja mengalami kecemasan kesihatan yang mengancam nyawa beberapa hari sebelumnya, penganjur pertandingan ratu cantik yang berdedikasi dan berpengalaman itu keluar dari hospital demi memastikan pertandingan tersebut berjalan lancar yang yang dirancangkan.

Beliau malah turut bersama para peserta untuk memberi semangat dan memimpin mereka dalam persembahan tarian yang cukup memukau sehingga membuatkan penonton bersorak lagum melihat semangat serta kecekalan penganjur tersebut.

Acara tersebut dikendalikan oleh pakar strategi dan pemimpin perniagaan yang disegani, Rhenu Bhuller, Juara Dunia Supermodel Universe 2019, Thalia Thin serta Supermodel Universe Malaysia 2024, Yuwen Syaaran.