Home Blog Page 11

Lagu “Ibu Doa” adalah luahan hati seorang ibu

Oleh: Khadijah Ibrahim

Selepas lebih dua dekad tidak muncul dengan lagu baharu, kini penyanyi legenda Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty, 67, kembali dengan single “Ibu Doa”.

Penyanyi yang sinonim dengan lagu malar segar “Doa Buat Kekasih” duet bersama Datuk Ramli Sarip, “Ku Gembira Di Samping Mu”, “Ku Pendam Sebuah Duka”, “Ku Sangka Siang Kiranya Malam” dan “Mengapa Aku Disalahkan” memilih untuk bekerjasama dengan bakat baharu.

Beliau yang senang membahasakan diri sebagai Ibu berkata, pertama kali mendengar lagu dan lirik yang ditulis oleh Baizura Tazri, hatinya telah tersentuh kerana karya itu bercerita tentang perasaan seorang ibu.

Jelas Khadijah, sebelum bersetuju untuk merakam lagu ciptaan Baizura atau Wawa itu, beliau mempunyai perancang untuk kembali bekerjasama dengan Tan Sri Ahmad Nawab dan berduet dengan Datuk Ramli Sarip, namun aturan Allah menentukan beliau merakam lagu “Ibu Doa” terlebih dahulu.

“Ibu Doa” merupakan lagu yang bercerita perihal perasaan ibu.

“Banyak kali sebelum Abang Mat meninggal, kita selalu berbincang untuk membuat album tapi tidak kesampaian. Saya juga kerap berbincang dengan abang Ramli Sarip yang mana kita akan keluarkan lagu seperti “Doa Buat Kekasih” tapi tidak kesampaian.

“Tapi satu hari tu agaknya bila kita sibuk bekerja kita akan rasa rindu pada anak. Terbitnya lagu “Ibu Doa” ini kerana Ibu selalu bersama Baizura dan kita dapat rasai bagaimana seorang ibu kehilangan anak. Bagaimana seorang ibu yang risau tentang anaknya dan bagaimana ibu mencari anak dan ini memainkan emosi yang berat kepada setiap ibu.

“Baizura ni kawan Siti Hajar, sejak kecil dia dah sama Ibu. Sebelum ini Ibu pernah bekerjasama dengan Baizura sewaktu buat lagu, “Syukurnya Raya, Vit’s Kan Ada” dengan jenama Vit’s pada 2024 dan ramai yang tonton di YouTube,” jelas Khadijah.

Tambahnya, selepas mendapat lagu tersebut beliau merasa sedih sebab dapat merasai apa yang diperkata oleh Baizura tentang perasaan seorang ibu menerusi karya tersebut.

“Baizura bagi Hajar dengar dulu dan pertama kali dengar lagu tu Ibu dah menangis. Ibu nekad untuk rakam lagu ini sebab Ibu dapat menjiwainya.

“Ingat senanglah nak rakam lagu ini bila dah selalu dengar tapi lain pula jadinya. Bila dapat lagu ini Ibu rasa sedih, enam bulan ibu tak boleh nyanyi lagu ini. Asyik menangis saja.

“Ibu ingat ibu sorang je menangis, rupa-rupanya kekawan yang naik kereta sama ibu pun akan menangis bila dengar lagu ini kerana mereka dapat rasai lirik dan melodi lagu tersebut.

Ibu rasa kalau kita bukan seorang ibu pun bila kita letak diri kita sebagai ibu akan dapat rasai betapa sedihnya hidup seorang ibu. Doa itu adalah untuk anak-anak,” katanya.

Memandangkan lagu ini berkisar tentang perasaan seorang ibu yang sentiasa doakan anak-anak berada dalam keadaan baik-baik saja, Khadijah yakin lagu “Ibu Doa” dapat diterima oleh para ibu tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, “Ibu Doa” adalah lagu yang dapat sampaikan kepada ibu-ibu dan anak-anak yang selalu membuatkan ibu-ibu tidak dapat tidur di waktu malam kerana selalu memikirkan tentang keadaan anak-anak.

Tegasnya, setiap ibu pasti sering diterjah dengan 1000 macam persoalan tentang anak-anak.

Antara yang sering berputar di minda jika si anak tidak berada di hadapan mata ibu adalah, anak sihat ke, anak kemalangan ke, anak mabuk ke, anak makan dadah ke, anak langgar orang ke?

“Ibu ni banyak berfikir. Kita sebagai ibu sentiasa menerima apa saja dan diberikan satu cabaran dalam kehidupan dan kita perlu terima apa saja yang anak-anak lakukan di dunia ini kita terima sebagai seorang ibu.

“Kadang-kadang bila kita tidak mampu membuatkan sesuatu lagi, apa yang kita mampu buat ialah berdoa siang malam. Kalau anda faham, lagu itu bercerita tentang doa buat seorang anak, Ibu yakin lagu ini boleh diterima pelbagai bangsa kerana di Malaysia ni masih ramai yang boleh berbahasa Melayu. Tak kira bangsa dan agama kerana ibu ni memainkan banyak peranan dalam keluarga,” ulasnya yang sudah 48 tahun terlibat dalam bidang seni.

Khadijah Ibrahim harap lagu ini dapat sambutan.

Khadijah harap anak-anak yang mendengar lagu ini dapat memahami apa yang tersirat di hati setiap ibu dan menghargai mereka sebelum terlambat.

Lagu yang diterbitkan oleh Jasmine Raj Production itu diharap dapat dijadikan runut bunyi untuk mana-mana drama.

Selain “Ibu Doa”, Khadijah mempunyai tiga lagi lagu solo yang bakal dikeluarkan, serta lagu duet bersama Ramli Sarip.

“Ibu ada tiga lagu lagu tapi dengan abang Ramli ada empat lagu. Ibu nak fokus pada tiga lagu tu dulu sebab anak ibu pun ada tulis lagu untuk ibu, juga mengenai ibu tapi dalam bahasa Inggeris.

“Kita tengok dulu macam mana penerimaan “Ibu Doa” dulu dan kemudian Ibu akan teruskan dengan lagu Inggeris tu,” katanya yang merancang untuk menjayakan konsert pada tahun depan.

Jika perancangan untuk mengadakan konsert berjalan lancar, antara artis jemputan yang terpahat dimindanya untuk diundang adalah rakan-rakan baiknya.

“Memang rancang nak konsert solo tahun depan tapi bukan awal sebab perlukan persiapan yang rapi. Penyanyi jemputan Ibu mestilah kawan-kawan Ibu, abang Ramli, Jamal Abdillah, M.Nasir dan Ibu nak lantik Datuk Freddie Fernandez sebagai pengarah muzik konsert itu.

“Ibu nak buat konsert mega sebab permintaan peminat dan penaja. Tapi kita tak naklah buat sekadar konsert, tapi kita nak buat konsert once in a lifetime. Macam Michael Jackson dia tak ulang konsert yang sama,” kongsinya tentang perancangan karier seninya itu.

Di sebalik nama Siti Tanjung Perak!

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

APABILA sebut nama Allahyarham Seniwati Siti Tanjung Perak, pasti para peminat filem Melayu tidak boleh melupakan suara ‘uniknya’ yang sering memanggil anak bungsunya ‘Ayu’ (lakonan Rahayu Sudarmaji) dalam filem “Bujang Lapok.”

Walaupun dengan wajahnya yang nampak garang tetapi lontaran suaranya ketika memanggil anaknya yang lebih dikenali ‘Ayu 20 sen’ kerana sering meminta upah hanya 20 sen untuk menutup rahsia atau memberi maklumat tentang Jeton, mampu membuatkan para penonton ketawa.

SITI Tanjung Perak bersama Zaiton dalam satu babak filem “Bujang Lapok.”

Babak beliau membebel kerana tidak suka Jeton, kakak Ayu, lakonan Seniwati Zaiton bercinta dengan Sudin (Allahyarham Seniman S. Shamsuddin) itu melekat di hati para peminat filem tersebut sehingga hari ini. Filem ini diterbitkan pada tahun 1957 dan merupakan filem siri pertama yang menggunakan perkataan ‘bujang lapok.’

Selepas filem “Bujang Lapok,” P. Ramlee mengarah tiga lagi filem siri ‘bujang lapok’ iaitu “Pendekar Bujang Lapok,”(1958), “Ali Baba Bujang Lapok”(1960) dan “Seniman Bujang Lapok”(1961). Keempat-empat filem siri ‘bujang lapok’ ini mengekalkan tiga watak utamanya iaitu P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar.

POSTER “Bujang Lapok” filem arahan P. Ramlee diterbitkan pada tahun 1957.
Selain P. Ramlee turut membintangi filem ini S. Shamsuddin dan Aziz Sattar.

Begitulah berkesannya lakonannya Siti Tanjung Perak menjiwai watak ibu tunggal kepada dua orang anak perempuan dalam filem bergenre komedi ini.

Siti Tanjung Perak atau nama sebenarnya Siti Sundari Samad dilahirkan pada tahun 1912 di Pulau Wasi Bugis, Sulawesi, Indonesia.

SITI Tanjung Perak berpakaian Tentera Laut dalam bulatan bulat di awal penglibatan beliau dalam dunia seni.

Bukan sahaja suaranya yang nyaring dengan tonasi ‘tegas dan garang’ malah dialog bahasa Inggerisnya yang melucukan apalagi bila beliau kaitkan sejak berjiran dengan Miss Wong ‘skiping’ (speaking) London semakin berabok (hebat) membuatkan beliau merasakan dirinya berada di kelasnya yang tersendiri.

Apalagi dengan ‘kekayaannya’ yang memiliki dua bentuk cincin berlian menjadikan beliau ‘orang ada-ada’ dan tidak mahu Jeton berkahwin dengan Sudin. Itulah watak ikonik Siti Tanjung Perak dalam filem tersebut.

WAJAHNYA yang cantik menawan, Siti Tanjung Perak ( Berdiri paling kanan ) digelar Seri Panggung.

Meskipun babak tersebut hanya beberapa minit tetapi secara tidak langsung mampu menepis rasa ‘benci’ penonton terhadap Siti Tanjung Perak. Sebabnya dalam filem itu ‘garangnya sekeras kerak nasi’ yang boleh dibawa berunding di mana akhirnya beliau sanggup menerima pinangan Sudin dengan hantarannya seribu serba satu!

Bersandarkan watak ‘Mak Jeton,’ populariti Siti Tanjung Perak naik tiba-tiba dan beliau mendapat tawaran demi tawaran berlakon filem terbitan Studio Jalan Ampas.

WAJAH Seri Panggung…Siti Tanjung Perak.

Sebagai ‘Mak Jeton’ watak antoganis yang dilakonkan dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah,”(1959) sebagai Kundor,(emak kepada Bawang Puteh lakonan Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum) dan “Rumah Itu Duniaku”(1963), peluang beliau berlakon dalam pelbagai watak semakin terbuka tidak seperti sebelum ini.

Sebagai ‘Kundor’ beliau sanggup melakukan apa sahaja demi menghancurkan kebahagiaan Bawang Merah (Allahyarham Seniwati Latifah Omar) dengan Putera Raja (Allahyarham Seniman Datuk Mustapha Maarof) agar Bawang Puteh boleh menggantikan kakaknya.

SITI Tanjung Perak bersama suaminya yang pertama, M. Taib.
SITI Tanjung Perak bersama suaminya yang kedua, Abdul Ghani.

Menjejaki perjalanan seni Siti Tanjung Perak, beliau mula berlakon selepas menonton pementasan bangsawan pada tahun 1927. Sejak itu, bermulalah perjalanan hidup beliau sebagai pelakon bangsawan sehingga beliau digelar ‘Seri Panggung’ kerana memiliki seraut wajah yang mempesonakan.

Pada mulanya, Siti Tanjung Perak takut untuk mengikuti rombongan bangsawan kerana orang kampungnya ketika itu terlalu konservatif. Mereka memandang serong pada dunia seni dengan alasan bekerja sebagai pelakon ‘tidak elok.’

SITI Tanjung Perak dan Latifah Omar dalam satu babak filem “Bawang Putih Bawang Merah.”

Disebabkan minatnya yang begitu mendalam, beliau meminta izin keluarganya. Pada mulanya Siti Tanjung Perak hanya menjadi pelakon tambahan tetapi beliau akhirnya dinaikkan pangkat sebagai pelakon pembantu.

Beliau dikatakan pelakon bangsawan yang ‘extraordinary’ kerana bukan setakat berlakon, beliau juga boleh menari malah Siti Tanjung Perak juga memiliki suara yang lunak sebagai penyanyi.

SITI Tanjung Perak (duduk kanan) merakamkan kenangan bersama seniwati dan seniman pada 1950-an.

Adalah difahamkan apabila menjadi penyanyi beliau selalu diminta menyanyikan sebuah lagi klasik Indonesia berjudul “Tanjung Perak” yang dipopularkan S. Abdullah. Sejak itu, nama Siti Sundari tenggelam dan beliau mula dikenali sebagai Siti Tanjung Perak.

Setelah dikenali sebagai penyanyi dengan nama Siti Tanjung Perak dan pada usianya 15 tahun beliau melangkah kaki sebagai anak wayang dengan filem pertamanya “Seruan Merdeka” terbitan Malayan Art Production pada tahun 1947. Filem ini mengisahkan perjuangan nasionalis Melayu menentang Jepun.

DARI kiri: S. Roomai Noor, Siti Tanjung Perak dan Puteh Lawak.

Kemudian setelah filem tersebut pada tahun yang sama, Siti Tanjung Perak berhijrah ke Studio Jalan Ampas dengan kontrak untuk tempoh tiga tahun.

Filem pertamanya di Studio Jalan Ampas adalah “Singapura Di Waktu Malam”(1947) arahan B.S Rajhans.

WAJAH seniwati serba boleh…Siti Tanjung Perak.

Bersama Studio Jalan Ampas, tawaran berlakon tidak pernah henti dan beliau berpeluang berlakon antaranya dengan P. Ramlee, Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor dan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak.

Bakat lakonannya yang menyerlah membuatkan setiap tiga tahun kontraknya disambung dan lakonannya sebagai ‘Mak Jeton’ dalam “Bujang Lapok” telah meletakkan Siti Tanjung Perak di kelasnya yang tersendiri!

BABAK dari filem “Bapa Saya” (1951).
Dari kiri: R. Azmi, Siti Tanjung Perak, AR Tompel dan Osman Gumanti.

Bagaimanapun apabila kontraknya bersama Studio Jalan Ampas tamat, Siti Tanjung Perak berhijrah ke Studio Cathay Keris dengan gaji yang lebih baik.

Di studio Jalan Ampas, gaji bulanannya hanya $90 sebulan. Bagaimanapun di Cathay Keris, Siti Tanjung Perak dibayar gaji bulan sebanyak $200 sebulan tidak termasuk bonus!

Sepanjang 27 tahun melayari hidup sebagai anak seni bergelar Seniwati, Siti Tanjung Perak telah membintangi 55 filem dengan filem terakhirnya “Sandakan No.8” filem Jepun yang diterbitkan pada tahun 1974.

SITI Tanjung Perak dan Minah Yem dalam satu babak filem lakonan mereka.

Selepas Cathay Keris tutup pada tahun 1973, sesekali Siti Tanjung Perak diundang berlakon drama terbitan TV Singapura.

Tetapi akhirnya Siti Tanjung Perak mengambil keputusan bersara dari berlakon sambil berkata;

SATU babak dari filem “Rumah Itu Duniaku” terbitan Cathay Keris. Filem terbitan tahun 1963 arahan M. Amin dilakonkan S. Roomai Noor, Latifah Omar, A. Rahim, Tony Kassim, Malek Selamat, dan Siti Tanjung Perak.

“Susah berlakon drama TV sebab semuanya kena ikut skrip. Cara berlakon dulu lain, kita tak pernah pakai skrip.”

Selepas bersara daripada berlakon, Siti Tanjung Perak yang terkenal sebagai seorang seniwati yang cukup berdisiplin berkata;

DUDUK depan: Zainab Simen dan Zaharah Ahmad.
DUDUK belakang: Siti Tanjung Perak dan Marsita.

“Saya tidak suka tengok filem-filem lakonan saya apalagi kalau watak jahat. Saya tak selesa tengok saya ‘jadi jahat.’ Kadang-kadang saya terfikir kenapalah saya sanggup jadi jahat!”

Siti Tanjung Perak pernah menghadiri Festival Filem Malaysia ke-7 pada tahun 1987 ketika usianya 75 tahun. Pada majlis tersebut beliau berpeluang berjumpa sahabat lama antaranya Allahyarham Seniwati Aini Jasmin.

SITI Tanjung Perak kelihat menawan dengan kebaya pendek.
AHMAD Fauzee bersama Siti Tanjung Perak pada Festival Filem Malaysia ke-7 1987 di Melaka.

Sepanjang perjalanan hidupnya, Siti Tanjung Perak pernah berkahwin dua kali dengan suami pertamanya, M. Taib, peniup saksofon yang bersamanya di pentas bangsawan. Tetapi jodoh mereka tidak panjang apabila suaminya terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak diberi nama Sari Intan yang lebih dikenali Seniwati Supatri.

Setelah beberapa tahun hidup sebagai ibu tunggal, Siti Tanjung Perak bertemu jodoh dengan seorang anggota polis, Abdul Ghani. Mereka dianugerahkan seorang anak perempuan, Zairina Abdul Ghani. Kedua-dua anak beliau terkenal sebagai pelakon era 1950-an dan 1960-an.

Siti Tanjung Perak pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik berdasarkan pilihan para peminatnya pada tahun 1953.

FESTIVAL Filem Malaysia ke-7 di Kuala Lumpur pada tahun 1987.
Bergambar kenangan…Belakang: Datuk Hail Amir, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Produser, Allahyarham Haji Zahari Haji Zabidi dan S. Shamsuddin.
Duduk: Siti Tanjung Perak dan Aini Jasmin.
PERTEMUAN Seniwati Neng Yatimah, Seniwati Hajjah Habsah Buang, Siti Tanjung Perak dan anaknya.

Beliau meninggal dunia pada 6 Ogos 1992 pada usia 80 tahun di Hospital Changi, di Changi, Singapura.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.


Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Adli yang curang bukan Aliff Aziz

Oleh: Khadijah Ibrahim

BARU-BARU ini penulis berpeluang menonton cuplikan (petikan) drama 12 episod, “Madu Atau Racun” yang bakal disiarkan di platform iQIYI bermula 14 Ogos ini, pada setiap hari Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam.

Walaupun yang dipertontonkan kepada pihak media hanya suntingan sahaja, namun drama arahan Eyra Rahman itu berjaya membuat hati penulis panas melihat kelakuan Adli, lakonan Aliff Aziz dan Nikita, si penyondol yang dilakonkan oleh Elisya Sandha.

Adli yang merupakan suami kepada Azura, watak yang digalas oleh Uqasha Senrose itu telah bermain kayu tiga dengan Nikita dan menjadikan wanita tersebut sebagai isteri keduanya.

Sejujurnya sewaktu menonton teaser “Madu Atau Racun” itu, datang fikiran jahat melihat perangai Adli. Oh! No wonder la, dia dapat melakonkan watak suami curang.

Barisan pelakon yang menjayakan drama “Madu Atau Racun” terbitan MIG Production.

Rupa-rupanya, pengarah pun sudah dapat menjangka pandangan penonton tatkala melihat Aliff melakonkan watak suami tak bertanggungjawab walaupun sekadar lakonan.

Kata Eyra, sebagai pemegang watak utama dalam drama terbitan terbitan MIG Production Sdn. Bhd., Aliff yang perlu menjadi suami curang dan berpoligami, beliau menyifatkan pelakon asal Singapura itu sebagai pelaku seni yang sangat berdisiplin.

Pengarah itu juga mengatakan persepsi khalayak terhadap kontroversi hidup Aliff tidak mempengaruhi keputusan kreatifnya. Sebaliknya, beliau lebih percaya kepada bakat, disiplin dan profesionalisme seseorang ketika berada di lokasi penggambaran.

“Saya melihat sendiri bagaimana dia memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak yang diamanahkan. Bagi saya, Aliff seorang pelakon yang sangat berbakat dan mempunyai kelebihan semula jadi dalam lakonan.

Aliff Aziz harap penonton dapat menilai lakonannya dengan hati dan minda terbuka.

“Dia juga sangat komited dan berdedikasi. Dia benar-benar menghayati wataknya dan saya sangat berpuas hati dengan cara dia bekerja. Dari segi disiplin juga, dia menunjukkan sikap yang sangat baik sepanjang penggambaran,” jelas Eyra.

Sementara itu, Aliff atau nama lengkapnya, Mohammad Aliff Aziz, 35, berharap semua orang menonton drama ini dengan hati dan minda terbuka. Drama tentang poligami ini ada mesej yang ingin disampaikan sehingga ke penghujung drama.

“Sebenarnya selepas membaca skrip, timbul kerisauan kerana sebagai insan biasa saya dapat bayangkan pelbagai persepsi akan muncul.

“Namun saya harus membezakan di antara saya sebagai Muhamad Aliff Aziz dan Adli. Sebagai seorang pelakon saya perlu menggalas tugas dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menjayakan sesebuah watak.

“Tak dinafikan dalam fikiran saya ada juga tertanya apa kata orang. Apa orang nak kata itu semua di luar kawalan saya. Apa yang penting, saya telah diberikan peluang dan rezeki daripada Allah untuk menjayakan watak Adli ini, selebihnya itu saya serahkan kepada Allah kerana saya telah melakukan yang terbaik untuk membawa watak Adli,” katanya yang sudah dapat ‘membaca’ fikiran penonton.

Azura dan Adli merupakan watak utama dalam drama “Madu Atau Racun”.

Jelas Aliff, sewaktu ditawar berlakon drama tulisan Oka Aurora & Team, beliau sempat mendapat pandangan daripada pengasas MIG, David Teo.

“Waktu dapat tawaran saya pergi ke pejabat MIG dan berjumpa dengan bos David Teo dan dia banyak memberi kata-kata yang membuka minda saya. Daripada perbualan bersama David Teo saya bulatkan hati, ini adalah tanggungjawab saya dan rezeki yang harus saya hargai. Selebihnya itu saya serahkan kepada Allah.

“Sebagai seorang pelakon, kita tidak boleh memberitahu orang cara penerimaan mereka terhadap drama yang ditonton kerana setiap orang ada persepsi tersendiri.

“Apa yang awak nampak kat skrin itu adalah Adli, saya hanya seorang pelakon yang cuba menghidupkan watak itu tetapi saya tak dapat nak memberitahu orang supaya asingkan watak dan peribadi saya.

kehidupan dan berdepan dengan pelbagai konflik yang menguji persepsi mereka terhadap satu sama lain.

“Kami berharap penonton dapat mengikuti setiap episod dengan fikiran yang terbuka dan tidak membuat kesimpulan terlalu awal, kerana setiap episod akan membongkar sisi baharu yang mampu mengubah persepsi terhadap setiap watak,” ujar Dinesh.

Artis bukan penyanyi sertai Kilauan Emas Selebriti 2026

Oleh: Khadijah Ibrahim

MULAI 22 Ogos ini, jam 9 malam, di Astro Prima (saluran 105), penonton berpeluang menonton program Kilauan Emas yang ditampilkan dengan konsep baharu.

Untuk musim ini, program realiti TV yang bermula sejak 2011, bagi mencari dan mengetengahkan bakat nyanyian bagi warga emas yang berusia 40 tahun ke atas, kini menghimpun selebriti otai Malaysia dalam pertandingan nyanyian Kilauan Emas Selebriti 2026.

Syarat untuk menjadi peserta Kilauan Emas Selebriti 2026 mesti berusia 50 tahun ke atas dan bukan penyanyi profesional.
Mubarak Majid bakal tonjolkan bakat nyanyiannya di Kilauan Emas Selebriti 2026.

Berbeza daripada format sebelum ini, Kilauan Emas Selebriti 2026 yang bakal berlangsung dari Auditorium MBSA Shah Alam, menampilkan peserta daripada personaliti terkenal dan bukannya penyanyi profesional.

Bagi memastikan keaslian konsep pertandingan, peserta yang layak mestilah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan, antaranya, warganegara Malaysia berusia 50 tahun dan ke atas, bukan penyanyi profesional atau individu yang pernah menerima latihan nyanyian secara profesional, tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik.

Khaty Azian antara peserta program Kilauan Emas Selebriti 2026.
Jalaludin Hassan memang boleh menyanyi tapi fokusnya kepada lakonan.

Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, Kilauan Emas Selebriti 2026 bukan sekadar sebuah pertandingan nyanyian kerana ia membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep “Talent That Gives Back”.

“Menerusi inisiatif ini, setiap kemenangan mingguan akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang bukan saja meraikan bakat, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat.

Mesti ada yang tak percaya Zila Bakarin pun sertai program ini.
Rashdan pun mahu kongsi bakat nyanyiannya dengan orang ramai.

“Selain itu, program ini juga turut membawakan segmen istimewa “Telan Kaset” yang akan menampilkan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu. Segmen khas ini direka bagi menghidupkan kembali nostalgia dalam kalangan penonton serta menyuntik nilai sentimental yang menjadi antara kekuatan utama Kilauan Emas sejak diperkenalkan,” jelas Norzeha.

Barisan artis yang dipilih untuk bertanding dalam Kilauan Emas Selebriti 2026 yang akan berlangsung selama tujuh minggu itu ialah pelakon Rahim Omar, 66, Zila Bakarin, 51, Datuk Jalaludin Hassan, 72, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, 76, Fazlina Ahmad Daud, 51, Mubarak Majid, 70, Rashdan Abd Halim, 57, Khaty Azian, 60, Amyza Aznan, 50, dan Maria Tunku Sabri, 56.

Selalu Maria Tunku Sabri banyak berceloteh, kali ini dia tampil sebagai ‘penyanyi’.
Jarang kita melihat Fazlina menyanyi, berbanding kakaknya, Fauziah Ahmad Daud.

Manakala pelakon Raja Azura pula yang merupakan hos Kilauan Emas dari musim pertama hingga ke lima, kali ini akan bergandingan dengan Keanu Azman.

Barisan juri pula menampilkan Jihan Muse sebagai juri tetap yang bergandingan dengan Datuk Yusry KRU, serta penampilan istimewa juri jemputan setiap minggu.

Rahim Omar mahu tonjolkan bakat terpendamnya dalam bidang seni suara.
Amyza Aznan turut sertai program Kilauan Emas Selebriti 2026.

Persembahan setiap peserta Kilauan Emas Selebriti 2026 akan diadili secara 80 peratus daripada pemarkahan oleh barisan panel juri profesional dan 20 peratus lagi daripada undian penonton di rumah.

Keanu Azman dan Raja Azura sebagai pengacara untuk Kilauan Emas Selebriti 2026.

P. Ramlee kagum lakonan Mak Dara taraf dunia!

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

“Kassim Selamat? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Majistret?

“Ahli muzik? Memang pantang datuk nenek aku ahli muzik!”

WALAUPUN telah lebih enam dekad “Ibu Mertuaku” menemui para peminat filem Melayu tetapi dialog itu masih mencengkam jiwa siapa sahaja yang mendengarnya.

POSTER filem “Ibu Mertuaku” lakonan P. Ramlee, Sarimah, Allahyarham Seniman Ahmad Mahmood dan Seniwati Zaiton.

Dengan memek muka dan tonasi yang menyakitkan hati daripada Nyonya Mansoor lakonan Mak Dara ketika melontarkan dialog berkenaan, ia bukan sahaja membuatkan penonton menganggap beliau kejam malah menjadi kebencian mereka.

Walaupun “Ibu Mertuaku” merupakan filem ke-13 daripada 35 filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sepanjang 18 tahun beliau bergelar Pengarah (1955-1973) di Studio Jalan Ampas, Singapura dan Merdeka Studio, Hulu Kelang, Kuala Lumpur, namun setiap kali ditayangkan di televisyen filem terbitan tahun 1962 yang sudah berusia 61 tahun ini meninggalkan kesan sampai ke ‘tulang hitam’ para penonton!

WAJAH seorang ibu yang sombong, bongkak dan sanggup memisahkan kasih seorang suami demi menjaga martabatnya sebagai Nyonya Mansoor yang kaya dan ternama!

Begitulah hebatnya lakonan Allahyarham Seniwati Mak Dara atau nama sebenarnya Dara Mohd. Ali. Beliau dilahirkan pada 16 Februari 1907 di Bukit Tamsiri, Tanjong Pagar, Singapura.

Khabarnya, ketika P. Ramlee mencari pelakon untuk filem “Ibu Mertuaku,” beliau hanya mahukan Mak Dara melakonkan watak Nyonya Mansoor.

BABAK lucu antara Sabariah Mansoor yang ‘membohongi’ ibunya, Nyonya Mansoor dalam filem “Ibu Mertuaku.”

Bagaimanapun, Mak Dara menolak tawaran itu kerana bimbang tidak dapat menjiwai watak itu dengan baik dan tidak mahu menyusahkan P. Ramlee. Tetapi P. Ramlee tetap berkeras mahukan Mak Dara berlakon dalam filem tersebut!

Kata P. Ramlee; “Kalau bercakap tentang kebolehannya berlakon sebagai ibu mertua, Mak Dara memang nombor ‘wahid’ (satu), cuma satu perkara bagaimana beliau mahu menghafal dialog sebab ia bagaikan mengasah parang yang berkarat!”

SATU babak dari filem “Ibu Mertuaku” lakonan Mak Dara (Nyonya Mansoor) dan Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad (Sabariah Mansoor).

Menyedari Mak Dara tidak boleh membaca, tugas untuk beliau menghafal dialog diserahkan kepada Penolong Pengarah filem berkenaan, S. Sudarmaji

Adalah difahamkan untuk memudahkan Mak Dara menghafal dialog dalam tonasi tinggi dan rendah serta gerak tubuh yang sesuai dalam setiap babak, S. Sudarmaji melukis simbol pada setiap dialog dalam filem tersebut.

Bagi P. Ramlee walaupun filem “Ibu Mertuaku” mengambil masa enam bulan untuk disiapkan beliau berpuashati kerana watak Nyonya Mansoor yang kejam dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan kemahuannya dipenuhi, mencatatkan sejarah dalam dunia perfileman Melayu.

BABAK di kubur yang mana akhirnya membongkar perbuatan kejam Nyonya Mansoor yang membuatkan Kassim Selamat marah dan kecewa dari filem “Ibu Mertuaku.”

P. Ramlee pernah berkata; “Bukan mudah untuk menzahirkan lakonan hebat Mak Dara sebagai Nyonya Mansoor, lima mangkok darah saya ‘dihirupnya.’

“Tetapi Nyonya Mansoor adalah watak ‘cult’ (menjadi pujaan). Walaupun kelemahannya tidak boleh membaca tetapi lakonannya sangat hebat dan bertaraf dunia!”

SIKAPNYA yang mementingkan darjat dan kedudukan, Nyonya Mansoor sanggup berbohong walaupun di kubur yang diibaratkan Kassim Selamat lebih baik beliau menjadi haiwan.

Filem “Ibu Mertuaku” bukan sahaja telah menjulang nama Mak Dara dalam dunia filem Melayu sehingga hari ini, malah ia juga telah melayakkan P. Ramlee menerima anugerah dari Golden Harvest Award: Most Versatile Talent pada Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang berlangsung pada 14 hingga 19 April 1963 di Tokyo, Jepun.

Anugerah tersebut diberikan kepada P. Ramlee setelah 12 juri yang mengadili festival berkenaan sebulat suara memberikan anugerah itu kepada beliau berdasarkan kehebatan beliau sebagai Pengarah, Pelakon, Penggubah Lagu, Penyanyi dan Penulis Lakon Layar untuk filem berkenaan. Selain itu, filem berkenaan turut dianugerahkan Sinematografi Hitam Putih Terbaik yang dimenangi oleh A. Bakar Ali.

APABILA P. Ramlee memilih Mak Dara sebagai Nyonya Mansoor, ia menjadi tanggungjawab Allahyarham S. Sudarmaji membimbing Mak Dara ‘menghafal’ skrip filem “Ibu Mertuaku” dengan melukis pelbagai simbol pada setiap dialog.

Menjejakki perjalanan seni Mak Dara, beliau mula berjinak-jinak dalam dunia hiburan di pentas opera dan bangsawan pada usia belasan tahun. Selain berlakon beliau juga adalah penari joget dan penyanyi.

Disebabkan bakat dan kehebatannya yang boleh berlakon, menyanyi dan berjoget, Mak Dara menjadi rebutan tauke kumpulan bangsawan sejak awal tahun 1920-an.

Mak Dara pernah menyertai kumpulan bangsawan antaranya City Opera, Maha Opera, Sri Noran Opera dan Peninsular Opera. Bersama kumpulan opera ini, beliau telah membuat persembahan bukan setakat seluruh Tanah Melayu malah beliau turut ke Sabah, Sarawak, Brunei dan sekitar Kepulauan Borneo dan Sumatera.

MAK Dara dan Sarimah Ahmad.

Nama dan populariti Mak Dara ketika itu dikatakan sebaris dengan pelakon bangsawan lain seperti Sharif Medan, Yem, Udo Omar, Malek Sutan Muda, Puteh Lawak, Habsah dan Siti Tanjong Perak.

Berbekalkan bakatnya itu, akhirnya pada tahun 1941, Mak Dara berpeluang berlakon dalam filem “Anak Tiri” terbitan Shaw Brothers. Namun perjalanan seni Mak Dara sebagai anak wayang terhenti seketika apabila Perang Dunia Kedua.

DARI kanan: Mak Dara, Allahyarham Seniwati Siti Tanjong Perak, Allahyarham Seniwati Ani Jasmin dan Allahyarham Seniwati Minah Yem dalam satu babak filem lakonan mereka.

Kalau sudah jiwa seni mana mungkin ianya dilupakan begitu sahaja. Selepas perang tamat, Mak Dara meneruskan kerjayanya dan kembali bersama kumpulan bangsawan membuat persembahan dari satu tempat ke satu tempat.

Bagaimanapun pada tahun 1950-an apabila ramai tokoh bangsawan beralih ke dunia filem, Mak Dara juga tidak ketinggalan apalagi ketika itu dunia hiburan melalui perubahan dan filem menjadi daya tarikan masyarakat menontonnya berbanding bangsawan.

MAK Dara dalam satu babak filem lakonannya.

Perubahan ini memberi peluang Mak Dara berlakon dalam filem arahan S. Ramanathan “Berdosa” (1951). Selain Mak Dara pelakon bangsawan seperti Yem, Daeng Idris, Siti Tanjong Perak dan AR Tompel turut berlakon dalam filem ini.

Selepas filem berkenaan, Mak Dara sekali lagi ditawarkan berlakon dan filem “Norma” (1951) arahan Aman Ramli Jaafar atau lebih dikenali AR Tompel telah menemukan Mak Dara dengan Salmah Ismail (Saloma), Bahar Said, Salbiah Harun, S. Kadarisman dan Daeng Idris.

FILEM “Ibu Ayam” yang diterbitkan pada tahun 1963 menemukan pelakon hebat antaranya Mak Dara, Seniwati Salmah Ahmad, Allahyarham Seniman Datuk Mustapha Maarof dan Allahyarham Seniman Datuk Mahmud June.

Sepanjang 28 tahun (1941-1969) menjalani hidup sebagai bintang filem, Mak Dara telah berlakon sebanyak 33 filem dengan tiga daripadanya arahan P. Ramlee iaitu “Penarek Becha”(1955), “Antara Dua Darjat”(1960) dan “Ibu Mertuaku”(1962).

Antara filem lakonan Mak Dara adalah “Perkahwinan Rahsia”(1951), “Anakku Sazali”(1956). Pada tahun 1961, beliau membintangi enam filem antaranya “Sultan Mahmood Mangkat Dijulang, Puteri Gunong Ledang, dan “Siti Zubaidah.”

Pada tahun 1962, Mak Dara membintangi tiga filem antaranya “Tun Fatimah dan Siti Payong” dan filem terakhir lakonan beliau adalah “Mat Toyol”(1969).

ALLAHYARHAM Seniwati Normadiah dan Mak Dara dalam satu babak filem lakonan mereka.

Mak Dara meninggal dunia pada usia 63 tahun pada 16 Februari 1970 sama tarikh kelahirannya (16 Februari 1907) kerana sakit tua, di Hospital Besar, Singapura.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bidadari, Singapura.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.


Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

LAUNCHPAD, platform untuk artis kembangkan sayap di luar negara

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEKARANG ini kalau nak tahu perihal tentang isu semasa, politik atau hiburan mudah saja kerana semua itu boleh diperolehi menerusi media sosial.

Justeru itulah setiap orang yang bekerjaya dalam bidang seni sentiasa berusaha untuk mengumpul seberapa ramai pengikut di media sosial masing-masing bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

Meskipun hanya berinteraksi menerusi media sosial, itu sudah memberi impak kepada perjalanan seni artis tersebut.

Bagaimana pula kalau artis tersebut berpeluang bertemu secara langsung dengan peminat mereka di luar negara? Kalau nak harap penganjur mengadakan konsert untuk artis tempatan di luar negara, jangan mimpilah kerana penganjur lebih suka membawa artis luar ke Malaysia, setahun sampai dua tiga kali orang yang sama.

KIIRAZ dari Korea Selatan yang sedang diperkata sekarang ini, ketua kumpulan ini ialah Lingling dari Malaysia.

Namun menerusi LAUNCHPAD iaitu sebuah platform perkembangan artis yang berteraskan pengalaman persembahan secara langsung, artis yang lama atau baharu berpeluang untuk bersemuka dengan peminat mereka di luar negara secara langsung.

LAUNCHPAD merupakan platform pembangunan artis yang direka untuk mempercepatkan perkembangan artis-artis baharu di peringkat serantau dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada penonton, media, jenama dan rakan industri di seluruh AsiaTenggara.

Disokong oleh penghasilan kandungan digital asli, pendedahan media serantau serta kerjasama strategik bersama jenama, LAUNCHPAD membuka peluang komersial baharu sambil menyokong pembangunan kerjaya artis dalam jangka masa panjang, melangkaui pasaran tempatan mereka.

Platform tersebut ditubuhkan oleh Fast Track Entertainment (“FTE”) anak syarikat kepada Fast Track Group (NASDAQ: FTRK), bersama rakan penjenamaannya, SonyMusic Malaysia.

LAUNCHPAD dibangunkan dengan siri persembahan langsung berskala intim, persembahan secara langsung serantau yang menggabungkan sesi persembahan eksklusif artis, penglibatan media, kandungan digital asli serta kerjasama jenama bagi memperkasakan dan mempercepatkan perkembangan bakat artis yang sedang meningkat naik di seluruh Asia Tenggara.

Kumpulan Uprize dari Vietnam baru saja muncul dengan album pertama pada Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Entertainment, Harris Lim berkata, penubuhan LAUNCHPAD adalah bagi memudahkan bakat-bakat baharu memperkembangkan sayap mereka le luar negara.

“Memandangkan Asia Tenggara merupakan antara pasaran hiburan yang pesat berkembang di dunia, tapi masih ada artis yang berdepan dengan cabaran untuk mengembangkan kerjaya mereka ke luar negara.

“Antara kekangan utama termasuklah kurangnya akses media, rangkaian kerjasama tempatan yang terhad serta peluang promosi serantau yang masih kurang mencukupi.

“Sebab itulah LAUNCHPAD diwujudkan bagi merapatkan jurang ini. Ia merupakan sebuah platform perkembangan artis yang berteraskan siri persembahan eksklusif berskala intim,” jelasnya pada majlis eksklusif bersama pihak media di PJ Performing Arts Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, LAUNCHPAD merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan visi mereka untuk membina ekosistem hiburan yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara.

“Kami percaya seseorang artis dapat berkembang dengan lebih cepat apabila mereka dapat berhubung secara langsung dengan audiens baharu menerusi pengalaman persembahan secara langsung yang istimewa.

Untuk permulaan pelancaran LAUNCHPAD, artis dari Malaysia, Korea Selatan dan Vietnam ditampilkan.

“Menerusi siri persembahan eksklusif berskala intim, LAUNCHPAD merealisasikan visi ini dengan menghubungkan artis bersama peminat, media, jenama dan rakan industri.

“Disokong oleh kandungan digital asli, kerjasama jenama serta kolaborasi serantau, kami membuka peluang komersial baharu yang mempercepatkan perkembangan artis dan meluaskan pengaruh mereka ke pasaran serantau di luar negara asal. Ini hanyalah permulaan, dan kami berharap dapat terus mengembangkan LAUNCHPAD ke seluruh rantau ini,” katanya.

Pada acara tersebut pihak media dan rakan-rakan industri berpeluang melihat persembahan eksklusif berskala intim daripada artis tiga negara iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, penyanyi , pelakon, pengarah, komposer dan produser dari Malaysia di bawah Sony Music Malaysia, Kiiras, kumpulan wanita K-Pop global dengan enam orang anggota dari Korea Selatan dan Uprize, kumpulan dengan tujuh orang anggota lelaki dari Vietnam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong berkata, LAUNCHPAD akan diperkenalkan secara berperingkat menerusi siri showcase di seluruh Asia Tenggara bermula penghujung tahun 2026 hingga awal tahun 2027.

“Setiap edisi akan menampilkan persembahan eksklusif berskala intim yang disokong oleh penglibatan media, kandungan digital asli, kerjasama jenama serta aktiviti bersama peminat.

“Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan perkembangan artis, memperkukuh keterlihatan mereka di peringkat serantau serta membuka lebih banyak peluang komersial.

Yusry anggap pemilihanya untuk LAUNCHPAD satu peluang untuk cari peminat muda.

“Kalau kita buat fan meeting di Malaysia, kita akan bawa beberapa artis dari luar negara datang sini. Begitu juga kalau kita buat LAUNCHPAD di Vietnam, kita akan bawa artis dari Malaysia atau Indonesia ke sana.

“Kita akan bawa LAUNCHPAD ini ke setiap negara di Asia Tenggara, ia macam satu jenama yang kita tubuhkan dan jadi satu rangkaian yang konsisten,” jelasnya.

Bagi Yusry pula, penglibatannya d LAUNCHPAD merupakan satu inisiatif baik untuk kerjaya seninya yang baru saja muncul dengan album solo, “Eternal”.

“Mesti ada yang pelik lihat saya yang sudah 34 tahun dalam bidang seni ini masih nak sertai LAUNCHPAD berbanding dua kumpulan yang masih baharu itu.

“Bagi saya ini adalah pasaran yang baharu di mana mereka ada perancangan yang lebih besar di luar sana. Ini satu inisiatif yang baik untuk kita sama-sama kongsi muzik di luar negara.

“Kalau nak ikutkan selama ini budaya dan bahasa mengasingkan kita tapi Korea
telah membuktikan muzik itu universal. Sekarang adalah masanya untuk kita terima muzik sebagai satu universal dan bukan setakat perlu difahami tapi kalau faham muzik, kita secara tak langsung boleh memahami apa yang diperkatakan,” kata yang diiringi oleh kumpulan Aura sewaktu persembahan.

Exists kembalikan nostalgia penonton

Oleh: Khadijah Ibrahim

MEMANG puas hatilah dapat menonton Konsert Exists Momento Mori yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2026.

Boleh dikatakan rata-rata yang hadir adalah mereka yang membesar dengan lagu-lagu Exists yang mula bertapak dalam industri muzik tanah air sejak 1991.

Seperti kumpulan muzik lain, Exists pun ada ‘drama’ tersendiri sepanjang perjalanan karier mereka, termasuklah pengunduran gitaris, vokalis utama dan pemain keyboard mereka.

Selepas album pertama berjudul “Exist” dikeluarkan, Shah mengundir diri daripada kumpulan tersebut pada 1992. Manakala Mamat yang hingga kini dikenali kerana lagu “Untukmu Ibu” mengambil langkah membawa haluan sendiri pada 1995 kerana mahu memulakan kerjaya nyanyian secara solo dan tempatnya diganti oleh Ezad Lazim.

Ezad turut mendendangkan single baharu Exists, “Memilih Yang Salah”.

Manakala pemain keyboard Exists iaitu Ajai pula mengambil keputusan berpisah dengan Along (gitar), Musa (bes) dan Ujang (dram) pada 1998 selepas bersama untuk empat album pertama kerana memilih untuk membina kerjaya solo dan menjadi komposer, namun tetap mengekalkan hubungan baik.

Namun sempena 35 tahun Exists mengatur langkah dalam industri muzik, pada konsert anjuran Icon Entertainment itu, kesemua anggota Exists kembali berkumpul untuk melakar momen indah bersama peminat-peminat yang menyokong kerjaya seni mereka selama ini.

Ternyata remaja yang memulakan karier sejak di bangku sekolah hingga kini berstatus bapa dan masing-masing ada kerjaya tersendiri masih ‘power’ mengadakan persembahan seperti era remaja dulu. Dek hubungan ‘brotherhood’ anggota Exists kembali bergabung.

Kalau dinilai dari segi persembahan, vokal Ezad atau Mamat masih ‘maintain’ seperti yang kita dengar dari kaset atau cakera padat (CD). Selain daripada kelunakan suara mereka, konsert tersebut terus menghiburkan kerana lagu-lagu dendangan Exists kebanyakannya adalah malar segar.

Ezad dan Mamat berpadu suara mendendangkan lagu “Langkah Seiringan” dan “Alasanmu” sebelum menutup tirai persembahan.

Persembahan yang bermula kira-kira jam 8.50 malam itu dimulakan dengan lagu “Percayakan Siti”, kemudian disusuli dengan lagu “Mama Tolong Percaya”, ” Masih Terserlah Ayumu” dan Hilang Dalam Ramai” yang dimuatkan dalam album studio kelapan Exists iaitu “Paragon”, keluaran 2004.

Selepas Ezad selesai membuka tirai persembahan dengan empat buah lagu, kemudian Mamat pula mengambil alih pentas. Mamat mendendangkan lagu yang pada pendengaran penulis tidak komersial bagi mereka yang hanya mengikuti lagu di corong radio berbanding peminat ekstrem Exists.

Lagu pertama dendangan Mamat adalah “Anugerah” yang juga judul album kedua Exists yang dikeluarkan pada 1993. Kemudian diikuti dengan lagu “Meniti Cita-Cita” dan “Janji Bidadari”. Kedua-dua lagu tersebut dipetik daripada album sulung kumpulan tersebut.

Tiga lagu awal nyanyian Mamat kurang mesra di pendengaran telinga penulis (mungkin tidak pada orang lain) tapi apabila beliau mendendangkan lagu keempat, “Nota Di Lautan Sepi”, penonton pun turut menyanyi sama.

Exists mengembalikan nostalgia penonton di Konsert Exists Momento Mori, baru-baru ini.

Kemudian Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 47, kembali tampil dengan mendendangkan lagu “Jangan Gentar”, “Dengan Atau Tanpamu”, “Dirantai Digelangi Rindu” dan “Hani Lempengnya Hangus”.

Untuk lagu ke-13, Mamat atau Mohd Ali Kamaruddin, 48, kembali mendendangkan lagu “Buih Jadi Permaidani”, lagu ciptaan Saari Amri yang turut dipasarkan di Indonesia pada 1998, tapi kalau di Malaysia lagu itu lebih popular dengan judul “Mengintai Dari Tirai Kamar” yang dimuatkan dalam album “Jangan Gentar”.

Tatkala Ezad atau Mamat menyanyikan lagu yang jarang ditampilkan sewaktu konsert seperti ” Hidupan Fantasi”, “Kuman HIV”, “Konklusi”, “Oh! Benih Adam”, dan “Sebelum Terlewat” yang lebih kepada irama rock, penonton yang mampu ‘headbanging’ tanpa bersuara.

Berbeza tatkala lagu “Janji Padamu”, “Rahsia Pohon Cemara”, “Tak Mungkin Berpaling”, “Untukmu Ibu”, “Kapal Terbang Kertas”, “Jesnita”, “Langkah Seiringan” dan “Alasanmu”, dinyanyikan, automatik akan ada suara latar daripada penonton yang turut menyanyi bersama.

Iman Tang (tiga dari kiri) penganjur konsert, bersama anggota Exists.

Sebanyak 33 buah lagu disampaikan termasuk sebuah single baharu “Memilih Yang Salah” nyanyian Ezad yang dikeluarkan sempena konsert Momento Mori.

Tidak dinafikan mana-mana kumpulan muzik legenda yang mengadakan konsert pada waktu yang bersesuaian, pasti akan mendapat sambutan hangat.

Ini kerana penonton sudah ‘terikat’ dengan lagu-lagu dendangan mereka yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masing-masing.

Justeru itu bagi mana-mana penyanyi yang mahu merakam lagu, pastikan karya tersebut bersifat malar segar dan bukan popular untuk semusim dua saja.

‘Bulan Henti Bicara’ buat penonton geram

Oleh: Khadijah Ibrahim

ADAKAH anda sudah menjadi penonton setia untuk Slot MegaDrama, Astro Ria sejak 27 Julai lalu? Jangan malu untuk mengaku kerana ramai juga yang ‘terjebak’ seperti anda gara-gara drama ‘Bulan Henti Bicara’ yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria, dan boleh distrim menerusi Sooka.

Baru beberapa episod, penonton sudah mula geram dengan watak Jamali, lakonan Azhan Rani. Rata-rata netizen mengakui watak tersebut berjaya membuatkan mereka geram, dan ini membuktikan lakonan Azhan cukup mantap.

Untuk drama 28 episod arahan Eyra Rahman ini, watak yang dibawa oleh Azhan seakan sama dengan watak Ustaz Hamadi yang dilakonnya dalam drama ‘Nur’, iaitu berselindung di sebalik agama.

Azhan Rani melakonkan watak Jamali, yang berjaya membuatkan penonton geram dengan karakternya itu.

Meskipun melakonkan karakter suami dan seorang agamawan, jelas Azhan penjiwaannya untuk setiap watak berbeza.

“Setiap kali saya terlibat dengan naskhah baharu, saya akan kosongkan jiwa dari segala apa yang saya perlu buat. Kalau nak katakan yang baharu atau kelainan, agak sukar sebab pusing-pusing, sama sahaja. Cuma nama karakter dan tajuk drama yang berbeza.

“Namun saya dibantu oleh naskhah yang baik dan pengarah yang kuat OCD-nya (obsessive compulsive disorder atau kecelaruan obsesif kompulsif), dia sangat teliti dan itu membantu saya sebagai pelakon. Saya dikawal oleh pengarah kerana saya sukar dikawal.

“Pengarah yang tahu arah Jamali harus pergi supaya saya tak terikat dengan kebiasaan saya dan supaya yang keluar adalah Jamali dan bukan Azhan Rani,,” jelas Azhan tentang drama yang diadaptasi daripada novel ‘Bulan Henti Bicara’, karya Rissa Ahdiya.

Zulfa, lakonan Ezzanie Jasny dipaksa kahwin dengan Jamali oleh bapanya.

Dalam masa sama, penonton turut memuji Ezzanie Jasny yang membawa watak Zulfa dengan penuh penghayatan. Ramai meluahkan rasa simpati melihat pengorbanan Zulfa yang sanggup mengenepikan kebahagiaan diri demi keluarga, sehingga ada yang mengakui episod pertama sahaja sudah cukup membuatkan mereka sebak.

Ini kerana Zulfa yang membesar dalam keluarga serba kekurangan, dipaksa kahwin oleh bapanya, Pak Karman (Hushairy Hussein) dengan Jamali. Bapanya percaya, Jamali seorang lelaki yang beragama dan mampu menjamin kehidupan anaknya. Demi memenuhi hasrat itu, Zulfa terpaksa mengorbankan cinta pertamanya, Afghan (Ali Reza Kavoosi) walaupun mereka pernah berjanji untuk hidup bersama.

Perkahwinan yang diharapkan membawa bahagia rupa-rupanya menjadi titik mula penderitaan. Zulfa hidup bersama seorang suami yang menggunakan agama sebagai alasan untuk mengawal dan menghukum dirinya sehingga dia terperangkap dalam hubungan yang penuh luka.

Kemunculan Faziah, lakonan Azar Azmi, isteri pertama Jamali menambahkan lagi luka Zulfa.

Selepas lama menyepi Azar Azmi kembali berlakon menerusi watak Faziah dalam drama ‘Bulan Henti Bicara’

Bagi Azar yang kembali berlakon selepas tujuh tahun menyepi membuktikan bahawa beliau masih mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan tempatan.

Kemunculan Azar bukan sekadar penampilan semula di kaca TV, malah beliau membawa watak yang penuh emosi dalam sebuah naskhah yang mengangkat isu kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan dan penderaan rumah tangga.

“Saya mengambil masa seminggu untuk memberi jawapan menerima watak Faziah yang diberikan. Untuk jadi Faziah bukan mudah kerana dia mengharapkan kasih sayang tetapi tidak dapat.

“Untuk menerima watak ini, saya diyakinkan sendiri oleh penerbit, pengarah dan pasukan kerja. Alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan kak Eyra.

“Kak Eyra sebagai pengarah sangat membantu untuk membentuk seorang Faziah dan menjadikan apa yang penonton lihat pada hari ini,“ jelas Azar.

Dengan gabungan jalan cerita yang sarat emosi, lakonan mantap serta kemunculan semula Azar yang dinanti-nantikan peminat, ‘Bulan Henti Bicara’ dilihat berpotensi menjadi antara naskhah paling diperkatakan tahun ini dan meneruskan momentum kejayaan slot Megadrama Astro.

Negeri Sembilan dan Iktibar Hikayat Tiga Negara

Oleh Datuk Omar Mustapha
Naib Presiden, Parti Wawasan Negara

Detik besar dalam politik jarang disedari ketika ia berlaku. Ramai akan mengingati pilihan raya Negeri Sembilan sebagai satu lagi pilihan raya negeri, dikenang kerana kekalahan Setiausaha Agung DAP dan Menteri Besar penyandang, dan tidak lebih daripada itu. Tetapi di sebalik nama-nama besar itu, ada perubahan yang jauh lebih mendalam, yang sudah lama menghampiri dan kini tiba. Zaman satu parti Melayu menguasai segala-galanya sudah berakhir. Kita kini memasuki zaman kepimpinan Melayu yang saling melengkapi. Tiada satu parti Melayu pun yang mampu memerintah bersendirian lagi. Masa depan adalah milik gabungan yang memahami kekuatan masing-masing, bukan yang berlumba meniru satu sama lain.

Keadaan ini mengingatkan saya kepada Hikayat Tiga Negara, atau lebih dikenali sebagai Sam Kok di kalangan penduduk Tionghua di Malaysia, salah satu karya sastera Cina yang paling agung dan paling banyak disalah faham. Ramai menyangka ia kisah peperangan. Sebenarnya ia kisah tentang gabungan. Selepas Dinasti Han runtuh, tiada satu kerajaan pun yang cukup kuat untuk menyatukan China. Wei memiliki tentera dan wilayah terbesar. Shu memiliki kebijaksanaan strategi. Wu menguasai laluan dan kekayaan. Kemenangan besar di Tebing Merah dicapai bukan kerana satu kerajaan mengalahkan semua yang lain, tetapi kerana dua kerajaan sedar bahawa bersama-sama mereka mampu mencapai apa yang mustahil dicapai bersendirian. Zhuge Liang, ahli strategi teragung zaman itu, tidak pernah cuba menjadikan Shu seperti Wei. Dia menerima hakikat bahawa tenteranya tidak akan menandingi tentera Wei. Maka dia membina kekuatan melalui kerjasama dan kelebihan yang berbeza. Pengaruh yang kekal, dia faham, bukan datang daripada meniru kekuatan orang lain, tetapi daripada menggabungkan kekuatan yang berbeza menjadi satu.

Negeri Sembilan menceritakan kisah yang sama. Barisan Nasional mencatat pencapaian paling cemerlang dalam pilihan raya ini. UMNO bertanding enam belas kerusi dan memenangi kesemua enam belas. Rekod penuh ini menjawab segala keraguan tentang pemulihan jentera parti. Bersama rakan-rakan gabungannya, BN memperoleh lapan belas kerusi. Namun lapan belas kerusi dalam dewan yang mempunyai tiga puluh enam kerusi masih kekurangan satu untuk majoriti. Parti tertua di negara ini membuktikan kekuatannya dan batas kemampuannya dalam keputusan yang sama.

Perikatan Nasional pula memenangi tujuh kerusi. PAS memenangi empat daripada lima kerusi yang ditandinginya, sekali lagi membuktikan ia memiliki jentera pilihan raya paling berdisiplin dalam politik Melayu. Wawasan, parti yang saya anggotai dan antara yang termuda di negara ini, memenangi tiga daripada empat kerusi yang diperuntukkan kepadanya. Secara berasingan, kedua-dua gabungan tidak mampu memerintah. Bersama-sama, mereka kini memerintah dengan dua puluh lima kerusi. Dan dua puluh lima daripada tiga puluh enam bukan sekadar majoriti. Ia majoriti dua pertiga, tahap di mana sesebuah kerajaan bukan lagi sekadar mengurus dewan, tetapi mampu membentuk hala tuju negeri.

Angka-angka ini membawa pengajaran yang lebih besar daripada Negeri Sembilan sendiri. UMNO tidak memerlukan PAS untuk membuktikan pengaruh pilihan rayanya. PAS tidak memerlukan UMNO untuk membuktikan disiplin jenteranya. Kekuatan yang berbeza tidak merendahkan sesiapa. Sebaliknya, setiap pihak menjadi lebih bernilai kerana menyumbang apa yang tidak mampu ditiru oleh pihak lain. Itulah pengajaran abadi Hikayat Tiga Negara. Wei kekal sebagai Wei. Shu kekal sebagai Shu. Wu kekal sebagai Wu. Kerajaan-kerajaan yang membentuk sejarah tidak menang dengan menjadi serupa. Mereka menang apabila menyedari bahawa kekuatan yang saling melengkapi lebih ampuh daripada persamaan yang saling bersaing.

Penulis bersama tokoh Negarawan Tun M.

Ini membawa saya kepada Wawasan. Kepentingannya dalam keputusan ini tidak diukur dengan jumlah kerusi. Dan kerana saya memegang jawatan dalam parti ini, biar saya nyatakan tanggungjawabnya, bukan pencapaiannya. UMNO dan PAS ialah dua rumah lama politik Melayu. Antara keduanya terbentang tujuh dekad persaingan, prasangka dan kenangan pahit. Sejarah mengajar kita bahawa rumah-rumah lama tidak berdamai melalui perasaan semata-mata. Ia berdamai melalui perantara: parti dan tokoh yang dipercayai kedua-dua pihak kerana tidak berpihak sepenuhnya kepada mana-mana. Di Tebing Merah, pakatan yang mengubah sejarah China tidak lahir dengan sendirinya. Ia dibina oleh mereka yang mampu berulang-alik antara dua kubu dan diterima di kedua-duanya. Itulah amanah yang mesti diusahakan oleh Wawasan. Amanah ini bukan tercetus secara kebetulan. Ia adalah binaan yang direncanakan sejak awal oleh pengasas dan Presiden kami, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, yang menubuhkan Wawasan dengan satu keyakinan: bahawa perpaduan Melayu memerlukan jambatan, dan jambatan itu mesti dibina sebelum ia diperlukan. Di Negeri Sembilan, jelas kepada semua bahawa jambatan yang diusahakan beliau menjadi asas kepada segala-galanya. Tanggungjawab kami bukan merebut pengundi UMNO daripada UMNO, dan bukan merebut pengundi PAS daripada PAS. Tanggungjawab kami ialah menjadikan gabungan ini lebih besar daripada kemampuan mana-mana satu parti: menjadi jambatan yang menghubungkan dua seteru lama ke arah satu tujuan pemerintahan bersama, dan mendekati pengundi serta masyarakat yang berada di luar jangkauan kedua-duanya. Jambatan dinilai berdasarkan apa yang melintasinya, bukan apa yang didakwanya.

Makna terdalam Negeri Sembilan bukan pada kiraan kerusi mana-mana parti. Ia pada hakikat bahawa cita-cita lama perpaduan politik Melayu, yang dicuba dan gagal berkali-kali sejak merdeka, kini mempunyai kiraan yang cukup dan binaan yang tersusun: dua kekuatan yang teruji dan satu jambatan di antaranya. Sama ada binaan ini kekal tidak bergantung pada jentera pilihan raya. Ia bergantung pada disiplin saling menghormati. Kerana gabungan yang saling melengkapi tidak runtuh apabila kalah pilihan raya. Ia runtuh apabila ahli-ahlinya mula mengidamkan peranan satu sama lain. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Itulah pengajaran sebenar Hikayat Tiga Negara. Bukan kerajaan terkuat yang menang. Kekuatan memenangi pilihan raya. Sepakat membentuk sejarah.

Gandingan mantap Amylea bersama Quarto

Oleh: Khadijah Ibrahim

MESKIPUN Amylea Azizan, 40, lebih banyak bergerak di belakang tabir sebagai komposer dan penulis lirik, bakatnya sebagai penyanyi tidak pernah padam.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005 itu juga mempunyai beberapa single popular dan pernah memiliki album berjudul “Selepas 3” yang diterbitkan pada 2009.

Seperti penyanyi lain Amylea juga menyiimpan impian untuk menjayakan showcase atau konsert sendiri. Untuk permulaan, pada 21 Jun 2026 beliau bergabung dengan kumpulan Quarto menjayakan Amylea X Quarto Live Showcase 1.0 di One City Subang Jaya.

Amylea Azizan bukan sekadar menyanyi, dia juga komposer dan penulis lirik.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada peminat, maka sekali lagi pemenang tempat ketiga AF3 itu bergandingan dengan Quarto untuk menjayakan Amylea X Quarto Live Showcase Showcase 2.0, di Saudagar Heritage Kitchen, Pejabat Pos Besar KL, Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, pada 25 Julai baru-baru ini.

“Alhamdulillah, selepas menjayakan showcase pertama, kami mendapat maklum balas positif daripada peminat. Atas sokongan dan komen positif daripada mereka, kami bersedia meneruskan persembahan tersebut.

“Untuk showcase kedua ini, ia bukan sekadar ulangan kepada persembahan terdahulu, tetapi merupakan penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan. Sokongan itu sangat bermakna buat kami.

“Amylea X Quarto Live Showcase 2.0 lahir daripada kasih sayang peminat terhadap muzik kami. Kali ini kami hadir dengan susunan muzik yang lebih segar, lebih intim dan sarat dengan emosi.

Kembali menjayakan showcase kedua bersama Quarto, baru-baru ini.

“Saya berharap setiap yang hadir akan membawa pulang sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Amylea.

Rata-rata yang hadir ke showcase 2.0 yang berdurasi 90 minit itu tampak terhibur dan berpuas hati kerana penonton menghayati lebih 10 buah lagu yang dipersembahkan dalam susunan muzik eksklusif, menggabungkan kekuatan vokal Amylea dengan sentuhan muzik Quarto yang cukup sinonim dengan persembahan elegan dan berkualiti.

Quarto adalah sebuah ensembel muzik kontemporari yang dianggotai oleh Migo (Gitar), Hadi (Biola), Qura (Biola), Jill (Cello) dan Adam (Jurutera Audio).

Di bawah pengurusan Migo’s Garage, Quarto dikenali dengan gabungan instrumen bertali, gitar klasik dan elemen moden yang menghasilkan identiti muzik tersendiri, menggabungkan pengaruh Pop, Muzik Klasik dan Melayu Asli dalam satu persembahan kontemporari yang segar.

Amylea X Quarto Live Showcase 2.0 diadakan atas permintaan daripada peminat.

Manakala, Amylea yang sudah 21 tahun terlibat dalam industri muzik, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi, komposer dan penulis lirik yang dihormati di Malaysia.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan lebih 100 buah lagu, bukan sahaja untuk nyanyiannya sendiri malah untuk ramai artis popular tanah air.

Kerana konsisten menghasilkan karya yang menyentuh emosi dan dekat di hati pendengar, Amylea sering digelar oleh peminat sebagai “Melly Goeslaw Malaysia”.

Pada malam istimewa itu, Amylea mempersembahkan lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat seperti Kendati, Bukan Cinta, Tak Pernah Hilang dan Satu Cinta. Amylea juga turut mendendangkan karya terbaharu beliau yang bertajuk Genasara dan Binasa yang menjadi runut bunyi Sujud Terakhir Encik Norman.

Selain itu, Amylea turut membawa penonton menyelami perjalanan beliau sebagai pencipta lagu menerusi karya-karya yang telah dipopularkan oleh penyanyi lain, antaranya Akan Tiba (Alif Satar), Satu Cinta (Ernie Zakri) dan Seribu Tahun Lagi (Imran Ajmain).

Kini peminat Amylea sudah boleh bersatu di bawah Club Amy.

Gabungan vokal Amylea yang penuh penghayatan bersama susunan muzik Quarto menjadikan setiap lagu dipersembahkan dalam dimensi baharu yang lebih elegan dan dekat di hati penonton.

Dengan latar suasana warisan di tengah-tengah ibu kota, Amylea X Quarto Live Showcase 2.0 bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi sebuah malam yang meraikan karya, persahabatan dan kecintaan terhadap muzik tempatan.

Sebagai kejutan istimewa, turut menyaksikan penampilan khas usahawan kosmetik terkenal Datuk Sri Alha Alfa, yang bergandingan bersama Amylea menerusi lagu Pamit dan Kita Bikin Romantis.

Selain persembahan utama, malam tersebut turut menyaksikan pra-pelancaran CLUB AMY, sebuah komuniti rasmi yang diwujudkan sebagai platform untuk menghimpunkan peminat setia Amylea.

Penubuhan CLUB AMY ini menjadi simbol penghargaan terhadap sokongan yang diberikan sepanjang lebih dua dekad perjalanan seni beliau, di samping membuka ruang kepada pelbagai aktiviti eksklusif bersama peminat pada masa hadapan.