Home Blog Page 12

Siti Nurhaliza pilih Odda sebab dia ada kelebihan tersendiri

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU menyertai program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim pertama pada 2025, Auddra Zulkifli atau Odda, 17, bukanlah juara. Beliau bersama pengurusnya, Sharifah Shahirah atau Shiera menduduki tempat ketiga daripada enam finalis.

Tanpa memegang gelaran juara, Odda tetap berpeluang menjadi artis rakaman. Lagu pertama yang Odda rakam adalah “Dentam Dentum Raya” kolaborasi dengan Ammar Haikal dan Hadie Elfardie yang menduduki tempat keempat dan kelima dalam TTMM.

Malah penampilan Odda turut mendapat perhatian kumpulan Floor 88 untuk bergandingan dengan mereka menerusi lagu “Yeye Raya”.

Siapa sangka rezeki Odda dalam bidang seni suara tidak perlu menunggu lama kerana selepas program tersebut beliau dilamar untuk menjadi artis di bawah naungan syarikat SN Legacy Sdn. Bhd.

Odda sudah ada single solo sendiri, “Gelanggang Rasa”.

Terkini, Odda baru saja melancarkan single solo pertamanya berjudul “Gelanggang Rasa” yang menampilkan irama pop kontemporari dengan suntikan elemen R&B yang sesuai dengan identiti muzik Odda.

“Gelanggang Rasa” merupakan hasil ciptaan Micu Ellis dan Mingaling yang juga bertindak sebagai penerbit, manakala lirik ditulis oleh Micu Elis bersama Aril Armani.

Lagu ini menggambarkan kebebasan serta keyakinan untuk mencari diri dan melepaskan segala bebanan yang ada.

“Apabila pertama kali mendengar demo “Gelanggang Rasa”, saya tahu ini adalah jiwa saya. Lagu ini bercerita tentang bagaimana kita semua berjuang dengan perasaan sendiri dalam menempuh fasa kehidupan.

“Sebagai pertaruhan single solo pertama, saya meletakkan sepenuh hati dan jiwa dalam proses rakaman. Saya berharap lagu ini dapat menjadi titik permulaan yang baik untuk saya menapak lebih jauh dalam industri muzik, sekali gus menyentuh hati sesiapa saja yang mendengarnya,” Odda.

Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pemilik SN Legacy berkata, pihaknya memberi kebebasan kepada artis naungannya untuk memilih sendiri karya yang sesuai dengan jiwa artis terbabit.

Odda memiliki bakat seni yang di warisi daripada kedua ibu bapanya.

“Kita memang dah study muzik apa yang paling sesuai dengan karakter dan suara Odda dan apa yang dia minat. Waktu TTMM lagi Odda ni lebih kepada lagu-lagu yang pop dan ala-ala K-pop. Itu yang kena dengan jiwanya.

“Sebab itulah kita pilih konsep macam ni supaya nampak apa yang dia suka. Alhamdulillah, saya sebagai orang dalam bidang seni, saya melihat memang kenalah dengan suara dan perwatakannya.

“Saya harap peminat boleh menerima macam mana penampilan atau muzik single “Gelanggang Rasa” daripada Odda ini. Lagu seperti ini sesuai untuk Gen Z. Odda ada market dan peminat tersendiri.

“Saya bangga dengan Odda dan dia pun sangat bekerja keras dengan usia muda ini. Dia bukan buat satu kerja menyanyi saja tapi dia juga berlakon dan menjadi pengacara. Memang jadualnya susah saya nak dapat. Saya ingat saya jadual saya saja orang susah nak dapat tapi jadual dia pun susah.

“Sebenarnya kita rancang untuk rakaman lebih awal tapi dia banyak job. Baguslah, rezekinya. Akhirnya dapat juga buat rakaman. Odda memang senang dididik, senang menerima nasihat dan biasalah budak, ada dia punya perangai. Saya layan saja dan tak boleh paksa. Kalau kita paksa nanti mereka tak boleh bagi yang terbaik,” cerita Siti tentang Odda yang merupakan artis kedua SN Legacy selepas Umai.

Meskipun Siti ada kuasa menentukan corak muzik untuk Odda, namun beliau lebih suka bersikap terbuka bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Siti Nurhaliza memilih artis yang berdisiplin dan berbakat untuk bernaung di bawah syarikatnya.

“Untuk pemilihan single ini, kita tanya dia dulu, suka atau tak suka. Apa-apa pun artis kena rasa lagu itu kena dengan jiwanya atau tidak. Bila Odda kata okey dengan lagu tu, saya dengar dan komen. Kalau ada kekurangan kita buat penambahbaikan. Sebenarnya dia sudah rakam sebuah lagi lagu, cuma kita tak keluarkan lagi dan fokus pada lagu ini dulu.

“Selain Odda dan Umai, saya memang mencari artis baharu untuk SN Legacy tapi bukan main ambil saja. Bagi saya yang penting adalah disiplin, macam mana saya susah dulu. Saya nak mereka menjadi orang yang sabar dan tabah.

“Sebab kadang-kadang anak-anak muda mudah patah semangat ataupun tak boleh diajar. Biarlah dia sendiri minat. Macam Odda, dia sendiri minat sebab tu dia boleh buat semua kerja. Dia dah melihat ibu ayahnya daripada awal sebab keluarganya orang industri dan dia sudah memahami. Berbeza dengan orang yang hanya suka-suka dan tidak serius.

“Saya nampak kebolehan yang ada pada Odda sejak di TTMM lagi. Ada orang memang ada pakej suara yang hebat tapi Odda ada kelebihan tersendiri. Kita pula dalam bisnes takkan kita nak ambil orang yang kita rasa dah lengkap tapi tak boleh jual.

“Kita fikir juga sebab bisnes is bisnes. Odda ni dia kena menyanyi ikut kelebihan yang dia ada, kita tak boleh paksa dia nyanyi lagu slow atau ballad. Buat masa ini kekuatannya bukan lagu ballad, sebab tu Odda kena konsep begini kerana di situ kelebihannya.

“Dia boleh menari dengan baik dan menyanyi lagu yang simple dan catchy. Cuma dia perlu banyak lagi latihan untuk persembahan yang lebih besar. Sebab itu saya pilih Odda kerana pada saya dia layak,” ulas Siti kenapa Odda menjadi pilihannya.

Perlawanan amal Selebriti Hong Kong dan Selangor FC Legends 10 Oktober ini

Oleh : Nafsiah Jani

KELAB bola sepak selebriti Hong Kong, FC3 Club bakal kembali ke Malaysia bagi menjayakan perlawanan amal ‘The Bridge of Legends Hong Kong Celebrities Football Friendly Match’ menentang Selangor FC Legends di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 10 Oktober depan.

Perlawanan bola sepak amal anjuran Orange Leisure Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pew Pew Resource itu nanti bakal menghimpunkan bintang-bintang Hong Kong dan legenda bola sepak Selangor. Sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada Make-A-Wish Malaysia bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.

Majlis pelancaran disaksikan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Datuk Lee Chong Haw penasihat Selangor FC Legends, Aladdin Mostafa, Ketua Pegawai Operasi Selangor FC Legends, Irene Tan (CEO Make-A-Wish Malaysia), Datin Karen Liew (Ahli Lembaga Pengarah Make-A-Wish Malaysia), Jimmy Goh (Pengarah Urusan Orange Leisure, Winnie Ng (Pengurus Besar Orange Leisure dan Ms. Pang, CEO dan penganjur Bersama Pew Pew Resource.

Datuk Lee Chong Haw, Penasihat Selangor FC Legends (tiga dari kanan) Mr. Aladdin Mostafa, CO0 Selangor FC Legends ketika majlis menandatangani MOU bersama Hong Kong Celebrities Football Team FC3 Captain Locker Lam.

FC3 Club mempunyai hubungan istimewa dengan Malaysia kerana kelab itu ditubuhkan ketika penggambaran drama Hong Kong Fearless di negara ini pada 2024 sebelum berkembang menjadi sebuah pasukan yang kini dianggotai lebih 20 pelakon, penyanyi dan penggiat industri hiburan.

Carlos Chan, Locker Lam, Adrian Chau, Tony Wu dan bekas pemain antarabangsa Hong Kong, Kumar So menyifatkan Malaysia sebagai “tempat kelahiran” FC3 Club.

“Segalanya bermula di Malaysia dan kini kami kembali semula untuk beraksi dalam perlawanan yang bakal memberikan makna yang cukup istimewa kepada kami,” kata mereka pada sidang media di Kuala Lumpur.

Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bergambar kenangan bersama Hong Kong Celebrities Football Team FC3 Club.

Kelab yang berteraskan falsafah Standing Strong at Thirty ini menekankan persahabatan, semangat berpasukan dan gaya hidup sihat.

Antara pemain yang bakal mengambil bahagian ialah Kaho Hung, Jer Lau (Jer@MIRROR), Carlos Chan, Tony Wu, Adrian Chau, Edward Ma, Elvin Wong, Jonathan Li, Terry Ng, Kumar So dan Locker Lam yang akan bertindak sebagai kapten pasukan.

Locker Lam berkata, cabaran terbesar kami adalah mengumpulkan semua pemain untuk menjalani latihan kerana masing-masing mempunyai jadual penggambaran yang padat.

Gambar kenangan Selangor FC Legends bersama Hong Kong FC3 Club.

“Walaupun sukar mengumpulkan semua orang untuk berlatih, melihat persahabatan yang terjalin dan perkembangan kelab ini menjadikan segala usaha amat berbaloi,” katanya.

Dalam perlawanan amal itu nanti, FC3 Club bakal menentang pasukan Selangor FC Legends yang memiliki rekod 33 kejuaraan Piala Malaysia dan merupakan pasukan legenda dan kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Jualan tiket akan dibuka pada 30 Julai bermula pukul 12 tengah hari dengan harga RM368, RM168, RM98 dan RM68 mengikut kategori, tidak termasuk caj tempahan. Tiket boleh dibeli menerusi platform Fantopia.io, Maoyan dan uutix.

 

Syamel ada album sulung, selepas 10 tahun

Oleh: Khadijah Ibrahim

IMPIAN setiap penyanyi adalah untuk memiliki album dan menjayakan konsert sendiri. Namun sekarang, orang jarang menghasilkan album kerana pasaran lebih tertumpu kepada digital.

Lagipun kos menghasilkan album lebih tinggi berbanding mengeluarkan single atau melqncarkan lagu satu persatu. Namun selepas menunggu selama 10 tahun, akhirnya Syamel, 33, memiliki album sulung yang berjudul “PERTAMA”.

Album “PERTAMA” Syamel mengandungi enam lagu, yang menghimpunkan kisah tentang kehilangan, kerinduan, harapan dan keberanian untuk memulakan semula, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.

“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya.

Bagi Syamel, beliau rela menunggu lama asalkan produk yang dihasilkan berkualiti.

“Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” kata Syamel yang nama penuhnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly.

Judul “PERTAMA” membawa dua makna: ia adalah album pertama Syamel, dan pada masa sama melambangkan keberanian untuk bangkit selepas kegagalan, kehilangan atau kekecewaan.

Menurutnya, album ini juga merupakan tanda terima kasih kepada peminat yang terus menyokongnya sepanjang 10 tahun lalu.

Syamel menyusun lagu-lagudalam album “PERTAMA” seperti sebuah buku dengan enam bab. Setiap lagu mempunyai cerita, warna dan emosi tersendiri, namun keseluruhannya membentuk satu perjalanan yang lengkap apabila didengar mengikut susunan trek.

Syamel turut menulis lirik dan mencipta lagu yang dimuat dalam album sulungnya.

Senarai trek “PERTAMA” dimulai dengan lagu “Beribu Tanda Tanya”, “Cukup Sekali”, “Aku Bukan Dia”, “Dalam Kenangan”, “Tunjukkan Ku Bahagia” dan “PERTAMA”.

Bagi merealisasikan visi itu, Syamel bekerjasama dengan Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin.

Syamel bukan setakat menyanyi, beliau juga terlibat dalam penulisan serta penciptaan “Cukup Sekali”, “Dalam Kenangan” dan “Aku Bukan Dia” bagi memastikan identiti album kekal dekat dengan dirinya.

“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” ujarnya.

Syamel mendendangkan lagu daripada album “PERTAMA” sewaktu majlis pelancaran, baru-baru ini.

Walaupun sebahagian lagu diinspirasikan daripada pengalaman peribadi, album ini turut menyerap kisah dan emosi orang di sekelilingnya.

Bagi Syamel, perasaan seperti kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan bersifat universal dan muzik memberi ruang kepada pendengar untuk mentafsir setiap lagu melalui pengalaman masing-masing.

“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.

Album “PERTAMA” kini tersedia di semua platform penstriman digital, Apple Music, Spotify, YouTube Music, KKBOX dan Deezer.

Mila Jirin kembali rakam lagu, “Tersimpan Dalam Hati”

Oleh: Khadijah Ibrahim

MUNGKIN ada di antara anda sudah lupa yang Mila Jirin adalah penyanyi dan beliau merupakan juara Akademi Fantasia musim kelima.

Maklumlah sekarang ini nama Mila lebih dikenali sebagai usahawan yang terlibat dalam industri perkahwinan, katering dan dewan bankuet di Malaysia menerusi jenama Bizmilla.

Sejak beroperasi pada 2013 hingga kini Bizmilla Catering & Services by Mila Jirin mempunyai kira-kira 17 hingga 18 dewan jamuan yang beroperasi
di beberapa cawangan utama merangkumi negeri Selangor, Putrajaya, Johor, dan Pulau Pinang.

Selepas lebih sedekad memberi tumpuan kepada dunia keusahawanan dan membina Bizmilla yang telah mengendalikan lebih 10,000 majlis serta meraikan lebih 10 juta tetamu di seluruh Malaysia, Mila akhirnya kembali ke dunia muzik menerusi single terbaharu berjudul “Tersimpan Dalam Hati.”

Bekerjasama dengan pasukan Nova Music bagi urusan pengedaran digital.

Akui Mila, di tengah-tengah tanggungjawab tersebut, impian beliau untuk kembali ke dunia muzik hampir terkubur.

Bagi Mila atau Norsyarmilla Jirin, 39, kembalinya beliau ke dunia seni, bukan sekadar membawa sebuah lagu baharu. Ia merupakan perjalanan pulang seorang penyanyi yang tidak pernah meninggalkan cintanya terhadap muzik.

Lagu “Tersimpan Dalam Hati”, adalah karya balada moden yang mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang dipendam.

Bagi Mila, lagu ini bukan sekadar sebuah karya baharu, sebaliknya sebuah refleksi perjalanan hidup yang dilalui sepanjang lebih sedekad sebagai usahawan, isteri, ibu dan anak seni. Di tengah-tengah tanggungjawab tersebut, impian untuk kembali ke dunia muzik hampir terkubur.

Proses rakaman lagu terkini Mila dilakukan di Jakarta, Indonesia.

“Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian untuk kembali menyanyi masih ada ruang dalam hidup saya. Tetapi saya percaya, jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat.”

“Walaupun jadual perniagaan semakin padat, keinginan untuk kembali berkarya tidak pernah hilang. Impian itu tidak pernah mati. Ia hanya…tersimpan dalam hati. Bagi orang lain, ia mungkin sekadar sebuah lagu,” katanya

Namun bagi Mila, “Tersimpan Dalam Hati” ialah sebuah perjalanan yang mengambil masa lebih sedekad sebelum akhirnya diperdengarkan kepada umum.

Bagi memastikan projek comeback ini tampil dengan kualiti terbaik, Mila memilih untuk menjalani keseluruhan proses rakaman di Jakarta bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, sambil bekerjasama dengan pasukan Nova Music bagi urusan pengedaran digital.

Kolaborasi rentas negara ini menghimpunkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia dalam menghasilkan sebuah karya yang diharapkan mampu menyentuh hati pendengar di kedua-dua negara. Bagi Mila, lagu tersebut hadir tepat pada waktunya.

Jiwa seni tidak pernah ‘mati’ dalam diri Mila Jirin.

“Ramai mengenali saya sebagai usahawan. Tetapi jauh di sudut hati, saya masih seorang penyanyi. Dunia muzik adalah tempat saya bermula. Saya percaya sudah tiba masanya untuk kembali berkongsi karya dengan para peminat.

“Saya percaya setiap orang pernah menyimpan sesuatu dalam hati. Ada yang menyimpan cinta. Ada yang menyimpan impian. Ada yang menyimpan luka. Lagu ini saya dedikasikan kepada mereka yang masih percaya bahawa impian tidak pernah mempunyai tarikh luput,” ujarnya.

“Tersimpan Dalam Hati” merupakan single pertama daripada siri projek comeback Mila yang bakal diteruskan dengan beberapa karya baharu hasil kolaborasi bersama komposer dari Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, Mila turut mengumumkan bahawa beliau kini sedang menyiapkan sebuah album baharu yang diterbitkan sepenuhnya oleh suaminya, Ailis Mustapha, melalui Bizmedia Marketing.

Album tersebut dijangka menghimpunkan karya daripada beberapa komposer hebat Malaysia dan Indonesia serta dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun 2026.

Mila harap single baharunya mendapat perhatian ramai.

Video muzik rasmi “Tersimpan Dalam Hati” turut menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga.

Menariknya, Mila sendiri terlibat secara langsung dalam pembangunan idea dan konsep penceritaan video muzik tersebut, menjadikan karya ini lebih dekat dengan perjalanan emosi yang ingin disampaikan kepada para pendengar.

Bagi Mila, “Tersimpan Dalam Hati” bukan sekadar sebuah lagu baharu. Ia adalah simbol bahawa impian tidak mempunyai tarikh luput.

Walau sejauh mana seseorang melangkah dalam kehidupan, akan sentiasa ada impian yang menunggu untuk direalisasikan apabila tiba waktunya.

Dan selepas bertahun-tahun menyimpannya, Mila akhirnya bersedia berkongsi kisah itu dengan seluruh Malaysia melalui “Tersimpan Dalam Hati”.

Dari Kayuh Basikal Jual Buah, Kini Bina Empayar Bisnes: Kisah Inspirasi Imran Abd. Wahid

Oleh: Nafsiah Jani

Insan hebat!… Siapa sangka, seorang kanak-kanak yang suatu ketika dahulu hanya mengayuh basikal mengelilingi kampung untuk menjual buah-buahan seperti duku dan jagung, akhirnya mampu membina empayar perniagaan dalam pelbagai bidang.

Bagi Haji Imran Abd. Wahid, 58, segala-galanya bermula sejak kecil.

Anak kelahiran Muar, Johor itu sudah mengenal erti berdikari sejak usia tadika. Ketika kanak-kanak lain mungkin sibuk bermain, beliau memilih untuk mencari wang saku sendiri dengan menjual hasil kampung.

Daripada situlah lahirnya satu sifat yang sehingga kini menjadi pegangan hidupnya – rajin berusaha, berani mencuba dan tidak takut bermula dari bawah.

Haji Imran berbincang dengan mutawiffnya bagi membincangkan rancangan perjalanan umrah jemaah di bawah Kembara Khalifah Travel.

Sikap tersebut terus dibawa sepanjang zaman persekolahan apabila Imran mengambil pelbagai kerja sambilan selain membiasakan diri menabung.

“Dari kecil memang saya sudah biasa bekerja dan berniaga. Bagi saya, kita kena belajar berdikari dan jangan takut untuk bermula,” katanya.

Dibesarkan dalam keluarga sederhana di kawasan dusun durian, Imran mendapat didikan daripada bapanya yang pernah bekerja di lombong, manakala ibunya pula pernah menjadi guru di Brunei.

Latar belakang keluarga yang sederhana itulah yang membentuk dirinya untuk memahami nilai kerja keras dan pengurusan kewangan sejak usia muda.

Hasil disiplin menabung, Imran berjaya membeli rumah pertamanya di Pinggiran Batu Caves ketika baru berusia 21 tahun, walaupun ketika itu pendapatannya kurang daripada RM1,000 sebulan.

Tiga tahun kemudian, pada usia 24 tahun, beliau sekali lagi memiliki rumah kedua.

Selepas menimba pengalaman dalam bidang perbankan sebelum berkhidmat selama 10 tahun dalam industri percetakan di Petaling Jaya, jiwa keusahawanan yang telah sebati sejak kecil kembali membara.

Pada 1996, Imran memberanikan diri membuka pasar segar dan restoran Kampung Boy Cafe di Pandan Indah, memperkenalkan konsep perniagaan bahan segar yang ketika itu masih dianggap unik.

Haji Imran dihadapan menu jualan Maharani Cafe yang menawarkan makanan restoran pada harga warung.

Namun, titik penting dalam perjalanan hidup dan perniagaannya berlaku apabila beliau mendirikan rumah tangga bersama Dr. Rohaya Isa pada 1999.

Dengan pengalaman dalam pemasaran dan percetakan, Imran membantu mengembangkan Klinik Pergigian Rohaya di Sentul Raya, termasuk menggunakan pendekatan pemasaran secara terus dengan mengedarkan risalah klinik dari rumah ke rumah.

Dua tahun kemudian, pada 2001, beliau sekali lagi mengambil risiko apabila membuka cawangan Klinik Pergigian Rohaya, yang kini dikenali sebagai Rohaya Dental Services Sdn. Bhd., di Kota Damansara.

Ketika itu, kawasan berkenaan masih belum semeriah hari ini.

Namun, keputusan berani tersebut akhirnya menjadi antara asas penting kepada empayar perniagaan yang dibina bersama isterinya.

“Saya berniaga untuk tolong orang”

Bagi Imran, kejayaan dalam perniagaan bukan semata-mata tentang keuntungan.

Prinsipnya cukup mudah – perniagaan mesti membawa manfaat kepada orang lain.

“Niat saya berniaga hanya untuk tolong orang. Itu sebabnya saya cukup menjaga harga yang kami tawarkan kepada pelanggan.

“Di klinik gigi saya, rasanya lebih daripada 10 tahun kami tidak pernah naikkan harga rawatan walaupun selepas COVID, harga barang naik dan sebagainya. Kalau naik pun, mungkin terlalu minimum,” katanya.

Kllinik Pergigian Rohaya begitu menjaga pelanggan- pelanggannya.

Menurutnya, seseorang usahawan juga perlu mempunyai tanggungjawab sosial dan tidak hanya memikirkan soal keuntungan.

“Pada saya, dalam kita berbisnes ini, kita kena juga buat kebajikan kepada orang yang kurang berkemampuan. Kita tidak boleh fikir nak buat keuntungan semata-mata, kita kena ada social welfare juga kepada masyarakat.

“Kami turut menawarkan perkhidmatan kepada rumah orang-orang tua, anak-anak yatim dan sebagainya kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab dan projek CSR kami.

“Macam restoran kami juga, boleh tengok harga kita macam harga warung sebenarnya, bukan harga restoran. Bagi saya, itu adalah satu nikmat dan juga satu kepuasan,” katanya.

Maharani Cafe lahir daripada kasih seorang anak

Di sebalik perkembangan perniagaannya, penubuhan Maharani Cafe pula mempunyai kisah yang cukup dekat dengan hati Imran.

Apabila ibunya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4A dan diberi jangka hayat hanya sekitar enam bulan, Imran mencari jalan untuk memastikan ibunya terus aktif, ceria dan mempunyai semangat untuk menjalani kehidupan.

Lalu lahirlah Maharani Cafe.

Antara produk frozen keluaran Kembara Food Legacy yang diusahakan Haji Imran.

Nama tersebut mengambil inspirasi daripada Bandar Maharani, Muar, selain menjadi simbolik kepada ibunya yang dianggap sebagai ratu dalam keluarganya.

Dengan berada di kafe, berinteraksi dengan pelanggan dan sibuk dengan pelbagai aktiviti, ibunya terus mempunyai sebab untuk bangun dan menjalani hari-hari seperti biasa.

Apa yang lebih mengagumkan, jangka hayat enam bulan itu akhirnya menjadi lapan tahun.

Kisah tersebut bukan sekadar tentang sebuah restoran, tetapi menjadi bukti bagaimana sebuah perniagaan boleh lahir daripada kasih sayang seorang anak kepada ibunya.

COVID mengajar Imran erti bertahan

Lebih sedekad mengendalikan Maharani Cafe, Imran sekali lagi diuji apabila pandemik COVID-19 melanda.

Ketika banyak restoran terpaksa menutup operasi, Maharani Cafe berjaya bertahan tanpa ditutup walau sehari.

Menurut Imran, pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) banyak membantu mereka memahami dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP), termasuk aspek penjarakan serta pengurusan operasi ketika pandemik.

“Waktu COVID, kebanyakan syarikat ataupun restoran semua menutup perniagaan, tetapi alhamdulillah Maharani Cafe tidak ditutup walau sehari pun.

“Saya rasa kita telah melalui satu zaman yang memang tidak pernah dilalui sebelum ini. Waktu itu sangat mencabar, tetapi alhamdulillah kami belajar sesuatu yang positif daripada peristiwa tersebut.

“Waktu itu jualan Foodpanda dan GrabFood begitu melonjak, mungkin empat kali ganda daripada biasa,” katanya.

Daripada pengalaman tersebut, Imran melihat perubahan tabiat pengguna yang semakin selesa dengan urusan secara dalam talian sebagai satu peluang yang perlu dimanfaatkan.

“Selepas PKP ataupun COVID, orang kita sudah terbiasa dengan online. Jadi bagi saya, kita sekarang kena memberi penekanan kepada perniagaan online.

“Seperti surat khabar, TV dan sebagainya, semuanya bergerak ke arah online. Bagi saya, kita memang harus bersama-sama kerana ini adalah keperluan semasa,” katanya.

Dari klinik dan kafe, berkembang ke dunia pelancongan

Semangat untuk terus berkembang membawa Imran ke satu lagi bidang apabila beliau menubuhkan Kembara Khalifah Travel Sdn. Bhd. pada 2018.

Bermula dengan fokus kepada pakej umrah, syarikat itu kemudiannya berkembang kepada pelancongan antarabangsa termasuk destinasi di Asia seperti China, Hong Kong, Korea dan Vietnam, selain India, Kashmir serta rantau Timur Tengah.

“Alhamdulillah, kita telah pun memulakan produk utama kita iaitu umrah. Selepas COVID, kita telah mengembangkan lebih kepada outbound.

“Kita telah berkembang ke Asia seperti China, Hong Kong, Korea, kemudian Vietnam dan sekarang India, Kashmir serta Middle East,” katanya.

Imran yang baru pulang daripada perjalanan ke Morocco, Spain dan Portugal itu turut memberi bayangan mengenai perancangan untuk memperkenalkan pakej pelancongan yang lebih eksklusif dan mencabar.

“Insya-Allah kita ada pakej Aurora. Nantikan hujung tahun ini untuk menikmati pakej yang jarang-jarang sekali kami tawarkan.

“Kebanyakan syarikat tidak buat pakej sebegini sebab risikonya sangat tinggi dan ground dia juga agak susah,” katanya.

Haji Imran dan isteri dihadapan bangunan empat tingkat yang menempatkan perniagaannya di Kota Damansara.

Tiga tahun kajian lahirkan Kembara Food

Pengalaman menguruskan jemaah ke luar negara turut membuka satu lagi idea perniagaan kepada Imran.

Melihat kesukaran jemaah mendapatkan makanan tempatan ketika berada di luar negara, beliau mula menjalankan penyelidikan mengenai teknologi pembungkusan makanan selama tiga tahun.

Hasilnya, lahirlah Kembara Food yang kini menawarkan lebih 20 produk makanan sedia dimakan dan telah berada di pasaran sejak dua tahun lalu.

Lebih menarik, produk Kembara Food Legacy menggunakan resipi yang berasal daripada dapur Maharani Cafe sendiri.

“Lama juga kami buat R&D bagi memastikan makanan menggunakan teknik retort itu selamat untuk dimakan dan tidak memudaratkan.

“Waktu mula-mula, kami beri kepada kawan-kawan dan guna untuk diri sendiri sahaja. Selepas tiga tahun saya lihat memang tidak berlaku apa-apa kemudaratan.

“Jadi saya yakin untuk menjualnya kepada jemaah atau sesiapa sahaja yang ingin membelinya,” katanya.

Pekerja dianggap rakan kongsi

Hari ini, Imran mengendalikan empat cabang perniagaan utama.

Namun, antara cabaran terbesar yang dihadapinya bukanlah soal modal atau persaingan, sebaliknya mendapatkan pekerja tempatan yang mempunyai komitmen dan jiwa keusahawanan.

Bagi mengatasi cabaran tersebut, beliau memilih pendekatan berbeza dengan melihat pekerjanya sebagai rakan kongsi dalam perniagaan.

“Sebagai majikan, saya lebih suka layan pekerja saya sebagai partner.

“Macam doktor-doktor yang berkhidmat dengan kami, kami tawarkan profit sharing. Kami ada peratus dan sebagainya.

“Saya cuba terapkan perkara sama kepada semua pekerja. Kami beri komisen kepada staf yang berjaya menjual produk dan sebagainya.

“Begitu juga dengan wakil ejen kita, saya memberikan profit sharing. Alhamdulillah, ada yang dapat pergi umrah berkali-kali kerana mereka membawa beberapa jemaah dan akhirnya mereka sendiri dapat pergi secara percuma.

“Bagi saya, ini adalah cara kita berkongsi rezeki bersama,” katanya.

Haji Imran usahawan yang begitu pemurah dan sentiasa ingin membantu masyarakat yang memerlukan.

Impian seterusnya: Dental Tourism

Walaupun sudah mempunyai beberapa cabang perniagaan, Imran masih belum mahu berhenti.

Antara impian terbarunya ialah memperkenalkan konsep Dental Tourism, iaitu menggabungkan pengalaman melancong ke Malaysia dengan rawatan pergigian.

Menurutnya, gabungan antara pengalaman menguruskan syarikat pelancongan dan klinik pergigian membuka ruang untuk membawa pelancong dari Eropah dan negara lain ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan pergigian sambil menikmati destinasi pelancongan tempatan.

“Saya ada syarikat pelancongan Kembara Khalifah Travel dan saya juga ada klinik pergigian.

“Saya boleh mempromosikan pakej kepada pelancong dari Eropah dan sebagainya, di mana mereka boleh melancong ke Malaysia dan dalam masa yang sama mendapatkan rawatan pergigian.

“Doakanlah semoga saya dapat merealisasikan impian tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, Imran turut merancang untuk membina makmal pergigian sendiri bagi memendekkan tempoh menunggu pelanggan.

“Bila ada makmal sendiri, ia dapat jimatkan masa pelanggan. Saya tidak perlu hantar ke makmal, kemudian ambil balik semula dan sebagainya.

“Mungkin ada pelanggan nak buat gigi palsu pada waktu pagi, petang mereka dah boleh memakainya,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata lelaki, Muhammad Irfan, 23, dan Muhammad Izani, 19, itu membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan modal besar atau peluang yang sempurna.

Kadangkala, ia bermula dengan sesuatu yang jauh lebih sederhana – sebuah basikal, beberapa hasil kampung untuk dijual dan seorang anak kecil yang mahu berdikari.

Daripada mengayuh basikal menjual buah-buahan di kampung, Imran kini menguruskan rangkaian perniagaan dalam bidang pergigian, makanan, restoran dan pelancongan.

Namun, selepas segala pencapaian yang diraih, satu prinsip masih kekal menjadi pegangan beliau:

perniagaan bukan sekadar tentang berapa banyak yang boleh diperoleh, tetapi sejauh mana rezeki yang diperoleh itu boleh dikongsi dan memberi manfaat kepada orang lain..

“Ceritera Sang Arjuna & Bunga” daripada Atilia Haron dan Razak A’ai

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS muncul dengan single “Dimanakah Kamu Sore Ini?” tiga bulan lalu, kini Atilia Haron kembali dengan single duet berjudul “Ceritera Sang Arjuna & Bunga”.

Untuk lagu duet yang sarat dengan emosi dan keindahan puitis itu, Atilia berkolaborasi dengan bakat kreatif yang kian meningkat naik, Razak A’ai.

Razak bukan sekadar menyanyi, beliau juga menulis dan menggubah lagu “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” yang merupakan sebuah naskah cinta yang menceritakan tentang monolog dan dialog antara dua jiwa.

Lirik lagu ini membawa pendengar menyelami kisah ‘Bunga’ yang menemui ketenangan rasa, serta ‘Arjuna’ yang hadir menjadi penawar bagi menyembuhkan luka lama yang tersimpan.

Atilia Haron boleh berduet dengan sesiapa saja.

Dengan baris lirik magis seperti “Di balik awan punya bintang berjuta, menghiasi malam bahagia, bulan terang jadi saksi cinta kita,” lagu ini digarap sebagai satu metafora janji suci yang mengikat dua insan dalam satu rasa sehidup semati.

Razak berjaya menterjemahkan rasa cinta, rindu, dan kesetiaan ke dalam bait-bait lirik yang puitis menjadikan beliau antara bakat pelapis yang wajar diberi perhatian dalam industri muzik tempatan.

Melalui lagu ini, Razak bukan sahaja mempamerkan kematangan vokal garaunya, malah membuktikan kredibilitinya selaku pencipta lagu yang berjiwa besar.

Sementara Atillia atau nama penuhnya, Raja Putri Atilia Raja Haron, 52, yang terkenal dengan ton suara soulful, jazzy dan penuh keanggunan itu berjaya membawa persona ‘Bunga’ dengan penuh kelembutan dalam lagu ini.

Pengalaman luas beliau dalam industri memberikan keseimbangan yang sempurna kepada vokal bertenaga milik Razak, sekali gus melahirkan sebuah karya duet yang harmoni dan merdu.

Atilia bersyukur kerana ada peminat setia yang menyokong perjalanan seninya.

Lagipun sebelum ini, Atilia pernah berkolaborasi bersama Monoloque iaitu “Kekanda Adinda” dan duet bersama ibunya, Salamiah Hassan merusi lagu, “Age Is Just The Number”.

Ditambah pula produser lagu ini, AG Coco berjaya menghidupkan garapan melodi yang gah, membuai perasaan, namun tetap mengekalkan keaslian jiwa seni yang ingin disampaikan oleh penulisnya.

Dengan susunan muzik yang luar biasa daripada AG Coco, lagu “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” mempunyai ramuan yang cukup untuk menjadi sebuah karya malar segar dalam industri muzik tempatan.

Adakah Atilia yang bakal menjayakan ‘Atilia Haron In Concert’ yang bakal berlangsung di Robert’s Theatre, The Campus Ampang, pada 19 September ini akan menyanyikan lagu “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” bersama pasangan duetnya. Kita tunggu kejutan daripada Atilia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pengurusan Todak Muzik, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri, meluahkan rasa bangga dan keyakinan beliau terhadap projek kolaborasi ini.

“Di Todak Muzik, kami sentiasa percaya kepada kekuatan naskah dan kualiti sesebuah karya. Gandingan Razak A’ai dan Atilia Haron dalam “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” adalah satu kombinasi yang sangat mahal.

Konsert solo Atilia Haron akan berlangsung pada 19 September ini.

“Razak membawa kejujuran dalam penulisan liriknya, manakala Atilia memberikan sentuhan magis menerusi vokalnya. Atilia mempunyai sejarah kejayaan yang sangat luar biasa dalam lagu-lagu kolaborasi dan duet.

“Gandingan ini membuktikan bahawa Atilia amat mahir mencari titik harmoni dan blending bersama penyanyi lain tanpa menenggelamkan rakan duetnya,” jelasnya.

Tambahnya, pihak Todak Muzik meletakkan harapan yang tinggi agar single “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” ini dapat diterima baik oleh seluruh lapisan masyarakat dan pencinta muzik tanah air.

Lagu ini bukan sekadar hiburan halwa telinga, tetapi sebuah karya yang diharapkan mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang sedang mencari atau meraikan cinta sejati.

Todak Muzik juga berharap orang ramai dapat memberikan sokongan padu kepada bakat seperti Razak serta terus menghargai sumbangan seni daripada artis senior seperti Atilia.

Lagu “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan iTunes. Muzik video rasmi juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Todak Muzik.

P. Ramlee pujuk ayah Sophia Ibrahim jadi anak seni!

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

APABILA bercakap tentang Sophia Ibrahim, bagi para peminat filem Melayu pada tahun 1970 pasti ingat betapa ‘daringnya’ seniwati yang seorang ini.

Sebabnya satu babak lakonan beliau dalam filem “Dr. Rushdi” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menggambarkan ‘Mariana’ (Sophia Ibrahim) baru lepas berasmara dengan hanya memakai baju dalam dan seluar dalam sahaja.

SOPHIA Ibrahim dan P. Ramlee dalam satu babak filem “Dr. Rushdi.”

“Tetapi apabila filem itu ditayangkan, babak itu tidak dipotong kerana dari segi lojik mana mungkin selepas berasmara terus ada baju. Saya hanya melakonkan mengikut jalan cerita. Abang Ramlee mahu tunjuk ‘Mariana’ terkejut kerana tiba-tiba ada lelaki lain mahu menembaknya.

“Pada zaman itu, tak usah cakaplah betapa seksinya Sophia Ibrahim. Tetapi saya tidak dikecam kerana babak itu menunjukkan realitinya,” cerita Sophia Ibrahim pengalaman yang tidak mungkin dilupakan ketika saya temui baru-baru ini.

POSTER filem “Dr. Rushdi” filem arahan P. Ramlee menampilkan seniwati hebat antaranya Sarimah Ahmad, Noor Azizah dan Sophia Ibrahim.

Itulah Sophia Ibrahim atau nama sebenarnya, Safiah Ibrahim, 75, yang dilahirkan pada 20 Januari 1949 di Singapura. Beliau adalah anak sulung daripada 10 beradik dan anak kepada pasangan suami isteri, Ibrahim Abu Hassan dan Siti Mariam Syed Abdul Rahman. Selain Sophia, dua lagi adiknya turut menceburi bidang seni iaitu Datuk Khadijah Ibrahim dan Allahyarham Latiff Ibrahim (meninggal dunia pada 20 Februari 2012).

Menurut Sophia Ibrahim, walaupun adegan panas itu boleh ditonton di pawagam tetapi beliau tidak dikecam kerana filem itu diadaptasi daripada kisah benar.

Selain beliau, “Dr. Rushdi” filem ala-ala Alfred Hitchcock itu dibintangi P. Ramlee (Dr. Rushdi), Datuk Dr. Sarimah Ahmad (Muliani), Ed Osmera (Peguam Alimin), Ismail Mahmud (Ruzaiman, Firdaus), Ali Rahman (Osman Siraj) dan Datin Noor Azizah (Karmila, isteri Alimin).

SOPHIA Ibrahim bersama Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham Seniwati Fazlyaton.
SOPHIA Ibrahim bersama Allahyarham Seniman Ed Osmera yang pernah berlakon bersamanya dalam filem “Dr. Rushdi.”

Sophia Ibrahim memberitahu, pada zaman kegemilangannya, beliau pernah mendapat jolokan ‘pinggang kerengga’ kerana memiliki bentuk badan yang cantik, seksi dan menawan.

“Pada filem era 1970-an para peminat tidak kisah walaupun kita berlakon berkemban tetapi jangan filem atau drama hari ini pasti akan timbul kontroversi.

“Apapun saya tidak menyesal melakonkan babak itu kerana filem itu adalah antara karya yang bagus. Pelakon dahulu tidak diberi dialog atau skrip, semuanya secara spontan.

LAKONAN Sophia Ibrahim sebagai Melati dalam filem “Dajal Suchi” yang sanggup meninggalkan anaknya, Sulaiman yang cacat, demi mengejar kemewahan menyerlahkan bakat lakonan beliau.

“Pengalaman berlakon dengan P. Ramlee antara yang terbaik kerana dialognya spontan dan filem-filemnya memaparkan realiti kehidupan,” cerita Sophia Ibrahim, cucu kepada pelakon bangsawan Allahyarham Aman Belon yang mempunyai grup bangsawan pada sekitar tahun 1950-an.

Menyingkap diari kehidupan Sophia Ibrahim sebagai pelakon, ianya bermula secara kebetulan apabila beliau sering mengikut bapa saudaranya, Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan menjalani penggambaran di Merdeka Film Productions, Hulu Kelang. Ia menjadi titik tolak rezekinya dalam bidang lakonan apabila seorang krew produksi bertanya kepada Pak Utehnya (panggilan untuk Hussein Abu Hassan) dan menawarkan beliau berlakon.

SOPHIA Ibrahim bersama Allahyarham Seniman Datuk Sony Abdullah.

“Waktu itu saya masih sekolah dalam tingkatan lima di Kampung Baru. Apabila saya beritahu ayah dan emak, mereka mengizinkan saya berlakon.

“Gaji permulaan hanya RM400. Bagi saya, jumlah itu cukup besar dan dapatlah saya membantu keluarga kerana kami orang susah,” cerita Sophia Ibrahim.

Filem pertama lakonan beliau adalah “Jambatan Maut” (1963) arahan M. Yatim dari Indonesia. Dalam filem itu beliau membawa watak sebagai Hamidah yang tinggal bersama ibunya yang buta.

SENIWATI Sophia Ibrahim bukan sahaja memiliki seraut wajah yang cantik jelita malah berbakat sebagai pelakon.

Sepanjang menceburi bidang lakonan, Sophia Ibrahim telah membintangi 13 filem dengan empat tahun pertama di Merdeka Film Production, Sophia telah membintangi enam filem iaitu “Ragam P. Ramlee” dan “Jauh Di Mata” (1964), “Dajal Suchi” dan “Bumiputra” (1965), “Gadis Langkawi (1966) dan yang terakhir pada tahun 1970 “Dr. Rushdi.”

Sementara itu, pada tahun 1997 sehingga 2023, beliau berlakon tujuh filem antaranya “Puteri Impian,” (1997) pada 1998 “Puteri Impian 2” dan “Iman Alone,” “Cinta 200 Ela”(2002) dan “Pontianak Harum Sundal Malam”(2004) dan filem “Budak Kripto”(2021) dengan filem terbaharu “Imam”(2023).

KECANTIKAN semulajadi milik Sophia Ibrahim membuatkan beliau sering menjadi pilihan menghiasi majalah hiburan.

“Imam” sebuah filem berunsur keagamaan adalah adaptasi novel karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.

Dalam filem arahan Mior Hashim Manap, Sophia Ibrahim memegang watak sebagai Hajjah Shamsiah, ibu kepada Haji Syamsuri lakonan Faizal Hussein. Filem ini telah ditayangkan pada 2 Mac 2023.

MESKIPUN peluangnya terbuka luas dalam bidang lakonan namun Sophia Ibrahim tetap meminati bidang nyanyian.

Walaupun bermula sebagai Seniwati yang membintangi filem-filem hebat, namun bagi Sophia Ibrahim ia tidak boleh memadamkan minat dan kecintaannya pada bidang nyanyian.

Menurut Sophia, minatnya pada bidang senisuara mula bercambah sejak zaman sekolah apabila kepercayaan yang diberikan guru-guru sehingga beliau kerap diberi peluang membuat persembahan yang diadakan di sekolah.

BUKAN sahaja memiliki wajah yang menawan tetapi senyuman Sophia Ibrahim menjadi salah satu tarikan beliau dipuja ramai.

“Setelah menyertai MFP, saya mula berkenalan dengan P. Ramlee. Allahyarham adalah orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia seni suara.

“Tanpa pertolongan beliau saya tidak akan menjadi penyanyi kerana ayah (arwah) tidak suka saya menyanyi di kelab malam kerana anggapan arwah di situ tempat orang berjudi dan minum arak.

“Tetapi P. Ramlee memberanikan diri berjumpa ayah dan menasihatkan ayah agar tidak menghalang minat saya. Selepas itu, barulah ayah izinkan saya menyanyi,” kata Sophia Ibrahim.

SOPHIA Ibrahim dengan senyumannya yang menggoda!

Menurut Sophia, sejak itu bermulalah kerjaya seninya sebagai penyanyi di kelab malam di serata negeri antaranya Pulau Pinang, Kuantan dan Kuala Lumpur.

“Paling lama saya menyanyi di hotel dan saya pernah mendapat gaji 400. Bukan itu sahaja, malah saya pernah dibayar hanya 75 sahaja untuk satu show di Taiping.

“Disebabkan tawaran menyanyi di kelab malam tidak pernah putus, saya tidak sempat merakamkan album. Tetapi saya tidak pernah menyesal.

SOPHIA Ibrahim bukan sahaja hebat di depan kamera tetapi beliau berbakat sebagai seorang penyanyi!

“Saya tidak pernah mengimpikan menjadi penyanyi. Sebenarnya cita-cita saya mahu menjadi setiausaha dan kawan-kawan sekolah pula menjangkakan saya akan bergelar ustazah sebab saya pernah mengikuti kelas bahasa Arab,” cerita Sophia Ibrahim yang telah menyanyi lebih enam dekad.

Sophia Ibrahim yang masih sihat bukan sahaja masih ditawarkan berlakon malah beliau juga masih menerima undangan menyanyi.

SOPHIA Ibrahim terkenal sejak filem Melayu era 1960-an sehingga hari ini.

Tetapi katanya, memandangkan usianya sudah mencecah 75 tahun, beliau begitu ‘memilih’ dalam menerima tawaran berlakon.

“Jika bayarannya berbaloi saya terima. Tetapi jika diberi pilihan antara berlakon dan menyanyi, saya lebih suka menyanyi kerana kita tidak menunggu lama di lokasi. Saya tidak boleh bertolak ansur jika ada pelakon yang tidak menghormati orang dan waktu.

“Setakat ini, kebanyakan artis muda yang saya temui pandai menghormati artis yang berusia tetapi jika ada yang tidak pandai menghormati orang, saya akan tegur.

TIGA beradik berbakat besar…Allahyarham Latiff Ibrahim, Sophia dan Khadijah Ibrahim.

“Bukan itu sahaja, malah saya tidak akan bertolak ansur dengan artis yang tidak berdisplin dan tidak tahu menghormati waktu.

“Saya tidak boleh terima jika ‘call time’ pukul 9 pagi pada waktu itulah mereka sampai dan baru nak bersolek. Kalau itu terjadi di depan saya mesti saya menegur kerana sikap begitu akan menyusahkan orang lain,” luah Sophia Ibrahim, ibu kepada empat orang anak, 11 cucu dan beberapa orang cicit.

Sophia Ibrahim, ibu kepada penyanyi Hairi Kool ini memberitahu pelakon yang tidak tahu menghormati waktu tidak layak menjadi artis.

SOPHIA Ibrahim menerima anugerah sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia seni pada satu majlis yang diadakan pada tahun 2016.

Walaupun telah lebih enam dekad melayari hidup sebagai orang seni, Sophia Ibrahim tidak akan melupakan jasa P. Ramlee yang banyak membantunya dalam bidang lakonan dan nyanyian.

“Sampai hari ini kenangan saya bersama P. Ramlee tidak mudah terpadam. Saya bukan sahaja mengagumi filem-filem arahannya malah peribadi beliau dan isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma, amat saya hormati.

“Saya masih ingat Kak Saloma pernah hubungi saya dan berpesan agar selepas penggambaran saya balik dengan Abang Ramlee untuk makan bersama di rumah mereka.

WALAUPUN usianya sudah mencecah 75 tahun namun Sophia Ibrahim tetap cantik.

“Saya rasa bertuah menerima undangan itu. Walaupun saya tidak tahu bagaimana kami boleh rapat tetapi mungkin mereka berdua sayang saya.

“Seingat saya, saya sentiasa menghormati mereka, tidak pernah bersifat kurang sopan apalagi berselisih faham,” cerita Sophia Ibrahim.

Apabila ditanya mengenai rancangannya dalam bidang lakonan dan nyanyian, Sophia Ibrahim memberitahu;

“Insya-Allah…pada usia begini dan selagi saya dianugerahkan kesihatan yang baik saya akan menerima undangan berlakon dengan bayaran yang berbaloi dengan usia dan pengalaman saya. Begitu juga undangan menyanyi.” kata beliau bangga.

SYED Wafa (penulis) mengabadikan kenangan bersama Sophia Ibrahim.

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Watak Rasyid buka pintu rezeki Alif Hadi

Oleh: Khadijah Ibrahim

KALAU menonton drama jangan ‘sesuka’ hati nak buat andaian tersendiri, kerana penulis skrip dan pengarah pasti ada kejutan untuk penonton

Bagi yang telah menonton drama ‘Ikatan Terlarang’, arahan Riza Baharuddin dan skrip oleh Oka Aurora, pasti rasa ‘bersalah’ kerana sejak awal lagi sudah bersangka buruk kepada Rasyid yang dilakonkan oleh Alif Hadi.

Drama 28 episod yang disiarkan menerusi slot MegaDrama Astro, karakter Rasyid berjaya membuat penonton ‘geram’ tapi siapa sangka di penghujung, ramai pula yang sedih apabila kisahnya berakhir dengan kematian.

Melihat kepada situasi tersebut, Alif, 38, mengakui perubahan penerimaan penonton merupakan perkara yang paling tidak dijangkakan sepanjang drama tersebut.

Watak Rasyid, lakonan Alif Hadi menerusi drama ‘Ikatan Terlarang’ mendapat perhatian penonton.

“Yang paling best bila saya tengok perubahan penonton. Saya baca banyak komen di Threads. Ramai cakap mula-mula benci Rasyid sebab dia selalu timbulkan masalah dalam keluarga.

“Tapi bila cerita berkembang, orang mula faham kenapa dia jadi macam itu. Ramai cakap sebenarnya Rasyid adalah hero yang banyak selamatkan keluarga dan bantu Azura mendapatkan semula syarikat,” kata Alif.

Alif atau Muhammad Alif Abdul Hadi turut meluahkan rasa terharu apabila penonton begitu teliti sehingga setiap babak kecil menjadi topik perbualan.

“Babak mata kena cucuk, kena tampar, semua itu orang perasan. Bila orang mula bercakap pasal karakter kita, itu satu kepuasan sebagai pelakon,” katanya lagi.

Berbicara lanjut mengenai watak Rasyid, Alif memberitahu karakter itu telah melalui perjalanan emosi yang sangat kompleks bermula daripada kemurungan, kecewa dengan keluarga, perniagaan gagal, sehinggalah menerima hakikat dirinya mandul.

Awalnya orang meluat tengok karakter Rasyid, rupa-rupanya dia adalah yang terbaik.

“Rasyid bukan jahat, dia cuma rasa kesunyian dan sebab itu mentalnya tak stabil. Lepas Azura mula bagi semangat, dia cuba berubah menjadi lebih baik, tetapi ujian tetap datang bertimpa-timpa,” ulasnya tentang watak yang dipegang.

Malah sebagai pemegang karakter Rasyid yang tentunya sangat jauh daripada sikap asal dirinya, Alif sempat menitipkan pesanan kepada golongan lelaki yang sedang dalam dilema sama atau ‘Rasyid’ di luar sana.

“Kena kuat, kena sabar dan jangan ikut emosi. Percayalah setiap apa yang berlaku adalah perancangan Allah dan pasti ada hikmah di sebaliknya,” ujar Alif.

Oleh kerana itu, akui Alif meski riwayat hidup Rasyid berakhir dengan tragis, dia masih terasa ‘roh’ karakter tersebut hidup di dalam dirinya.

“Sampai sekarang saya masih rasa macam ada lagi Rasyid dalam diri,” ujarnya yang pernah meraih Anugerah Aktor Pembantu Filem Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 menerusi filem ‘Jemputan Ke Neraka’ pada 2024.

Watak Rasyid dalam ‘Ikatan Terlarang’ berakhir dengan kematian.

Alif juga mengaku berkat karakter Rasyid, berlaku ‘plot twist’ dalam karier lakonannya. Menurutnya, watak itu membuka lebih banyak pintu rezeki dalam dunia lakonan.

“Ramai sebelum ini tak pernah tengok saya berlakon dalam platform atau slot drama yang besar. Bila orang mula nampak bakat dan menghargai usaha saya, rasa penat lebih 15 tahun itu macam terbalas.

“Saya tidak perlukan apa-apa balasan, cukup orang hargai kerja saya. Alhamdulillah sekarang tawaran pun semakin banyak,” katanya penuh syukur.

Sementara itu disebabkan hampir 80 peratus penggambaran dilakukan di dalam rumah bersama pelakon lain, hubungan mereka menjadi terlalu rapat sehingga terasa seperti keluarga sebenar.

Lain-lain pelakon yang terlibat dalam drama terbitan iFAME (iFabulous Art, Media & Event) yang disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 104),

ialah Erysha Emyra sebagai Azura, Hisyam Hamid (Lukman), Mawar Rashid (Bella), Raja Azura dan Arash Mohamad.

SPOTLIGHT KLCC SERIES BAKAL MENERANGI LANDSKAP HIBURAN LANGSUNG MALAYSIA BERSAMA NORYN AZIZ, ORKED FARHAN & AIZAT AMDAN

Oleh: Syed Yusof Wafa

Landskap hiburan langsung Malaysia bakal menyaksikan satu dimensi baharu menerusi pelancaran SPOTLIGHT KLCC Series, sebuah siri persembahan premium yang dikurasi oleh HiFive Entertainment dengan kerjasama Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Bertempat di pentas berprestij Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre, siri ini dijadual berlangsung mulai Ogos 2026 dan menjanjikan pengalaman hiburan yang lebih eksklusif, intim dan imersif buat para peminat muzik tanah air.

Direka khusus untuk pencinta seni dan hiburan, SPOTLIGHT KLCC Series tampil dengan visi untuk mentakrif semula pengalaman konsert tradisional melalui gabungan produksi bertaraf tinggi, penceritaan artistik serta interaksi lebih dekat antara artis dan peminat.

Kerjasama strategik bersama Kuala Lumpur Convention Centre turut mengukuhkan kedudukan Plenary Theatre sebagai destinasi utama bagi persembahan langsung berskala intim dan acara hiburan yang dikurasi di tengah-tengah ibu kota.

Didorong oleh peningkatan permintaan terhadap hiburan langsung berkualiti, Bab 1 SPOTLIGHT KLCC Series bakal menampilkan enam persembahan istimewa yang berlangsung pada 22 Ogos 2026 dan 12 September 2026, menghimpunkan barisan artis terkemuka serta bakat baharu yang sedang mencipta nama.

Orked Farhan antara artis yang bakal hiburkan penonton.

Antara artis yang bakal menghangatkan pentas termasuk Aizat Amdan, SOG (Sekumpulan Orang Gila), Orked Farhan, Iman Troye, Imran Ajmain dan Noryn Aziz, mewakili pelbagai genre muzik dan generasi penggiat seni tempatan.

Menurut Pengarah Projek SPOTLIGHT KLCC, Mike Manicka, siri ini diwujudkan dengan matlamat untuk membuktikan bahawa pengalaman budaya yang luar biasa tidak semestinya memerlukan venue berskala besar atau harga tiket yang terlalu tinggi.

“Menerusi SPOTLIGHT KLCC Series, kami mahu menawarkan persembahan yang lebih intim, premium dan sofistikated, namun pada masa yang sama kekal mampu dinikmati oleh pelbagai lapisan peminat. Kami percaya pengalaman yang bermakna lahir daripada hubungan yang lebih dekat antara artis dan penonton,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sambutan memberangsangkan yang diterima setakat ini telah mendorong pihak penganjur untuk memperkenalkan Bab 2 SPOTLIGHT KLCC Series pada Julai nanti, dengan lebih banyak persembahan berkualiti tinggi bakal diumumkan.

Selain meraikan muzik, SPOTLIGHT KLCC Series juga berperanan sebagai sebuah hab budaya yang menghubungkan artis, jenama tempatan dan komuniti melalui pelbagai bentuk hiburan. Pada masa hadapan, siri ini turut merancang untuk memperluaskan kandungan persembahan termasuk acara komedi berdiri (stand-up comedy) dan pelbagai pengalaman hiburan langsung yang lain.

Bagi memastikan proses pembelian tiket lebih mudah dan lancar, semua tiket akan dijual secara eksklusif menerusi platform rasmi Ticket2U.

Jadual Persembahan dan Harga Tiket

22 Ogos 2026

– Siri 1: Aizat Amdan – 1.30 petang
– Siri 2: SOG – 4.30 petang
– Siri 3: Orked Farhan – 8.30 malam

12 September 2026

– Siri 4: Iman Troye – 1.30 petang
– Siri 5: Imran Ajmain – 4.30 petang
– Siri 6: Noryn Aziz – 8.30 malam

Harga tiket bermula dari RM150, manakala pakej premium termasuk sesi Meet & Greet turut disediakan bagi memberikan pengalaman lebih eksklusif kepada para peminat.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, orang ramai boleh melayari platform Ticket2U serta mengikuti perkembangan terkini menerusi akaun media sosial rasmi @hifiveasia dan @klccconventioncentre di Instagram dan Facebook.

PAPUH Muslim Travel Fair 2026 di PKNS Shah Alam 31 Julai -2 Ogos

Oleh : Nafsiah Jani

Berita baik bagi mereka yang sedang mencari pakej murah lagi berbaloi untuk mengerjakan umrah atau bercuti keluar negara tidak lama lagi. Jadi jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 yang akan berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Karnival ini merupakan pusat sehenti yang menyediakan segala keperluan perjalanan anda sebagai orang Muslim. Lebih 50 agensi dan pemain industri pelancongan Islam akan menyediakan pelbagai pilihan pakej umrah, haji,hotel, syarikat penerbangan, takaful dan perlindungan serta pelancongan mesra Muslim.

Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Dr. Fathir Alhadad Badri berkata, karnival itu menjadi platform terbaik untuk masyarakat mendapatkan maklumat secara terus daripada syarikat berkaitan selain membandingkan pakej yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

“Sehingga kini sebanyak 56 syarikat telah mengesahkan penyertaan dengan 52 daripadanya terdiri daripada agensi yang menawarkan pakej umrah, manakala selebihnya membabitkan syarikat penerbangan, institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan pelancongan.

Barisan tertinggi PAPUH bersama pempamer-pempamer industri pelancongan yang akan menyertai Karnival Pelancongan Islam- PAPUH Muslim Travel Fair 2026 di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 31 Julai hgga 2 Ogos ini.

“Jumlah penyertaan itu menunjukkan keyakinan pemain industri terhadap usaha PAPUH menyediakan sebuah platform khusus bagi memperkukuhkan ekosistem pelancongan Islam negara.

“Kita mahu jadikan karnival ini bukan sekadar tempat menjual pakej, tetapi sebuah pusat rujukan kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan umrah, haji dan pelancongan mesra Muslim,” katanya pada sidang media Karnival Pelancongan Islamik PAPUH Muslim Travel Fair 2026 di sini.

Turut hadir Presiden PAPUH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026, Datuk Seri Razali Mohd Sham, Muhammad Mursyid Abu Hassan (Exco & Naib Presiden Muasassah Umrah & Haji, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026), Ishak Othman (Ketua Pembangunan Perniagaan Islam dan Perniagaan Syariah Kumpulan RHB), Huzaimi Ali (Pengurus Bank Rakyat Cawangan Shah Alam) dan Mohamad Fauzi Ab Hamid (Eksekutif Pemasaran, IKIM) para penaja dan barisan pempamer yang terdiri daripada syarikat agensi pelancongan.

Dr. Fathir berkata, pihak penganjur menyasarkan sebanyak 100 gerai dibuka sepanjang karnival berlangsung dan bersedia menambah sehingga 120 gerai sekiranya permintaan daripada pemain industri terus meningkat.

“Sepanjang karnival ini, pengunjung berpeluang bertemu sendiri wakil agensi, mendapatkan penerangan terperinci mengenai pakej ditawarkan serta membuat perbandingan sebelum mengambil keputusan.

“Kelebihan utama karnival itu ialah penyertaan yang memberi fokus kepada industri pelancongan Islam, termasuk syarikat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan PAPUH. Kita menjaga aspek integriti kerana syarikat yang menyertai karnival ini perlu memenuhi syarat keahlian PAPUH. Ini penting supaya pengguna mendapat keyakinan apabila berurusan dengan pemain industri yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Exco & Naib Presiden Muasassah Umrah & Haji, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026,Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan menambah, pengguna perlu berhati-hati dan bijak ketika membeli pakej-pakej yang ditawarkan.

“Hati-hati ketika membeli dan jangan terpedaya dengan harga yang terlalu murah yang ditawarkan kerana kos sebenar perjalanan ketika musim puncak tidak memungkinkan tawaran sedemikian.

“Setakat minggu ini, harga tiket penerbangan sahaja sudah berada sekitar RM3,600 hingga RM4,000. Jadi kalau ada yang menawarkan pakej umrah lengkap pada harga RM3,000 atau RM4,000, pengguna perlu bertanya bagaimana ia boleh dilaksanakan kerana ia tidak logik.

Ahli tertinggi PAPUH bersama penaja dan rakan strategik Karnival Pelancongan Islam.

“Kebanyakan kes jemaah terkandas yang berlaku sebelum ini berpunca daripada tawaran pakej yang terlalu murah sehingga syarikat gagal menyediakan tiket penerbangan atau kemudahan seperti dijanjikan.

“Saya tidak mengatakan semua pakej murah itu salah, tetapi jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, itu adalah petanda bahaya. Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat bayaran,” katanya.

Menurut beliau, kos sebenar perjalanan termasuk tiket penerbangan, penginapan dan pengurusan jemaah perlu diambil kira sebelum sesuatu pakej ditawarkan kepada pengguna.

“Promosi memang kita sediakan, tetapi biarlah ia promosi yang munasabah dan boleh dilaksanakan. Jangan hanya kerana mengejar harga murah, akhirnya jemaah menjadi mangsa apabila berlaku masalah,” katanya lagi mengenai karnival tersebut yang dijadual dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 31 Julai ini.

Karnival Pelancongan Islam terbesar di Selangor ini, PAPUH Muslim Travel Fair 2026 bakal menawarkan pelbagai promosi eksklusif, konsultasi percuma, forum, cabutan bertuah lumayan serta peluang kepada orang ramai membuat tempahan terus dengan agensi umrah berlesen.

Antara pempamer yang menggambil bahagian pada karnival tersebut adalah Ikhlas.com, As Salik Travel & Tours, Zahafiz Travel & Tours, Jom Jelajah Benua Vacation, Hejaz Travel, Darul Mubarak Travel & Tours, Barakah Umhaj Travel & Tours dan RMS Travel & Tours,Kurma Gateways Travel Management Sdn Bhd (Omega Travel & Tours Sdn Bhd), Iltizam Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Murshid Al-Haramain Travel and Tours.

Ziarra Travel & Tours, Kembara Taqwa ,Humaidi Holidays, In Saff Kiffah Travel and Tours, Safwah Travel, Citadel Travel & Tours, Ghanaz Travel and Event, Hayya Travel & Tours , Al Rajhi Bank, Maghfirah Travel & Tours, Kembara Mukmin Travel & Tours, El Izzah Travel & Tours, Yuema Business Group , Samrah Travel dan Ideal Muslim Travel Venture

Dhuyuff Travel & Travel, Al Fajr Safir International Sdn. Bhd, Kurma Getaways Travel Management, Wanderlah Travel Sdn. Bhd. , Nuh Travel and Tours, Ajua Travel And Tours, Alam Shah Travel & Tours, Iltizam Travel & Tours, Murshid Al-haramain Travel and Tours

Selain itu, Tri – D Travel & Tours Sdn Bhd, Maqbul Travel & Tours Sdn Bhd, Rehlah Travel & Tours Sdn Bhd, Wasiyyah Shoppe Berhad, Inqaz Travel & Tours Sdn Bhd, Gloria Travel Venture, Islamic Tourism Centre, Nuh Travel and Tours – 2 Ajua Travel and Tours Sdn. Bhd.
ENDS.