Home Blog Page 10

15 karya pelukis ternama warnai pameran Masters of Reality: Seni Realisme Kembali Mengajak Manusia ‘Berhenti Sejenak’ Dalam Era AI

Oleh : Nafsiah Jani

Ketika dunia semakin pantas bergerak seiring ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), pameran seni “Masters of Reality” tampil membawa mesej yang cukup berbeza – mengajak manusia berhenti sejenak, melihat dengan lebih teliti dan kembali menghargai nilai kemanusiaan.

Pameran yang dianjurkan bersempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia 2026 itu menghimpunkan 15 pelukis realisme berpengalaman dan dihormati. Mereka tampil memaparkan karya tentang kekuatan pandangan manusia (the human gaze), ketelitian pemerhatian serta pengalaman sebenar seorang seniman dalam menghayati objek, wajah, suasana dan kehidupan.

Pameran Masters of Reality Art Exhibition ini telah berlangsung dari 19 Ogos hingga 19 September 2026 di KL City Art Gallery, 8-G4-C4, Publika, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur, dari jam 11.30 pagi hingga 6.30 petang. Majlis perasmian dilakukan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sulaiman Mahbob, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Institute of Economic Research (MIER).

Konsep pameran itu berteraskan idea pandangan manusia, sesuatu yang semakin penting dalam dunia yang dipenuhi kandungan pantas, media sosial, telefon pintar dan teknologi AI.

Antara lukisan yang menanti pengunjung di pameran Master of Reality di KL City Art Gallery Publika.

Pengarah dan Kurator KL City Art Gallery, Maizon Omar berkata, kehidupan moden menyebabkan manusia semakin terbiasa bergerak pantas sehingga tidak lagi benar-benar memberikan perhatian kepada perkara yang berada di depan mata.

“Kita bangun dan terus mencapai telefon. Semuanya bergerak dengan pantas dan berterusan sehingga kita semakin kurang memberikan perhatian kepada apa yang kita lihat.

“Melalui Masters of Reality, kita mahu membawa kembali pandangan manusia. Apabila kita melihat seseorang atau sesuatu objek, kita memberikan perhatian, menghormatinya dan cuba memahami kepentingannya,” katanya.

Menurut Maizon, kemunculan AI turut menjadikan genre realisme kembali mendapat perhatian di peringkat global apabila masyarakat mula menghargai semula karya yang mempunyai sentuhan dan pengalaman manusia.

AI hari ini mampu menghasilkan imej dalam tempoh yang amat singkat, malah menghasilkan gambaran kompleks berdasarkan arahan tertentu. Namun, teknologi itu tidak semestinya mempunyai sensitiviti, pengalaman hidup dan emosi manusia yang menjadi asas kepada penghasilan sesebuah karya seni.

Johan Marjonid bersama dua karyanya yang dipamerkan di pameran Master of Reality.

“Ini bukan revolusi menentang teknologi dan bukan juga pameran yang menolak AI. Kita perlu hidup bersama teknologi kerana AI boleh melakukan banyak perkara.

“Tetapi kita tidak boleh membiarkan teknologi atau AI mengambil alih perasaan, pandangan dan cara kita melihat dunia. Kita perlu kekal sebagai manusia,” katanya.

Pameran berkenaan turut mengangkat kepentingan memperlahankan rentak kehidupan dalam apa yang disifatkan sebagai zaman yang sentiasa tergesa-gesa.

Menurut Maizon, budaya bergerak terlalu pantas bukan sahaja mengubah cara manusia melihat dunia, malah boleh menjejaskan kesejahteraan mental apabila seseorang sentiasa dibanjiri maklumat, imej dan gangguan digital.

“Seni ini mampu menjadi ruang untuk manusia berhenti seketika, menarik nafas dan memberikan perhatian kepada sesuatu secara lebih mendalam. Ambil masa anda. Lihat sesuatu dengan lebih teliti. Ia baik untuk kesihatan mental. Kita perlu memperluaskan sensitiviti dan horizon kita, bukannya membiarkan perkara yang pantas mengambil perhatian kita setiap saat.

“Untuk menghasilkan karya seperti ini memerlukan ribuan jam melihat dan bekerja. Setiap warna dan setiap perincian perlu diperhatikan. Kita memberikan semula semangat kemanusiaan, sentuhan manusia dan tangan manusia kepada karya seni,” jelasnya.

Keistimewaan karya yang dipamerkan juga terletak pada proses penghasilannya yang menuntut masa, kesabaran dan pemerhatian luar biasa. Sesebuah lukisan realisme bukan dihasilkan dalam sekelip mata. Setiap warna, bentuk, cahaya, bayang-bayang dan perincian memerlukan pemerhatian berulang serta ribuan jam kerja.

Pelukis -pelukis bergambar kenangan bersama tetamu VVIP selepas majlis perasmian Masters of Reality Art Exhibition di KL City Art Gallery, Publika, Kuala Lumpur.

Pameran itu turut mengetengahkan kehidupan dan budaya masyarakat Malaysia melalui karya yang dekat dengan identiti tempatan.Di situlah terletaknya nilai sentuhan manusia yang menjadi teras kepada Masters of Reality.

Pameran itu menampilkan karya daripada 15 seniman, iaitu Abd Rasid Yusof, Ahmad Shaiful Akmal Yahya, Angelo Chia Seng Chai, Anisha Hisham, Fauzi Ab. Rahim, Johan Marjonid, Mohamad Hj. Hassan, Mohamed Razif, Rasila Azman, Ronnie Ahmad Rusdi Mohamad, Ryzalman Misran, Shafie Hassan, Zaharuddin Sarbini, Zaim Durulaman dan Zakaria Ali.

Pemilihan 15 seniman untuk pameran itu dibuat berdasarkan reputasi, pengalaman serta pengiktirafan mereka dalam genre realisme.

Menurut Maizon, kesemua artis yang terlibat merupakan nama yang terkenal dan dihormati, selain mempunyai kepakaran serta disiplin tinggi dalam menghasilkan karya realisme.

Antara perkara yang mahu diketengahkan ialah cara rakyat Malaysia menjalani kehidupan, adat, persekitaran serta kehidupan seharian yang mungkin kelihatan biasa, tetapi mempunyai nilai dan cerita tersendiri apabila dilihat melalui mata seorang seniman.

Pendekatan itu menjadikan Masters of Reality bukan sekadar pameran lukisan, sebaliknya satu bentuk dokumentasi visual terhadap realiti dan kehidupan manusia.

Dalam perkembangan AI yang semakin pantas, persoalan mengenai masa depan seni dan kreativiti turut menjadi antara isu utama yang diketengahkan.

Gambar kenangan…pelukis bersama tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis perasmian Masters of Reality Art Exhibition di KL City Art Gallery, Publika, Kuala Lumpur.

Maizon mengakui tiada siapa mampu meramalkan secara tepat bagaimana perkembangan AI akan membentuk kehidupan manusia pada masa hadapan kerana teknologi tersebut berubah hampir setiap masa.

“Namun, kebimbangan utama bukan semata-mata mengenai teknologi menggantikan manusia, sebaliknya kemungkinan manusia sendiri menjadi terlalu bergantung kepada teknologi sehingga kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan kritikal.

“AI boleh membuat banyak perkara menjadi mudah. Tetapi apabila semuanya menjadi terlalu mudah, ada risiko fikiran kreatif dan pemikiran kritikal kita semakin berkurangan.

“Mesin boleh berfikir dengan sangat pantas dan memberikan jawapan pada bila-bila masa. Tetapi kita masih perlu menghargai kemampuan manusia untuk melihat, merasai, mengalami dan memahami sesuatu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda perlu diberikan ruang untuk mengenali pengalaman sebelum era AI agar mereka memahami perbezaan antara karya yang lahir daripada pengalaman manusia dengan imej yang dihasilkan secara sintetik.

Dalam konteks itu, Masters of Reality menjadi satu peringatan bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya menyebabkan manusia kehilangan hubungan dengan realiti di sekeliling mereka.

Pameran tersebut dibuka kepada semua peringkat umur, termasuk keluarga, dan orang ramai digalakkan meluangkan masa untuk benar-benar mengamati karya, memahami perincian serta merasai pengalaman yang cuba disampaikan oleh setiap seniman.

Dengan tempoh pameran selama sebulan, Masters of Reality dilihat sebagai peluang untuk masyarakat memperlahankan langkah seketika – bukan untuk melarikan diri daripada teknologi, tetapi memastikan di sebalik kecanggihan AI, manusia masih mampu melihat dunia dengan mata, hati dan pengalaman mereka sendiri.

Kerana pada akhirnya, teknologi mungkin mampu menghasilkan imej dalam beberapa saat, tetapi pandangan manusia, pengalaman manusia dan sentuhan manusia tetap mempunyai nilai yang tidak boleh digantikan.

Aneka Walk tampilkan pelbagai acara menarik untuk pengunjung

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU penulis belajar di Institut Teknologi MARA, Shah Alam, antara tempat yang sering dikunjungi adalah Kompleks PKNS yang terletak di Seksyen 14 dan merupakan lokasi ‘terhebat’ ketika itu selain Taman Tasik Shah Alam.

Baru-baru ini penulis berpeluang berkunjung ke premis nostalgia itu dan banyak perubahan berlaku mengikut peredaran masa.

Salah satu tarikan di situ adalah Aneka Walk, sebuah koridor pejalan kaki terlindung dan hab gaya hidup sepanjang 300 meter yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah projek SA Sentral yang menghubungkan kawasan antara Kompleks PKNS dan SACC Mall.

Sebanyak 18 acara menarik telah diatur oleh KRU Entertainment bermula 4 September ini hingga hujung tahun di Aneka Walk.

Aneka Walk dibangunkan sebagai sebuah destinasi pelancongan berteraskan acara, atau event-driven tourism destination, yang meraikan kepelbagaian budaya, gaya hidup, makanan, seni dan hiburan.

Manakala KRU Entertainment pula diberi tanggungjawab untuk mengurus dan menganjurkan acara di Aneka Walk dengan kerjasama PKNS.

Bermula 4 September ini, KRU Entertainment memperkenalkan 18 acara yang bakal berlangsung di Aneka Walk sehingga penghujung 2026 menerusi Temasya Aneka, yang menghimpunkan barisan acara, tarikan dan penyewa utama di destinasi tersebut.

Antara acara yang disediakan untuk pengunjung Aneka Walk adalah persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu.

Penganjuran Temasya Aneka secara tak langsung menandakan langkah baharu dalam usaha membangunkan Aneka Walk di SA Sentral sebagai ‘Destinasi Gaya Hidup & Hab Kebudayaan’ dengan pengisian merangkumi muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti keluarga dan komuniti.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pengisian secara konsisten merupakan antara strategi utama untuk memastikan Aneka Walk sentiasa menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung.

“Sebanyak 18 acara telah dirancang sehingga penghujung tahun ini, dengan setiap acara menawarkan pengalaman dan sasaran pengunjung yang berbeza.

Aktiviti yang diketengahkan di Aneka Walk bertujuan untuk menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

“Kami mahu sentiasa ada aktiviti supaya pengunjung datang dan kembali ke Aneka Walk. Antara tarikan utama ialah ‘Kayangan’ sebuah pengalaman eksklusif yang menggabungkan persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Datuk Chef Zam,” jelas Norman yang merupakan anggota trio KRU itu.

‘Kayangan’ bakal menjadi persembahan mingguan utama Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai 4 September ini, sekali gus menjadi produk pelancongan budaya yang menyasarkan masyarakat tempatan serta pelancong domestik dan antarabangsa.

Persembahan sulung ‘Kayangan’ , ‘Hikayat Nusantara’ membawa pengunjung menyusuri perjalanan sejarah dan budaya Nusantara menerusi gabungan penceritaan, persembahan langsung, muzik, tarian, visual dan pengalaman gastronomi.

Pelbagai pihak terlibat bagi menjayakan Temasya Aneka yang merangkumi destinasi gaya hidup dan hab kebudayaan.

Lain-lain acara yang akan berlangsung hingga hujung tahun ini adalah Aneka Rasa Warisan, Rockustik, Super Universe iaitu Festival Cosplay Adiwira tempatan dan antarabangsa, Game On! – Expo Sukan dan e-Sports, Superbikes, Aneka Rasa Taj Mahal – Festival Makanan Halal India, Hallyu Jam – Festival Muzik K-Pop, dan juga acara untuk kanak-kanak seperti Kids Fest serta Aneka Rasa Creamilicious

Sebagai tanda komitmen KRU terhadap Aneka Walk, pihaknya akan membuka outlet pertama KRU Cafe di situ.

“KRU Cafe akan dibangunkan dengan kerjasama Sony Music Entertainment dan Babah Ventures sebagai rakan strategik yang berpengalaman dalam pembangunan rangkaian F & B.

“Ia bukan sekadar tempat untuk makan dan minum sahaja tapi KRU Cafe akan menjadi sebahagian daripada pengalaman Aneka Walk yang menggabungkan makanan, muzik, hiburan dan gaya hidup di bawah satu bumbung,” katanya.

KamiSempoi buka akademi, bagi melatih pempengaruh

Oleh: Khadijah Ibrahim

RAMAI yang bercita-cita ingin menjadi influencer atau pempengaruh kerana mahu popular seperti selebriti. Seseorang pempengaruh boleh menjadi popular jika beliau berjaya menghasilkan kandungan yang menarik dan memberi nilai berguna kepada pengikut.

Antara peraturan yang perlu dipatuhi adalah menghasilkan video atau gambar yang menghiburkan, memberi inspirasi serta mendidik untuk tontonan warga maya.

Selain itu, perlu konsisten untuk memuat naik hantaran pada waktu yang tetap supaya pengikut sentiasa menanti kemas kini anda. Anda juga perlu membalas komen dan mesra dengan pengikut untuk kuatkan hubungan.

Setiap pekerjaan yang kita lakukan perlu dilaksanakan dengan bersungguh dan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’. Jika anda mencari ilmu untuk menjadi pempengaruh seperti Khairul Aming, semua itu bakal diperolehi jika anda mendaftar diri dengan KamiSempoi Premier Academy, yang ditubuhkan khusus bagi melatih dan membangunkan generasi baharu profesional live streamer.

Pelancaran akademi ini merupakan sebahagian daripada usaha KamiSempoi International Agency (KSIA) untuk membawa pembangunan live streamer ke tahap yang lebih tersusun dan profesional, merangkumi aspek latihan, kemahiran, penampilan, komunikasi, kandungan serta kualiti produksi LIVE.

Akademi tersebut akan beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur, dan menjadi pusat latihan serta pembangunan bagi individu yang serius untuk mendalami bidang live streaming secara profesional.

Pakcik Chin Swee mahu membimbing pempengaruh secara profesional di KamiSempoi Premier Academy.

Ketua Pegawai Eksekutif KSIA, Pakcik Chin Swee atau To Chin Swee berkata, pengambilan ke KamiSempoi Premier Academy akan melalui proses temu duga.

“Setiap orang yang ingin sertai KamiSempoi Premier Academy akan ditemu duga terlebih dahulu bagi memastikan peserta yang dipilih benar-benar mempunyai minat, kesungguhan dan komitmen untuk mengikuti program tersebut.

“Calon turut akan dinilai berdasarkan kebolehan berkomunikasi serta potensi mereka untuk dibangunkan sebagai live streamer profesional,” katanya.

Tambah Pakcik Chin Swee lagi, pihaknya tidak menilai peserta berdasarkan latar belakang tapi lebih kepada mereka yang benar-benar mahu menimba ilmu.

“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun.

“Yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan betul-betul serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya.

“Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari,” katanya.

KamiSempoi Premier Academy akan mempunyai kurikulum khusus dengan tempoh pembangunan selama satu tahun.

Kurikulum akademi akan merangkumi pelbagai aspek termasuk, latihan teknikal, pembangunan kandungan, look & feel seorang hos, ketrampilan diri dan penampilan, persembahan dan penyampaian, komunikasi, live setup, interaksi dan hiburan kepada penonton serta pembangunan prestasi LIVE.

Antara penanda aras yang ditetapkan ialah pencapaian 1 juta diamond dalam tempoh satu tahun sebagai salah satu syarat untuk menamatkan program.

Bagaimanapun, peserta yang mempunyai prestasi dan perkembangan sangat baik berpotensi mencapai sasaran lebih awal, dengan tempoh sekitar enam bulan dilihat sebagai antara perkembangan terpantas yang boleh dicapai oleh seseorang hos.

Pakcik Chin Swee berkata, peserta bukan sekadar datang untuk belajar, sebaliknya perlu membuktikan kemampuan mereka melalui pencapaian sebenar.

“Kami ada kurikulum. Mereka perlu belajar dan bekerja pada masa yang sama. Kalau ada yang boleh berkembang dalam enam bulan dan capai sasaran, itu sangat bagus. Tetapi program ini secara keseluruhannya adalah untuk tempoh satu tahun.

“Kalau mereka tidak mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya. Kami mahu mereka benar-benar layak dan bersedia sebelum graduate,” jelasnya.

Katanya lagi, penubuhan KamiSempoi Premier Academy juga merupakan usaha KSIA untuk membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam ekonomi digital kepada individu daripada pelbagai latar belakang.

“KSIA percaya bidang live streaming boleh menjadi pilihan kerjaya kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kesungguhan dan kemahuan untuk belajar, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai pengalaman dalam industri hiburan.

“Kami mahu jadikan KSIA sebagai satu pusat sehenti untuk mereka belajar, bekerja dan membina kerjaya sebagai profesional live streamer,” katanya.

Issey Miyake (kiri) dan Bulan Asyraff, antara pempengaruh yang mendapat bimbingan daripada KamiSempoi dan mereka berjaya.

Sementara itu, pada 28 Ogos ini, bertempat di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan akan berlangsung KamiSempoi Golden Award 2025 buat tahun keempat berturut-turut.

Malam yang ditunggu-tunggu oleh pempengaruh, merupakan acara bagi mengiktiraf, menghargai dan meraikan pencapaian para pencipta kandungan digital serta hos TikTok LIVE dari seluruh negara.

Penganjuran Kami Sempoi Golden Award 2025 yang turut mendapat tajaan daripada M Route 19 sebagai penaja utama dan MK Media Studios sebagai penaja bersama mencerminkan perkembangan berterusan KSIA sebagai salah satu pemain utama dalam industri TikTok LIVE Malaysia dan Asia Tenggara.

Daripada sekadar meraikan pencapaian hos, acara ini turut menjadi platform untuk KSIA memperlihatkan hala tuju baharunya dalam membangunkan bakat, meningkatkan standard produksi serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam industri live streaming.
Dengan komuniti yang kini mencecah kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura, KSIA melihat potensi industri tersebut masih sangat besar.

Pakcik Chin Swee berkata, matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan live streamer Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kami mahu orang melihat live streaming sebagai satu kerjaya profesional. Kami mahu lahirkan generasi baharu yang bukan sahaja boleh mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan sebuah live show yang berkualiti dan mempunyai standard produksi yang tinggi.

“Ini bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam satu malam. Tetapi kita perlu mula bergerak sekarang. Kami percaya masa depan live streaming Malaysia sangat besar,” katanya.

Menurut Pakcik Chin Swee, penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 bukan sekadar acara untuk memberikan pengiktirafan, tetapi menjadi platform bagi meraikan usaha dan pencapaian semua pihak yang bersama-sama membangunkan ekosistem KSIA.

“KamiSempoi Golden Award, kita adakan untuk menghargai semua pihak dalam platform kami. Bukan sahaja live host, tetapi juga sub-agency, gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan masing-masing.

“Kami mahu mereka tahu bahawa kerja keras dan pencapaian mereka dihargai. Pada masa sama, anugerah ini juga menjadi motivasi kepada lebih ramai live host untuk meningkatkan prestasi mereka,” ujarnya.

Penganjuran tahun ini menyaksikan sebanyak 20 kategori pengiktirafan disediakan bagi meraikan pencapaian pelbagai pihak dalam ekosistem KamiSempoi.

Daripada jumlah tersebut, 13 kategori dikhususkan kepada Live Host, tiga kategori kepada Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter, serta tiga pengiktirafan utama mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.

Selain kategori yang dipertanding, penghargaan khas turut diberikan kepada penaja utama sebagai tanda apresiasi atas sokongan dan kerjasama terhadap penganjuran acara ini.

Pengenalan kategori mengikut negara turut mencerminkan perkembangan KSIA di peringkat serantau, dengan komuniti yang kini merangkumi kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.

Menurut Pakcik Chin Swee, pertumbuhan komuniti ini menunjukkan bahawa industri live streaming semakin berkembang dan mendapat tempat sebagai sebahagian daripada ekonomi digital, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pencipta kandungan untuk membina komuniti dan mengembangkan potensi mereka menerusi platform digital.

Melalui KamiSempoi Golden Award 2025, KSIA meraikan kejayaan yang telah dicapai, manakala menerusi KamiSempoi Premier Academy, KSIA bersedia untuk membina generasi seterusnya lebih profesional, lebih berkemahiran dan lebih bersedia untuk bersaing dalam landskap live streaming global.

MAGIC FEST MALAYSIA 26 BAWA KEAJAIBAN DUNIA KE KUALA LUMPUR

Oleh: Syed Yusof Wafa

Kuala Lumpur bakal bertukar menjadi pentas keajaiban apabila Persekutuan Silap Mata Malaysia (Magic Federation of Malaysia – MFM) membawakan Magic Fest Malaysia 26, sebuah festival seni silap mata bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung selama empat hari, dari 22 hingga 25 Ogos 2026 di LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC), Kuala Lumpur.

Menggabungkan seni silap mata, hiburan, kebudayaan dan pengalaman interaktif, Magic Fest Malaysia 26 bakal menghimpunkan pesulap profesional, bakat muda, penggiat seni persembahan, keluarga serta peminat silap mata dari Malaysia dan seluruh dunia dalam satu sambutan penuh keajaiban.

Dunia Silap Mata Berkumpul di Kuala Lumpur

Edisi tahun ini tampil dengan sentuhan kebudayaan Jepun yang istimewa, selain menampilkan pesulap antarabangsa dan penghibur dari Jepun serta pelbagai negara lain yang akan bergabung dengan barisan artis tempatan.

Pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung, pertandingan silap mata, bengkel, syarahan profesional serta pelbagai aktiviti interaktif yang direka untuk membawa penonton lebih dekat dengan dunia silap mata.

Antara negara yang bakal diwakili termasuk Jepun, Korea, Taiwan, Indonesia, India, Thailand, Singapura, Australia dan Rusia, menjadikan Magic Fest Malaysia 26 sebagai satu platform pertemuan budaya dan pertukaran seni yang unik di rantau ini.

Kehadiran peserta dan penggiat seni dari pelbagai negara bukan sahaja memperkayakan ekosistem seni silap mata tempatan, malah membuka peluang kepada pertukaran ilmu, jaringan antarabangsa dan pengenalan Malaysia kepada komuniti silap mata global.

Bukan Sekadar Menonton — Rasai Keajaibannya!

Sepanjang festival, pengunjung boleh menikmati pelbagai pengalaman menarik termasuk:

– Persembahan silap mata oleh pesulap antarabangsa dan artis Malaysia
– Pertandingan silap mata yang menampilkan bakat tempatan dan peserta dari luar negara
– Persembahan bertemakan Jepun serta elemen kebudayaan yang unik
– Aktiviti mesra keluarga dan pengalaman interaktif untuk semua peringkat umur
– Bengkel dan syarahan eksklusif bersama pesulap profesional
– Sesi bertemu pesulap serta peluang menyaksikan demonstrasi seni silap mata dari jarak dekat

Dengan gabungan persembahan pentas, pertandingan dan aktiviti interaktif, festival ini dijangka menawarkan pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali seni silap mata sebagai satu bentuk seni persembahan dan warisan budaya yang kreatif.

Memperkasa Malaysia sebagai Hab Seni Persembahan Antarabangsa

Magic Fest Malaysia 26 turut menjadi sebahagian daripada usaha MFM untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi seni persembahan antarabangsa, festival kebudayaan dan acara minat khas.

Kehadiran peserta dan penggiat seni dari pelbagai negara bukan sahaja memperkayakan ekosistem seni silap mata tempatan, malah membuka peluang kepada pertukaran ilmu, jaringan antarabangsa dan pengenalan Malaysia kepada komuniti silap mata global.

Dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah, Magic Fest Malaysia 26 menyasarkan untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh peminat silap mata, keluarga, pelancong dan penggiat seni dari dalam serta luar negara.

Empat hari. Pelbagai negara. Satu pentas. Keajaiban tanpa batas.

https://vt.tiktok.com/ZSVf8DWWY/

Kenapa Ayu Damit dikejarkan ke hospital Pukul 3 Pagi?

Oleh: Syed Yusof Wafa

Penyanyi Ayu Damit berdepan detik mencemaskan apabila tiba-tiba mengalami sesak nafas sekitar jam 3 pagi, sebelum keadaan kesihatannya yang semakin tidak selesa memaksa suaminya membawanya ke hospital.

Menurut Ayu, keadaan itu berlaku secara mengejut ketika dia sedang berehat di rumah. Pada awalnya, suaminya cuba membantu dengan menyapu minyak pada bahagian dada sebelum dia kembali tidur.

“Pukul 3 pagi saya sesak nafas. Suami saya letak minyak, kemudian saya tidur balik.

“Lepas itu lebih kurang pukul 6 pagi saya terjaga semula sebab rasa loya dan muntah. Pukul 3 tadi pun saya muntah, kemudian pukul 6 saya muntah lagi,” katanya.

Hasil pemeriksaan awal, doktor mengesahkan Ayu mempunyai batu dalam hempedu yang dipercayai menjadi antara punca kepada masalah sakit perut yang dialaminya.

Melihat keadaan Ayu yang masih tidak selesa, suaminya mengambil keputusan untuk membawanya ke Pantai Hospital Cheras bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan awal, doktor mengesahkan Ayu mempunyai batu dalam hempedu yang dipercayai menjadi antara punca kepada masalah sakit perut yang dialaminya.

Dalam pada itu, Ayu turut mempunyai sejarah fibroid yang sebelum ini pernah menyebabkan dirinya mengalami kesakitan pada bahagian perut.

“Doktor sahkan ada batu dalam hempedu. Saya memang ada fibroid sebelum ini dan fibroid itu pun memberi kesan kepada sakit perut saya.

“Cuma untuk sesak nafas itu, doktor masih dalam pemeriksaan. Mereka akan beritahu kemudian apa sebenarnya yang menyebabkan saya sesak nafas,” katanya.

Ayu turut memohon doa daripada orang ramai agar keadaan kesihatannya dipermudahkan dan segala urusan berjalan lancar.

Bagaimanapun, Ayu menjelaskan pemeriksaan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar sesak nafas yang dialaminya.

Sehubungan itu, penyanyi berkenaan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung keadaan kesihatannya selagi pemeriksaan doktor belum selesai.

Bagi juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua itu, kejadian berkenaan sememangnya menjadi pengalaman yang mencemaskan, apatah lagi ia berlaku secara tiba-tiba pada awal pagi.

Buat masa ini, Ayu masih menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di hospital.

Dalam kesempatan itu, Ayu turut memohon doa daripada orang ramai agar keadaan kesihatannya dipermudahkan dan segala urusan berjalan lancar.

“Doakan saya supaya semuanya okay dan dipermudahkan,” katanya.

Konsert Kelate KL 2026 ditangguh ke tarikh baharu

Oleh: Khadijah Ibrahim

KITA hanya mampu merancang, Allah yang menentukan sebab Dia sebaik-baik perancang yang menetapkan takdir yang terbaik untuk hamba-Nya.

Justeru itu, setiap insan perlu reda atas apa yang telah Allah aturkan, walaupun kita telah buat yang terbaik.

Jika ikut perancangan, pada 29 Ogos ini akan berlangsungnya Konsert Kelate KL 2026 di Zepp Kuala Lumpur, namun konsert anjuran Natriya Enterprise dengan kerjasama Ikarl Project serta sokongan Irama Entertainment, terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan serta memerlukan pertimbangan dan penyelarasan lanjut bagi memastikan keseluruhan perjalanan acara dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Ramai yang nak tengok Eda Ezrin dan Den Manjo nyanyi lagu “Adek Saye Abe Sore”.

Pihak penganjur memahami bahawa penangguhan konsert, mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada para peminat yang telah membuat perancangan awal untuk menghadiri Konsert Kelate KL 2026.

Konsert Kelate KL 2026 bakal menampilkan barisan artis seperti Eda Ezrin, Den Manjo, Man Khan, Rosalinda, Adik Waniey, Fendi Kenali serta persembahan Dikir Barat dan Wayang Kulit.

Peminat yang nak dengar lagu duet Eda Ezrin dengan Den Manjo iaitu “Adek Saye Abe Sore” dan “Cinta Setandan Pisang” atau “Bea Sobar Bea” pasti kecewakan. Begitu juga bagi pengikut setia Man Khan, pasti tidak dapat menonton persembahannya bersama Adik Waniey menerusi lagu “Abe Love U All” dan “Mek In Kelate” kolaborasi dengan Rosalinda.

Sehubungan itu, pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran, pemahaman serta sokongan berterusan daripada semua peminat dan pihak yang telah bersama-sama menyokong perjalanan acara berkenaan.

Bagi pemegang tiket yang telah membuat pembelian melalui platform Ilasso, pihak penganjur akan menyediakan proses pemulangan wang (refund).

Man Khan dan Rosalinda juga ditunggu peminat untuk dengar mereka berduet lagu “Mek In Kelate”.

Maklumat lanjut berhubung proses refund, termasuk kaedah dan tempoh pemulangan wang, akan diumumkan melalui saluran rasmi penganjur dan platform tiket Ilasso dalam masa terdekat.

Pemegang tiket dinasihatkan untuk menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan dan maklumat tiket masing-masing bagi melancarkan proses tersebut.

Penganjur akan mengumumkan tarikh baharu Konsert Kelate KL 2026 selepas segala proses penyelarasan berkaitan dimuktamadkan. Pengumuman rasmi berhubung tarikh baharu akan diuar-uarkan melalui saluran komunikasi rasmi sebaik sahaja keputusan tersebut dimuktamadkan.

Konsert Kelate KL 2026 diwujudkan sebagai sebuah platform untuk meraikan muzik, budaya dan identiti Kelantan di Kuala Lumpur, berteraskan semangat: “Suaro Kito, Jiwo Kito -100% Ori Kelate”.

Konsep acara ini turut membawa elemen warisan Kelantan termasuk Dikir Barat dan Wayang Kulit, sebagai sebahagian daripada pengalaman yang ingin diketengahkan kepada para peminat.

Pihak penganjur percaya penangguhan ini adalah langkah yang terbaik bagi memastikan segala perancangan dapat disusun semula dengan lebih baik sebelum acara diteruskan pada tarikh baharu.

Embun Fajar koleksi baharu Siti Khadijah bersama Farah Mohan

Oleh: Khadijah Ibrahim

KALAU sebut saja telekung, pasti akan terpacul nama jenama telekung Siti Khadijah (SK) yang diasaskan oleh Padzilah Enda Sulaiman sejak 2009 lagi.

Jenama telekung premium serta pakaian solat dan fesyen Muslimah itu, kini tampil dengan koleksi baharu iaitu Embun Fajar by Siti Khadijah, kolaborasi bersama artis batik kontemporari, Farah Mohan.

Koleksi kolaborasi eksklusif tersebut diinspirasikan daripada suasana tenang selepas waktu Subuh. Ia membawa simbolik tentang permulaan baharu, harapan, kesyukuran dan kedamaian kerana itulah yang sering kita rasai waktu awal pagi sebelum memulakan rutin harian.

Justeru itu, rasa dan suasana tenang tersebut diterjemahkan pada setiap helaian koleksi kali ini.

Apabila saya mendengar nama Embun Fajar, hati saya terus tersentuh. Bagi saya, embun adalah lambang ketenangan dan kesucian. Ia hadir dengan lembut tanpa bunyi tetapi membawa kehidupan.

Mohammad Munzir bangga kerana jenama Siti Khadijah bakal menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos ini.

“Manakala fajar pula adalah permulaan kepada sebuah hari yang baharu, membawa harapan selepas kegelapan. Itulah juga perjalanan hidup saya.

“Saya membina Siti Khadijah bukan dengan langkah yang besar tetapi dengan langkah-langkah kecil yang dilakukan setiap hari.

Sedikit demi sedikit, dengan doa, kesabaran, harapan dan keyakinan kepada Allah SWT dan akhirnya lahirlah sebuah jenama yang hari ini mendapat tempat di hati ramai wanita di Malaysia,” kongsi Padzilah sewaktu berucap merasmikan koleksi
Embun Fajar by Siti Khadijah, di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi Padzilah, kolaborasi antara Siti Khadijah dengan Farah sangat istimewa kerana ia merupakan satu bentuk penghargaan kepada seni, warisan dan hasil kerja tangan tempatan.

Ini kerana setiap helaian koleksi tersebut diinspirasikan daripada alam semula jadi. Bunga lili dan tulip diketengahkan sebagai simbol kelembutan dan kekuatan wanita. Turut dilengkapi elemen alur dan dedaunan bagi memberi dimensi serta karakter pada setiap rekaan.

Telekung Deko Sutera Mekar yang dihiasi batu permata dijual pada harga RM1,888, hanya untuk 100 helai sahaja.

Motif rekaan koleksi ini diterjemahkan dalam gaya moden tanpa menghilangkan identiti warisan Melayu.

“Kolaborasi ini sangat istimewa kerana Farah Mohan merupakan seorang pereka batik yang sangat berbakat dan mempunyai sentuhan seni yang cukup halus dalam mengangkat keindahan konsep batik Malaysia.

“Kerana itulah saya sangat gembira apabila Siti Khadijah dapat bekerjasama dengan beliau. Saya percaya apabila dua pihak yang berkongsi rasa cinta terhadap kualiti, keindahan dan nilai warisan bersatu, hasilnya bukan sekadar sebuah koleksi tapi sebuah karya yang mempunyai jiwa dan makna.

“Saya juga percaya sebagai sebuah jenama Malaysia, Siti Khadijah menjadi tanggungjawab kita, bukan sekadar menghasilkan produk yang cantik, tetapi juga menghargai dan mengangkat warisan seni negara agar terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Hari ini saya melihat Embun Fajar bukan sekadar nama sebuah koleksi tetap simbol sebuah permulaan yang baharu. Permulaan kepada bagaimana tradisi dan inovasi boleh jalan seiring serta boleh membawa inspirasi kepada wanita-wanita Muslimah di Malaysia,” katanya penuh harapan.

Koleksi Embun Fajar by Siti Khadijah tersedia untuk pratempahan bermula 13 Ogos hingga 23 Ogos ini.

Beliau juga berharap, koleksi Embun Fajar bukan saja indah dipakai tetapi turut meninggalkan makna di hati setiap wanita yang memilikinya.

Berkongsi kisah jenama yang diambil sempena nama Saidatina Khadijah Khuwailid, isteri kepada Nabi Muhammad SAW yang juga tokoh usahawan itu, jelas Padzilah, beliau bermula dengan langkah-langkah kecil terlebih dahulu.

“Saya membina Siti Khadijah bukan dengan langkah yang besar tetapi dengan langkah-langkah kecil yang dilakukan sedikit demi sedikit.

“Dengan doa, kesabaran, harapan dan keyakinan kepada Allah SWT dan akhirnya lahirlah sebuah jenama yang hari ini mendapat tempat di hati ramai wanita di Malaysia,” ujarnya yang kini memiliki kilang pengeluaran di Nilai, Negeri Sembilan serta pilihan butik fizikal di Malaysia dan pasaran serantau seperti Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah Group, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, koleksi Embun Fajar by Siti Khadijah bersama sentuhan seni Farah Mohan hadir dengan helaian telekung, busana wanita, busana lelaki, tudung dan sejadah.

Koleksi Embun Fajar hadir dengan helaian telekung, busana wanita dan lelaki, tudung serta sejadah.

“Apa yang lebih menarik, rekaan bermotif sama dihasilkan untuk busana wanita dan lelaki untuk memudah serta melengkapkan gaya seisi keluarga.

“Koleksi kolaborasi eksklusif ini menggabungkan elemen fesyen, seni dan fungsi yang praktikal. Kepada para penggemar telekung dengan rekaan elegan dan tersendiri, boleh dapatkan keluaran edisi terhad ini,” jelasnya.

Koleksi yang dikeluarkan adalah Telekung Deko Sutera Mekar yang hadir sebanyak 100 pasang sahaja. Ia diperbuat daripada 100 peratus fabrik sutera dan rekaan motif pada setiap helaian dicanting tangan oleh artisan tempatan yang bertauliah.

Bukan sekadar itu saja, setiap helaian telekung edisi terhad itu turut dihiasi dengan taburan batu permata yang menambahkan persona pada keseluruhan rekaan.

Padzilah memulakan perniagaan telekung Siti Khadijah dengan kesabaran dan usaha yang gigih.

Telekung Deco Sutera Mekar ini boleh didapati pada harga RM1,888. Selain itu koleksi tersebut juga menampilkan helaian kain batik Alur Sarung Suri yang diinspirasikan daripada kain batik nostalgia yang biasa dilihat sejak zaman berzaman.

Ianya sesuai dijadikan kain bahagian bawah yang dipakai sebagai set bersama telekung atau boleh juga disarung untuk kegunaan lain mengikut kreativiti dan keselesaan. Koleksi ini boleh didapati pada harga RM88 sahaja.

Koleksi Embun Fajar by Siti Khadijah tersedia untuk pratempahan bermula 13 Ogos hingga 23 Ogos ini dengan diskaun sebanyak 10 peratus di www.sitikhadijah.com.

Sementara itu, jualan rasmi koleksi ini pula akan bermula pada 21 Ogos 2026 dan boleh didapati di semua butik Siti Khadijah serta platform digital rasmi.

Fabrik sutera dan rekaan motif pada setiap helaian telekung dicanting tangan oleh artisan tempatan yang bertauliah.

Ekoran daripada pelancaran koleksi ini, Siti Khadijah bakal menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos ini dan turut mengambil bahagian dalam acara Kereta Api Sarong 2026 bagi meraikan budaya, warisan dan identiti Malaysia bersama masyarakat.

Orang ramai berpeluang melihat sendiri koleksi Embun Fajar menerusi aktiviti jenama dan pengalaman di butik sepanjang tempoh kempen.

Koleksi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Siti Khadijah dalam mengangkat seni, warisan dan kreativiti Malaysia melalui rekaan yang relevan pada masa kini.

Bjorn Again terus hidupkan lagu-lagu ABBA

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM Konsert Bjorn Again – The ABBA Forever Tour 2026 di Zepp Kuala Lumpur bermula, sempatlah penulis tanya pada rakan media Gen-Z kat sebelah, “kamu tahu ke lagu-lagu kumpulan ABBA ni?

Dia jawab, tahu sebab mak dia selalu dengar. Jadi pada malam itu, selain menjalankan tugasan, Alia (bukan nama sebenar) sibuk merakam video untuk ditunjukkan kepada emaknya nanti.

Bagi pandangan penulis, mana-mana karya yang dihasilkan dengan berkualiti, tak kiralah dari tahun berapa penciptaannya, jika lagu tersebut mampu menyentuh hati pendengar ia akan terus diminati oleh peminat lama mahupun yang baharu.

Meskipun pada konsert anjuran Shiraz Projects, lagu-lagu hits ABBA bukan dinyanyikan oleh anggota asal kumpulan yang yang ditubuhkan pada 1972 yang berasal dari Stockholm, Sweden, namun Agnetha Falstart, Benny Anderwear, Fruda atau Frida Longstokin dan Bjorn Volvo-us yang berasal dari Australia itu mampu membuatkan penonton lupa bahawa mereka hanyalah ‘klon’ kepada kumpulan ABBA asal yang dianggotai oleh Agnetha Faltskog, Anni-Frid Lyngstad, Benny Andersson dan Bjorn Ulvaeus.

Dari kiri, Frida atau Laura Davidson dan Agnetha yang nama sebenarnya, Jodie Thornton berjaya menghibur penonton dengan gaya yang mempersonakan

Bjorn Again merupakan salah sebuah kumpulan tributasi ABBA, pertubuhan paling awal iaitu pada 1988. Selain Bjorn Again, kumpulan lain yang aktif membuat persembahan parodi ABBA ialah Abbaesque, dari Ireland, A-Teens dari Stockholm, Sweden dan Gabba.

Kumpulan Bjorn Again berjaya membina kelompok peminat global dan menarik perhatian ramai serta telah membuat persembahan di lebih 125 negara, termasuk di lokasi tersohor dunia seperti Sydney Opera House dan Royal Albert Hall.

Pada konsert yang berlangsung pada 12 Ogos baru-baru ini, Bjorn Again memulakan persembahan di set pertama dengan lagu “Waterloo” yang merupakan lagu daripada album kedua ABBA, keluaran 1974. Lagu tersebut turut memenangi Eurovision Song Contest, Sweden pada tahun yang sama.

Kemudian diikuti dengan lagu “Super Trouper ” dari album ketujuh ABBA yang diterbitkan pada 1980. Sebelum mendendangkan lagu “Honey Honey” Agnetha dan Frida sempat berinteraksi dengan penonton dahulu.

“Seronok dapat bersama anda semua pada malam ini. Kami ialah Bjorn Again. Adakah anda semua teruja untuk bersama kami malam ini?,” tanya Agnetha yang nama sebenarnya Jodie Thornton.

Nama pentasnya Bjorn dan nama sebenarnya ialah Rhys Warden.

Kemudian Frida atau nama sebenarnya, Laura Davidson berkata, “Saya tahu ini malam Rabu, tapi adakah anda semua bersedia untuk berhibur? Anda semua kena nyanyi dengan lantang bersama Bjorn apabila kami beri isyarat nanti,” ujarnya sewaktu berkomunikasi dengan penonton yang kebanyakannya berusia melebihi 30 tahun yang hadir untuk mengimbau nostalgia masing-masing.

Sebanyak 12 buah lagu dipersembahkan pada set pertama. Untuk memperkenalkan lagu-lagu yang bakal didendangkan, pasti ada ungkapan ringkas yang diperkatakan merujuk kepada lagu yang bakal dinyanyikan.

“Saya ada satu soalan mudah kepada anda semua. Siapa di sini yang pernah menonton filem ‘Ma Mia’?. Saya ingin dengar anda menjerit jika pernah menonton filem tersebut tapi anda baharu saja melakukannya.

“Baiklah kita akan menjerit bersama-sama dalam lagu seterusnya, iaitu “When I Kiss The Teacher”, lagu daripada filem tersebut,” katanya sebelum menyanyikan lagu tersebut.

Sementara itu, Bjorn atau nama sebenarnya Rhys Warden yang bermain gitar, melahirkan rasa gembiranya melihat kehadiran penonton yang ramai.

Benny atau nama sebenarnya Ashley Reeder, salah seorang anggota Bjorn Again.

“Rakan-rakan semua terima kasih kerana menyambut kehadiran kami dengan begitu mesra. Anda semua sangat hebat.

“Lagu seterusnya yang ingin kami persembahkan ini adalah tentang persahabatan. Saya serahkan kepada sahabat baik saya, Benny (nama sebenar Ashley Reeder- keyboard) untuk memulakannya. Tajuk lagu tersebut ialah “Chiquitita”.

Lain-lain lagu yang dinyanyikan pada segmen pertama termasuk “Sos”, “Slipping Through My Fingers “, “I Have A Dream”, “Fernando”, “Winner Takes It All”, “Name Of The Game” dan “Thank You For Music”.

Selepas 20 minit berhenti untuk anggota Bjorn Again menukar pakaian, di set kedua dimulakan dengan lagu “Does Your Mother Know”.

Persembahan anggota Bjorn Again mengembalikan nostalgia terhadap kumpulan ABBA.

Setiap lagu yang disusun untuk dendangan, seolah-olah ‘berkaitan’ antara satu sama lain yang melambangkan kehidupan setiap insan.

Seterusnya, Bjorn mendendangkan lagu “Ring Ring” yang dipetik daripada album sulung ABBA pada 1973. Sekarang ini kalau ada kawan-kawan yang lama tidak berhubungan tapi tiba-tiba ‘ring ring’ (menelefon) pasti ada hajat “Money Money”, lagu daripada album keempat ABBA, “Arrival” 1976.

Biasalah “Knowing Me, Knowing You”, kita perlu mengenali orang di keliling dan sebab itulah kita perlu “Living On A Prayer” dendangan asal oleh Bon Jovi dipersembahkan oleh Benny dan Bjorn.

Kalau ikutkan senarai lagu yang dihasilkan oleh kumpulan ABBA ada lebih 100 buah lagu sejak memulakan kerjaya pada 1972 dan mengeluarkan sembilan album studio yang terakhir, “Voyage” pada 2021.

Bjorn Again, antara kumpulan parodi ABBA yang mendapat sambutan hangat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Shiraz Productions kerana membawa kami ke sini untuk siri jelajah kami.

“Sesungguhnya, kami telah menikmati masa yang indah di sini bersama anda. Harap kami dapat kembali lagi ke Malaysia untuk bertemu anda semua,” ucap Bjorn sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Dancing Queen”.

Ucapan Bjorn itu disokong oleh Frida yang berkata, walaupun mereka baru saja selesai mengadakan persembahan di sini, Bjorn Again tidak sabar untuk datang lagi ke Malaysia.

Untuk set kedua, antara lagu yang didendangkan ialah “Voulez-Vous”, “Lay All Your Love On Me”, “Take A Chance On Me”, “Gimme Gimme Gimme”, “Mama Mia”, dan Dancing Queen”.

Kenapa Artis Terkenal Serbu AVOCake Pukis & Delight?

Oleh : Syed Yusof Wafa

Dari keenakan Iga Bakar dan Sate Kambing Madura, hinggalah kelembutan Pukis serta kesegaran manisan dan minuman berasaskan avokado, penggemar makanan Indonesia kini mempunyai satu lagi destinasi baharu untuk meneroka kekayaan rasa Nusantara.

Menghimpunkan pelbagai sajian ikonik dan hidangan popular dari segenap pelusuk Indonesia dalam satu lokasi, AVOCake Pukis & Delight tampil sebagai restoran baharu berkonsepkan family dining yang membawa pengalaman kulinari Indonesia lebih dekat kepada masyarakat Malaysia.

Bukan sekadar menawarkan hidangan yang popular, restoran ini turut mengetengahkan kepelbagaian rasa, tradisi dan keunikan makanan dari pelbagai daerah di Indonesia, sekali gus memberi peluang kepada pelanggan menikmati pengalaman gastronomi Nusantara tanpa perlu merentas sempadan.

Antara menu yang menjadi pilihan termasuk Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging, Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai, selain pelbagai pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado yang menjadi antara tarikan istimewa restoran berkenaan.

Tujuh Tahun Menyelami Kekayaan Kuliner Indonesia

Di sebalik penubuhan AVOCake Pukis & Delight ialah minat mendalam pengasasnya, Dr. Shamsiah Yaakob, terhadap warisan makanan Indonesia.

Pengalaman selama tujuh tahun menetap di Indonesia ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, selain penglibatan bersama beberapa syarikat swasta di negara itu, membuka ruang kepada beliau untuk mengenali dengan lebih dekat pelbagai jenis makanan tempatan serta kaedah penyediaannya.

Lebih menarik, pengetahuan tersebut tidak sekadar diperoleh melalui pengalaman menikmati makanan, sebaliknya Dr. Shamsiah mengambil peluang untuk mempelajari sendiri cara menyediakan pelbagai sajian Indonesia.

“Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas dan setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri. Melalui AVOCake Pukis & Delight, kami mahu membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, minat terhadap dunia masakan turut menjadi pencetus kepada idea untuk menjadikan pengalaman yang dikumpul sepanjang berada di Indonesia sebagai sebuah perniagaan.

“Kebetulan saya memang suka memasak. Jadi, sepanjang berada di Indonesia, saya mengambil peluang untuk mempelajari cara menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan. Pada tahun 2025, saya terfikir, mengapa tidak saya buka perniagaan makanan dan membawa cita rasa Indonesia ke Malaysia?

“Pada masa yang sama, saya juga mempunyai impian untuk suatu hari nanti membawa makanan Malaysia pula ke Indonesia,” katanya.

Antara menu yang menjadi pilihan termasuk Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging, Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai, selain pelbagai pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado yang menjadi antara tarikan istimewa restoran berkenaan.

Bermula Kecil, Kini Melangkah ke Kuala Lumpur

Impian tersebut bermula dengan langkah sederhana apabila sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight dibuka di UTC Ampangan, Seremban.

Sambutan menggalakkan daripada pelanggan kemudiannya memberi keyakinan untuk mengembangkan perniagaan dengan pembukaan sebuah lagi restoran di Sikamat, Seremban, pada penghujung Disember tahun lalu.

Daripada situlah perjalanan AVOCake Pukis & Delight menuju Kuala Lumpur bermula.

Pembukaan restoran di ibu negara tercetus hasil kunjungan Ibu Ratieh Sanggarwaty Zen, Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI), bersama kumpulannya ke restoran AVOCake Pukis & Delight di Sikamat.

Menurut Dr. Shamsiah, pertemuan tersebut membuka ruang kepada idea untuk membawa konsep berkenaan ke Kuala Lumpur.

“Ibu Ratieh bersama kumpulannya pernah berkunjung ke restoran kami di Sikamat dan bertanya mengapa saya tidak membuka restoran di Kuala Lumpur. Daripada pertemuan dan perbualan itu, idea tersebut mula berkembang dan akhirnya, bersama Ibu Ratieh serta beberapa rakan beliau, terhasillah AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur,” katanya.

Sekitar majlis perlancaran AVOCake Pukis & Delight cawangan Sentul baru-baru ini.

Dari Makanan Popular ke Pengalaman Gastronomi

Pengarah Bersama AVOCake Pukis & Delight, Mohd Azri Ahmad Kamil, berkata pemilihan menu dilakukan dengan teliti bagi memastikan pelanggan bukan sahaja dapat menikmati hidangan yang popular di Indonesia, malah berpeluang mengenali sajian yang mempunyai keunikan tersendiri dalam landskap kulinari semasa.

“Kami melihat perkembangan makanan Indonesia yang semakin mendapat perhatian di rantau ini. Banyak hidangan dari Indonesia menjadi viral kerana keunikan rasa, persembahan dan kisah di sebalik makanan tersebut.

Dua sahabat…Ellie Suriaty dan Raja Azmi tidak jemu menjamu selera di sini.

“Kami mahu membawa pengalaman itu ke Sentul untuk dinikmati bersama pelanggan,” katanya.

Bagi AVOCake Pukis & Delight, makanan bukan sekadar tentang rasa di atas pinggan. Restoran ini turut menyasarkan untuk menjadi ruang santapan yang meraikan budaya, komuniti dan pengalaman gastronomi yang berkualiti.

Majlis perasmian dan pelancaran restoran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa rakan selebriti termasuk Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman yang juga merupakan pelanggan tetap cafe terkenal ini.

Datuk Nadzim Johan, yang lebih dikenali dengan gelaran Toqqi serta merupakan Ketua Aktivis dan Pengasas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut hadir memeriahkan majlis.

Restoran berkenaan turut mendapat sokongan daripada selebriti dan ahli politik Indonesia, Ratieh Sanggarwaty Zen, yang merupakan antara pelabur dan pembiaya restoran bersama rakan-rakan pelabur lain iaitu Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef serta Eny Martuti Kamidjo.

Dengan membawa semangat “rasa Indonesia, pengalaman istimewa”, AVOCake Pukis & Delight berharap dapat menjadi antara destinasi pilihan pencinta makanan di Kuala Lumpur yang ingin meneroka kepelbagaian dan keunikan kulinari Nusantara.

Daripada sebuah idea yang tercetus hasil pengalaman tujuh tahun di Indonesia, kepada sebuah outlet kecil di Seremban dan kini melangkah ke Kuala Lumpur, perjalanan AVOCake Pukis & Delight memperlihatkan bagaimana minat terhadap makanan boleh berkembang menjadi sebuah usaha untuk menghubungkan dua budaya melalui satu perkara yang dekat di hati semua iaitu “makanan” .

Hazama sertai teater muzikal ‘Mansur & Liu’ kerana M.Nasir

Oleh: Khadijah Ibrahim

TATKALA ditanya kepada Hazama, apa yang membuat beliau berminat untuk terlibat dalam pementasan teater muzikal ‘Mansur & Liu’? Jawapannya mudah saja, kerana Datuk M.Nasir mengarah dan sebab itu Hazama mahu berlakon dalam teater tersebut.

Walaupun ‘Mansur & Liu’ merupakan teater pertama arahan M.Nasir, bagi Hazama apa pun yang akan berlaku, beliau tetap ingin berada dalam projek yang sama dengan maestro seni tanah air itu.

Cerita Hazama Ahmad Azmi lagi, sebaik terbaca iklan yang menyatakan produksi Roman Abadi, yang diterajui M Nasir dan Datin Marlia Musa serta Icon Entertainment akan mengadakan uji bakat untuk mencari pelakon bagi pementasan tersebut, beliau nekad untuk mencuba nasib kerana mahu bekerjasama dengan idolanya itu.

Untuk teater muzikal ‘Mansur & Liu’ yang akan dipentaskan selama 10 hari bermula pada 10 hingga 20 September 2026, di Panggung Sari, Istana Budaya itu bakal menampilkan Hazama, 42, sebagai Pahlawan Thailand.

Barisan pelakon teater muzikal ‘Mansur & Liu’ bersama pengarah M.Nasir di sidang media, baru-baru ini.

“Disebabkan Datuk M.Nasir yang akan mengarah, saya sendiri yang volunteer untuk terlibat. Saya tanya padanya, kalau ada watak kosong saya nak ikut juga. Dia suruh saya datang kasting.

“Saya nak buat teater ini sebab ia arahan Datuk M.Nasir. Saya memang suka dan teringin untuk bekerjasama dengan Datuk M.Nasir. Tak kisahlah dari segi muzik ke, kalau dia mengarah filem, saya pun nak involve tapi kali ini dia nak buat teater. Saya sanggup pergi uji bakat kat Marriot Hotel, sama seperti peserta lain juga.

“Tak ada diberikan keistimewaan pun. Saya perlu tunjuk aksi berdialog, bersilat , menyanyi macam AF9 (Akademi Fantasia) dulu sama je kasting tapi disebabkan saya okey dan diterima. Kali terakhir saya pergi uji bakat masa zaman Akademi Fantasia saja,” katanya tanpa berselindung.

‘Mansur & Liu’ adalah teater kedua Hazama selepas teater muzikal ‘Hantu Mak Limah’, arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2018.

Ujar Hazama lagi, beliau diberi watak antagonis, yang menyebabkan konflik dalam pementasan ini.

Hazama mahu berlakon dalam teater ‘Mansur & Liu’ kerana mahu bekerjasama dengan M.Nasir.

“Di teater inilah saya akan cuba tukarkan perspektif penonton terhadap saya. Mungkin sebelum ini penonton melihat saya sebagai seorang pelakon yang bergenre komedi.

“Penampilan saya dalam drama atau filem, kebanyakannya scene komedi. Macam dalam filem “Sheriff: Narko Integriti”, saya berlakon serius tak kelakar pun tapi bila keluar orang gelak.

“Saya pun tak tahu kenapa, kerana saya dah bagi yang paling serius dah. Tapi kalau di skrin, penonton melihat dari aspek macam tu, itu luar bidang kuasa saya. Apa yang saya boleh prepare, saya kena tukar perspektif penonton terhadap saya.

“Sebab itu saya berani untuk menggalas tanggungjawab jadi watak antagonis dalam teater ini. Di pentas ini saya dapat explore semua benda dari segi momok wajah mahupun tonasi suara. Dekat drama dan filem tak boleh sangat nanti nampak over pula. Kat teater ni frame besar jadi kita kena express yang terbaik,” katanya penuh semangat.

Jelas Hazama, selepas bekerja dengan M.Nasir, beliau dapat melihat yang pengarah, penyanyi, komposer dan pelakon itu adalah seorang yang sangat teliti dalam banyak perkara.

Hazama menganggap apa yang dilakukan untuk teater ini amat sukar tapi beliau gembira dapat menimba ilmu.

“Datuk M.Nasir ni, dia tahu setiap detail sekecil-kecil dialog, tonasi, drama dan note-note drama muzikal pun dia tahu. Saya ingatkan dia ni macam orang biasa, saya salah kerana dia memang beri perhatian. Sangat detail rupa-rupanya Datuk M.Nasir ini. Di sini saya mengenali dia lebih dekat lagi.

“Untuk teater ini saya ada nyanyi satu lagu. Dalam berdialog dengan orang Melaka ni, dialognya lebih kepada muzikal dan lagu. Kita ada scene perang tapi tak adalah heavy sangat sampai nak tunjukkan yang kita ni beraksi tapi scene perang yang muzikal. Memang lainlah daripada apa yang pernah saya buat.

“Kalau kat rumah saya akan berlatih di depan cermin sebelum saya nak present pada orang lain. Tu yang seronok buat teater sebab kita dapat explore dan mantapkan lagi bakat. Latihan dah mula sejak sebulan lalu tapi tak adalah hari-hari. Saya punya slot taklah banyak sangat tapi scene saya tu penting.

“Setiap minggu untuk scene perang, kita akan berlatih tiga hari berturut-turut. Untuk cast lain dah mula latihan menyanyi, menari dan berlakon. Yang paling susah sebenarnya dalam teater ini adalah menyanyi sebab kita menyanyi bukan lagu yang sedia ada tapi lagu ini dicipta khas untuk mood dan adegan tersebut.

“Memang rasa susah seperti pertama kali kita nyanyi lagu baharu. Saya pula watak dari Siam jadi saya kena nyanyi dengan lenggok yang ada bunyi Siam. Benda-benda ni nampak kecil tapi ia sebenarnya elemen besar. Menyanyi lagu pop lagi senang daripada nyanyi lagu macam ni.

Kena belajar daripada A balik tak boleh nak rasa diri hebat.

Teater muzikal arahan M.Nasir ini akan dipentaskan selama 10 hari di Istana Budaya , mulai 10 September ini.

“Saya tak adalah belajar bahasa Siam sangat cuma untuk bahagia tertentu saja. Kalau guna banyak sangat bahasa Siam takut penonton tak faham. Bahasa Siam tu sekadar nak established karakter saja. Adalah beberapa ayat Siam yang saya dah cari untuk disesuaikan dengan scene. Contoh, jom-ti yang bermaksud serang untuk memberitahu penonton yang saya dari pihak Siam,” ceritanya tentang persediaan yang dilakukan.

Meskipun merasa apa yang dilakukan sekarang lebih berat daripada menyanyi atau berlakon drama mahupun filem, Hazama tetap seronok kerana dapat menimba ilmu daripada sifu M.Nasir.

“Yang ini adalah kerja saya yang paling berat kerana saya perlu menyanyi, berlakon, menari dan bersilat semua ada. Yang ini adalah pementasan paling optimum adalah teater muzikal.

“Saya harap akan ada banyak lagi pementasan macam ni sebab ia boleh menggabungkan penyanyi, pelakon, penari semua yang ada dalam industri kita boleh satukan sebab ia ada nyanyian, tarian dan lakonan. Kalau perbanyakkan lagi teater macam ni bagus untuk industri hiburan tanah air kita,” katanya.

Teater Muzikal Mansur & Liu, bukan sekadar mengisahkan pertemuan antara Sultan Mansur Shah (Aliff Aziz) dan Puteri Liu (Melinda Dadew) dari Dinasti Ming, bahkan menyingkap sebuah zaman yang menyaksikan diplomasi mengatasi sengketa, kebijaksanaan mengatasi kekuatan dan kasih merapatkan dua empayar yang dipisahkan oleh lautan.

Lain-lain pelakon yang menjayakan pementasan muzikal ini ialah Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

Tiket boleh dibeli di laman web https://www.ticket2u.com.my/MansurdanLiu

Ada beberapa kategori tiket yang dijual, (Balairung Utama) Stalls dengan nilai RM388 (A1), RM408 (A2), RM388 (A3), RM368 (A4), RM388 (A5) dan RM368 (A6).

Sementara itu, di bahagian Anjung Bendahara (Grand Circle) pada nilai RM268 (B1), RM268 (B3) dan RM308 (B2). Manakala di Anjung Rakyat (Upper Circle) dengan nilai RM88 (C1), RM88 (C3) dan RM128 (C2).