Home Blog Page 24

Rubiah Suparman yang dirindui

Oleh SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

APABILA sebut nama Rubiah Suparman bukan sahaja membuatkan anda mengingatinya malah pasti anda tertanya-tanya ke manakah beliau menghilang?

Siapa tidak kenal dengan pelakon yang cukup sinonim dengan watak wanita
malang yang telah mencuri hati ribuan peminat filem kerana lakonannya dalam ‘Dayang Suhana’ arahan Aziz Abas terbitan Filem Negara Malaysia pada tahun 1977.

KECANTIKAN dan keayuan wajah Rubiah Suparman sebagai wanita Melayu jelas terserlah dalam kebaya pendek.

Filem yang mula menemui para peminat di seluruh pawagam di Malaysia pada Mei 1978, bukan sahaja telah membuatkan nama beliau melekat di hati para peminat malah filem itu juga telah mencatatkan sejarah tersendiri buatnya.

Sebabnya penghayatan Rubiah Suparman sebagai Dayang Suhana, janda yang hampir menemui kebahagiaan kedua musnah apabila sebelum majlis akad nikah dijalankan baru diketahui bakal suaminya, Azman (Datuk Rahim Razali) adalah saudara sesusuan.

RUBIAH Suparman dan Allahyarham Ismail Din dalam satu babak filem “Bila Hati Telah Retak” yang diterbitkan pada tahun 1983

Lakonannya yang berkesan telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) pada tahun 1981.

Sementara “Bila Hati Telah Retak” filem ketiga lakonannya telah melayakkan Rubiah Suparman menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-4 (FFM4) pada tahun 1983.

BERPASANGAN dengan Datuk Rahim Razali sebagai Azman dan Rubiah Suparman sebagai Dayang Suhana (yang juga tajuk filem pertama lakonannya) Filem ini diterbitkan pada tahun 1977.

Bagaimanapun dua kali merangkul anugerah pada FFM tidak mampu mengikat beliau yang telah berlakon ratusan drama seperti ‘Tiga Dara’, ‘Mencari Restu’ dan ‘Naik Tangga Turun Tangga’ dan sembilan filem antaranya ‘Di Ambang Kasih'(1984), ‘Potret Maria'(1980) dan ‘Black Widow Wajah Ayu’ (1994) untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan.

Baginya semua itu hanya kisah dan kejayaan yang dicapainya 42 tahun dahulu. Kini ‘Dayang Suhana’ berwajah sayu tidak sama dengan Seniwati Rubiah Suparman hari ini.

“Di Ambang Kasih” membawa dilema cinta yang penuh konflik antara Datuk Rosdi dengan adik iparnya, Hidayu (Rosnah Mohd. Nor) dan Hayati (Rubiah Suparman) yang disangka mati lemas.

Sebabnya pada usianya 76 tahun, Rubiah Suparman lebih selesa dan tenang menjalani hidup sebagai pemilik Restoran Puteri yang terletak di No: 12, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Sebagai pemilik restoran berkenaan sejak sekian lama, sepatutnya beliau boleh duduk goyang kaki tetapi tidak bagi Rubiah Suparman.

RUBIAH Suparman (dua dari kanan) bersama Datin Maria Arshad, Fauziah Ahmad Daud dan Datuk Nancie Foo ketika mewakili Malaysi di Festival Filem Asean ke-10 yang berlangsung pada November 1980, di Singapura.

Sebaliknya setiap hari selepas Subuh beliau akan memandu kereta dari Subang Jaya ke Taman Tun Dr. Ismail untuk sama-sama memastikan agar semua menu untuk sarapan pagi sudah tersedia untuk para pelanggan tetapnya menjamu selera sebelum ke pejabat atau menjalankan tugas harian masing- masing.

Apabila ditanya apakah beliau tidak berhasrat berlakon kembali, Rubiah yang sering membawa watak wanita malang berkata;

SENIWATI Dayang Sulu menyampaikan Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kepada Rubiah Suparman pada Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) pada tahun 1981 kerana lakonannya dalam filem “Dayang Suhana.”

“Sudah 29 tahun saya tinggalkan bidang lakonan dengan filem terakhir ‘Black Widow Wajah Ayu’ hati saya memang sudah tertutup untuk berlakon kembali.

“Cukuplah selama ini saya berlakon di depan kamera. Kini realiti hidup saya sibuk di restoran dan menyantuni para pelanggan tetap yang menjamu selera setiap sarapan pagi dan makan tengahari di Restoran Puteri ini.

DATUK Yusof Haslam menerima Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Mekanik.”
Sementara, Rubiah Suparman pula menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Bila Hati Telah Retak.”
Kedua-duanya menerima anugerah tersebut pada Festival Filem Malaysia ke-4 (FFM4) yang berlangsung pada tahun 1983

“Walaupun kadangkala ada pengunjung yang pertama kali datang ke restoran ini bertanya mengapa saya tinggalkan dunia glamor sebaliknya bertungkus lumus di restoran ini, jawapan saya mudah…inilah dunia saya hari ini.

“Cukuplah lebih 40 tahun hidup saya berdepan dengan kamera bukan sahaja melakonkan watak orang lain malah saya penat melihat ragam segelintir pelakon baru yang tidak tahu menghormati waktu dan para pelakon senior yang terpaksa menunggu mereka berjam-jam di set.

HARI bahagia buat Rubiah Suparman dan Zahari Mohd. Noh apabila sah sebagai suami isteri pada 1 Januari 1984. Zahari Mohd. Noh meninggal dunia kerana kanser pada 7 Mac 2020.

“Saya perhatikan mereka bersikap begitu kerana penerbit adalah ‘BFF’ (Best Friend Forever) mereka,” kata Rubiah Suparman yang tetap dengan pendiriannya tidak akan berlakon lagi.

Menurut Rubiah Suparman lagi, kini beliau rasa lebih tenang pada usia begini beliau menyantuni para pelanggannya yang begitu berselera menikmati menu popular di Restoran Puteri yang mula beroperasi dari pukul 6.30 pagi sehingga 4.00 petang setiap hari.

RUBIAH Suparman menyantuni pelanggan VViP, Pengasas Portal BebasNews, Datuk Zaini Hassan bersama kakitangannya, Marlia Abdul Ghani dan Afiza Aziz yang menjamu selera di Restoran Puteri, di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur .

“Saya merasakan begitu dihargai bila para pelanggan tetap dan pelanggan baharu mengucapkan terima kasih kerana berbaloi bil yang mereka bayar dengan menu hidangan yang menepati selera mereka.

“Berlakon kita merasakan kerja keras kita amat dihargai apabila menerima anugerah tetapi mengusahakan restoran setiap hari apabila pelanggan mengucapkan terima kasih kerana masakan kita menepati selera mereka, itulah saat yang paling membahagiakan,” cerita Rubiah Suparman mengenai perasaannya yang telah mengendalikan Restoran Puteri TTDI sejak 22 tahun lalu.

RUBIAH Suparman bersama rakan kongsinya, Datuk Habsah Hassan ketika bersama mengusahakan Restoran Puteri di Brickfields yang mula beroperasi pada tahun 1984. Tetapi restoran ini ditutup pada 10 Ogos 2021 akibat pandemik Covid-19.

Menu popular Restoran Puteri sejak di Brickfields ialah sarapan pagi dengan Laksa Johor, Soto Ayam, Lontong, Mi Rebus dan Roti Canai.

Sementara makan tengahari menu istimewa antaranya Siput Sedut Masak Lemak, Daging Salai Masak Lemak Cili Padi dan Ikan Kembung Bakar.

“Saya bersyukur setiap kali melihat para pelanggan menikmati dengan penuh selera menu hidangan kami.

DALAM kenangan…Rubiah Suparman bersama Allahyarham suami, Zahari Mohd. Noh dan anak-anak mereka.

“Walaupun semua menu itu dimasak oleh para petugas di restoran ini tetapi saya akan pastikan kelazatannya dan kualitinya tetap sama. Para pelanggan datang menjamu selera di sesebuah restoran kegemaran mereka kerana masakannya yang sedap dan memenuhi selera mereka,” kata Rubiah Suparman dan berharap Restoran Puteri di TTDI akan terus kekal.

Bila bercakap mengenai Restoran Puteri di Brickfields yang terpaksa ditutup pada 10 Ogos 2021 kerana pandemik Covid-19, Rubiah berkata;

BERDIRI dari kiri: Syed Wafa (penulis) bergambar kenangan bersama Rubiah Suparman, Datuk Habsah Hassan dan suami, Mohamed Wan Hamzah Jusoh.
DUDUK: Wartawan, Muzlina Abu Bakar.

“Saya memang sayang kerana Restoran Puteri di Brickfields sudah beroperasi selama 37 tahun, tetapi saya reda kerana sudah setakat itu rezeki kami di sana.

“Semoga dengan izin-Nya Restoran Puteri di TTDI akan terus kekal,” kata beliau penuh harapan.

Kami mendoakan semoga seniwati legenda ini sentiasa dirahmati Allah… Amin


Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Indahnya pengakhiran hidup Mustaffa Noor

Oleh: SYED YUSOF WAFA
Foto: Koleksi SYED YUSOF WAFA

WALAUPUN kehadirannya dalam ‘dunia seni’ tempatan hanya seketika namun beliau meninggalkan ‘kenangan’ yang tersendiri dan menjadi ingatan kepada segelintir wartawan hiburan yang pernah mengenalinya.

Baru-baru ini, bersandarkan perbualan saya dengan seorang wartawan hiburan ‘senior’ berkongsi pengalamannya sepanjang menemuramah aktor berkenaan yang tidak pernah menggunakan walau sepatahpun perkataan Inggeris, saya terpanggil untuk menulis mengenai aktor ini.

MUSTAFFA Noor mula menarik perhatian ramai apabila pertama kali muncul sebagai Osman dalam drama “Maria” bergandingan dengan Fatimah Abu Bakar yang ditayangkan TV3 pada tahun 1984.

Beliau yang mendapat pendidikan di Malay College Kuala Kangsar meskipun pernah bekerja di luar negara tetapi jati dirinya kepada bahasa Melayu amat tebal!

Sebabnya adalah lumrah bagi wartawan hiburan bertemu dengan artis atau individu tertentu apabila bercakap mereka suka menggunakan ‘bahasa rojak’ iaitu bahasa Melayu diselangseli dengan sepatah dua perkataan Inggeris tetapi berlainan dengan aktor yang seorang ini!

“MAWAR Merah” filem pertama dan terakhir lakonan Mustaffa Noor bukan sahaja telah mempopularkan beliau malah telah meletakkan beliau di tempat istimewa dalam industri filem.
Filem pertama arahan Datuk Rosnani Jamil ini telah menobatkan Mustaffa Noor sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Raja Ema dianugerahkan sebagai Bintang Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-7 pada tahun 1987.

Adalah difahamkan pada setiap temuramah dengan wartawan hiburan, beliau akan menjawab setiap soalan dengan bahasa Malaysia ‘standard’ bukan bahasa rojak!

Itulah aktor Mustaffa Noor, dimana saya berpeluang menonton di youtube “Mawar Merah” filem pertama dan terakhir lakonan Allahyarham sebagai Sofyan (bapa saudara Kartika) bersama Raja Ema (Kartika), Razis Ismail (Razis), Noraini Hashim (Ibu Sofyan dan nenek Kartika), Fauziah Nawi ( Sharifah, ibu Kartika dan kakak Sofyan), Zu Ghairi ( Mardiana), Isma Aliff (Isma) dan Halim Sabir ( Halim). Filem ini arahan Datin Rosnani Jamil terbitan RJ Filem.

SATU babak dari filem “Mawar Merah”…apabila perasaan cinta mula berputik di hati Sofyan dan Kartika…perasaan cemburu tidak boleh dibendung lagi!

Begitulah hebatnya Allahyarham Mustaffa Noor yang pernah mencuri hati ramai peminat filem dan drama tempatan sekitar tahun 1983 sehingga 1987!

Menelusuri perjalanan hidup ‘seorang’ Mustaffa Noor, beliau pernah bekerja di Bank Bumiputra di New York. Peluang bekerja di sana juga memberi ruang untuk beliau mendalami seni lakon yang mana akhirnya membawa beliau mengikuti kelas teater di sana bersama Al Pacino.

CINTA terlarang…perasaan cinta dan cemburu Sofyan terhadap Kartika, anak kakaknya, Sharifah (Fauziah Nawi) jelas terpancar di wajahnya apabila mendapat tahu Kartika dicintai oleh sahabatnya, Razis.

Kelas teater yang diikuti memberi ruang beliau berkongsi ilmu apabila kembali ke Malaysia pada awal tahun 1980-an.

Markas Drama adalah kelas drama milik beliau bersama rakannya, Abdul Rahman Adnan. Bagi mereka yang mahu mengikuti kelasnya syaratnya sama ada mereka bercerita atau bercakap tentang Surah Al-Quran yang mereka bacakan.

Bukan itu sahaja, malah Mustaffa Noor sering merakamkan program Agama iaitu terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran dalam bahasa Inggeris untuk Radio Four.

FILEM “Mawar Merah” adalah filem pertama dan terakhir lakonan Mustaffa Noor.
Filem terbitan tahun 1987 menemukan Mustaffa Noor sebagai Sofyan bapa saudara kepada Kartika lakonan Raja Ema.
Hubungan mesra antara bapa saudara dan anak saudara akhirnya telah membibitkan perasaan cinta antara mereka.

Selain itu sekembalinya Mustaffa Noor ke Malaysia, telah memberi ruang kepadanya untuk mencipta nama dalam bidang lakonan dan “Panggilan Pusara” adalah drama pertama lakonannya terbitan RTM pada tahun 1983.

Drama adaptasi daripada novel menemukan beliau sebagai adik kepada Azean Irdawaty dan suami kepada Uji Rashid.

Disamping itu, beliau juga adalah pelakon asal watak Amar dalam drama bersiri popular “Opah. Bagaimanapun selepas beliau meninggal, wataknya dilakonkan oleh Abu Bakar Kassim disamping terlibat dengan pementasan “Rumah Kecil Tiang Seribu” (1985).

SATU babak dari filem “Mawar Merah”… Sofyan dengan sejambak bunga bersama ibunya (lakonan Seniwati Noraini Hashim) menanti ketibaan Kartika dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa, Subang, Kuala Lumpur.

Apabila TV3 mengadakan slot Telefilem, Mustaffa Noor dipilih sebagai pelakon utama berpasangan dengan Fatimah Abu Bakar dalam “Maria” arahan Shuhaimi Baba.

Pada tahun 1984, apabila RTM menerbitkan program berkonsepkan kuiz yang dikenali “ Tekaria,” Mustaffa Noor dipilih sebagai hos program berkenaan. Bagaimanapun apabila beliau meninggal dunia, tempatnya digantikan oleh Ahmad Tarmimi Siregar.

Namun sama ada sedar atau tidak, lakonan Mustaffa Noor dalam filem “Mawar Merah” sebagai Sofyan, bapa saudara yang jatuh cinta terhadap anak kakaknya, Kartika bukan sahaja telah melahirkan seorang aktor lelaki berbakat malah wataknya sebagai Sofyan telah melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Ramada Renaissan, Melaka pada 6 Disember 1987.

BAKATNYA dalam bidang lakonan bukan sahaja telah meletakkan nama Mustaffa Noor paling istimewa di hati para peminat filem malah drama.
Namun takdir menentukan segalanya…kerana beliau hanya sempat muncul dalam sebuah telefilem “Maria” (TV3 – 1984), dua drama TV1 “Panggilan Pusara” (1983), “Rumah Kecil Tiangnya Seribu” (1985) dan drama bersiri “Opah” sebagai Amar.

Adalah difahamkan selepas kejayaan cemerlang Mustaffa Noor dalam filem itu, RJ Filem cuba menghubungi beliau membintangi filem kedua arahan Mak Nani, “Antara Dua Hati” (1987) bagaimana beliau gagal dihubungi. Akhirnya, wataknya sebagai Jefri diberikan kepada pelakon baru, Sabree Fadzil!

Adalah difahamkan selepas “Mawar Merah” Mustaffa Noor tidak aktif dalam bidang lakonan dan menyepikan diri.

Khabarnya Mustaffa Noor mengambil sikap menjauhkan diri dari dunia filem kerana masalah kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Sehingga kini lakonan beliau dirindui oleh ramai peminat.

Ketika itu, timbul cerita khabarnya disebabkan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau lebih suka menghabiskan hari-harinya dengan beribadah dan mengaji Al-Quran di bilik di rumah kakaknya.

Mustaffa Noor yang dilahirkan pada 1 Januari 1953 menghembuskan nafas terakhir pada 5 Januari 1990 pada usia 37 tahun kerana radang paru-paru setelah dua hari mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Subang Jaya Medical Centre, Subang Jaya.

Khasiat Daun Belalai Gajah

Oleh: Syed Yusof Wafa

Daun belalai gajah (Clinacanthus nutans) terkenal sebagai herba tradisional untuk melawan kanser, menurunkan tekanan darah, dan mengawal kolesterol. Kaya dengan antioksidan dan agen anti-radang, ia sering digunakan untuk mengatasi masalah buah pinggang, diabetes, dan menguatkan imuniti badan. Ia boleh dimakan mentah, dijadikan jus, atau sayur.

Khasiat Utama Daun Belalai Gajah:

-Anti-Kanser:

Digunakan secara tradisional untuk membantu merawat pelbagai jenis kanser, termasuk kanser payudara, hati, paru-paru, dan limfoma.

-Anti-Radang & Anti-Virus:

Membantu mengurangkan radang (seperti radang prostat) dan mengatasi infeksi virus.

-Kesihatan Buah Pinggang:

Dikatakan membantu merawat masalah berkaitan buah pinggang.

-Mengawal Tekanan Darah & Kolesterol:

Membantu menurunkan tekanan darah tinggi dan mengawal tahap kolesterol.

-Kaya Antioksidan:

Melawan radikal bebas dalam badan yang menyokong sistem imunisasi.

-Rawatan Tradisional:

Digunakan untuk merawat kanser, diabetes, dan masalah kulit.

-Cara Penggunaan:

Daun ini boleh dimakan mentah sebagai ulam, dikisar menjadi jus (biasanya dicampur dengan epal hijau), atau direbus dan diminum airnya.

M.Nasir bakal rai hari kelahiran bersama peminat di Konsert Cipta 4

Oleh: Khadijah Ibrahim

BARU-BARU ini tauke panggung yang aktif, siapa lagi kalau bukan Iman Tang, pemilik Icon Entertainment telah membawa pihak media menaiki kereta api dari stesen Kuala Lumpur ke Ipoh.

Gerabak kereta api yang pihak media naiki itu istimewa kerana tidak bercampur dengan pengguna-pengguna lain. Lebih istimewa kerana dalam gerabak itu ada dua orang tersohor iaitu Datuk M.Nasir dan Melly Goeslaw.

Kehadiran penyanyi dan komposer dari Indonesia itu benar-benar mengejutkan semua yang berada di dalam gerabak tersebut.

Perjalanan kami ke Ipoh bukan nak pergi ke Kedai Nasi Ganja Ipoh tapi untuk menghadiri sidang media yang diberi nama ‘Ekspres Rakyat (Nasi Gànja) Tok Nasir ke Ipoh’ bagi mengumumkan konsert baharu yang bakal beliau jayakan.

Sidang media mengumumkan konsert Cipta 4, M.Nasir dilakukan di dalam gerabak kereta api.

Apapun kami tetap dapat menikmati juadah daripada kedai makan popular itu kerana sebelum bergerak kembali ke Kuala Lumpur, staf Kedai Nasi Ganja Ipoh hadir membawa bekalan.

Semasa di dalam gerabak, M.Nasir sempat menyanyikan tiga buah lagu termasuk lagu “Ekspres Rakyat”. Malah Melly juga tidak menolak apabila dipinta menyanyikan lagu “Butterfly”.

Sebelum ini pasti ramai sudah menonton konsert M.Nasir Cipta 1 yang dipersembahkan kepada peminat pada Ogos 2024, ia membina penjenamaan CIPTA dengan dua lagi siri konsert iaitu Cipta 2 pada Oktober 2024 dan Cipta 3 pada September 2025 bersama sebuah sejarah Konsert M.Nasir Cipta Raya yang menjadi ikutan pada Mac 2025.

Untuk tahun ini, menerusi penganjur yang sama, Icon Entertainment bakal berlangsung pula konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4, 8.30 malam, pada 4 Julai ini di Unifi Arena (dulu Axiata Arena) Bukit Jalil bagi melengkapkan siri CIPTA.

Cipta 4 akan menjadi penerus kepada trilogi CIPTA yang telah mencetus fenomena dan melakar kejayaan bukan hanya buat M. Nasir tetapi seluruh industri muzik tempatan.

Selaku penganjur, Iman Tang berkata, pihaknya menggunakan aksara CIPTA sebagai judul dalam trilogi konsert DATO’ M.N45ir Cipta (1 hingga 3) merupakan definisi paling tepat menggambarkan keseluruhan karya seni seorang Mohamad Nasir Mohamed.

“Buat Icon Entertainment, setiap kali menganjurkan sesebuah konsert, kami turut mencipta sejarah bukan secara peribadi tetapi untuk industri muzik tempatan menjadi kayu ukur yang baik untuk dilihat oleh seluruh pemain industri.

Melly Goeslaw teruja dapat menjayakan persembahan dengan M.Nasir pada 4 Julai nanti di Unifi Arena, Bukit Jalil.

“Jadi sewaktu pertama kali berbincang untuk menganjurkan konsert M.Nasir, kami sudah menyasarkan ia akan dipecahkan dalam empat konsep di bawah satu jenama iaitu Cipta 1, Cipta 2, Cipta 3 dan kemudiannya, CIPTA RAYA, edisi CIPTA istimewa sebagai sebuah pesta raya bersama peminat.

“Untuk tahun ini, kita pilih 4 Julai untuk konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 dan kebetulan tarikh tersebut juga merupakan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-69 tahun,” jelasnya.

Iman Tang seolah dapat membaca fikiran orang lain yang pasti akan bertanya kenapa sehingga empat penganjuran? Jawapannya mudah saja kerana M.Nasir bukan penyanyi atau pemuzik biasa-biasa, beliau ada kelebihan tersendiri.

Sejak memulakan kerjaya seni pada 1979 dengan nama Mohamed M.N menerusi album pertama, “Untuk Pencinta Seni” dan kemudian bersama kumpulan Kembara yang popular dengan lagu “Ekspres Rakyat” sehingga 1985, sebelum kembali memulakan kerjaya solo, sudah pasti beliau mempunyai banyak karya untuk diperdengarkan kepada peminatnya.

“Sebagai penyanyi dan pemuzik legenda M.Nasir mempunyai ratusan ciptaan lagu yang dicipta dan layak diperdengarkan secara langsung bersama visual yang menarik, terutama berkaitan dengan karya-karya ciptaan beliau.Dan jangan terkejut, bakal ada lanjutan lagi selepas Cipta 4.

“Cipta menjadi medan sejarah, medan momen dan medan kesinambungan menikmati ratusan karya M.Nasir sama ada yang dicipta buat dirinya sendiri atau penyanyi lain,” ujar Iman Tang.

Tambahnya lagi, keistimewaan konsert Cipta 4 adalah menyatukan M.Nasir dengan Melly Goeslaw, yang juga mengagumi bakat penyanyi legenda itu.

“M.Nasir tidak pernah disatukan dengan Melly Goeslaw, baik secara ‘on air’ atau ‘off air’. Jadi inilah keistimewaan Cipta 4 apabila menghimpunkan dua komposer hebat rantau ini.

“M Nasir menghasilkan 3,000 lagu dan Melly 700 lagu. Jadi sebagai promoter, kami bukan sekadar memilih tarikh dan lagu, tetapi memastikan persembahan ini mencapai standard tersendiri,” katanya.

Sepanjang berkarya hingga kini, M Nasir telah ménghasilkan 3,000 lagu.

Bagi M.Nasir, beliau amat mengalu-alukan kehadiran penonton walaupun sudah pernah hadir ke konsertnya sebelum ini.

“Pihak saya dan penganjur sangat teliti dalam penganjuran setiap konsert kerana tidak mahu penonton menyaksikan perkara yang sama.

“Konsep persembahan sudah diperhalusi bersama Iman. Selepas berbincang, saya harap semuanya berjalan lancar.

“Masyarakat mahukan keaslian, jadi saya harap persembahan dibawakan nanti memenuhi kehendak peminat. Sila datang untuk melengkapkan keraian trilogi Cipta 4 kerana kita akan mencipta sejarah untuk masa depan, ” katanya.

Sementara itu, Melly menyatakan rasa teruja kerana berpeluang beraksi satu pentas dengan seniman bergelar sifu itu, selain mengharapkan gandingan mereka diterima baik peminat.

“M Nasir nama besar. Berkongsi satu pentas dengan beliau merupakan satu penghormatan buat saya.

“Saya suka lagu M Nasir, malah banyak karya beliau hit di Indonesia. Selain menyanyi bersama, saya juga berharap dapat menggubah lagu bersama beliau,” katanya.

Melly berkata beliau terbuka untuk kolaborasi dan menyifatkan M Nasir sebagai figura luar biasa dalam dunia seni.

“Beliau seorang pujangga. Liriknya penuh makna dan bersifat ‘bersayap’,” katanya yang turut menyifatkan M Nasir sebagai idolanya selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Konsert bertemakan Batik Injection itu bakal menyaksikan lebih 30 lagu M. Nasir dipersembahkan termasuk segmen medley.

Tiket berharga antara RM238 hingga RM588 mula dijual pada 24 April ini menerusi platform www.ticket2u.com.my.

Sebaknya… Kisah Derita Amoi, Dara Dan Kelat!

Oleh: Syed Yusof Wafa

Di suatu sudut dunia yang asing, tiga ekor gajah, Amoi, Dara, dan Kelat berdiri diam di atas lantai konkrit.

Tiada lagi tanah lembut hutan yang pernah mereka pijak. Tiada lagi bunyi kawanan yang menjadi bahasa kehidupan mereka sejak lahir.

Yang tinggal hanyalah ruang sempit dan sunyi.Bayangkan jika kita berada di tempat mereka.

Tubuh ingin bergerak jauh, tetapi langkah terhenti. Naluri ingin pulang, tetapi arah sudah hilang.

Itu bukan sekadar kehilangan kebebasan.
Itu adalah kehilangan makna hidup. Naluri yang dipenjara sejak ribuan tahun, gajah dicipta untuk bergerak.

Bukan sekadar mampu berjalan sejauh 80 kilometer sehari, setiap langkah mereka bukan sia-sia kerana itu adalah sebahagian daripada evolusi.

Namun kini? Langkah itu terhenti di atas konkrit keras.

“Tapak kaki mereka lembut. Berdiri di atas permukaan keras boleh menjejaskan kesihatan. Pergerakan pula penting untuk komunikasi sosial dalam kawanan.

“Gajah bukan haiwan yang hidup sendirian. Mereka hidup dalam keluarga,” jelas pempengaruh popular Ahmad Faezal menerusi akaun TikToknya.

Apabila kasih sayang itu dirampas, yang tercedera bukan hanya tubuh, tetapi jiwa mereka.

Dahulu, hutan adalah rumah mereka.
Kini, dinding dan pagar menjadi sempadan hidup.

Kisah Amoi, Dara dan Kelat bukan sekadar kisah tiga ekor gajah. Ia adalah cermin kepada manusia.

Pada 10 Mac lalu, Amoi, Dara dan Kelat dihantar ke Tennoji Zoo di Osaka, Jepun.

Satu perjalanan yang bagi manusia mungkin biasa, tetapi bagi mereka, ia adalah perpisahan yang tidak pernah dimengerti.

Di sana, mereka bukan lagi penghuni alam. Mereka menjadi tontonan.

Di Malaysia, hati rakyat mula terusik.
Satu petisyen di platform sudah berjaya mengumpul hampir 100 ribu tanda tangan. Satu angka yang bukan kecil.

Rakyat mendesak agar gajah-gajah ini dikembalikan.Bukan kerana marah, tetapi kerana sayang.

“Gajah bukan sekadar haiwan tontonan. Mereka ada hak untuk hidup mengikut fitrah,” kata Faezal.

Menerusi petisyen itu ia memberi isyarat dan menyatakan bahawa gajah sepatutnya hidup bebas, bukan terkurung jauh dari tanah asal mereka.

Menurut Faezal yang juga penganalisis geopolitik, ini bukan kali pertama dunia menyaksikan penderitaan gajah dalam kurungan.

Seekor gajah bernama Billy di Los Angeles hidup dalam tekanan selepas dipisahkan dari ibunya.

Gajah bernama Tina pula sering sakit akibat kehidupan dalam kandang.

Di Jepun, Hanako hidup bertahun-tahun di atas konkrit sehingga menunjukkan tanda gangguan mental. Semua ini bukan cerita baharu.

Siapa Sebenarnya Yang Hilang?

Kisah Amoi, Dara dan Kelat bukan sekadar kisah tiga ekor gajah. Ia adalah cermin kepada manusia.

Apabila kita merampas hak makhluk lain, kita sebenarnya sedang kehilangan sesuatu dalam diri kita sendiri iaitu rasa empati.

“Kalau kita hipokrit hari ini, generasi akan datang akan belajar bahawa manusia boleh merampas hak makhluk lain sesuka hati,” ujar Faezal.

Hari ini, tiada siapa tahu apa yang bermain di fikiran Amoi, Dara dan Kelat.

Tetapi mungkin dalam diam, mereka masih mencari bunyi hutan.Masih menunggu panggilan kawanan dan berharap untuk pulang.

Dan persoalannya kini bukan lagi tentang mereka tetapi tentang kita. Adakah kita sanggup terus membiarkan tangisan ini tanpa jawapan? Tepuk dada, tanya diri.

@ahmadfaezal4 Amoi, Dara dan Kelat dah dihantar ke Jepun untuk masuk Tennoji Zoo ketika ramai kat Malaysia risau dan bimbang pasal mereka. #gajah #tennojizoo #isunegara #elephant #japan ♬ original sound – Ahmad Faezal

Amalan Mulia Bulan Zulkaedah

Oleh: Syed Yusof Wafa

Zulkaedah ialah salah satu daripada empat bulan haram (mulia) di mana pahala amal soleh dilipatgandakan dan dosa juga menjadi lebih berat. Amalan utama termasuk meningkatkan ibadah sunat seperti puasa, berzikir, membaca Al-Quran, bersedekah, serta menjauhi maksiat dan kezaliman.

Berikut adalah beberapa amalan mulia yang dianjurkan pada bulan Zulkaedah:

Memperbanyak Amal Soleh:

Meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah harian seperti solat sunat, membaca al-Quran, dan zikir.

Berpuasa Sunat:

Digalakkan berpuasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis atau puasa hari putih (13, 14, 15 haribulan Hijrah).

Bertaubat dan Istighfar:

Memohon ampun atas dosa-dosa dan berazam untuk meninggalkan maksiat, terutamanya kerana Zulkaedah adalah bulan yang dihormati.

Menjauhi Kezaliman/Dosa:

Mengelakkan diri daripada melakukan dosa, sama ada kepada diri sendiri, orang lain, mahupun perkara yang dilarang Allah, kerana dosanya lebih besar dalam bulan haram.

Memperbanyak Sedekah:

Memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan untuk mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Memperkukuh Persaudaraan:

Mengeratkan hubungan silaturahim dan melakukan kebaikan sesama insan.

Walaupun tiada ibadah khusus yang ditetapkan secara khusus, fadhilat bulan haram ini adalah masa yang sangat baik untuk meningkatkan ketakwaan.

Allahyarham Ahmad Nawab kongsi ilmu menerusi buku

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Pengasih

SELAIN Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang sering diperkata dan dikagumi oleh penggiat muzik, nama lain yang turut mendapat perhatian adalah Seniman Negara Ketujuh, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.

Maestro muzik negara itu sepanjang hayatnya sejak era 60-an sehingga penghujung 70-an
berjaya menghasilkan 200 lagu untuk 42 filem dan sehingga kini masih malar segar di jiwa pendengar, malah terus menjadi rujukan penggiat muzik tanah air.

Ahmad Khan bin Nawab Khan, yang lahir pada 6 April 1932 dan kembali ke rahmatullah pada 24 November 2024, merupakan antara anak seni yang berjasa dalam industri muzik negara.

Meskipun berjaya memenuhi impian bapa, Nasir tetap sedih kerana Allahyarham tidak sempat melihat hasil penerbitan naskhah tersebut.

Demi memastikan karya agung beliau tidak hilang begitu sahaja, anak keempatnya daripada lima beradik, Nasir Khan, 64, terpanggil untuk menunaikan permintaan terakhir arwah bapanya untuk menerbitkan buku muzik karya seni ayahanda tercinta berjudul ‘Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab’.

Jelas Nasir, memang menjadi impian Allahyarham untuk menghasilkan buku muzik dengan niat berkongsi ilmu kepada masyarakat.

Katanya, penerbitan buku berkenaan bukan sekadar mengabadikan warisan muzik bapanya, malah diharap menjadi bahan rujukan penting kepada generasi muda dalam memahami dan menghargai identiti lagu Melayu.

Buku ‘Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab’ dihasilkan dalam dua edisi dan bakal menyusul edisi seterusnya.

“Secara tidak langsung, mungkin selepas ini beliau akan memiliki ramai ‘anak murid’ baharu kerana buku ilmiah ini mengandungi banyak ilmu yang boleh dimanfaatkan terutamanya bagi mereka yang berminat dalam bidang muzik.

“Istimewanya buku ini turut disertakan tulisan tangan nama Allahyarham seminggu sebelum kematiannya,” jelas Nasir.

Meskipun berjaya memenuhi impian arwah, Nasir tidak menafikan turut berasa sebak kerana insan tersayangnya itu tidak sempat melihat hasil karya yang menghimpunkan 600 lagu ciptaannya itu diterbitkan.

Antara artis legenda yang sudi menghiburkan tetamu.

“Tujuan majlis pada hari ini untuk meraikan artis-artis yang pernah terlibat merakamkan lagu dengan arwah bapa saya dan sekali gus melancarkan buku muzik ini,” katanya mengenai buku muzik yang diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui agensi MyCreative Ventures.

Buku yang diterbitkan dalam dua jilid ini turut memuatkan nota lagu dengan lirik sekali, kisah di sebalik karya ciptaan Allahyarham serta foto eksklusif sepanjang perjalanan seninya.

Buku-buku ini akan diagihkan ke seluruh institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia yang mempunyai jurusan muzik, Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Arkib Negara dan Muzium Negara bagi simpanan pelajar sebagai bahan rujukan dan penyelidikan.

 

Penyampaian cenderahati untuk tetamu vip dan artis jemputan.

Sepanjang lebih enam dekad berkarya, Allahyarham telah menggubah lebih 2,000 buah lagu sejak era 1950-an dan menghasilkan lebih 200 album, termasuk artis luar negara seperti Hetty Koes Endang, Endang S.Taurina dan Broery Marantika (Indonesia), Francis Yip (Hong Kong), Claire (Filipina) dan Linda Elizabeth (Singapura).

Atas sumbangan dan kehebatannya dalam dunia muzik, beliau turut dikurniakan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000, sebelum dinobatkan sebagai Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006.

Bagi mengiktiraf pencapaiannya, Malaysia Book of Records (MBOR) turut menganugerahkan Allahyarham sebagai penerima, Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak.

Antara tetamu yang hadir.

Ini adalah rekod kedua dipegang Allahyarham selepas menerima pengiktirafan sebagai Komposer Dengan Lagu Terbanyak Dirakamkan iaitu kira-kira 2,000 lagu pada 2006.

“Bila buat buku ini baru saya sedar bahawa arwah bapa, pernah bekerjasama dengan Allhayarham Tan Sri P.Ramlee melalui filem Masam-Masam Manis, Ragam P. Ramlee, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Harimau Jadian dan Sesudah Subuh.

“Termasuklah lagu Bosanova nyanyian Saloma dan lagu Ilham Tiba dan Taman Firdausi lagu duet Allahyarhamah Saloma dengan AllahyarhamTan Sri P Ramlee.” ujar Nasir lagi.

Bergambar kenangan.

Pengumpulan karya berkenaan merangkumi filem pertama, Bintang Malam (1961) hingga filem terakhir, Mawar Putih (2013). Antara filem lain yang pernah menerima sentuhan emas Allahyarham termasuk, Hapuslah Air Matamu dan Menanti Hari Esok.

Pemergian maestro muzik itu meninggalkan warisan seni yang tidak ternilai. Antara penyanyi hebat yang pernah menjadi ‘anak didik’ atau menerima sentuhan magis ciptaannya termasuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid, Ramlah Ram, Datuk Siti Fairuz dan Allahyarham Datuk Nassier Wahab.

Selain itu, Allahyarham pernah berkhidmat bersama Orkestra RTM selama 17 tahun dan menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) untuk karya Bintang Malam pada 1980.

@divawafaEksklusif!…Bila Dua Legenda Bertemu, Datuk DJ Dave & Fatimah Razak!

♬ bunyi asal – Diva Wafa!!!!

Jaafar Jackson Berjaya Menjadi Jelmaan “Michael”

Oleh : Syed Yusof Wafa

Sungguh luar biasa, berjuta peminat seluruh dunia teruja bila menonton filem biopik yang sangat dinantikan mengenai Raja Pop, Michael Jackson, yang bertajuk “Michael” menampilkan anak saudaranya sendiri, Jaafar Jackson, sebagai watak utama.

Pelakon utama iaitu Jaafar Jackson dan merupakan anak kepada Jermaine Jackson telah diuji bakat sebelum dipilih melakonkan watak bapa saudaranya kerana persamaan fizikal dan bakat yang diwarisi.

Antoine Fuqua telah dipilih menjadi pengarah filem biografi “Michael” yang memaparkan kisah hidup Michael Jackson, fuqua yang terkenal dengan filem aksi drama seperti “Training Day” , memberi tumpuan kepada keaslian, termasuk menggunakan koreografer asal Michael dan penggambaran di lokasi bersejarah serta mempertahankan projek tersebut di tengah-tengah kontroversi.

Filem ini yang sedang ditayangkan di seluruh dunia begitu mendapat sambutan yang sungguh luar biasa.

Jaafar Jackson dilihat berjaya dengan cemerlang serta mampu menghidupkan semula detik-detik ikonik Michael Jackson yang dirindui oleh jutaan peminat, menjadikannya antara filem biopik yang paling dinantikan peminat di seluruh dunia.

Menariknya filem ini memaparkan perjalanan hidup Michael Jackson dari zaman kanak-kanak bersama Jackson 5 hingga ke puncak kegemilangan sebagai artis solo.

Filem ini diterbitkan oleh Graham King menjanjikan kupasan kisah hidup ikon muzik yang begitu terkenal sehingga kini.

Sebelum filem ini dimulakan pengambarannya, Wafa sempat bertemu Jermaine Jackson di Los Angeles bersama dua anak beliau yang sungguh tinggi budi bahasanya iaitu Jaafar Jackson dan Jermajesty Jackson beberapa tahun yang lalu.

Jaafar Jackson dilihat berjaya dengan cemerlang serta mampu menghidupkan semula detik-detik ikonik Michael Jackson yang dirindui oleh jutaan peminat, menjadikannya antara filem biopik yang paling dinantikan peminat di seluruh dunia.

Sebelum filem ini dimulakan pengambarannya, Wafa sempat bertemu Jermaine Jackson di Los Angeles bersama dua anak beliau yang sungguh tinggi budi bahasanya iaitu Jaafar Jackson dan Jermajesty Jackson beberapa tahun yang lalu.

Wafa juga sempat ziarah rumah Michael Jackson semasa kecil di Gary, Indiana, Amerika Syarikat bersama anak saudara pelakon legenda Shasha.

Bila saya ucap Assalamualaikum, mereka pantas jawab salam saya, malah mereka sambut Wafa dengan mesra dan berkongsi pelbagai cerita mengenai pakcik mereka Raja Pop dunia Michael Jackson.

Paling saya tidak lupa Jaafar Jackson berkali-kali berkata kepada saya untuk menjadi seperti pakcik beliau.

Wafa begitu mesra bersama Jermaine Jackson ketika beliau berkunjung ke Kuala Lumpur.

“Saya amat berharap impian untuk menjadi seperti pakcik saya akan tercapai dan dikenali di seluruh dunia,” kata Jaafar kepada saya dengan nada yang bersungguh-sungguh.

Akhirnya inpian beliau tercapai memegang watak utama sebagai pakciknya di dalam filem “Michael” yang hebat ini.

Pertemuan Wafa bersama Raja Pop Michael Jackson pada tahun 1996 sempena
konsert jelajah dunia HIStory World Tour
di Kuala Lumpur!
Eksklusif tandatangan Jaafar Jeckson khas untuk Wafa.

Semoga Jaafar terus berjaya dan masih seorang anak yang lemah lembut bila berbicara. Budi pekertinya seperti pakcik beliau yang pernah saya temui pada tahun 1996 sempena
konsert jelajah dunia HIStory World Tour di Kuala Lumpur!

Ahmad Syafiq, Wawa Shazwa “Menduakan Cinta” yang pernah dibina

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM ini Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa pernah berduet menerusi lagu “Buat Insan Tersayang” pada 2022.

Kini mereka kembali berkolaborasi menerusi lagu “Menduakan Cinta” ciptaan Eddie Hamid bersama Barr Hadif dan Aiman Zaidi, manakala lirik lagu ditulis mereka bertiga dan juga Hakim Hakimi dan Jaju.

Menurut Ahmad Syafiq Mohamed, 26, kolaborasi kali ini berbeza kerana mereka tampil dengan nuansa emosi yang lebih mendalam, menonjolkan kematangan vokal dan sisi puitis kedua-dua penyanyi ini.

Untuk lagu “Menduakan Cinta”mereka tampil dengan nuansa emosi yang lebih mendalam.

Menerusi “Menduakan Cinta”, Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa meneroka genre balada yang lebih menyentuh perasaan.

“Kali ini, kami menguji keserasian dalam genre yang berbeza. Ia bukan sekadar lagu, tetapi satu rintihan jiwa.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memastikan naskhah ini benar-benar sampai ke hati pendengar,” ujar Ahmad Syafiq.

Katanya lagi, lagu tersebut membawa pendengar menyelami konflik dua insan yang masih saling mencintai namun terpaksa akur pada takdir.

Ia bukan sekadar bicara tentang perpisahan tetapi tentang realiti pahit di mana cinta lama tidak lagi dapat diselamatkan kerana ketentuan takdir.

Sementara itu Wawa Shazwa atau nama lengkapnya, Nor Shazwa Atiqah Shamsul, 26, tetap memberikan komitmen vokal terbaik meskipun sedang hamil lima bulan ketika proses rakaman dijalankan.

Wawa Shazwa dan Ahmad Syafiq masih menjadi pilihan komposer Eddie Hamid untuk mencipta lagu buat mereka.

“Lagu ini menyentuh perasaan bersalah apabila seolah-olah ‘menduakan cinta’ yang pernah dibina. Walaupun perasaan sayang itu masih kuat, pilihan untuk berpisah terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak,” tambah Wawa Shazwa.

Proses rakaman dilakukan sebanyak dua kali bagi memastikan kualiti dan emosi yang disampaikan adalah yang terbaik. Keakraban pasukan produksi dan arahan jelas daripada Eddie Hamid memudahkan urusan di studio, membolehkan Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa meresapkan rintihan jiwa ke dalam lagu ini.

Menariknya, lagu “Menduakan Cinta” dicipta khas untuk menjadi lagu runut bunyi drama bersiri terbaharu, ‘Bayangan Lelaki Sempurna’ yang kini bersiaran dalam slot Akasia di TV3 mulai jam 7 malam. Drama bersiri 28 episod ini dibintangi Adam Lee, Sweet Qismina dan Nadia Brian.

Lagu “Menduakan Cinta” terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di platform penstriman muzik digital utama dan muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan https://youtu.be/xBFCFkMKEsE?si=zkDgvXbs9Dj4cm1C

Nuha Bahrin tampil “Malam-Malam” dengan Ezra Kong

Oleh: Khadijah Ibrahim

NAMA penyanyi Nuha Bahrin mula mendapat perhatian ramai selepas lagu “Casablanca” dendangannya bersama Naufal Azrin yang dikeluarkan pada 2022, tular sebelum ini.

Kini Nuha atau nama penuhnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, 26, tampil dengan single baharu berjudul “Malam-Malam”, ciptaan Ezra Kong di bawah projek kreatif mimpi.

Ini bukan kali pertama Nuha bekerjasama dengan Ezra kerana komposer tersebut pernah menghasilkan lagu “XSempurna” dan lirik oleh A.Ramlee untuk dijadikan single pertama Nuha pada 2021.

Lagu “Malam-Malam” menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish dengan sentuhan moden pop Melayu.

Ezra atau Ezra Kong Yi Jia, 38, merupakan antara komposer paling berpengaruh di Malaysia kerana hampir setiap lagu gubahannya menjadi hit besar serta sering meraih anugerah utama.

Untuk lagu “Malam-Malam” elemen bunyi Arabic dan Spanish digabungkan dengan sentuhan moden pop Melayu, untuk membawa pendengar ke dalam suasana yang tenang namun penuh emosi.

Single ini menandakan fasa baharu buat saya melalui projek mimpi., sebuah ruang kreatif untuk saya bereksperimen dan menghasilkan karya yang lebih jujur.

“Projek mimpi adalah projek baharu yang dimulakan sebagai ruang untuk semua penulisan saya ke hadapan. Ia menjadi tempat kolaborasi bersama artis, label, dan A&R untuk menyampaikan karya yang lebih jujur dan dekat di hati saya,” jelas Ezra.

Katanya lagi, melalui projek seperti ‘Malam – Malam’, beliau cuba membawa pendekatan berbeza dari segi sound, susunan, dan lirik untuk mencari titik temu antara cita rasa beliau dan jiwa artis itu sendiri.

“Malam-Malam” membawa makna yang sangat peribadi bagi Nuha.

Sebagai komposer dan penerbit, Ezra turut berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah nyata.

“Inspirasi “Malam-Malam” hadir ketika mendengar kisah rakan-rakan yang bertugas sebagai polis, yang bekerja di saat orang lain menyambut raya. Perasaan rindu itu kemudian saya olah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menunggu insan tersayang pulang dari tugas.

“Apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, terasa jelas bahawa lagu ini menemukan pemilik yang tepat,” katanya.

Lagu ini mengisahkan kerinduan terhadap seseorang yang jauh, berpaksikan memori sederhana tetapi bermakna. Dua insan yang pernah berkongsi waktu bersama di bawah cahaya bulan, yang kini hanya tinggal kenangan.

Dalam karya ini, bulan menjadi simbol masa dan detik yang tidak dapat diulang. “Malam – Malam” dengan indah menggambarkan kontras antara kebahagiaan kebersamaan dan kekosongan akibat jarak, menjadikannya sebuah karya yang dekat dengan jiwa pendengar.

Bagi Nuha, “Malam-Malam” membawa makna yang sangat peribadi, termasuk kerinduan terhadap diri sendiri.

“Nuha relate dengan lagu ini bila teringat versi diri lama. Malam-malam selalunya buat Nuha overthink dan ingat semua kesilapan serta rasa rindu pada diri sendiri yang dulu yang lebih yakin dan lebih carefree.

Nuha harap lagu “Malam-Malam” disukai ramai.

“Kadang-kadang kita lupa bagaimana untuk tidak terlalu peduli dengan pandangan orang lain, dan Nuha sangat rindukan perasaan itu,” akuinya.

Dalam menyampaikan emosi lagu ini, Nuha menekankan kejujuran dalam vokalnya, selari dengan nuansa muzik yang unik.

“Nuha cuba keluarkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih raw dan jujur. Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya ‘kenapa you tiba-tiba hilang?’ Jadi dalam delivery, Nuha seimbangkan kelembutan dengan sedikit emosi dan longing supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan itu,” jelas Nuha.

Melengkapkan lagi naratif lagu ini, muzik video “Malam-Malam” mengetengahkan konsep visual yang puitis dan penuh simbolik, mengisahkan seorang wanita yang masih terperangkap dalam kenangan cinta yang telah hilang.

Digambarkan seolah-olah dua dunia selari wujud dalam ruang yang sama, watak lelaki hadir dalam setiap momen, hampir disentuh, hampir bersama, namun tidak pernah benar-benar ada.

Seiring perjalanan cerita, penonton akhirnya menyedari bahawa kehadiran itu hanyalah bayangan memori dan perasaan rindu yang belum terlerai, sekali gus menguatkan tema kehilangan dan kesunyian yang menjadi inti pati lagu ini.

Kolaborasi ini juga menjadi pengalaman bermakna buat Nuha, yang kembali bekerjasama dengan Ezra Kong bersama penulis Sufairah Mohd.

“Ini kali kedua Nuha bekerjasama dengan Ezra, dan proses ini sangat membuka ruang untuk explore benda baharu. Nuha belajar untuk tidak takut keluar dari comfort zone. Gabungan bunyi Arabic, Spanish dan Malay dalam lagu ini sangat berani dan inspiring. Nuha rasa honoured dapat menjadi suara untuk karya ini.

“Dengan gabungan bunyi yang unik serta emosi yang mendalam, “Malam-Malam” diharapkan dapat menjadi teman setia pendengar, khususnya ketika sunyi di waktu malam.

“Nuha harap pendengar akan rasa mereka tidak keseorangan. Rindu, sama ada kepada seseorang atau diri mereka pernah sangat bermakna dalam hidup kita, dan cinta itu tidak pernah sia-sia,” katanya lagi.

“Malam-Malam” boleh didengari di semua platform penstriman digital mulai 24 April 2026