Home Blog Page 23

Wali Band menghibur sambil berdakwah

Oleh: Khadijah Ibrahim

ALA! 15 buah lagu saja? Itulah reaksi penulis apabila mendapat senarai lagu yang bakal dinyanyikan oleh Wali Band daripada wakil penganjur sebelum konsert bermula.

Selalunya kalau pergi konsert solo, penyanyi akan dendangkan lebih daripada 20 buah lagu jika tempoh durasi persembahan lebih daripada dua jam.

Meskipun hanya 15 buah lagu dalam senarai tersebut, Wali Band tidak meninggalkan ‘killer song’ mereka yang diletakkan di segmen terakhir persembahan.

Di ‘Konsert Wali Kembali’ anjuran bersama GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, hampir 12,000 penonton berpeluang mendengar lagu “Tobat Maksiat”, “Yank”, “Aku Bukan Bang Toyib” dan “Cari Jodoh”.

Demi Wali Band, penonton sanggup meredah hujan yang turun pada waktu petang.

Menariknya tentang persembahan kumpulan yang berasal dari Ciputat, Tangerang Selatan, Indonesia ini, mereka membuka tirai persembahan dengan sedutan tayangan lagu “Mari Sholawat.

Wali Band yang dianggotai Faank (vokalis), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) memulakan persembahan dengan lagu “Kekasih Halal”, “Cari Berkah”, “Si Udin Bertanya” dan “Nenekku Pahlawan”.

“Assalamualaikum, kata nabi SAW, salam itu kalau disebut tiga kali akan membawa keberkatan. Sihat semua? Ya Allah, pada mereka yang banyak kena hujan maka diberikan rezeki sebanyak itu,” kata Faank membuka bicara dan serentak itu bergema ucapan Amin daripada penonton.

Faank turut melahirkan rasa terharu kerana tiga bulan lalu, Wali Band tidak dapat meneruskan persembahan sewaktu Konsert RadjaWali berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 10 Januari lalu.

“Masya-Allah terima kasih kerana berada di sini. Ternyata hikmah daripada Allah. Tiga bulan lalu Wali tak sempat untuk konsert penuh. Jangan bertanya kenapa tapi tanya ada hikmah apa di sebalik itu.

Lagu-lagu Wali Band penuh dengan nasihat yang disampaikan secara santai.

“Terima kasih Ya Allah telah kumpulkan kami di sini dan menjadi silaturahim,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Memang Dasar”, “Abatasa” dan “Ada Gajah Dibalik Batu”.

Boleh dikatakan Faank bukan bersendirian tatkala menyanyi kerana setiap lagu dendangannya akan disambut oleh penonton yang begitu teruja dan ada juga di antara mereka turut menari.

Meskipun suasana nampak ‘havoc’, penonton tetap menjaga adab kerana mereka bukan sekadar menonton persembahan Wali Band tapi turut melihat seorang figura yang secara tak langsung turut berdakwah menerusi karya.

Jika kita nilai, lirik-lirik lagu dendangan Wali Band penuh dengan unsur nasihat dan setiap kali beraksi di pentas, mereka mengambil kesempatan tersebut untuk mengajak orang ramai agar tidak lupa asal usul.

Selepas mendendangkan lagu, “Doaku Untukmu Sayang”, “Baik-Baik Sayang”, “Harga Diri” dan “Dik” secara akustik, Faank sempat membaca doa untuk semua yang hadir agar diberikan keberkatan dalam kehidupan.

‘Konsert Wali Kembali’ berjaya menghibur peminat yang sebelum ini tidak dapat menonton kumpulan tersebut mendendangkan lagu hits.

Sewaktu beliau memimpin bacaan doa termasuk doa untuk rakyat Palestine, stadium sepi dan masing-masing menadah tangan sebelum mengaminkan doa tersebut.

Meskipun Wali Band diminati kerana lagu-lagu dendangan mereka yang malar segar, mereka tetap ada keistimewaan tersendiri yang tiada pada kumpulan muzik lain.

Secara keseluruhannya, ‘Konsert Wali Kembali” bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah pengalaman yang menyentuh emosi dan jiwa. Ia membuktikan bahawa kekuatan muzik Wali Band terletak bukan hanya pada melodi, tetapi juga pada mesej yang memberi makna kepada kehidupan para pendengar.

Pendekatan ini sekali gus mencerminkan identiti Wali Band yang sinonim dengan konsep dakwah hiburan. Setiap lagu dan persembahan bukan sahaja menghibur, tetapi turut membawa pesan serta mesej positif tentang perdamaian, kasih sayang, menjaga akhlak hubungan sesama manusia, serta peringatan untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meninggal perkara-perkara yang dilarang agama.

DPDDM DAN DPPKL JALIN RANGKAIAN STRATEGIK, PERKUKUH EKOSISTEM PENDIDIKAN DAN KEUSAHAWANAN NEGARA

Oleh : Nafsiah Jani

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) mengumumkan jalinan rangkaian strategik bersama Dewan Perniagaan Pendidikan Kuala Lumpur (DPPKL) sebagai satu langkah dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan keusahawanan negara.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen DPDDM dalam memperluas jaringan serta memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dengan industri. Melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, pemerkasaan inovasi serta penerokaan peluang pelaburan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Dalam pada itu, DPPKL akan berperanan sebagai penghubung antara universiti dan institusi di Malaysia dengan pihak industri, bagi menyokong usaha menyelaraskan keperluan akademik dan pasaran kerja.

Gambar kenangan…Ahli Lembaga Penasihat DPPKL selepas perjumpaan khas dan majlis menerima watikah perlantikan baru-baru ini

Pendekatan ini diharapkan dapat membantu melahirkan graduan dan yang lebih bersedia dan relevan dengan keperluan industri.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, Bagi menyokong matlamat tersebut, pelbagai program akan dilaksanakan secara berperingkat dengan penglibatan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

“Program-program ini bertujuan memperkukuh jaringan ilmu, menggalakkan inovasi serta menyokong pembangunan usahawan muda. Diharap kerjasama ini nanti dapat membina ekosistem keusahawanan dan kepimpinan yang mampan melalui pendekatan strategik, inklusif dan berimpak tinggi.

Selain itu, penganjuran program pengiktirafan kepada Pendidik Negara dan Usahawan tempatan turut dirancang sebagai usaha menghargai sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

DPPKL turut diperkukuh melalui pelantikan Aisar Talha sebagai Pengerusi Eksekutif. Dengan pengalaman serta jaringan yang dimiliki, beliau dijangka dapat memimpin organisasi ini dalam melaksanakan inisiatif yang dirancang.

Profesor Ts Log Dr. Othman Ibrahim, FCILT (kanan) menerima watikah perlantikan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat DPPKL.

Pada masa yang sama, Lembaga Penasihat DPPKL yang diterajui Profesor Dr. Othman Ibrahim, yang berpengalaman dalam sektor pendidikan dan industri di dalam dan luar negara, akan memberikan panduan serta nasihat strategik bagi menyokong pelaksanaan program dan hala tuju organisasi.

Selain Profesor Dr. Othman Ibrahim dan Aisar Talha, DPPKL turut dianggotai Datuk Faridah A. Jabbar, Datuk Nor Hasnal Hashmi, Datuk Seri Dr. Karl Ibrahim, Profesor Madya Dr. Anas Tajudin dan Datuk Mohd Hussin Abdullah.

Datuk Nor Hasnal Hashmi yang juga Ahli Lembaga Penasihat DPPKL juga menambah, Secara keseluruhannya, jalinan strategik ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan ekosistem pendidikan dan keusahawanan yang lebih tersusun serta memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara.

“DPDDM menjadi landasan dan jambatan emas yang menghubungkan semua orang tak kira peringkat, termasuk agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta, demi memperkasakan pembangunan pendidikan di negara kita.

“Kami juga bukan sekadar sebuah badan perniagaan, malah berfungsi sebagai platform pemerkasaan intelektual dan pembangunan kepimpinan, dengan menggalakkan ahli-ahlinya meningkatkan kelayakan akademik, keupayaan penyelidikan serta pemikiran strategik selari dengan keperluan ekonomi semasa.

Bagi memperkenalkan dan mengembangkan lagi jaringan DPDDM agar dapat mengukuhkan lagi hubungan hingga ke peringkat antarabangsa, DPDDM mempelawa dan membuka keahlian kepada mereka yang berminat untuk bergerak bersama-sama DPDDM bagi memperkasakan agenda Malaysia Madani dengan layari laman web rasmi di https://dpddm-gov.com/

Amelia Jewellery Taja Hantaran “Pokok Emas Sakura Ungu” dan Gold Bar Eksklusif Sempena Perkahwinan Radin Era

Oleh : Nafsiah Jani

Bertuah penyampai popular radio ERA, Radin ERA,36, atau nama sebenarnya, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani apabila jenama barangan kemas tempatan, Amelia Jewellery menaja hantaran eksklusif “Pokok Emas Sakura Ungu” dan gold bar sempena majlis perkahwinannya.

Dengan sekali lafaz, Radin dan Nur Amirah Shamsulbahrin selamat dinikahkan dalam satu majlis yang diadakan di Ukay Hills- Private Event Estate & Lifestyle Suites pada 1 Mei lalu. Majlis tertutup ini hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Kata Radin, keperibadian isterinya yang jujur dan ikhlas antara faktor yang membuka hatinya untuk melamar Amirah untuk dijadikan suri hidupnya.

Pasangan pengantin bergambar kenangan dan kelihatan Pokok Emas Sakura Ungu.

“Kejujuran dan keikhlasan dia bersama saya, buat saya yakin dialah orangnya. Walaupun Amirah ibu tunggal dengan tiga orang anak, namun saya tidak anggap ianya sebagai beban sebaliknya sebagai tanggungjawab baharu,”.

Selain mas kahwin berupa wang tunai bernilai RM15,020.26, Radin juga turut menghadiahkan isteri tercinta dengan Pokok Emas Sakura Ungu tajaan Amelia Jewellery.

Gabungan elemen klasik dan moden ini menyerlahkan lagi Pokok Emas Sakura Ungu bernuansa perak keemasan yang dihiasi bunga sakura ungu bersama gantungan aksesori emas yang disusun indah, menjadikannya titik fokus utama di ruang pelamin.

Bukan sahaja menampilkan konsep hantaran yang unik dan memukau, malah Amelia Jewellery turut memperkenalkan penggunaan gold bar sebagai buah tangan eksklusif buat para tetamu, sekali gus menjadi antara elemen yang paling mencuri perhatian dalam majlis berkenaan.

Sebelum ini, Amelia Jewellery pernah mencetuskan perhatian ramai apabila menghasilkan rekaan pokok emas untuk majlis perkahwinan Erra Fazira yang menerima mas kahwin unik berupa “pokok ufti bunga emas” dihiasi dinar emas. Rekaan tersebut secara tidak langsung menjadikan konsep hantaran pokok emas semakin dikenali dalam industri perkahwinan tempatan.

Radin memberikan kucupan mesra didahi isteri setelah mereka berdua selamat diijab qabulkan.

Menurut wakil Amelia Jewellery, Encik Hafiz, idea asal dekorasi itu tercetus daripada permintaan pelanggan yang mahukan sesuatu yang eksklusif, elegan dan memiliki elemen tersendiri.

“Pasangan mahukan hantaran yang nampak hidup, mewah dan mempunyai elemen ‘wow’.

“Jadi kami menghasilkan pokok dengan susunan bunga sakura serta gantungan aksesori emas pada setiap dahan bagi memberi sentuhan yang lebih premium dan eksklusif,” katanya.

Tambah beliau, proses menghasilkan dekorasi tersebut memerlukan penelitian dari segi susunan dahan, pencahayaan warna dan keseimbangan dekorasi supaya keseluruhan rekaan tampak lebih harmoni serta mewah.

“Pada awalnya rekaan itu kelihatan agak kosong. Jadi kami menambah bunga sakura ungu dan gantungan aksesori supaya pokok nampak lebih rimbun, elegan dan sesuai dengan tema moden mewah,” ujarnya.

Keunikan utama rekaan ini terletak pada penggunaan bunga sakura ungu yang diinspirasikan daripada budaya Jepun. Dalam budaya tersebut, sakura melambangkan keindahan dan momen berharga dalam kehidupan, sekali gus mengingatkan pasangan agar sentiasa menghargai setiap detik bersama.

Pokok emas sakura ungu antara hantaran Radin kepada isteri tercinta tajaan Amelia Jewellery.

Gabungan warna ungu pula membawa simbolik keanggunan, ketenangan dan cinta yang matang, menjadikan “Pokok Emas Sakura Ungu” bukan sekadar dekorasi perkahwinan, tetapi lambang hubungan yang eksklusif, stabil dan penuh makna.

Selain itu, elemen bulatan di belakang pokok turut memberi sentuhan moden yang melambangkan kesempurnaan serta ikatan yang tidak terputus, selari dengan simbolik sesebuah perkahwinan.

Menurut pihak Amelia Jewellery, setiap dekorasi yang dihasilkan adalah custom mengikut kehendak pelanggan termasuk pemilihan warna, jenis bunga dan susunan aksesori.

“Kami akan berbincang secara terperinci dengan pelanggan supaya setiap hasil benar-benar mengikut citarasa dan mempunyai cerita tersendiri,” katanya.

Selain hantaran utama, penggunaan gold bar sebagai buah tangan kepada tetamu turut menjadi perhatian kerana konsep tersebut dilihat lebih eksklusif dan bernilai berbanding doorgift biasa.

Menurut pihak Amelia Jewellery, trend tersebut semakin mendapat sambutan apabila pelanggan kini lebih cenderung memilih hadiah yang bukan sahaja cantik, tetapi turut mempunyai nilai yang boleh disimpan sebagai kenangan.

“Ramai pelanggan mahukan sesuatu yang mempunyai nilai. Jadi gold bar ini bukan sekadar buah tangan, tetapi simbol penghargaan kepada tetamu yang hadir,” katanya.

Tambah beliau lagi, pemberian gold bar turut membawa simbolik hubungan yang tulus dan bernilai, sama seperti emas yang kekal berharga sepanjang masa.

“Gold bar melambangkan nilai persahabatan dan hubungan yang bukan sementara. Sama seperti emas, nilainya sentiasa kekal dan berharga,” ujarnya.

Gold bar tajaan Amelia Jewellery yang diberikan kepada tetamu jemputan.

Selain mempunyai nilai simbolik tersendiri, gold bar juga mudah digayakan dalam pelbagai konsep dekorasi kerana rekaannya yang minimal tetapi tetap elegan dan mewah.

Menurut pihak syarikat, setiap tempahan boleh disesuaikan mengikut kehendak pelanggan termasuk dari segi saiz, packaging dan konsep keseluruhan majlis.

“Kami akan membantu pelanggan dari segi idea dan susunan supaya setiap dekorasi dan buah tangan tampil lebih eksklusif serta selari dengan tema majlis,” katanya.

Walaupun syarikat itu baru beroperasi kurang daripada setahun, konsep hantaran pokok emas dan penggunaan gold bar sebagai buah tangan kini mula menjadi trend dalam kalangan pasangan yang mahukan kelainan pada hari istimewa mereka.

Rekaan eksklusif ini sekali lagi membuktikan bahawa kreativiti tempatan mampu menghasilkan hantaran bertaraf mewah dengan identiti tersendiri, menjadikan “Pokok Emas Sakura Ungu” sebagai simbol cinta moden yang bukan sahaja indah dipandang, malah penuh dengan maksud tersirat.

Dengan sentuhan rekaan yang semakin dikenali dalam industri perkahwinan tempatan, Amelia Jewellery dilihat terus memperkukuhkan identitinya sebagai antara jenama dekorasi dan hantaran eksklusif pilihan pelanggan yang mahukan kemewahan moden dengan elemen tersendiri.

Lagu “Pertama” penuh makna buat Syamel

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Syamel masih setia bersama komposer Edry Abdul Halim untuk single baharunya berjudul “Pertama”. Sebelum ini Edry mencipta lagu “Lebih Sempurna” (2016) dan “Beribu Tanda Tanya” pada tahun lalu.

Lagu “Pertama” berbeza daripada dua karya ciptaan Edry sebelum ini kerana ia menampilkan sisi muzik yang lebih groovy, moden serta sarat dengan sifat tersendiri.

Dari sudut produksi, “Pertama” memperlihatkan transformasi berani Syamel. Jika sebelum ini beliau sinonim dengan lagu-lagu balada dan emosional, kali ini Syamel hadir dengan gaya nyanyian lebih santai, berani dan penuh attitude.

Lagu “Pertama” menampilkan sisi lain Syamel yang jarang ditonjolkan sebelum ini.

“Pertama” mengangkat tema cinta pandang pertama, namun dengan pendekatan lebih luas
dan terbuka. Ia bukan sekadar tentang jatuh cinta kepada seseorang, tetapi juga perasaan teruja dan terus “klik” saat pertama kali melihat sesuatu yang diminati, sama ada kereta impian, rumah idaman atau apa sahaja yang menyentuh hati.

Menurut Syamel, lagu ini meraikan momen spontan yang sukar dijelaskan, tetapi cukup kuat untuk mencetuskan rasa bahagia dan harapan.

“Kadang-kadang bila kita tengok sesuatu, terus ada satu perasaan yang susah nak diterangkan, tapi hati kita terus klik. Itulah rasa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” jelasnya.

Bagi Syamel, lagu “Pertama” meraikan momen spontan yang sukar dijelaskan.

Katanya lagi, gabungan bunyi moden bersama elemen vintage menjadikan lagu ini unik serta berbeza daripada karya-karyanya terdahulu. Kerjasama bersama Edry turut memberi dimensi baharu kepada persembahan vokalnya.

“Edry banyak tekankan soal feel dan attitude untuk lagu ini. Dia mahu saya tampil dengan energi berbeza, dan itu yang menjadikan “Pertama” sangat menarik untuk diterokai,” katanya.

Lebih istimewa, “Pertama” juga merupakan dedikasi khas buat para peminat setia Syamel yang sentiasa bersamanya sejak awal perjalanan seni. Mereka dianggap antara insan pertama yang percaya terhadap bakat dan perjuangannya.

“Pertama” merupakan dedikasi khas buat para peminat setia Syamel.

“Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya,” ujar Syamel.

Single ini juga menjadi simbolik kepada lembaran baharu dalam perjalanan muzik Syamel. “Pertama” bukan sekadar judul lagu, tetapi titik mula kepada naratif dan evolusi seni yang bakal dipersembahkan selepas ini.

“Ini adalah permulaan kepada satu perjalanan baharu. Akan ada banyak cerita, emosi dan kejutan yang saya nak kongsi selepas ini,” tambahnya lagi.

“Pertama” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital dan muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Syamel Official.

Saadiah, seniwati pertama bawa watak ejen perisik

Oleh SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

PEPATAH Melayu ada berkata ‘Patah tumbuh hilang berganti’ tetapi hakikatnya yang tumbuh tidak sama dengan yang patah dan pastinya yang berganti mana mungkin sama dengan yang hilang.

Begitu jugalah apabila kita bercakap mengenai Primadona yang seorang ini. Meskipun tahun silih berganti dan kehadiran para pelakon hari ini bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan namun beliau adalah ‘sebutir bintang’ dalam dunia filem Melayu yang masih dikagumi sehingga hari ini.

POSTER filem ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’ (1965)
SAADIAH gaya seorang ejen wanita dalam filem ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’

Sebabnya, beliau bukan sahaja dilahirkan dengan kecantikan asli dengan tahi lalat penyeri wajah di bawah bibir kanannya malah suara manja dan bakat anugerah-Nya membuatkan apa juga watak yang diberi dapat disantuni dengan begitu berkesan dan mampu membuat penonton larut dengan lakonannya.

Itulah Allahyarham Primadona Datin Saadiah Baharom yang lebih dikenali Saadiah dan menjadi pujaan ramai peminat filem Melayu pada era kegemilangan Studio Jalan Ampas.

Ejen perisik wanita paling bergaya… Saadiah dalam ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’
SAADIAH tampak sungguh bergaya dan elegan dalam filem ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’

Saadiah mula berlakon apabila sering menemani kakaknya, Allahyarham seniwati Mariam Baharom menjalani penggambaran di Studio Jalan Ampas apabila pengarah B.S Rajhans menawarkan beliau watak kecil dalam filem “Rachun Dunia.” Filem tersebut dibintangi Osman Gumanti, Kasma Booty, P. Ramlee dan diterbitkan pada tahun 1950.

Sejak itu, satu demi satu filem dilakonkan dan akhirnya filem kedua belas menemukan Saadiah dengan seniman hebat, P. Ramlee dalam filem “Penarek Becha (1955).”

DARI kiri: Ahmad Daud, Saadiah,Mariam (Kakak Saadiah) dan Ahmad Mahmud dalam filem ‘Pusaka Pontianak'(1965)

Filem pertama arahan P. Ramlee ini membawa kisah percintaan seorang penarik beca, Amran (P. Ramlee) dengan Azizah (Saadiah) anak Orang Kaya Marzuki (Udo Umar). Percintaan mereka bukan sahaja dihalang oleh bapa Azizah malah Ghazali (Salleh Kamil) yang mempunyai niat jahat untuk membolot harta Marzuki turut memainkan peranan memisahkan Amran dan Azizah.

Filem “Penarik Beca” bukan sahaja telah memberi kejayaan cemerlang kepada Saadiah apabila beliau dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Majalah pada tahu 1956. Malah ia juga membuka ruang untuknya membilang satu demi satu filem lakonannya.

SAADIAH dalam satu babak filem ‘Penarik Becha’ yang turut dilakonkan P. Ramlee, Habsah Buang dan Udo Omar

Sepanjang 34 tahun menceburi bidang lakonan, Saadiah telah membintangi 45 buah filem dengan 10 daripadanya beliau berlakon bersama P. Ramlee.

Antara filem lakonannya bersama P. Ramlee ialah ‘Juwita'(1951), ‘Anjoran Nasib'(1952), ‘Sedarah’ (1952), ‘Penarik Beca'(1955), ‘Hang Tuah’ (1956), ‘Semerah Padi’ (1956), ‘Sarjan Hassan’ (1958), ‘Musang Berjanggut’ (1959) dan ‘Antara Dua Darjat’ (1960).

SAADIAH dan S. Kadarisman dalam satu babak dari filem ‘Antara Dua Darjat’ terbitan tahun 1960.
Filem ‘Antara Dua Darjat’ pada tahun 1960
Bersama P. Ramlee dalam filem ‘Antara Dua Darjat’

Diantara 10 filem lakonannya bersama P. Ramlee, tiga daripadanya dikatakan paling berkesan di hati para penonton dan disantuni dengan baik oleh Saadiah iaitu “Semerah Padi, Musang Berjanggut dan Antara Dua Darjat.”

Filem berkenaan dikatakan mampu menjentik minda kita untuk mendasari makna di sebalik rasa cinta, hukum agama, pangkat serta darjat yang sering menjadi sempadan dalam kehidupan masyarakat.

POSTER filem ‘Musang Berjanggut’ lakonan P. Ramlee, Saadiah, Ahmad Nisfu, Habsah Buang dan Raden Sudiro.
SENIMAN Ahmad Nisfu dan Saadiah dalam satu babak filem ‘Musang Berjanggut’ yang diterbitkan pada tahun 1959.
SAADIAH sebagai Tengku Mayang Mas dalam filem ‘Anak Buloh Betong’ (1966)

Bagaimanapun dalam menelusuri kejayaan Primadona ini, beliau bukan sahaja mencipta nama dalam industri filem Melayu malah mencatatkan sejarah tersendiri apabila diberi peranan yang luar dari kotak.

Siapa sangka, Saadiah yang mula berlakon sebagai pelakon tambahan kerana sering menemani kakaknya akhirnya telah mencipta sejarah dalam dunia perfileman Melayu apabila menjadi seniwati pertama melakonkan watak ejen perisik (Gadis Bond) dalam filem ‘Nora Zain-Ajen Wanita 001’ (1965).

Filem Melayu pertama genre penyiasatan ala James Bond arahan Lo Wei menjalani penggambaran di Hong Kong diterbitkan oleh Shaw Brothers pada tahun 1965.

DI ZAMAN kegemilangannya Saadiah sering menjadi model produk kecantikan antaranya Sabun LUX.
POSTER filem ‘Dupa Chendana’ lakonan Ahmad Mahmud Mahmud, Saadiah, Aziz Jaafar dan Mariani. Filem ini diterbitkan pada tahun 1964.

‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’ memaparkan kehebatan Nora Zain sebagai ejen perisik untuk menumpaskan sindiket berlian di Asia.

Jika sebelum ini, Saadiah membuatkan penonton menangis sayu melihat kisah cinta terhalang, tetapi Nora Zain menunjukkan sisi lain Saadiah sebagai Primadona filem Melayu.

Dalam filem yang turut dibintangi Allahyarham Aziz Jaafar, Nordin Arshad dan pelakon Hong Kong iaitu Fanny Fan Lai dan Tina Chin Fei, Saadiah menunjukkan kehebatannya dan ketangkasannya dalam babak ‘fighting’ yang belum pernah dilakukan dalam filem-filem lakonannya sebelum ini.

GAYA menawan seorang Primadona…Saadiah kelihatan ayu berkebaya pendek.

Kejayaan filem ini telah membuatkan Shaw Brothers menerbitkannya dalam versi cina dengan judul ‘Angel With The Iron Fists’ diarah dan dilakonkan Lo Wei, Lily Ho, Fanny Fan Lai, Tan Ching, Tina Chen Fei dan Fan Mei-Sheng.

Selain melakonkan watak ejen perisik pertama, Saadiah juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul sebagai Pengarah filem wanita pertama dengan filem ‘Ceritaku Ceritamu’ yang diterbitkan pada tahun 1979. Filem ini dibintangi Zainurdin Ismail, Mior Hashim Manap, Allahyarham Sharifah Aminah, Noor Azizah dan anak tercinta, Ogy Ahmad Daud.

SAADIAH… wajah ayu seorang Primadona.

Sepanjang kariernya dalam dunia filem, Saadiah yang telah menunjukkan lakonan terbaik sebagai Engku Zaleha dalam filem ‘Antara Dua Darjat’ arahan P. Ramlee pernah digelar ‘Ratu Box Office’ kerana kejayaan cemerlang filem-filem lakonannya bersama ‘hero-hero’ hebat seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Ahmad Mahmud, Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin, Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarham S. Kadarisman.

Sepanjang kariernya dalam bidang lakonan, dua kali Saadiah dianugerahkan Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1956 kerana lakonanya dalam filem ‘Semerah Padi’ diikuti pada tahun 1959 pada festival filem yang sama beliau dianugerahkan Aktres Terbaik melalui filem ‘Musang Berjanggut’.

S.MARIAM (kiri) bersama P. Ramlee dan Saadiah serta kenalan

Pada Festival Filem Malaysia ke-12 (FFM12) 1995, Saadiah menerima Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman. Sementara itu, sempena menyambut 23 tahun Persatuan Seniman pada Ogos 1997, beliau yang merupakan calon tunggal dipilih untuk menerima Anugerah Seniman.

Saadiah juga dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Majalah Filem selama tiga tahun iaitu pada tahun 1956 kerana lakonannya dalam filem ‘Penarik Becha’ diikuti pada tahun 1957 kerana filem ‘Hang Tuah’ dan pada tahun 1961 kerana lakonan dalam filem ‘Antara Dua Darjat’.

KELUARGA bahagia…Saadiah, Noraini dan Ahmad Daud mendukung Fauziah.
Wajah primadona yang sentiasa dirindui

Saadiah yang mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Seniman Datuk Ahmad Daud dikurniakan tiga orang anak dengan dua daripadanya menceburi bidang lakonan iaitu Fauziah yang lebih mesra disapa Ogy dan anak bungsunya, Fazlina. Sementara anak kedua, Fazal tidak berminat dalam bidang lakonan.

SAADIAH bersama anaknya, Fauziah Ahmad Daud dalam
filem pertama arahannya, ‘Ceritaku Ceritamu’ yang diterbitkan dan ditayangkan pada tahun 1979.
KENANGAN manis… Fauziah Ahmad Daud bersama ibunya, Saadiah. Fauziah
menerima Anugerah Pelakon Harapan Berbakat kerana lakonannya dalam filem ‘Abang’ pada Festival Filem Asia Pasifik ke-27 pada tahun 1982.

Melalui perkahwinan pertamanya Saadiah mempunyai tiga orang anak iaitu Azizah, Noraini dan Rohaya.

KELUARGA bahagia …Fauziah, Saadiah, Ahmad Daud dan Noraini.
DEPAN: Fazal dan Fazlina (duduk).
DALAM kenangan… pasangan bahagia Saadiah dan Ahmad Daud.

Saya amat berbangga mempunyai pengalaman bertemu dengan primadona hebat ini. Ketika itu saya menjadi editor majalah Oh!GEE yang diterbitkan oleh Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ogy dan adik beliau, Fazal.

Kak Ogy selalu bawa saya bertemu dengan bonda tercinta dan beliau begitu rapat dengan ibunya dan menjaga arwah penuh kasih sayang sehingga akhir hayat.

Majalah Oh!GEE yang diterbitkan oleh Kak Ogy dan adik beliau Fazal di mana Syed Wafa sebagai editor majalah ini
Kenangan indah Syed Wafa (Penulis) bersama Primadona filem Melayu,Saadiah

Saadiah meninggal dunia di rumahnya kerana penyakit kencing manis pada 26 Februari 2005.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman…Amin.

Satu kehilangan besar buat negara…WAJAH sayu seorang anak…Fauziah Ahmad Daud di sisi jenazah ibunya, Allahyarham Saadiah yang meninggal dunia pada 26 Februari 2005.
FAUZIAH Ahmad Daud dan adik bungsunya, Fazlina yang mengikuti jejak bonda dan ayah tercinta

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

MBWM bantah penganjuran Pesta Air kerana Malaysia ada budaya tersendiri

Oleh: Khadijah Ibrahim

RAMAI yang membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 atau Pesta Air, diinspirasikan daripada Songkran Thailand yang bakal diadakan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dari 30 April hingga 2 Mei 2026 (atau 1-3 Mei 2026 ).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata, penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 adalah sebagai salah satu usaha untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, dengan mengadakan acara di lokasi tumpuan seperti Bukit Bintang.

Ujar Tiong, acara tersebut adalah acara terbuka dan tiada sesiapa dipaksa untuk menyertainya. Malah, banyak bantahan telah dikemukakan namun semua itu dipandang sepi oleh kerajaan.

Turut menyatakan bantahan terhadap penganjuran festival tersebut ialah Majlis Budaya Dan Warisan Negara (MBWN).

Pengerusi MBWN, Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dalam satu kenyataan rasmi berkata, perkara tersebut wajar dinilai secara komprehensif berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 serta prinsip Rukun Negara.

Tegasnya, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang menghormati kepelbagaian budaya. Namun demikian, penghormatan terhadap budaya luar tidak semestinya membawa kepada penginstitusian atau promosi besar-besaran sesuatu tradisi asing di ruang awam yang menjadi simbol identiti negara.

Selain Pesta Air, artis luar negara turut dijemput untuk memeriahkan acara.

Dalam konteks pembinaan negara bangsa, keutamaan harus diberikan kepada pengukuhan budaya teras yang membentuk jati diri Malaysia.

“Kerangka Dasar Negara dan Identiti Negara Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, di samping menjamin kebebasan agama lain diamalkan dengan aman dan damai. Prinsip Rukun Negara pula menekankan Kesopanan dan Kesusilaan sebagai asas kehidupan bermasyarakat.

“Dasar Kebudayaan Kebangsaan menetapkan bahawa kebudayaan kebangsaan hendaklah berteraskan budaya asal rantau ini serta nilai-nilai yang sesuai dengan Perlembagaan dan kepentingan negara. Justeru, sebarang acara berskala besar di lokasi ikonik di tengah ibukota mesti dipertimbangkan dari sudut keserasian nilai
dan kesannya terhadap identiti kebangsaan,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan kerisauan tentang pertimbangan sosial dan tata kelola awam terhadap penganjuran pesta air terbuka berskala besar itu berpotensi menimbulkan beberapa implikasi yang perlu diteliti secara objektif.

Antara impak yang dikenal pasti bakal berlaku jika acara tersebut diteruskan adalah, risiko berlakunya pelanggaran norma kesopanan dan batas sosial dek percampuran sosial tanpa garis panduan jelas.

Selain itu, Dr. Abdul Mua’ti turut melihat dari segi keselamatan dan kawalan ketenteraman awam kerana selama ini di persepsi antarabangsa, Malaysia berimej sebagai negara beradab dan berprinsip.

“Pendekatan tadbir urus yang baik menuntut setiap acara awam dinilai bukan hanya dari sudut tarikan pelancongan, tetapi juga kesan jangka panjang terhadap struktur sosial dan nilai kemasyarakatan.

“Tambahan pula sekarang ini Agenda Pembangunan Belia dan Produktiviti Negara Malaysia sedang berdepan cabaran pembinaan sahsiah generasi muda. Dalam suasana ini, negara perlu berhati-hati agar tidak secara tidak langsung mempromosikan budaya hedonistik yang mengutamakan hiburan tanpa dimensi pembinaan akhlak dan disiplin.

“Pembangunan belia seharusnya diperkukuh melalui program yang membina daya tahan mental, kepemimpinan, inovasi, tanggungjawab sosial serta kerohanian, ia bukan sekadar aktiviti bermusim yang berisiko melalaikan,” katanya melahirkan rasa bimbang tentang masa depan belia.

Bagaimanapun kata beliau, MBWN tidak menolak prinsip kepelbagaian budaya. Namun, terdapat perbezaan yang jelas antara menghormati kewujudan sesuatu budaya dengan mengangkatnya sebagai acara utama di ruang awam ikonik negara.

“Dalam era globalisasi, negara yang kukuh ialah negara yang memiliki sempadan nilai yang jelas. Keterbukaan tidak boleh bermaksud kehilangan keutamaan identiti.

“Pihak berkuasa harus menilai semula penganjuran Pesta Songkran di lokasi utama seperti Bukit Bintang.Sebaliknya, utamakanlah program kebudayaan tempatan yang memperkukuh jati diri nasional.

“Perlu menetapkan garis panduan yang lebih ketat bagi mana-mana acara awam agar selari dengan prinsip kesopanan, keselamatan dan sensitiviti masyarakat. Malaysia harus bergerak ke hadapan sebagai negara yang matang, berprinsip dan
berbudaya tinggi.

“Kemajuan bukan sekadar diukur melalui kemeriahan acara, tetapi melalui kekuatan identiti, kestabilan sosial dan keteguhan nilai. Negara berdaulat dibina atas jati diri, bukan sekadar sensasi,” katanya lagi.

Dulu sewaktu Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir memegang jawatan menteri untuk kementerian tersebut, Malaysia cukup dikenali oleh pelancong luar menerusi acara Citrawarna.

Menerusi perarakan Citrawarna, pelancong yang hadir dapat melihat kepelbagaian budaya Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Apa yang dipersembahkan sewaktu Citrawarna tidak berlaku di negara lain dan sebab itulah kenapa ramai mahu bertandang ke Malaysia untuk melihat keistimewaan negara kita.

Björn Again – The ABBA Forever Tour di Kuala Lumpur

Oleh: Khadijah Ibrahim

BIARPUN kumpulan ABBA yang dianggotai oleh Agnetha Faltskog, Anni-Frid Lyngstad, Benny Andersson dan Bjorn Ulvaeus yang berasal dari Stockholm, Sweden sudah kurang aktif, namun lagu-lagu dendangan mereka malar segar dan diminati hingga kini.

Peminat-peminat ABBA pasti tidak dapat melupakan lagu-lagu hits ikonik dendangan mereka seperti “Mamma Mia,” “Dancing Queen,” “Waterloo,” “SOS” dan “Gimme! Gimme! Gimme!,” bersama balada yang digemari termasuk “The Winner Takes It All,” “I Have a Dream,” “Chiquitita,” dan “Fernando.”

Lagu-lagu tersebut dapat didengar secara langsung jika anda hadir ke Björn Again – The ABBA Forever Tour yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 12 Ogos ini.

Björn Again, didatangkan khas dari Melbourne oleh penganjur Shiraz Projects, dan untuk pertama kalinya kumpulan tersebut akan menghiburkan penonton selama dua jam dengan lagu-lagu popular ABBA.

Anggota ABBA, Benny Andersson juga memuji persembahan Bjorn Again.

Meskipun Björn Again adalah kumpulan dari Melbourne, Australia yang diinspirasikan sebagai penghormatan kepada ABBA dianggotai oleh penghibur dari pelbagai negara.

Nama Björn Again diambil daripada nama gitaris dan vokalis ABBA iaitu Bjorn Ulvaeus. Sejak ditubuhkan pada 1988, kumpulan ini telah membuat persembahan di seluruh dunia.

Terkenal sebagai salah satu pementasan yang paling menghiburkan dan berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa, Björn Again menggabungkan vokal spot-on dengan tenaga yang mempesonakan, kostum yang sangat menarik, jenaka dan bakat teater untuk mencipta pengalaman ABBA yang terbaik.

Kumpulan itu telah membuat persembahan di lebih 120 negara dan kekal sebagai satu-satunya penghormatan ABBA yang disahkan secara rasmi oleh ahli ABBA.

Mengumpulkan peminat secara global, peminat mereka termasuk nama terkenal seperti Metallica, Nirvana, Tom Jones, Rowan Atkinson dan J. K. Rowling, mengukuhkan reputasi mereka sebagai fenomena global.

Björn Again telah menghiasi beberapa tempat paling ikonik di dunia, termasuk Stadium
Wembley, Royal Albert Hall, Sydney Opera House, dan Myer Music Bowl Melbourne, serta festival antarabangsa utama seperti Festival Glastonbury, Festival Roskilde, Festival Membaca dan Big Red Bash.

Jangan ketinggalan untuk membeli tiket untuk menonton persembahan Bjorn Again.

Time Out mengisytiharkan Björn Again “salah satu pementasan live yang paling menghiburkan di dunia hari ini,” manakala Benny Andersson dari ABBA dengan terkenal berkata, “Peminat lebih baik memanfaatkan Björn Again kerana itulah yang paling dekat mereka dapat melihat ABBA.”

Dengan muzik ABBA menikmati populariti global yang diperbaharui, dirangsang oleh filem-filem seperti Muriel’s Wedding, The Adventures of Priscilla, Queen of the Desert, dan pentas dunia serta fenomena filem Mamma Mia!, hentian Kuala Lumpur ini menjanjikan untuk menjadi salah satu acara langsung yang mesti dilihat pada tahun 2026.

Jangan lepaskan peluang luar biasa ini untuk menyaksikan Björn Again secara langsung di Kuala Lumpur, kerana mereka menyampaikan malam nostalgia, perayaan dan keajaiban pop tulen yang tidak dapat dilupakan untuk peminat semua peringkat umur.

Tiket boleh didapati di www.ticket2u.com pada kadar harga RM600 (VIP), RM498 (Diamond), RM398 (Platinum), RM298 (Gold) dan RM228 (Silver).

Ungu kembali ke Malaysia rai perayaan legasi 30 tahun

Oleh: Khadijah Ibrahim

KUMPULAN Ungu bukan saja dikenali di negara mereka, Indonesia, malah kumpulan yang dikategorikan sebagai kumpulan rock itu juga turut dikenali di kalangan penggemar muzik di Malaysia.

Untuk terus kekal dalam industri muzik selama tiga dekad bukan sekadar satu angka, ia adalah perjalanan yang ditempa dengan jatuh bangun, evolusi dan ketahanan yang jarang mampu dicapai.

Kumpulan yang dianggotai oleh Pasha (vokalis), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram) itu bakal merai perjalanan seni mereka bersama peminat di sini menerusi sebuah konsert istimewa, “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”.

Pada sidang media baru-baru ini, Ungu yang diterbang ke sini oleh COMs. Creative Studio & DM Diamond Entertainment, selaku penganjur mengumumkan bahawa konsert eksklusif kumpulan tersebut akan diadakan pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, Damansara, Petaling Jaya.

Walaupun setiap anggota sibuk , namun atas nama Ungu, masing-masing meluangkan masa untuk menjayakan konsert.

Kumpulan yang berasal dari Jakarta, Indonesia yang ditubuhkan pada 1996 itu telah membina sebuah legasi yang merentasi generasi dengan penghasilan karya yang bukan sahaja popular, tetapi turut menjadi sebahagian daripada memori kolektif peminat di Malaysia dan Indonesia.

Mengangkat tema “3 Dasawarsa” atau tiga dekad, konsert ini tidak hanya berdiri sebagai sebuah persembahan, tetapi sebagai sebuah dokumentasi hidup dengan merakam perjalanan seni Ungu yang berkembang dari akar sederhana kepada status legenda serantau.

Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy (COMs. Creative Studio), konsert ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia.

“Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu, dengan objektif utama untuk meraikan peminat setia mereka di Malaysia. Dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaik mereka.

“Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu sepanjang tiga dekad dari mula sehinggalah sekarang,” jelas Zairul Addry.

Anggota Ungu bersama dua penganjur utama, Zairul Addry Helmy dan KS Tan.

Bagi menterjemahkan perjalanan ini ke pentas, konsert akan distrukturkan dalam tiga segmen utama: “The Birth”, “The Peak dan “The Legacy” yang membawa penonton menyelusuri evolusi Ungu dari awal kemunculan hingga ke kematangan sebagai sebuah nama besar dalam industri.

Daripada karya-karya awal yang membentuk identiti mereka, ke era kegemilangan yang dipenuhi pencapaian dan pengiktirafan, hingga ke fasa legasi yang menandakan kekuatan dan kesinambungan, di mana setiap segmen dirangka sebagai satu bab dalam naratif yang lebih besar.

Tambahnya lagi, konsert tersebut bukan sekadar persembahan muzik, malam tersebut dijangka tampil sebagai sebuah pengalaman yang imersif dan berlapis, dengan elemen kejutan yang dirancang khas bagi memperkayakan setiap detik di atas pentas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, KS Tan berkata, kekuatan Ungu terletak pada lebih daripada sekadar muzik yang dihasilkan.

“Untuk bertahan selama tiga dekad, ia bukan hanya tentang muzik, tetapi juga ketahanan mental, jatuh bangun dalam industri, serta nilai ‘brotherhood’ yang dibina sejak awal penubuhan. Konsert ini adalah refleksi kepada keseluruhan perjalanan itu.

“Kami berharap konsert ini mendapat sambutan yang luar biasa, dan setiap peminat yang hadir dapat menikmati serta merasai keistimewaan malam tersebut sempena ulang tahun ke-30 Ungu.

Anggota Ungu bersama Zairul Addry Helmy selaku pengarah konsert dan penganjur.

”Malam tersebut turut akan menampilkan lima artis jemputan istimewa yang dipilih sendiri oleh Ungu yang akan diumumkan secara berperingkat, kata KS Tan.

Bagi Pasha, walaupun Ungu sering mengadakan konsert di Malaysia sebelum ini, namun mereka tetap berhati-hati memilih lagu demi memuaskan hati penonton.

“Andai Ku Tahu”, “Demi Waktu”, “Bila Tiba” “Seperti Yang Dulu” dan Bismillah Cinta” adalah antara lagu dendangan Pasha yang diminati ramai.

“Pemilihan lagu yang bakal dinyanyikan kelak tidak hanya bergantung pada populariti di platform digital saja tapi perlu ambil kira reaksi penonton sewaktu mereka menonton persembahan Ungu secara langsung.

“Tidak dinafikan ada lagu Ungu yang mendapat tontonan tinggi di YouTube tapi bila dibawa ke konsert ternyata berbeza, penonton tidak menyanyi. Sebaliknya ada lagu biasa, tapi bila dinyanyikan sewaktu persembahan, semua ikut nyanyi,” kata Pasha yang sudah dapat membaca reaksi penonton dek pengalamannya itu.

Bagi yang berminat untuk menonton konsert ini sebanyak tujuh kategori tiket ditawarkan, termasuk pakej eksklusif “Meet & Greet” yang memberikan peminat peluang lebih dekat bersama band ini, lengkap dengan barangan rasmi edisi terhad seperti t-shirt, lanyard, keychain dan bag tote.

Jualan tiket bermula pada 27 April 2026, dengan tawaran “Early Bird” sebelum jualan umum dibuka.

Konsert Memento Mori kumpul semua anggota Exists

Oleh: Khadijah Ibrahim

BERMULA sejak di bangku sekolah lagi hingga kini kumpulan Exists masih berdiri teguh dalam industri muzik tanah air.

Bukan anggota Exists saja yang membesar menerusi perjalanan kerjaya muzik mereka, malah situasi yang sama turut dirasai oleh peminat mereka.

Justeru itu bagi peminat-peminat setia Exists yang ditubuhkan sejak 1991 hingga kini, sebut saja judul lagu Exists yang dinyanyikan oleh Mamat atau Ezad, pasti peminat tahu.

Lagipun lagu-lagu dendangan Exists yang turut dianggotai oleh Along (gitar), Musa (bes), Ujang (dram), Ajai (keyboard) dan Shah (gitar) menjadi memori dalam kehidupan peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya kumpulan tersebut.

Ini bayangan wajah-wajah anggota Exists apabila memasuki era warga emas kelak.

Meskipun anggota Exists ada keluar masuk seperti kumpulan lain, demi untuk menjayakan konsert Memento Mori, pada 1 Ogos 2206, 8.30 malam, di Unifi Arena Kuala Lumpur (dulu Axiata Arena) Shah dan Mamat kembali bersatu bersama anggota lain.

Konsert Memento Mori dianjurkan oleh Icon Entertainment dan ada sebab kenapa Iman Tang masih mahu menganjur konsert berskala besar bagi kumpulan Exists yang sebelum ini kerap juga menjayakan persembahan besar.

Sebagai penganjur, Iman menyifatkan Exists Memento Mori sebagai penganjuran untuk merayakan dan memperingati semangat Exists yang tidak pernah luntur dan terus berkarier walaupun banyak kumpulan baharu muncul.

“Mengekalkan usia 35 tahun dalam industri hiburan terutama beberapa dekad kebelakangan ini dengan pasaran yang tidak menentu bukan hal yang mudah.

“Tapi Exists, seperti maksud namanya wujud, kekal bertahan meski sempat redup kemudian menjadi relevan semula dalam pasaran bukan hanya kerana sikap tetapi karya-karya berkualiti yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Justeru Icon Entertainment sangat berbesar hati membawakan Exists Memento Mori sebagai apresiasi dan menghargai setiap momen yang pernah dan sedang Exists hadirkan kepada peminat muzik di Nusantara,” ujarnya.

Anggota Exists sewaktu sidang media baru-baru ini.

Menyentuh mengenai pemilihan judul konsert Exists Memento Mori, kata Iman, beliau suka sesuatu yang berbeza dan mahu orang mendalami maksud yang tersirat daripada judul tersebut.

“Sebenarnya saya suka sesuatu yang membuatkan orang mencari. Senang kalau nak letak nama ‘Exists Abadi’ atau ‘Bersama Selamanya’, tapi itu terlampau ringkas.

“Saya suka kita buat ‘homework’. ‘Memento’ lebih kepada kenangan, dan ‘Mori’ bagi saya ialah memory. Memento Mori dalam bahasa Latin bermaksud ‘Ingatlah akan kematian’. Jadi apa yang kita tinggalkan adalah legasi, muzik, dan semangat brotherhood sebuah band yang masih terus bermain.

“Tidak dinafikan banyak penganjur buat show, tapi saya rasa menyambut 35 tahun… Exists tidak pernah dibuat sebesar Axiata Arena atau Unifi Arena. Unifi Arena ni kalau bahasa pasarnya, dia ‘keramat’. Either you make it, or you don’t make it. Alhamdulillah, setakat ini dengan Icon dan tim promosi, show setakat ni okey. Saya rasa Exists sebenarnya sangat layak untuk berada di situ.”

“Adalah menjadi impian saya nak tengok Exists perform di pentas yang besar, skala produksi yang besar, dengan sound yang berkualiti. Bukan cuma dari Malaysia, dengan adanya elemen seperti gimmick dan ‘icing on the cake’. Apa yang kita boleh tambah pada lagu itu dengan venue sebesar itu. Saya dapat bayangkan suasana semua orang akan sing-along lagu-lagu hits mereka,” jelasnya yang mendengar lagu-lagu Exists sejak di bangku sekolah agi.

Tambah Iman, dengan tujuh pemuzik yang mempunyai pengalaman luas dalam industri, sementelah lagu-lagu Exists juga sudah terpahat dalam hati peminat, beliau percaya Exists Memento Mori merupakan sebuah penganjuran yang akan mengingatkan peminat bahawa

Iman Tang selaku penganjur yakin lagu-lagu Exists akan membangkitkan momen indah kepada penonton yang hadir ke konsert kelak.

Exists, adalah salah sebuah kugiran terbaik yang pernah lahir di Malaysia.

Sementara itu, mewakili Exists, Along menyifatkan Exists Memento Mori sebagai persembahan berskala besar dengan tujuh ‘kepala’ yang telah membuat Exists meledak menerusi perkongsian kreativiti masing-masing.

“Selain menerima bantuan komposer dan pengurus yang cukup mahir dalam selok-belok indutsri hiburan selama ini, Exists kekal wujud selama berdekad-dekad kerana setiap anggota memainkan peranan penting serta tidak pernah berputus asa menjadi pemain industri.

“Malah, walaupun ada dalam kalangan anggota Exists yang keluar lalu menubuhkan kumpulan lain atau Exists berdepan kontroversi terkait vokalis, semua anggota menghormati satu sama lain. Kami letakkan perbezaan pendapat dan peribadi di luar konteks pekerjaan sebagai pemuzik.

Antara tema pakaian yang boleh anda pakai ketika hadir ke konsert Exists nanti.

“Maka demi menghargai setiap momen hebat yang telah kami lalu, Exists Memento Mori adalah menifestasi perjalanan dan perjuangan kami selama ini. Kali ini bertujuh, bersama ‘kepala-kepala’yang telah mewujudkan Exists menerusi kepercayaan masing-masing,” ujar Along.

Tambah Musa, falsafah Memento Mori ni lebih kepada brotherhood kerana mereka bermula bersama dan sehingga sekarang Exists masih wujud. Selain daripada muzik, ia tentang cinta dan persahabatan yang tetap dalam hati setiap anggota.

Bagi yang ingin menonton konsert Exists Memento Mori, tiket dijual dengan harga RM 228 (UNTUKMU IBU), RM288 (MENCARI ALASAN), RM328 (LANGKAH SEIRINGAN), RM388 (SEPERTI DULU), RM428 (RAHSIA POHON CEMARA) dan RM 488 (PERCAYAKAN SITI) serta RM5,000 (JESNITA- sofacouple: seat) boleh dibeli bermula 30 April pukul 11 pagi di www.ticket2u.com.my/ExistsMori

Sakura Band kembali “Re:Start” sebagai tanda kebangkitan semula

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU sidang media Sakura Band di Hard Rock Cafe baru-baru ini, kumpulan yang dianggotai oleh Mell selaku vokalis, Ali (gitar utama), Haniff (gitar kedua) dan Akai (bass) telah mendendangkan beberapa lagu yang dipetik daripada album terkini mereka, “Re:Start”.

Album “Re:Start” dikeluarkan selepas Sakura Band berehat panjang dalam industri dan itu menandakan satu titik kebangkitan semula buat kumpulan tersebut.

Mell atau nama sebenarnya Melly Matius 38, yang merupakan pemenang tempat kelima program Gegar Vaganza musim ke-12 berkata, pemilihan judul “Re:Start” bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan fasa baharu yang dilalui oleh kumpulan itu.

“Konsep kali ini memang lebih kepada kemunculan semula Sakura Band selepas lama kami berehat. Sebab itu kami pilih nama “Re:Start”.

Sakura Band tampil dengan album yang memuatkan lapan lagu untuk pendengaran peminat.

“Dari segi muzik, memang ada perubahan sedikit. Kali ini, kami lebih ke arah pop rock tetapi dalam masa yang sama kami masih kekalkan identiti Sakura Band itu sendiri,” katanya yang merupakan isteri kepada Mohd Safwan Hasnan, pemain dram kumpulan 6ixth Sense dan Akim &The Majistret.

Terdapat lapan lagu dalam album ini dan trek pertama adalah lagu “Re:Start” yang berfungsi sebagai pembuka jalan kepada keseluruhan naratif album.

Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album ini adalah “1,2,3 GO!”, “Impian”, Sahabat Sejati”, “Manusia Biasa”, “Tikam Belakang”, “Masih” dan “Bulan & Bintang”.

Sakura Band mendendangkan lagu-lagu daripada album “Re:Start” di majlis sidang media baru-baru ini

Mell yang sebelum ini popular dengan lagu “Poloraid” menjelaskan bahawa setiap lagu dalam album ini membawa cerita tersendiri yang dekat dengan pengalaman peribadi mereka.

“Kebanyakan lagu datang daripada apa yang kami sendiri lalui seperti perkara-perkara dalam hidup kami. Jadi semua ini sangat dekat dengan kami,” katanya.

Sebagai strategi memperkenalkan semula identiti muzik mereka kepada peminat lama, Sakura Band memilih sebuah lagu berunsur pop sebagai single pertama iaitu “Masih”.

“Kami fikir dari segi strategi juga, nak bagi peminat lama rasa ‘ini Sakura Band yang mereka kenal’. Lagu ini ada elemen pop yang kuat dan vibe dia hampir dengan lagu Melepaskanmu. Ia jadi seperti ‘bridge’ untuk bawa pendengar kembali kepada muzik kami,” ujar Mell.

Album “Re:Start” diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music.

Dari segi produksi, album ini turut menyaksikan kolaborasi bersama nama-nama berpengalaman dalam industri. Sakura Band kembali bekerjasama dengan penyanyi/penulis lagu, Adi 6ixth Sense di samping menjalin kerjasama pertama dengan penerbit Laq, gitaris kumpulan Akim & The Majistret.

“Proses rakaman untuk lagu “Masih” dan “Bulan & Bintang” yang melibatkan Adi dan Laq berjalan dengan sangat lancar. Mereka jelas dengan hala tuju lagu dan kami pula bebas berkongsi idea. Ia jadi satu proses kolaboratif yang sangat positif,” tambahnya.

Keunikan “Re:Start” turut terletak pada pendekatan penulisan lagu yang bersifat autentik dan dekat dengan realiti kehidupan.

“Kami banyak ambil inspirasi daripada apa yang berlaku di sekeliling, apa yang kami rasa, lalui atau lihat. Dengan cara itu, kami harap pendengar boleh lebih mudah ‘relate’ dengan lagu-lagu ini,” kata Mell.

Dari segi bunyi dan susunan muzik, album ini menampilkan evolusi yang lebih matang dengan penerokaan genre pop rock.

“

Kulit album Sakura Band yang berjudul “Re:Start”.

Sebelum ini, kami lebih kepada pop tetapi kali ini sound lebih ‘berat’ dan ada elemen eksperimen. Tambahan pula, ini kali pertama kami menghasilkan album dan juga produce sendiri, jadi kami ambil peluang ini untuk explore dengan lebih bebas sambil tetap menjaga identiti Sakura Band,” jelasnya lagi.

Namun begitu, perjalanan menghasilkan album ini tidak terlepas daripada cabaran, khususnya dalam mencari konsep dan mengekalkan konsistensi sepanjang proses produksi yang bermula sejak Januari 2025.

“Cabaran terbesar adalah mencari idea dan konsep yang benar-benar segar. Selain itu, untuk kekalkan momentum juga agak mencabar kerana masing-masing ada komitmen sendiri. Tetapi, Alhamdulillah, kami berjaya hasilkan sesuatu yang kami sangat puas hati dan banyak belajar sepanjang proses ini,” katanya.

Sakura Band berharap album “Re:Start” mampu diterima baik oleh peminat serta pendengar muzik tempatan secara keseluruhan.

Album “Re:Start” terbitan Seventeen Eleven Music boleh distrim di pelantar penstriman muzik digital utama dan muzik video rasmi “Masih” boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’ di pautan:
https://youtu.be/X1WrYVLYHYc?si=VYzwPE_l51M3O4A7